Ada orang yang berpendapat, kita akan terkongkong atau hilang kebebasan bila menurut peraturan Ilahi. Padahal dalam kehidupan, manusia tidak dapat melepaskan diri dari peraturan. Bila tidak ikut peraturan Allah, ertinya ikut dengan peraturan manusia. Bahkan di dalam rumah atau keluarga kita pun tidak lepas dari peraturan. Kalau kita pindah ke rumah orang lain pun akan ada peraturan. Tentu kita akan lebih suka dengan peraturan yang dibuat oleh ayah kita di rumah daripada peraturan yang dibuat dalam rumah orang lain.
Contohnya, kita berada di rumah kita sendiri, tentulah program dalam rumah itu kita yang buat. Kalau kita pergi ke rumah orang lain pula, tentu programnya berlainan dengan di rumah kita. Apakah sama perasaan kita berada di rumah sendiri dengan berada di rumah orang lain? Tentu tidak. Jadual hidup kita pun akan berbeza antara di rumah sendiri dengan di rumah orang lain. Kalau kita paksakan jadual hidup kita di rumah orang lain, tentu kita akan susah dan tidak tenang.
Kalau dunia ini kita rasakan kepunyaan kita, waktu yang 24 jam itu juga kepunyaan kita, kita yang mengatur, itulah yang membuat kita hidup di dunia ini tidak tenang. Susah, gopoh, tertekan dan sebagainya akan dirasai. Itu yang membuat kita tidak stabil. Dunia kepunyaan Allah, waktu juga kepunyaan Allah. Jika kita mengatur semahunya, tentu hidup kita akan jadi susah, sebab kita telah membuat jadual untuk sesuatu yang bukan kepunyaan kita.
Padahal diri kita dan apapun yang berkaitan dengan diri kita, bukan kita yang tentukan. Bahkan kita tidak tahu apa yang akan terjadi sesaat lagi selepas ini. Apalagi untuk yang 1 hari, 1 minggu, 1 tahun, tentu kita lebih tidak tahu. Kalau pun kita cuba untuk mengatur, adakalanya yang terjadi tidak sesuai dengan apa yang kita rencanakan.
Ada orang yang beralasan sibuk dengan kerja, hingga merasa takut terikat dengan peraturan Allah. Padahal dia menjadi sibuk kerana menolak peraturan Allah. Dia sibuk memburu cita-citanya, wang, harta, pangkat dan lainnya, hingga hilang ketenangan. Padahal dalam dia memburu cita-citanya itu pun, di ikat oleh peraturan di pejabat, di rumah dan di jalan raya. Kalau cita-cita kita adalah Allah, maka susah dengan Allah pun terasa bahagia. Bahkan mati kerana Allah lebih membahagiakan. Jika ada kesusahan dalam usaha memburu cinta Ilahi pun terasa bahagia.
Sebab itu penting untuk mengenal Allah agar tahu siapa Robb dan siapa diri kita. Kalau tidak kenal Ilahi, maka secara langsung sebenarnya kita tidak mengenal diri kita juga. Walaupun kita tidak menyebut diri kita sebagai Tuhan tapi tanpa sedar, kita berlagak seperti Tuhan. Kalau kita memahami bahawa dunia ini Allah yang punya, dan patuh dengan aturan Allah, tentu manusia akan hidup teratur, aman, damai.
Allah memiliki jadual, maka sesuaikan hidup kita dengan jadual Ilahi. Bangun sebelum subuh, kemudian solat sunat 2 rakaat. Setelah itu solat subuh dan jangan tidur setelah subuh kerana akan menumpulkan akal. Jika ingin tidur sekalipun, biarlah setelah terbit atau tinggi matahari.
Tapi bagi orang yang masih muda, masih cergas, waktu itulah dia pergi kerja, sebab tenaga dan fikiran masih segar. Menjelang jam 10 pagi, laksanakan solat sunat Dhuha. Setengah jam sebelum zuhur bersiap pula untuk solat zuhur. Setelah solat zuhur, kerja dan solat asar. Setelah asar tidak digalakkan tidur, makruh hukumnya kerana dapat melemahkan fikiran. Jika ingin beristirehat, amalkanlah aktiviti membaca, berkebun atau seumpamanya. 30 minit sebelum maghrib, bersiaplah untuk solat maghrib.
Jikalau manusia membuat aturan hidup mereka disesuaikan dengan jadual Allah, hidup akan teratur, tenang dan bahagia.
Tapi untuk ikut dengan jadual Allah, syaratnya mesti kenal Ilahi. Seperti kita bekerja di pejabat juga, bila kita sayang pada ketua kita, apapun arahan dan tugasan yang diberikan kita akan patuhi, walaupun susah dalam melaksanakan kerja tersebut.
Orang yang kenal dengan Ilahi, terlewat solat subuh 30 minit saja akan terasa susah hati. 30 minit sebelum solat, hati sudah merasa rindu ingin menunaikan solat.
Hamba Allah yang sebenarnya, di saat bangun tidur, walaupun dia belum membuat sebarang dosa, terus ingat pada dosa. Syaidina Umar Al Khattab, walaupun dikatakan oleh Rasulullah saw jika ada nabi lagi setelah Baginda saw, maka Umar akan menjadi nabi, dan jika Syaidina Umar ra melalui satu jalan, maka syaitan akan mengambil jalan lain untuk elak bertembung dengan beliau. Tetapi hati Syaidina Umar makin takut pada Allah. Ketika mengambil air wuduk, mukanya mulai pucat kerana takut untuk mengadap Allah swt.
Itulah orang Ilahi ( Rijalullah ), walaupun dekat dengan Allah, tetapi dia rasa jauh dengan Ilahi.
Jagalah Hati...
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan