Persahabatan itu ..........
* KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting sekali dalam sebuah persahabatan. Ikatan sebuah persahabatan akan mudah rapuh jika tidak adanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu, kadang-kadang perlunya kita mengatakan rasa cinta kita terhadap sahabat kita.
* KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat kita, perlunya kita curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita, insya Allah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.
* KEIKHLASAN dapat menjamin sebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat dari Ilahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.
* KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita baik terhadap mereka , kita akan diingat oleh mereka sampai akhir hayat mereka, kerana dikala susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan, insya Allah.
* KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan juga, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya. Kita berani mengaku padanya atas kekhilafan yang dilakukan. Selain itu, berani juga dalam menasihati sahabat kita. Kerana sebagai sahabat, kita mesti mahu yang terbaik untuk mereka, kan?
* KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa tanpa pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalukan dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan.
* KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sedikit kekhilafan, bersedialah untuk memaafkannya, sebesar apa pun kesalahan mereka terhadap kita. Kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika kita yang salah, janganlah malu untuk meminta maaf kepada mereka kerana orang yang terlebih dulu meminta maaf adalah orang yang hebat.
* KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka rasakan kesedihan bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Kerana tidak ada yang akan mereka cari selain kita sahabat mereka.
* KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak inginkah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak inginkah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka juga.
* KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, "Kau cantik, aku mesti cantik," "Kau kaya, aku pun kena kaya". Tidak sama sekali. Manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun dalam persahabatan, keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman antara dua pihak. Apabila ada kesefahaman, barulah hubungan kita dengan sahabat kita akan menjadi lebih baik dan akan berkurangnya permasalahan yang disebabkan salah faham.
Alhamdulillah, itulah dia 10 K yang dapat saya simpulkan mengenai persahabatan. Maaf jika agak membosankan, namun saya tetap ingin berkongsi pendapat saya mengenai topik ini.
Persoalannya, "Adakah kita dan sahabat kita mengamalkan 10 K ini?"
Wallahu`alam
Jagalah Hati...
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan