Popular Posts

Jumaat, 6 Januari 2012

BOLEHKAH KITA SELAMAT DARI SEKSAAN NERAKA...?





Saya simpan telah agak lama penulisan ini kerana bimbang ia boleh mendatangkan mudarat kepada saudara semuslim yang kurang memahami konsep khauf dan raja`. Ia tidak sesuai dibaca oleh saudara semuslim yang baru berjinak-jinak dengan budaya hidup tasawuf...

PERSOALAN: Apabila hidup ini seperti yang disampaikan oleh Imam Al Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin tentang Keajaiban Hati adalah benar, maka akan ramai sekali manusia yang tidak akan selamat dari siksaan neraka. Ini kerana adalah sangat sukar, bahkan mustahil bagi manusia untuk menyelamatkan diri dari niat selain kepada Allah. Sudah menjadi kebiasaan bagi manusia mempunyai dua niat dalam satu waktu, iaitu kepada Allah dan kepada manusia atau dunia disebabkan nafsu manusia condong kepada dunia yang memukau penuh ghairah ini.

Inilah kebenaran paling pahit buat kita sebenarnya. Maka akan sangat menghairankan jika masih ada manusia yang mampu tersenyum apalagi ketawa hidup di dunia ini kerana begitu mengerikan ancaman siksaan Allah kepada manusia di Hari Akhir nanti.

Soalannya, adakah hal itu benar atau ia hanya ilusi seorang Imam yang sudah mula dirasuki oleh keadaan “mabuk” dalam pemujaannya kepada Ilahi...?


JAWAPAN...

Memang benar bahawa untuk selamat dari siksaan Neraka adalah mustahil. Majoriti manusia memang tersesat. Saya katakan bahawa ia bukan ilusi dari Imam Al-Ghazali kerana bukan Al-Ghazali sahaja yang mengisyaratkan demikian. Malahan Al-Quran sendiri sudah menegaskan hal itu. Perhatikan firman-firman Allah sebagai dalil-Nya...

“Jika kamu mengikuti kebanyakan manusia di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.” (QS 6:116)

Selain itu, memang sudah ditetapkan bahawa kita semua, pada dasarnya sedang menuju Neraka. Namun, jarang sekali orang memperhatikan hal ini.

“Dan tidak ada satu orang pun daripada kalian, kecuali mendatangi neraka itu. Hal itu, bagi Robb mu, adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan.” (QS 19: 71).

Bahkan bagi sebahagian ahli hikmah, dunia ini pun sudah cukup untuk dikatakan sebagai neraka kecil. Tidak perlu lagi menunggu neraka yang sebenarnya kelak. Itulah yang membuat mereka minta diselamatkan sejak dari dunia ini lagi dengan senandung syair, madah, puisi dan sajak yang merayu-rayu pada Allah swt.

Ketika Allah menciptakan neraka, Dia berfirman pada Jibril as untuk pergi melihat neraka. Lalu Jibril as kembali dan berkata, “Demi kemuliaan Mu, tidak akan ada seorang pun yang ingin memasukinya.” Lalu Allah meliputi neraka penuh dengan perkara-perkara yang disukai nafsu dan syahwat manusia. “Pergi dan lihatlah kembali,” kata Allah. Dan Jibril as pergi, lalu kembali dengan berkata, “Demi kemuliaan Mu, aku bimbang tidak ada seorang pun yang akan selamat dari siksa api neraka.” (Tirmizi).

Perhatikan sebaik-baiknya, Jibril as sendiri pun merasa sangsi akan ada orang yang dapat selamat dari neraka.

Itulah intisari pokoknya. Secara umum, manusia di bawah sedarnya meyakini bahawa mereka dapat menjaga dan menyelamatkan diri mereka sendiri dari neraka. Mereka menyangka bahawa amal baik, perbuatan baik, bahkan perilaku membela agama, akan secara langsung menjadikan mereka sebagai ahli syurga. Perhatikanlah, betapa ramai muslim yang mati membawa kebanggaan dalam hati, kerana yakin sekali akan selamat dalam menghadapi pengadilan Allah swt...

Perhalusilah dalam melihat diri kita sendiri... Adakah masih tersisa keyakinan dalam diri kita, bahawa amal ibadah kita akan menyelamatkan kita kelak...?

Kebenarannya... bukan itu sama sekali yang menyelamatkan manusia, Tetapi yang menyelamatkan manusia, mutlak, dan tidak dapat tidak, hanya rahmat Allah swt sahaja. Hanya kehendak-Nya. Jika Allah “kebetulan” berkenan dan berbelas kasihan, maka Dia akan menyelamatkan kita.

“...Sekiranya tidaklah kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih selama-lamanya...” (QS 24: 21)

“...sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Robb ku...” (QS 12: 53)

Padahal untuk sekadar beriman pun, adalah kehendak-Nya. Bukan kehendak kita, atau kehendak ibubapa kita.

“Dan tidak ada seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah...” (QS 10: 100)

Oleh itu, kita dilarang memaksa orang untuk menjadi “beriman” melalui paksaan mahu pun desakan. Jika memang Dia menghendaki, itu sangat mudah bagi-Nya. Tapi memang ia belum tentu menjadi kehendak-Nya.

“Jika Robb mu menghendaki, tentu berimanlah semua orang di muka bumi seluruhnya. Apa kamu hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman seluruhnya?” (QS 10: 99)

Itulah intinya... Yang harus tumbuh dari kita adalah sebuah pengharapan akan rahmat Allah swt, tanpa pernah berhenti walau sekejap pun. Hati kita mutlak menghadap kepada-Nya, memohon kasih sayang-Nya. Kita benar-benar bergantung dan berharap pada-Nya sahaja, bukan pada ibadah atau amal perbuatan.

Amal baik serta perbuatan ibadah pada dasarnya tidak akan menyelamatkan kita sama sekali. Ibadah dan amal statusnya hanyalah sebuah ungkapan pengharapan akan rahmat-Nya. Ia adalah ungkapan pengharapan dalam bentuk yang diperintahkan atau diwajibkan, sebuah bentuk pengharapan minimum yang harus dilakukan. Andaikan sahaja bahawa ia baru sebuah syarat untuk masuk gerbang istana Raja. Tapi bukan itu sahaja yang membuat Raja berkenan memberi. Dia harus juga mencintai kita.

“Tidak ada cara mendekatkan diri seorang hamba kepada Ku yang lebih Aku sukai selain melaksanakan kewajipan-kewajipan yang telah Aku fardhukan kepadanya. Namun hamba Ku itu terus berusaha mendekatkan diri kepada Ku dengan melakukan sunnah nawafil, sehingga Aku pun mencintainya.
Apabila ia telah Aku cintai, Aku menjadi pendengarannya yang dengan Aku ia mendengar, (Aku menjadi) penglihatannya yang dengan Aku ia melihat, (Aku menjadi) tangannya yang dengan Aku ia keras memukul, dan (Aku menjadi) kakinya yang dengan Aku ia berjalan. Jika ia memohon kepada Ku, sungguh, akan Aku beri dia, dan jika ia memohon perlindungan Ku, Aku benar-benar akan melindunginya.” (Hadis Qudsi riwayat Bukhari).

Di sisi lain, agama tidak seharusnya membuat seseorang berhenti tersenyum dan jatuh tenggelam dalam kemurungan atau putus asa. Agama yang induknya dalam kitab Quran, tidak dijadikan untuk membuat kita susah dan murung (QS 20: 2), tetapi sebagai peringatan bagi mereka yang takut (QS 20: 3). Ayatnya memang demikian: sebagai peringatan bagi orang yang takut. Jadi takut memang sebuah fasa untuk menuju-Nya.

Yang harus tumbuh memang khauf (takut) dan raja’ (harap). Bukan kebanggaan diri sebagai ahli ibadah, ahli jihad, ahli dakwah, pembela Islam, atau mati dalam keadaan merasa lebih baik dari orang lain, dan membawa kebanggaan atas semua itu.

“Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada kesombongan walaupun hanya seberat zarah.” (Muslim)

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa memang Allah menjadikan kita tertarik pada keduniaan. Kita memang hidup dan ditempatkan di dunia ini, dan dunia dalam kadar tertentu tentu kita perlukan sebagai alat untuk menempuhi jalan. Namun, selama kita menyangka bahawa apa yang sudah kita lakukan akan dapat menyelamatkan kita, baik di Akhirat ataupun di dunia ini, itu akan menjadi masalah besar dalam mendekatkan diri kepada-Nya.

Dari Abu Hurairah ra, beliau berkata, Rasulullah saw bersabda, “Mendekatlah kepada Allah (bertaqarrub) dan berusahalah sunguh-sungguh! Ketahuilah, bahawa setiap orang di antara kalian tidak bakal selamat kerana amalnya.” Para sahabat ra bertanya, “Ya Rasulullah, tidak juga engkau?” Rasulullah bersabda, “Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahiku dengan rahmat dan kurniaan dari-Nya.” (Muslim)

Dari Jabir ra, beliau berkata, “Aku mendengar Nabi saw bersabda, “Tidak seorang pun di antara kalian dimasukkan oleh amalnya ke dalam syurga dan tidak pula diselamatkan dari neraka begitu juga aku, kecuali dengan rahmat dari Allah. (Muslim)

Renungkan, fikirkan sedalam-dalamnya dan menangislah semahunya kepada Allah swt...

Wallahu`alam
Jagalah Hati...

Wassalam

1 ulasan:

  1. Ya Allah,
    Sesungguhnya hambaMU ini hina dina, bnyk khilaf diri..Ampunkanlah dosa2ku..Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi. Terimalah segala amalanku sebagai penebus segala dosa2ku, dosa2 kedua ibubapaku dan dosa2 org2 yg kucintai dari sejak mumaiyiz...
    Aamiin Aamiin Ya Rabb..

    Doa taubat.

    Ilaa hilaastu lil Firdausi ahla, walaa aqwaa alaa Naaril Jahiimi. Allah, fahablii taubatan waghfir dzunuubii, fainnaka Ghafirun dzambil adziimi

    Tuhanku aku tidak layak untuk syurga Mu tetapi aku tidak pula sanggup menanggung seksa nerakaMu,dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku,ampunkanlah dosaku,sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar...
    Aamiin Aamiin Ya Rabb.

    BalasPadam