Seseorang hamba Allah swt yang menghayati bahawasanya, tiada yang berkuasa dalam kewujudan ini dengan kuasa yang mutlak melainkan Allah swt, pasti akan merasakan kekurangan dan kelemahan diri di hadapan Allah swt. Pada ketika itu, penyaksian hatinya terhadap kekuasaan Allah swt membuatkan dirinya sentiasa merasakan dirinya memerlukan Allah swt dalam setiap saat kerana pada hakikatnya, tiada daya dan upaya bagi seseorang melainkan dengan bantuan Allah swt.
Allah swt yang menganugerahkan nikmat keupayaan dan kuasa dalam diri seseorang manusia dalam rangka untuk berusaha dan melakukan perbuatannya. Namun kuasa dan keupayaan yang terkandung dalam diri seseorang tidak terlepas daripada kekuasaan Allah swt kerana sifat keupayaan yang dimiliki oleh manusia adalah daripada sifat kuasa Allah swt itu sendiri.
Seseorang yang menghayati perasaan ini adalah orang yang telah pun terlahir pada dirinya makna La Haula wa La Quwwata illa billah (Tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah). Ungkapan tauhid ini mengandungi rahsia keagungan ketuhanan Allah swt dan rahsia ketinggian kehambaan seseorang hamba itu sendiri jika dia menghayatinya lalu menterjemahkannya ke dalam kehidupan.
Seseorang yang tenggelam dalam lautan penyaksian wahdah (kesatuan sifat-sifat Allah) pasti menghayati bahawasanya manusia dan seluruh alam ini tidak pernah terlepas daripada kekuasaan Allah swt. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak mampu untuk keluar daripada kehambaan diri mereka kepada Allah swt lalu memilih untuk tidak mentaatiNya kerana penghayatan terhadap rasa kelemahan diri di hadapan kekuasaan Allah swt.
Adapun orang yang lalai daripada penghayatan ini adalah orang yang terkeliru dalam memahami erti dirinya sendiri dan erti kehidupan di sekelilingnya sehingga terhijab daripada hakikat bahawasanya dia tidak terlepas daripada kekuasaan Allah swt. Hijab orang yang lalai tersebut adalah dirinya sendiri di samping makhluk-makhluk di sekelilingnya sehingga dia menyangka bahawasanya yang berperanan dalam memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya adalah dirinya sendiri dan makhluk-makhluk di sekitarnya, sedangkan pada hakikatnya, hanya Allah swt jua yang Maha Pemberi Manfaat dan Maha Menolak Kemudaratan.
Namun, kerana seseorang yang lalai itu terhijab dengan perbuatan-perbuatan Allah swt (af’aal) melalui makhluk-makhlukNya (infi’al), maka dia gagal menghayati makna sebenar kewujudan seluruh makhluk tersebut, iaitu untuk menjadi tanda kepada kewujudan dan keesaan Allah swt yang Maha Zahir melalui perbuatan-perbuatanNya. Mereka yang terus terhijab dalam kepompong hukum sebab musabab, kepompong adat tabi’e dan sebagainya sebenarnya tidak dapat menghayati konsep Qudrat (kekuasaan), Iradah dan ilmu Allah swt dalam kehidupannya.
Rasulullah saw menyebutkan kepada Syaidina Ibn Abbas ra bahawasanya, jika seluruh makhluk berhimpun untuk menegah apa yang dikehendaki oleh Allah swt ke atas seseorang itu, nescaya makhluk-makhluk tersebut tidak mampu untuk menegah ketentuan Allah swt kepada orang tersebut. Begitulah juga sebaliknya. (hadith sahih. Sila rujuk Al-Ar’biin oleh Imam An-Nawawi).
Rasulullah saw mengajar konsep sebenar kekuasaan Allah swt dan betapa lemahnya makhluk di hadapan kekuasaan Allah swt. Aqidah ini jika diterjemahkan dalam diri seseorang muslim, maka dia akan menghadapi kehidupan ini dengan penuh ketergantungan hati kepada Allah swt tanpa rasa kebimbangan terhadap masa hadapan dan sebagainya.
Apa yang dikerjakan adalah apa yang dituntut oleh Allah swt dan tidak perlu risau apa yang dijamin oleh Allah ke atas dirinya. Allah jua yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.
Berhati-hatilah, janganlah seseorang itu, tatkala mengetahui bahawasanya hanya Allah swt yang Maha Berkuasa dalam kehidupan ini, maka dia pun meninggalkan “berusaha” dan beramal dalam kehidupan ini, kerana mendakwa bahawa apa yang ditentukan oleh Allah swt pasti datang walaupun tidak berusaha.
Ini sebuah angan-angan yang bohong. Ia juga merupakan bahasa orang-orang yang leka dan tertipu dengan kemalasan diri semata-mata. Sesungguhnya Allah swt sentiasa menyuruh para hambaNya berusaha dalam rangka menunaikan tugas kehambaan diri kepada Allah swt. Oleh yang demikian, usaha yang kita lakukan, kita lakukan kerana ia adalah perintah Allah dan dilakukan sebagai ibadah, bukan kerana kita bergantung kepada usaha kita.
Kita tidak boleh mengabaikan sifat upaya dalam diri kita yang dianugerahkan oleh Allah swt untuk menjadi pemalas dengan tidak melakukan apa-apa dalam kehidupan ini, kerana selaku hamba, kita perlulah mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt kepada kita sama ada ibadah tersebut adalah ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya mahupun ibadah umum seperti mencari rezeki dan sebagainya.
Dalam pegangan ahlus-sunnah, mereka menetapkan konsep Al-Kasb iaitu usaha bagi hamba-hamba Allah yang faham akan hakikat kehambaan diri. Usaha adalah sesuatu yang dituntut oleh Allah swt ke atas kita kerana Dia telah pun menganungerahkan akal dan keupayaan dalam diri kita untuk melakukan tugas-tugas kehambaan dalam kehidupan seharian.
Imam Abdullah As-Syarqowi berkata, “Adapun mazhab ahlus-sunnah bahawasanya perbuatan-perbuatan semuanya terbit dengan Qudrat Allah semata-mata. Namun dalam masa yang sama, masih menetapkan wujudnya qudrat bagi hamba walau pun mereka menafikan qudrat hamba memberi kesan. Bagi seorang hamba itu masih ada bahagian untuk memilih (kurniaan Allah) yang daripada itulah dihitung untuk diberi pahala atau disiksa”.
Imam Junaid Al-Baghdadi ra ketika diberitahu tentang golongan yang meninggalkan amal lalu menjawab: “Sesungguhnya golongan arifin itu mengambil amal daripada Allah (maksudnya: tidak meninggalkan amalan), dan kepada-Nya jua mereka kembalikan amalan tersebut (dengan melakukan amalan kerana-Nya dan dengan-Nya)…”
Wallahu a’lam…
Jagalah Hati...
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan