Popular Posts

Isnin, 26 Disember 2011

KITA MENUAI APA YANG KITA TANAM...




Terzahirnya kisah ini semoga menjadi perkongsian dari hati kepada hati saudara semuslim...


Pada suatu hari, seorang pemilik perniagaan yang agak ternama dan sekaligus sebagai pengerusi lembaga pengarah yang sudah berusia lanjut tiba-tiba muncul di pejabatnya sekitar pukul 7.00 pagi.


Para pengurus dan kakitangan perniagaan tersebut terkejut kerana bukanlah kebiasaan Bos mereka datang ke pejabat seawal itu. Biasanya ia hadir paling awal pun selepas waktu Zuhur atau sekitar pukul 3.00 petang. Itu pun tidak setiap hari. Paling kerap pun hanya tiga atau empat hari sekali.


Semua yang melihat kedatangan tiba-tiba si Bos tersebut bertanya-tanya dalam diri sendiri, “Kenapa..? Pasti ada sesuatu yang amat penting yang terjadi” Namun tidak seorang pun yang dapat meneka apa sesugguhnya yang terjadi atau apa yang ada dalam benak si Bos jutawan itu.


Di pagi yang cerah itu, ternyata beliau membawa sebuah idea besar yang boleh dikatakan berani. Idea tersebut ialah, beliau telah memutuskan untuk mengundurkan diri dari menerajui perniagaan yang ia bina sendiri dan pimpin sejak 30 tahun lalu. Yang menarik lagi ialah, ia tidak mahu menyerahkan kepemimpinan perniagaan kepada anak-anaknya kerana takut tidak dikendalikan secara professional.


Keputusan itu ia ambil setelah melihat perniagaan-perniagaan yang di urus oleh generasi kedua, rata-ratanya hancur, kecuali sedikit yang berjaya mengekalkan legasi. Hal tersebut terjadi kerana anak atau generasi kedua tidak merasakan betapa payahnya membangunkan sebuah usaha niaga sehingga tidak memahami selok beloknya secara terperinci. Tambahan pula, biasanya, anak-anak orang kaya merasa tinggi hati atau sombong kerana sejak lahir sudah hidup sebagai anak orang kaya dan dihormati orang ramai.


Keputusan tersebut di anggap oleh ramai orang sebagai keputusan luar biasa. Namun si Bos jutawan itu tetap dengan pendiriannya, malahan telah dinasihatkan sebelumnya oleh beberapa sahabatnya. Ia berpendapat, biarlah hasil perniagaan ini akan menjadi warisan bagi keturunannya kelak. Untuk itu, perniagaan harus selalu dalam keadaan yang kuat dan stabil. Anak-anaknya, beliau motivasikan dan bantu membina empayar perniagaan sendiri sejak dari awal sehingga memahami betapa sukarnya merintis sebuah perniagaan itu.


Dengan yang demikian, mereka akan merasakan dan menghormati jerih payah orang tuanya dan para pekerja yang setia mendampinginya sejak perniagaan tersebut di rintis 30 tahun silam.


Walhasil, setelah duduk sekitar setengah jam di bilik pejabatnya yang indah dan dipenuhi lukisan ayat-ayat Al-Quran itu, ia memanggil setiausahanya agar memaklumkan kepada pengurus besar, semua pengurus dan semua ketua jabatan lainnya untuk masuk ke bilik mesyuarat tepat pukul 8.00 pagi, kerana ada hal yang amat penting yang akan ia sampaikan. Mendengar arahan tersebut, setiausahanya tentu merasa berdebar sambil berfikir apa gerangan yang akan disampaikan si Bosnya.


Tepat jarum jam menunjukkan jam 8.00 pagi, dengan tenang si Bos keluar dari biliknya dan menuju ke bilik mesyuarat yang terletak tidak jauh dari biliknya. Saat masuk ke bilik mesyuarat, ia mengetuk pintunya dengan lembut sambil mengucapkan salam, “Assalamualalikum!” Semua yang hadir serentak menjawab, 
“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarokatuh…”


Setelah duduk, si Bos menyampaikan ucapan permohonan maafnya atas undangan mesyuarat yang mengejut itu, kemudian ia menjelaskan tujuan panggilan mesyuarat tersebut...


“Saudara-saudara yang dirahmati Allah dan yang saya kasihi. Tiba saatnya kini saya mengundurkan diri dari pengurusan syarikat ini. Saya akan memilih di antara kalian yang akan menggantikan kedudukan yang cukup berat ini. Saya yakin, berdasarkan pengamatan saya selama ini, kalian semua layak dan mampu menerima amanah yang akan saya berikan. Pasti di antara kalian ada yang terbaik. Maka siapa di antara kalian yang terbaik, maka dialah yang akan saya ambil sebagai pengganti saya.”


Semua yang hadir terkejut dan kebingungan mendengarkan ucapan dan penjelasan Bos mereka. Sungguh tidak pernah mereka duga betapa hebatnya pemimpin mereka dan jarang mereka mendengar kes seperti itu. Mereka semua merasa antara harap dan berdebar-debar.


Berharap terpilih dan pada waktu yang sama juga merasa takut jika sekiranya benar-benar terpilih menjadi pimpinan tertinggi perniagaan yang cukup besar tersebut, kerana mereka belum pernah terbayang sebelumnya.


Kemudian si Bos meneruskan bicaranya, “Sekarang kita berada pada akhir tahun hijrah, bulan Zulhijjah. Saya akan melakukan satu ujian terhadap semua yang hadir di ruangan ini, tanpa melihat kedudukan , jawatan dan jabatan”


“Kerana saya yakin kalian semua adalah calon-calon pemimpin yang layak untuk memimpin perniagaan ini. Ujian yang akan saya berikan sangat mudah dan ringan. Nanti di awal tahun depan, iaitu tepatnya pada 1 Muharam, kita berkumpul lagi di tempat ini pada masa yang sama. Saat itu saya akan menilai siapa yang terbaik di antara kalian yang akan saya ambil untuk menjadi pemimpin perniagaan ini.”


“Ada pun ujian yang akan kalian jalankan ialah, bahawa setiap yang hadir di sini akan saya berikan satu benih tanaman yang sudah saya siapkan. Benih tersebut kalian bawa pulang, kemudian ditanam di rumah masing-masing dan dijaga bersama isteri dan keluarga. Tanaman siapa yang paling baik, paling subur dan yang paling tinggi, maka dialah yang berhak menjadi pemimpin perniagaan ini. Nanti pada tanggal 1 Muharram, pada masa yang sama dengan sekarang masing-masing akan membawa hasil tanamannya ke bilik mesyuarat ini.


Di antara yang hadir, ada seorang pengurus muda bernama Roslan. Seperti rakan-rakannya yang lain, Roslan juga membawa pulang benih yang diberikan si Bos. Sesampai di rumah, ia menceritakan mesyuarat tergempar dengan Bosnya tadi kepada isterinya. Isterinya sangat terharu sambil berharap semoga suaminyalah yang terpilih kelak menjadi pemimpin perniagaan tersebut.


Isterinya segera menyiapkan tempat penyemaian benih tersebut, lalu mengambil tanah yang terbaik dari belakang rumahnya. Malahan dia segera ke kedai menjual kelengkapan pertanian berhampiran tempat tinggalnya dan membeli baja secukupnya. Sepasang suami isteri ini setiap hari mengamati perkembangan yang terjadi pada tanaman mereka. Namun sayang, benih yang ditanam tidak kunjung tumbuh.


Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Tidak terasa mereka sudah berada pada bulan ketiga. Setiap kali bertemu dengan teman-teman yang hadir dalam mesyuarat tersebut, Roslan merasa rendah diri kerana beliau tidak ada berita yang membanggakannya. Teman-temannya yang lain cukup bersemangat bercerita bahawa tanaman mereka sudah tumbuh dengan baik, bahkan ada yang dengan bangganya mengatakan bahawa tanamannya sudah setinggi lutut. Roslan tetap sahaja diam, malahan kelihatan sedikit sedih.


Akhirnya, sampailah waktu yang dijanjikan. Tanggal 1 Muharram pun tiba. Setelah pulang dari solat Subuh dari masjid berdekatan rumahnya, ia berkata pada isterinya bahawa ia tidak akan masuk ke pejabat hari ini kerana merasa malu dan tidak ada yang dapat ia perlihatkan pada Bosnya. Kenapa...? Kerana benih yang diberikan Bosnya tidak juga bertunas hingga kini, apalagi sampai setinggi lutut, seperti cerita salah seorang temannya.


Mendengar keluhan Roslan, si isteri cuba meyakinkan suaminya bahawa ia harus pergi ke pejabat hari ini walaupun tidak membawa tanaman yang tumbuh dengan subur. Lalu isterinya berkata, “Biarlah teman-teman Abang membawa tanaman mereka yang subur itu. Abang harus jujur jika ditanya Bos nanti. Katakan sahaja yang sebenarnya bahawa kita sudah menjaga sebaik mungkin benih ini, namun hasilnya tidak seperti apa yang diharapkan. Abang harus bangga membawa kejujuran ke mana-mana pun”, ucap isterinya.


Mendengar nasihat sang isteri, Roslan memberanikan diri berangkat ke pejabatnya pagi itu, walaupun hatinya was-was dan bimbang tidak dapat berbicara apa-apa saat pertemuan dengan Bosnya nanti.


Sesampai di pejabat, Roslan segera menuju ke bilik mesyuarat. Roslan semakin hilang semangat saat melihat tanaman teman-temannya yang sangat subur, malahan ada yang setinggi lutut, padahal umur tanaman tersebut baru 3 bulan.


Dengan tenang Roslan meletakkan bekas semaian benih dengan tanah yang ada di dalamnya, walau tidak nampak sedikit pun tanda-tanda kehidupan di dalamnya. Tentu sahaja, semua mata yang hadir tertumpu kepada bekas yang dibawa Roslan sambil kehairanan.


Bahkan ada yang memberi komen sinis, “Mana tanamannya? Di makan kambing ke?” Namun Roslan tetap tenang dan tidak melayani kata-kata mereka sedikit pun, walau ia merasakan badannya sedang sejuk panas.


Tidak berapa lama kemudian, jam 8.00 pagi, tanggal 1 Muharram, si Bos masuk ke bilik mesyuarat sambil mengucapkan salam, “Asalamualalaikum!”


Semua yang hadir serentak menjawab, “Walaikumussalam warahmatullahi wabarokatuh…”


Kemudian ia melanjutkan bicaranya, “Saudara-saudara sekalian, saya sangat gembira melihat tanaman yang kalian bawa. Dari benih yang saya berikan sebulan yang lalu, kalian berjaya menanam dan menjaganya dengan baik sehingga menjadi seperti ini.”


“Sungguh sangat membanggakan. Pada hari ini saya akan menentukan siapa di antara kalian yang paling terbaik yang akan saya jadikan sebagai Presiden sekaligus Pengarah Urusan kumpulan yang akan menggantikan tempat saya.”


Mendengar pujian sang pemimpin tersebut, mereka semua menampakkan di wajah mereka tanda kegembiraan dan senyuman. Di antara mereka ada yang bertakbir, “ Allahu Akbar…. Alllahu Akbar… Allahu Akbar..” Kecuali Roslan yang duduk di belakang sambil mengelamun dan bersedih hati.


Dalam suasana gembira tersebut tiba-tiba sang Bos melihat salah seorang pengurusnya yang bernama Roslan duduk di belakang sambil terlihat di wajahnya perasaan sedih dan malu. Si bos berbisik pada setiausahanya sambil meminta Roslan mengadapnya sekarang juga. Setelah setiausaha tersebut menyampaikan pesanan Presiden, Roslan terperanjat dan pucat lesi sambil berkata dalam hatinya, “Tamat sudah kerjayaku di syarikat ini”.


Setelah Roslan menghampiri si bos sambil mengucapkan salam, sang Presiden mempersilakan Roslan duduk di kerusinya dan meminta untuk memperlihatkan kepada teman-temannya bekas yang hanya berisi tanah dan tidak ada tanaman sama sekali.


Teman-teman Roslan pun memberikan sikap yang beragam. Mereka semua berdiri sambil mata mereka tertuju pada bekas yang diperlihatkan Roslan. Ada yang mencebik. Ada pula yang berkata, “Mana tanamannya? Dimakan kambing ya?” Kata mereka, sambil menunjukkan jari ke arah bekas yang dibawa Roslan.


Suasana menjadi sedikit riuh. Sang Bos cuma diam tanpa berucap sepatah kata pun. Perasaan Roslan semakin tidak menentu. Sedih, malu dan bercampur marah. Namun demikian, Roslan tetap dapat menahan emosinya dan sambil berkata dalam hatinya, “Inilah saya…”


Setelah beberapa minit berlalu, Sang Bos mula bicara, “Saudara-saudara sekalian. Dimohon semuanya duduk di tempat masing-masing. Saudara Roslan, sila berdiri sekarang. Saya akan menyampaikan sesuatu yang sangat penting seperti janji saya sebulan yang lalu.”


“Setelah menimbang dan mengamati hasil ujian yang saya berikan kepada kalian, maka dengan ini saya putuskan... yang akan menjadi Presiden kalian mulai hari ini adalah teman kalian yang berdiri di sebelah saya ini; saudara Roslaaann...”


Semua yang hadir merasa terpukul dan tertanya-tanya, “Kenapa Roslan yang dipilih? Padahal dia tidak membawa tanaman, kecuali hanya bekas dan tanah yang ada di dalamnya. Bukankah dia typical manager yang gagal?” Banyak lagi komentar sinis lainnya yang muncul...


Kemudian sang Bos meneruskan bicaranya, “Tahukah kalian, bahawa semua benih yang saya berikan kepada kalian sebulan yang lalu adalah benih yang rosak, dan tidak mungkin boleh tumbuh, apalagi  menjadi besar seperti yang kalian perlihatkan hari ini.”


“Kesimpulan saya, Roslan adalah jenis pemimpin yang jujur. Sebab itu, pada hari ini, saya tetapkan ia menjadi Presiden yang akan menggantikan posisi saya dan akan bertanggungjawab penuh menjalankan perniagaan agar terus maju.


“Sebelum mengakhiri mesyuarat kita hari ini, saya mengucapkan terima kasih pada kalian semua dan saya ingin memberikan sedikit nasihat untuk menjadi bekal hidup kalian semasa menjalankan kehidupan dunia ini...“


Jika anda menanam amanah, maka anda akan menuai kepercayaan.

Jika anda menanam kebaikan, maka anda akan menuai persahabatan

Jika anda menanam tawaduk (kerendahan hati), maka anda akan menuai penghormatan

Jika anda menanam rasa hormat, maka anda akan menuai kemuliaan

Jika anda menanam kesungguhan, maka anda akan menuai kejayaan

Jika anda menanam keimanan, maka anda akan menuai ketenangan

Jika anda menanam kebohongan, maka anda akan menuai bencana

“Sebab itu, berhati-hatilah! Apa yang anda tanam hari ini, pasti di suatu saat nanti anda akan menuainya sendiri..Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh…”



Wallahu`alam



Jagalah Hati...


Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan