Popular Posts

Isnin, 19 Disember 2011

MUNAJAT MUSTAJAB...




Terima kasih Ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan.
Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan.
Terima kasih untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan.
Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan.
Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku...
dan terlalu sedikit pengabdianku terhadap-Mu.



Engkau tetap menerima walau terkadang aku alpa, aku lupa, aku tersilap
dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan.
Namun begitu besar kasih Mu...
Engkau tetap melindungiku walaupun terkadang aku kalut merungut ketika saat-saat lemahku datang.
Aku tidak pernah menafikan hak Mu sebagai Khaliq,
walaupun terkadang aku terbuai dengan kesedihan dan kesakitan yang amat pedih.



Ampunkan aku Ya Allah apabila aku merintih nasibku di hadapan Mu.
Jika bukan kepada-Mu, kepada siapa lagi harus ku mengadu...?
Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini Ya Allah...
namun aku hanyalah hamba Mu yang daif dan lemah.



Adakalanya aku kurang kesabaran.
Ada masanya aku goyah keimanan.
Ada masanya aku hampir terikut bisikan syaitan.
Namun dengan limpahan kasih sayang Mu, Engkau menarikku kembali jauh daripada kesesatan.



Dalam usia begini... aku ingin menjadi lebih dekat pada Mu Ya Rahman.
Dalam usia yang makin jauh ini...aku ingin lebih merindui Mu Ya Rahim.
Dalam usia meniti senja ini...aku ingin sekali menyambut panggilan Kaabah Mu Ya Al Malik.
Dalam usia beruban ini yang ku inginkan
hanyalah ketenangan, kekhusyukan beribadah, segala kesederhanaan dan kerendahan hati
tanpa berhenti menghulur kasih pada yang sudi.



Ya Muhaimin...
pimpinlah tangan hamba Mu ini...
pimpinlah hati hamba Mu ini...
pimpinlah langkah hamba Mu ini agar sentiasa berpijak di atas jalan kebenaran.



Ya Al-Quddus...
sebagai hamba Mu yang hina dina,
aku tidak akan mungkin mencapai sempurna, tapi kasihanilah aku...
bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti siratulmustaqim Mu
dengan tenang dan mudah tanpa cela.



Ya Al Hakiim...
berikanlah ilham kepadaku agar aku mampu terus berkarya.
Agar aku terus mampu memberikan sedikit ikhtibar dan dakwah dengan caraku.
Hulurkan kepadaku bijaksana agar aku mampu terus memacu kalam keinsanan
sehingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi.



Terima kasih Ya Allah atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untukku.
Engkaulah Yang Maha Besar... peliharalah aku agar terus berpegang teguh pada tali Mu.



Terimalah permohonan hamba Mu yang sedang bermusafir di bumi Mu ini Ya Al Rahim.



Amin Ya Rabbal 'Alamin.



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan