Popular Posts

Ahad, 29 Januari 2012

WANITA...




Wanita bisa menjadi madu,
Kemanisannya menjadi pemangkin pada kebangkitan Islamiah.
Inilah yang diharapkan dari insan yang bergelar muslimah solehah.
Dan wanita juga mampu untuk menjadi racun, bisanya terus memudaratkan
Seraya menghancurkan agama yang dicintai... Nauzubillahi min zalik !



Jadilah perhiasan dunia,
yang dihiasi dengan bunga ketakwaan.
Sirami jiwamu dengan titis haruman iman,
Maka terpeliharalah dirimu dari fitnah dunia
Semaikan akhlakmu dengan benih mahmudah,
menjadikan dirimu disenangi segala makhluk dan juga Al-Khaliq.
Perkayakan dirimu dengan coretan ilmu yang bermanfaat,
sebagai petunjuk jalan dalam berbahtera melayar kehidupan duniawi,
destinasinya menuju ke akhirat sana...



Inilah titipan dari hamba-Nya yang tidak mengerti apa-apa.
Moga mengalirlah airmata keinsafan.
Sesungguhnya apa yang baik itulah ketentuan dari-Nya.
Segala kekurangan pula lahir dari diriku sendiri,
natijah dari kealpaan dalam menghadap diri pada-Nya yang Maha Esa...



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam 

WARKAH BUAT MUSLIMAH...




Wahai Gadis Semuslimku...


Gadisku… sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta dari tulang rusuk Adam yang bengkok yang menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian Sang Kumbang untuk mendekatimu. Namun … tidak semua bunga senang di dekati lantaran duri mawar, dari kejauhan sudah terhidu akan keharuman serta kilauan warnanya memancar indah mengundang kekaguman terhadap sang kumbang … tapi Awas !!! duri yang memagari mampu membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.



Gadisku… aku suka kau sekiranya seperti mawar aspirasi setiap mujahidah. Bentengilah dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan takwa kepada Allah swt… hiasilah wajahmu dengan titisan wuduk, bibirmu dengan tilawatilqur’ an dan zikrullah, matamu dengan memandang segala keindahan af’alullah di muka bumi dan langit, telingamu diperdengarkan dengan tazkirah yang akan menambahkan makrifat kepada-Nya, akalmu tafakkur dan tadabbur setiap bait-bait Kalamullah dan hatimu dengan musyahadah kepada Allah swt...



Ingatlah bahawa cirri-ciri seorang wanita solehah ialah ia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya dengan pandangan nafsu serta syahwat melainkan bertambahnya keiamanan salah seorang antara mereka. Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika di bandingkan dengan sesuatu yang terdedah… umpama mutiara yang di dedahkan buat perhatian umum dengan permata yang tersembunyi, pasti yang tersembunyi itu melebihi daripada yang terdedah…



Wanita solehah yang taat dan patuh pada al-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam. Namun …. ia memerlukan mujahadah yang tinggi kerana ia bercanggah dengan nafsu serakah yang bersarang dalam diri, lebih-lebih lagi status gadis yang kau miliki, sudah pasti darah mudamu mencalar rasa keimanan yang ada.



Maka ingatlah wahai gadisku bahawa sesiapa yang ingkarkan kebaikan, maka Allah akan memudahkan jalan-jalan ke arah itu, yang penting engkau mesti berharap hanya kepada Allah dan istiqamah dalam riadhah mujahadah dirimu itu.



Gadisku… hakikat dirimu lebih mudah menjadi fitnah kepada kebanyakan kaum lelaki… seandainya pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentengimu… sesungguhnya Nabi saw ada bersabda, “Tidak ada satu fitnah yang terlebih besar dan bermaharajalela selepas wafatku kepada kaum lelaki selain fitnah yang berpunca dari kaum wanita”.



Oleh itu gadisku, setiap langkah dan pakaianmu hendaklah berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah, jangan biarkan orang mengekploitasikan dirimu untuk kepentingan tertentu… sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu sebaris dengan kaum Adam… kau adalah harapan ummah dalam melahir dan membentuk mujahid dan mujahidah yang bakal menggoncangkan dunia haya dengan sentuhan lembut tanganmu.



Gadisku… dalam hidupmu pastinya kau ingin disayangi dan menyayangi, itulah anugerah dan fitrah semulajadi setiap insani namun ramai antara kamu tewas kerana cinta… bercinta itu tiada yang salahnya tapi memuja cinta itulah yang salah… kerana dengan cinta, manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta maruah diri yang begitu bernilai dan berharga di gadaikan hanya kerana dengan sedikit kata-kata manis dari seorang lelaki. Gejala murtad dan keruntuhan akhlak muda-mudi sebahagiannya adalah di sebabkan cinta. Benarlah sabda Rasulullah saw, “Adapun bermula cinta itu buta”.



Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang Hak dan yang Batil apabila kau letakkan cinta itu di atas dasar nafsu dan tidak kerana Allah. Sebelum kau mendekati cinta yang majazi ini, cintailah dirimu terlebih dahulu dengan mengkaji hakikat dirimu yang akan membawa dan menimbulkan rasa cinta dan kasih sayang kepada sang Pencinta sebenar iaitu Pencipta mu.



Gadisku, mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta yang hakiki dan abadi kerana hati yang pecah dan retak apabila di berikan kepada makhluk pastinya akan bertambah retak lantas terburai hancur, tapi apabila hatimu di serahkan kepada Allah ia akan bertaut kembali …



Dalam seusiamu sibukkanlah dirimu dengan ilmu yang mampu mempertajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslimahmu. Sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya dan cahaya tidak mampu bertapak di hati-hati mereka yang penuh dengan karat-karat dosa kepada Pencipta-nya.



Buat akhir kata, terimalah kata-kata seorang sufi wanita,  iaitu Rabi’atul Adawiyyah sebagai renungan kita bersama dalam menuju ke hadrat Ilahi... “Cintakan manusia itu sesekali tidak akan mewujudkan kebahagiaan yang abadi untuk seorang insan kerana ia tidak kekal, cinta seringkali membuatkan seseorang itu gagal, kecewa, menderita dan terseksa zahir dan batin. Oleh kerana itu, tiada satu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagian yang sebenar dan kenikmatan yang akan menghancurkan segala kenangan-kenangan buruk melainkan hanya CINTA kepada PENCIPTA dan PENCINTA sejati dan abadi…
Renung-renungkanlah wahai gadisku...




Wallahu`alam




Jagalah Hati...




Wassalam 

Jumaat, 27 Januari 2012

TANGISAN YANG DIKASIHI ALLAH...



Dalam dunia ini ramai orang yang menangis, akan tetapi sedikit sekali yang didapati orang yang menangis kerana takutkan Allah, menangis kerana mengenangkan hari Akhirat, menangis kerana gerunkan Neraka Allah dan rindukan Syurga Allah.


Apa yang kita dapati, kebanyakan manusia hari ini menangis kerana hal-hal lain yang bersangkutan dengan kepentingan duniawi semata-mata. Umpamanya menangis kerana tidak tahan dengan penderitaan hidup, menangis kerana kemiskinan, kesusahan, kesakitan, kehilangan orang yang dikasihi, gagal dalam peperiksaan, kecewa dalam percintaan, putus tunang, dicaci maki dan tidak kurang juga ada yang menangis kerana tersinggung atau kecil hati dengan tingkah laku seseorang.


Ada juga yang menangis kerana suaminya kahwin lagi dan tidak kurang juga ada yang menangis kerana kurang mendapat perhatian serta kasih sayang dari orang yang disayangi. Alangkah ruginya air mata yang dicurahkan ke bumi, sedangkan tiada nilai sedikit pun di sisi Allah. Malang sungguh bagi mereka yang menangis kerana hal lain, bukan kerana Allah. Hidupnya menderita dan setiap tangisannya membawa kehancuran. Tidak kurang juga ada yang sanggup mengambil jalan singkat setelah puas menangis mengenangkan nasib diri, iaitu dengan membunuh diri atau melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syariat.


Akan tetapi alangkah bertuah dan beruntungnya orang yang menangis kerana takutkan Allah, kerana gerunkan azab Neraka dan rindukan nikmat Syurga yang tidak terhingga lazatnya kerana mereka ini akan mendapat jaminan rahmat dan pengampunan dari Allah swt serta mendapat ketenangan jiwa lahir dan batin. Justeru semakin banyak mereka menangis, jiwa mereka semakin tenang dan iman mereka semakin menebal dan mantap. Sebagai buktinya Allah berfirman, ” Ketika dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Robb yang Maha Pemurah, mereka lalu tunduk dan bersujud sambil menangis” (QS Maryam:58)


Pernah berlaku dalam sejarah Islam, seorang Khalifah yang cukup terkenal sifat warak dan zuhudnya yang bernama Khalifah Umar Abdul Aziz, suatu malam beliau bemunajat dengan Ilahi di tingkat atas bangunan. Oleh kerana terlalu takutkan Allah dan gerunkan Neraka Allah dan cemas memikirkan nasib diri di Akhirat kelak, beliau sujud pada Allah sambil menangis yang teramat sangat hingga titisan air mata beliau menitis ke bangunan bawah melalui celah-celah lubang lantai.


Suatu kisah lagi pernah berlaku dalam sejarah hidup Sayidina Ali kwh, waktu itu ketika beliau sedang mengambil wuduk, dengan serta merta wajah beliau berubah menjadi pucat dan seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan. Bila ditanya oleh sahabat yang lain,” Wahai Ali, kenapakah keadaan tuan begini?” Maka dijawabnya ringkas,” Aku takut pada Allah.”


Lihatlah, Sayidina Ali kwh berubah mukanya pucat dan cemas serta menggeletar tubuhnya hanya sekadar mengambil wuduk belum lagi mengangkat takbir utnuk mendirikan solat untuk menyembah Allah yang Maha Agung. Begitulah hebatnya keimanan dan ketakwaan para sahabat dan orang-orang soleh dahulu.


Antara sifat orang yang takutkan Allah ada dinyatakan dalam Al Quran yang bermaksud, ” Mereka lalu tunduk dengan dagu-dagu mereka sambil menangis dan keadaan itu akan menambah mereka khusyuk.” (QS Al-Isra’:109)


Di alam Akhirat kelak, setiap orang akan menangis kerana menyesal akan dirinya tidak beramal tetapi ada orang yang beruntung, ia mampu ketawa dan senyum disaat orang lain menangis. Siapakah mereka itu?  Mereka itulah golongan orang yang dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah saw melalui sabda, ” Setiap mata akan menangis di hari Kiamat, melainkan mata yang telah menangis kerana takutkan Allah dan mata yang celik kerana berjaga untuk jihad fisabilillah.”


Sabda Baginda saw lagi, ” Seseorang yang menangis kerana takutkan Allah tidak akan masuk ke dalam Neraka meskipun susu dapat kembali ke dalam tetek ataupun unta dapat masuk ke dalam lubang jarum.”


Mengikut Baginda Rasulullah saw, titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah, nilainya sama dengan titsan darah yang tumpah di medan peperangan kerana jihad di jalan Allah.


Anehnya kita hari ini sukar sekali mengeluarkan air mata kerana Allah tapi senang dan mudah sekali mengeluarkan air mata kerana hal-hal lain yang bersangkutan dengan dunia. Kenapa ini terjadi? Jawapannya kerana tipisnya iman dan rasa tauhid pada Allah. Selain dari itu tidak ada rasa kehambaan pada Allah dalam diri.


Dari itu untuk keselamatan diri kita, marilah kita berusaha melatih diri menangis kerana takutkan Allah bukan kerana hal lain. Peringkat permulaan kalau mata tidak boleh mengeluarkan air mata, cukuplah hati yang menangis. Tetapi awas, jangan tertipu oleh perangkap syaitan, yakni elakkan diri menangis dikhalayak ramai, nanti sifat ujub menguasai diri.


Untuk menyelamatkan hati, menangislah ketika berseorangan di waktu malam yang hening bening, ketika insan lain sedang nyenyak tidur dan dibuai mimpi. Maka ketika ini bangunlah seorang diri untuk bermunajat dengan Allah. Tangiskan dosa-dosa kita yang banyak. Insya Allah tangisan air mata ketika itu akan ada hasil dan nilainya di sisi Allah.


Wallahu`alam



Jagalah Hati...


Wassalam.

Rabu, 25 Januari 2012

MUSLIMAH SOLEHAH ITU BERBEZA...




Muslimah solehah itu berbeza,

Kerana….

Sebelum kaki melangkah keluar pintu,

Dia bercermin penuh rasa malu,

Membelek-belek tudung dan baju,

Bukan untuk cantik, bukan bimbang dipandang tidak menarik ,

Tapi demi memastikan syari’at Allah dilaksana dengan baik,

Kepuasan diri bukan utama, kepuasan Allah itu kerisauannya.



Muslimah solehah itu berbeza,

Kerana….

Khidmat bakti dan cintanya untuk suami,

bukan kerana takutkan poligami,

bukan bimbang cinta tak bersemi,

Tapi semata patuh pada suruhan ILAHI,

Demi kasih dan cintanya kepada Nabi.



Muslimah solehah itu berbeza,

Kerana….

Walau jauh dia berada, walau setinggi mana jawatan digalasnya,

Tapi jiwa dan hati tetap pada keluarga,

Suami dan anak-anak gelanggang pahalanya,

Menyemai sakinah dan mawaddah,

yakin hadirnya rahmah dan barakah,

Rumahtangga bahagia, syurganya di dunia.




Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.


Wallahu`alam



Selasa, 24 Januari 2012

MASIH ADA YANG LEBIH BERHARGA...



Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar...
(QS 2: 155)


Seorang lelaki bermuram durja kerana masalah yang sedang dihadapinya. Merasa kesulitan, ia pergi menemui salah seorang tabi’in yang mulia, iaitu Yunus bin Ubaid ra dengan harapan mendapat jalan keluar.


Setelah lelaki gundah itu mengadukan segala kesulitannya, Yunus bin Ubaid ra pun berkata, “Adakah engkau boleh memberikan matamu untuk dibeli dengan seratus ribu dirham?” Lelaki itu menjawab, “Tidak” Dia berkata, “Lalu bagaimana dengan pendengaranmu?” Lelaki itu menjawab, “Tidak”. Dia berkata, “Lalu bagaimana dengan lidahmu?” Lelaki itu menjawab, “Tidak”. Dia berkata, “Lalu bagaimana dengan otakmu?” Dia berkata, “Juga tidak, walaupun sedikit” Lalu ia mengingatkannya pada nikmat-nikmat Allah yang lain atas dirinya.


Kemudian Yunus bin Ubaid ra pun berkata, “Saya melihat bahawa engkau memiliki ratusan ribu dirham, tetapi engkau masih juga mengeluh?”


Cerita di atas adalah suatu kisah yang telah menggambarkan kepada kita satu perkara, iaitu bagaimana para ulama salaf bijak dalam menghadapi permasalahan. Mereka tidak menangisi ujian sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakkan orang di zaman sekarang. Mereka memiliki satu sudut pandang yang menarik, iaitu mereka melihat sesuatu perkara dari sisi yang lain, termasuk dalam melihat ujian dan kesusahan.


Jika di zaman sekarang dengan mudahnya orang berkeluh kesah tentang kesulitan yang dihadapinya, maka lihatlah bagaimana nasihat ini menjadi sumber inspirasi yang dahsyat ketika kita memandang hal lain sebagai satu masalah. Kita tidak hanya memandang sesuatu yang hilang dari kita kerana ujian itu, tetapi juga sesuatu yang masih kita miliki, sesuatu yang masih kita ada dan bukan sesuatu yang sekadar kita impikan.


Cubalah kita amati di sekeliling kita, ketika seseorang ditimpa ujian berupa perginya yang ia impikan dan inginkan, ia hanya terus meratap. Ia hanya mengejar bayang-bayang yang tidak mampu ia miliki tanpa sedar bahawa ia masih memiliki banyak perkara berharga lainnya.


Oleh itu, cubalah untuk membuka pandangan kita lebih luas tentang dunia, tentang bijak dalam menghadapi masalah, tentang menghargai apa yang kita miliki. Kerana sedarlah, masih banyak nikmat Allah yang masih kita miliki dan banyak lagi anugerah Allah yang masih, insya Allah mampu kita kejar.


Jangan jadikan mata kita yang luar biasa itu tertutup oleh kabus kesedihan semata-mata. Ujian itu ada bukan untuk ditangisi, tetapi untuk dihadapi...


Wallahu`alam


Jagalah Hati...



Wassalam.

DUNIA ITU INDAH...




Dunia Itu Indah...



Kita sudah pasti sering mendengar kalimah itu. tetapi tahukah kita, tidak sepenuhnya kalimah itu benar kerana dalam kehidupan sehari-harian, hanya ada beberapa orang sahaja yang dapat memberi kebenaran pada kalimah.



Dan tahukah kita siapakah mereka...? Mereka adalah orang-orang yang pandai bersabar dan bersyukur...



Saudara semuslimku yang baik hati, definisi sabar dan syukur ini ternyata maknanya tidak seringkas kalimah tersebut.



Sabar adalah menerima hidup ini apa adanya tanpa keluhan, caci maki, dan sebagainya kepada orang lain, termasuk Allah swt. Dan tahukah kita, sabar itu sebenarnya terlihat dari pukulan pertama? Apakah maksudnya...?



Sabar sebenarnya dilihat dari reaksi yang paling pertama ketika kita menghadapi sebuah ujian dari Allah. Contohnya ketika salah seorang ahli keluarga meninggal dunia, maka apabila dirinya itu meraung-raung, meratap kepada si mayat, maka hal itu tidak boleh disebut sabar, walaupun setelah beberapa hari berikutnya dia mengaku sabar dan mengikhlaskan kepergiannya. ITU BUKANLAH SABAR...!



Begitu juga dengan bersyukur. Kita belum boleh dikatakan bersyukur jika kita hanya mampu mengucapkan "Alhamdulillah", tetapi kita harus membuktikan rasa syukur kita dengan suatu langkah nyata, iaitu menjalankan apa-apa yang telah Dia perintahkan dan menjauhi segala larangan-Nya.



Jika seseorang diberikan suatu nikmat, dan dia mengatakan Alhamdulillah tetapi dia dengan mudah melupakan Robb-nya, lalai dalam solatnya dan telah lupa dengan kewajibannya sebagai muslim kerana disilaukan dengan cahaya kenikmatan duniawi, maka itu bukanlah syukur.



Saudara semuslimku yang baik hati, dunia ini menjadi indah kerana dua perkara. Apabila diberi ujian berupa musibah atau kekurangan, maka kita harus bersabar, dan jika kita diberi ujian berupa kenikmatan, maka kita harus bersyukur.



Itulah keindahan dunia yang sebenar-benarnya...


Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam

Selasa, 17 Januari 2012

DOA...



1
Engkau adalah roh dari roh alam semesta
Kebun-kebun kami subur dan riang
Disebabkan curahan kasih sayang Mu
Namun kerana rumah Cinta telah kami tinggalkan
Lihat, hati kami kini kering kontang
Dan Engkau pun lari meninggalkan kami.


2
Melalui seruling kehidupan, Engkau tiupkan lagu
“Sungguh, tidak akan berubah nasib suatu kaum
Jika tidak merubah alam fikirannya yang beku”
Hibur hati kami yang sedih,
tuang  air nikmat dan hangat itu sekali lagi
ke dalam gelas dan kerongkong kami yang hampa


3
Himpunlah daun yang berserak-serak ini
Jadikan kembali pohon penghias taman kita naung
Sungguh, hidup ini akan iri pada mati
Jika mati demi Engkau dan di jalan Mu
Tinggallah dalam jiwa kami sekali lagi
Dengar seruan ‘Aku lebih dekat’ Mu di kalbu kami


4
Jangan sembunyikan wajah pemurah Mu
Dari tatapan kosong mata kami
Jadikan lagi kami pemikul ayat-ayat Mu
Beri kami ketaatan mengabdi demi satu tujuan
Padukan iman kami seperti Ibrahim, bisikkan
Kepada hati, “Jangan takut kepada selain Ilahi!”


5
Jika hati kami terlalu liat dan keras
Lembutkan dan ubah jadi lantunan merdu suara Daud
Jika lembik, tempalah jiwa kami seperti Engkau tempa jiwa Musa
Jika redup, nyalakan lagi suluh terang Abu Bakar di rumah kami
Jika kecut, kurniakan kami ketabahan Ayub dan Yusuf
Berpangku tangan bukan kebiasaan orang beriman


6
Jadikan lagi kami puncak gunung dengan api menyala
Agar berhala keraguan dapat kami hancurkan.
Kerana kunci Tauhid telah lepas dari tangan umat
Lihat, kini kami tercerai berai di papan catur kehidupan
Bintang-bintang kami redup di keluasan langit kelam
Menunggu sirna dihalau sinar matahari siang


7
Kami ini satu rumpun, sebuah keluarga besar
Namun kami tidak lagi saling mengenal
Hidupkan lagi ajaran saling bercinta, pun kepada umat yang lain
Sebab jika satu umat saja yang mencinta di bumi ini
Tentu dunia ini akan tetap porak poranda


8
Malam-malam kami hampa, siang-siang kami kerontang
Apa erti hidup ini jika hanya memohon dan meratapi takdir?
Mengapa pula harus membangun rumah untuk orang lain
Dan lupa menjelmakan cita-cita sendiri?
Ombak bergumul ombak, karang bertarung melawan gelombang
Dari pertarungan hidup dan mati ini
Akan terjelma lagu merdu kehidupan


9
Meminta-minta bukan kebiasaan orang beriman
Haram baginya tidak memasak makanannya sendiri
Kurniakan lagi pada kami cinta Salman dan Bilal
Ubahlah hati umat yang kecut menjadi manis
Ajarkan kami rahsia La ilah
Bisikkan kembali makna Illa`Llah ke dalam kalbu kami


10
Tuntun lagi kami berkhidmat mentaati kewajipan
Engkau Maha Mulia, sedang kami begitu hina
Limpahi lagi kemulian pada kami yang dina ini
Beri kami kekayaan hati seperti Sayidina Ali
Anugerahi lagi kami semangat mencari seperti al-Kindi dan Biruni
Beri lagi kami kejernihan fikiran Ibnu Sina dan al-Ghazali


11
Telah lama kami ratapi takdir
Namun takdir selalu menghindar dari kami
Umat hanya gemar berdoa dan memohon
Namun pelita budi dan akal mereka telah padam
Kekayaan hikmah dan kearifan dari kalam suci Mu
Telah terkubur oleh kebodohan dan taklid buta


12
Apa erti hidup, jika tidak untuk menjelmakan diri
Mengapa kami harus membina rumah
Menurut rancangan dan keinginan orang lain?
Engkau adalah jiwa dari jiwa alam semesta
Cacatlah kami jika hanya gemar memohon
Ajarkan kami berikhtiar menyingkap tabir rahsia takdir


13
Kami ini faqir, hanya kepada Mu berlindung
Beri kami kesetiaan mengabdi demi satu tujuan
Malam-malam kami hampa, siang-siang kami kerontang
Kami kaya, namun kebodohan telah merampas kekayaan kami
Kegemaran kami bukan memohon, namun jika memohon
Lindungi kami dari pemimpin zalim seperti Namrud dan Firaun


14
Engkau Maha Besar, jangan biarkan kami
Porak poranda di tengah kebesaran Mu
Perlihatkan wajah Pemurah Mu pada penglihatan kalbu
Dengar seruan dalam hati kami sentiasa
“Timur dan Barat adalah milik Ilahi”, “Dan ke mana pun
kau memandang, akan kau lihat wajah Ilahi!”


15
Ajarkan kami rahsia makna Kun Fayakun
Tanamkan lagi ke dalam hati kami
Kalimat agung Alastu birabbikum!
Terangi ruang ini dengan lampu Wa Huwa ma`akum
Sesungguhnya Dia sentiasa bersamamu
Campakkan semua kepura-puraan ini


16
Jadikan lagi kami khalifah Mu di muka bumi
Gemakan lagi azan Mu, ajarkan kami makna “Tidak gentar!”
Bangunkan kami dari tidur maha nyenyak ini
Agar dapat berlumba-lumba menuju kemenangan



Wallahu`alam


Jagalah Hati...


Wassalam