Hari ini bukan saja manusia sangat TAKSUB kepada artis, pemain bolasepak dan tokoh politik, bahkan di antaranya sangat TAKSUB dengan burung, kereta, jawatan, wanita, dan sebagainya. Seringkali taksub hingga rela berhabis-habisan, berkorban duit, tenaga, waktu, bahkan isteri pun sampai dibuatnya cemburu. Ini jenis TAKSUB yang tidak membawa hati kepada Allah.
Hubungan seorang murid kepada guru, atau anak buah kepada pemimpin bermula dengan ikatan ketaatan. Tanpa ketaatan, apalah gunanya seorang guru kepada seorang murid, apalah ertinya seorang pemimpin kepada para pengikut. Untuk mengikat perhubungan murid-guru atau pemimpin-pengikut mestilah dengan ketaatan. Tanpa ketaatan maka tidaklah akan berjaya pendidikan dan kepimpinan. Pentingnya ketaatan ini ditegaskan dalam firman Allah swt, “Hendaklah kamu melakukan ketaatan yang sesungguhnya kepada Allah, Rasul dan pemimpin di kalangan kamu” (QS An-Nisa:59).
Namun, dalam melaksanakan ketaatan ini, tidaklah boleh membuta tuli atau sembarangan. Islam memberi garis panduan sepertimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw iaitu, “Tidaklah boleh melakukan ketaatan kepada makhluk dalam apa jua perkara maksiat.”
Dalam hadis lain, Rasulullah saw menyatakan, “Sesungguhnya ketaatan kepada pemimpin itu hanyalah kepada kebaikan.” Selagi kita berpegang kepada hadis-hadis ini, maka tidak timbullah perkara yang bertentangan dengan Islam baik akidah, syariat ataupun tasawuf dalam melakukan ketaatan kepada guru atau pemimpin kita.
Ketaatan yang sedemikian pula boleh membawa kepada kecintaan. Adakalanya kecintaan datang dulu, baru kemudian lahirnya ketaatan. Terkadang sudah lama taat, baru datang cinta. Kalau taat sahaja tanpa cinta, boleh jadi taat itu ada kepentingan. Lahiriah sahaja taat, tapi hati mengkritik atau menolak. Lahiriah sahaja taat, tapi rupanya ada udang di sebalik batu. Pura-pura taat, tetapi ada benda lain yang di idamkan di sebalik ketaatan tersebut. Pura-pura taat semata-mata untuk mendapat habuan dunia.
Yang sebaiknya adalah orang itu taat atas dasar cinta. Dia buat sesuatu itu memang kerana dia cinta orang tersebut. Seperti seorang isteri yang taat kepada suami, melakukan apa sahaja yang diminta oleh suami sebagai pembuktian cintanya kepada suami.
“Tak kenal maka tak cinta”, sudah kenal, maka timbul kecintaan. Kecintaan itu datang atas banyak sebab. Salah satunya kerana faktor karisma pemimpin tersebut. Seterusnya, kerana guru atau pemimpin itu banyak berjasa kepada murid atau anak buahnya. Bila cinta sudah mendalam, maka di situlah ada pembuktian. Perkara ini adalah fitrah yang di dorong daripada hati orang yang mencintai. Seorang murid yang cinta kepada gurunya, dia sanggup berkhidmat kepada gurunya. Asalkan dia boleh berkhidmat kepada gurunya, di situ adalah kepuasan untuknya.
Keseronokan orang bercinta tidak bertepi. Ada waktu diberinya hadiah. Ada waktunya dikirim salam. Ada waktu, disebut-sebut namanya. Bahkan kerana cinta yang mendalam, orang-orang yang rapat dengan guru tersebut turut dicintainya. Ini termasuk ibubapa, adik-beradik dan anak-anak guru tersebut. Cinta seperti inilah yang membawa kepada ketaksuban.
Ditambah lagi, kecintaan seperti ini tidaklah terhenti setakat kepada guru itu sahaja. Sebenarnya, ia hanya sebagai wasilah atau transit membawa kepada kecintaan kepada Allah. Inilah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw yang membawa maksud, “hendaklah kamu bersama Allah, dan jika kamu tidak mampu melakukannya, bersamalah dengan orang yang bersama Allah (Arifbillah), nescaya dia akan membawa kamu sampai kepada Allah.”
Dalam hadis lain, Rasulullah saw menegaskan, “Hendaklah kamu dipimpin oleh orang-orangmu yang alim kerana sesungguhnya mereka adalah penghubung antara kamu dengan Robb”.
Kalaulah seorang alim itu boleh menjadi penghubung atau wasilah antara kita kepada Ilahi,mengapa tidak kita mengikat perhubungan dengan orang alim tersebut…? Moga-moga melaluinya, kita diterima dan diredhai Ilahi. Bahkan ikatan itu tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan ketaatan dan kecintaan yang bersungguh.
Kecintaan dan ketaatan atau disebut ketaksuban ini tidaklah sampai kepada tahap pemujaan kerana pujian dan pemujaan itu layak mutlak hanya kepada Allah swt sahaja. Orang yang faham tidak berbuat begitu. Jelas seperti dinyatakan dalam Al-Quran, ayat kedua dalam surah Al-Fatihah, “Segala puji dan puja itu hanyalah selayaknya untuk Allah, Robb pentadbir alam.”
Maknanya, ayat ini sudah sendirinya menjadi “pendinding” kepada orang orang-orang yang bercinta supaya tidak sampai kepada pemujaan kerana dilarang Allah swt.
Jikapun ada pujian, itu sebenarnya tidak lari daripada ajaran Islam. Ia termasuk dalam konsep “attahadasu binikmatillah” yakni menyebut nikmat Allah. Seorang yang berilmu dan kuat beragama dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, patut sangat disebut namanya dan diceritakan kelebihannya.
Ini dinyatakan dalam Al-Quran, firman Allah, “Maka nikmat Robb-mu hendaklah kamu sebutkannya.” (Ad-Dhuha:11)
Rasulullah saw sendiri memberitahu dalam satu maksud hadis Baginda saw, “menceritakan nikmat Allah adalah syukur dan tidak melakukannya adalah kufur. Dan barangsiapa yang tidak mensyukuri manusia, maka dia tidak mensyukuri Allah.” Hakikatnya memuji orang sebagai perantara nikmat Ilahi adalah mensyukuri anugerah Allah yang berlaku pada kita.
Adapun kecintaan bukan kepada orang Ilahi (Arifbillah), inilah yang sepatutnya dibimbangkan. Kecintaan seperti ini, jika tidak dijaga dan dipandu dengan ajaran Islam, tidak akan sampai kepada Allah. Bahkan, ia boleh membawa kepada kemaksiatan dan menyebabkan tergelincirnya seseorang daripada agama yang lurus. Kebanyakan kecintaan ini berlaku kepada orang yang jahil agama tanpa menafikan bahawa ahli agama juga turut terjerumus. Banyak terjadi “pemujaan” berlaku di kalangan muda-mudi terhadap ikon mereka dalam bidang hiburan, sukan dan fesyen. Apakah mereka ini patut dibiarkan sahaja…?
Di sinilah ramai orang tidak faham, dengan semudahnya menuduh orang yang taksub kepada guru atau pemimpin itu salah. Lebih berat lagi mereka sewenang-wenangnya menuduh orang seperti ini boleh membawa kesesatan. Sedangkan tidaklah menjadi kesalahan taksub itu kecuali taksub kepada pemimpin atau guru yang jelas tidak menepati aliran akidah ahlus sunnah seperti aliran rafidhiyah, murjiah dan jabariah.
Ataupun taksub kepada pemimpin atau guru yang secara terang-terangan tidak bersyariat seperti tidak bersolat atau tidak berpuasa. Bahkan mereka tidak sedar, orang yang belajar tanpa guru pun sebenarnya boleh membawa kesesatan kerana Sayyidina Ali kwh pernah menyebut bahawa orang yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah yang akan menjadi gurunya. Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan