Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.
Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan, “kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”
Imam Hasan Al-Basri ra pernah berkata, “Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.
Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah swt dan dengan bantuan-Nya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.
Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.
Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.
Sheikh Abdul Qadir Isa ra berkata, “Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan.” (Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235)
Firman Allah swt, “…dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al-Kahfi: 28)
Imam Qatadah ra berkata berkenaan dengan ayat ini, “Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…” (Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85)
Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini, “Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya”.
Firman Allah swt lagi, “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” (Surah Al-Hasyr: 18)
Maksud ayat tersebut ialah, Allah swt menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, sama ada ia suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.
Rasulullah saw bersabda, “Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…” (At-Tirmizi dan Ibn Majah).
Maksud perkataan “daana nafsahu” dalam hadis tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.
Imam Az-Zarruq ra berkata, “Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut.” (Qawa'id At-tasawwuf m/s 75)
Sheikh Abdul Qadir Isa ra berkata, “Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah swt, makhluk-makhluk-Nya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah swt. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia.”
Jenis-jenis Muhasabah Diri
Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.
Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu
Maksudnya ialah seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, sama ada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.
Al-Hasan berkata, “Allah swt merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah swt, maka dia meninggalkannya.”
Seterusnya, jika kita pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah swt dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah kita pastikan, adakah kita mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika kita tidak mampu lakukan keseorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.
Jika kita mampu melakukan perbuatan tersebut, maka kita perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.
Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong kita melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah swt, ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.
Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah swt, maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah swt untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah swt.
Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu
Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:
Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah swt dalam ketaatan.
Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ia dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.
Ketiga: Memerhatikan semula, niat dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah swt, maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah swt, kerana membantu kita dalam ketaatan kepada-Nya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah kita meminta ampun kepada Allah swt daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.
Kesimpulannya, muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah swt. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekeliling kita adalah untuk menyempurnakan kehambaan kita. Itulah interaksi Allah swt kepada kita melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuan-Nya.
Semoga Allah swt berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita dan agar kita dapat mencontohi Rasulullah saw dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda saw dengan Allah swt.
Wallahu a’lam…
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan