Popular Posts

Rabu, 14 Disember 2011

TERJAGAKAH HATI KU...?




Segala puji bagi Allah, Pentadbir kerajaan langit dan bumi, Penguasa seluruh alam raya, Penguasa semua hati hamba-hamba-Nya. Selawat serta salam kita panjatkan bersama kepada Junjungan Mulia, Baginda Rasulullah saw yang suatu masa dahulu berjuang meninggikan kalimat toyyibah di hati para umat sehinggakan kita mampu melafazkan kalimat toyyibah sebagai lambang persaksian kepada Yang Maha Esa serta pesuruh-Nya. Alhamdulillah…


Saudara semuslimku, satu peringatan buat kita bersama, satu perkara yang perlu kita perhatikan bersama serta satu masalah yang perlu kita mengambil berat mengenainya… “Terjagakah hatiku...?”


Satu persoalan yang ingin diutarakan dalam rangka kita muhasabah kembali penjagaan hati kita dalam menapak arus kemodenan yang pasti tiada batas waktu dan tempat bagi kita semua berkomunikasi secara alam maya. Saya yang penuh dengan khilaf dosa ingin berkongsi sama rasa ini. Semoga perkongsian ini untuk tazkirah diri sendiri dan untuk sekalian pembaca yang di pilih Allah swt. Perkongsian yang ingin dibicarakan berkaitan dengan firman Allah dan hadis Rasulullah saw yang pasti kita biasa dengannya,


"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. "(QS 17:32)


Abu Hurairah ra berkata, bahawa Nabi saw telah bersabda, "Perzinaan bagi mata adalah memandang, perzinaan bagi telinga adalah mendengar. perzinaan bagi mulut adalah pembicaraan. perzinaan bagi tangan adalah meraba, perzinaan bagi kaki adalah berjalan menuju kemaksiatan, dan perzinaan bagi hati adalah terangsang, berharap, dan membenarkan apa yang menjadi ajakan farji (kemaluan)” (Bukhari dan Muslim)


 Jika dahulu konsep hubungan tanpa sempadan belum  tercorak, sudah pasti perzinaan khususnya melalui mata,telinga dan hati masih kabur pada pandangan. Namun kini, berbekalkan jaringan tanpa sempadan, ruangan sosial secara on-line yang meluas mahupun ruangan pertemuan perbualan yang pasti mendekatkan mereka yang jauh, mengenalkan mereka yang asing sehingga perbualan antara berlainan jantina sudah dipandang perkara yang enteng. Kita mengetahui larangan Rasulullah saw jika lelaki bersendirian bersama wanita tanpa muhrim,


Ibnu Abbas ra berkata, bahawa Rasulullah saw telah bersabda, "Jangan sekali-kali salah seorang di antara kamu bersendirian dengan seorang wanita, kecuali beserta mahram" (Bukhari dan Muslim)


Jangan kita hanya kecilkan skopnya sekadar pertemuan fizikal. Bagaimana pula pertemuan hanya kamu dan si dia di 'chat room'? Pertemuan fizikal secara berhadapan pasti masih ada perasaan malu membentengi, namun jika hanya perkataan yang keluar ke skrin komputer pasti mengurangi benteng malu tersebut. Berapa ramai kita dapat lihat contohnya di laman 'social network' yang tidak saling mengenali namun berani berbicara benda-benda yang kekadang lari dari tujuan asalnya. Merapu tidak tentu hala. Memuji dan bergurau yang berlebihan dan sebagainya.


Kita ambil contoh bayangkan kita bertemu ramai kawan-kawan sekolah yang telah lama tidak ketemu dan akhirnya ketemu di alam maya, pasti jika dahulu semasa di sekolah kita tidak berani bertegur sapa, bahkan tidak pernah pun berbicara dengannya, khususnya yang berlainan jantina, namun alam maya membenarkan segala, bertanya khabar sehingga mampu menjerumus penyakit timbul di dalam hati.


Blog-blog yang pasti mega bilangannya juga tempat yang harus sentiasa kita awasi. Komen-komen yang mampu menggugat kekuatan hati harus kita membatasi. Pujian dari seorang lelaki kepada wanita atau sebaliknya. Kita takuti perkara ini akan perlahan mengotori hati yang selama ini ingin bersama kita menjaga. Bagi yang sedikit islamik, penggunaan anta-enti menjadi cagaran, nampak indah pada pandangan, walau berlainan jantina, namun anta-enti membolehkan segalanya yang mampu merosakkan hati manusia kerana kita takuti inilah sarana syaitan untuk membuat indah perkara yang salah seperti peringatan dari Allah swt,  Iblis berkata: "Ya Robb ku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya”(QS 15:39)


Saudara semuslimku, jangan kita manfaatkan kemudahan tanpa sempadan sebagai sarana membuat maksiat tanpa sempadan. Kemudahan bentuk ini merupakan ujian bagi kita dari terjerumus ke lembah perzinaan hati jika kita tidak mengamalkan larangan-Nya secara menyeluruh di semua tempat sehingga syaitan mampu menipu daya hati-hati kita.

" Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."(QS 2:208)


dan satu perkara yang pasti...


“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati” (QS 40:19)


Semoga Allah memberikan kita kekuatan membezakan mana yang hak dan mana yang bathil, mana yang halal dan mana yang haram atas rangka kita ingin menjaga hati kita bersama. Keimanan kita masih perlu dipertanyakan dimana tingkatannya jika salah satu penanda aras yang Rasulullah saw berikan belum mampu kita penuhkan.


Abu Hurairah ra bertanya, bahawa  Rasulullah saw telah bersabda, "Tidak akan berzina seorang pezina bila ketika berzina dia beriman...” (Bukhari dan Muslim)


Sesungguhnya tazkirah ini khusus dan paling utama untuk diri saya sendiri, syukur kepada Illahi yang memberikan kesedaran akan perkara ini dari terus menjerumus mengotorkan hati ini walau pasti sudah terlalu banyak bintik hitam yang mengotori hati.


Segala pujian kita serahkan segalanya kepada yang memberikan nikmat atas segalanya.


Jika keindahan kita dapati tidak kira dimana lokasi, ingat dan pujilah kepada Dia yang selayaknya. Segala kekurangan dan kesalahan diri atas dasar kehinaan kita sendiri yang bergelumang dengan dosa sama ada ktia sedari atau sebaliknya, sama ada besar atau kecil saiznya kerana dosa bukan umpama lalat yang hinggap sementara pada hidung, dikuis terus hilang. Dan yang pasti dosa kecil lebih kita takuti dari dosa besar kerana ia tidak dapat dirasa kerana kekecilannya


Persiapan hati itu yang penting...
.

"Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawapan." (QS 17:36)



Wallahu`alam



Jagalah Hati...



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan