Dikala mendengar seseorang rendah hati atau tawaduk, apa yang harus kita rasakan? Apa yang terlintas di benak kita? Apa yang kita mengerti tentangnya? Seharusnya kita harus benar-benar tahu akan makna tawaduk itu...
Adakalanya juga, hati ini terasa begitu sombong. Sombong untuk mendengar pendapat insan-insan yang lebih muda, insan-insan yang tidak berpangkat lagi berharta, insan-insan yang miskin dan lemah, insan-insan yang tidak berpendidikan tinggi. Kenapa harus begitu...? Hal ini kerana, kita tidak mengerti akan maksud sebenar tawaduk itu. Tawaduk secara ringkas boleh dibahagikan kepada dua erti, Pertama ; tunduk dan menerima kebenaran dari sesiapapun, Kedua; merendahkan sayap dan darjat sesama manusia ; bergaul dengan mereka secara ramah dan baik.
Keutamaan tawaduk
Orang yang tawaduk kepada Allah pasti dimuliakan
Nabi saw bersabda, " Orang yang tawaduk kepada Allah, pasti dimuliakan Allah " (Muslim). Maha Suci Allah hadis yang jika kita teliti dan perhati, begitu nyata dalam kehidupan kita. Saat ini jika kita lihat, semakin tawaduk seseorang semakin ia disukai dan dicintai masyarakat. Lalu, tanyalah keadaan ini terhadap diri kita wahai saudara semuslim ku yang baik hati...? Di manakah kedudukan kita? Apa pun jawapannya, ayuh kita sama-sama membaiki diri. Bermula dari sekarang mari kita lihat contoh-contoh keperibadian yang sungguh-sungguh tawaduk sepanjang zaman...
Beberapa contoh yang layak ditiru
Tawaduk adalah akhlak Rasul
Para sahabat bercerita bahawa Nabi saw apabila bersalaman tidak pernah melepaskan tangan dahulu hingga orang yang disalami itu melepaskannya, Baginda saw juga apabila bersalam menghadapkan tubuh dan pandangan mata benar-benar pada insan yang disalam itu. Baginda saw sentiasa ceria dan peramah. Tidak pernah sahabat melihat Baginda saw bermasam muka...
Ya Allah, betapa jauhnya perilaku Baginda saw jika hendak dibandingkan dengan kita. Apabila bersalam, kita tidak pernah memandang wajah insan yang kita salam itu, lalu dengan sekadar adat, kita segera melepaskan tangan. Adakah kita "sesibuk" Baginda saw untuk berperilaku seperti itu...? Dikala berjumpa sahabat handai pula, kita bermasam muka. Dengan wajah yang tidak ceria, masihkah ada insan yang ingin menyukai kita...? Marilah kita renung-renungkan...
Biasa-biasa sahaja !
Lihatlah satu kisah ketika mana seseorang pergi berjumpa dengan Rasulullah saw, tubuhnya gementar kerana takut (ia menyangka akan berjumpa seorang raja ). Melihat hal itu Nabi saw berkata, " Aku ini orang biasa sahaja, aku bukan raja. Aku hanyalah anak dari wanita yang makan daging kering di Madinah” ( Ibnu Majah)
Lihatlah saudara semuslimku yang baik hati sekalian, bagaimana mulianya akhlak Baginda saw. Berbeza dengan kita. Kebiasaanya orang-orang yang berpangkat besar akan merasa bangga apabila orang tunduk hormat kepadanya. Pernahkah dari mereka berkata demikian " aku hanyalah anak petani biasa" Tidak pernah bukan.. Tetapi situasi ini sungguh berlainan sekarang. Sebagai contoh, ketika ditemuduga atau berjumpa dengan menteri-menteri besar, kita akan berasa takut dan gentar.. Kenapa? Satu persoalan pemikiran yang perlu kita sama-sama fikirkan...
Ya Allah, Nabi saw tertutup tanah
Perhatikan sifat tawaduk Nabi saw saat perang Khandak. Di antara sahabat ada yang mengali lubang dan ada juga yang memecahkan batu. Seperti yang diketahui, kerja-kerja di atas secara zahirnya tidaklah terlalu berat dan mengotorkan. Tetapi adakah kita tahu apa yang Baginda saw lakukan? Adakah Baginda saw hanya duduk sekadar mengarah dan memerhatikan? Sama sekali silap.. Baginda saw sanggup mengangkat tanah-tanah yang digali sedalam lebih 3 meter di belakang Baginda saw hingga seluruh tubuh Baginda saw tertutup oleh tanah.
Nampaknya, kita pasti tertanya-tertanya mengapa Baginda saw memilih pekerjaan sukar itu. Hal ini kerana Baginda saw memiliki sifat tawaduk yang agung. Berbeza dengan kita yang masih lagi bermalas-malasan untuk mengemas rumah, menolong ibu mencuci pinggan, membersihkan lantai dan sebagainya.
Tawaduk yang mengagumkan
Tahukah kita bagimana Rasulullah saw memasuki Mekah saat Fathu Mekah dan pada saat memperolehi kemenangan ? Baginda saw memasuki Mekah dengan menundukkan kepala.
Diriwayatkan, " bahkan kami melihat kening Nabi menyentuh unta". Ya Allah, padahal pada ketika sebelum Pembukaan Mekah, orang kafir menyiksa para sahabat, mencaci dan menghina mereka serta memerangi Nabi saw. Lalu kita lihat bagaimana reaksi Baginda saw yang timbul ?
Maha Suci Allah, di sinilah sifat tawaduk kesan dan hasil kejayaan tarbiyah yang besar.. Semoga Allah sentiasa merahmati Nabi Muhammad saw.
Aku yang mengumpulkan kayu bakar
Dalam sebuah perjalanan, Rasulullah saw menyuruh sahabat-sahabat memasak kambing. Lalu mereka beramai-ramai sukarela menawarkan diri. " Biar aku yang menyembelih", " Biar aku yang mengulitinya ", " Biar aku yang memasaknya " Lalu Rasulullah saw menjawab, “Biar aku yang mengumpulkan kayu bakar” Mereka kemudiannya menjawab, "Tidak mengapa Rasulullah, biar kami sahaja yang melakukannya" Mendengar hal itu Baginda saw menjawab, “Aku tahu kalian tidak membenarkan aku, tetapi aku tidak suka diperlakukan istiwewa, kerana Allah membenci seorang hamba yang ingin nampak istimewa dalam kalangan sahabatnya”.
Tawaduknya Abu Bakar dan Umar
Tawaduknya Syaidina Abu Bakar ra pada ketika itu adalah beliau sanggup membersihkan rumah seorang tua, padahal pada waktu dan ketika itu beliau adalah seorang Khalifah. Subhannallah...!
Lalu siapa kita ? Kita tidak mahu membersihkan rumah, tidak mahu membantu ibu kita, juga tidak mahu membantu isteri kita. Kenapa harus begitu...? Seorang anak gadis berkata pada ibunya, "Aku sedang sibuk belajar, mana adanya masa bagiku untuk membersihkan rumah” Ya Allah, jika sekarang pun kita tidak ada masa untuk membersihkan rumah kita sendiri, bagaimana nanti ingin berperilaku seperti Syaidina Abu Bakar ra yang rela membersihkan rumah seorang tua.
Tawaduknya Syaidina Umar ra pula , beliau sanggup membersihkan untanya sendiri sedangkan pada ketika itu beliau juga seorang khalifah. Pernahkah pada ketika ini, ada pemimpin besar yang rela membasuh keretanya sendiiri? Ketika ditanya, kenapa Umar tidak menyerahkan tugas itu pada hambanya.. Lalu, apa yang dijawab, "Adakah yang lebih hamba dari diriku? "
Ya Allah, seorang raja membersihkan untanya sendiri.. Seolah-olah kita sedang membaca cerita dongeng.. Tetapi bukalah mata wahai saudara semuslimku yang baik hati sekalian. Ukurlah dimana tahap tawaduk kita..
Jalan Menuju Tawaduk
Tawaduk dalam berpakaian
Suatu ketika Rasulullah saw didatangi seseorang, " Ya Rasulullah, aku senang memakai pakaian yang bagus dan sandal yang bagus. Adakah ini termasuk sombong? Baginda saw menjawab , “Tidak, Allah Maha Indah dan Dia sukakan keindahan" ( Muslim)
Hadis di atas membawa maksud, bukan kita tidak boleh bergaya, tetapi berpada-pada. Cara hendaklah kena pada niat. Dan tempat haruslah sesuai dengan keadaan. Kita perlu ingat orang yang taat pakaiannya bagus dan baik. Hal ini saudara semuslimku yang baik hati sekalian perlu kita pandang serius kerana umat Islam bukanlah umat yang selekeh dan tiada bercitarasa. Cuma, jangan sombong. Kita akan dinilai masyarakat di sekeliling.
Rasulullah saw juga bersabda, " Sesiapa yang meninggalkan pakaian kerana tawaduk kepada Allah padahal dia mampu memakainya, Allah akan memanggilnya di Hari Kiamat di hadapan makhluk hingga ia diberi pilihan, pakaian iman mana yang ingin ia pakai" (Tirmidzi)
Renung-renungkan hadis ini saudara semuslimku yang baik hati sekalian. Kita mampu memakai tudung ala-ala artis, tetapi disebabkan tawaduk kepada Allah, kita memilih untuk bertudung labuh.. Kita boleh bermain bola memakai seluar pendek, tetapi disebabkan tawaduk kepada Allah, kita memilih untuk berseluar panjang.
Tawaduk dalam membina mahligai bahagia
Lihatlah bagaimana Syaidina Ali kwh dan Syadatina Fatimah ra membina keluarga mereka. Mereka hidup serba ringkas dan serba cukup tetapi bahagia. Janganlah kita hanya mengejar harta keduniaan sedangkan pasangan kita tidak mampu untuk begitu. Di sini ditekankan juga, supaya ihsan dalam menikah. Kita bukan sahaja menikah si empunya diri, tetapi keluarganya, akhlak serta keperibadiannya. Jangankan disebabkan kecantikan, kita lupa akan syarat yang lebih penting iaitu agamanya. Oleh itu, risiklah dan pilihlah calon yang terbaik buat diri kita. Moga kita dan si dia bersama-sama akan bercinta di syurga nanti...
Tawaduk kepada keluarga terdekat terutama ibu bapa..
Anak-anak perlu ingat, walau siapa pun kita, belajar tinggi mana sekalipun kita, tawaduklah terhadap kedua orang tua kita. Mereka membesarkan kita sejak dari kecil hingga besar. Jadi mengapa harus kita angkuh terhadap mereka. Jika tiada mereka? Siapakah kita ? Tawaduklah.. Ciumi mereka dan sayangi mereka..
Kita juga disarankan tawaduk terhadap saudara-saudara terdekat. Jangan pula jika mereka miskin, kita semakin menjauhkan diri dari mereka. Kita lebih senang bergaul dengan saudara mara kita yang kaya sahaja.. Di situ kita lihat? Mana itu tawaduk?
Jangan mengungkit-ungkit lalu menyangka telah berbuat banyak
Sikap tawaduk yang paling indah adalah merendah dan menundukkan diri di hadapan Allah. Janganlah mengunkit-ungkit amalan kebajikan kita, solat, puasa , qiam. bersedekah. menolong membersihkan rumah dan sebagainya.. Hal ini kerana, bukan dengan amalan yang mampu membuatkan kita ke Syurga, tetapi Rahmat dari Allah. Semoga kita termasuk dalam kalangan insan yang tawaduk dan zuhud terhadap harta dunia, insya Allah...
Wallahu`alam
Jagalah Hati...
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan