Pada suatu malam, seorang buta ingin pulang selepas menziarahi rumah sahabatnya. Si sahabat membekalkan padanya sebuah pelita.
Orang buta itu ketawa dan berkata, “Buat apa saya bawa pelita? Kan sama saja buat saya!”
Dengan lembut sahabatnya menjawab, “Pelita ini agar dapat membantu orang lain untuk melihat kamu, biar mereka tidak melanggarmu.”
Akhirnya orang buta itu setuju untuk membawa pelita tersebut. Tidak berapa lama, dalam perjalanan, seorang pejalan kaki melanggar si buta.
Dalam rasa terkejutnya, si buta berkata, “Hei, kamu kan punya mata! Berilah jalan pada orang buta!”
Tanpa berbalas sapa, mereka pun saling berlalu.
Selanjutnya, seorang pejalan lainnya melanggar si buta.
Kali ini si buta bertambah marah, “Apa kamu buta? Tidak boleh lihat ya? Aku bawa pelita ini supaya kamu boleh lihat!”
Pejalan itu membalas, “Kamu yang buta! Apa kamu tidak lihat bahawa pelitamu sudah padam!”
Si buta tertegun...
Menyedari situasi sebenar, pejalan kaki itu meminta maaf, “Oh, maaf, sayalah yang ‘buta’, saya tidak melihat bahawa anda adalah orang buta.”
Si buta tersipu menjawab, “Tidak apa-apa, maafkan saya juga atas kata-kata kasar saya.”
Dengan tulus, si pemuda itu membantu menyalakan kembali pelita yang dibawa si buta. Mereka pun melanjutkan perjalanan masing-masing.
Dalam perjalanan seterusnya, ada lagi pejalan kaki yang melanggar orang buta ini.
Kali ini, si buta lebih berhati-hati, dia bertanya dengan santun, “Maaf, adakah pelita saya padam?”
Orang yang melanggarnya menjawab, “Laa... saya sebenarnya ingin menanyakan hal yang sama juga.”
Senyap sejenak.
Secara serentak, mereka saling bertanya, “Adakah kamu orang buta?”
Secara simfoni juga, mereka menjawab, “Iya.,” sambil keduanya meledak dalam tawa.
Mereka pun berupaya saling membantu menemukan kembali pelita mereka yang berjatuhan akibat saling berlanggaran.
Pada waktu itu juga, seseorang melintasi mereka. Dalam kegelapan malam, nyaris ia juga hampir terlanggar kedua-dua orang yang sedang mencari-cari pelita tersebut. Orang ini pun berlalu, tanpa mengetahui bahawa mereka adalah orang buta.
Timbul idea dalam benak orang ini, “Rasanya saya perlu membawa pelita juga, jadi saya dapat melihat jalan dengan lebih baik, orang lain juga boleh melihat jalan mereka.”
Pelita melambangkan terang kebijaksanaan. Membawa pelita bererti menjalankan kebijaksanaan dalam hidup. Pelita, sama halnya dengan kebijaksanaan... melindungi kita dan pihak lain dari pelbagai aral rintangan.
Si buta mewakili mereka yang di selubungi kegelapan batin, keangkuhan, ego dan kemarahan. Selalu menunjuk ke arah orang lain, tidak sedar bahawa lebih banyak jarinya yang menunjuk ke arah dirinya sendiri. Dalam perjalanan “pulang”, ia belajar menjadi bijak melalui peristiwa demi peristiwa yang di alaminya. Ia menjadi lebih rendah hati kerana menyedari kebutaannya dan dengan adanya belas kasih dari pihak lain. Ia juga belajar menjadi pemaaf.
Orang pertama yang melanggar si buta mewakili orang-orang pada umumnya, yang kurang kesedaran dan kurang prihatin. Kadangkala, mereka memilih untuk “membuta” walaupun mereka boleh melihat.
Orang kedua yang melanggar si buta mewakili mereka yang seolah-olah bertentangan dengan kita, yang sebenarnya menunjukkan kekeliruan kita, sengaja atau tidak sengaja. Mereka boleh menjadi guru-guru terbaik kita. Tidak seorang pun yang mahu jadi buta, sudah selayaknya kita saling faham dan saling membantu.
Orang buta kedua mewakili mereka yang sama-sama gelap batin dengan kita. Betapa sukarnya menyalakan pelita jika kita tidak dapat melihat pelitanya. Orang buta sukar untuk menuntun orang buta lainnya. Itulah pentingnya untuk terus belajar agar kita menjadi makin pandai dan semakin bijaksana.
Orang terakhir yang melintasi kedua-dua orang buta itu mewakili mereka yang cukup sedar akan pentingnya memiliki pelita kebijaksanaan.
Sudahkah kita suluh pelita dalam diri kita masing-masing? Jika sudah, adakah nyalaanya masih terang, atau nyaris padam? JADILAH PELITA, bagi diri kita sendiri dan sekitar kita.
Sebuah pepatah berusia 25 abad mengatakan, “Sejuta pelita dapat dinyalakan dari sebuah pelita, dan nyalaan pelita pertama tidak akan malap”. Pelita kebijaksanaan pun, tidak akan pernah habis walau dikongsikan.
Bila mata tanpa penghalang, hasilnya adalah penglihatan. Jika telinga tanpa penghalang, hasilnya adalah pendengaran. Hidung yang tanpa penghalang dapat menghidu. Maka, fikiran yang tanpa penghalang hasilnya adalah kebijaksanaan...
Wallahu`alam
Jagalah Hati...
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan