“Kamu pinjam beras dari Makcik Minah dua kilo nak!” Begitu perintah ibu yang hampir setiap minggu ketiga, setiap bulan saya dengar. Beras yang dibeli ayah setiap bulan memang tidak cukup untuk menyara tujuh orang anaknya. Makcik Minah, jiran yang tinggal sekitar 50 meter dari rumah kami, adalah salah seorang jiran, tempat kami meminjam beras.
Pakcik Kassim, suami Makcik Minah bekerja satu pejabat dengan ayah kami. Bezanya, Pakcik Kassim secara ekonomi, keadaannya jauh lebih baik daripada kami. Saya sendiri, sebenarnya terlalu ingin untuk mengetahui urusan perekonomian orang tua. Yang saya mengerti satu, jika ibu menyuruh saya untuk pergi ke rumah Makcik Minah, bererti tong tempat ibu menyimpan beras sudah kosong.
Makcik Minah bukan satu-satunya jiran tempat kami meminjam beras, tempat ke mana saya membawa beg kecil yang sudah usang sebagai bekas mengisi beras. Nenek Fatimah, perempuan tua yang biasa melintasi depan rumah kami bila beliau ke surau, yang tidak jauh dari tempat kediaman Makcik Minah juga tidak ketinggalan.
Walaupun waktu itu saya masih kecil, saya merasakan lebih ‘selesa’ jika pinjam beras dari rumah Nenek Fatimah. Itu kerana saya hampir setiap hari dapat bermain, tepatnya kerja sambilan di rumah beliau. Saya setia memberi tunjuk ajar membaca, menulis, mengira, mengambil foto, atau apa sajalah kepada cucu-cucu Nenek Fatimah yang tidak kurang dari 10 orang jumlahnya.
Saya mendapat imbuhan atas kerja ‘sampingan’ tersebut. Nenek Fatimah adakalanya menyuruh saya untuk memijak kakinya yang sudah berkedut di makan usia. Langkah-langkah kaki beliau tidak lagi lincah. Sambil berjalan membongkok, Nenek Fatimah meminta bantuan saya “Lenguh nak. Tolong pijak kaki Nenek Timah ya?” Saya mengangguk setuju.
Cucu Nenek Fatimah tinggal di tiga rumah yang bersebelahan dengan rumah beliau. Masing-masing di belakang, dan di sebelah kiri rumahnya. Setiap hari saya hampir harus selalu bergiliran berkunjung ke tiga rumah tersebut. Nenek Fatimah dan anaknya tergolong orang sedikit berharta. Pemergian saya ke sana setiap hari, sejauh pengetahuan saya, juga diharapkan. Bahkan akan ditanya jika sehari saja tidak muncul.
Sekalipun anak Nenek Fatimah seorang guru sekolah menengah, ironisnya, saya yang waktu itu berumur sekitar 12 tahun yang mengajar anak-anaknya.
Subhanallah!. Saya secara peribadi, rasanya tidak memikirkan waktu untuk belajar buat diri sendiri. Ibubapa saya juga tidak pernah mananyakan, “Kamu sudah belajar, nak?”
Di sekolah, saya sering membantu rakan-rakan yang ‘malas’ untuk membuat kerja rumah mereka. Dengan membantu menuliskannya, saya mendapatkan upah, sama ada ia berupa duit, makanan ringan, hinggalah kepada peralatan sekolah seperti buku, pensil atau pen.
Pendeknya, dengan cara begitu, saya tidak perlu risau dengan wang saku yang nyaris tidak saya terima dari ibu setiap harinya. Bagaimana mungkin saya boleh mengharapkan wang saku, jika untuk keperluan makan sehari-hari di rumah pun sentiasa tidak berkecukupan?
Nenek Fatimah dan ketiga-tiga anaknya sering memberi saya makanan untuk saya bawa pulang ke rumah. Entah kenapa, dari hasil pemberian tesrsebut, saya tidak merasa malu. Nasi, sayur, roti atau apa saja yang boleh dimakan seringkali saya bawa ke rumah. “Ini kamu bawa pulang nanti nak!” Kata Nenek Fatimah yang menganggap saya tiada bezanya dengan cucu-cucu beliau.
Andai ada nasi yang sudah basi pun saya tidak menolak, kerana ibu boleh keringkan, kemudian dibuat sarapan pagi. Subhanallah!
Melihat ‘keindahan’kehidupan waktu itu, nasi basi yang dikeringkan, ditanak lagi, diberi sedikit kelapa dan garam, nikmat rasanya. Itulah barangkali kurniaan Allah yang tidak diberikan kepada semua orang, kecuali yang miskin seperti kami barangkali.
Saya tidak tahu bagaimana menggambarkan kesukaran ibubapa membiayai yuran sekolah kami waktu itu. Setiap hari saya harus berjalan kaki lebih dari 6 km untuk berulang-alik ke sekolah, kecuali jika ada beca yang dapat saya tumpang.
Kasut sekolah yang saya pakai acapkali bekas seragam salah seorang kakak saya yang ikut membantu meringankan beban ibubapa kami. Tiga dari sepuluh anggota keluarga kami, termasuk ibu, bekerja sambilan menenun songket di salah satu rumah jiran kampung kami.
Dari situ akhirnya saya juga pandai menjahit, setidaknya pakaian saya yang koyak. Bukankah Rasulullah saw juga menjahit sendiri pakaian Baginda saw? Sayangnya, perusahaan tersebut tidak dapat kekal lama di kampung kami, ia pun berpindah ke pusat bandar. Ini yang membuat kakak-kakak saya tidak ingin meneruskan pendidikan mereka. Dua orang kakak saya hanya sanggup sampai ke tahap SPM. Seorang lagi hingga ke tahap Diploma. Saya sendiri yang mulai masuk sekolah menengah ketika itu tidak tahu dari mana datangnya duit untuk membiayai pengajian, atau bagaimana ibubapa saya mengusahakannya. Ditambah dengan dua orang adik lagi yang masih kecil.
Seringkali saya tidak tidur di rumah kerana memberikan tutor di beberapa tempat tadi. Saya sendiri waktu itu tidak mengerti apakah ini namanya tuisyen. Yang penting, saya akan mendapat upah dari mengajar anak-anak kecil di sana-sini.
Saya juga mengajar ibu saya yang buta huruf. Subhanallah! Ibu akhirnya dapat membaca, walaupun tulisan yang dibaca mesti ditulis besar-besar. Dan tandatangan beliau pun saya yang mengajarkannya. Saya ‘bangga’ dapat memberikan sedikit ‘sumbangan’ untuk ibu kami.
Yang menguntungkan adalah, rumah kami dekat dengan balairaya. Pakcik Daud, ketua kampung kami seperti tidak keberatan untuk saya memanfaatkan balairaya desa tersebut untuk mengajar anak-anak. Padahal waktu itu, saya juga masih kanak-kanak. Di sana, kebetulan ada papan hitam dan kadang-kadang juga kapur. Saya gunakan kesempatan baik ini. Jadilah saya ‘guru kecil’.
Bilamana Ramadhan tiba, kami gembira sekali. Entah ada makanan atau tidak, puasa di kampung melahirkan perasaan yang tersendiri. Puasa pun bukan menjadi halangan bagi saya untuk mencari kayu di hutan. Waktu itu belum ada larangan bagi kami untuk mencari kayu disana. Yang pasti, kami tidak mencari kayu jati, cengal atau meranti yang dimanfaatkan untuk membina rumah atau perabot. Kami mencari kayu kering kecil-kecil untuk menghidupkan api dapur. Saya tahu ibu tidak mampu membeli minyak tanah setiap hari.
Saya masih ingat ketika pertama kali mencari kayu, ketika berusia 10 tahun, ingin menangis rasanya, kerana tidak tahu bagaimana harus menebang pokok. Dengan golok kecil yang tidak tajam ditangan, saya cuba meniru sepertimana yang dilakukan teman-teman. Pada akhirnya dapat juga saya melakukannya, sehingga pernah suatu ketika, halaman depan rumah yang luasnya kira-kira 40 meter persegi, penuh dengan kayu bakar. Sekali lagi, saya bangga dapat memberikan ‘sumbangan kecil’ ini buat ibu saya.
Saya benar-benar tidak mengerti apa erti cinta ibubapa terhadap anaknya waktu itu. Setiap pagi yang saya dengar “Tidak bangun lagi kamu?”. Kemudian saya dengar “Blakkkk…!”, Ibu membuka jendela, yang membuat kami terjaga kerana kedinginan. Saya biasa tidur di anjung rumah sahaja.
Tempat tinggal kami tidak jauh dari hutan, sekitar 3 km. Pagi hari sesudah solat Subuh, suasana terasa segar, petani sudah banyak yang lalu-lalang pergi ke sawah. Ramai juga yang mulai menuju ke pasar mencari lauk dapur. Sementara ibu pula menyiapkan sarapan buat kami, jikapun ada.
Bila kami tidak melipat kain selimut, ibu bertanya “Siapa yang kamu fikir akan melipat selimutmu?”, sebuah pertanyaan yang amat menyentuh rasa tanggungjawab kami. Demikian halnya jika sesudah makan lantas kami tidak mencuci pinggan, “Kamu fikir siapa nanti yang akan mencuci pinggan tersebut?” Subhanallah! Kami yang masih anak-anak waktu itu tidak menyedari bahawa kelak, itu semua amat membantu diri kami sendiri menjadi orang yang harus bertanggungjawab terhadap apa yang kami perbuat, hanya belajar dari rutin melipat selimut dan mencuci pinggan di waktu kecil !
Ibuku sangat kurus waktu itu, entah kerana kekurangan makanan atau terlalu banyak memikirkan kami, atau kedua-duanya. Sementara kami berada di sekolah, agaknya ibu berjalan ke sana kemari, mungkin mencari hutang atau sekadar membantu jiran-jiran kami yang memiliki kebun, untuk mendapatkan sesuap makanan buat anak-anaknya. Saya tidak tahu. Bila ada makanan lebih, ibu biasanya juga kata, “Jangan dihabiskan, ingat yang lainnya!” Maksudnya ingat adik beradik lainnya yang berjumlah tujuh orang. Saya merasakan, jadi orang miskin itu akan ‘jauh’ dari saudara, teman, bahkan ‘kenikmatan’ dunia.
Ketika saya diajak ke kantin di pejabat ayah, ternyata beliau tidak membayar tunai makanan kami, tapi hutang. Subhanallah! Bapa ku, hanya kerana ingin menyenangkan hati anaknya, harus berhutang di kantin tersebut.
Kami tidak sendirian dilanda kemiskinan waktu itu. Masih banyak keluarga-keluarga lain yang mungkin jauh di bawah kami tingkat penderitannya. Rumah kami memang using, tapi itu warisan yang diberikan kepada ibu dari nenek beliau.
Ramadhan ini adalah puasa keempat belas ibu kami tidak dapat ikut menikmatinya. Beliau sudah pulang ke Rahmatullah. Bapa mendahului beliau jauh sebelumnya. ” Bangun, sudah hampir Imsak!” Begitu suara ibu yang hampir setiap hari kami dengar dikala Ramadhan tiba, padahal belum tentu ada makanan yang buat ukuran sekarang ‘layak’ kami makan. Begitu seringnya ibu sedikit sayu bila aku bertanya, “Makan apa nanti?”. Sehingga makan nasi dan garam atau ubi rebus saja, bukan asing bagi kami. “Aku akan cari pucuk paku !”, kadangkala saya tawarkan khidmatku pada ibu sekiranya tidak ada sayur. Maksud saya adalah, pucuk-pucuk paku liar yang ada di kebun orang lain itulah yang saya cabut. Astaghfirullah! Sekiranya perbuatan ini disebut mencuri, saya memohon ampun kepada-Mu ya Allah atas segala kekhilafan hamba-Mu yang kala itu didera kemiskinan!
Walaupun kefakiran, sebagaimana sabda Rasulullah saw, boleh membawa kekufuran, mencuri kayu di hutan, hutang yang belum tentu dilunaskan tepat waktu, mencuri pucuk paku di kebun…..adalah buah dari kemiskinan ini, sekarang saya dapat merasakan, betapa kemiskinan waktu itu ternyata juga ‘indah’.
Orang hanya akan dapat menikmati dan mensyukuri besarnya nikmat dan kurniaan Allah swt sesudah menganyam kemiskinan. Apakah kerana alasan tersebut, Rasulullah saw lebih memilih kemiskinan dibandingkan menjadi raja yang kaya raya? Apakah kerana hikmah di sebalik kemiskinan yang besar inilah, sahabat-sahabat Rasulullah saw memilih menjadi melarat? Subhanallah!
Adakah ibu dan bapa ku di alam Baqa` sana mengerti rahsia di sebalik semua ini? Bahawa kemiskinan kami dulu yang membuat saudara tidak dekat, teman jadi jauh, keindahan dunia menjadi mahal, ternyata buahnya begitu indah? Berbahagialah orang yang dapat belajar kehidupan ini dari kemiskinan…
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan