Menceritakan kisah ini tidak selancar seperti yang diharapkan.
Bismillah; dengan demi Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani
Di surau berhampiran taman perumahan yang aku duduki ada beberapa anak remaja yang sangat aku kagumi. Mereka selalu datang awal ke surau terutamanya ketika waktu Maghrib dan Subuh. Menyiapkan tempat solat, mengambil wuduk dan mengalunkan azan sekali. Alahai, baik dan mulia sungguh mereka ini.
Kekaguman aku bertambah-tambah apabila melihat sesekali seorang anak muda sering menjadi imam jika tidak ada sesiapa pun yang mahu tampil ke hadapan. Barangkali, orang seperti aku dan penduduk yang lain malu dengan keaiban sendiri sehinggakan tidak betah mahu menjadi imam di hadapan. Sesekali, aku juga dipaksa dan diseret ke hadapan. Namun, anak muda itu sentiasa suka mengambil peluang mahu menjadi imam.
Baru sahaja di Tingakatan 5. Bukan bersekolah agama pun. Bersekolah di sekolah menengah harian sahaja. Namun, aku nampak penghayatan anak muda ini sangat -sangat mengkagumkan. Cara tunduk hormat , salam yang disapa malah tidak pernah meninggalkan solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu. Oleh sebab kekaguman itu menjadikan aku seringkali mendoakan dirinya (dalam diam-diam) supaya suatu hari nanti, anak muda ini bakal berdiri menjadi seorang Daei.
Daei. Seorang penyeru ke arah kebaikan hidup beragama. Mengajak kepada amalan kebaikan dan amalan soleh. Mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu agama dan menyebarkan risalah addeen kepada orang di sekeliling. Daei tidak perlu menjadi seorang agamawan terulung. Dia mungkin seorang jurutera, doktor atau penulis. Tetapi, dia harus menjadi seorang Daei. Kerana dia malah kita semua sepatutnya dan sayugianya menjadi seorang Daei.
Tiap-tiap hari aku titipkan doa ini kepada sekalian anak murid dan bekas anak muridku agar satu hari nanti berupaya menjadi seorang yang bermanfaat untuk diri mereka. Menjadi khalifah ‘daei’ kepada diri sendiri. Doa ini yang seringkali dikirimkan telah aku panjangkan juga sekaligus buat anak muda di surau itu. Setiap kali, dia menyalami usai solat aku terasa sunguh serasa sebak di hati seraya aku terus berdoa
“ Allah, Allah, Allah, kau muliakanlah dirinya satu hari nanti “
Kemudian, pada satu hari aku mendapat satu kiriman sms yang sangat mengejutkan. Anak muda remaja yang selalu kami gelarkan “Imam Muda” itu telah menemui kemalangan di jalan raya. Anak muda itu yang hanya sebagai pembonceng mengikut teman rapatnya ke kenduri perkahwinan di sebuah kampung, telah kemalangan dan telah menemui ajalnya.
Betapa, peristiwa ini sangat mengejutkan kami, para jemaah surau. Saat ini aku terbayangkan wajah manis Imam Muda ini melagukan ayat-ayat Surah Al-Insyirah, Al- Fiil mengimami kami di surau. Wajah manis yang sentiasa mengucup tangan kami ketika bersalam-salaman.Betapa kami senang dan selesa dengan keberadaan dirinya yang sentiasa menghormati orang dewasa telah pergi lebih awal daripada kami.
Arwah dikatakan diselamatkan oleh seorang penduduk kampung di sebuah beranda rumah. Mengucapkan syahadah terakhir dengan tiada kesukaran. Rakannya yang menunggang terselamat tetapi arwah pergi meninggalkan keluarganya terlebih dahulu.
Peristiwa ini mengajar aku tentang maksud merancang kematian. Anak muda ini telah merancang kematian dengan begitu indah dan manis sekali. Alangkah indahnya, nyawanya ditarik ketika orang-orang berkata-kata tentang kebaikan dan kebajikan soleh yang dilakukannya. Saat anak-anak muda yang lain berpeleseran dan membuang masa dengan perkara-perkara yang sia-sia tetapi anak muda ini pergi menemui penciptanya saat diri beramal soleh dengan sebaik mungkin. Tdak sama dengan diri kita yang masih lagi bergelumang dengan noda, kotor dipalit dosa tetapi kita masih mahu enggan ke sana. Sedangkan ada seorang anak muda yang sentiasa utamakan amal kebajikan sudah menemui Ilahi dalam keadaan putih bersih.
Allah, Allah, Allah
Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
Al-Fatihah buat Imam Muda tersebut.
Mahukah kita merancang kematian kita sebegitu hebat...?
Wallahu`alam
Jagalah Hati...