Popular Posts

Jumaat, 16 Disember 2011

TITIAN PERJALANAN...




Jika kita di tanyakan, di antara syurga dan neraka, yang mana akan di pilih...? Sudah tentu kita akan memilih Syurga. Selain syurga, apa pilihan yang kita ada? Neraka...!



Semoga Allah lindungi kita dari azab neraka. Adakah pilihan ketiga? Tidak ada pilihan keempat, kelima dan seterusnya.Bahkan tiada pilihan tengah-tengah. Yang ada hanya 2 pilihan, syurga atau neraka. 



Di dunia yang sedang kita beriktiar ini, kita juga perlu pilih jalan kehidupan, kalau nak syurga, maka kita juga perlu memilih jalan yang akan membawa kita ke syurga, kemudian istiqamah melalui jalan tersebut. Jika kita melalui jalan-jalan ke neraka, adakah kita akan sampai ke syurga? Maknanya, untuk memilih ke syurga, kita wajib memilih dan melalui jalan-jalan yang membawa kita ke syurga, insya Allah kita akan sampai ke syurga dengan rahmat dan kasih sayang Allah swt. Kata Ibnu Taimiyah ra, jika kita melakukan amalan-amalan syurga, bererti kita telah memasuki taman-taman syurga dunia, barangsiapa yang tidak memasuki taman syurga di dunia, dia tidak akan mampu memasuki taman syurga di akhirat kelak. 



Maka marilah kita bermuhasabah, sudah sejauh mana kita istiqamah melalui jalan-jalan ke syurga...? Beramallah dengan amalan ke syurga, walaupun sedikit tetapi tetap istiqamah. Sebaliknya janganlah kita berangan memilih ke syurga tetapi secara sedar atau tidak, setiap hari kita memilih dan melalui jalan-jalan kegelapan yang menuju ke neraka, walaupun kita tidak pilih untuk menuju ke sana.



Kita sedar kita lemah, terkadang buat salah dan silap, terikut juga lorong-lorong kegelapan. Maka bersegeralah bertaubat kerana taubat adalah jalan terbaik menuju ke syurga.
 

“..dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kalian beruntung.” (QS An-Nuur:31).



Taubat yang kita lakukan adalah hijrah kita dari jalan kegelapan kepada jalan cahaya, kemudian istiqamahlah di jalan cahaya itu. 


“Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Robb kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (QS At-Tahrim:8) 



Rasulullah saw sendiri yang terlindung dari dosa, bahkan Baginda saw merupakan pemimpin dan penunjuk jalan-jalan ke syurga, tidak pernah terlepas memohon keampunan dari Allah swt.
 

“Demi Allah, aku minta ampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari.” (Bukhari)



Sebenarnya kita sudah ditunjukkan jalan-jalan menuju ke syurga oleh pemilik syurga, iaitu Allah swt. Malangnya kita yang terlupa, buat-buat lupa atau enggan untuk memilih dan melalui jalan-jalan itu.
 


Akhirnya di akhirat kelak, Allah swt akan melupakan kita, dan pada saat itu kita tidak ada pilihan lain, kita akan menjadi penghuni neraka Allah swt. Firman-Nya...


"Demikianlah keadaannya! telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepada mu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan". (QS Taha: 126)


“dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi dari jalan yang benar.”
(QS Al-Isra’: 72)



Oleh itu, janganlah kita leka dan lalai dalam kehidupan. Selalulah ‘check’ jalan yang mana sedang kita lalui di sepanjang kehidupan.



Ingatlah saudara semuslimku...! Kita tidak ada pilihan melainkan memilih jalan ke syurga dan istiqamah di atas jalan tersebut. 



Akhirkata, ingin saya kongsikan petua yang disampaikan oleh Syaidina Ali Abi Talib kwh dengan enam jalan menuju ke syurga dan menghindari jalan ke neraka, semoga memberi panduan buat kita bersamam insya Allah...


“Barangsiapa menghimpun enam pengetahuan, maka tidak sukar baginya mencari syurga dan menjauhi neraka. Pertama, mengenali Allah kemudian mentaati-Nya, Kedua, mengenali syaitan kemudian menentangnya. Ketiga mengenali akhirat kemudian mengharapnya. Keempat, mengenali dunia, kemudian menjauhinya (zuhud). Kelima mengenali kebenaran lalu mengikutinya. Keenam mengenali kebatilan, kemudian menghindarinya.”




Wallahu`alam



Jagalah Hati...



Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan