Allah swt berfirman, "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Robb-nya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." (QS 2:155-157)
Di dalam musnad Imam Ahmad, Nabi saw bersabda, "Tidaklah seorang hamba yang ditimpa musibah mengucapkan, "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un, ya Allah berilah aku pahala dalam musibah ku ini dan gantilah untuk ku dengan sesuatu yang lebih baik," kecuali Allah akan memberikan pahala dalam musibahnya dan akan memberikan kepadanya ganti yang lebih baik." ( HR Ahmad )
Jika seorang hamba benar-benar menyedari bahawa dirinya adalah milik Allah swt dan akan kembali kepada-Nya, maka dia akan terhibur tatkala tertimpa musibah. Kalimat istirja' ini merupakan penyembuh dan ubat paling mujarab bagi orang yang sedang tertimpa musibah. Ia memberikan manfaat baik dalam waktu kini mahupun di waktu yang akan datang. Kalimat tersebut memuatkan dua prinsip yang sangat agung. Jika seseorang mampu merealisasikan dan memahami keduanya, maka dia akan terhibur dalam setiap musibah yang menimpanya.
Dua prinsip pokok tersebut adalah:
Pertama; Bahawasanya manusia, keluarga dan harta pada hakikatnya adalah milik Allah swt. Ia bagi manusia tidak lebih hanya sebagai pinjaman atau titipan, sehingga jika Allah swt mengambilnya dari seseorang, maka ia ibarat seorang pemilik barang yang sedang mengambilnya daripada si peminjam. Demikian juga manusia di liputi oleh ketidakpunyaan- sebelumnya (ketika lahir) dia tidak memiliki apa-apa dan setelahnya (ketika mati) ia pun tidak memiliki apa-apa lagi.
Pertama; Bahawasanya manusia, keluarga dan harta pada hakikatnya adalah milik Allah swt. Ia bagi manusia tidak lebih hanya sebagai pinjaman atau titipan, sehingga jika Allah swt mengambilnya dari seseorang, maka ia ibarat seorang pemilik barang yang sedang mengambilnya daripada si peminjam. Demikian juga manusia di liputi oleh ketidakpunyaan- sebelumnya (ketika lahir) dia tidak memiliki apa-apa dan setelahnya (ketika mati) ia pun tidak memiliki apa-apa lagi.
Seorang hamba juga bukanlah yang telah menjadikan dirinya memiliki sesuatu setelah sebelumnya tidak punya apa-apa. Dan dia pun bukanlah menjadi penjaga terhadap segala miliknya dari kebinasaan dan kelenyapan. Dia tidak mampu untuk menjadikan miliknya tetap terus abadi. Apa pun usaha seorang hamba tidak akan mampu untuk menjadikan miliknya kekal abadi, tidak akan mampu menjadikan dirinya sebagai pemilik hakiki.
Dan juga seseorang itu harus membelanjakan miliknya berdasarkan perintah Pemilik-nya, memperhatikan apa yang diperintahkan dan apa yang dilarang. Dia membelanjakan bukan sebagai pemilik, kerana Allah jualah Sang Pemilik, maka tidak boleh baginya membelanjakan titipan itu, kecuali dalam hal-hal yang sesuai dengan kehendak Pemilik yang Hakiki.
Kedua; Bahawa kesudahan dan tempat kembali seorang hamba adalah kepada Allah Pemilik yang Haq. Dan seseorang sudah pasti akan meninggalkan dunia ini, lalu menghadap Allah swt bersendirian sebagaimana ketika diciptakan pertama kali- tidak memiliki harta, tidak membawa keluarga dan anak isteri. Akan tetapi, manusia menghadap Allah dengan membawa amal kebaikan dan keburukan.
Jika awal mula dan kesudahan seorang hamba adalah demikian, maka bagaimana dia akan berbangga-bangga dengan apa yang dia miliki atau berputus asa dari apa yang tidak dimilikinya…? Maka memikirkan bagaimana awal dirinya dan bagaimana kesudahannya nanti adalah merupakan ubat paling mujarab untuk mengubati sakit dan kesedihan. Demikian juga dengan mengetahui secara yakin bahawa apa yang akan menimpanya pasti tidak akan meleset atau luput dan begitu juga sebaliknya.
Allah swt berfirman, “Tiada sesuatu bencana apa pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu.Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (QS al-Hadid:22-23)
Lihatlah Nikmat yang Tersisa...
Termasuk salah satu terapi dalam menghadapi musibah adalah dengan cara melihat seberapa kecil musibah dan seberapa besar nikmat yang telah diterima. Maka akan didapati bahawa Allah swt masih menyisakan bagi kita yang semisal dengannya, atau malah lebih baik lagi. Dan jika seseorang bersabar dan redha, maka Allah swt akan memberikan sesuatu yang lebih baik dan besar daripada apa yang hilang dalam musibah, bahkan mungkin dengan berlipat-lipat ganda. Dan jika Allah menghendaki, maka akan menjadikan lebih dan lebih lagi dari yang ada.
Musibah Menimpa Semua Orang...
Merupakan ubat yang sangat bermanfaat di kala musibah sedang menimpa adalah dengan menyedari bahawa musibah itu pasti dialami oleh semua orang. Cubalah kita melihat ke kanan, maka pasti akan didapati di sana ada orang yang sedang diberi ujian, dan jika memandang ke kiri, maka di sana juga ada orang yang sedang ditimpa kerugian dan malapetaka. Dan seorang yang berakal kalau mahu memperhatikan sekelilingnya, maka dia tidak akan mendapati kecuali di sana pasti ada ujian hidup, entah dengan hilangnya barang atau orang yang dicintai atau menemui sesuatu yang tidak membahagiakan dalam hidup.
Kehidupan dunia tidak lain adalah ibarat tidur yang sekejap atau bayang-bayang yang pasti lenyap. Jika dunia mampu membuat orang tersenyum sesaat, maka ia mampu mendatangkan tangisan yang panjang. Jika ia membuat bahagia dalam sehari, maka ia pun mampu membuat duka sepanjang tahun. Kalau hari ini memberikan sedikit, maka suatu saat akan menahan dalam waktu yang lama. Tidaklah suatu rumah dipenuhi dengan keceriaan, kecuali suatu saat akan dipenuhi pula dengan duka.
Ibnu Mas'ud ra berkata, "Pada setiap kegembiraan ada duka, dan tidak ada satu rumah pun yang penuh dengan kebahagiaan, kecuali akan dipenuhi pula dengan kesedihan.
Berkata pula Ibnu Sirin, "Tidak akan pernah ada senyum berpanjangan, kecuali setelahnya pasti akan ada tangisan."
Hindun binti Nu'man berkata, "Kami melihat bahawa kami adalah termasuk orang yang paling mulia dan memiliki harta paling banyak, kemudian matahari belum sampai terbenam sehingga kami telah menjadi orang yang paling tidak memiliki apa-apa. Dan merupakan hak Allah swt bahawa tidaklah Dia memenuhi suatu rumah dengan kebahagiaan, kecuali akan mengisinya pula dengan kesedihan." Dan ketika seseorang bertanya tentang apa yang menimpanya maka dia mengatakan, "Kami pada suatu pagi, tidak mendapati seorang pun di Tanah Arab kecuali berharap kepada kami, kemudian kami di petang harinya pula tidak mendapati mereka, kecuali menaruh belas kasihan kepada kami."
Keluh Kesah Melipatgandakan Penderitaan...
Di antara ubat untuk menghadapi musibah adalah dengan menyedari bahawa keluh kesah tidak akan dapat menghilangkan musibah. Bahkan hanya akan menambah serta melipatgandakan sakit dan penderitaan.
Musibah Terbesar Adalah Hilangnya Kesabaran...
Termasuk ubat ketika tertimpa musibah adalah dengan mengetahui bahawa hilangnya kesabaran dan sikap berserah diri adalah lebih besar dan lebih berbahaya daripada musibah itu sendiri. Kerana hilangnya kesabaran akan menyebabkan hilangnya keutamaan berupa kesejahteraan, rahmat dan hidayah yang Allah swt kumpulkan tiga hal itu dalam sikap sabar dan istirja' (mengembalikan urusan kepada Allah).
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan