Popular Posts

Khamis, 9 Jun 2011

INDAHNYA POLIGAMI...


Berpoligami mudah dilaksanakan jika lelaki dan wanita benar-benar faham akan perlaksanaannya dalam Islam. Poligami adalah hukuman yang datang daripada Allah untuk umatnya supaya masyarakat hidup aman damai dalam institusi keluarga. Hukuman yang Allah turunkan memang sudah cantik dan lengkap namun lelaki dan wanita tidak berjaya melaksanakannya dengan baik.

Poligami ini diibaratkan sebuah projek yang melibatkan seorang lelaki dan 2 atau lebih orang wanita sebagai ketua dan ahli yang dinamakan Projek Rumahku Syurgaku. Oleh itu, perlulah ada persefahaman iman, akal dan nafsu semasa hendak menjayakan projek ini.

Apabila salah seorang ahli ataupun ketua menyalahgunakan salah satu daripada iman, akal dan nafsu, maka projek ini tidak berjaya. Sebaik-baiknya bagi menjayakan projek ini sebagai projek yang cemerlang di dunia dan akhirat, iman dan akal perlu mengawal nafsu.

Berpoligami memang dibenarkan oleh Allah kepada lelaki dalam surah an-Nisa ayat 3 "Nikahilah oleh kamu wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga, ataupun empat. Tetapi, jika kamu bimbang tidak akan dapat berlaku adil, maka nikahilah seorang sahaja ataupun kamu nikahi budak-budak (hamba) yang kalian miliki. Hal itu adalah lebih dekat pada sikap tidak berbuat aniaya.”


Sebuah sketsa kehidupan…  


MUSLIMAH: Ustaz, Suami saya ingin berpoligami ustaz, apa kurangnya saya ustaz sehingga dia hendak berpoligami lagi. Tidak cukup satu, dia hendak tambah isteri pula?

USTAZ: Tujuan berpoligami tidak semestinya hendak menunggu kekurangan isteri baru boleh berpoligami. Antara tujuan murni berpoligami adalah suami hendak ikut apa yang Allah anjurkan di dalam Quran. Sebab hendak tegakkan sunnah Rasulullah saw. Sebab hendak ikut tradisi orang soleh.

MUSLIMAH: Tapi ustaz, yang ini hendak ikut sunnah, yang lain tidak pula ikut.

USTAZ: Yang dia sembahyang, puasa itu bukankah bermakna dia sudah ikut sunnah! Apabila dia menutup aurat, menuntut ilmu, berniaga itu juga ikut sunnah. Jadi jangan mudah-mudah cakap suami tidak ikut sunnah. Jadi apabila dia hendak tegakkan sunnah poligami ini, itu tidak sepatutnya kita halang.

MUSLIMAH: Yalah ustaz, masalahnya bolehkah dia adil?

USTAZ: Jangan kita sebut soal adil dahulu, sebab kita tidak tahu lagi. Sepatutnya kita berbaik sangka dengan Allah, moga Allah beri kekuatan kepada suami kita menjadi orang yang adil. Selepas itu, tugas kita pula membantu suami menjadi adil. Bukan kita main lepas tangan. Mungkin kita hendak tutup kelemahan kita, kita tuding jari suami tidak adil, sedangkan dia belum lagi berpoligami, tetapi kita sudah label dia sebagai tidak adil dalam berpoligami. Sebaik-baiknya, kita menyebut kita lemah dan tidak mampu hendak berpoligami daripada terus menghalakan kerisauan kepada suami. Sepatutnya kita halakan pada diri, masalah aku bagaimana? Seperkara yang kita perlu ingat, soal adil ini, ada seorang isteri kena adil. Dua isteri pun kena adil. Soal adil ini luas dan tidak perlu tunggu poligami baru timbul soal adil.

MUSLIMAH: Bukan apa ustaz, saya sayang sangat pada dia. Tidak tergamak saya hendak lepaskan dia pada orang lain.

USTAZ: Saya hendak betulkan sedikit. Bukan lepaskan terus. Ia sekadar berkongsi kasih sayang. Kalau dulu kita seorang sahaja yang menyayanginya atas nama isteri. Tetapi kali ini sudah ada orang lain, yang juga menyayanginya atas nama isteri. Saya hendak tanya, apa erti sayang? Sayang ertinya pengorbanan. Jangan sebut sayang ataupun cinta selagi tidak berkorban. Sanggupkah kita mengorbankan kasih kita itu? Kalau boleh, barulah bermakna sayang kita itu.

Seperkara lagi, erti sayang itu ialah apabila kegembiraan dia juga menjadi kegembiraan kita. Kesedihan dia pula menjadi kesedihan kita. Sepatutnya hati kita selari dengan suami kita. Kalau suami kita hendak berpoligami, tumpang gembiralah. Itu kesukaan suami kita dan syariat pun membenarkannya. Tetapi saya tidak menafikan, perkara yang lain mungkin senang. Tetapi bab ini susah sedikit.

MUSLIMAH: Saya bimbang ustaz, dengan isu yang digembar-gemburkan dalam akhbar berkenaan lelaki yang berpoligami menganiaya isteri.

USTAZ: Jangan sebut begitu, sekali lagi ditekankan di sini, berbaik sangkalah dengan Allah. Jangan kita samakan nasib kita dengan orang lain. Bergantung haraplah pada Allah swt. Yakinlah kita dengan Allah swt, Dia yang menentukan segalanya. Oleh itu, mintalah kebaikan daripada Dia. Tambahan pula, kisah rumah tangga porak-peranda tidak semuanya berlaku dalam poligami. Yang tidak berpoligami pun biasa kita dengar, porak-peranda juga. Tinggal lagi, akhbar memang suka highlight yang poligami sahaja. Bahkan banyak kes yang tidak berpoligami di mana suami menganiaya isteri. Ini tidak pula dipaparkan.

MUSLIMAH: Dengan saya seorang pun, dia susah ustaz. Jadi macam mana pula hendak poligami, tidakkah nanti lagi susah hidup dia.

USTAZ: Itulah yang disebutkan tadi, segalanya daripada Allah. Adakah semasa mula-mula puan kahwin dengan dia dulu, puan berfikir tentang hidup susah selepas kahwin? Mestilah tidak, tetapi atas dasar yakinlah, puan serta suami boleh hidup senang. Segalanya ketentuan Allah. Rezeki itu daripada Allah. Ibu-ibu boleh melahirkan anak, kerana mereka yakin rezeki Allah pada anak-anak. InsyaAllah, ada rezeki untuk orang yang berpoligami.

Sejarah juga membuktikan sahabat-sahabat dan para tabiin berpoligami tetapi mereka tidaklah mati kebuluran kerana berpoligami. Susah senang ini bukan pada ukuran poligami. Ada yang isteri seorang pun merempat juga. Sebaliknya ada juga yang isteri 4, boleh hidup senang. Tidak perlu tunggu suami gaji RM10,000. Memang Allah sudah janjikan sebegitu.

MUSLIMAH: Baiklah ustaz, tetapi apapun dia kena minta izin saya dahulu. Saya isteri pertama dia, kalau saya tidak izinkan, mana boleh dia poligami.

USTAZ: Itu undang-undang syariah negeri tetapi tidak ada disebut pun dalam Quran mahupun Hadis. Soal keizinan tidak timbul sebab dalam Quran, Allah sudah izinkan. Rasulullah pun sudah izinkan, malah diamalkannya pula. Jadi, siapa kita? Takkan kita pula tidak izinkan? Siapakah kita hendak mempersoalkan hukum yang Allah sudah tetapkan? Boleh nampak ataupun tidak?

MUSLIMAH: Memang berat ustaz. Baiklah saya mengaku saya tidak mampu menghadapi semua ini.

USTAZ: Sebenarnya inilah jalan untuk wanita seperti puan meningkatkan darjat puan. Jika setakat ada suami dan puan pun pergi kerja balik kerja, mungkin hidup puan tidak ada banyak ujian dan cabaran. Tetapi apabila berpoligami, puan kena banyak mujahadah. Maksudnya ada ujian. Puan ada rasa tercabar. Puan perlu banyak bersabar. Di sinilah peningkatan untuk puan, insya Allah. Mana yang lebih besar, suami puan ataupun peningkatan puan di sisi Allah? Di sini baru terserlah kebaikan poligami sebab ia satu cara hendak meningkatkan takwa. Jika dengan ibadah mungkin prosesnya lambat. Tetapi dengan poligami, ia menjadi cepat.

MUSLIMAH: Terima kasih ustaz. Berikanlah nasihat akhir ustaz pada saya.

USTAZ: Fikirkanlah mengapa puan boleh jadi sebegini terseksa hatinya kerana isu poligami? Sebabnya ialah, bagi puan, suami itu adalah segala-galanya. Itu perlu diubah. Suami bukan segala-galanya. Sebaliknya, Allah adalah segala-galanya. Ketahuilah kita, selama ini kita sudah membesarkan perkara yang kecil. Suami itu sekadar hadiah daripada Allah untuk kita. Dia boleh datang dan pergi dalam hidup kita. Tetapi jangan sampai Allah kita pinggirkan ataupun kita kesampingkan. Jika tidak berlaku poligami, kita tidak nampak perkara ini. Usahakan supaya kita kuat dengan Allah,  insyaAllah nanti kita akan kuat menghadapi urusan dunia seperti poligami. Berdoalah pada Allah dengan doa ini,

"Ya Allah! aku mahukan redha-Mu. Seandainya dengan poligami ini aku akan mendapat redha-Mu, aku bersedia. Namun, aku lemah ya Allah, aku tidak mampu. Kau bantulah aku ya Allah bagi menghadapi poligami ini. Bantulah aku supaya aku berbaik-baik dengan maduku. Dan bantulah aku untuk sentiasa dapat menyenangkan suamiku. Juga, bantulah suamiku untuk menjadi kuat dengan-Mu ya Allah, moga-moga dengan itu, dia dapat berlaku adil kepada isteri-isterinya. Moga-moga dengan itu, kami sekeluarga mendapat kebahagiaan yang hakiki daripada-Mu."


Moga bermanfaat…

JAGALAH HATI….
Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan