Popular Posts

Jumaat, 14 Jun 2013

FIKIRKAN...




saya ingin kongsikan sedikit pendapat tentang realiti hidup kita hari ini....

jika pedas, mungkin ia cili padi....

jika manis, belum tentu ia madu....



Setelah hampir 130 tahun Inggeris menduduki Tanah Melayu merencana dan mendidik rakyat Tanah Melayu mengikut acuan mereka, maka pada tahun 1957 Tanah Melayu dimerdekakan dan bermulalah sistem politik kepartian yang direncanakan oleh Inggeris berdasarkan kontrak sosial yang dipersetujui bersama dalam perlembagaan persekutuan.

Sekarang sudah lebih 50 tahun Malaysia merdeka. Umat Islam tidak bertambah kuat identitinya. Mereka yang sepatutnya menjadi umat yang membawa risalah Nabi saw kebanyakannya menyimpankan akidah untuk diri sendiri, beramal ibadah untuk diri sendiri sedangkan mereka memikul amanah menyampaikan dakwah kepada semua umat manusia.

Lebih 50 tahun juga perjuangan untuk menegakkan Islam dilakukan melalui kerangka pilihanraya, kerangka demokrasi dengan mengharapkan suatu hari nanti umat Islam akan mengundi pejuang-pejuang Islam dan menyokong gagasan mereka. Sebaliknya sistem sekular terus mendidik rakyat bermula daripada sekolah rendah sehingga universiti.

Apakah cukup dengan hanya menyertai parti politik dan berjuang untuk memenangi pilihanraya setiap 4 tahun, maka anak-anak kita akan menjadi soleh, beriman, mencintai Islam, memahami al-Quran, memahami hadis-hadis Nabi saw dan akhirnya meneruskan perjuangan kita menegakkan Islam? Apakah yang mereka belajar di sekolah, televisyen, filem-filem, majalah, novel dan rakan sebaya.

Lihatlah pula apakah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang sudah pencen semasa masa terluang mereka hari ini. Apakah cukup dengan mendengar kuliah-kuliah agama, ceramah, majlis Ilmu dan beribadah siang dan malam. Apakah kerja-kerja mereka ini menambahkan kebaikan kepada generasi ummah yang semakin tenat.

Kenapa mereka tidak mewakafkan waktu mereka untuk mengajar tafsir al-Quran, hadis-hadis Nabi saw, sirah para sahabat ra secara percuma kepada generasi setempat? Apakah mereka hanya menunggu saat kematian tanpa melakukan sesuatu yang produktif untuk ummah?

Mereka ini pada umumnya adalah generasi yang lahir pada awal kemerdekaan. Mereka adalah generasi yang dididik dan di asuh mengikut sistem politik penjajah selepas merdeka. Apakah yang kita ingin harapkan kepada generasi yang lahir hari ini 50 tahun akan datang. Apalah mereka juga akan mengulangi generasi hari ini yang hanya mampu melihat keruntuhan ummah dan hanya berjuang dengan doa...?

Realitinya, generasi yang lahir dan hidup pada hari ini akan mengulangi sikap generasi yang sudah pencen ini 50 tahun akan datang jika gerakan Islam keseluruhannya tidak mengubah cara kerja mereka kepada mengutamakan tarbiyyah, mengajar untuk memahami al-Quran, sunnah dan sirah Nabi saw dengan bersungguh-sungguh kepada ahlinya dan anggota masyarakat...

Bukankah maksud menegakkan Islam ialah menegakkan Islam dalam diri manusia...?

Bukankah Nabi saw berdakwah mengajak manusia untuk memahami al-Quran dan menghayatinya...?

Kenapa umat Islam yang telah memeluk Islam sejak sebelum merdeka tidak mengajarkan Islam kepada jirannya dan kawannya yang bukan Islam...?

Persoalannya, adakah kita masih terperangkap dengan pemikiran politik barat yang hanya menunggu perubahan setiap kali pilihanraya...?



Fikir-fikirkanlah wahai saudara semuslimku yang baik hatinya....


Wallahu`alam


Jagalah Hati....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan