Popular Posts

Rabu, 7 Disember 2011

60 SAAT ITU...



  
“Allahumma rabba hazihid da’ watittamah. Wassolatil qaimah. Ati saiyidana Muhammadanil wasilata wal fadhilah. Wassyarafa waddarajatal ‘aliatar rafi’ah. Wab’athhul maqamal mahmudal lazi wa’adtah. Innaka laatukhliful mi’ad..” perlahan suaranya, sayup kedengaran di hujung telinga sendiri sambil telapak tangan di hadapkan ke wajah. Sesaat dia berhenti.



“Rabbighfirli waliwalidaiya..rabbighfirli waliwalidaiya..Rabbighfirli waliwalidaiya. Warhamhuma kama rabbayani saghira. Wasollallahu ‘ala saiyidina Muhammad wa’alihi wasahbihi wassallam.”  Sambungnya lagi sejurus sebelum ditekupkan tangan ke muka. Itulah bait-bait yang dia jadikan amalan setiap kali selesai laungan azan.



“Ya Allah, Wahai Robb yang telah mensyariatkan seruan azan dan solat yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang Engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad saw dan kehormatan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji. Ya Allah ampunilah aku serta ibubapaku dan kurniakanlah rahmat kepada keduanya sebagaimana kedua mereka memelihara akan daku. Dan selamat sejahtera atas Junjungan kami Muhammad saw dan keluarga dan sahabat-sahabat Baginda saw”  begitu maksudnya. Ringkas tapi sungguh bermakna.



Dalam berkain pelikat lusuh itu, dia mengatur langkah ke rak pakaian. Dicarinya sejadah hijau yang dilipat rapi, lalu dihamparkan menghadap kiblat. Sedikit senget ke bucu dinding ruang bilik tidurnya yang sederhana luas itu. Elok dia berdiri..buat sesaat dua dia kaku, menyiapkan diri berjumpa Sang Kekasih. Diamalkan beristighfar beberapa kali. Ditarik nafas dalam-dalam dan...



“usolli fardhol maghribi thalatha rakaatin, adaa anlillahita’ala..”



Takbir diangkat. Tangan di qiam. Ta’awuz ditutur dalam-dalam, iftitah dimulakan perlahan. Selesai itu, ta’awuz di lafaz lagi, lantas ummul furqan meniti di bibir. Dengan upaya, dia mengupas makna di sebalik lafaz ayat suci itu..
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah..Robb sekalian alam...”



Mata dipejam rapat. Berkerut dahinya. Tergambar segala nikmat kurniaan Allah ke atas dirinya. Islam dan iman. Ibu dan bapa. Saudara, teman. Anggota badan, akal fikiran, tubuh yang sihat, udara yang dihirup. Siang dan malam, seluruh…seluruh penciptaan-Nya... memang hanya Dia layak untuk segala pujian itu...



“Yang menguasai Hari Pembalasan..”



Terasa gentar hatinya. Hari Pembalasan. Tidak tergambar dek akalnya. Tidak tahu bagaimana rupanya hari itu nanti. Yang pasti, semua makhluk pada hari itu akan  bernaung di bawah kekuasaan Allah. Tiada lagi pertolongan ibu, ayah, adik, abang, kakak dan teman-teman. Atau guru, atau ustazah di sekolah. Hanya Allah yang mampu menawarkan pertolongan masa itu nanti, bilamana manusia bertelanjang bersesak-sesak menanti hitung amal, mendukung amal sebagai bukti kesaksian semasa hayat di dunia..  tergolongkah dia antara yang wajah bercahaya?



“pada Mu kami menyembah, dan pada Mu jua kami meminta pertolongan..”



Seakan meggigil badannya setiba di bait itu. Terasa malu pada Raja yang mutlak, kerana dia sering melampaui batas, kerana dia berulang kali melakukan kesilapan, berduyun kali dia mengingkari... sedangkan dia tahu hanya pada Raja itulah tempat sekalian makhluk meminta pertolongan... tapi walau malu sekalipun, ke mana lagi dia mahu meminta, jika bukan kepada yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani itu...



Sayu hatinya. Air jernih bergenang di kelopak mata, menanti masa jatuh ke pipi.



“tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus..”



Berkerut lagi dahinya. Betapa..itulah sebesar-besar pengharapan seorang hamba yang lemah, yakni di tuntun kakinya ke haluan yang tepat. Yang menjanjikan sinar di hujung jalan. Seorang hamba yang setelah kian lama mengatur jejak langkah, makin fasih mentafsir liku hidup. Diri terlepas bebas dan leka tanpa arah, bagai menabur benih sang lalang; yang kemudian tumbuh meliar.



Terasa ingin diulang-ulang baris itu. Namun terus dia menyambung..



“iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan orang yang Engkau murkai..”




“Dan bukan jalan mereka yang sesat..”



Jatuh akhirnya butir-butir jernih yang ditahan tadi ke pipinya...



Betapa kerdil terasa dirinya di hadapan Allah. Kecil dan hina. Tiada daya upaya, langsung tiada. Hanya di situlah tempat dia bergantung harap, bergantung badan, bergantung nyawa...



Sebak menghiris-hiris dia rasakan tatkala mengenangkan betapa kasih sayang Allah sentiasa tersedia, keampunan-Nya seluas langit dan bumi, disediakan untuk setiap jiwa yang mengharapkan keredhaan-Nya. Tapi dia ‘sombong’.  Dia lebihkan dunia, dia kejar nikmat dunia yang kononnya indah tiada berpenghujung.



Hari-hari dia merayu minta ditunjukkan jalan yang lurus.  Paling kurang, 17 kali sehari di bacakan ummul furqan al fatihah itu. Kerana dia tahu, hidayah itu hanya milik Allah. Allah yang pilih orang, Allah yang mahu beri atau tidak.



“Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah jua yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” ( QS Al-Qasas: 56)



Tapi dalam pada dia meminta-minta itu, kemudiannya dia sendiri juga yang menyesatkan diri dari landasan mustaqim. Mujahadahnya apalah sangat, pahit sikit sudah diluah tidak tertelan. Tadhiyahnya berapalah sangat, itu pun sesudah terpaksa... tiada pilihan.



Kenapa tidak dirangkul kemas hidayah yang memancar..yang berkali-kali dia minta..kenapa dia biarkan berlalu pergi meski dia sedar, berjuta kali ia datang menjengah..



Teringat bait suci...



 “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” (QS al-jatsiyah: 23)



Kelu.



Membaca 7 ayat itu sudah cukup membuatnya kelu. Hanya air mata yang mampu menyusun kata menggambar rasa hatinya. Dia tak mahu menjadi golongan seperti yang disebut dalam surah al jatsiyah ayat 23 itu. Tak mahu...!! Sangat-sangat tak mahu...!!



Tak boleh. Dia kena kuat, dia kena kuat lagi.



Biar dia berusaha lagi. Teladani sirah hidup para nabi dan sahabat, ambil pedoman, jadikan ikutan. Basahkan lidah dengan zikrullah. Muraqabah, taqarrub illallah, biar kuat hubungan dia dengan Ilahi. Telaah Al Quran, karibkan diri dengan qalam suci itu, surat dari Allah itu. Biar syaitannirrajiim kesempitan ruang untuk hampir pada dirinya.



“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Robb Yang Maha Pemurah (Al Quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya” (QS az-zukhruf: 36)



Dia mungkin lemah. Mungkin terkadang sangat mudah tergelincir. Kadang pula, suasana sekeliling tidak selari dengan tekadnya, lantas membantutkan langkah.



Namun dia kena sentiasa ingat, kekuatan telah dijanjikan Allah, yang dia perlu buat hanyalah bertaubat, dan beristighfar setiap kali hatinya terjentik dengan pesona palsu di sebalik mungkar.



“Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Robb mu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat lebat atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.” (QS Hud: 52)



Sesaat dua berlalu, dia masih berdiri kaku dalam esakkannya. Berbau sedikit cahaya di hujung lorong. Langkah akan diteruskan.



Lantas diteruskan solatnya dengan bacaan surah lazim diikuti rukun-rukun seterusnya. Satu persatu pergerakan dan bacaannya ditatap makna olehnya, setiap darinya pun menyentuh hati, sehinggalah selesai menyapa si Raqib dan Atid dengan salam.



Bersyukur...



Kerana di syariatkan fardhu solat ini, yang memberi ruang buat dirinya ‘bertemu’ Sang Kekasih lewat lelah perjuangan dan kesibukan yang menghimpit dan kelekaan yang mengejar.



Bertahmid hatinya, ummul furqan yang dipelajari itu sempurna strukturnya. Bermula dengan memuji-muji kebesaran Allah, mengakui kebesaran-Nya, diikuti memohon bantuan dan pertolongan-Nya, lengkap mencakupi segala yang dia perlu katakan kepada Sang Kekasih yang tidak mungkin mampu dia susun bait-baitnya dengan apa bahasa sekalipun untuk betul-betul menepati maksud hatinya. Benarlah, ayat-ayat Allah itu tiada tandingan kejadiannya...



”Katakanlah sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan membuat yang menyerupainya sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu kepada sebahagian yang lain”  (QS al Isra’: 88)




Wallahu`alam.




Jagalah Hati...



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan