Hatiku berkata padaku dan menasihatiku agar
mencintai semua orang yang membenciku,
dan berteman dengan mereka yang memfitnahku.
Hatiku menasihatiku dan mengungkapkan kepadaku
bahawa cinta tidak hanya menghargai orang yang mencintai,
tetapi juga orang yang dicintai.
Sejak saat itu,
bagiku cinta ibarat sarang labah-labah di antara dua bunga, dekat satu sama lain;
tapi kini dia menjadi suatu lingkaran cahaya
di sekeliling matahari yang tiada berawal juga tiada berakhir,
melingkari semua yang ada, dan bertambah secara kekal.
Hatiku menasihatiku dan mengajarku
agar melihat kecantikan
yang ada di sebalik bentuk dan warna.
Hatiku memintaku untuk menatap semua yang buruk dengan tabah
Hatiku memintaku untuk menatap semua yang buruk dengan tabah
sehingga nampaklah keelokannya.
Sesungguhnya sebelum hatiku meminta dan menasihatiku,
aku melihat keindahan seperti titik api yang bergulung asap;
tapi sekarang asap itu telah tersebar dan menghilang,
dan aku hanya melihat api yang membakar.
Hatiku menasihatiku dan memintaku
untuk mendengar suara yang keluar
bukan dari lidah mahupun dari kerongkong.
sebelum dari ini, aku hanya mendengar teriakan
dan jeritan di telingaku yang bodoh dan sia-sia.
Tapi sekarang aku belajar mendengar keheningan
yang bergema dan melantunkan lagu dari zaman ke zaman.
menyanyikan nada langit, dan menyingkap tabir rahsia keabadiaan..
Hatiku berkata padaku dan menasihatiku agar memuaskan kehausanku
dengan meminum madu yang tidak dituangkan ke dalam cawan-cawan,
yang belum di angkat oleh tangan, dan tidak di sentuh oleh bibir
Hingga hari itu kehausanku seperti nyalaan redup yang terkubur dalam abu.
Tertiup angin dingin dari musim-musim tengkujuh;
tapi sekarang kerinduan menjadi cawanku,
cinta menjadi madu ku, dan kesendirian adalah kebahagiaan ku.
Hatiku menasihatiku dan memintaku
mencari yang tidak dapat dilihat;
dan hatiku menyingkapkan kepadaku
bahawa apa yang kita sentuh adalah apa yang kita impikan.
Hatiku mengatakan padaku dan mengundangku
untuk menghirup harum tumbuhan
yang tidak memiliki akar, tangkai atau pun bunga
dan yang tidak pernah dapat dilihat mata.
Sebelum hatiku menasihati,
aku mencari bau harum dalam kebun-kebun,
dalam botol minyak wangi tumbuhan-tumbuhan;
tapi sekarang aku menyedari hanya pada setanggi yang tidak dibakar,
aku mencium udara lebih harum dari semua kebun-kebun di dunia ini
dan semua angin di angkasa raya.
Hatiku menasihatiku dan memintaku agar
tidak merasa mulia kerana pujian.
dan agar tidak disusahkan oleh ketakutan kerana hinaan serta cacian.
hingga hari ini aku berasa ragu akan nilai pekerjaanku;
tapi sekarang aku belajar dari empat musim ciptaan-Nya;
bahawa pohon berbunga di musim bunga,
dan berbuah di musim panas
dan menggugurkan daun-daunnya di musim gugur
untuk menjadi benar-benar telanjang di musim dingin.
tanpa merasa mulia dan tanpa ketakutan atau tanpa rasa malu.
Hatiku menasihatiku dan meyakinkanku
bahawa aku tidak lebih tinggi berbanding si kaya
dan tidak lebih rendah berbanding si fakir.
sebelumnya, aku melihat manusia ada dua,
seorang yang lemah yang aku caci atau ku kasihani,
dan seorang yang kuat yang ku ikuti,
mahupun yang ku lawan dalam pemberontakan.
Tapi sekarang aku tahu
bahawa aku juga dibentuk dari tanah yang sama dengan semua manusia diciptakan.
bahawa unsur-unsurku adalah unsur-unsur mereka,
dan pengembaraan mereka adalah juga milik ku.
Bila mereka melanggar
aku juga terlanggar,
dan bila mereka berbuat baik,
maka aku juga bersama perbuatan baik mereka.
bila mereka bangkit,
aku juga bangkit bersama mereka;
bila mereka tertinggal di belakang,
aku juga menemani mereka.
Hatiku menasihatiku dan memerintahku
untuk melihat bahawa cahaya yang ku bawa bukanlah cahaya ku,
bahawa laguku tidak diciptakan dalam diriku;
kerana, walaupun aku berjalan dengan cahaya, aku bukanlah cahaya,
dan walaupun aku bermain seruling yang diikat kemas oleh dawai-dawaiku,
aku bukanlah pemain seruling.
Hatiku menasihatiku dan mengingatkanku
untuk mengukur waktu dengan perkataan ini:
“Di sana ada hari semalam dan di sana ada hari esok.”
Pada saat itu aku menganggap masa lampau sebuah zaman yang lenyap dan akan dilupakan,
dan masa depan ku anggap suatu masa yang tidak dapat ku capai;
Tapi kini aku terdidik dengan perkara ini :
Tapi kini aku terdidik dengan perkara ini :
bahawa dalam keseluruhan waktu masa kini yang singkat,
serta semua yang ada dalam waktu, harus diraih sampai dapat.
Hatiku menasihatiku, saudaraku, dan menerangiku.
dan begitu jugalah seringkali jiwamu menasihati dan menerangimu.
kerana engkau seperti diriku, dan tidak ada beza di antara kita.
Ku simpan apa yang ku katakan dalam diriku ini pada kata-kata yang ku dengar dalam heningku.
dan engkau jagalah apa yang ada di dalam dirimu,
dan engkau adalah penjaga yang sama baiknya seperti yang ku katakan ini.
Wallahu`alam
Jagalah Hati...
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan