Popular Posts

Rabu, 5 Oktober 2011

KEMISKINAN DIMATA KU....



Sejak lahirku,
Tangan kasar ibuku menjadi sentuhan pertamaku
Suara letih ayahku menjadi pendengaran pertamaku
Sampah yang menggunung menjadi pemandangan pertamaku
Lantai kayu sempit dan berlumut menjadi penaung pertamaku
Tanah berdebu dan berlumpur menjadi tempat pijakan pertamaku
Beras hancur menjadi makanan pertamaku
Botol bekas kicap menjadi mainan pertamaku
Kucing liar menjadi sahabat pertamaku
Hingar bingar jalanan menjadi ruang lingkup pertamaku
Hingga dewasaku ini, pertamaku telah menjadi seluruh isi hidupku,
Akankah ini selalu terus menjadi duniaku…??



Mereka suarakan kasih…
Tapi mereka tidak menyedari kehadiranku di khalayak ramai jalanan


Mereka laungkan kasih…
Tapi mereka tidak sudi memandang dan menyapaku sejenak di antara peluhku


Mereka bisikan kasih…
Tapi mereka enggan menyentuhku dan memeluk ku ketika ku merasa sepi


Mereka nyanyikan kasih…
Tapi mereka tidak mendengar suaraku ketika aku merintih menahan lapar danpedih


Mereka katakan kasih…
Tapi mereka tidur nyenyak ketika aku tidur di tanah kering beratap langit


Mereka dendangkan kasih…
Tapi mereka tidak menguatkanku ketika aku menangisi keadaanku


Mereka katakan kasih…
Tapi tidak punya waktu untuk menjadi temanku dalam segala kekuranganku
Dan untuk ada bersamaku



Yang aku tahu kasih akan bertindak
Bukan diam tidak bergerak
Mereka anggap manusiakah aku ??
Ya Allah… fahamkan padaku…




Jangan menutup hidungmu ketika aku melintas,
Aku hanya mampu mengumpulkan sampah, lalu ku jual untuk makanan ku hari ini


Jangan menutup telingamu,
Aku meminta dengan suara sumbangku, agar perut adik-adikku dapat di isi


Jangan memalingkan wajahmu
Aku hanya mampu duduk meminta di kaki lima jalanan kerana keadaan ku tidak mendatangkan pilihan


Jangan curigai aku
Aku hanya memandang pakaian yang kau pakai, makanan yang kau makan, untuk ku mimpikan


Jangan memarahi aku
Aku belum mengenal sopan santun, kerana tidak ada yang mengajar aku.


Jangan menghinaku “bodoh”
Aku memang tidak berpendidikan, aku tidak mampu bersekolah sepertimu. Tidak ada yang memberikan aku 
pengetahuan


Jangan menghakimiku “menjual belas kasihan’
Aku, saudara-saudaraku dan teman-temanku tidak miliki peluang apa pun untuk menjadi selain ini


Jangan menjauhi aku
Aku kotor, kerana aku tidak memperdulikan tubuhku, hari-hari ku untuk mencari sesuap nasi


Jangan menganggap aku adalah “gangguan”
Aku hanya mampu berkeliaran untuk melupakan beban hidupku, tidak ada yang punya waktu untuk berkongsi sukacita denganku


Jangan memujuk aku
Aku hanya dapat menangis marah ketika pihak bandaraya memusnahkan ruang sempit tempatku bernaung. Tidak ada yang menolongku


Jangan mengejekku
Aku seringkali melanggar resam aturan hidup kerana aku tidak dapat memikirkan cara lain untuk mengejar hidup hari ini.


Jangan… Jangan…

Kerana…
Kau dan aku adalah “rancangan” dari Pencipta yang sama
Kau dan aku menghirup udara yang sama di bumi yang sama
Yang membezakan kau dan aku hanyalah: Tidak ada pintu peluang terbuka untukku.




Beras mahal, minyak tidak terjangkau.
Ayah berteriak marah
Ibu menangis pasrah
Aku bertanya,
“ Makan apa kami hari ini ?”
Biaya persekolahan naik, buku makin mahal.
Para guru menyesal terduduk
Ayah diam tertunduk
Aku menangis terpuruk,
“Sekolahku berhenti sampai disini”
Sesuap nasi makin ganas direbutkan.
Ayah makin berpeluh
Aku cuba untuk teguh
Adik mendesis mengaduh,
“Bila kita boleh miliki kereta mewah seperti mereka ?”
Jenayah subur berkembang, mendominasi.
Jiranku dituduh mencuri
Sahabatku lari dari polis
Aku terperuk berdiri,
“Haruskah ku akhiri hidup ini ?”
Tersepit, aku terhimpit…
Sudikah kau ku beri sakit ini ?
Dengan kesulitan ku di jambangan…
Bilakah kau akan bertindak ??



Anak itu mencari sesendok nasi, dipanas terik berpeluh
Mengapa ia begitu tekun dan teguh ?
Sedang aku banyak mengeluh


Anak itu bermain diantara timbunan sampah, di tanah berbatu
Tapi mengapa ia tertawa gembira?
Sedangkan aku tiada berhenti berkeluh kesah


Anak itu makan nasi dan garam
Tapi ia bersyukur dengan begitu dalam
Sedang aku sibuk menyusun dendam


Anak itu tidak dapat membaca, sekolah hanya dalam mimpinya
Tapi mengapa ia tetap merasa bahagia ?
Sedang aku dalam kegelisahan sahaja


Anak itu berdoa pada Allah
Aku hidup hanya berpusat akal fikir pada beban


Ku sedari…
Anak itu menjalani hidup dengan tulus hati
Sedang aku mengeluh tanpa henti
Aku miskin hati


Anak itu berjuang melawan pedih
Sedang aku tidak bertindak menolong, tapi sibuk berdalih
Aku miskin kasih…




Wallahu`alam



Jagalah Hati…



Wassalam.

HARGA SEBUAH KEMISKINAN...




HARGA SEBUAH KEMISKINAN
KISAH DARI NEGERI YANG KELAPARAN
(untuk adik kecil : arwah Siti Khairunisa)



Kesedihan adalah kumpulan layang-layang hitam
yang membayangi dan terus mengikuti
hinggap pada kata-kata
yang tidak pernah sanggup ku susun
untukmu, saudara semuslimku



Belum begitu lama ku dengar berita pilu
yang membuat tangisan seakan-akan tidak bererti
saat para bayi yang tinggal belulang
mati dikerumuni lalat kerana lapar
aku bertanya pada diri sendiri
benarkah ini terjadi di negeri kami?



Lalu ku lihat di televisyen
ada anak-anak kecil
memilih bunuh diri
hanya kerana tidak mampu bayar harga untuk hidup
kerana tidak mampu membeli sebungkus simpati masyarakat



Beliung pun menyerbu
dari pelbagai penjuru
menancap di hati
menghiris sendi-sendi diri
sampai aku hampir tidak sanggup berdiri
sekali lagi aku bertanya pada diri sendiri
benarkah ini terjadi di negeri kami?



Lalu ku dengar episod adik kecil ini
Pada suatu hari yang terik
nadinya semakin lemah
tapi tak ada wang untuk ke doktor
atau membeli ubat
sebab ayahnya hanya pemungut sisa sampah
adik kecil itu pun tidak tertolong



Ayah dan abangnya berjalan berkilometer
tidak makan, tidak minum
sebab wang tinggal enam puluh sen saja
mereka tuju ke stesen bas
sambil menolak kereta sorong yang lusuh
adik kecil tergolek di dalamnya
berselimut sarung bertampal-tampal
mata terpejam kaku



Airmata bercucuran
peluh terus bersimbahan
Ayah dan abangnya
mencari liang kubur
tapi tidak akan ada kafan untuk adik kecil itu
tidak akan ada van jenazah
hanya matahari mengikuti
memanggang luka yang semakin pedih
tanpa seorang pun peduli
aku pun bertanya sambil berteriak pada diri
benarkah ini terjadi di negeri kami?



Tolong bangunkan aku, adik kecil
biar ku lihat senyummu
katakan ini hanya mimpi buruk
ini tidak pernah terjadi di sini
sebab ini negeri kaya, negeri karya.
Ini negeri melimpah, gemerlapan.
Ini negeri cinta



Ah, tapi seperti duka
aku pun sedang terjaga
sambil menyesali
mengapa kita tidak berjumpa, adik kecil
dan kau letakkan sakit dan dukamu
pada pundak ku ini



Di angkasa layang-layang hitam
semakin membayangi
ku lihat para perasuah
menarik hulur benang egonya
sambil bercerita
tentang hasrat naik haji mereka
untuk ketujuh kalinya



Aku putuskan untuk tidak lagi bertanya
pada diri, pada ayah bonda, atau siapa pun
sementara airmata bergenang di hati dan mimpi.



aku memang sedang berada di negeriku
yang semakin pucat dan menggigil…kelaparan…




Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam.

Isnin, 3 Oktober 2011

TANGAN YANG TERINDAH II...



Suatu ketika dahulu…


” Nak, bangun…sudah azan subuh. Sarapanmu telah bonda sediakan di meja…”


Tradisi ini sudah berlangsung 20 tahun, sejak pertama kali aku mampu mengingatinya. Kini usia ku sudah mencecah 23 tahun dan aku jadi seorang seorang pekerja, bukan lagi anak kecil, tetapi kebiasaan bonda tidak pernah berubah.


” Bonda sayang…tak perlu susah-susah, saya dan adik-adik kan sudah dewasa”, pintaku pada bonda pada suatu pagi.  Wajah tua itu langsung berubah.


Ketika bonda mengajakku makan tengahari di sebuah restoran. Cepat-cepat ku keluarkan dompet dan ku bayar semuanya. Ingin ku balas jasa bonda selama ini dengan hasil keringatku. Raut sedih itu tidak mampu disembunyikan. Kenapa bonda  sedih ? Aku hanya dapat meneka-neka, mungkin benar kata mereka yang membuat kajian bahawa orang yang lanjut usia mudah sangat sensitif dan cenderung untuk bersikap keanak-anakkan…tapi entahlah…. Niatku ingin membahagiakan, bukan membuat bonda sedih. Seperti biasa, bonda tidak akan pernah mengatakan apa-apa…


Suatu hari ku beranikan diri untuk bertanya, ” Bonda, maafkan saya jika saya telah menyakiti perasaan bonda.  Apa yang membuat bonda sedih ? “


Ku tatap sudut-sudut mata bonda, ada genangan air mata di sana . Tersekat-sekat bonda berkata, ” Tiba-tiba bonda merasa kalian semua tidak lagi memerlukan bonda. Kalian sudah dewasa, sudah mampu menjaga diri sendiri. Bonda tidak boleh lagi menyiapkan sarapan untuk kalian, bonda tidak boleh lagi memanjakan kalian. Semua sudah mampu kalian lakukan sendiri “


Ya Allah….! ternyata buat seorang Ibu… bersusah payah melayani putera-puterinya adalah sebuah kebahagiaan.


Satu hal yang tidak pernah ku sedari sebelumnya. Niat kita untuk membahagia dan meringankan ibubapa boleh jadi membuat mereka menjadi sedih kerana kita tidak berusaha untuk saling membuka hati melihat erti kebahagiaan dari sudut pandang masing-masing.


Diam-diam aku bermuhasabah… “Apa yang telah ku persembahkan untuk bonda dalam usiaku sekarang?”


Ketika ku tanya pada bonda , “Adakah Ibu bahagia dan bangga pada putera puterinya ?”. Bonda menjawab, ” Banyak sekali kebahagiaan yang telah kalian berikan pada bonda. Kalian membesar dengan sihat dan lucu ketika bayi adalah kebahagiaan . Kalian berjaya di sekolah adalah kebanggaan buat bonda. Kalian berjaya dalam pekerjaan serta perniagaan adalah kebanggaan buat bonda . Setelah dewasa, kalian berperilaku sebagaimana seharusnya seorang hamba, itu kebahagiaan buat bonda. Setiap kali sinar mata kalian mengisyaratkan kebahagiaan di situlah kebahagiaan orang tua.”


Aku hanya mampu bermonolog, ” Ampunkan hamba ya Allah jika selama ini sedikit sekali ketulusan yang hamba berikan kepada bonda, masih banyak alasan dihulurkan ketika bonda menginginkan sesuatu. “


Betapa sabarnya bonda ku melalui liku-liku kehidupan. Sebagai seorang wanita bekerja, banyak alasan yang boleh dilontarkan bonda ku untuk “cuti” dari kerja-kerja rumah atau menyerahkan tugas itu kepada pembantu rumah. Tapi tidak! Bondaku seorang yang ideal. Menjaga keluarga, merawat dan mendidik anak-anak adalah hak keistimewaan seorang ibu yang tidak akan dapat diserahkan kepada sesiapa pun. Pukul 3 pagi, bonda mengejutkan kami untuk tahajud. Sementera menunggu azan subuh, bonda ke dapur menyiapkan sarapan sementara aku dan adik beradik yang lain sering menyambung  tidur semula… Ah, maafkan kami bonda…18 jam sehari sebagai “pekerja” seakan-akan tidak pernah membuat bonda  lelah…Sanggupkah aku ya Allah…?


” Nak…bangun nak, sudah azan subuh… sarapan sudah Ibu sediakan di meja…“ Kali ini aku lompat bangun segera…ku buka pintu bilik dan ku rangkul bonda sehangat mungkin, ku cium pipinya yang penuh kedut, ku tatap matanya dalam-dalam dan ku ucapkan, ” Terima kasih bonda, saya sangat beruntung memiliki bonda yang baik hati, izinkan saya membahagiakan bonda…”


Ku lihat sinar mata bonda memancarkan kebahagiaan…” Cintaku ini milikmu, bonda…Saya masih sangat memerlukan bonda… Maafkan saya yang belum mampu memahami  erti kebahagiaan buat diri bonda…”




Saudara semuslimku, tidak semestinya kata sayang harus di ungkapkan dengan kalimah-kalimah “aku sayang padamu… “ Namun begitu, Rasulullah saw menyuruh kita untuk menyampaikan rasa cinta yang kita ada kepada orang yang kita cintai kerana Allah.


Marilah kita mulakan dengan orang terdekat yang sangat mencintai kita… Ibu dan ayah, walau mereka tidak pernah meminta dan mungkin telah meninggal dunia. Percayalah…  kata-kata itu akan membuat mereka sangat tenang dan bahagia…


“Ya Allah, cintai bonda hamba ini, berikan hamba kesempatan untuk membahagiakan bonda…, dan jika saatnya nanti bonda Engkau panggil pulang ke kampung abadi, panggillah dalam keadaan husnul khotimah. Ampunilah segala dosa-dosanya dan sayangilah bonda sebagaimana ia menyayangi hamba ini sejak dari kecil…..“


“Bahagiakanlah semua ibu-ibu di muka bumi ini ya Allah”



Wallahu`alam.




Jagalah Hati…



Wassalam

TANGAN YANG TERINDAH...



Suatu ketika dahulu… bonda saya datang menziarahi rumah kami. Bonda mengajak saya untuk menemaninya membeli belah kerana dia menginginkan sepasang baju baru. Saya sebenarnya tidak suka pergi ke pusat membeli belah, dan saya bukanlah orang yang sabar melayan kerenah wanita bila berada di pusat membeli belah. Walaupun demikian, demi menjaga hati bonda, kami pergi juga ke pusat membeli belah untuk memenuhi hasrat bonda inginkan baju baru. Kami mengunjungi setiap butik yang menyediakan pakaian wanita, dan bonda saya mencuba sehelai demi sehelai pakaian dan mengembalikan semuanya kerana tidak berkenan di hati bonda.



Seiring hari yang berlalu, saya mulai penat dan kelihatan jelas riak-riak kecewa di wajah bonda. Akhirnya pada butik terakhir yang kami kunjungi, bonda saya mencuba satu baju yang cantik . Dan kerana ketidaksabaran saya, maka untuk kali ini saya ikut masuk dan berdiri bersama bonda saya dalam fitting room. Saya melihat bagaimana bonda mencuba pakaian tersebut, dan dengan susah payah mencuba untuk mengenakannya. Ternyata tangan-tangannya sudah mulai dilumpuhkan oleh penyakit radang sendi dan sebab itu dia tidak dapat melakukannya. Seketika itu, ketidaksabaran saya digantikan oleh suatu rasa kasihan yang dalam kepadanya. Saya segera keluar dari fitting room untuk cuba menyembunyikan air mata yang keluar tanpa saya sedari. Setelah saya mendapatkan ketenangan semula, saya kembali masuk ke fitting room untuk membantu bonda mengenakan pakaiannya.



Pakaian ini begitu indah, dan bonda membelinya. Selesailah sebuah pengalaman membeli belah, tetapi kejadian tersebut  terukir dan tidak dapat dilupakan dari ingatan saya…



Sepanjang sisa hari itu, fikiran saya tetap kembali pada saat berada di dalam fitting room tersebut dan terbayang tangan bonda saya yang sedang berusaha mengenakan pakaiannya. Kedua tangan yang penuh dengan kasih, yang pernah menyuapkan makanan , memandikan saya, memakaikan baju, membelai dan memeluk saya dan lebih dari semuanya, tangan yang berdoa untuk saya. Sekarang tangan itu telah menyentuh hati dengan cara yang paling berbekas dalam hati saya. Kemudian pada malam harinya saya pergi ke kamar bonda, saya mengambil tangannya, lantas menciumnya….



Tindakan saya membuatnya terkejut, saya memberitahunya bahawa bagi saya kedua tangan tersebut adalah tangan yang paling indah di dunia ini. Saya sangat bersyukur kepada Allah yang telah membuat saya dapat melihat dengan sejelas-jelasnya, betapa bernilai dan berharganya kasih sayang yang penuh  pengorbanan dari seorang ibu.



Saya hanya dapat berdoa agar suatu hari kelak, tangan saya dan hati saya akan memiliki keindahannya tersendiri. Dunia ini memiliki banyak keajaiban dengan segala ciptaan Allah yang begitu agung, tetapi tidak satu pun yang dapat menandingi keindahan tangan Ibu…


Wallahu`alam.




Jagalah Hati…



Wassalam.

Ahad, 2 Oktober 2011

SEMOGA SEMUA ORANG BERBAHAGIA II...



Semoga semua orang bahagia…


Kebahagiaan tidak membuat manusia melupakan orang lain, saudara semuslim atau saudara sedarahnya. Inilah tanggungjawab ia sebagai manusia yang utuh, yang memiliki kreativiti, rasa dan hati untuk peka terhadap komitmen kebahagiaannya. Sebab kemuliaan kebahagiaan manusia itu terletak pada saat ia mampu menyalurkan kebahagiaan dalam pelbagai kesempatan dan waktu... Ia memberi harapan dan membangkitkan semangat yang patah. Kebahagian itu berguna dan membawa senyuman kepada mereka yang tertekan dan terbeban sehingga tidak mampu mengalami “bahagia”. Kreativiti, rasa dan hati ada ketikanya “diam dan terpaku” oleh kerana persoalan dan penderitaan mahupun kekecewaan yang ada. Persoalan ini merasuk pilihan seseorang untuk bangkit dan menjadi bahagia. 


Lalu, apakah kita pernah gagal dalam kebahagiaan? Pertanyaan ini nampaknya remeh dan lucu. Tanpa perlu dijelaskan semua orang tahu bahaw mereka pernah gagal dan membuat mereka tidak merasa bahagia. Semua orang pun tahu, bahawa hidup ini diselang-seli oleh berbagai duka dan persoalan sehingga kebahagiaan itu nampak sirna seketika. Semua orang juga sedar bahawa hidup ini tidak hanya dihiasi oleh pelbagai rencam mimpi kebahagiaan. Namun, bukankah semua orang tahu mereka “pernah mengalami” atau sejujurnya “mereka bahagia” dalam banyak hal dan peristiwa yang mereka temui dan alami…? Inilah kebahagiaan itu yang terkadang terlihat dan terkadang seolah-olah sirna seketika. Kebahagiaan itu seperti “hantu kehidupan” yang mampu saja “ada” dan mungkin juga “hilang”. Namun apa pun keadaan itu, sesungguhnya kebahagiaan itu sentiasa berdiri bersama-sama kita, tertegun seketika pada saat kita jatuh dan kecewa. Kebahagiaan itu ada sebagaimana kita ada. Pilihan selalu ada pada semua orang untuk bangkit atau meraihnya.


Setiap detik dan setiap langkah kehidupan sesungguhnya kreativiti, rasa dan hati tidak pernah hilang dari kehidupan kita. Terlepas dari keadaan "ketidaknormalan" seseorang ketika sakit yang menggangu fikiran normalnya ataupun yang mengalami gangguan mental dan kejiwaan. Kreativiti, rasa dan hati itu sentiasa menjadi landasan manusiawi seseorang untuk membangkitkan kekuatan fikiran, perasaan dan kehendaknya yang baru untuk menjadi bahagia tanpa menyudutkan diri dalam prasangka orang lain.


Semoga semua orang bahagia...


Seni untuk menjalani sebuah kebahagiaan memang memerlukan kreativiti, rasa dan hati seseorang yang benar-benar cekal. Hal ini terbentuk dari sebuah perjuangan panjang dan melelahkan, malahan menyakitkan. Manusia yang mampu hidup dengan baik dalam menghadapi masalah kehidupannya akan memiliki karakteristik berbeza dengan mereka yang hidup setiap hari tanpa mampu melakukan suatu metamorphosis diri. Pertanyannya dapat kita munculkan sebegini, “ bagaimana saya dapat bahagia dalam duka ini, bagaimana mungkin saya tetap bahagia disaat-saat sulit seperti ini, atau bagaimana saya dapat mengatakan saya bahagia padahal saya tidak memiliki tempat di mata mereka”. 


Ya, bagaimana mungkin dalam kesusahan dan kekecewaan ini saya masih mengatakan pada orang, “I’m happy”


Menjadi bahagia tetap merupakan pilihan tersendiri bagi sesiapa pun untuk dengan penuh keyakinan dan kepercayaan diri, sesuatu yang tidak lazimnya diakui dalam kehidupan sehari-harian yang memiliki pengkelasan bahagia. Kebahagiaan harus nyata, ia tidaklah berupa bayang-bayangan idealistik yang menginspirasi. Kebahagiaan itu nyata, dilihat dan diketahui oleh mata kepala kita. Inilah dasar kebahagiaan yang mencengkam di kepala yang tidak terbendung oleh cipta kita yang melemah, oleh rasa kita yang kian terkikis, oleh hati kita yang sibuk dengan diri sendiri dan sejumlah nafsu kenikmatan yang tidak pernah dapat dipuaskan.


Semoga semua orang bahagia...


Penggendalian kekuatan kreativiti, rasa dan hati  seseorang untuk bahagia bergantung sepenuhnya pada kehidupan rohaninya. Tanpa benih-benih kerohanian, manusia akan semakin menyelewengkan makna kebahagiaan tersebut. Dunia kerohanian seseorang kerap dinombor duakan dalam dunia moden dan berbagai perkembangan materialistik.


Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam.

SEMOGA SEMUA ORANG BERBAHAGIA I…




semoga semua orang berbahagia


Bahagia adalah pilihan…inilah sebuah mutiara kebijaksanaan yang memotivasi keperibadian seseorang untuk berkembang dan teguh menghadapi kehidupan yang berat zaman ini…


Sebagai manusia, keinginan untuk bahagia adalah naluri semulajadi kita. yang memiliki kreativiti, rasa dan hati. Manusia yang memiliki "kreativiti", iaitu kemampuan fikiran untuk mengadakan sesuatu yang baru dan imaginasi yang kreatif dalam kehidupan. "Rasa", manusia yang memiliki imaginasi terhadap sesuatu yang datang dari luar dirinya. "Hati" merupakan kekuatan jiwa yang mendorong manusia untuk berkehendak. Dimensi lain manusia adalah ia sebagai makhluk sosial yang dapat menjadi "manusia" bila memiliki hubungan dengan orang lain. Tanpa sesama manusia bukanlah seseorang akan terlebih baik, kerana tanpa Ilahi, manusia adalah makhluk yang sesat lagi angkuh akan kefanaannya.


Keberadaan inilah yang menjadikan manusia "unik" dibandingkan makhluk lainnya. Kesedaran akan diri berTuhan membuat ia menjadi makhluk yang bertindak balas kepada yang Maha Pencipta. Rasa beradanya manusia di dalam pengawasan Ilahi adalah perasaan yang mulia sebagai makhluk yang bertanggung jawab atas kreativiti, rasa dan hati yang ada padanya.


Manusia tidak hanya memperjuangkan kebahagiaan-kebahagiaannya sendiri. Ia juga tidak mencari kebahagiaan dalam dunia yang sementara ia singgahi ini. Lebih dari kebahagiaan dalam dunia, manusia selalu mendambakan kebahagiaan kekal yang diyakininya. Tidak pernah kebahagiaan itu dapat di ukur oleh setiap orang tanpa berusaha menempatkan kebahagiaan itu dalam dirinya sendiri.  Pancaran kebahagiaan inilah yang kemudian mempengaruhi orang lain untuk menjadi bahagia. Kreativiti, rasa dan hati  yang ada mendorong manusia membawa kebahagiaan tersebut dalam dirinya.
 

Menyedari akan adanya kreativiti, rasa dan hati memampukan manusia menembusi dinding keragu-raguannya. Dinding kedukaan yang dibinanya dalam menghadapi berbagai persoalan dan beban yang ada.


Semoga semua orang berbahagia…


Harapan ini dilandaskan oleh kesedaran bahawa manusia dibekalkan oleh ketiga elemen tersebut untuknya kuat dan teguh dalam menghadapi kehidupan yang penuh rintangan, ujian, cubaan, malahan penderitaan...


Semoga semua orang berbahagia...


Menolong manusia mengingati kembali dirinya sebagai makhluk yang resposif kepada Maha Pencipta. Respon manusia untuk bertindak dan membalas kasih kurniaan yang banyak diterima olehnya dalam kehidupan. Tindakan berbalas ini bukan merupakan paksaan yang membuat manusia terbeban untuk menjadi manusia yang bertanggung jawab kepada Robb-nya yang menyelenggara kehidupan....


bersambung…


Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam.

Sabtu, 1 Oktober 2011

AKU BUKAN YANG TERBAIK...


Harus bagaimana lagi?

Mahu bukti apa lagi?

Mungkin ini terakhir kali

Kerana maut itu cuma menanti hari

Mati itu PASTI!



Benarlah manusia itu

Lidah mudah katakan ini dan itu

Cuma hati yang tidak mahu

Lebih rela mengikut nafsu

Yang sesatnya sudah tentu



Peraturan itu bukan menyekat

Hukum itu bukan menghalang

Dicipta untuk melindungi

Diberitahu untuk difahami

Difahami dan dituruti!!



Kerana diri hanya HAMBA HINA,

Tersangat HINA di sisi-Nya

Jika terus diselubungi dosa

Jika terus keras hati dan keras kepala

Jika terus dengan sombong berkata

“Kau tidak faham kerana ini hidup aku dan hanya aku yang melaluinya!!”




Tetapi kau lupa wahai diri

Hidupnya dirimu kerana SIAPA?

Hidupnya dirimu daripada MANA?

Hidupnya dirimu sampai BILA?



Aku memberitahu bukan kerana aku terbaik

Aku menegur bukan kerana aku sempurna

Aku juga hamba-Nya yang hina

Kerana kita semua sama disisi-Nya

Kecuali mereka yang beriman dan bertakwa

Tingkatan Iman dan Takwa itu


Ya!

Tingkatan itu yang membezakan kita



Mungkin hatimu berkata…,

 “Jadi kau mendakwa dirimu hebat dan lebih tinggi tingkat Iman dan Takwamu berbanding diriku??”

“Kerana itu kau berani menempelak dan menghukumku kerana aku dilihat seperti tidak beragama??”


Tidak!

Aku tidak hebat

Aku bukan menghukum

Aku juga bukan menempelak

Tetapi aku hanya hamba

Hamba Tuan Punya Dunia

Yang dikurniakan kudrat

Nikmat anggota, nikmat rasa,




Aku hanya menyampaikan

Buat mereka yang mahu mendengar

Aku hanya memberitahu

Buat mereka yang mahu memahami

Aku hanya meluahkan rasa

Buat mereka yang mahu berkongsi sama

Kerana hidayah itu milik Allah

Aku juga pendamba hidayah Allah



Kerana kau dan aku hamba

Kerana kita sama!!



Tetapi anggaplah Allah yang menegurmu melaluiku

Anggaplah Allah yang ingin menempelakmu melaluiku

Anggaplah Allah yang ingin menyedarkanmu melaluiku

Kerana setiap kita dibawah pengawasan-Nya

Dan pasti,

AKU BUKAN TERBAIK

tetapi sekadar berusaha menjadi hamba-Nya yang baik



Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam.