Popular Posts

Jumaat, 17 Jun 2011

KENAPA PERLU BERKELUH KESAH...?



“ Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. Kecuali orang–orang yang mengerjakan sholat “. (QS. Al – Ma’arij : 19 – 22).


Musibah yang menimpa orang -orang beriman adalah bentuk kasih sayang dari Allah swt. Sama ada berbentuk kemalangan, kepapaan, kematian atau seumpamanya. Dengan musibah ini, Allah secara langsung atau tidak langsung menegur hamba-Nya yang beriman agar memperbaiki keimanan serta memperkemaskan ibadahnya. Ini merupakan satu isyarat agar hamba-Nya sentiasa bersedia daripada terjerumus jauh daripada kebenaran. Maka dengan itu selayaknya kita mensyukuri musibah tadi dengan redha bukan berkeluh kesah apa tak lagi menyalahi ketentuan Allah.


Dalam keadaan ditimpa musibah ada baiknya kita sentiasa istiqamah dengan peraturan dan kaedah yang telah ditetapkan oleh Allah. Ada beberapa pendekatan dalam menangani maslaha keluh kesah di antara adalah seperti berikut:


1. Jika takdir kita buruk, berlarilah menuju takdir yang baik.


Tiada siapa tahu suratan nasib yang melingkari perjalanan hidup di dunia ini. Susah senang silih berganti menjadi lumrah alam. Tiada kata putus untuk memahami takdir. Tidak akan mampu akal manusia mencapai rahsia Allah itu. Hikmahnya adalah supaya kita tidak melampau dalam kesombongan. Ada masa sihat, kadang kala jatuh sakit, kaya sebentar lalu miskin tiba-tiba. Ketika berkuasa beringat suatu hari nanti kerajaannya akan jatuh ke tangan orang lain.


Semua berputar dalam genggaman Allah supaya kita tahu kita tidak mampu mencabar kuasa-Nya. Maka diciptakan manusia dalam keadaan tidak mengetahui takdir dirinya sendiri. Kita serba lemah dan jahil. Supaya manusia sentiasa berharap kepada Allah dan memohon di kurniakan nasib yang baik dan berusaha berlari daripada takdir buruk menuju takdir baik. Allah tidak akan menolong sesiapa yang tidak mahu menolong dirinya sendiri. Jadi, tiada alasan bagi seorang Muslim menyerah kepada nasibnya. Jangan salahkan takdir, kerana perjalanan hidup anda belum selesai dan ia sudah tertulis di Luh Mahfuz.


Seperti kata-kata hikmah yang dilontarkan Umar Al-Khattab mengenai takdir manusia, “Sesungguhnya kita berlari daripada takdir buruk kepada takdir yang baik.” Semua itu rahsia Allah. Kita masih mampu mengubah keadaan buruk menjadi baik atas izin Allah.


2. Lonjakkan tenaga positif dalam diri. Kejayaan hanya diperolehi selepas kita mengalami tekanan.


Semakin tertekan, semakin kuatlah usaha untuk keluar daripada tekanan itu. Begitulah kehidupan, setiap manusia memiliki tenaga positif yang melayakkannya tetap bertahan mengharungi mara bahaya.


Tenaga positif itu mengubah seseorang yang tidak dikenali menjadi orang ternama. Ia berada pada jiwa orang yang lahir di tengah mangsa kemiskinan kemudian memberi kekuatan pada seluruh jiwa raganya hingga mampu melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan yang diwarisi turun temurun.


Tenaga positif itu seolah-olah bisikan Ilahi yang mengusik air mata taubat penjenayah yang pekak telinga mereka daripada mendengar nasihat orang mulia lagi warak. Jika manusia sudah kehilangan tenaga positif itu, seolah-olah dia menjadi mayat sebelum dicabut rohnya.


Hidup tidak berguna sama sekali, ada dan tiadanya tidak memberi kesan kepada alam maya ini.



Apabila kita memiliki tenaga positif ini, berbahagialah orang di sekeliling kita. Mereka rasa selesa berdampingan dengan kita. Adaptasi sosial yang kita jalinkan begitu indah dan kemas, jauh daripada penyimpangan yang menyakitkan hati. Begitulah gambaran seorang mukmin menerusi sabda Baginda saw yang bermaksud: “Mukmin yang terbaik adalah yang paling bermanfaat untuk orang lain.”


Seperti seorang bapa yang memegang tangan anaknya dengan lembut, matanya yang redup menitipkan semangat positif ke jiwa si anak, ibunya pula mengungkapkan bahasa indah mengandungi hikmah dan nasihat mengiringi langkah kecil anaknya menghirup khazanah ilmu.


Seperti seorang yang sakit dan diramal tidak akan dapat disembuhkan lagi, tenaga positif itu membangunkan jiwanya yang masih menyimpan kekuatan untuk menghabiskan sisa hidup dengan amal yang bermanfaat bagi orang lain. Setiap saat menjadi peluang untuk memperbaiki hubungannya dengan Allah dan manusia di sekelilingnya.



Sesungguhnya, tenaga positif itu berasal daripada kuasa Allah yang membuka mata hati kita sehingga mampu melihat hikmah kebaikan di bawah tompokan ujian kehidupan. Membuat kita mampu tersenyum, memujuk hati yang luka dan melupakan rasa sakit yang menghiris kalbu.


Rasulullah saw pernah memohon kepada Allah supaya diberi tenaga positif yang berasal daripada Nur Allah. Dalam doa Baginda saw memohon kepada Allah supaya menghapuskan kesedihan Baginda saw kerana penghinaan dan kekejaman yang dilakukan penduduk Taif.


Baginda saw berdoa supaya hilang segala kesedihan dan rasa putus asa:


“Aku berlindung kepada Nur wajah-Mu yang mulia yang memberi cahaya kepada langit dan bumi dan yang menyinari segala yang gelap-gelita. Dan menjadi baik kerananya segala urusan dunia dan akhirat.”


Jika hati sudah diterangi cahaya Allah, serta merta kekuatan itu bangkit dan menghidupkan jiwa raga kita, jadi tiada alasan untuk berserah kepada nasib yang tidak pasti. Ambillah sedikit masa dan kita sudah pasti memberi keceriaan kepada seseorang atau mungkin mengubah hidup mereka kepada yang lebih baik, Insya Allah.

Wallahu`alam.


Jagalah Hati…


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan