Popular Posts

Jumaat, 9 Disember 2011

KEMAAFAN YANG TERINDAH...



Pertolongan dan kasih sayang Allah di dunia ini bukan untuk orang yang taat sahaja. Orang yang bermaksiat sekalipun masih mendapat percikan kasih sayang Allah. Dan sesungguhnya, jika Allah mahu, Allah boleh balas perbuatan maksiat itu on the spot. Saat si pelaku maksiat itu melakukan maksiat lagi. Tapi, kerana betapa besarnya kasih sayang Ilahi, Dia masih bersabar dengan dosa-dosa hamba-hamba-Nya. Kerana Maha Penyayang Dia, Dia tidak membalas dosa hamba-hamba-Nya yang melakukan maksiat secara langsung.

“Dan Robb mu jua yang Maha Pengampun, lagi mempunyai rahmat. Jika Dia mengazab mereka kerana perbuatan mereka, tentu Dia akan menyegerakan azab bagi mereka.” (QS Al-Kahfi: 58)

“Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar.” (QS An-Nur:14)

“Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya.” (QS An-Nur 21)

Ingatkah kita pada kata-kata-Nya? Allah menyuruh kita berpaling kepada-Nya. Kembalilah kepada-Nya. Bacalah kata-kata Ilahi yang seterusnya ini. Rasakan dengan hati kita yang paling dalam. Allah mengatakan ini dengan kasih sayang-Nya yang tanpa batas.

“Katakanlah,”Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia jua yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Robb mu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (QS Az-Zumar: 53-54)

Allah datang dengan ampunan. Allah berkata kepada kita,”Dan kembalilah kamu kepada Robb mu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” Pertanyaannya kini, “Sesungguhnya apa yang Allah kehendaki dari kita?” Pertanyaan ini telah dijawab oleh Allah dalam firman-Nya...

“Allah hendak menerima taubatmu, sedang orang-orang yang mengikuti hawa nafsunya bermaksud supaya kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran). Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (QS An-Nisa’: 27-28)

Sesungguhnya Allah itu Ash-Shabur, yakni Robb yang Maha Penyabar. Tahukah kita betapa teruknya ketika seorang kafir mengatakan yang Allah itu mempunyai anak? Betapa dahsyatnya anggapan Allah itu mempunyai anak sehinggakan dengan anggapan mereka itu hampir sahaja langit pecah, bumi terbelah dan gunung-gunung runtuh.

“Dan mereka berkata,’(Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak’. Sungguh, kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar, hampir saja langit pecah, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh (kerana ucapan itu), kerana mereka menganggap (Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak. Dan tidak mungkin bagi (Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak.” ( QS Maryam: 88-92)

Sehingga Rasulullah saw bersabda, ”Tidak ada seorang pun yang mendengar sesuatu yang menyakitkan yang lebih sabar dari Allah. Dia telah disekutukan dan dianggap memiliki anak, tetapi Dia membiarkan dan memberi mereka rezeki. ” (Ahmad)

Rahmat-Nya meliputi seluruh manusia, termasuklah orang-orang kafir. Adakah Allah mencegah rezeki orang kafir ? Selamanya, bukankah ini suatu rahmat? Walaupun mereka bermaksiat kepada Allah dan tidak menyembah-Nya? Adakah Allah menghentikan bekalan udara yang dihirupnya? Tidak, walaupun bumi dan langit ini milik-Nya. Itulah rahmat Allah dan mudah-mudahan mereka kembali kepada-Nya. Betapa Allah itu Maha Penyayang, Maha Pengasih, Maha Penyabar.

Ada satu kisah...

Suatu hari datanglah seorang lelaki tua kepada Nabi Ibrahim as, lalu Nabi Ibrahim as mengajaknya untuk makan bersama. Kemudian Nabi Ibrahim as menyalakan api agar makanan itu cepat masak. Tiba-tiba, lelaki tua itu mendekati tungku api tersebut lalu menyembahnya, kerana beliau beragama penyembah api. Lalu Nabi Ibrahim as berkata,”Pergilah, apakah engkau menyembah api?” Maka lelaki tua itu berdiri lalu meinggalkan rumah Nabi Ibrahim as.

Seketika kemudian, Allah mengutus Jibril as kepada Nabi Ibrahim as seraya berkata,”Wahai Ibrahim mengapa engkau tidak mahu bersabar sesaat sedangkan Aku bersabar terhadapnya selama 60 tahun.”

Kemudian lelaki tua itu muncul dari arah belakang Nabi Ibrahim as dan Baginda as menngajaknya makan bersama. Lelaki tua itu berkata,”Mengapa engkau diam saja?” Lalu Nabi Ibrahim as berkata,”Robb ku telah menegurku tentang engkau.” “Robb yang Maha Pengasih, Dia berhak disembah,” jawab lelaki tua tersebut dan dia pun masuk Islam.

Subhanallah... Allah berkata kepada Nabi Ibrahim as, ”Wahai Ibrahim mengapa engkau tidak mahu bersabar sesaat sedangkan Aku bersabar terhadapnya selama 60 tahun.” Dialah Allah yang Maha Penyabar, Maha Esa dan Zat tempat bergantung seluruh makhluk. Dia diderhakai, tetapi tetap bersabar. Begitu ramai orang yang tidak menunaikan hak Allah, tetapi Allah memaafkan.

Setiap saat Allah membelai kita, menjaga kita dan menolong kita, tetapi kita sering tidak menyedarinya.

Saya ingin kongsikan lagi sebuah cerita lain...

Ibnu Qudamah dalam satu karyanya berjudul Tawwabin, menceritakan kisah menarik tentang kasih sayang dan pertolongan Allah. Ibnu Qudamah merujuk kepada kesaksian seseorang yang telah mengalami sebuah kejadian benar yang menakjubkan. Orang itu bernama Yusuf bin Husain. Dia menuturkan kisahnya...

Pernah suatu ketika aku bersama Dzun Nun Al Mishri berada di tepian sebuah anak sungai. Aku melihat seekor kala jengking besar di tempat itu. Tiba-tiba ada seekor katak muncul ke permukaan, dan kala jengking itu kemudiannya naik ke atas belakangnya. Kemudian sang katak itu berenang menyeberangi sungai.”

“Dzun Nun Al-Mishri berkata, ada sesuatu yang aneh dengan kala jengking itu, mari kita ikuti dia!”

“Maka kami terus mengikuti kala jengking yang didukung oleh katak itu. Kami terperanjat ketika menjumpai seseorang yang kelihatan seperti mabuk, tertidur di tepian sungai. Dan di sebelahnya ada seekor ular yang sudah menjalar dari pusat kemudian ke dadanya. Kelihatan seperti ular tersebut hendak menggigit telinganya.”

“Lalu kemudiannya kami dapat menyaksikan suatu kejadian yang luar biasa. Kala jengking itu tiba-tiba melompat sepantas kilat ke atas tubuh ular itu lalu menyengat ular itu sekuat-kuatnya, sehingga sang ular menggeliat-geliat dan terkoyak-koyak tubuhnya.”

“Dzun Nun pun membangunkan anak muda yang sedang mabuk itu. Sesaat kemudian anak muda itu terjaga. Dzun Nun berkata,’Hai anak muda, lihatlah betapa besarnya kasih sayang Allah yang telah menyelamatkanmu. Lihatlah kala jengking yang diutuskan-Nya untuk membinasakan ular yang hendak membunuhmu!’ ”

“Lalu Dzun Nun melanjutkan nasihatnya,’Hai orang yang terlena, padahal Allah menjaganya dari bahaya yang merayap di kala gelita. Sungguh aneh, mata manusia mampu terlelap meninggalkan Ilahi yang Kuasa, yang melimpahkan dengan pelbagai nikmat.”


“Setelah itu pemabuk itu berkata,’Wahai Robb ku, betapa agung kasih sayang Mu sekalipun terhadap diriku yang derhaka kepada Mu ini. Jika demikian, bagaimana pula dengan kasih sayang Mu terhadap orang yang selalu taat kepada-Mu?”

Subhanallah... Itu kasih sayang Allah pada mereka yang bermaksiat kepada-Nya.. Ya Allah, tidak terbayang bagi kami bagaimanalah kasih sayang Allah pada hamba-hamba-Nya yang taat dan mencintai-Nya...

Satu lagi kisah yang saya mahu kongsikan. Sebuah kisah yang juga sangat menyentuh hati. Wahai hati, sedarkah kamu yang Dia Maha Menerima Taubat? Bukankah dengan sifat-Nya yang Maha Menerima Taubat itu telah membuktikan bahawasanya Dia Maha Penyayang.

Selamilah kisah berikut ini...

Kisah di zaman Nabi Musa as...

Masa itu kemarau yang amat dahsyat, sehinggakan umat Nabi Musa as meminta Nabi Musa as untuk memohon pada Allah agar diturunkan hujan. Berkumpullah semua pengikut Nabi Musa as di satu kawasan lapang. Maka, Nabi Musa as pun berdoa, tetapi, hujan masih tidak turun-turun... Bertanyalah Nabi Musa as pada Allah,"Kenapa ya Allah?"

Allah pun berkata,"Sesungguhnya Musa, di dalam kelompok pengikutmu, ada seorang hamba Ku yang telah bermaksiat kepada Ku selama 40 tahun... Disebabkan dia, hujan tidak akan turun. Keluarkan dia dari kelompok itu..."

Maka, Nabi Musa as pun menyeru pada kumpulan itu,"Keluarlah wahai seorang hamba-Nya yang telah bermaksiat pada Allah selama 40 tahun.. Keluarlah dari sini. Kerana kamu hujan tidak akan turun.."

Lalu, tersedarlah hamba tersebut.. Dia jadi serba salah.. Jika dia tidak keluar, maka mereka semua akan mati kerana kemarau. Tetapi, jika dia keluar, dia akan berasa amat malu.. Malu sangat.. Lantas, dia berdoa pada Allah,"Ya Allah.. Selama 40 tahun ini, aku telah bermaksiat pada Mu.. Tetapi Engkau masih menutup aibku hingga kini.. Ya Allah, aku bertaubat pada Mu.. Aku bertaubat... Ya Allah, selamatkanlah aku.." Hamba tersebut masih berada dalam kumpulan itu dan terus berdoa.

Tidak semena-mena... hujan pun turun mencurah-curah. Terkejutlah Nabi Musa as. Nabi Musa as pun bertanya kepada Allah, “kenapakah?” Allah menjawab,"Wahai Musa, Aku sangat gembira kerana hamba Ku yang telah bermaksiat pada Ku tadi telah bertaubat. Maka Aku turunkan hujan kerana dia telah bertaubat." Nabi Musa as pun berkata lagi,"Ya Allah, kau tunjukkanlah padaku siapakah hamba tersebut agar aku dapat bergembira dan dapat meraikan dia.."

Apa Allah kata selepas itu? Ini kata-kata Allah... "Wahai Musa, selama ini aku telah menutup aibnya selama 40 tahun.. Dan mana mungkin aku membuka aibnya kepadamu pada hari ini..."

Subhanallah... Ya Allah, kami terharu. Allah menutup aib itu dari hamba-hamba-Nya yang lain, hatta seorang Nabi pun. Yakinlah, Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Allah tidak akan pernah jemu memberi kemaafan dan keampunan. Tolonglah yakin dengan sebenar-benar keyakinan pada-Nya...


Sebuah kisah lain di zaman Rasulullah saw...
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw seraya berkata, ”Jika aku berbuat dosa, adakah akan ditulis?”

Rasulullah saw menjawab,”Ya, akan ditulis.”

Lelaki itu bertanya lagi, ”Bagaimana jika aku bertaubat?”

Rasulullah saw menjawab,”Akan dihapus.”

Lelaki itu bertanya lagi, ”Bagaimana jika aku mengulangi lagi?”

Rasulullah saw menjawab, ”Akan ditulis.”

Lelaki itu bertanya lagi, ”Ya Rasulullah, bagaimana jika aku bertaubat?”

Rasulullah saw menjawab,”Akan dihapus.”

Lelaki itupun berkata,”Ya Rasulullah, sampai bilakah Allah akan menghapus dosa?”

Rasulullah saw menjawab,”Allah tidak akan bosan memberi ampunan sehingga kalian bosan meminta ampun.” (Thabrani dan al-Hakim)

Begitu jugalah di sekeliling kita... Ada tanda-tanda kasih sayang Ilahi. Cuba lihat kasih sayang seekor kucing kepada anak-anaknya.. Malahan, lihat dan rasakanlah kasih sayang yang telah diberikan ibu, ayah, adik-adik, kakak abang dan kawan-kawan kepada kita..Subhanallah...

Semua kasih sayang ini yang Allah hadirkan pada hamba-hamba-Nya. Pada kita semua, tidak kira manusia, jin atau pun haiwan... padahal di dunia ini, Allah hanya turunkan 1% sahaja kasih sayang-Nya...

Dengan 1% itulah hinggakan ibu burung sampai mengangkat kakinya dek takut diri terpijak anaknya...

Dengan 1% itulah orang di sekeliling kita menyayangi kita...Ya Allah.. Sebegini hebat 1% ini.. sudahlah 1% ini pun Allah yang pinjamkan..

Lalu, di mana yang 99% itu? Itu Allah punya.. Maka, bukankah kasih sayang Allah lagi Maha Banyak daripada kita semua...?

Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengasih...

Rasulullah saw pernah bersabda, “Allah swt  mempunyai 100 rahmat (kasih sayang), dan menurunkan 1 rahmat (dari 100 rahmat) kepada jin, manusia, binatang, dan haiwan melata. Dengan rahmat itu, mereka saling berbelas-kasih dan berkasih sayang, dan dengannya pula binatang-binatang buas menyayangi anak-anaknya. Dan (Allah swt) menangguhkan 99 bahagian rahmat itu sebagai kasih sayang-Nya pada Hari Kiamat nanti.” (Muslim)

Mahu saya kongsikan lagi kisah kasih sayang Dia...?

Inilah kisahnya...

Rasulullah saw melihat seorang ibu memegang anaknya, maka Baginda saw bersabda,"Adakah kalian berpendapat wanita ini sanggup melemparkan anaknya ke neraka?" Mereka menjawab,"Tidak." Rasulullah saw bersabda lagi,"Cinta Allah kepada hamba-hamba-Nya melebihi cinta ibu tadi kepada anaknya." (Ahmad)

Jangan lupa...Kita diciptakan dengan kasih-sayang-Nya.. Ya, kita diciptakan oleh-Nya dengan kasih sayang. Apakah perkataan Allah pertama kali pada Nabi Adam as?

Rasulullah saw bersabda,”Saat Allah menciptakan Adam, dan meniup ruh pada dirinya, Adam bersin. Dia berkata,’Alhamdulillah (segala puji bagi Allah).’ Adam mengucapkan tahmid tersebut dengan izin-Nya. Kemudian Robb-nya berkata,’Semoga Allah merahmatimu (mengasihimu), wahai Adam.’ ” (Tirmidzi)

Perkataan Allah pertama kali kepada Nabi Adam as adalah,”Robb mu mengasihimu..”

Allah itu Ar-Rahman..

“Robb mu telah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang,” (QS Al-An’am:54)

"Maybe you have someone that love you, but Allah loves you most.. So let us love Allah.."

Allah sayang aku, kamu, kami dan kalian semua.. Insya Allah...

Wahai diri... Marilah bertaubat...... semoga diperolehi kasih sayang dari-Nya...

Wallahu`alam


Jagalah Hati...

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan