Lumrah kehidupan manusia tidak akan sunyi daripada ujian dan cabaran. Bahkan memang hidup kita ini hakikatnya adalah suatu medan ujian besar. Ia seperti dinyatakan dalam al-Quran yang maksud-Nya, “Dialah Robb yang mencipta hidup dan mati untuk menguji kamu siapakah di kalangan kamu yang lebih baik amalannya” (QS al-Mulk: 2)
Oleh sebab itu, cabaran dalam bentuk pelbagai masalah dan krisis akan terpaksa dihadapi meskipun oleh seorang hamba Allah dan masyarakat yang soleh dan baik agamanya.
Pada masa yang sama, kita diajar oleh ulama bahawa setiap musibah dan masalah yang menimpa harus menjadi ruang untuk kita bermuhasabah diri. Memeriksa dan meneliti kalau-kalau masalah yang muncul adalah akibat kesilapan dan kealpaan kita sendiri.
Kebelakangan ini ketenangan dan ketenteraman kita agak terganggu dengan pelbagai isu yang lazimnya tidak wajar menjadi terlalu besar dalam sebuah masyarakat beragama dan maju seperti kita. Isu-isu yang kita maksudkan adalah bermacam-macam gejala sosial dan jenayah, di samping suhu pertembungan politik yang panasnya melebihi tahap biasa.
Walaupun kita redha menerima semua ini sebagai ujian Ilahi, kita juga patut menganggap semua ini sebagai isyarat untuk menilai semula keberkesanan, ketepatan pendekatan dakwah dan tarbiah keagamaan yang dihayati dalam masyarakat.
Melihat tahap gejala sosial dan moral dalam negara kita, mungkin ada yang belum tepat dan perlu dipertingkatkan dalam pendekatan Islamisasi kita.
Kita tahu bahawa Islam sebagai agama dan cara hidup seharusnya sangat berkesan untuk membentuk generasi dan masyarakat yang perkasa. Jika silapnya bukan pada Islam, maka mungkin kurangnya adalah kegagalan kita sendiri menepati acuan dan manhaj (pendekatan) sebenar yang pernah diamalkan oleh generasi Salaf dan Khalaf yang terbukti berjaya.
Sirah dan sejarah dipenuhi dengan catatan kejayaan risalah Islam dalam merubah kejahilan kepada ilmu, kasar kepada sopan, khianat kepada amanah dan seumpamanya. Apabila Islam difahami dan dihayati bertepatan dengan acuan dan manhajnya yang murni.
Hakikatnya, acuan dan pendekatan sebenar risalah Islam mempunyai ciri-ciri khusus yang mesti dipenuhi jika kita ingin menghasilkan citra keagamaan yang bertenaga, bersemangat dan segar-menawan bukannya yang kasar, kering-gersang ataupun lesu. Ciri-ciri khusus manhaj Nabawi inilah yang harus kita temukan, teliti dan hayati semula.
Antara ciri utama citra keagamaan Nabawi adalah nilai rahmat, kasih sayang dan cinta. Dalam manhaj Nabawi Muhammadi saw, sifat rahmat dan cintalah yang ditekankan dan diutamakan dalam hubungan antara Allah swt dan makhluk, antara Rasulullah saw dan umat, antara sesama Islam dan juga sesama insan.
Dalam hadis yang sangat masyhur, Rasulullah saw bersabda, “Orang-orang yang kasih-mengasihi akan dikasihi oleh Robb yang Maha Pengasih, kasihilah penduduk di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh penduduk langit” (riwayat al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi)
Hadis ini amat diberi perhatian oleh para ulama. Sehingga sebahagian mereka membiasakan membacanya sebagai hadis pertama yang mereka baca secara musalsal dalam mana-mana majlis pengajian sehingga hadis ini dikenali sebagai hadis Musalsal bil Awwaliyyah (Musalsal Permulaan).
Menurut Imam al-’Iraqi, hadis ini diutamakan dari hadis-hadis lain dalam periwayatan hadis bagi para penuntut ilmu untuk mengajar. Juga memberitahu mereka bahawa ilmu itu terbina di atas sifat kasih sayang dan saling menyayangi, bukannya di atas permusuhan, pertengkaran dan pertelagahan.
Islam merupakan agama berkasih sayang. Bukannya agama yang kasar dan gersang dari kasih sayang terutamanya di antara Allah dan hamba-Nya. Hubungan di antara Allah dan orang-orang Islam bukanlah hubungan kepatuhan atau ketaatan kepada kehendak Allah semata-mata dan secara paksaan tetapi lebih kepada hubungan kasih dan cinta yang suci.
Inilah yang tergambar dalam firman Allah swt, “Tanyalah (wahai Muhammad saw), milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi? Katakanlah: (Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat” (QS al-An’aam: 12)
Bahkan, semboyan Ilahi yang tertulis di atas Arasy-Nya berbunyi: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku (azabKu). (Sahih al Bukhari, Kitab Bad’ al Khalq, dan Kitab Tauhid)
Di ketika yang lain, Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah kalian beriman sehinggalah kalian saling menyayangi”. (riwayat al-Hakim dan al-Tabrani).
“Kasihilah orang lain, nescaya kamu akan dikasihi, maafkanlah orang lain nescaya kamu akan dimaafkan”. (Sheikh Muhammad Abdul Baqi al Laknawi).
Tidak sekadar itu, penekanan atau keutamaan aspek kasih sayang sebagai suatu keutamaan dalam Islam juga dapat dilihat dalam pelbagai suruhan-Nya yang lain.
Di antaranya, Islam menyuruh memulakan setiap amal yang baik dengan bacaan Basmalah iaitu dengan nama Allah, al-Rahman dan al-Rahim bagi mengajar umat manusia supaya mengutamakan sifat kasih sayang dalam setiap perkara, selain daripada untuk meraih keberkatan.
Apa yang wajar dikesali, tanpa disedari, citra Islam yang kita garapkan hari ini, sama ada dalam bentuk kata-kata, perbuatan, polisi, slogan atau motto tampak gersang daripada rahmat dan kasih sayang. Sehingga akhirnya ia menjadi suatu yang asing dan jauh daripada hati-hati manusia.
Akibatnya, ikatan ketaatan dan kepatuhan sekadar berlegar di tahap akal dan faham tanpa sampai dirasai hangat, segar dan manis di dalam hati dan perasaan.
KeIslaman dan perasaan beragama di tahap ini sudah pasti tidak akan cukup kukuh untuk menghadapi pelbagai serangan musuh-musuh iman, zahir dan batin.
Akhirnya, walaupun tidak sedikit wang ringgit dan masa kita habiskan, pelbagai dasar dan program yang kita gagaskan, kita masih seolah gagal menandingi arus syaitan yang hakikatnya lebih lemah daripada arus iman seperti yang disebut dalam firman Allah swt, “Sesungguhnya tipu-daya syaitan itu adalah lemah” (QS al-Nisa’: 76)
Sebaliknya kita pula yang merasa lemah berhadapan dengan arus syaitan dalam kehidupan serba moden ini.
Atas kesedaran itulah, kita harus menilai secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh manhaj dan acuan pendekatan keagamaan yang kita hayati dan kemukakan kepada masyarakat.
Antara kepincangan dalam pendekatan keagamaan kita adalah kurangnya keseimbangan dan penekanan terhadap aspek tasawuf dan kerohanian. Sedangkan ia jelas merupakan satu daripada sendi agama seperti yang zahir dalam hadis Jibril yang masyhur itu.
Para ulama dalam tradisi Ahlus Sunnah wal Jamaah sentiasa mengutamakan keseimbangan penggarapan tiga sendi agama iaitu Iman, Islam dan Ihsan yang terjelma dalam munculnya secara saksama tiga cabang disiplin ilmu agama iaitu Akidah-Tauhid, Syariah-Fiqh dan Akhlak-Tasawuf.
Ketiga-tiga cabang ilmu ini perlu dihayati secara bersama dan saksama. Barulah akan muncul generasi ulama dan umat yang murni pegangan akidahnya, teguh penguasaan hukumnya serta tinggi makam rohaninya.
Satu lagi di antara ciri utama pendekatan dakwah dan tarbiah para ulama muktabar ialah menyuburkan perasaan cinta dan kasih umat terhadap Nabi Muhammad saw.
Para ulama sangat menyedari bahawa peranan dan keutamaan Rasulullah saw tidak hanya terhenti setakat penyampai wahyu daripada Allah swt kepada manusia.
Lebih daripada itu, Nabi saw adalah pintu dan jalan utama sepanjang zaman untuk sekalian umat agar mereka benar-benar dapat menghayati dan mengangkat martabat diri mereka ke tahap yang dikehendaki oleh wahyu Ilahi tersebut.
Oleh itu Rasulullah saw perlu benar-benar sentiasa didekati, diingati, dikasihi dan dicintai. Rasulullah saw sendiri telah menegaskan hal ini melalui sabda Baginda saw “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihi dari anak dan bapanya serta manusia seluruhnya” (al-Bukhari, Muslim dan al-Nasai)
Keterampilan Rasulullah saw sebagai Rahmatan Muhdatan (Rahmat Kurniaan Ilahi) perlu diteladani dengan cermat dan diaplikasikan. Sebabnya, inilah modal utama terciptanya kejayaan yang gemilang dan kebahagiaan yang hakiki umat Islam di dunia dan akhirat.
Hari ini kita melihat manhaj Nabawi dalam menghayati Islam seperti yang difahami zaman berzaman oleh para ulama banyak dilupakan. Lebih malang lagi, ada pula yang mentohmah pendekatan para ulama bagi menghidupkan manhaj Nabawi ini sebagai bidaah dan sesat yang menimbulkan gejala perpecahan di kalangan umat Islam.
Pada masa yang sama pendekatan-pendekatan yang jauh lebih rendah mutunya pula diberi keutamaan yang akhirnya gagal membuahkan hasil yang diinginkan.
Akhirnya, kita menyaksikan Al Quran diraikan tetapi Ilahi ditinggalkan, Sunnah dislogankan tetapi Rasulullah saw dilupakan, Islam hendak ditegakkan tetapi para ulama di remehkan.
Jika itu yang berlaku, mana mungkin akan terhasil masyarakat dan individu Muslim yang salim-sejahtera yang di ingin-inginkan dan kita akan tetap gagal mencari formula berkesan bagi mengharungi pelbagai cabaran duniawi yang terpaksa dihadapi. Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan