Popular Posts

Rabu, 30 Mac 2011

HINAAN : ANTARA KESENANGAN DAN DOSA...


Pernah suatu ketika Imam Ali Zainal Abidin bin Husin bin Ali bin Abi Talib yang bergelar as-Sajjad berkata kepada Asy-Syibli yang baru pulang dari haji, “Pernahkah kamu hai Syibli berkunjung ke Masjidil Haram, ke rumah Allah al-Haram?” “Tentu wahai putera Rasulullah.” jawab Asy-Syibli. “Apakah ketika engkau berkunjung ke Masjidil Haram engkau haramkan dirimu untuk menjatuhkan kehormatan sesama kaum Muslimin dengan lidahmu, tanganmu, dan perbuatanmu?”


Imam Ali Zainal Abidin mengulangi pertanyaannya kepada Asy-Syibli, “Apakah ketika kamu masuk Masjidil Haram kamu berniat untuk memelihara kehormatan kaum Muslimin dan tidak akan menjatuhkan kehormatan mereka dengan lidahmu, tanganmu, dan perbuatanmu?” Ketika Asy-Syibli menjawab, “Tidak duhai putera Rasulullah,” Imam Ali Zainal Abidin berkata, “Kalau begitu engkau belum masuk Masjidil Haram.”


Imam Ali Zainal Abidin dalam riwayat tersebut berpesan kepada kita semua, jika kita berangkat haji kemudian pulang tetapi masih suka memfitnah, mengadu domba dan mengumpat orang sesama Muslim, masih juga mencemuh, mengejek, atau menyakiti hati sesama muslim, maka pada hakikatnya kita belum lagi melaksanakan haji.


Akhir-akhir ini banyak kegiatan yang disandarkan dengan label Islam yang saya temui, yang rajin mengaji, ke mana-mana membawa al-Quran, yang wanitanya pula berjilbab besar, yang lelaki siap berjubah dan serban serta berjanggut, tetapi suka mencemuh serta menghina orang lain yang tidak seperti mereka. Mungkin sudah menjadi kebiasaan mereka untuk bersikap seperti itu.


Sebuah kisah benar yang berlaku beberapa tahun yang lalu ini moga menjadi pelajaran buat kita…seorang wanita yang baru belajar mengenal Islam walau dilahirkan oleh ibubapa muslim yang tinggal di pantai barat tanahair telah tinggal di asrama orang-orang Kristian. Di asrama itu dia diperlakukan dengan hormat dan kasih sayang.  Setiap kali pulang dari masjid, dia ditegur.  Kalau ada majlis keraian, dia diajak menyertai sama, walaupun mereka tahu bahawa dia seorang Muslimah, tapi mereka memperlakukannya dengan baik dan menghormati anutan wanita tersebut. Suatu saat, seseorang bertanya kepadanya, “Kenapa kamu tinggal di asrama Kristian, kenapa tidak memilih asrama Muslimah yang ada di sekitar situ?”

Akhirnya, dia berpindah dari asrama itu ke asrama yang hanya di diami oleh wanita muslim. Wanita muda ini belum menggunakan jilbab. Selepas beberapa hari tinggal di situ, dia menghadapi wajah-wajah garang dan ada antara mereka yang mengutuk serta menghinanya kerana tidak memakai jilbab. Jika sesama wanita yang memakai jilbab pulang dari pengajian, mereka disambut dengan peluk cium. Tapi bila dia yang pulang, mahu bersalam tangan pun tidak, malah mereka memalingkan wajah, hanya kerana dia tidak mengenakan jilbab. Hanya kerana  tidak pakai jilbab, dia dijatuhkan kehormatannya, dicemuh, dan diasingkan. Malang sungguh nasib wanita itu. Kasihan juga wanita-wanita “Muslimah” itu. Wanita-wanita tadi mungkin bagus dalam memakai jilbabnya, rajin baca al-Quran, tidak pernah tinggal solat, solat malam pun tidak pernah diringankan, tetapi tanpa sedar, mereka telah melakukan dosa besar.

Walaupun mereka sangat tekun beribadah dan menjalankan sunnah-sunnah Nabi, tetapi tanpa sedar mereka telah terjerumus dalam dosa besar ketika mereka menghina dan memandang remeh pada orang lain.

Tahukah kita, sebesar manakah dosanya menjatuhkan kehormatan sesama Muslimin…?


Sebuah riwayat dalam buku yang berjudul Tafsir bil Ma’tsur,“Ketika Rasulullah Tawaf mengelilingi Kaabah, Baginda saw berhenti di Multazam. Baginda saw bergantung di tirai Kaabah kemudian Baginda saw berkata, ‘Wahai Kaabah, betapa mulianya engkau, betapa agungnya engkau, betapa luhurnya engkau. Tetapi demi Zat yang diriku ada di tangan-Nya, kehormatan seorang Muslim lebih tinggi dari kehormatan Kaabah.”


Betapa mulianya kehormatan seorang Muslim, bahkan kehormatannya lebih tinggi dari Kaabah. Dari situ dapat kita tarik sebuah kesimpulan bahawa menjatuhkan kehormatan seorang Muslim dosanya lebih besar daripada menjatuhkan kehormatan  Kaabah.


Sebuah cerita dari rakan saya yang serupa dengan cerita di atas. Pernah suatu ketika rakan saya ini  diboikot oleh teman-teman pengajiannya yang “soleh”. Dia diboikot hanya kerana tidak turut serta dengan organisasi yang mereka ikuti. Kebetulan organisasi yang mereka ikuti adalah organisasi keislaman yang dapat dikatakan namanya sedang “besar” di tanahair kita ini. Saya tidak mahu menyebutkan nama organisasi tersebut, kerana saya takut pembaca jatuh pada kesalahan bersangka buruk dengan beranggapan bahawa orang-orang yang menyertai organisasi itu pasti semuanya bersikap seperti sikap mereka. Saya masih bersangka baik pada organisasi tersebut. Saya yakin tidak semuanya seperti itu.


Akhirnya rakan saya tadi berpindah ke rumah sewa lain di mana dia diterima dengan tangan terbuka tanpa cemuhan, boikot, umpatan dan cacian.


Menurut ilmu psikologi, kita sebagai manusia memiliki kecenderungan mudah untuk mencemuh orang lain ketika orang tersebut berbeza dengan kita. Misalnya berbeza parti politik, berbeza organisasi keislaman, mahupun berbeza mazhab yang dianuti. Manusia cenderung bersimpati kepada seseorang yang memiliki kesamaan dengan dirinya. Ketika ada seseorang yang berbeza dengan dirinya, maka muncul sikap kebencian kepada orang itu.


Tidak percaya? Silalah cuba berbeza dengan orang lain dalam segala hal, nescaya kita akan dicemuh, dijadikan bahan umpatan atau dijauhi.


Pernahkah kita merenung hikmah dari sebuah gitar. Gitar yang terdiri dari beberapa tali dengan nada yang berbeza-beza. Tetapi ketika kita memainkannya, maka gitar itu mengeluarkan irama yang harmoni, yang sedap untuk kita dengar. Apakah gitar itu lebih mulia dari kita, seorang manusia? Kenapa ketika kita berbeza, kita menjadi saling mencemuh, saling menghina, bahkan saling memerangi satu sama lain?


Bukankah kita diciptakan dengan menjadi berbagai suku, agama, bahasa, buah fikiran, sifat serta tindak-tanduk yang berbeza? Lalu kenapa kita seolah-olah ingin menghilangkan perbezaan itu? Pernahkah kita, sebagai manusia, terfikirkan bahawa perbezaan di antara kita merupakan sebuah rahmat? Lalu kenapa kita membuat semua itu menjadi tidak harmoni?


Banyak di antara kita ternyata belum mengetahui betapa besar dosanya menjatuhkan kehormatan sesama Muslim. Banyak di antara kita ternyata belum menyedari bahawa mencemuh, menghina dan mengumpat saudara sesama Muslim merupakan sebuah dosa besar.


Setelah kita mengetahui bahawa kehormatan seorang Muslim lebih tinggi dari kehormatan Kaabah. Setelah kita menyedari bahawa menjatuhkan kehormatan seorang Muslim dosanya lebih besar daripada menjatuhkan kehormatan Kaabah. Apakah kita akan meneruskan kebiasaan mencemuh, menghina dan menjatuhkan kehormatan saudara sendiri sesama Muslim? Wallahu a’lam…

Jagalah hati…

Wassalam

Selasa, 29 Mac 2011

JERITAN HATI YANG DI BUNUH...


Saudara seakidahku, seringkah berleggar pertanyaan-pertanyaan seperti “untuk apakah semua ini? Apakah makna hidup saya? Kenapa hidup saya terasa hambar sahaja, rutin yang sama dari hari ke hari? Hanya episod suka dan sedih sahaja yang bertukar?” Akhirnya pertanyaan, “Mengapa saya seperti dikuasai oleh kehidupan saya?” pun muncul di hati kita.

Sebenarnya, setiap saat Allah “memanggil-manggil’ kita untuk kembali kepada-Nya. Dengan pelbagai cara. Dia, dengan kasih sayang-Nya, adakala membuat suasana kehidupan seorang manusia sedemikian rupa sehingga hatinya dibuat Ilahi “menoleh” kepada Allah. Hanya yang membezakan kita, teramat sedikit orang mendengar, atau berusaha mendengarkan panggilan-Nya ini.

Ada masanya, Allah membuat kita terus menerus gelisah, atau terus menerus menyoal “Siapa diri saya ini sebenarnya? Apa tujuan saya? Apa makna kehidupan saya?” dan sebagainya. Bukankah kegelisahan seperti ini adalah sebuah seruan, panggilan supaya kita mencari kebenaran?  Mencari hakikat diri? Mencari “Al-Haq” Allah. Percayalah, situasi sebegini akan selalu wujud pada diri seorang muslim untuk mencari-Nya.


Dalam hal ini, Allah amatlah Pengasih. Dia menguji semua hamba-Nya, sama ada seseorang percaya kepada-Nya atau tidak, beragama atau tidak, Allah tidak pilih kasih. Apakah seseorang membaca kitab-Nya atau tidak, percaya pada para utusan-Nya ataupun tidak, semua orang pernah dipanggil-Nya dengan cara seperti ini. Setiap orang pasti dipanggil-Nya seperti ini untuk mencari diri, untuk mencari hakikat kehidupan.

Bentuk ‘pancingan’ seperti ini juga dialami oleh para pencari, termasuklah para Nabi. Nabi Ibrahim yang gelisah dan mencari tempat mengabdi diri (ilah) telah diabadikan dalam QS 6:74-79. Juga kita lihat Nabi Musa as, misalnya. Setelah hanyut di Sungai Nil, Baginda as dibesarkan oleh salah seorang maharaja yang terhebat sepanjang sejarah, Sethi I. Hidup dalam kemewahan dan hanya bersenang-lenang. Tapi Baginda as selalu ‘gelisah’ ketika melihat di sekelilingnya, bangsa Bani Israel, yang ketika itu menjadi warga Mesir kelas rendah, diperhambakan. Baginda as yang hidup dengan ayah tirinya Sethi I, tentulah setiap hari melihat sisi kemanusiaan ayahnya. Jadi mulalah timbul rasa hairan Baginda as mengapa masyarakat Mesir mahu menyembah ayah tirinya itu.

Bagi diri kita, terkadang kemewahan, keselesaan serta kesibukan seharian telah mengubur harta kita yang sangat berharga, iaitu potensi kita untuk mencari siapakah diri kita sebenarnya. Kita disibukkan oleh pekerjaan, dibuai oleh rutin seharian, mengejar kejayaan kerjaya, atau ditipu oleh alasan telah selesa dengan kedudukan diri sendiri. Sangat sering, ketika hal ini terjadi, pertanyaan-pertanyaan pokok seperti itu, iaitu potensi pencarian kebenaran yang kita bawa sejak lahir, yang ketika kanak-kanak sangat nyata, terkubur dan dilupakan begitu saja seiring waktu kita menjadi semakin dewasa. Padahal, itu adalah ‘potensi mencari Allah’ yang Dia bekalkan untuk kita ketika lahir. Bukan bererti kita harus meninggalkan semua itu, bukan sama sekali. Tapi, jangan biarkan semua itu menenggelamkan potensi pencarian kebenaran yang telah Allah turunkan pada kita semenjak lahir lagi.

Ketika kita tenggelam dalam dunia seperti itu, kita tanpa sedar tenggelam dalam rutin kehidupan yang berputar-putar saja dari hari ke hari. Sekolah, mengejar kerjaya, pergi pagi pulang petang, terima gaji, menikah, membesarkan anak, menyekolahkan anak, pencen, dan seterusnya setiap hari, selama bertahun-tahun. Apakah hanya itu? Bukankah kita tanpa sedar telah terjerumus kepada pusaran kehidupan yang terus berputar-putar saja, tanpa makna? Lebih malangnya pula, kita mencetak anak-anak kita untuk mengikuti pola yang sama dengan kita. Pada saatnya nanti, mungkin hidup mereka pun akan mengulangi putaran-putaran tanpa makna yang pernah kita tempuhi.

Sangat jarang orang yang potensi pencariannya pada Allah belum terkubur. Dalam hal ini, jika kita masih saja gelisah mencari makna kehidupan, maka kegelisahan kita merupakan hal yang perlu disyukuri.

Berapa orang, sahabat, yang masih mahu mendengar kegelisahannya sendiri? Padahal kegelisahannya itu merupakan rembesan dari hati yang menjerit tidak ingin terkubur dalam kehidupan dunia. Dia ‘menjerit’ ingin mencari Al-Haqq, dan ‘rembesannya’ kadangkala naik ke permukaan dalam bentuk kegelisahan.

Sayangnya, sebahagian orang segera menutup kegelisahannya, potensi pencarian kebenarannya ini pada saat ketika ia timbul; kerana secara psikologi, hal ini memang terasa tidak selesa. Maka untuk melupakannya, ia semakin menenggelamkan diri lebih dalam lagi dalam pekerjaannya, kesibukan, bersenang-senang, atau berdalih dengan menutup kegelisahannya dengan berusaha lebih lagi mencintai isteri dan anak, atau keluarga, menenggelamkan diri dalam keasyikan hobi… dan sebagainya.

Atau, merawatnya dengan cara kerohanian sesaat, seperti datang ke majlis ilmu bukan dengan niat mencari-Nya, tapi hanya untuk melenyapkan kegelisahannya, seperti ubat sakit kepala saja; ketika sakit kepala, cari ubat. Kegelisahan hilang, dia pun pergi lagi..

Atau juga dengan mengatakan pada dirinya: “Manusia diciptakan untuk beribadah!! Segala jawapan telah ada di Quran!!” Betul pernyataan tersebut, tapi ibadah yang bagaiamana? Mampukah kita benar-benar beribadah, tanpa mengetahui maknanya? Atau lebih jauh lagi, mampukah ia menjangkaui makna Quran?

Beranikah kita jujur pada diri kita sendiri; Jika Quran itu benar, mengapa kegelisahannya tidak hilang? Mengapa Quran seperti kitab suci yang tidak teratur susunannya? Mengapa ayatnya adakala melompat-lompat, dari satu topik ke yang lainnya secara mendadak? Jika kita beriman, apakah iman itu? Apakah takwa itu? Apakah Lauhul Mahfuz? Apakah Ad-Din? Apakah Shiratul Mustaqim? Jalan yang lurus yang bagaimana? Mengapa Quran terasa abstrak dan tidak terjangkau makna sebenarnya? Ini sebenarnya pertanyaan-pertanyaan jujur, dan sama sekali bukan menghakimi Quran, tapi menilai diri dalam beragama.

Kadangkala orang terus saja mengindoktrinasi dirinya sendiri, padahal Quran sendiri menyatakan bahawa tidak ada yang mampu menjangkauinya selain orang-orang yang disucikan/ Al-mutahharuun, (QS 56:77-79).
(QS 56) “Sesungguhnya Al Quran ini adalah bacaan yang sangat mulia (77). Pada kitab yang terpelihara (78). Dan tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan/ Al-muthahharuun (79).”

Apakah kita berani dengan yakin mengatakan bahawa kita adalah seorang yang telah disucikan, sehingga makna Quran telah terbentang begitu jelas dihadapan kita? Jika demikian, apakah implikasi pernyataan;  “Semua jawapan telah ada di Quran” bagi kita? Apakah kita akan terus membohongi diri dengan membaca terjemahan Quran dan memaksakan diri meyakini bahawa kita telah mendapatkan maknanya…?

Jeritan hati tersebut ia timbus dengan segala cara. Ia tidak ingin mendengarkannya. Hal ini, sudah tentu akan membuat seseorang semakin terperangkap dalam rutinnya, dan semakin terkuburlah potensi pencariannya akan kebenaran. Padahal seharusnya ‘jeritan hati’ tersebut didengar. Jika anak kita menangis kerana lapar, apakah kita akan pergi bersenang-senang untuk melupakannya, dan berharap anak kita akan berhenti menangis dengan sendirinya? Bukankah seharusnya kita mencari tahu, kenapa anak kita menangis?

Kembali kepada kisah Baginda Musa as. Demikian jugalah dengan Nabi Musa as. Baginda as pun, sebagaimana kita semua, sejak kecil dibekalkan pertanyaan-pertanyaan dari dalam diri. Dibekalkan kegelisahan pencarian kebenaran. Bibit-bibitnya ada. Allah menumbuhkan bibit-bibit pencarian itu supaya tidak terkubur dalam kemewahan kehidupan istana, menyiramnya dengan kebingungan yang lebih besar lagi.

Baginda as dipaksa-Nya menelan kenyataan bahawa ayahnya pernah membunuh jutaan bayi lelaki Bani Israel. Baginda as dipaksa-Nya menelan kenyataan bahawa ayahnya menganggap Bani Israel adalah warga kelas dua yang rendah, bodoh, dan memang patut diperhambakan. Puncaknya, Baginda as dipaksa-Nya menelan kenyataan bahawa dirinya sendiri ternyata merupakan seorang anak Bani Israel, keturunan warga budak kelas dua, yang dipungut dari sungai Nil. Pada saat ini, pada diri seorang Musa, lenyaplah sudah harga dirinya. Hancur semua masa lalunya. Dia seorang tanpa sejarah diri sekarang. Ditambah lagi, Baginda as telah membunuh seorang lelaki, maka larilah ia dari dunia yang pernah Baginda as diami, bermusafir di padang pasir, menyoal siapa dirinya yang sebenar.

Maka, pada saat inilah Baginda as berangkat dengan pertanyaan terpenting bagi seorang pejalan kerohanian, yang telah tumbuh disiram subur oleh Allah dengan air keresahan, “Siapa diriku sebenarnya?”.

Pertanyaan ini telah tumbuh subur dalam diri Musa as, dan sebagaimana kita semua mengetahui kisah selanjutnya, di hujung padang pasir Madyan ada seorang pembimbing dipertemukan dengan Nabi Musa as untuk menempuhi jalan menuju Allah, iaitu Nabi Syu`aib as, yang lalu menyuruh anak gadisnya menjemput Musa as dan membawa Musa as kepadanya.

Di bawah bimbingan Nabi Syu`aib as, Musa dididik menempuhi jalan taubat, supaya “arafa nafsahu”, untuk “arif akan nafs (hati)-nya sendiri”. Dan dengan bimbingan Syu’aib akhirnya Baginda Musa as mengerti dengan sebenar-benarnya (ia telah arif), bahawa dirinya diciptakan Allah sebagai seorang Rasul bagi bangsa Bani Israel, bukan sebagai seorang bangsawan Mesir. Ia menemukan kembali misi hidupnya, tugas kelahirannya yang untuk apa Allah telah menciptakannya. Ia telah menemukan untuk apa dia diciptakan, yang disabdakan oleh Rasulullah saw,

“Setiap orang dimudahkan untuk mengerjakan apa yang telah Dia ciptakan untuk itu.” (Shahih Bukhari no. 2026)

Maka dari itu, saudara seakidahku, jika ada diantara kita yang mungkin ingin sekali bertemu seorang guru sejati, atau seorang mursyid yang haq untuk minta bimbingannya, maka terlebih dahulu kita harus benar-benar mencari Allah, mencari kebenaran, mencari Al-Haqq. Pertanyaan “Siapakah aku? Untuk apa aku diciptakan?” harus benar-benar telah tumbuh dalam diri kita (dan itu pun bukan menjadi jaminan bahawa perjalanannya akan berhasil). Kita memang telah benar-benar perlu kepada jawapan dari pertanyaan-pertanyaan itu. Jika tidak demikian, atau jika belum merasa benar-benar memerlukan, percayalah, tidak akan ada seorang mursyid sejati yang akan mengutus anak-anaknya untuk menjemput kita.

“Man ‘arafa nafsahu, faqad ‘arafa rabbahu”, bukan semata-mata ertinya “siapa yang mengenal dirinya, maka mengenal Robb nya.” Kata ” ‘Arafa”, juga “Ma’rifat,” berasal dari kata ‘arif, yang bermakna ’sepenuhnya memahami’, ‘mengetahui kebenarannya dengan sebenar-benarnya’; dan bukan sekadar mengetahui. dan nafsahu berasal dari kata ‘nafs’, salah satu dari tiga unsur yang membentuk manusia (jasad, nafs, dan roh).

Jadi, kurang lebih maknanya adalah “barangsiapa yang ‘arif (sebenar-benarnya telah mengetahui) akan nafs-nya, maka akan ‘arif pula akan Robb nya”. Jalan untuk mengenal kebenaran hakiki, mengenal Allah, hanyalah dengan mengenal nafs terlebih dahulu.

Setelah arif akan nafs kita sendiri, lalu ‘arif akan Robb kita, maka setelah itu kita baru dapat memulakan langkah di atas ‘Ad-Din’.

‘Arif akan Robb, atau dalam bahasa Arab disebut ‘Ma’rifatullah’ (meng- ‘arifi Allah dengan sebenar-benarnya), sebenarnya barulah  awal perjalanan, bukan tujuan akhir perjalanan sebagaimana difahami kebanyakan orang. Salah seorang sahabat Rasulullah saw selalu mengatakan kalimatnya yang terkenal: “Awaluddiina ma’rifatullah”, Awalnya diin adalah ma’rifat (meng-’arif-i) Allah”. Wallahu`alam

Moga bermanfaat

Jagalah Hati….

Wassalam.

Sabtu, 26 Mac 2011

PENGEMIS YANG ANEH...


Kalau ada seorang pengemis meminta wang, itu adalah biasa.

Kalau ada seorang peminta yang mengharapkan makanan dari kita, itupun biasa…

Tetapi kalau ada seorang pengemis, la bertanya kepada kita tentang jam..?

Suatu ketika yang lalu, sepertimana kelaziman, saya pergi bersiar ke pusat beli belah untuk belajar dari gerak laku orang ramai. Tidak terasa hari mulai petang. Dan terdengarlah azan maghrib dari masjid yang tidak jauh dari tempat saya berada.

Seperti orang-orang lain yang berada di pusat beli belah tersebut, saya juga bergegas menuju masjid yang jaraknya memang tidak terlalu jauh. Saya terus menuju ke tempat wuduk untuk bersuci, di tengah keramaian orang-orang yang juga berwuduk.

Oleh kerana masjid itu berada di pusat tumpuan orang ramai maka ramailah jemaah yang melakukan solat maghrib setiap hari di situ, tidak terkecuali hari itu.

Selain jemaah tetap dari masjid, jemaah yang solat maghrib juga berasal dari masyarakat musafir. Apalagi, hari itu adalah hari Sabtu, malam minggu. Jemaah solat pun lebih banyak dibandingkan hari lainnya.

Setelah berwuduk, saya bergegas menuju saf yang masih kosong, untuk mengikut jemaah solat maghrib. Solat berjemaah sudah bermula.

Saya berzikir seringkasnya. Dan kemudian melakukan solat sunat. Saya pun keluar dari masjid untuk  kembali ke deretan kedai-kedai untuk sedikit berbelanja. Siapa tahu ada yang sesui untuk dibelikan.

Pada saat saya berjalan menuju ke kompleks beli belah itu, di mana jarak tempat saya berada, lebih kurang sekitar lima puluh meter dari pintu masjid, tiba-tiba saya di kejutkan oleh seorang peminta sedekah. Ia lelaki yang sudah agak tua, menadahkan tangan kanannya untuk minta wang.

Dengan perasaan biasa tanpa berfikir apa-apa, saya ambilkan wang dari saku baju. Ketika saya hendak berlalu untuk meneruskan perjalanan ke kompleks beli belah, tiba-tiba orang tua itu menanyakan sesuatu yang menurut pendengaran saya sangat aneh!


Katanya: “…pukul berapakah sekarang? Betapa anehnya, seorang peminta sedekah bertanya tentang jam. Tanpa ambil peduli dengan keanehan tersebut, saya menyingsingkan lengan baju panjang saya, untuk melihat jam.

Ah, betapa terkejutnya saya. Ternyata jam yang saya pakai di tangan kanan ini sudah tidak ada lagi. Hingga saya singsingkan lengan baju saya pada paras sikua, “aduh,.. jam tangan saya telah hilang!”

” Dimana… ? ke mana… ? di ambil oleh siapa… ? bila hilangnya… ? Serentetan pertanyaan pada diri sendiri membuat hati saya bertambah bingung, mahu menangis rasanya. Jam ini baru dihadiahkan isteri saya. Tiba-tiba saya seperti diingatkan sesuatu. Mungkinkah tertinggal di masjid? Tapi di mana? Oooh, saya ingat! Tadi ketika saya mengambil air wuduk, jam tangan, saya letakkan di atas paip air wuduk. Dan lupa untuk memakainya kembali.

Maka dengan tergopoh-gopoh, berjalan seperti setengah berlari, saya menuju ke tempat wuduk masjid, tempat di mana saya melakukan wuduk tadi.

Setelah sampai di tempat tersebut, saya menjadi tercengang sendirian. Masya Allah,. ..jam tangan saya, ternyata masih berada di tempatnya, tidak berubah sedikitpun. Saya menjadi termangu….

Padahal betapa lamanya saya tinggalkan jam tersebut di situ. Sejak melakukan wuduk, kemudian solat berjemaah, melakukan zikir, solat sunah, dan keluar dari masjid sambil mencari kasut yang memakan waktu cukup lama kerana begitu banyaknya jemaah yang sedang solat. Di tambah pula, berjalan ke arah pusat beli belah dan akhirnya bertemu dengan orang tua peminta sedekah yang bertanya tentang waktu kepada saya…(subhaanallah…!!!)

Mata saya berkaca-kaca, dan tanpa saya kehendaki, saya menitiskan airmata. Betapa anehnya kejadian ini. Saya langsung menuju ke tempat orang tua tadi, untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Tapi ternyata, dia sudah tidak ada lagi di tempatnya. Mungkinkah ia sudah pergi…?

Masya Allah…, saya tidak jadi kehilangan jam kesayangan saya..!? Apakah ini hanya berkat wang RM10 yang saya berikan kepada pak tua peminta itu…? Ah, sungguh, saya tidak berani menyimpulkannya ! Saya pun bergegas pulang. Dan masih tidak habis berfikir tentang kejadian tersebut.

Kini, setelah saya merekodkan peristiwa itu dalam bentuk tulisan di sini, setelah sekian tahun yang lalu itu, saya menjadi teringat akan sabda Rasulullah saw, bahawa memberi sedekah itu dapat menolak bala, dan akan mendatangkan kekayaan hati…wallahu`alam.
Jagalah Hati….

Wassalam.

Jumaat, 25 Mac 2011

KEHANCURAN SUNNAH...


Maha Suci Allah yang Maha Menguasai setiap sudut Angkasa Raya, semesta yang Tunggal adalah milik Nya.

Maha Suci Allah yang Maha Tunggal menghamparkan Alam Raya dengan kemegahan dan kesempurnaan,

Maha Suci Allah yang Maha Abadi dalam Kesempurnaan dan Keindahan Nya,

Segala puji bagi Allah yang menyemarakkan Alam Semesta dengan cahaya Keagungan Nya,

Segala puji bagi Allah yang menampilkan keajaiban ciptaan Nya di segenap langit dan bumi,

Allah.. Nama yang Maha Abadi dan Tunggal dalam Kekuasaan,

Allah.. Nama yang Maha Abadi dan Tunggal dalam Menentukan.


Gema kewibawaan Nya menundukkan seluruh alam semesta, ketika kekuatan Nya ditampilkan, maka runtuhlah benteng kekuatan hamba Nya, direnggut Nya kekuasaan Raja penguasa dengan kematian.., mereka terenggut dari singgasana mulia untuk berlutut ketakutan dipertanggungjawabkan setiap nafasnya.



Telah Aku ciptakan engkau dari ketiadaan. Aku tumbuhkan sel dirimu pada tubuh ayahmu, lalu Aku benamkan sel diri di dalam rahim ibumu. Aku mengasuhmu siang dan malam di rahim ibumu dalam kesendirian, hingga terangkailah 40 hari sebagai air mani, 40 hari kemudian sebagai gumpalan darah, 40 hari kemudian menjadi gumpalan daging, 40 hari kemudian Aku pecah-pecah bentuk tubuhmu dengan panca indera, lalu Aku hembuskan padamu roh..


Lalu Aku buat kau lahir ke muka bumi Ku, hidup, makan dan minum dari rezeki yang Aku ciptakan. Engkau bertebaran di atas bumi Ku, Aku siapkan untukmu nafkahmu, ayah ibu yang menyayangimu, teman-teman yang menemanimu, pohon-pohon yang menaungimu. Aku buat kau melihat dan mendengar. Aku ciptakan dua kaki agar kau dapat berjalan. Aku jadikan jutaan sel tubuhmu taat pada keinginanmu…


Akan datang waktu Aku akan memanggilmu, Ku perintah engkau untuk menghadap Ku dengan perintah yang tidak mampu kau tolak. Kau harus berpisah dengan penglihatanmu, pendengaranmu, hartamu, kerabatmu, kehidupanmu, kerana itu semua memang bukan milikmu, itu semua adalah Milik Ku, dan dirimu pun sepenuhnya adalah Milik Ku..


“Apakah manusia tidak memandang bahawa sungguh Kami menciptakannya dari air mani, maka kemudian ia hidup dan menentang serta membangkang pada Kami? (QS Yaasin: 77).


“Sungguh mereka melihatnya jauh (hari kiamat) dan Kami melihatnya (hari kiamat) sangat dekat, hari di mana langit luluh mencair, dan jadilah gunung-gunung bagai debu berserakan, maka saat itu para ibu yang mengasuh bayinya tidak lagi mempedulikan bayi yang diasuhnya, ketika diperlihatkan atas mereka, hari saat para pendosa bermaksud menukar azab dengan anak-anaknya, atau menukar azab itu dengan suami atau isterinya, atau dengan kelompok teman-temannya yang dahulu bersamanya, atau menukar azab dengan seluruh penduduk di bumi asal ia selamat sendiri, sungguh itu sia-sia, namun itulah Api yang bergejolak, (Api yang demikian dahsyatnya) Mencerai beraikan tulang rusuk satu sama lain, Bergemuruh memanggil mereka yang berbuat jahat dan berpaling dari kebenaran”



Saudara-saudaraku yang ku muliakan, sesungguhnya musuh-musuh Islam terus menyalakan api kegelapan yang menghanguskan sunnah Muhammad saw. Alangkah menyedihkan ketika diri kita juga terlibat dalam penghancuran sunnah Junjungan saw. Kita jadikan bibir ini terlibat menghancurkan sunnah Nabi kita, kita jadikan akal logik kita untuk meruntuhkan sunnah Rasulullah saw.


Saudara-saudaraku yang ku muliakan, sungguh Poligami adalah salah satu dari ajaran Nabi kita, Muhammad saw, dan telah berjaya di atas umat ini berabad-abad lamanya. Namun hari ini muncullah musuh-musuh Islam yang mengobarkan api itu, maka kita pun turut muncul juga untuk mendukung mereka menghancurkan ajaran Baginda saw, Tidak ada ikhtilaf oleh seluruh ulama, Muhaddisin, para Imam, atau sahabat, yang punyai satu pendapat pun melarang poligami. Ia hanya muncul di zaman kita ini yang mengingkari ajaran Rasulullah saw. Poligami diperbolehkan tanpa syarat apa pun selain syarat akad nikah biasa…


Demi Allah yang memegang nyawaku ini…, kita diperintahkan menyembah Allah dan bukan menyembah logik akal, apakah kita harus menjadikan hukum Nya itu dibawah logik kita? Kita tidak perlu menjadikan hikmah yang tersimpan dalam poligami atau sunnah lainnya sebagai syarat untuk membenarkannya, lalu bila hikmahnya belum kita temui, maka kita kufur dan menolaknya. Kita menyembah Nya dan sungguh Zat Nya tidak dapat dihuraikan oleh logik, kerana yang paling ghaib adalah Dia swt. Maka bila kita menolak hukum hanya kerana tidak masuk akal, maka kita sudah menentang Nya, menyembah akal kita dan tidak beriman kepada Nya dan tidak pula mengakui Muhammad saw sebagai utusan Nya, kerana ada hal yang kita akui merupakan kesalahan dari ajaran Baginda saw.


Poligami ini menjadi momok yang mengerikan bagi kaum isteri, mengapa? Bukankah Allah yang Maha menentukan segala-galanya. Selama ini semua orang tahu bahawa poligami adalah boleh dalam Islam, namun barangkali tidak sampai 1 dari 1000 suami yang melakukan poligami walaupun itu diperbolehkan, lalu apa yang dirisaukan oleh kaum wanita?


Seakan-akan mereka sudah tidak punya Robb untuk dijadikan sandaran perlindungan, Betul, banyak kaum isteri yang belum mampu bersabar dalam hal ini, namun belum mampu bukanlah mengingkari. Sama halnya dengan orang yang tidak ada wang untuk umrah dan haji yang sunnah (sudah melakukan yang wajibnya), maka apakah kita mengatakan haji sunnah itu batil dan dilarang? Apa hak kita mengatakan batil pada sunnah Nabi saw? Jauh bezanya antara yang tidak mampu dengan yang mengingkari…


Memang benar bahawa poligami banyak diselewengkan oleh para suami, hingga dijadikan alat syahwat, merebut kekayaan, menyombongkan diri, mengkhianati pada isteri, dan contoh lainnya. Dan banyak pula diselewengkan oleh isteri muda untuk merebut harta atau lainnya. Namun itu semua adalah sikap orang yang zalim dan penyelewengan tersebut terjadi dalam segala hal dan bukan hanya dalam poligami. Contohnya dalam pernikahan monogami pun demikian, banyak terdapat penyelewengan dalam pernikahan yang di ikat demi duniawi atau demi tipu muslihat, atau demi syahwat dan lainnya. Demikian juga pada solat, mungkin saja diselewengkan dengan niat untuk mencari perhatian misalnya, atau agar dianggap soleh, atau lainnya. Demikianlah juga dengan puasa, haji, zakat dan lainnya. Penyelewengan mestilah ada, dan penyelewengan oknum tidak dapat menafikan (menghapuskan) suatu ajaran syariah. Kesalahan adalah pada oknum dan bukan pada hukum,


Tidak mustahil sebentar lagi akan muncul pula pendapat mengingkari hal-hal yang fardhu. Tidak mustahil pula aka nada pendapat kelak yang mengingkari puasa, kenapa harus menahan lapar? atau mengingkari haji, kenapa harus tawaf dan sa`i? Kenapa harus melempar batu di Mina dengan 7 batu selama 3 hari berturut-turut..? Kenapa harus berpanas terik, bersesak-sesak atau mati terpijak hanya sekadar untuk melempar batu-batu kerikil? Bukankah ini merosak kulit? Mungkin juga nanti menular wabak batuk, H1N1 atau penyakit-penyakit yang dibawa dari seluruh dunia..? Akhirnya kita akan terjebak pada puncak kekufuran, iaitu.. “kenapa aku menyembah sesuatu yang tak terlihat.., tak terdengar, tak terasa, kenapa harus menyembunyikan diri Nya, kenapa tak tunjukkan..?”


Maka jadilah logik akal kita sebagai tuhan kita. Runtuhlah seluruh kemuliaan iman dan tauhid dari sanubari kita.  Sirnalah seluruh amal ibadah kita, dalam jurang kemurtadan yang menuju kehinaan yang abadi.. diawali dari hembusan penolakan pada Poligami, yang kita turut berperanan untuk menghancurkan sunnah Nabi saw. Ketika di Padang Mahsyar kelak, ketika terdengar seruan.., Fulan bin fulan maju ke hadapan Allah..!, maka satu wajah tertunduk maju.. maka Allah swt berkata, “Engkau.., Engkau.., Engkaukah yang terlibat menghancurkan sunnah Nabi Ku? Engkau? Engkau.. engkaukah yang turut mencari 1000 dalil agar sunnah Nabi Ku diubah..?


Saudara seakidahku, adakah kita calonkan diri sendiri sebagai pengkhianat Nabi saw? Naudzubillah dari hal ini..,


Saudara-saudaraku, bangkitlah.., saudari-saudariku bangunlah.. bela sunnah Nabimu. Mereka sedang menghanguskan bendera sunnah Nabimu saw. Mereka menginjak panji sunnah Baginda saw.



Siapa mereka…? mereka saudara-saudaramu, kerabatmu, tetanggamu, teman-temanmu.. Saudaraku bangkitlah.. jangan berpangku tangan atas penghinaan pada sunnah Baginda saw, tunjukkan baktimu pada nabi kita saw. Katakanlah, “AKU MENCINTAI SUNNAH NABIKU MUHAMMAD SAW, WALAUPUN SELURUH BARAT DAN TIMUR MENGANGGAPNYA BURUK. DIMATAKU TETAP SUNNAH NABIKU JAUH LEBIH AGUNG DI ATAS JUTAAN LOGIK KUFFAR..! AKU BERIDOLAKAN NABIKU MUHAMMAD SAW, DAN BAGIKU SEMUA SUNNAH NYA INDAH, DAN TAK ADA YANG LEBIH INDAH DIMATAKU SELAIN SUNNAH NABIKU SAW..!"


Dan ketika namamu dipanggil bertemu dengan nabimu Muhammad saw, pandanglah wajah mulia Baginda saw dengan gembira, katakanlah, “WAHAI KEKASIHKU, WAHAI NABIKU, WAHAI KEBANGGAANKU, AKU DIKELOMPOK PEMBELA SUNNAHMU SAAT BANYAK ORANG MENGINKARINYA..!?


Sabda Rasulullah saw, “Barangsiapa yang berpaling dari sunnahku maka ia bukan dari golonganku?”
Baginda saw melanjutkan lagi, “ Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku maka sungguh ia mencintaiku, dan yang mencintaiku akan bersamaku di syurga”


Tambah Baginda saw, “Barangsiapa yang berpegang pada sunnahku di masa rosaknya umatku, maka baginya pahala 100 orang yang mati syahid”


Dalam kegelapan di lubang kubur yang panas dan sempit terdengarlah rintihan menahan perit, “ Ya Allah, kasihanilah aku.. yang telah lancang menolak kemuliaan-kemuliaan yang diajarkan Nabi Mu saw.. Ya Allah, adakah kesalahan lebih besar ku perbuat daripada menentang sunnah Nabi Mu.. Ya Allah…aku telah berani mengangkat akalku di atas hukum Mu dan menganggap buruk apa-apa yang Kau muliakan… Ya Allah, hanya Engkaulah yang memiliki diriku sepenuhnya, maafkan hamba, kasihani hamba..”


“Mereka beriman kepada Rasul dengan apa-apa yang diturunkan kepadanya dari Robb nya dan juga orang-orang mukmin, kesemuanya beriman kepada Allah dan malaikat-malaikat Nya, kitab-kitab Nya, dan Rasul-Rasul Nya, (mereka berkata), kami tidak membeza-bezakan (mendustakan) diantara Rasul-Rasul Nya, dan mereka berkata : Kami dengar maka kami taat, maka pengampunan Mu wahai Robb Kami dan hanya kepada Mu lah kami kembali, tiadalah Allah memaksa seseorang kecuali menurut kemampuannya, maka baginya pahala semua yang ia kerjakan dan baginya dosa yang dikerjakannya, Wahai Robb Kami, jangan Kau siksa kami bila kami lupa atau kami salah, Wahai Robb kami, jangan Kau bebankan kami beban berat sebagaimana beban yang telah Kau bebankan pada mereka yang sebelum kami. Wahai Robb kami, janganlah Kau bebani kami apa-apa yang kami tak mampu menanggungnya, maafkanlah kami, ampunilah kami, kasihanilah kami, Engkaulah Tuan kami, maka tolonglah kami atas orang-orang kafir” (QS 2: 285-286).

Wallahu`alam.



Jagalah Hati…

Wassalam

BERNIAGA DENGAN ALLAH...


Dalam kegiatan sehari-hari, kita tidak lepas dari kegiatan berjual beli. Ada yang berjual beli barang, jasa bahkan dengan Allah pun kita dapat melakukan perniagaan (jual-beli). Seperti yang dikatakan dalam firman-Nya 35:29, “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian…” 



Dari kutipan ayat suci diatas, jelas bahawa ada 3 petunjuk agar Allah mahu bertransaksi dengan kita, iaitu dengan jalan membaca kitab Allah, mendirikan solat, lalu bersedekah secara sembunyi dan terang-terangan. Jikalau kita dapat menghayati ayat di atas dengan keimanan yang sungguh-sungguh, nescaya perniagaan kita tidak akan mengalami kerugian.



1. Membaca kitabullah tidak saja dengan hanya membaca, namun diikuti dengan terjemahannya. Sehingga kita dapat mengambil manfaat dan menerapkan ayat tersebut dalam kehidupan kita. Jika mengalami kesulitan dalam memahami ayat, maka dianjurkan mencari ulama/guru yang dapat menerangkannya. Dengan banyaknya alim ulama dan kemudahan-kemudahan teknologi seperti internet kita dapat mencari atau menemukan jawapan/ maksud dari satu ayat. Maka perbanyaklah datang ke majlis ilmu. Lebih banyak tempat rujukan, lebih mudah kita memahami ayat-ayat Allah.



2. Mendirikan Solat bagi umat Islam adalah wajib. Seperti dikatakan dalam hadis, bahawa solat itu tiangnya agama. Maka jika tiangnya saja tidak kuat, bagaimana agama Allah ini akan dapat berdiri dengan baik. Seperti kita tahu bahawa Islam adalah ‘rahmatan lil alamin’. Bagaimana dapat menjadi rahmat bagi alam semesta jika solat pun tidak dikerjakan oleh umatnya. Dalam konteks mendirikan solat, ada pendapat beberapa ulama yang menyatakan bahawa perlu dikerjakan dengan khusyuk. Namun ada pula yang berpendapat bahawa kesan dari solat itu sendiri harus kelihatan dalam kehidupan sehari-harian. Seperti kita tahu gerakan dalam solat ada berbagai posisi seperti di antaranya: berdiri, ruku` dan sujud. Inipun dapat melambangkan Habluminallah (hubungan kepada Allah) -(berdiri), Habluminannaas (hubungan sesama manusia)- (ruku'') dan  ketundukan/kepasrahan total kepada sang pencipta (sujud).



Pembacaan surat Al-Fatihah (sebagai Penghulu Quran) yang isinya adalah puja-puji kepada Allah dan kepasrahan kita untuk hanya bergantung pada Allah dan memperoleh bimbingan-Nya. Ini jika dicerminkan dalam kehidupan sehari-hari, dapat menjadikan peribadi-peribadi muslim yang baik dan benar. Maka sebutan rahmatan lil alamin dapat dilihat dari sikap para pemeluknya.dan masih banyak lagi simbol-simbol yang dapat diambil hikmahnya dalam solat



3. Pada setiap rezeki yang kita perolehi, ada hak orang lain (fakir, miskin, yatim-piatu, musafir, mualaf orang-orang yang berhutang dan sebagainya), sebagaimana kita biasa mendengar dalam ceramah-ceramah keagamaan. Ia perlukan pemahaman yang dalam dari kata-kata tersebut. Namun jika kita cermati dengan saksama dan tentunya dengan keimanan yang baik, maka kata-kata tersebut dapat kita fahami bahkan dapat kita lakukan dengan ikhlas. Seperti kita tahu Allah memberikan rezeki bagi setiap makhluk NYA. Rezeki tersebut sudah diatur sedemikian rupa sehingga tidak akan tertukar. Allah “menumpangkan” rezeki makhluk NYA di dalam rezeki makhluk NYA yang lain agar masing-masing makhluk dapat selalu berinteraksi (silaturrahim), dan bersedekah. Sebagai contoh : Allah menumpangkan rezeki para fakir ke dalam rezeki kita, agar kita dapat menjadi peka (berempati) terhadap apa yang dialami oleh si-fakir. Jika kita percaya bahawa apa yang disisihkan dari rezeki kita akan diganti oleh Allah sebagaimana firman NYA pada surah Al Anbiya':47, maka kita dengan senang hati mengeluarkannya. Masalahnya yang lemah, kita tidak cukup mengimani hal tersebut. Ini terbukti, adakala kita masih bersifat kikir (bakhil) dalam mengeluarkan hak fakir tersebut. Disebabkan kita masih berfikir bahawa apa yang kita dapat adalah mutlak hasil kerja keras kita. Mereka si-fakir menjadi fakir kerana itu memang salah mereka atau mereka kurang bekerja keras atau bahkan kurang beruntung.


Allah berfirman dalam surat Al Baqarah :261 “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”



Jika kita mengimani ayat diatas maka dengan sukarela kita mengeluarkan apa yang menjadi hak si-fakir. Jika kita cuba untuk bersifat kikir, maka Allah akan mengambilkan hak si fakir dari kita dengan cara lain (dipaksa atau dalam jumlah yang besar), mungkin dengan cara kehilangan, kecurian atau hal-hal yang merugikan yang lain. Oleh kerana itu fahami dan lakukan. baik dengan terang-terangan (dengan maksud agar dapat memberi imbas kepada umat yang lain untuk ikut bersedekah - bukan untuk bersifat riya'' ), atau dengan sembunyi (dengan hanya mengharapkan keredhaan Allah). Dan saat kita menuai hasil (seumpama petani, saat menjual hasil taninya. Jika orang yang bekerja, maka pada saat menerima gaji). perhatikan surat Al An`aam: 141 “ Dan Dia lah Allah yang menjadikan untuk kamu kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon kurma dan tanaman-tanaman yang berlainan bentuk, rupa dan rasanya; dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan warnanya atau daunnya dan tidak bersamaan rasanya. Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya zakatnya pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bersikap melampaui batas.”



Dengan izin Allah, jika kita melakukan 3 perkara di atas kita akan termasuk orang-orang yang tidak rugi, insya Allah. Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.