Popular Posts

Jumaat, 9 Disember 2011

MONOLOG SEORANG HAMBA...



Setiap apa yang Dia ciptakan, tiada apa yang sia-sia. Aku percaya dan benar-benar yakin. Biar sehalus zarah sekalipun, semuanya akan dihitung. Kebaikan dibalas dengan kebaikan. Kejahatan pula dibalas setimpal dengannya. Allahu...! sungguh hanya Dia yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.


Biarpun setitis airmata mengalir membasahi pipi, semuanya terjadi hanya dengan keizinan-Nya. Apa yang ada di dalam dada, mahu pun terlafaz oleh bibir, semuanya dalam pengetahuan-Nya. Allahu...! Sungguh Engkau Maha Mendengar lagi Maha Melihat.


Berbicara dengan Mu, tiada batas waktu mahupun sempadan masa. Setiap detik dan saat, Engkau sentiasa ada untuk kami. Biar susah, biar senang, Engkau sentiasa bersama kami...Maha Mengetahui lagi Maha Agung.


Dewasa ini airmataku sering tumpah saat kita berbicara. Atau, adakah aku hanya berbicara sendiri? Adakah Engkau masih sudi berbicara denganku? Mendengar luahan dan rintihanku? Mendengar bisikan dan jeritan batinku. Ya Allah... sungguh banyak dosaku pada Mu. Sungguh banyak khilafku pada Mu. Terlalu banyak penyesalan yang bersarang di dalam dadaku. Banyak sungguh aku menzalimi diriku sendiri. Betapa besarnya dosa-dosaku pada Mu.


Adakah masih ada ruang keampunan dan kemaafan buatku...?


Airmata ini datang dan pergi semahunya. Tanpa pintaku. Tanpa sempat aku mengusir. Ah..
Airmata ini airmata penyesalan. Airmata dosa. Airmata duka dan sendu seorang hamba yang pernah mengkhianati Robb-nya. Sungguh penyesalan itu terlalu perit untuk aku tempuhi. Terlalu pahit untuk aku telan. Terlalu panas untuk aku genggam. Aku hampir tewas.


Ya Allah, aku ingin berbicara dengan Mu, kerana aku tahu Engkau Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Dengarlah suara hatiku ini... Ampunkanlah dosa-dosaku. Pimpinlah aku menuju jalan Mu yang benar.

‎"Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku." (QS Al-Qasas: 16)


Wallahu`alam.



Jagalah Hati...



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan