Popular Posts

Khamis, 30 Jun 2011

JIKA SEMUANYA MILIK ALLAH...


Adakala pengalaman hidup masa lalu mewarnai akal budi kita di masa kini, lalu menghasilkan sebuah citra yang di imbas kembali dan membuahkan kesyukuran atas tiap detik pengalaman hidup. Subhanallah…!

Suatu hari sekitar 3 tahun yang lalu dalam sebuah sesi Motivasi Hati, si guru bertanya kepada para pelajarnya…

“Siapa yang jadikan mata kita?”

Mereka menjawab serentak, “ Allah!”

Si guru bertanya lagi, “Lalu apakah yang telah kita perbuat dengan dua biji mata ini? Adakah sebagai alat untuk melihat perkara yang baik ataupun perkara yang jahat?”

Pelajar-pelajar terdiam.

Si guru meneruskan lagi pertanyaan, “Apa yang akan jadi sekiranya penglihatan ini diambil oleh-Nya? Selama ini Allah memberi nikmat mata untuk melihat pemandangan yang cantik dan indah. Alam ini dilimpahi dengan pelbagai warna yang menarik hati serta pelbagai hidupan yang menghiasinya.”

“Suatu hari nanti... jika kita bangun. Alam ini terasa gelap dan pekat. Rupa-rupanya sudah hilang nikmat penglihatan yang diberikan. Sedangkan selama ini kita tidak bersyukur dengan pemberianNya. Adakah selepas ini baru hendak menyesal?”

“Cuba awak rasa lidah dengan menggunakan jari”, kata si guru.

Para pelajar memegang lidah masing-masing.

Si guru berkata, “Allah memberi rasa masam, masin, manis, pahit dan pelbagai lagi rasa yang berlainan melalui lidah.”

Mereka berkata, “Ya Ustaz..benar” dan masing-masing menganggukkan kepala tanda setuju.

Si guru menambah, “Tetapi mengapa kita gunakan lidah untuk berkata kesat, memaki hamun, berkata bohong ? Bukankah dengan lidah ini kamu pernah menghina guru-guru yang mengajarkanmu? Bukankah dengan lidah ini, kamu telah membentak dan menjawab kata-kata ibu dan ayahmu serta berkali-kali membohongi mereka berdua?”

“Bukankah sudah diperingatkan oleh Rasulullah saw agar menjaga lidah? Bukankah kita perlu menjaga apa yang ada di antara 2 rongga mulut manusia iaitu lidah? Dengan lidah ini juga boleh menyebabkan kita terhumban ke dalam neraka, kan?”

Para pelajar menundukkan kepala dan perlahan-lahan mengalirkan air mata

Si guru terus bertanya, “Cuba lihat dua tangan yang Allah beri, dan lihat baik-baik alangkah cantiknya kurniaan Allah swt. Dia memberi tangan agar kita dapat merasa, memegang, menyentuh dan sebagainya”

Para pelajar melihat tangan masing-masing, diperhati sambil merenung jauh ke dalam telapak tangan.

Si guru berkata, “Adakah kita sudah menggunakan tangan dengan betul? Bukankah ada tangan-tangan yang merosakkan meja sekolah? memukul kawan? menulis surat cinta? mencuri?”

Mereka berkata “benar ustaz... Ya Allah... ampunkanlah dosa kami....”

Si guru menambah, “Allah memberi sepuluh jari tangan, sepuluh jari kaki dalam keadaan yang sempurna. Sudahkah kita menadahkan tangan meminta keampunan kepada Allah swt? Menyatakan syukur terhadap-Nya atas segala nikmat yang tidak mampu ditulis, hatta kering 7 lautan?”

Air mata pelajar-pelajar semakin meluncur laju.“Ya Allah... Aku sudah banyak buat dosa kepada-Mu.. Aku sombong pada-Mu Ya Allah.....”

“Lihatlah pula kedua kaki yang dikurniakan oleh Allah swt. Kita boleh berjalan, berlari, bergerak dengan mudah ke sana sini”, tambah si guru.

Mereka memegang kaki masing-masing sambil mengusap-usap jejari kaki.

Si guru terus bertanya, “Lalu apa yang kita perbuat dengan kaki yang ada ? Kita gunakan untuk ponteng sekolah, pergi ke tempat-tempat maksiat, menendang kawan dan sebagainya. Adakah itu tujuan kaki kita dijadikan?”

Mereka menutup mata sambil teresak-esak, semakin kuatlah jerit tangis memikirkan kesalahan yang telah dilakukan selama ini.

Si guru akhirnya berkata, “Jika Allah ambil balik mata kepunyaan-Nya ? Jika Allah tarik balik kaki yang dipinjamkan-Nya? Jika Allah hilangkan rasa pada lidah? Jika Allah ambil satu jari dari apa yang kita ada…?”

Wahai diri... engkau fakir dan Allah itu Maha Kaya. Maka mengapa engkau masih menyombongkan diri kepada-Nya…?

Wallahu`alam.

Jagalah Hati…

Wassalam.

Rabu, 29 Jun 2011

ISRA' MIKRAJ : MENGHAYATI MANHAJ NABAWI...


Lumrah kehidupan manusia tidak akan sunyi daripada ujian dan cabaran. Bahkan memang hidup kita ini hakikatnya adalah suatu medan ujian besar. Ia seperti dinyatakan dalam al-Quran yang maksud-Nya, “Dialah Robb yang mencipta hidup dan mati untuk menguji kamu siapakah di kalangan kamu yang lebih baik amalannya” (QS al-Mulk: 2)

Oleh sebab itu, cabaran dalam bentuk pelbagai masalah dan krisis akan terpaksa dihadapi meskipun oleh seorang hamba Allah dan masyarakat yang soleh dan baik agamanya.

Pada masa yang sama, kita diajar oleh ulama bahawa setiap musibah dan masalah yang menimpa harus menjadi ruang untuk kita bermuhasabah diri. Memeriksa dan meneliti kalau-kalau masalah yang muncul adalah akibat kesilapan dan kealpaan kita sendiri.

Kebelakangan ini ketenangan dan ketenteraman kita agak terganggu dengan pelbagai isu yang lazimnya tidak wajar menjadi terlalu besar dalam sebuah masyarakat beragama dan maju seperti kita. Isu-isu yang kita maksudkan adalah bermacam-macam gejala sosial dan jenayah, di samping suhu pertembungan politik yang panasnya melebihi tahap biasa.

Walaupun kita redha menerima semua ini sebagai ujian Ilahi, kita juga patut menganggap semua ini sebagai isyarat untuk menilai semula keberkesanan, ketepatan pendekatan dakwah dan tarbiah keagamaan yang dihayati dalam masyarakat.

Melihat tahap gejala sosial dan moral dalam negara kita, mungkin ada yang belum tepat dan perlu dipertingkatkan dalam pendekatan Islamisasi kita.

Kita tahu bahawa Islam sebagai agama dan cara hidup seharusnya sangat berkesan untuk membentuk generasi dan masyarakat yang perkasa. Jika silapnya bukan pada Islam, maka mungkin kurangnya adalah kegagalan kita sendiri menepati acuan dan manhaj (pendekatan) sebenar yang pernah diamalkan oleh generasi Salaf dan Khalaf yang terbukti berjaya.

Sirah dan sejarah dipenuhi dengan catatan kejayaan risalah Islam dalam merubah kejahilan kepada ilmu, kasar kepada sopan, khianat kepada amanah dan seumpamanya. Apabila Islam difahami dan dihayati bertepatan dengan acuan dan manhajnya yang murni.

Hakikatnya, acuan dan pendekatan sebenar risalah Islam mempunyai ciri-ciri khusus yang mesti dipenuhi jika kita ingin menghasilkan citra keagamaan yang bertenaga, bersemangat dan segar-menawan bukannya yang kasar, kering-gersang ataupun lesu. Ciri-ciri khusus manhaj Nabawi inilah yang harus kita temukan, teliti dan hayati semula.

Antara ciri utama citra keagamaan Nabawi adalah nilai rahmat, kasih sayang dan cinta. Dalam manhaj Nabawi Muhammadi saw, sifat rahmat dan cintalah yang ditekankan dan diutamakan dalam hubungan antara Allah swt dan makhluk, antara Rasulullah saw dan umat, antara sesama Islam dan juga sesama insan.

Dalam hadis yang sangat masyhur, Rasulullah saw bersabda, “Orang-orang yang kasih-mengasihi akan dikasihi oleh Robb  yang Maha Pengasih, kasihilah penduduk di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh penduduk langit” (riwayat al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi)

Hadis ini amat diberi perhatian oleh para ulama. Sehingga sebahagian mereka membiasakan membacanya sebagai hadis pertama yang mereka baca secara musalsal dalam mana-mana majlis pengajian sehingga hadis ini dikenali sebagai hadis Musalsal bil Awwaliyyah (Musalsal Permulaan).

Menurut Imam al-’Iraqi, hadis ini diutamakan dari hadis-hadis lain dalam periwayatan hadis bagi para penuntut ilmu untuk mengajar. Juga memberitahu mereka bahawa ilmu itu terbina di atas sifat kasih sayang dan saling menyayangi, bukannya di atas permusuhan, pertengkaran dan pertelagahan.



Islam merupakan agama berkasih sayang. Bukannya agama yang kasar dan gersang dari kasih sayang terutamanya di antara Allah dan hamba-Nya. Hubungan di antara Allah dan orang-orang Islam bukanlah hubungan kepatuhan atau ketaatan kepada kehendak Allah semata-mata dan secara paksaan tetapi lebih kepada hubungan kasih dan cinta yang suci.

Inilah yang tergambar dalam firman Allah swt, “Tanyalah (wahai Muhammad saw), milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi? Katakanlah: (Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat” (QS al-An’aam: 12)

Bahkan, semboyan Ilahi yang tertulis di atas Arasy-Nya berbunyi: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku (azabKu). (Sahih al Bukhari, Kitab Bad’ al Khalq, dan Kitab Tauhid)

Di ketika yang lain, Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah kalian beriman sehinggalah kalian saling menyayangi”. (riwayat al-Hakim dan al-Tabrani).

“Kasihilah orang lain, nescaya kamu akan dikasihi, maafkanlah orang lain nescaya kamu akan dimaafkan”. (Sheikh Muhammad Abdul Baqi al Laknawi).

Tidak sekadar itu, penekanan atau keutamaan aspek kasih sayang sebagai suatu keutamaan dalam Islam juga dapat dilihat dalam pelbagai suruhan-Nya yang lain.

Di antaranya, Islam menyuruh memulakan setiap amal yang baik dengan bacaan Basmalah iaitu dengan nama Allah, al-Rahman dan al-Rahim bagi mengajar umat manusia supaya mengutamakan sifat kasih sayang dalam setiap perkara, selain daripada untuk meraih keberkatan.

Apa yang wajar dikesali, tanpa disedari, citra Islam yang kita garapkan hari ini, sama ada dalam bentuk kata-kata, perbuatan, polisi, slogan atau motto tampak gersang daripada rahmat dan kasih sayang. Sehingga akhirnya ia menjadi suatu yang asing dan jauh daripada hati-hati manusia.

Akibatnya, ikatan ketaatan dan kepatuhan sekadar berlegar di tahap akal dan faham tanpa sampai dirasai hangat, segar dan manis di dalam hati dan perasaan.

KeIslaman dan perasaan beragama di tahap ini sudah pasti tidak akan cukup kukuh untuk menghadapi pelbagai serangan musuh-musuh iman, zahir dan batin.

Akhirnya, walaupun tidak sedikit wang ringgit dan masa kita habiskan, pelbagai dasar dan program yang kita gagaskan, kita masih seolah gagal menandingi arus syaitan yang hakikatnya lebih lemah daripada arus iman seperti yang disebut dalam firman Allah swt, “Sesungguhnya tipu-daya syaitan itu adalah lemah” (QS al-Nisa’: 76)

Sebaliknya kita pula yang merasa lemah berhadapan dengan arus syaitan dalam kehidupan serba moden ini.

Atas kesedaran itulah, kita harus menilai secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh manhaj dan acuan pendekatan keagamaan yang kita hayati dan kemukakan kepada masyarakat.

Antara kepincangan dalam pendekatan keagamaan kita adalah kurangnya keseimbangan dan penekanan terhadap aspek tasawuf dan kerohanian. Sedangkan ia jelas merupakan satu daripada sendi agama seperti yang zahir dalam hadis Jibril yang masyhur itu.

Para ulama dalam tradisi Ahlus Sunnah wal Jamaah sentiasa mengutamakan keseimbangan penggarapan tiga sendi agama iaitu Iman, Islam dan Ihsan yang terjelma dalam munculnya secara saksama tiga cabang disiplin ilmu agama iaitu Akidah-Tauhid, Syariah-Fiqh dan Akhlak-Tasawuf.

Ketiga-tiga cabang ilmu ini perlu dihayati secara bersama dan saksama. Barulah akan muncul generasi ulama dan umat yang murni pegangan akidahnya, teguh penguasaan hukumnya serta tinggi makam rohaninya.

Satu lagi di antara ciri utama pendekatan dakwah dan tarbiah para ulama muktabar ialah menyuburkan perasaan cinta dan kasih umat terhadap Nabi Muhammad saw.

Para ulama sangat menyedari bahawa peranan dan keutamaan Rasulullah saw tidak hanya terhenti setakat penyampai wahyu daripada Allah swt kepada manusia.

Lebih daripada itu, Nabi saw adalah pintu dan jalan utama sepanjang zaman untuk sekalian umat agar mereka benar-benar dapat menghayati dan mengangkat martabat diri mereka ke tahap yang dikehendaki oleh wahyu Ilahi tersebut.

Oleh itu Rasulullah saw perlu benar-benar sentiasa didekati, diingati, dikasihi dan dicintai. Rasulullah saw sendiri telah menegaskan hal ini melalui sabda Baginda saw “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihi dari anak dan bapanya serta manusia seluruhnya” (al-Bukhari, Muslim dan al-Nasai)

Keterampilan Rasulullah saw sebagai Rahmatan Muhdatan (Rahmat Kurniaan Ilahi) perlu diteladani dengan cermat dan diaplikasikan. Sebabnya, inilah modal utama terciptanya kejayaan yang gemilang dan kebahagiaan yang hakiki umat Islam di dunia dan akhirat.

Hari ini kita melihat manhaj Nabawi dalam menghayati Islam seperti yang difahami zaman berzaman oleh para ulama banyak dilupakan. Lebih malang lagi, ada pula yang mentohmah pendekatan para ulama bagi menghidupkan manhaj Nabawi ini sebagai bidaah dan sesat yang menimbulkan gejala perpecahan di kalangan umat Islam.

Pada masa yang sama pendekatan-pendekatan yang jauh lebih rendah mutunya pula diberi keutamaan yang akhirnya gagal membuahkan hasil yang diinginkan.

Akhirnya, kita menyaksikan Al Quran diraikan tetapi Ilahi ditinggalkan, Sunnah dislogankan tetapi Rasulullah saw dilupakan, Islam hendak ditegakkan tetapi para ulama di remehkan.

Jika itu yang berlaku, mana mungkin akan terhasil masyarakat dan individu Muslim yang salim-sejahtera yang di ingin-inginkan dan kita akan tetap gagal mencari formula berkesan bagi mengharungi pelbagai cabaran duniawi yang terpaksa dihadapi. Wallahu`alam.



Jagalah Hati…

Wassalam.

Selasa, 28 Jun 2011

HADIS SAHIH PELINDUNG DIRI...


Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita sama ada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, cabul dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan.

Maka di sini, selain doa dari hadis sahih pelindung setiap kali keluar rumah, iaitu :-

رَسُولَ اللَّهِ  يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

DALAM SEBUTAN RUMI : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA’ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI’UL ‘ALIM

Ertinya : Rasulullah saw didengar berkata sesiapa yang berdoa : “Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan nama-Nya sama ada di bumi dan di langit, dan Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui” sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya” ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ;   At-Tirmizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan – Teks doa berwarna Merah  Syeikh Syuaib ; Hasan)

Ingin saya utarakan satu lagi doa sahih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim as (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi saw.

اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ

DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA’LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA ‘ALA ZAWJI FALA TUSALLIT ‘ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM

Ertinya : Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim” ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad Ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sahih )

Semoga ia dapat dihafal dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersifat tawassul dengan amal soleh kita, iaitu apabila di ikat dengan imannya pada Allah swt dan Rasul-Nya dan telah dijaga kehormatan dirinya dan sudah tentu auratnya.

Justeru, seolah-olah kemakbulan doa ini juga di ikat tentang kewajipan untuk beriman dengan Allah dan RasulNya dan menutup aurat kita. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal kita.

Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga kita. Bukan kerana Allah swt tidak mampu, tetapi Allah swt tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri. Wallahu`alam.

Fikirkanlah.

Jagalah Hati…

Wassalam


Isnin, 27 Jun 2011

TAKSUB : ANTARA TAAT DAN CINTA...


Hari ini bukan saja manusia sangat TAKSUB kepada artis, pemain bolasepak dan tokoh politik, bahkan di antaranya sangat TAKSUB dengan burung, kereta, jawatan, wanita, dan sebagainya. Seringkali taksub hingga rela berhabis-habisan, berkorban duit, tenaga, waktu, bahkan isteri pun sampai dibuatnya cemburu. Ini jenis TAKSUB yang tidak membawa hati kepada Allah.


Hubungan seorang murid kepada guru, atau anak buah kepada pemimpin bermula dengan ikatan ketaatan. Tanpa ketaatan, apalah gunanya seorang guru kepada seorang murid, apalah ertinya seorang pemimpin kepada para pengikut. Untuk mengikat perhubungan murid-guru atau pemimpin-pengikut mestilah dengan ketaatan. Tanpa ketaatan maka tidaklah akan berjaya pendidikan dan kepimpinan. Pentingnya ketaatan ini ditegaskan dalam firman Allah swt, “Hendaklah kamu melakukan ketaatan yang sesungguhnya kepada Allah, Rasul dan pemimpin di kalangan kamu” (QS An-Nisa:59).


Namun, dalam melaksanakan ketaatan ini, tidaklah boleh membuta tuli atau sembarangan. Islam memberi garis panduan sepertimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw iaitu, “Tidaklah boleh melakukan ketaatan kepada makhluk dalam apa jua perkara maksiat.”


Dalam hadis lain, Rasulullah saw menyatakan, “Sesungguhnya ketaatan kepada pemimpin itu hanyalah kepada kebaikan.” Selagi kita berpegang kepada hadis-hadis ini, maka tidak timbullah perkara yang bertentangan dengan Islam baik akidah, syariat ataupun tasawuf dalam melakukan ketaatan kepada guru atau pemimpin kita.


Ketaatan yang sedemikian pula boleh membawa kepada kecintaan. Adakalanya kecintaan datang dulu, baru kemudian lahirnya ketaatan. Terkadang sudah lama taat, baru datang cinta. Kalau taat sahaja tanpa cinta, boleh jadi taat itu ada kepentingan. Lahiriah sahaja taat, tapi hati mengkritik atau menolak. Lahiriah sahaja taat, tapi rupanya ada udang di sebalik batu. Pura-pura taat, tetapi ada benda lain yang di idamkan di sebalik ketaatan tersebut. Pura-pura taat semata-mata untuk mendapat habuan dunia.


Yang sebaiknya adalah orang itu taat atas dasar cinta. Dia buat sesuatu itu memang kerana dia cinta orang tersebut. Seperti seorang isteri yang taat kepada suami, melakukan apa sahaja yang diminta oleh suami sebagai pembuktian cintanya kepada suami.


“Tak kenal maka tak cinta”, sudah kenal, maka timbul kecintaan. Kecintaan itu datang atas banyak sebab. Salah satunya kerana faktor karisma pemimpin tersebut. Seterusnya, kerana guru atau pemimpin itu banyak berjasa kepada murid atau anak buahnya. Bila cinta sudah mendalam, maka di situlah ada pembuktian. Perkara ini adalah fitrah yang di dorong daripada hati orang yang mencintai. Seorang murid yang cinta kepada gurunya, dia sanggup berkhidmat kepada gurunya. Asalkan dia boleh berkhidmat kepada gurunya, di situ adalah kepuasan untuknya.


Keseronokan orang bercinta tidak bertepi. Ada waktu diberinya hadiah. Ada waktunya dikirim salam. Ada waktu, disebut-sebut namanya. Bahkan kerana cinta yang mendalam, orang-orang yang rapat dengan guru tersebut turut dicintainya. Ini termasuk ibubapa, adik-beradik dan anak-anak guru tersebut. Cinta seperti inilah yang membawa kepada ketaksuban.


Ditambah lagi, kecintaan seperti ini tidaklah terhenti setakat kepada guru itu sahaja. Sebenarnya, ia hanya sebagai wasilah atau transit membawa kepada kecintaan kepada Allah. Inilah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw yang membawa maksud, “hendaklah kamu bersama Allah, dan jika kamu tidak mampu melakukannya, bersamalah dengan orang yang bersama Allah (Arifbillah), nescaya dia akan membawa kamu sampai kepada Allah.”


Dalam hadis lain, Rasulullah saw menegaskan, “Hendaklah kamu dipimpin oleh orang-orangmu yang alim kerana sesungguhnya mereka adalah penghubung antara kamu dengan Robb”.


Kalaulah seorang alim itu boleh menjadi penghubung atau wasilah antara kita kepada Ilahi,mengapa tidak kita mengikat perhubungan dengan orang alim tersebut…? Moga-moga melaluinya, kita diterima dan diredhai Ilahi. Bahkan ikatan itu tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan ketaatan dan kecintaan yang bersungguh.
Kecintaan dan ketaatan atau disebut ketaksuban ini tidaklah sampai kepada tahap pemujaan kerana pujian dan pemujaan itu layak mutlak hanya kepada Allah swt sahaja. Orang yang faham tidak berbuat begitu. Jelas seperti dinyatakan dalam Al-Quran, ayat kedua dalam surah Al-Fatihah, “Segala puji dan puja itu hanyalah selayaknya untuk Allah, Robb pentadbir alam.”


Maknanya, ayat ini sudah sendirinya menjadi “pendinding” kepada orang orang-orang yang bercinta supaya tidak sampai kepada pemujaan kerana dilarang Allah swt.


Jikapun ada pujian, itu sebenarnya tidak lari daripada ajaran Islam. Ia termasuk dalam konsep “attahadasu binikmatillah” yakni menyebut nikmat Allah. Seorang yang berilmu dan kuat beragama dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, patut sangat disebut namanya dan diceritakan kelebihannya.


Ini dinyatakan dalam Al-Quran, firman Allah, “Maka nikmat Robb-mu hendaklah kamu sebutkannya.” (Ad-Dhuha:11)


Rasulullah saw sendiri memberitahu dalam satu maksud hadis Baginda saw, “menceritakan nikmat Allah adalah syukur dan tidak melakukannya adalah kufur. Dan barangsiapa yang tidak mensyukuri manusia, maka dia tidak mensyukuri Allah.” Hakikatnya memuji orang sebagai perantara nikmat Ilahi adalah mensyukuri anugerah Allah yang berlaku pada kita.


Adapun kecintaan bukan kepada orang Ilahi (Arifbillah), inilah yang sepatutnya dibimbangkan. Kecintaan seperti ini, jika tidak dijaga dan dipandu dengan ajaran Islam, tidak akan sampai kepada Allah. Bahkan, ia boleh membawa kepada kemaksiatan dan menyebabkan tergelincirnya seseorang daripada agama yang lurus. Kebanyakan kecintaan ini berlaku kepada orang yang jahil agama tanpa menafikan bahawa ahli agama juga turut terjerumus. Banyak terjadi “pemujaan” berlaku di kalangan muda-mudi terhadap ikon mereka dalam bidang hiburan, sukan dan fesyen. Apakah mereka ini patut dibiarkan sahaja…?


Di sinilah ramai orang tidak faham, dengan semudahnya menuduh orang yang taksub kepada guru atau pemimpin itu salah. Lebih berat lagi mereka sewenang-wenangnya menuduh orang seperti ini boleh membawa kesesatan. Sedangkan tidaklah menjadi kesalahan taksub itu kecuali taksub kepada pemimpin atau guru yang jelas tidak menepati aliran akidah ahlus sunnah seperti aliran rafidhiyah, murjiah dan jabariah.


Ataupun taksub kepada pemimpin atau guru yang secara terang-terangan tidak bersyariat seperti tidak bersolat atau tidak berpuasa. Bahkan mereka tidak sedar, orang yang belajar tanpa guru pun sebenarnya boleh membawa kesesatan kerana Sayyidina Ali kwh pernah menyebut bahawa orang yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah yang akan menjadi gurunya. Wallahu`alam.

Jagalah Hati…

Wassalam.

Ahad, 26 Jun 2011

SESUAIKAN HIDUP DENGAN JADUAL ALLAH...


Ada orang yang berpendapat, kita akan terkongkong atau hilang kebebasan bila menurut peraturan Ilahi. Padahal dalam kehidupan, manusia tidak dapat melepaskan diri dari peraturan. Bila tidak ikut peraturan Allah, ertinya ikut dengan peraturan manusia. Bahkan di dalam rumah atau keluarga kita pun tidak lepas dari peraturan. Kalau kita pindah ke rumah orang lain pun akan ada peraturan. Tentu kita akan lebih suka dengan peraturan yang dibuat oleh ayah kita di rumah daripada peraturan yang dibuat dalam rumah orang lain.


Contohnya, kita berada di rumah kita sendiri, tentulah program dalam rumah itu kita yang buat. Kalau kita pergi ke rumah orang lain pula, tentu programnya berlainan dengan di rumah kita. Apakah sama perasaan kita berada di rumah sendiri dengan berada di rumah orang lain? Tentu tidak. Jadual hidup kita pun akan berbeza antara di rumah sendiri dengan di rumah orang lain. Kalau kita paksakan jadual hidup kita di rumah orang lain, tentu kita akan susah dan tidak tenang.


Kalau dunia ini kita rasakan kepunyaan kita, waktu yang 24 jam itu juga kepunyaan kita, kita yang mengatur, itulah yang membuat kita hidup di dunia ini tidak tenang. Susah, gopoh, tertekan dan sebagainya akan dirasai. Itu yang membuat kita tidak stabil. Dunia kepunyaan Allah, waktu juga kepunyaan Allah. Jika kita mengatur semahunya, tentu hidup kita akan jadi susah, sebab kita telah membuat jadual untuk sesuatu yang bukan kepunyaan kita.


Padahal diri kita dan apapun yang berkaitan dengan diri kita, bukan kita yang tentukan. Bahkan kita tidak tahu apa yang akan terjadi sesaat lagi selepas ini. Apalagi untuk yang 1 hari, 1 minggu, 1 tahun, tentu kita lebih tidak tahu. Kalau pun kita cuba untuk mengatur, adakalanya yang terjadi tidak sesuai dengan apa yang kita rencanakan.


Ada orang yang beralasan sibuk dengan kerja, hingga merasa takut terikat dengan peraturan Allah. Padahal dia menjadi sibuk kerana menolak peraturan Allah. Dia sibuk memburu cita-citanya, wang, harta, pangkat dan lainnya, hingga hilang ketenangan. Padahal dalam dia memburu cita-citanya itu pun,  di ikat oleh peraturan di pejabat, di rumah dan di jalan raya. Kalau cita-cita kita adalah Allah, maka susah dengan Allah pun terasa bahagia. Bahkan mati kerana Allah lebih membahagiakan. Jika ada kesusahan dalam usaha memburu cinta Ilahi pun terasa bahagia.


Sebab itu penting untuk mengenal Allah agar tahu siapa Robb dan siapa diri kita. Kalau tidak kenal Ilahi, maka secara langsung sebenarnya kita tidak mengenal diri kita juga. Walaupun kita tidak menyebut diri kita sebagai Tuhan tapi tanpa sedar, kita berlagak seperti Tuhan. Kalau kita memahami bahawa dunia ini Allah yang punya, dan patuh dengan aturan Allah, tentu manusia akan hidup teratur, aman, damai.


Allah memiliki jadual, maka sesuaikan hidup kita dengan jadual Ilahi. Bangun sebelum subuh, kemudian solat sunat 2 rakaat. Setelah itu solat subuh dan jangan tidur setelah subuh kerana akan menumpulkan akal. Jika ingin tidur sekalipun, biarlah setelah terbit atau tinggi matahari.


Tapi bagi orang yang masih muda, masih cergas, waktu itulah dia pergi kerja, sebab tenaga dan fikiran masih segar. Menjelang jam 10 pagi, laksanakan solat sunat Dhuha. Setengah jam sebelum zuhur bersiap pula untuk solat zuhur. Setelah solat zuhur, kerja dan solat asar. Setelah asar tidak  digalakkan tidur, makruh hukumnya kerana dapat melemahkan fikiran. Jika ingin beristirehat, amalkanlah aktiviti membaca, berkebun atau seumpamanya. 30 minit sebelum maghrib, bersiaplah untuk solat maghrib.


Jikalau manusia membuat aturan hidup mereka disesuaikan dengan jadual Allah, hidup akan teratur, tenang dan bahagia.


Tapi untuk ikut dengan jadual Allah, syaratnya mesti kenal Ilahi. Seperti kita bekerja di pejabat juga, bila kita sayang pada ketua kita, apapun arahan dan tugasan yang diberikan kita akan patuhi, walaupun susah dalam melaksanakan kerja tersebut.


Orang yang kenal dengan Ilahi, terlewat solat subuh 30 minit saja akan terasa susah hati. 30 minit sebelum solat, hati sudah merasa rindu ingin menunaikan solat.


Hamba Allah yang sebenarnya, di saat bangun tidur, walaupun dia belum membuat sebarang dosa, terus ingat pada dosa. Syaidina Umar Al Khattab, walaupun dikatakan oleh Rasulullah saw jika ada nabi lagi setelah Baginda saw, maka Umar akan menjadi nabi, dan jika Syaidina Umar ra melalui satu jalan, maka syaitan akan mengambil jalan lain untuk elak bertembung dengan beliau. Tetapi hati Syaidina Umar makin takut pada Allah. Ketika mengambil air wuduk, mukanya mulai pucat kerana takut untuk mengadap Allah swt.


Itulah orang Ilahi ( Rijalullah ), walaupun dekat dengan Allah, tetapi dia rasa jauh dengan Ilahi.


Jagalah Hati...

Wassalam.

Sabtu, 25 Jun 2011

INDAHNYA KEMISKINAN...


 “Kamu pinjam beras dari Makcik Minah dua kilo nak!” Begitu perintah ibu yang hampir setiap minggu ketiga, setiap bulan saya dengar. Beras yang dibeli ayah setiap bulan memang tidak cukup untuk menyara tujuh orang anaknya. Makcik Minah, jiran yang tinggal sekitar 50 meter dari rumah kami, adalah salah seorang jiran, tempat kami meminjam beras.

Pakcik Kassim, suami Makcik Minah bekerja satu pejabat dengan ayah kami. Bezanya, Pakcik Kassim secara ekonomi, keadaannya jauh lebih baik daripada kami. Saya sendiri, sebenarnya terlalu ingin untuk mengetahui urusan perekonomian orang tua. Yang saya mengerti satu, jika ibu menyuruh saya untuk pergi ke rumah Makcik Minah, bererti tong tempat ibu menyimpan beras sudah kosong.

Makcik Minah bukan satu-satunya jiran tempat kami meminjam beras, tempat ke mana saya membawa beg kecil yang sudah usang sebagai bekas mengisi beras. Nenek Fatimah, perempuan tua yang biasa melintasi depan rumah kami bila beliau ke surau, yang tidak jauh dari tempat kediaman Makcik Minah juga tidak ketinggalan.

Walaupun waktu itu saya masih kecil, saya merasakan lebih ‘selesa’ jika pinjam beras dari rumah Nenek Fatimah. Itu kerana saya hampir setiap hari dapat bermain, tepatnya kerja sambilan di rumah beliau. Saya setia memberi tunjuk ajar membaca, menulis, mengira, mengambil foto, atau apa sajalah kepada cucu-cucu Nenek Fatimah yang tidak kurang dari 10 orang jumlahnya.

Saya mendapat imbuhan atas kerja ‘sampingan’ tersebut. Nenek Fatimah adakalanya menyuruh saya untuk memijak kakinya yang sudah berkedut di makan usia. Langkah-langkah kaki beliau tidak lagi lincah. Sambil berjalan membongkok, Nenek Fatimah meminta bantuan saya “Lenguh nak. Tolong pijak kaki Nenek Timah ya?” Saya mengangguk setuju. 

Cucu Nenek Fatimah tinggal di tiga rumah yang bersebelahan dengan rumah beliau. Masing-masing di belakang, dan di sebelah kiri rumahnya. Setiap hari saya hampir harus selalu bergiliran berkunjung ke tiga rumah tersebut. Nenek Fatimah dan anaknya tergolong orang sedikit berharta. Pemergian saya ke sana setiap hari, sejauh pengetahuan saya, juga diharapkan. Bahkan akan ditanya jika sehari saja tidak muncul.

Sekalipun anak Nenek Fatimah seorang guru sekolah menengah, ironisnya, saya yang waktu itu berumur sekitar 12 tahun yang mengajar anak-anaknya.

Subhanallah!. Saya secara peribadi, rasanya tidak memikirkan waktu untuk belajar buat diri sendiri. Ibubapa saya juga tidak pernah mananyakan, “Kamu sudah belajar, nak?”

Di sekolah, saya sering membantu rakan-rakan yang ‘malas’ untuk membuat kerja rumah mereka. Dengan membantu menuliskannya, saya mendapatkan upah, sama ada ia berupa duit, makanan ringan, hinggalah kepada peralatan sekolah seperti buku, pensil atau pen.

Pendeknya, dengan cara begitu, saya tidak perlu risau dengan wang saku yang nyaris tidak saya terima dari ibu setiap harinya. Bagaimana mungkin saya boleh mengharapkan wang saku, jika untuk keperluan makan sehari-hari di rumah pun sentiasa tidak berkecukupan?

Nenek Fatimah dan ketiga-tiga anaknya sering memberi saya makanan untuk saya bawa pulang ke rumah. Entah kenapa, dari hasil pemberian tesrsebut, saya tidak merasa malu. Nasi, sayur, roti atau apa saja yang boleh dimakan seringkali saya bawa ke rumah. “Ini kamu bawa pulang nanti nak!” Kata Nenek Fatimah yang menganggap saya tiada bezanya dengan cucu-cucu beliau.

Andai ada nasi yang sudah basi pun saya tidak menolak, kerana ibu boleh keringkan, kemudian dibuat sarapan pagi. Subhanallah!

Melihat ‘keindahan’kehidupan waktu itu, nasi basi yang dikeringkan, ditanak lagi, diberi sedikit kelapa dan garam, nikmat rasanya. Itulah barangkali kurniaan Allah yang tidak diberikan kepada semua orang, kecuali yang miskin seperti kami barangkali.

Saya tidak tahu bagaimana menggambarkan kesukaran ibubapa membiayai yuran sekolah kami waktu itu. Setiap hari saya harus berjalan kaki lebih dari 6 km untuk berulang-alik ke sekolah, kecuali jika ada beca yang dapat saya tumpang.

Kasut sekolah yang saya pakai acapkali bekas seragam salah seorang kakak saya yang ikut membantu meringankan beban ibubapa kami. Tiga dari sepuluh anggota keluarga kami, termasuk ibu, bekerja sambilan menenun songket di salah satu rumah jiran kampung kami.

Dari situ akhirnya saya juga pandai menjahit, setidaknya pakaian saya yang koyak. Bukankah Rasulullah saw juga menjahit sendiri pakaian Baginda saw? Sayangnya, perusahaan tersebut tidak dapat kekal lama di kampung kami, ia pun berpindah ke pusat bandar. Ini yang membuat kakak-kakak saya tidak ingin meneruskan pendidikan mereka. Dua orang kakak saya hanya sanggup sampai ke tahap SPM. Seorang lagi hingga ke tahap Diploma.  Saya sendiri yang mulai masuk sekolah menengah ketika itu tidak tahu dari mana datangnya duit untuk membiayai pengajian, atau bagaimana ibubapa saya mengusahakannya. Ditambah dengan dua orang adik lagi yang masih kecil.

Seringkali saya tidak tidur di rumah kerana memberikan tutor di beberapa tempat tadi. Saya sendiri waktu itu tidak mengerti apakah ini namanya tuisyen. Yang penting, saya akan mendapat upah dari mengajar anak-anak kecil di sana-sini.

Saya juga mengajar ibu saya yang buta huruf. Subhanallah! Ibu akhirnya dapat membaca, walaupun tulisan yang dibaca mesti ditulis besar-besar. Dan tandatangan beliau pun saya yang mengajarkannya. Saya ‘bangga’ dapat memberikan sedikit ‘sumbangan’ untuk ibu kami.

Yang menguntungkan adalah, rumah kami dekat dengan balairaya. Pakcik Daud, ketua kampung kami seperti tidak keberatan untuk saya memanfaatkan balairaya desa  tersebut untuk mengajar anak-anak. Padahal waktu itu, saya juga masih kanak-kanak. Di sana, kebetulan ada papan hitam dan kadang-kadang juga kapur. Saya gunakan kesempatan baik ini. Jadilah saya ‘guru kecil’.

Bilamana Ramadhan tiba, kami gembira sekali. Entah ada makanan atau tidak, puasa di kampung melahirkan perasaan yang tersendiri. Puasa pun bukan menjadi halangan bagi saya untuk mencari kayu di hutan. Waktu itu belum ada larangan bagi kami untuk mencari kayu disana. Yang pasti, kami tidak mencari kayu jati, cengal atau meranti yang dimanfaatkan untuk membina rumah atau perabot. Kami mencari kayu kering kecil-kecil untuk menghidupkan api dapur. Saya tahu ibu tidak mampu membeli minyak tanah setiap hari.

Saya masih ingat ketika pertama kali mencari kayu, ketika berusia 10 tahun, ingin menangis rasanya, kerana tidak tahu bagaimana harus menebang pokok. Dengan golok kecil yang tidak tajam ditangan, saya cuba meniru sepertimana yang dilakukan teman-teman. Pada akhirnya dapat juga saya melakukannya, sehingga pernah suatu ketika, halaman depan rumah yang luasnya kira-kira 40 meter persegi, penuh dengan kayu bakar. Sekali lagi, saya bangga dapat memberikan ‘sumbangan kecil’ ini buat ibu saya.

Saya benar-benar tidak mengerti apa erti cinta ibubapa terhadap anaknya waktu itu. Setiap pagi yang saya dengar “Tidak bangun lagi kamu?”. Kemudian saya dengar “Blakkkk…!”, Ibu membuka jendela, yang membuat kami terjaga kerana kedinginan. Saya biasa tidur di anjung rumah sahaja.

Tempat tinggal kami tidak jauh dari hutan, sekitar 3 km. Pagi hari sesudah solat Subuh, suasana terasa segar, petani sudah banyak yang lalu-lalang pergi ke sawah. Ramai juga yang mulai menuju ke pasar mencari lauk dapur. Sementara ibu pula menyiapkan sarapan buat kami, jikapun ada.

Bila kami tidak melipat kain selimut, ibu bertanya “Siapa yang kamu fikir akan melipat selimutmu?”, sebuah pertanyaan yang amat menyentuh rasa tanggungjawab kami. Demikian halnya jika sesudah makan lantas kami tidak mencuci pinggan, “Kamu fikir siapa nanti yang akan mencuci pinggan tersebut?” Subhanallah! Kami yang masih anak-anak waktu itu tidak menyedari bahawa kelak, itu semua amat membantu diri kami sendiri menjadi orang yang harus bertanggungjawab terhadap apa yang kami perbuat, hanya belajar dari rutin melipat selimut dan mencuci pinggan di waktu kecil !

Ibuku sangat kurus waktu itu, entah kerana kekurangan makanan atau terlalu banyak memikirkan kami, atau kedua-duanya. Sementara kami berada di sekolah, agaknya ibu berjalan ke sana kemari, mungkin mencari hutang atau sekadar membantu jiran-jiran kami yang memiliki kebun, untuk mendapatkan sesuap makanan buat anak-anaknya. Saya tidak tahu. Bila ada makanan lebih, ibu biasanya juga kata, “Jangan dihabiskan, ingat yang lainnya!” Maksudnya ingat adik beradik lainnya yang berjumlah tujuh orang. Saya merasakan, jadi orang miskin itu akan ‘jauh’ dari saudara, teman, bahkan ‘kenikmatan’ dunia.

Ketika saya diajak ke kantin di pejabat ayah, ternyata beliau tidak membayar tunai makanan kami, tapi hutang. Subhanallah! Bapa ku, hanya kerana ingin menyenangkan hati anaknya, harus berhutang di kantin tersebut.

Kami tidak sendirian dilanda kemiskinan waktu itu. Masih banyak keluarga-keluarga lain yang mungkin jauh di bawah kami tingkat penderitannya. Rumah kami memang using, tapi itu warisan yang diberikan kepada ibu dari nenek beliau.

Ramadhan ini adalah puasa keempat belas ibu kami tidak dapat ikut menikmatinya. Beliau sudah pulang ke Rahmatullah. Bapa mendahului beliau jauh sebelumnya. ” Bangun, sudah hampir Imsak!” Begitu suara ibu yang hampir setiap hari kami dengar dikala Ramadhan tiba, padahal belum tentu ada makanan yang buat ukuran sekarang ‘layak’ kami makan. Begitu seringnya ibu sedikit  sayu bila aku bertanya, “Makan apa nanti?”. Sehingga makan nasi dan garam atau ubi rebus saja, bukan asing bagi kami. “Aku akan cari pucuk paku !”, kadangkala saya tawarkan khidmatku pada ibu sekiranya tidak ada sayur. Maksud saya adalah, pucuk-pucuk paku liar yang ada di kebun orang lain itulah yang saya cabut. Astaghfirullah! Sekiranya perbuatan ini disebut mencuri, saya memohon ampun kepada-Mu ya Allah atas segala kekhilafan hamba-Mu yang kala itu didera kemiskinan!

Walaupun kefakiran, sebagaimana sabda Rasulullah saw, boleh membawa kekufuran, mencuri kayu di hutan, hutang yang belum tentu dilunaskan tepat waktu, mencuri pucuk paku di kebun…..adalah buah dari kemiskinan ini, sekarang saya dapat merasakan, betapa kemiskinan waktu itu ternyata juga ‘indah’.

Orang hanya akan dapat menikmati dan mensyukuri besarnya nikmat dan kurniaan Allah swt sesudah menganyam kemiskinan. Apakah kerana alasan tersebut, Rasulullah saw lebih memilih kemiskinan dibandingkan menjadi raja yang kaya raya? Apakah kerana hikmah di sebalik kemiskinan yang besar inilah, sahabat-sahabat Rasulullah saw memilih menjadi melarat? Subhanallah!

Adakah ibu dan bapa ku di alam Baqa` sana mengerti rahsia di sebalik semua ini? Bahawa kemiskinan kami dulu yang membuat saudara tidak dekat, teman jadi jauh, keindahan dunia menjadi mahal, ternyata buahnya begitu indah? Berbahagialah orang yang dapat belajar kehidupan ini dari kemiskinan…
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.