Popular Posts

Sabtu, 15 Oktober 2011

RAHSIA DALAM MENDIDIK ANAK...




Remaja itu masih berumur belasan tahun. Namun keperibadiannya telah matang. Dewasa. Jauh melampaui usia jasadnya.



Kedewasaan hati itu tercermin dari logik keimanannya yang sempurna. Maka, walaupun tahu bahawa penyembelihan dirinya adalah perintah Allah swt, ia menjawab dengan tenang, "Wahai ayahku…kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya Allah engkau akan mendapati diri ku termasuk orang-orang yang sabar" (QS 37: 102)



Jika hari ini ramai ibubapa yang mengeluh anak mereka tidak berbakti pada mereka, Nabi Ibrahim as bukan hanya mendapati Nabi Ismail as berbakti. Lebih dari itu, Nabi Ismail as pada usia remaja telah rela mengorbankan dirinya tanpa sisa kepada Zat yang memerintahkan berbakti kepada orang tua, walaupun nyawa menjadi taruhan.



Kita mungkin beralasan, bahawa Ibrahim as dan Ismail as adalah nabi, tidak boleh disamakan dengan manusia biasa. Memang itu benar adanya. Akan tetapi, bukankah salah satu gelaran yang dianugerahkan Allah swt kepada Nabi Ibrahim as adalah uswatun hasanah? Maka, dalam dunia hari ini pun Nabi Ibrahim as mencatatkan keteladanan bagi umat manusia sesudahnya. Lalu, apa rahsia keibubapaan (parenting) Nabi Ibrahim as?



Marilah kita telusuri…



Sebelum dianugerahi Nabi Ismail as, Nabi Ibrahim as telah menyiapkan diri Baginda as menjadi bapa yang baik. Perjuangan melawan penyembahan berhala di masa muda, hingga keteguhannya berdakwah di masa tua mencerminkan kesolehan yang luar biasa. Keimanan yang sempurna juga jelas terpamer dari keberanian Baginda as menghadapi bahaya dan segera menjalankan perintah Allah swt tanpa menunda-nunda.



Isteri Baginda as yang bernama Siti Hajar juga menyiapkan diri menjadi ibu yang baik. Dengarlah kalimahnya ketika ia bersama Nabi Ismail as yang masih bayi ketika ditingalkan Nabi Ibrahim as di pegunungan Faran yang kini kita kenali dengan Mekah Al-Mukarramah, “Adakah Allah yang memerintahkan hal ini?” Mendengar jawapan ya dari sang suami, ia menzahirkan keimanan yang kukuh, “Jika begitu, Allah tidak akan menyia-nyiakan kami.”



Pendidikan anak yang berjaya bukan dimulakan setelah anak itu lahir. Apalagi menunggunya sehingga masuk darjah satu. Dalam Islam, pendidikan anak dimulai sebelum anak itu berada di dalam rahim sang ibu. Oleh sebab itulah, Rasulullah saw memerintahkan kita memilih pasangan hidup dengan pertimbangan agama. Itulah hikmahnya. Pernikahan yang ideal dengan berlandaskan prinsip-prinsip yang secara tetap mempunyai pengaruh terhadap pendidikan dan pembinaan generasi. 



Lalu, bagaimana jika keluarga itu telah terbentuk dengan permulaan yang tidak ideal? Adakah kita perlu bercerai…? Sebenarnya tidaklah sampai ke tahap perceraian, tetapi kita perlu memperbaikinya. Masih ada waktu, insya Allah. Jika kita mahukan anak-anak yang baik, jadikanlah diri kita terlebih dahulu sebagai ibu atau bapa yang baik. Jika kita merindukan anak-anak yang berbakti, jadikanlah diri kita menjadi ibubapa yang layak untuk dihormati dan mendapatkan bakti.



Jauh sebelum Nabi Ismail as lahir, Nabi Ibrahim as selalu berdoa kepada Allah swt, bukan hanya bermunajat agar dikurniakan anak, tetapi bermunajat agar dikurniakan anak yang soleh. "Ya Robb, anugerahkanlah kepadaku (anak) yang termasuk orang-orang yang soleh", demikian doa Nabi Ibrahim as sebagaimana dicantumkan dalam Al Quran, surah 37, ayat 100.




"Doa adalah senjata mukmin," sabda Rasulullah saw ribuan tahun kemudiannya. Maka untuk mendapatkan anak yang soleh, senjata itu harus dipakai setiap ibubapa muslim. Membentuk anak untuk menjadi soleh bermakna mengubah hatinya. Sedangkan penguasa hati adalah Allah swt. Jika bukan Allah swt yang mengubahnya, kepada siapa lagi kita menyerahkan urusan yang luar biasa besar ini?




Ramai ibubapa yang berjaya mengasuh anak-anak bukan kerana kepandaiannya mendidik anak, tetapi kerana doa-doa mereka yang tulus ikhlas. Ramai ibubapa yang caranya mendidik salah jika ditinjau dari sudut pandang psikologi, tetapi anak-anak mereka membesar menjadi penyejuk mata yang membawa kebaikan disebabkan amat besarnya pengharapan ibubapa tersebut dalam bermunajat.  Inilah rahsia utama dalam membentuk jati diri anak-anak kita.



Bermusyawarah adalah antara tradisi keibubapaan (parenting) Nabi Ibrahim as. Baginda as mengajak sang anak bermusyawarah, walaupun dalam persoalan kewajiban yang Baginda as sedia maklum adalah perintah Allah swt. Kita pun kemudian terkenang dengan kalimah Nabi Ibrahim as yang dikhabarkan Al-Quran dalam bahasa yang menyentuh lubuk hati, "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" (QS 37: 102).



Nabi Ibrahim as tidak mengheret anak Baginda as secara paksa untuk menjalankan perintah Robb-nya agar segera selesai, tetapi Baginda as menyampaikan hal itu kepada anak Baginda as seperti menyampaikan sesuatu hal yang biasa.



Anak yang telah biasa diminta pendapat, akan merasa dirinya penting dan berharga. Sebuah emosi positif yang sangat mendorong perkembangan kecerdasannya. Anak yang di ajak bermusyawarah dan didengari apa keinginannya, walaupun kurang tepat lontaran pendapat mereka, akan tumbuh kepercayaan dalam dirinya. Ia menjadi subjek, bukan objek. Dan itulah yang dilakukan Nabi Ibrahim as pada Nabi Ismail as.



Wallahu`alam.




Jagalah Hati…



Wassalam.

AKU MENCINTAI MU...


(untuk isteriku)

Biarkan aku mencintaimu dalam sepi, dalam rindu dan dalam rasa malu
Bersama sinar purnama yang mengejekku kerana kelemahanku
Bersama gelita malam yang memelukku serta menutup banyak aibku



Biarkan aku mencintaimu dalam luka dan dalam duka
bersama nyanyian lara yang menggores jiwa
Bersama angin tenggara yang meniup bisikan dosa



Biarkan aku mencintaimu bersama mentari yang menguapkan khilafku
Bersama lalang yang menabur sukma aneka warna serta aneka makna



Biarkan aku mencintaimu dalam suka, dalam tawa, 
dalam canda dan dalam semua pesonamu
Kerana aku tidak mungkin membenci, walau sepi merajang hati
Luka di atas luka, aku tidak mengada-ada dan aku pun tidak pura-pura
Kerana mentari masih setia, kerana pesona masih milik purnama
Abadi dalam fana dan kekal dalam jiwa dengan segunung kelemahan
Dengan apa yang dianugerahkan, rasa cinta yang mengendap dalam
Bersama angin ku bisikan pesan, “Aku cinta kamu!”




Semoga kita selalu dalam keberkatan dengan bertambah usia....


Jumaat, 14 Oktober 2011

INDAHNYA KASIH SAYANG...




Maha Suci Allah, Zat yang Maha Mengurniakan kasih sayang kepada makhluk-makhluk-Nya. Tidaklah kasih sayang melekat pada diri seseorang, kecuali akan memperindahkan orang tersebut, dan tidaklah kasih sayang terlepas dari diri seseorang, kecuali akan memperburuk dan menghinakan orang tersebut.



Betapa tidak? Jikalau kemampuan kita menyayangi orang lain tercabut, maka itulah punca dari segala bencana, kerana kasih sayang Allah swt ternyata hanya akan diberikan kepada orang-orang yang masih hidup kasih sayang di kalbunya.



Mahu tidak mahu, kita harus berjuang dengan sekuat tenaga agar hati nurani kita hidup. Tidak berlebihan jika kita mengasahnya dengan merasakan keterharuan dari kisah-kisah orang yang rela meluangkan waktu untuk memperhatikan orang lain. Kita dengar bagaimana ada orang yang rela bersusah-payah membacakan buku, akhbar atau juga surat kepada warga emas yang uzur, sehingga mereka dapat belajar, dapat maklumat dan mendapat ilmu yang lebih luas.



Rasulullah saw dalam hal ini bersabda, "Allah swt mempunyai seratus rahmat (kasih sayang), dan menurunkan satu rahmat (dari seratus rahmat) kepada jin, manusia, binatang, dan haiwan melata. Dengan rahmat itu mereka saling berbelas-kasih dan berkasih sayang, dan dengannya pula binatang-binatang buas menyayangi anak-anaknya. Dan (Allah swt) menangguhkan 99 bahagian rahmat itu sebagai kasih sayang-Nya pada Hari Kiamat nanti." (Muslim).



Dari hadis ini nampaklah, bahawa walau hanya satu rahmat-Nya yang diturunkan ke bumi, namun kesannya bagi seluruh makhluk sungguh luar biasa dahsyatnya. Jadi, sudah selayaknya kita merindukan kasih sayang, perhatian, dan perlindungan Allah swt, tanyakanlah kembali pada diri kita, sejauhmana kita menghidupkan hati untuk saling berkasih sayang bersama makhluk lain?



Kasih sayang dapat diibaratkan sebuah mata air yang selalu bergejolak keinginannya untuk melepaskan beribu-ribu meter padu air jernih yang membuncah dari dalamnya tanpa pernah habis. Aliran air yang terhasil telah mengalir dengan derasnya mengikuti alur sungai menuju lautan luas, mata air sama sekali tidak pernah mengharapkan ia kembali ke dalam tanah.



Sama juga seperti pancaran sinar cerah matahari di pagi hari, dari dulu sampai sekarang ia terus-menerus memancarkan sinarnya tanpa henti, dan begitulah juga, matahari tidak mengharapkan sedikit pun sang cahaya yang telah terpancar kembali pada dirinya. Seharusnya seperti itulah sumber kasih sayang di hati kita, ia benar-benar melimpah terus tidak pernah ada habisnya.



Tidak ada salahnya agar muncul kepekaan kita menyayangi orang lain, kita mengawalinya dengan menyayangi diri kita dulu. Mulailah dengan menghadapkan tubuh ini ke cermin seraya bertanya-tanya, “Adakah wajah indah ini akan bercahaya di Akhirat nanti, atau sebaliknya, wajah ini akan hangus terbakar nyala api Jahannam?”



Tataplah hitamnya mata kita, adakah mata ini, mata yang dapat menatap Allah swt, menatap Rasulullah saw, menatap para kekasih Allah di syurga kelak, atau akan terburai kerana kemaksiatan yang seringkali dilakukannya? 



Rabalah bibir manis kita, adakah ia akan mampu tersenyum gembira di syurga sana atau bibir yang lidahnya akan menjulur tercabik-cabik?!



Perhatikan tubuh tegap kita, apakah ia akan berdiri penuh cahaya di syurga sana, sehingga layak berdampingan dengan si pemiliki tubuh mulia, Rasulullah saw, atau tubuh ini akan membara, menjadi bahan bakar bersama hangusnya batu-batu di kerak Neraka Jahannam?



Ketika memandang kaki, tanyakanlah adakah ia sentiasa melangkah di jalan Allah sehingga berhak menginjakkannya di syurga kelak, atau akan dicabik-cabik pisau berduri. 



Memandang halusnya kulit kita, renungkanlah adakah kulit ini akan menjadi indah bercahaya ataukah akan hitam legam kerana dijilat lidah api Jahannam?



Mudah-mudahan dengan bercermin sambil bermuhasabah diri, kita akan lebih mempunyai kekuatan untuk menjaga diri kita.





Janganlah kita meremehkan makhluk ciptaan Allah,  sebab tidaklah Allah menciptakan makhluk-Nya dengan sia-sia. Semua yang Allah ciptakan syarat dengan ilmu, hikmah, dan ladang amal. Semua yang bergerak, yang terlihat, yang terdengar, dan apa saja kurniaan dari Allah adalah jalan bagi kita untuk bertafakur jika hati ini dapat merabanya dengan penuh kasih sayang.



Dikisahkan di Hari Akhir datang seorang hamba ahli ibadah kepada Allah, tetapi Allah mengecopnya sebagai ahli Neraka, mengapa? Ternyata kerana suatu ketika si ahli ibadah ini pernah mengurung seekor kucing sehingga ia tidak dapat mencari makan dan tidak pula diberi makan oleh si ahli ibadah ini. Akhirnya mati kelaparanlah si kucing ini. Jelaslah bahawa, walaupun ia seorang ahli ibadah, laknat Allah tetap menimpa si ahli ibadah ini, dan Allah menetapkannya sebagai seorang ahli Neraka, tiada lain kerana tidak hidup kasih sayang di hatinya.


Tetapi ada kisah sebaliknya, suatu waktu seorang wanita berlumuran dosa sedang beristirehat di pinggir sebuah telaga yang berair dalam di sebuah lembah padang pasir. Tiba-tiba datanglah seekor anjing yang menjulur-julurkan lidahnya seakan-akan sedang merasakan kehausan yang luar biasa. Walaupun tidak mungkin terjangkau lidahnya, anjing itu tetap berusaha untuk meminum air dari telaga itu. Melihat kejadian ini, tergeraklah si wanita untuk menolongnya. Dibukalah kasutnya menceduk air, setelah itu diberikannya pada anjing yang kehausan tersebut. Subhanallah…!, dengan izin Allah, terampunlah dosa-dosa wanita ini.



Demikianlah, jika hati kita mampu meraba derita makhluk lain, insya Allah keinginan untuk berbuat baik akan muncul dengan sendirinya.



Kisah lain, suatu waktu dahulu, ada seseorang terkena penyakit tumor yang semakin serius. Oleh kerana tidak ada kemampuan kewangan untuk membiayai kos perubatan, maka berkunjunglah ia kepada orang-orang yang dianggapnya mampu memberi pinjaman.



Bagi orang yang tidak hidup kasih sayang di hatinya, ketika datang orang yang ingin meminjam wang ini, terus terlintas dalam fikirannya seolah-olah harta yang dimilikinya akan diambil oleh dia, bukannya memberi, malah dia ketakutan akan hartanya kerana disangkanya akan habis atau malahan jatuh miskin. 



Tetapi bagi seorang insan yang hidup kasih sayang di hatinya, ketika datang orang yang ingin meminjam wang, terus muncul rasa hiba terhadap penderitaan orang lain. Bahkan jauh di lubuk hatinya yang paling dalam akan membayangkan bagaimana jikalau yang menderita itu dirinya. Lebih-lebih lagi dia sangat menyedari ada hak orang lain yang dititipkan Allah dalam hartanya. Oleh itu, dia begitu ringan memberikan sesuatu kepada orang yang memang memerlukan bantuannya.



Saudara semuslimku, ingatlah, hidupnya hati hanya dapat dibuktikan dengan apa yang mampu kita lakukan untuk orang lain dengan ikhlas. Apa ertinya hidup kita jika tidak memberi manfaat? Padahal hidup di dunia ini cuma sekali dan itupun hanya sebentar saja. Tidak ada salahnya kita berfikir dan bekerja keras untuk menghidupkan kasih sayang di hati ini. Insya Allah bagi yang telah tumbuh kasih sayang di hatinya, Allah swt, Zat yang Maha Melimpah Kasih Sayang-Nya akan mengurniakan kemudahan dalam mencari nafkah dan ringan pula dalam menafkahkannya di jalan Allah, ringan dalam mencari ilmu dan ringan pula dalam mengajarkannya kepada orang lain, ringan dalam melatih kemampuan diri dan ringan pula dalam membela orang lain yang teraniaya, Subhanallah…!



Cara lain yang dianjurkan Rasulullah saw untuk menghidupkan hati nurani agar sentiasa diliputi nur kasih sayang adalah dengan melakukan banyak silaturahim kepada orang-orang yang dilanda kesulitan, datang ke daerah terpencil, tengok saudara-saudara kita di rumah sakit, atau dengan selalu mengingati umat Islam yang sedang teraniaya, seperti di Palestin atau di tempat-tempat lainnya.



Belajarlah terus untuk melihat orang yang keadaannya jauh di bawah kita, insya Allah hati kita akan menjadi lembut kerana sentiasa dicahayakan pancaran sinar kasih sayang. Dan hati-hatilah bagi orang yang pergaulannya hanya dengan orang-orang kaya, para pemimpin, orang-orang terkenal, para artis, atau orang-orang elit lainnya, kerana yang akan muncul nanti rasa bangga diri dan perasaan kurang bersyukur dengan nikmat yang diterima di dunia ini, Masya Allah…!



Wallahu`alam




Jagalah Hati….



Wassalam.

Khamis, 13 Oktober 2011

CINTA...




Cinta adalah memberi… dengan segala daya dan keterbatasannya. Seorang pecinta akan memberikan apa pun yang boleh membuat yang dicintainya senang hati dan gembira. Bukan balasan cinta yang diharapkan bagi seorang pecinta sejati, walaupun  itu menjadi sesuatu yang melegakannya. Bagi pecinta sejati, senyuman dan kebahagiaan yang dizahirkan oleh insane dicintainya itulah yang menjadi tujuannya.



Cinta adalah menceriakan, seperti bunga-bunga indah di taman yang membawa ketenangan bagi yang memandangnya. Seperti rerumput hijau di padang luas yang kehadirannya bagai kesegaran yang menghampar. Seperti taburan pasir di pantai yang menghantarkan kehangatan seiring tiupan angin yang menawarkan kesejukan. Dan seperti keelokan seluruh alam yang menghadirkan kekaguman terhadapnya.



Cinta adalah berkorban…bagai lilin yang setia menerangi dengan setitik nyalanya walau tubuhnya habis mencair. Hingga titik terakhirnya, ia pun masih berusaha menerangi manusia dari kegelapan. Bagai sang mentari, walau terkadang dikeluhkan kerana sengatannya, namun sentiasa mengunjungi alam dan segenap makhluk dengan sinarannya. Taj Mahal yang indah di India, yang di setiap jengkal marmar bangunannya terpahat nama kekasih buah hati sang raja, juga terbina kerana cinta. Mungkin, semua kisah besar dunia, berawal dari cinta.



Cinta adalah kaki-kaki yang melangkah membina samudera kebaikan. Cinta adalah tangan-tangan yang merenjut hamparan permadani kasih sayang. Cinta adalah hati yang selalu berharap dan mewujudkan dunia dan kehidupan yang lebih baik. Cinta selalu berkembang, ia seperti udara yang mengisi ruang kosong. Cinta juga seperti air yang mengalir ke dataran yang lebih rendah.



Tetapi ada satu hal yang boleh kita sepakati bersama tentang cinta. Bahawa cinta, akan membawa sesuatu menjadi lebih baik, membawa kita untuk berbuat lebih sempurna. Mengajarkan pada kita betapa besar kekuatan yang dihasilkannya. Cinta membuat dunia yang penat dan bising ini terasa indah, paling kurang pun, kita nikmati segalanya dengan cinta. Cinta mengajarkan pada kita, bagaimana caranya harus berlaku jujur dan berkorban, berjuang dan menerima, memberi dan mempertahankan.



Tentang cinta itu sendiri, Rasulullah saw menegaskan bahawa tidak beriman seseorang sebelum Allah swt dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain keduanya.



Al Ghazali berkata,”Cinta adalah inti beragama. Ia adalah awal dan juga akhir dari perjalanan kita. Jika pun ada makam yang harus dillalui seorang sufi sebelum cinta, makam itu hanyalah penghantar ke arah cinta dan bila ada makam-makam sesudah cinta, makam itu hanyalah akibat dari cinta saja.”



Di satu sisi, Allah Maha Pemberi Cinta menegaskan, jika manusia  tidak lagi menginginkan cinta-Nya, kelak akan di datangkan-Nya suatu kaum yang Dia mencintainya dan mereka mencinta-Nya (QS Al -Maidah:54). Maka berangkat dari rasa saling mencintai yang demikian itu, bandingkanlah cinta yang sudah kita berikan kepada Allah dengan cinta Dia kepada kita dan semua makhluk-Nya.



Wujud cinta-Nya hingga saat ini sentiasa tercurah kepada kita, Dia melayani seluruh keperluan kita seakan-akan Dia tidak mempunyai hamba selain kita, seakan-akan tidak ada lagi hamba yang diurus kecuali kita. Ilahi melayani kita seakan-akan kitalah satu-satunya hamba-Nya. Sementara kita menyembah-Nya seakan-akan ada Robb selain Dia.



Apakah balasan yang kita berikan sebagai imbalan dari cinta yang Dia berikan…?



Kita membantah Allah seakan-akan ada Robb lain yang kepada-Nya kita dapat melarikan diri. Sehingga kalau kita “dipecat” menjadi makhluk-Nya, kita boleh pindah kepada Robb yang lain.



Tahukah kita, jika Dia menghitung cinta-Nya dengan cinta yang kita berikan untuk kemudian menjadi pertimbangan bagi-Nya akan sesiapa yang tetap bersama-Nya di Syurga kelak, tentu semua kita akan masuk Neraka. Jika Dia membalas kita dengan balasan yang setimpal, celakalah kita. Bila Allah membalas amal kita dengan keadilan-Nya, kita semua akan celaka.



Jadi, sekali lagi, bandingkan cinta kita dengan cinta-Nya…. Dan perbanyakkan syukur yang sebenar-benarnya syukur seorang hamba Allah….



Wallahu`alam.





Jagalah Hati….



Wassalam.

Rabu, 12 Oktober 2011

LEPASKAN BEBAN DI HATIMU...



Adakah kita merasa tidak puas hati dengan seseorang…kawan, ibu, ayah, adik, abang, kakak atau dengan sesiapa sahaja? Lepaskanlah bebanan kita itu dengan memaafkan mereka. Jiwa kita bukan sahaja akan tenang kembali, malahan kita akan beroleh ganjaran tanpa batas. Menarik, kan? Dengan hanya memaafkan kesalahan orang lain, kehidupan kita akan menjadi lebih baik dan beroleh keuntungan. Firman Allah swt, "...dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (QS An-Nur:22)



Luarbiasa sungguh! Kita maafkan orang lain, kita pula akan beroleh keampunan dari Allah. Tak nak ke? Jika ingin mendapatkan ampunan Allah, belajarlah untuk memaafkan orang lain. Lagipun apa faedahnya untuk kita terus berdendam, kan?

 

Andaikata kita membenci seseorang bererti kita telah mewakafkan hidup kita dan fikiran kita untuk terus memikirkan orang tersebut. Kebahagiaan kita akan terhalang, bahkan hati jadi tidak tenteram, makan tidak kenyang dan tidur tidak lena kerana geram memikirkan kesalahan yang telah orang itu lakukan ke atas diri kita, sedangkan orang itu mungkin sudah tidur nyenyak.



Mari sejenak kita belajar dari dunia persekolahan. Suatu hari, ada seorang guru yang meminta semua pelajar di kelasnya untuk membawa satu karung guni ke sekolah. Guru itu juga meminta setiap pelajar ke pasar dan membeli kentang sebanyak 10 kilogram. Keesokan hari ketika di sekolah, guru meminta semua pelajar, masing-masing memilih sebiji kentang bagi setiap orang yang tidak ingin mereka maafkan, kemudian tulis nama orang itu dan tarikh dia berbuat kesalahan. Kemudiannya kentang tersebut dimasukkan ke dalam karung guni yang telah disediakan, pelajar perlu membawa guni itu ke mana sahaja mereka pergi.Ia merupakan tugasan setiap muridnya di sekolah dan di rumah untuk sepanjang bulan tersebut.



Di hari pertama pelajar merasa seronok dan menarik dengan aktiviti tersebut. Seorang pelajar di dalam karung guninya sudah terdapat sembilan biji kentang. Satu demi satu nama kawannya di tulis di atas kentang kerana pelbagai sebab dan kesalahan yang beliau enggan maafkan. Setiap kejadian membuatkan pelajar itu dengan senang hati melemparkan kentang-kentang ke dalam karung, dan masih tetap untuk tidak akan memaafkan sesiapa pun yang telah bersalah kepadanya.



Setelah seminggu berlalu, karung guni yang berisikan kentang itu sudah menjadi beban yang sangat berat pada para pelajar. Dalam karung guni itu sudah terisi lebih kurang lima puluh biji kentang, ada yang mencecah lapan puluh biji kentang. Sungguh situasi itu merupakan suatu beban berat yang menyebabkan lenguh tangan dan badan untuk memikulnya. Para pelajar tersebut sudah tidak tahan menanti hari akhir dari tugasan yang telah diberikan oleh guru mereka.



Minggu kedua guru bertanya kepada semua pelajarnya, “Adakah kalian sudah mengetahui akibat dari tidak ingin memaafkan orang lain? Ternyata ada beban berat di atas bahu kalian, semakin banyak orang yang tidak ingin kalian maafkan, maka semakin berat pula beban yang harus kalian pikul. Dalam menghadapi beban berat tersebut, bagaimana seharusnya kita bertindak...?”
 


Guru berhenti berbicara untuk beberapa saat, memberikan waktu kepada pelajarnya untuk berfikir, lalu guru menjawab sendiri pertanyaannya, “Semua beban itu dapat dilepaskan dengan memberi kemaafan! Sebenarnya waktu sahaja yang akan membuat manusia menjadi sedar dari keegoan dan kesumat diri”.



Memang menghukum orang lain lebih mudah daripada memaafkannya. Namun, mari kita belajar dari Rasulullah saw dan orang-orang yang soleh, bagaimana sikap mereka dalam hal ini.



Suatu hari, ketika Rasulullah saw sedang berehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang.



Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah saw amat gemar kambing panggang. Bahagian kegemaran Baginda saw ialah paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu. Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.



Setelah melihat hidangan itu, maka Rasulullah saw pun berasa lapar. Selepas membaca basmallah, Baginda saw pun makan dengan berselera sekali. Baginda saw makan bersama seorang sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu Baginda saw sedang mengunyah makanan itu, timbul perasaan was-was di hati. Rasulullah saw pun meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah. Ternyata suara hati Baginda saw itu benar, Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat Baginda saw itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam hidangan tersebut.



Rasulullah saw pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata, "Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi jika engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi."



Rasulullah saw mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, Baginda saw pun memaafkan wanita itu. Baginda saw tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian seorang sahabat Baginda saw. Baginda saw sanggup memberi kemaafan kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh Baginda saw.



Rasulullah saw seorang pemaaf yang luarbiasa. Kualiti pemaaf Baginda saw wajar kita contohi dalam kehidupan kita.



Syaidatina Aisyah ra pernah berkata, “Rasulullah saw tidak pernah memukul sesiapa pun, tidak juga kepada isteri dan pembantu Baginda saw, kecuali dalam berperang di jalan Allah. Dan Baginda saw tidak pernah membalas sedikit pun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah.” (Muslim)



Syaidina Anas ra menceritakan, “Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah saw dan pada waktu itu Baginda saw sedang mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata, “Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki.” Maka Rasulullah saw tersenyum dan Baginda saw pun memakbulkan permintaan orang itu.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)



Sahabat Rasulullah saw, Syaidina Umar Al-Khattab ra turut meneladani akhlak pemaaf yang ada pada Rasulullah saw. Ketika mendapati Lailatul Qadar bakal menyapa, Syaidina Umar ra selalu berkata, “Ya Allah sesungguhnya pada malam ini semua orang telah aku ampuni.” Maksudnya, beliau telah memaafkan semua orang atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan kepadanya.



Begitu juga Imam Ahmad bin Hambal ra. Ia telah disiksa, dipukul, dihukum dan di penjara. Meskipun begitu, beliau masih memberi maaf kepada orang-orang yang menyakitinya. Beliau berkata dengan mengutip firman Allah swt, “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada.”



Berbahagialah, tatkala kita memiliki sikap saling memaafkan kesalahan orang lain, kita akan tergolong sebagai manusia yang mulia dan terpuji di sisi Allah swt. 



"Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya),, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (QS Asy Syuura:43) 



Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, Musa bin Imran as pernah berkata, “Wahai Robb ku, siapakah orang yang paling mulia pada pandangan Mu? Allah swt menjawab, Barangsiapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.”(Baihaqi)



Wallahu`alam.




Jagalah Hati…



Wassalam 

Selasa, 11 Oktober 2011

ADAKAH RASULULLAH SAW HIDUP DALAM DIRI KITA...?




Bagaimanakah keadaanmu wahai sahabat Rasulullah saw selepas kewafatan itu? Adakah kamu sekalian memahaminya sebagai penghujung bagi kehidupan Baginda saw…?



Demi Allah ia tidak begitu. Sangkaan begitu amat meleset sekali. Sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibnu Hajar Asqalani di dalam kitab Fathul Bari pada jilid kedua dalam kitab “memohon pertolongan”. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Baihaqi, Al-Hakim dan Ibn Khuzaimah dengan sanadnya yang sahih, bahawa Sayyidina Bilal Ibnu Al-Harith Al-Muzuni seorang sahabat Nabi saw. Beliau telah datang ke Makam Rasulullah saw dalam masa kesulitan di zaman pemerintahan Sayyidina Umar ra. Beliau berdiri di sisi makam Baginda saw dan berkata, “Wahai Rasulullah.”



Perhatikan! Beliau berkata, “Wahai Rasulullah.” “Wahai Rasulullah, ramai yang telah binasa. Mohonlah dari Allah air untuk umatmu.”



Di sisi yang lain, Marwan mendapati seorang lelaki duduk sambil meletakkan mukanya ke atas batu kuburan Rasulullah saw. Dia meletakkan mukanya di atas kubur Nabi saw sambil menangis. Marwan mengingkari perbuatan sebegini. Beliau berpaling dan menolak lelaki itu. Marwan berkata, “Apa yang kamu lakukan?” Lelaki itu mengangkat kepalanya. Alangkah terkejutnya apabila mendapatinya ia adalah Abu Ayyub Al-Ansari, sahabat Rasulullah saw. Di rumah sahabat inilah Nabi saw berhenti ketika hijrah pertama ke Madinah. Baginda saw meletakkan unta Baginda saw di rumah sahabat ini.



Marwan bertanya kepada Abu Ayyub. “Apa yang membuatkan kamu menangis wahai Abu Ayyub ? “ Beliau menjawab: “Aku mendengar Nabi saw bersabda, “Janganlah kamu berduka jika agama itu dipegang oleh ahlinya. Akan tetapi berdukalah jika yang memegangnya itu bukan ahlinya .”
 



Kembali kepada kisah Sayyidina Bilal ra,,, Ibnu ‘Asakir meriwayatkan dengan sanadnya yang baik dari Sayyidina  Bilal bin Rabah ra bahawa Sayyidina Bilal ra telah berpindah ke Syam kerana tidak boleh tinggal di Madinah selepas kewafatan Rasulullah saw. Ini disebabkan semua perkara di situ mengingatkannya kepada kehidupan Nabi saw di dunia ini. Mereka amat merasakan kehidupan Nabi saw di dunia dan kehidupan hakikinya yang berkekalan. Oleh itu mereka tidak dapat menerima kekurangan pada simbolik kehidupan Baginda di saw hadapan mereka walaupun sekadar kehidupan di dunia.



Sayyidina Bilal ra tidak dapat bertahan di Madinah, lalu meninggalkannya. Satu hari, beliau bangun dalam keadaan menangis. “Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Bilal ?” Isterinya bertanya kepadanya. Jawabnya, “Semalam aku bermimpi berjumpa Rasulullah saw...”



Melihat Baginda saw adalah sesuatu yang benar seperti yang diceritakan dalam kitab Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad dan Imam Abu Daud. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis selainnya. “Sesiapa yang melihatku dalam mimpinya, nescaya dia akan melihatku secara langsung. Sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupaiku.” Nas sebeginilah yang termaktub dalam kitab Imam Bukhari.



Jawab Sayyidina Bilal ra, “Semalam aku bermimpi berjumpa Rasulullah saw. Baginda berkata kepadaku, “Kenapa bersedih begini, wahai Bilal?” Sekarang tibalah masanya untuk kamu menziarahiku””



Maka Sayyidina Bilal ra pun keluar bermusafir ke makam Rasulullah saw. Ketika berdiri di hadapan makam Baginda saw, beliau pun menangis… Beliau mengenangkan kehidupan Baginda saw. Beliau menangis dan meracau-racau sehingga rebah di sisi makam Baginda saw. 




Sayyidina Abu Bakar ra, Sayyidina Umar ra, Sayyidina Usman ra dan Sayyidina Ali kwh tidak berbuat demikian. Tiada seorang pun dari mereka yang berbuat sedemikian. Ini kerana mereka mempraktikkan adab. Akan tetapi, Sayyidina Bilal ra tertewas dengan kerinduan yang mendalam ketika memasuki Madinah dan berhadapan Makam Nabi saw.



Sayyidina Bilal ra terjatuh ke atas makam dan kemudiannya tenggalam dalam tangisan. Syaidina Abu Bakar ra menjumpainya dan beliau turut menangis bersamanya. Apabila Bilal melihat Syaidina Abu Bakar dia ternampak persahabatannya yang akrab dengan Rasulullah saw. Apabila Syaidina Abu Bakar pula melihat Bilal, dia melihatnya sebagai muazzin, pembantu Nabi saw dan pembawa barangan Nabi saw. 



Setelah Sayyidina Bilal ra terjaga dan sedikit tenang, Sayyidina Abu Bakar telah meminta, “Adakah kamu boleh azankan untuk kami sepertimana engkau azankan untuk Rasulullah saw? “ Jawab Sayyidina Bilal ra, “Maafkanku wahai khalifah Rasulullah. Demi Allah, aku tidak mampu untuk melaungkan azan selepas kewafatan Baginda.”



Kata Sayyidina Bilal ra, “Aku telah menolak permintaan Abu Bakar.” Dulunya, setelah aku melaungkan azan, aku melalui rumah Baginda saw dan berkata, “Solat wahai Rasulullah”... “ Sekarang ini, kepada siapakah akan aku katakannya? “Sayyidina Abu Bakar ra dan Sayyidina Umar ra turut menangis.



Sayyidina Bilal ra bertemu pula dengan Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husin. Mereka masih kecil usianya dan besar kehebatannya. Seorang berusia 9 tahun dan seorang lagi 8 tahun. Ulama berselisihan pada perkara ini, iaitu tentang perbezaan usia kedua-duanya. Sayyidina  Bilal ra bertemu mereka, lalu memeluk dan mencium mereka berdua. Sayyidina Bilal ra terhidu pada mereka berdua wangian Rasulullah saw. Bau Rasulullah saw terdapat pada keluarganya.



Kemudian, mereka berkata kepadanya dengan penuh kelembutan: “Wahai Bilal! Adakah kamu boleh azankan untuk kami sepertimana engkau azankan pada datuk kami ?. Kami amat rindukan untuk mendengar laungan azanmu…” Sayyidina Bilal ra terdiam dan menangis. “Apa akan aku katakan ? Aku telah menolak permintaan Abu Bakar dan Umar apakah akan aku katakan kepadamu wahai cucu-cucu Rasulullah…? Aku bimbang jika aku tidak tunaikannya di dunia ini untuk kamu, datuk kamu tidak menghiraukan aku pada Hari Kiamat….”    ( komen peribadi- saya sebenarnya cuba mengelakkan diri untuk menulis perenggan ini, hati sangat rapuh bila menggarap kisah kerinduan sahabat ra pada Rasulullah saw. Walau 10 kali saya membaca perenggan ini, saya tetap tidak mampu menahan airmata dari jatuh berguguran. Sayyidina Bilal ra tidak takut soal syurga dan neraka, tetapi lebih takut Baginda saw berpaling darinya…..Allahu Allah…!)



Allahhhh!!



Para sahabat memang hebat kecintaan mereka terhadap keluarga Rasulullah saw dan inilah sebenarnya mazhab Ahlul Bait. 





Kata Sayyidina Abu Bakar ra, “Hampirilah Nabi Muhammad saw itu dengan menghampiri keluarganya.” Sayyidina Umar pernah berkata kepada Sayyidina Husin sambil mengusap kepalanya, “Tidaklah tumbuhnya rambut kami melainkan denganmu wahai keluarga Rasulullah. “ 



Kata Sayyidina Bilal ra, “Aku tidak dapat menolak permohonan kamu berdua ini“.  Maka Sayyidina Bilal ra pun menaiki tempat laungan azannya pada zaman Rasulullah saw. Dia pun melaungkan azan… 



Allaahuakbar...Allaaahuakbar...“Allah Maha Besar. ..Allah Maha Besar.” 



Bergegarlah Madinah dengan tangisan. 



Allaahuakbar...Allaaahuakbar...“Allah Maha Besar. ..Allah Maha Besar.” 



Para wanita meraung di dalam rumah mereka. “Adakah Rasulullah saw diutuskan lagi?” “Adakah Rasulullah saw diutuskan lagi?” Inilah azan yang pernah mereka dengarkannya pada zaman itu dan telah terhenti. Ini mengingatkan mereka pada Baginda saw. Ini juga melambangkan bahawasanya Baginda saw hidup di dalam hati mereka. Baginda saw hidup di dalam hati mereka. Baginda saw hidup dan tidak mati dalam hati mereka… 



Asyhadu alla ilaaha illallah....“Aku bersaksi bahawa tiada Robb melainkan Allah.” ... 



Maka perempuan-perempuan keluar dari kediaman mereka. Mereka adalah anak-anak gadis yang tidak keluar dari rumah kerana menjaga kehormatan diri dan tebalnya sifat malu. Bagaimanakah anak-anak gadis hari ini? Adakah wanita hari ini masih dalam sifat malu mereka atau mereka menanggalkan rasa malu mereka? Adakah idola mereka itu masih Fatimah Az-Zahra, Khadijah Al-Kubra dan Aisyah Ar-Ridha? Ataupun idola mereka si dia ataupun si dia dari mereka yang menanggalkan rasa malu dan agama? 



Maka keluar anak-anak gadis dari rumah ke jalan-jalan di Madinah berteriak, “Rasulullah diutuskan lagi..Rasulullah diutuskan lagi..Rasulullah diutuskan lagi”



Ketika mana Bilal melaungkan…



Asyhhadu anna Muhammadan..Rasulullah...”Aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah.”



Suara Sayyidina Bilal menjadi sayu. Dia berhenti dan tidak mampu untuk menyambungnya. Dia turun sebelum menyempurnakan azannya. 



Perawi meriwayatkan, “Madinah tidak pernah kelihatan sayu begitu selepas kewafatan Baginda saw melainkan pada hari Sayyidina Bilal ra melaungkan azannya.”





Azan Sayyidina Bilal ra telah membasahi hati-hati mereka dengan kerinduan terhadap Rasulullah saw. Ini menggerakkan simbolik kehidupan Nabi Muhammad saw pada hati-hati mereka. 



Baginda saw walaupun telah meninggalkan alam dunia, tetapi Baginda saw masih hidup…Jika kita memohon ikatan kehidupan ini bersama Allah, maka manakah ikatan dari kehidupan Baginda saw dalam diri kita?



Jikalau Nabi saw itu hidup pada hati kita dengan kecintaan dan penghormatan serta lain lagi, jikalau Nabi saw itu hidup pada diri kita pasti kita membiasakan diri dengan sunnah-sunnah dan adab Baginda saw.



Jikalau Nabi saw itu hidup pada diri kita pada merindukannya dengan berakhlak dengan akhlak Baginda saw.



Jikalau Nabi saw itu hidup pada diri kita dengan membawa kegigihan Baginda saw bersama Allah dan gigihnya Baginda saw berkhidmat terhadap umat in, nescaya Nabisaw  itu akan hidup pada diri, dalam hati kita!



Wahai saudara semuslimku, kita semua yang berhajat untuk mengetahui kehidupan Rasulullah saw. Ini agar dapat kita memperbaharui kehidupan Baginda saw dalam diri kita. 



Mata kita ini, hidupkannya dengan kehidupan mata Baginda saw. Janganlah kita melihat kepada perkara haram.



Telinga kita, hidupkanlah ia dengan kehidupan telinga Baginda saw. Jangalah mendengar dengannya perkara haram.



Jangan kita tuturkan dengan lidah kita melainkan ia menyebabkan kita dapat bertemu dengan Rasulullah saw. 



Jikalau Nabi saw itu hidup pada hati kita, nescaya kita tidak boleh memutuskan silaturahim yang Baginda saw larang. Sabda Rasulullah saw, “Orang yang memutuskan silaturrahim dilaknati walaupun dia meninggal dunia di tengah-tengah Kaabah.” 



Jikalau Nabi saw itu hidup pada hati kita, nescaya kita tidak sanggup makan sesuap benda haram walaupun ianya seluruh dunia ini. Jikalau Nabi saw itu hidup pada hati kita, nescaya kita tidak mengutamakan sesuatu yang binasa berbanding yang kekal. Nescaya kita tidak cemarkan hati kita yang hidup bersama Rasulullah saw dengan maki hamun ataupun sikap membenci walaupun terhadap orang yang mencaci ataupun menyakiti kita. 



Jikalau Nabi saw itu hidup pada hati kita, masa itu tidak akan berlalu melainkan kita akan memohon rahsia kehidupan dengan mengingati Allah swt. Pohonlah perkara sebegini dan hidupkanlah dengannya dalam rumahtangga kita bersama sunnah Rasulullah saw. Hidupkan masjid-masjid kita dengan membaca Kalam Allah (Al-Quran). Hidupkan jalan-jalan kita dengan adab-adab Rasulullah saw. Hidupkan perniagaan kita dengan adab serta hukum-hakam Rasulullah saw. 



Sayyidina Ali bin Abu Talib kwh pernah berkata, “Pasar orang-orang Islam seperti tempat solat mereka yang bersolat.” Iaitu hidup dengan zikir, ibadah dan muamalah bersama Allah swt. Hidupkan pengertian sebegini, nescaya kita hidup dengan kehidupan yang tidak akan musnah dan berakhir selama-lamanya. Sehingga Allah menghimpunkan kita bersama kehidupan sebenarnya dalam alam barzakh kita. Kemudiannya di Hari Kiamat bersama Nabi Muhammad saw. Kemudiannya di syurga Firdaus yang tertinggi.



Moga-moga Allah swt menjadikan kita dari mereka yang hidup sebegini. 



Ya Allah! Hidupkan kami dengan kehidupan kekasih Mu. Ya Allah! Hidupkan roh-roh kami dengan kehidupan roh kekasih Mu. Ya Allah! Hidupkan keperibadian kami dengan hidupnya keperibadian kekasih Mu. Ya Allah! Hidupkan akal-akal kami dengan kehidupan akal kekasih Mu. Ya Allah! Hidupkan jasad kami dengan adab, sunnah dan hukum hakam kekasih Mu. Ya Allah Hidupkan seluruh diri kami dengan kehidupan seluruh diri kekasih Mu. Sehinggalah kami melalui dengan kehidupannya atas kehidupan Kalam Mu. Maka kami hidup dengan kalam dan kitab Mu. Kemudiannya kami hidup dengan semua itu beserta ikatan kami dengan Mu. 



Wahai yang Maha Hidup Lagi Menghidupkan, Penggerak bumi dan langit. 



Ya Allah! Bantulah kami untuk mengingati, mensyukuri serta beribadah kepada Mu dengan sebaiknya. Ya Allah! Lihatkanlah bagi kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan jadikan kami pengikutnya. Lihatkanlah bagi kami kebatilan sebagai kebatilan dan kurniakanlah kepada kami kekuatan untuk menjauhinya. 



Ya Allah! Ampunkan kami dengan taubat nasuha. Bersihkan kami dengannya pada tubuh badan, hati dan roh kami. Ya Allah! Ampunkan kami pada apa yang telah lalu. Peliharalah kami untuk apa yang masih ada ini. Ya Allah! Peliharalah kami dan layanilah kami. Ya Allah! Letakkan kami pada jalan mereka yang dicintai. Hidupkan kami dengan kehidupan mereka itu. Matikan kami dengan kematian mereka. Himpunkan kami pada Hari Kiamat bersama Penghulu orang-orang dikasihi. 



Ya Allah! Hidupkan kami dengan mencintai Baginda saw. Hidupkan kecintaan Baginda saw dalam hati kami.



Ya Allah! Hidupkan cahaya Baginda saw dalam batin kami. Hidupkan hidayah Baginda saw pada zahir kami. Hidupkan perjalanan Baginda saw dalam rumahtangga dan kehidupan kami. Ya Allah! Janganlah Engkau tanggalkan dari hati kami cahaya ikatan dengan Sayyidina Muhammad saw…..




Wallahu`alam




Jagalah Hati…



Wassalam.