Popular Posts

Sabtu, 31 Disember 2011

SELAMAT TAHUN BARU...




Bismillahirrahmanirrahim 



Segala puji bagi Allah, Robb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan sahabat-sahabat Baginda saw... 



Ya Allah, kami menadah tangan kepada Mu pada waktu malam dan siang dalam keadaan kami bertawassul dengan nama-nama Mu, dalam keadaan kami mengharapkan gedung rahmat yang sarat di samping Mu. Dan dalam keadaan kami cinta sesungguhnya kepada Mu dan cinta apa yang menghiasi kebesaran Mu...



Ya Allah, Ya Rabbul Jalil. Dengan sunnah Mu menjelang kini tahun baru yang telah Engkau tentukan mengikut qada dan qadar di Luh Mahfuz Mu. Kami meredahnya di bawah Iradah dan Qudrat Mu. Sebagai makhluk Mu yang sentiasa mencari keredhaan Mu. Kehadiran tahun baru ini, memungkinkan kami menadah tangan memohon Rahman Mu, kami pertautkan permohonan kami sekental-kentalnya kepada Mu. Kami mengharap perdampingan taufik dan hidayah Mu yang telah Engkau berikan kepada kami pada masa-masa yang lalu sepanjang usia kami. Engkau sempurnakan perlindungan dan pemberian Mu yang begitu melimpah kepada kami. Jadikanlah diri kami, hati kami serta seluruh anggota badan kami jati kekuatan, sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Supaya kekuatan ini dapat kami gunakannya sebagai pelindung daripada segala kemungkaran, sama ada yang zahir atau yang batin. Dan dengannya kami dapat kelapangan pemikiran, keindahan kehidupan, kekuatan dalam keyakinan, ketetapan dalam pegangan agama, dan kebaikan untuk diri kami dan orang-orang sekitar kami...



Ya Allah, hindarkan kami daripada segala yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan, pengalaman yang menyedihkan dan menyempitkan dada kami. Kurniakan kepada kami keselamatan dalam pemeliharaan Mu yang dapat melindung kami dari sebarang kejahatan, keburukan dan kerunsingan...



Ya Allah, rahmatilah permintaan kami, terimalah kepasrahan diri kami kepada Mu, Wahai Penolong hamba yang meminta pertolongan, tolonglah kami. Wahai Pencegah kemusnahan, hindarilah kami dari kemusnahan dan keporak-perandaan..



Ya Rahman Ya Rahim! Jadikanlah lipatan tahun baru ini pembuka bagi kejayaan, ketenangan yang menyeluruh untuk kami dan kaum Muslimin keseluruhannya memelihara agama Mu. Hamparkan di dalamnya hamparan rahmat Mu sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Rahmat yang dapat menghindarkan segala kepayahan dan kerunsingan... 



Ya Allah, kekalkanlah tahun-tahun yang akan datang dalam hidup kami dengan catatan kegembiraan, kebahagian dan kelapangan, supaya kami dapat rasakan dalam detik hidup kami kenikmatan yang ada padanya... 



Ya Allah, jadikanlah tahun yang akan datang, semulia-mulia tahun yang Engkau berkati ke atas kami. Jadikanlah kami orang yang paling bahagia bersama Mu...



Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan kami, dan terimalah kebaikan kami, berkatilah masa, waktu dan segala gerak-geri kami. Wassallalahu Ala Sayyidina Muhammad wa Ala Aalihi wa Sahbihi Wassalam...



Amiin...




Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam

Jumaat, 30 Disember 2011

KETIKA CINTA TIDAK TIBA DI PELABUHAN...




Ketika kita sudah menyempurnakan ikhtiar dengan niat menjaga kesucian diri dari dosa dan menjaga kesucian pandangan, malahan beserta dengan proses ta’aruf yang terjaga...



Ketika kita juga sudah berdoa setiap hari, solat Istiqarah hingga menitiskan airmata bercucuran.

Dan sepertinya dialah yang terbaik buat kita...

Dialah yang akan menjadi pendamping hidup kita...



Namun... ternyata dirinya tidak bersedia menerima kita...

Ternyata dirinya menolak cinta kita...

“Oh My Allah...!” Dunia dirasakan seperti mahu kiamat, hati terhiris-hiris... hidup jadi senandung sendu...



Saudara semuslimku...

Memang alangkah bahagianya jika cinta yang hendak kita bingkai dalam nuansa indah PERNIKAHAN, mendapatkan sapaan lembut, sambutan hangat serta lerekan senyum dari dia yang kita dambakan. Namun betapa nestapanya ketika CINTA TULUS yang kita ungkapkan... ternyata harus BERTEPUK SEBELAH TANGAN...



Cinta memang tidak semestinya harus memiliki... Mungkin kita sering mendengar ungkapan itu... Mudah diucapkan, tetapi kenyataannya... sukar dilaksanakan...



Saudara semuslimku...

Janganlah bersedih, yakinilah bahawa kegagalan cinta yang kita alami dan tertolaknya cinta yang kita ajukan sememangnya sudah dirancang dan ditulis sedemikian rupa oleh Allah swt. Semuanya ada hikmah yang belum lagi kita fahami.



Saudara semuslimku...

Yakinlah bahawa Allah pasti akan memilihkan yang terbaik buat kita. Jika kita ditolak saat ini, bererti Allah sudah menyiapkan buat kita yang lebih baik dari yang sekarang menolak kita.



Saudara semuslimku...

Janganlah kita berputus asa dari rahmat Allah... Allah ingin menguji kita untuk memperlihatkan seberapa besar komitmen kita terhadap pernikahan. Allah ingin lebih mendewasakan kita dan memantapkan keperibadian kita dalam menghadapi kegagalan...



Saudara semuslimku...

Kita mungkin kecewa,trauma,duka, sedih serta kehilangan semangat, tetapi jangan sampai rasa SEDIHMU itu memakan hari-harimu...


Ketika engkau terlalu larut dalam kesedihan, maka dirimu akan menjadi lemah... Ya... lemah dalam beribadah dan malas dalam bekerja.. Lalu ia mengiringmu untuk berburuk sangka terhadap Allah.. Dan syaitan akan menggunakan perangkapnya untuk menipumu..


Sehingga gaya hidup kamu menjadi bebas... tiada lagi aturan. Saudara semuslimku... yang pasti, hari-harimu TIDAK AKAN BAHAGIA selama engkau LARUT DALAM KESEDIHAN...



Dunia tidak selebar daun keladi, bukannya kamu tidak tahu bahawa dunia ini begitu luas, bertebaranlah di bumi Allah yang luas ini. Jodohmu mungkin ada di sebuah pulau, atau di sebuah bandar lain, atau mungkin di negeri lain atau mungkin juga hanya dekat dengan rumahmu...


Carilah dengan jalan yang diredhai oleh-Nya, seperti kata Imam Hasan Al Banna “Mimpimu hari ini adalah kenyataan hari esok kerana kenyataan hari ini adalah mimpimu hari kelmarin...” Maka raihlah mimpimu...

Yakinlah saudara semuslimku... harapan itu masih ada, carilah gantinya dengan menjaga niat kita...

Carilah seseorang yang mampu melabuhkan cintanya kepada Allah, agar bertambah kekuatan cintamu kepada Allah...

agar bertambah imanmu, ketika engkau bersamanya..

Bukan hanya sekadar melempiaskan kekecewaan atau nafsu belaka..

Kerana dengan niat yang lurus mencari redha Allah, insya Allah akan membawa keberkatan..



Saudara semuslimku...

Sambil kita mencari, jangan lupa memperbaiki diri... perbaiki kekurangan kita dalam segala hal... Siapkan dari sisi ruhiyah kita, sisi ekonomi kita, kematangan kita, keilmuan kita. Itu pun jika kita ingin mendapat pasangan yang berkualiti tinggi. Kerana sudah tentu kita seharusnya berkualiti bagus juga. “Wanita yang baik untuk lelaki yang baik...” begitulah Allah berfirman dalam Surat An-Nur:26


Saudara semuslimku... cubalah hadapi segalanya dengan tersenyum... kerana senyuman menghilangkan tegangnya aliran fikiran kita..


Senyuman itu menggerakkan 17 otot wajah, manakala bermasam muka atau marah memerlukan tarikan 32 otot wajah, begitulah kata seorang doktor


Tersenyumlah saudara semuslimku...

Kerana senyuman membuat peredaran darah menjadi lebih baik

Kerana senyuman membuat hati menjadi lebih ceria..

Kerana senyuman warisan Rasulullah saw

Kerana senyuman adalah sedekah...



Saudara semuslimku...


Jika kita sudah menyingkap kegagalan dengan bijaksana, buatlah suatu usaha indah yang bakal dikenang sejarah. Buatlah diri kita bermanfaat juga untuk orang lain..


Buktikanlah bahawa kegagalan telah berjaya membuat diri kita menjadi tabah dan tahan di uji...

Ketabahan yang akan melonjakkan potensi dalam diri..

Membangunkan kita dari tidur lelap. Membukakan mata hati kita agar lebih arif dan bijak memandang kehidupan.



TETAPLAH BERSEMANGAT...! YAKINLAH SAUDARA SEMUSLIMKU... HARAPAN ITU MASIH ADA



Ingatlah dengan pesanan saudara semuslim kita yang jauh lebih baik dari diri kita lama dahulu... Ibnu Al-Jauzi, “Jika anda tidak mampu menangkap hikmah, bukan kerana hikmah itu tidak ada, namun semua itu disebabkan kelemahan daya ingat anda sendiri. Anda kemudian harus tahu bahawa para Raja pun memiliki rahsia yang tidak diketahui setiap orang, lalu bagaimana mungkin anda dengan segala kelemahan yang ada akan mengungkap seluruh hikmahnya...?”



“Ya Allah, berilah kami kekuatan dalam menjalani liku-liku kehidupan ini. Limpahkan belas kasih sayang Mu kepada kami sehingga kami mampu mengambil hikmah dalam setiap kejadian yang selalu membawa kebaikan buat kami...”


Amiinnn...



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam.

Isnin, 26 Disember 2011

KITA MENUAI APA YANG KITA TANAM...




Terzahirnya kisah ini semoga menjadi perkongsian dari hati kepada hati saudara semuslim...


Pada suatu hari, seorang pemilik perniagaan yang agak ternama dan sekaligus sebagai pengerusi lembaga pengarah yang sudah berusia lanjut tiba-tiba muncul di pejabatnya sekitar pukul 7.00 pagi.


Para pengurus dan kakitangan perniagaan tersebut terkejut kerana bukanlah kebiasaan Bos mereka datang ke pejabat seawal itu. Biasanya ia hadir paling awal pun selepas waktu Zuhur atau sekitar pukul 3.00 petang. Itu pun tidak setiap hari. Paling kerap pun hanya tiga atau empat hari sekali.


Semua yang melihat kedatangan tiba-tiba si Bos tersebut bertanya-tanya dalam diri sendiri, “Kenapa..? Pasti ada sesuatu yang amat penting yang terjadi” Namun tidak seorang pun yang dapat meneka apa sesugguhnya yang terjadi atau apa yang ada dalam benak si Bos jutawan itu.


Di pagi yang cerah itu, ternyata beliau membawa sebuah idea besar yang boleh dikatakan berani. Idea tersebut ialah, beliau telah memutuskan untuk mengundurkan diri dari menerajui perniagaan yang ia bina sendiri dan pimpin sejak 30 tahun lalu. Yang menarik lagi ialah, ia tidak mahu menyerahkan kepemimpinan perniagaan kepada anak-anaknya kerana takut tidak dikendalikan secara professional.


Keputusan itu ia ambil setelah melihat perniagaan-perniagaan yang di urus oleh generasi kedua, rata-ratanya hancur, kecuali sedikit yang berjaya mengekalkan legasi. Hal tersebut terjadi kerana anak atau generasi kedua tidak merasakan betapa payahnya membangunkan sebuah usaha niaga sehingga tidak memahami selok beloknya secara terperinci. Tambahan pula, biasanya, anak-anak orang kaya merasa tinggi hati atau sombong kerana sejak lahir sudah hidup sebagai anak orang kaya dan dihormati orang ramai.


Keputusan tersebut di anggap oleh ramai orang sebagai keputusan luar biasa. Namun si Bos jutawan itu tetap dengan pendiriannya, malahan telah dinasihatkan sebelumnya oleh beberapa sahabatnya. Ia berpendapat, biarlah hasil perniagaan ini akan menjadi warisan bagi keturunannya kelak. Untuk itu, perniagaan harus selalu dalam keadaan yang kuat dan stabil. Anak-anaknya, beliau motivasikan dan bantu membina empayar perniagaan sendiri sejak dari awal sehingga memahami betapa sukarnya merintis sebuah perniagaan itu.


Dengan yang demikian, mereka akan merasakan dan menghormati jerih payah orang tuanya dan para pekerja yang setia mendampinginya sejak perniagaan tersebut di rintis 30 tahun silam.


Walhasil, setelah duduk sekitar setengah jam di bilik pejabatnya yang indah dan dipenuhi lukisan ayat-ayat Al-Quran itu, ia memanggil setiausahanya agar memaklumkan kepada pengurus besar, semua pengurus dan semua ketua jabatan lainnya untuk masuk ke bilik mesyuarat tepat pukul 8.00 pagi, kerana ada hal yang amat penting yang akan ia sampaikan. Mendengar arahan tersebut, setiausahanya tentu merasa berdebar sambil berfikir apa gerangan yang akan disampaikan si Bosnya.


Tepat jarum jam menunjukkan jam 8.00 pagi, dengan tenang si Bos keluar dari biliknya dan menuju ke bilik mesyuarat yang terletak tidak jauh dari biliknya. Saat masuk ke bilik mesyuarat, ia mengetuk pintunya dengan lembut sambil mengucapkan salam, “Assalamualalikum!” Semua yang hadir serentak menjawab, 
“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarokatuh…”


Setelah duduk, si Bos menyampaikan ucapan permohonan maafnya atas undangan mesyuarat yang mengejut itu, kemudian ia menjelaskan tujuan panggilan mesyuarat tersebut...


“Saudara-saudara yang dirahmati Allah dan yang saya kasihi. Tiba saatnya kini saya mengundurkan diri dari pengurusan syarikat ini. Saya akan memilih di antara kalian yang akan menggantikan kedudukan yang cukup berat ini. Saya yakin, berdasarkan pengamatan saya selama ini, kalian semua layak dan mampu menerima amanah yang akan saya berikan. Pasti di antara kalian ada yang terbaik. Maka siapa di antara kalian yang terbaik, maka dialah yang akan saya ambil sebagai pengganti saya.”


Semua yang hadir terkejut dan kebingungan mendengarkan ucapan dan penjelasan Bos mereka. Sungguh tidak pernah mereka duga betapa hebatnya pemimpin mereka dan jarang mereka mendengar kes seperti itu. Mereka semua merasa antara harap dan berdebar-debar.


Berharap terpilih dan pada waktu yang sama juga merasa takut jika sekiranya benar-benar terpilih menjadi pimpinan tertinggi perniagaan yang cukup besar tersebut, kerana mereka belum pernah terbayang sebelumnya.


Kemudian si Bos meneruskan bicaranya, “Sekarang kita berada pada akhir tahun hijrah, bulan Zulhijjah. Saya akan melakukan satu ujian terhadap semua yang hadir di ruangan ini, tanpa melihat kedudukan , jawatan dan jabatan”


“Kerana saya yakin kalian semua adalah calon-calon pemimpin yang layak untuk memimpin perniagaan ini. Ujian yang akan saya berikan sangat mudah dan ringan. Nanti di awal tahun depan, iaitu tepatnya pada 1 Muharam, kita berkumpul lagi di tempat ini pada masa yang sama. Saat itu saya akan menilai siapa yang terbaik di antara kalian yang akan saya ambil untuk menjadi pemimpin perniagaan ini.”


“Ada pun ujian yang akan kalian jalankan ialah, bahawa setiap yang hadir di sini akan saya berikan satu benih tanaman yang sudah saya siapkan. Benih tersebut kalian bawa pulang, kemudian ditanam di rumah masing-masing dan dijaga bersama isteri dan keluarga. Tanaman siapa yang paling baik, paling subur dan yang paling tinggi, maka dialah yang berhak menjadi pemimpin perniagaan ini. Nanti pada tanggal 1 Muharram, pada masa yang sama dengan sekarang masing-masing akan membawa hasil tanamannya ke bilik mesyuarat ini.


Di antara yang hadir, ada seorang pengurus muda bernama Roslan. Seperti rakan-rakannya yang lain, Roslan juga membawa pulang benih yang diberikan si Bos. Sesampai di rumah, ia menceritakan mesyuarat tergempar dengan Bosnya tadi kepada isterinya. Isterinya sangat terharu sambil berharap semoga suaminyalah yang terpilih kelak menjadi pemimpin perniagaan tersebut.


Isterinya segera menyiapkan tempat penyemaian benih tersebut, lalu mengambil tanah yang terbaik dari belakang rumahnya. Malahan dia segera ke kedai menjual kelengkapan pertanian berhampiran tempat tinggalnya dan membeli baja secukupnya. Sepasang suami isteri ini setiap hari mengamati perkembangan yang terjadi pada tanaman mereka. Namun sayang, benih yang ditanam tidak kunjung tumbuh.


Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Tidak terasa mereka sudah berada pada bulan ketiga. Setiap kali bertemu dengan teman-teman yang hadir dalam mesyuarat tersebut, Roslan merasa rendah diri kerana beliau tidak ada berita yang membanggakannya. Teman-temannya yang lain cukup bersemangat bercerita bahawa tanaman mereka sudah tumbuh dengan baik, bahkan ada yang dengan bangganya mengatakan bahawa tanamannya sudah setinggi lutut. Roslan tetap sahaja diam, malahan kelihatan sedikit sedih.


Akhirnya, sampailah waktu yang dijanjikan. Tanggal 1 Muharram pun tiba. Setelah pulang dari solat Subuh dari masjid berdekatan rumahnya, ia berkata pada isterinya bahawa ia tidak akan masuk ke pejabat hari ini kerana merasa malu dan tidak ada yang dapat ia perlihatkan pada Bosnya. Kenapa...? Kerana benih yang diberikan Bosnya tidak juga bertunas hingga kini, apalagi sampai setinggi lutut, seperti cerita salah seorang temannya.


Mendengar keluhan Roslan, si isteri cuba meyakinkan suaminya bahawa ia harus pergi ke pejabat hari ini walaupun tidak membawa tanaman yang tumbuh dengan subur. Lalu isterinya berkata, “Biarlah teman-teman Abang membawa tanaman mereka yang subur itu. Abang harus jujur jika ditanya Bos nanti. Katakan sahaja yang sebenarnya bahawa kita sudah menjaga sebaik mungkin benih ini, namun hasilnya tidak seperti apa yang diharapkan. Abang harus bangga membawa kejujuran ke mana-mana pun”, ucap isterinya.


Mendengar nasihat sang isteri, Roslan memberanikan diri berangkat ke pejabatnya pagi itu, walaupun hatinya was-was dan bimbang tidak dapat berbicara apa-apa saat pertemuan dengan Bosnya nanti.


Sesampai di pejabat, Roslan segera menuju ke bilik mesyuarat. Roslan semakin hilang semangat saat melihat tanaman teman-temannya yang sangat subur, malahan ada yang setinggi lutut, padahal umur tanaman tersebut baru 3 bulan.


Dengan tenang Roslan meletakkan bekas semaian benih dengan tanah yang ada di dalamnya, walau tidak nampak sedikit pun tanda-tanda kehidupan di dalamnya. Tentu sahaja, semua mata yang hadir tertumpu kepada bekas yang dibawa Roslan sambil kehairanan.


Bahkan ada yang memberi komen sinis, “Mana tanamannya? Di makan kambing ke?” Namun Roslan tetap tenang dan tidak melayani kata-kata mereka sedikit pun, walau ia merasakan badannya sedang sejuk panas.


Tidak berapa lama kemudian, jam 8.00 pagi, tanggal 1 Muharram, si Bos masuk ke bilik mesyuarat sambil mengucapkan salam, “Asalamualalaikum!”


Semua yang hadir serentak menjawab, “Walaikumussalam warahmatullahi wabarokatuh…”


Kemudian ia melanjutkan bicaranya, “Saudara-saudara sekalian, saya sangat gembira melihat tanaman yang kalian bawa. Dari benih yang saya berikan sebulan yang lalu, kalian berjaya menanam dan menjaganya dengan baik sehingga menjadi seperti ini.”


“Sungguh sangat membanggakan. Pada hari ini saya akan menentukan siapa di antara kalian yang paling terbaik yang akan saya jadikan sebagai Presiden sekaligus Pengarah Urusan kumpulan yang akan menggantikan tempat saya.”


Mendengar pujian sang pemimpin tersebut, mereka semua menampakkan di wajah mereka tanda kegembiraan dan senyuman. Di antara mereka ada yang bertakbir, “ Allahu Akbar…. Alllahu Akbar… Allahu Akbar..” Kecuali Roslan yang duduk di belakang sambil mengelamun dan bersedih hati.


Dalam suasana gembira tersebut tiba-tiba sang Bos melihat salah seorang pengurusnya yang bernama Roslan duduk di belakang sambil terlihat di wajahnya perasaan sedih dan malu. Si bos berbisik pada setiausahanya sambil meminta Roslan mengadapnya sekarang juga. Setelah setiausaha tersebut menyampaikan pesanan Presiden, Roslan terperanjat dan pucat lesi sambil berkata dalam hatinya, “Tamat sudah kerjayaku di syarikat ini”.


Setelah Roslan menghampiri si bos sambil mengucapkan salam, sang Presiden mempersilakan Roslan duduk di kerusinya dan meminta untuk memperlihatkan kepada teman-temannya bekas yang hanya berisi tanah dan tidak ada tanaman sama sekali.


Teman-teman Roslan pun memberikan sikap yang beragam. Mereka semua berdiri sambil mata mereka tertuju pada bekas yang diperlihatkan Roslan. Ada yang mencebik. Ada pula yang berkata, “Mana tanamannya? Dimakan kambing ya?” Kata mereka, sambil menunjukkan jari ke arah bekas yang dibawa Roslan.


Suasana menjadi sedikit riuh. Sang Bos cuma diam tanpa berucap sepatah kata pun. Perasaan Roslan semakin tidak menentu. Sedih, malu dan bercampur marah. Namun demikian, Roslan tetap dapat menahan emosinya dan sambil berkata dalam hatinya, “Inilah saya…”


Setelah beberapa minit berlalu, Sang Bos mula bicara, “Saudara-saudara sekalian. Dimohon semuanya duduk di tempat masing-masing. Saudara Roslan, sila berdiri sekarang. Saya akan menyampaikan sesuatu yang sangat penting seperti janji saya sebulan yang lalu.”


“Setelah menimbang dan mengamati hasil ujian yang saya berikan kepada kalian, maka dengan ini saya putuskan... yang akan menjadi Presiden kalian mulai hari ini adalah teman kalian yang berdiri di sebelah saya ini; saudara Roslaaann...”


Semua yang hadir merasa terpukul dan tertanya-tanya, “Kenapa Roslan yang dipilih? Padahal dia tidak membawa tanaman, kecuali hanya bekas dan tanah yang ada di dalamnya. Bukankah dia typical manager yang gagal?” Banyak lagi komentar sinis lainnya yang muncul...


Kemudian sang Bos meneruskan bicaranya, “Tahukah kalian, bahawa semua benih yang saya berikan kepada kalian sebulan yang lalu adalah benih yang rosak, dan tidak mungkin boleh tumbuh, apalagi  menjadi besar seperti yang kalian perlihatkan hari ini.”


“Kesimpulan saya, Roslan adalah jenis pemimpin yang jujur. Sebab itu, pada hari ini, saya tetapkan ia menjadi Presiden yang akan menggantikan posisi saya dan akan bertanggungjawab penuh menjalankan perniagaan agar terus maju.


“Sebelum mengakhiri mesyuarat kita hari ini, saya mengucapkan terima kasih pada kalian semua dan saya ingin memberikan sedikit nasihat untuk menjadi bekal hidup kalian semasa menjalankan kehidupan dunia ini...“


Jika anda menanam amanah, maka anda akan menuai kepercayaan.

Jika anda menanam kebaikan, maka anda akan menuai persahabatan

Jika anda menanam tawaduk (kerendahan hati), maka anda akan menuai penghormatan

Jika anda menanam rasa hormat, maka anda akan menuai kemuliaan

Jika anda menanam kesungguhan, maka anda akan menuai kejayaan

Jika anda menanam keimanan, maka anda akan menuai ketenangan

Jika anda menanam kebohongan, maka anda akan menuai bencana

“Sebab itu, berhati-hatilah! Apa yang anda tanam hari ini, pasti di suatu saat nanti anda akan menuainya sendiri..Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh…”



Wallahu`alam



Jagalah Hati...


Wassalam

Jumaat, 23 Disember 2011

JANGAN PERNAH MENYERAH...




Sekadar berkongsi pengalaman diri untuk sama-sama renungkan pelajaran yang boleh dikutip untuk diri masing-masing.


Suatu hari tidak berapa lama dulu, saya berada dalam kesedihan yang amat sangat dengan kehidupan, sama ada berhubung dengan masalah perniagaan, mahupun keretakan rumahtangga serta kepincangan hubungan kekeluargaan. Segalanya datang bertimpa-timpa... Saya sedang merenung kesulitan hidup sambil berjalan di tengah hutan.


Lalu, saya memutuskan untuk berputus asa...menyerah. Saya menyerah kalah pada perniagaan, menyerah kalah pada semua hubungan kekeluargaan saya,… Saya ingin menyerah kalah pada hidup saya.


Saya protes pada Allah. Protes terakhir yang akan saya lakukan.


“Ya Allah...” ujar saya. “Tolong beri saya satu alasan untuk tidak berputus asa”


Sebuah suara hadir dengan perintah-Nya membuat saya terkejut … “Lihat sekelilingmu, adakah kamu melihat rumput-rumput dan rumpun buluh itu.”


“Ya.” saya menjawab.


“Ketika Allah menanam benih rumput dan benih buluh. Allah memelihara mereka. Allah memerintahkan matahari menyinarinya, dan Allah perintahkan hujan menyiraminya. Rumput-rumput itu tumbuh dengan cepat, membuat tanah ini menjadi hijau dan kelihatan sangat indah. Namun benih buluh itu belum juga tumbuh, Allah yang Maha Tahu tidak menyerah atau berhenti menunggunya.


Pada tahun kedua, rumput-rumput itu semakin banyak dan semakin tinggi, tetapi belum ada lagi tanda-tanda yang timbul dari benih buluh. Allah tetap memerintahkan matahari menyinari dan hujan menyiraminya.”, kata suara tersebut.


“Selepas tiga tahun, belum juga buluh itu betunas. Allah tetap memeliharanya.”


“Tahun keempat, sekali lagi tetap belum kelihatan tanda-tanda kehidupan dari benih buluh. Allah tetap memberikan yang terbaik buat rumpun buluh itu”, kata suara itu lagi.


“Kemudian, pada tahun kelima, sebuah tunas kecil muncul dari dalam tanah. Dibandingkan dengan rumput-rumput itu, ia hanyalah tunas yang sangat kecil... Tetapi, selepas 6 bulan kemudian, tunas buluh itu membesar ke atas mencapai 20 meter. Sebenarnya, ia telah menghabiskan lima tahun untuk menumbuhkan dan menyebarkan akarnya. Menjadikan akar yang kuat dan memberikannya apa yang diperlukan untuk bertahan hidup.”


“Allah tidak akan memberikan ujian kepada ciptaan-Nya jika mereka tidak mampu melaluinya.” Suara itu berkata kepada saya. “Tahukah kamu, jika selama ini kamu telah berjuang dalam kehidupan, sebenarnya kamu sedang menumbuhkembangkan akar-akar kehidupan dalam dirimu.”


“Allah tidak menyerah pada buluh, begitu jugalah Allah tidak akan membiarkan kamu hanyut dengan kehidupanmu. Jangan membandingkan diri sendiri dengan orang lain.”


Suara itu berkata, ”Buluh memiliki tujuan yang berbeza dibandingkan dengan rumput. Namun kedua-duanya menjadikan hutan ini indah.”


“Waktumu akan datang” Suara itu berkata kepada saya. “Kamu akan menjalani kehidupan yang begitu indah dan mulia.”


“Seindah dan semulia apakah kelak kehidupan saya?”, saya bertanya.


“Setinggi manakah buluh akan membesar?” Suara itu membalas dengan sebuah pertanyaan.


“Setinggi mungkin yang dapat ia capai.” saya menjawab.


“Ya.” Suara itu menjawab. “Berikan kemuliaan pada Allah dengan membuat hidupmu seindah yang dapat kamu ciptakan. Jalani kehidupan setinggi mungkin, sesuai dengan kemampuan kamu.”


“Siapakah kamu, wahai suara yang menuntun kepada kebaikan?”, Tanya saya.


Suara itu menjawab, “Aku adalah hamba Allah yang diperintah untuk menyampaikan pesan pada kamu yang tenggelam dalam kedukaan”


“Siapakah namamu, wahai suara yang tidak berwajah?”, Tanya saya lagi.


“Saya ialah hamba Allah yang diberikan nama oleh-Nya ......” (maaf, cukuplah ia menjadi rahsia saya sahaja)


Saya meninggalkan hutan itu dan pulang ke rumah. Kini, baru saya merasa bersedia untuk bercerita tentang sedikit pengalaman hidup kerohanian yang saya lalui dan membawa kisah ini di ruangan ini sebagai perkongsian bersama saudara semuslim...



Niat saya membuka kisah ini, selain daripada pengajaran agar jangan pernah berputus asa dalam mengharap pada Allah walau dirasakan lambat hadirnya pertolongan, ialah agar kita benar-benar menjaga hati menurut kemampuan, bukan sekadar kita berprasangka merasa ia telah bersih. Dengan izin Allah, pertolongan Allah pasti datang walau dalam apa jua bentuk yang Dia kehendaki dan pada masa yang Dia tetapkan...



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam.

APABILA HATI MEMBERI NASIHAT...




Hatiku berkata padaku dan menasihatiku agar

mencintai semua orang yang membenciku,

dan berteman dengan mereka yang memfitnahku.



Hatiku menasihatiku dan mengungkapkan kepadaku

bahawa cinta tidak hanya menghargai orang yang mencintai,

tetapi juga orang yang dicintai.



Sejak saat itu,

bagiku cinta ibarat sarang labah-labah di antara dua bunga, dekat satu sama lain;

tapi kini dia menjadi suatu lingkaran cahaya

di sekeliling matahari yang tiada berawal juga tiada berakhir,

melingkari semua yang ada, dan bertambah secara kekal.



Hatiku menasihatiku dan mengajarku

agar melihat kecantikan

yang ada di sebalik bentuk dan warna.

Hatiku memintaku untuk menatap semua yang buruk dengan tabah

sehingga nampaklah keelokannya.



Sesungguhnya sebelum hatiku meminta dan menasihatiku,

aku melihat keindahan seperti titik api yang bergulung asap;

tapi sekarang asap itu telah tersebar dan menghilang,

dan aku hanya melihat api yang membakar.



Hatiku menasihatiku dan memintaku

untuk mendengar suara yang keluar

bukan dari lidah mahupun dari kerongkong.

sebelum dari ini, aku hanya mendengar teriakan

dan jeritan di telingaku yang bodoh dan sia-sia.



Tapi sekarang aku belajar mendengar keheningan

yang bergema dan melantunkan lagu dari zaman ke zaman.

menyanyikan nada langit, dan menyingkap tabir rahsia keabadiaan..



Hatiku berkata padaku dan menasihatiku agar memuaskan kehausanku

dengan meminum madu yang tidak dituangkan ke dalam cawan-cawan,

yang belum di angkat oleh tangan, dan tidak di sentuh oleh bibir



Hingga hari itu kehausanku seperti nyalaan redup yang terkubur dalam abu.

Tertiup angin dingin dari musim-musim tengkujuh;

tapi sekarang kerinduan menjadi cawanku,

cinta menjadi madu ku, dan kesendirian adalah kebahagiaan ku.



Hatiku menasihatiku dan memintaku

mencari yang tidak dapat dilihat;

dan hatiku menyingkapkan kepadaku

bahawa apa yang kita sentuh adalah apa yang kita impikan.



Hatiku mengatakan padaku dan mengundangku

untuk menghirup harum tumbuhan

yang tidak memiliki akar, tangkai atau pun bunga

dan yang tidak pernah dapat dilihat mata.



Sebelum hatiku menasihati,

aku mencari bau harum dalam kebun-kebun,

dalam botol minyak wangi tumbuhan-tumbuhan;

tapi sekarang aku menyedari hanya pada setanggi yang tidak dibakar,

aku mencium udara lebih harum dari semua kebun-kebun di dunia ini

dan semua angin di angkasa raya.



Hatiku menasihatiku dan memintaku agar

tidak merasa mulia kerana pujian.

dan agar tidak disusahkan oleh ketakutan kerana hinaan serta cacian.

hingga hari ini aku berasa ragu akan nilai pekerjaanku;

tapi sekarang aku belajar dari empat musim ciptaan-Nya;

bahawa pohon berbunga di musim bunga,

dan berbuah di musim panas

dan menggugurkan daun-daunnya di musim gugur

untuk menjadi benar-benar telanjang di musim dingin.

tanpa merasa mulia dan tanpa ketakutan atau tanpa rasa malu.



Hatiku menasihatiku dan meyakinkanku

bahawa aku tidak lebih tinggi berbanding si kaya

dan tidak lebih rendah berbanding si fakir.

sebelumnya, aku melihat manusia ada dua,

seorang yang lemah yang aku caci atau ku kasihani,

dan seorang yang kuat yang ku ikuti,

mahupun yang ku lawan dalam pemberontakan.



Tapi sekarang aku tahu

bahawa aku juga dibentuk dari tanah yang sama dengan semua manusia diciptakan.

bahawa unsur-unsurku adalah unsur-unsur mereka,

dan pengembaraan mereka adalah juga milik ku.



Bila mereka melanggar

aku juga terlanggar,

dan bila mereka berbuat baik,

maka aku juga bersama perbuatan baik mereka.

bila mereka bangkit,

aku juga bangkit bersama mereka;

bila mereka tertinggal di belakang,

aku juga menemani mereka.



Hatiku menasihatiku dan memerintahku

untuk melihat bahawa cahaya yang ku bawa bukanlah cahaya ku,

bahawa laguku tidak diciptakan dalam diriku;

kerana, walaupun aku berjalan dengan cahaya, aku bukanlah cahaya,

dan walaupun aku bermain seruling yang diikat kemas oleh dawai-dawaiku,

aku bukanlah pemain seruling.



Hatiku menasihatiku dan mengingatkanku

untuk mengukur waktu dengan perkataan ini:

“Di sana ada hari semalam dan di sana ada hari esok.”

Pada saat itu aku menganggap masa lampau sebuah zaman yang lenyap dan akan dilupakan,

dan masa depan ku anggap suatu masa yang tidak dapat ku capai;

Tapi kini aku terdidik dengan perkara ini :

bahawa dalam keseluruhan waktu masa kini yang singkat,

serta semua yang ada dalam waktu, harus diraih sampai dapat.



Hatiku menasihatiku, saudaraku, dan menerangiku.

dan begitu jugalah seringkali jiwamu menasihati dan menerangimu.

kerana engkau seperti diriku, dan tidak ada beza di antara kita.


Ku simpan apa yang ku katakan dalam diriku ini pada kata-kata yang ku dengar dalam heningku.

dan engkau jagalah apa yang ada di dalam dirimu,

dan engkau adalah penjaga yang sama baiknya seperti yang ku katakan ini.



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam.