Pernikahan akan bernilai dakwah apabila dilaksanakan sesuai dengan tuntunan Islam di satu sisi, dan mengambil kira pelbagai kemaslahatan dakwah dalam setiap langkahnya pada sisi yang lain. Dalam memilih pasangan hidup, apa yang difikirkan ialah kriteria yang akan bernilai tambah untuk dakwah, bukan untuk diri sendiri. Pertanyaan yang harus dijawab dengan jujur adalah, “Adakah pemilihan pasangan hidup ini memiliki implikasi kemaslahatan yang optimum bagi dakwah, atau sekadar mendapatkan kemaslahatan bagi diri sendiri?”
Ramai dari kalangan wanita yang telah memasuki usia matang untuk berkahwin, malahan beragam tingkat usia. Maka, ia sekaligus mencipta tahap mendesak untuk berkahwin yang juga berbeza. Beberapa orang, malahan sudah mencapai usia 35 tahun, sebahagiannya 30 tahun, juga ada antaranya antara 25 tahun hingga 30 tahun. Mereka semua telah bersedia untuk berkahwin, bersedia untuk menjalankan fungsi dan peranan sebagai isteri dan ibu dalam sebuah rumahtangga.
Jika kita seorang muslim yang berikrar menginfakkan hidup di jalan dakwah, berniat melaksanakan pernikahan dan dihadapkan pada realiti ini, manakah yang lebih kita pilih? Dengan pertimbangan apa kita memilihnya?
Jika kita memilih seorang wanita yang berusia lima tahun lebih muda dari kita, sungguh ia tidak salah. Kita telah memilih calon isteri dengan benar sesuai Sunnah Rasulullah saw.
Namun, apabila semua lelaki muslim berfikir bahawa calon isterinya harus memiliki kecantikan ideal, berkulit putih dan lebih muda darinya, maka siapakah yang akan melamar para wanita berusia tadi? Siapakah yang akan melamar para wanita yang dari segi fizikalnya tidak cukup alasan untuk mengatakan bahawa dia cantik menurut ukuran umum? Padahal mereka adalah wanita yang taat, solehah, menjaga kehormatan diri, dan aktif dalam masyarakat. Menurut kita, siapakah yang harus menikahi mereka?
Mengapa pertanyaannya “harus”? Kerana kita mungkin sahaja meremeh dan melupakan realiti itu! Jodoh di tangan Allah, kita tidak memiliki hak, biarlah Allah memberikan keputusan-Nya yang agung. Kita memang boleh melupakan mereka, tidak peduli dengan mereka, tapi adakah Islam menghendaki kita berperilaku sedemikian...?
Rasulullah saw sendiri menganjurkan pada Jabir ra menikahi seorang gadis, padahal hampir semua isteri Rasulullah saw adalah janda. Tetapi Rasulullah saw bersetuju dengan pilihan Jabir ra untuk menikahi janda setelah mengetahui alasan maslahat yang menjadi pertimbangan Jabir ra.
Bersediakah kita mengurangkan markah untuk aspek kecantikan dari kriteria calon isteri kita sekitar 20 atau 30 peratus untuk mendapatkan kemaslahatan dari segi yang lain? Jika gadis impian kita berusia lebih muda, adakah kita bersedia menggugurkan impian itu demi menghulurkan perhatian pada wanita yang lebih mendesak untuk berkahwin disebabkan faktor usia? Atau setidaknya, wanitayang sama usia dengan kita?
Jika kita pula adalah seorang wanita yang masih muda, dirisik oleh seorang lelaki muslim yang sesuai dengan impian kita, mampukah wanita muda ini mengatakan pada lelaki yang merisiknya, “Saya memang sudah bersedia untuk berkahwin, namun sahabat saya, bernama.... lebih perlu untuk segera berkahwin.” Ketika pilihan itu membawa maslahat bagi dakwah, mengapa tidak ditempuhi?
Atau kita telah bersepakat untuk tidak mahu melihat realiti ini dengan alasan ia bukan tanggungjawab kita? Ini urusan masing-masing. Untung dan rugi adalah takdir yang tidak berada di tangan kita.
Ingatlah, Rasulullah saw berpesan, “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam cinta, kasih sayang dan kelembutan hati mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila ada satu anggota tubuh menderita sakit, terasa sakitlah seluruh tubuh hingga tidak dapat untuk tidur dan demam” (Bukhari dan Muslim).
Mungkin kebahagiaan pernikahan kita telah menyakiti hati saudara yang lain. Setiap saat mereka membaca dan menghadiri undangan pernikahan, hati mereka bersedih kerana jodoh tidak kunjung datang, sementara usia terus bertambah dan kepercayaan diri semakin berkurang. Disinilah perlunya kita berfikir tentang kemaslahatan dakwah.
Persoalan buat kita, “Adakah kita bersedia untuk berkahwin di jalan dakwah?”
Wallahu`alam
Jagalah Hati...
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan