Popular Posts

Khamis, 19 Mei 2011

SEHINGGALAH KITA MENGUBAH DIRI SENDIRI...


Kita berusaha sebaik mungkin melaksanakan apa yang diteladankan oleh Baginda saw. Saya bukan seorang pengajar. Pengajar adalah orang-orang yang menulis dan banyak berfikir dengan pelbagai rencam idea. Nabi Muhammad saw bukanlah seorang pengajar. Seorang pengajar bererti “engkau membaca apa yang orang tulis dan cuba untuk menghilangkan, menempelkan dan memberikan sesuatu dari fikiranmu agar orang ramai menjadi setengah tertidur, setengah terbangun, setengah berfikir tentang hal yang lain”


Meskipun demikian, Nabi saw bersabda, “Agama adalah nasihat”. Yang terpenting adalah bukan nasihat untuk khalayak yang didahulukan, tapi nasihat pada diri sendiri. Saya harus menasihati diri dulu dan mengingatkan diri sendiri atas apa yang Nabi saw ajarkan dalam Islam. Jika saya merasa lebih baik dari siapa pun saat ini, maka nasihat itu jadi hilang makna dan saya sedang memakai selendang kesombongan milik Allah. Nasihat saya akan menjadi seperti nasihat iblis. Sedangkan nasihat iblis menyimpang, mereka dikutuk kerana hal ini, iaitu kerana Iblis merasa lebih baik dari sesiapa pun.


Ketika Iblis datang membisik dan memujuk Nabi Adam as dan berkata," Allah tidak memberimu izin makan buah dari pohon itu, kerana hal itu akan membuatmu hidup abadi." Maka Adam as terpedaya dan makan buah yang ada pada pohon khuldi itu. Nasihat itu bukan untuk kita kerana hamba ini belum matang. Jujurnya, kita belum mencapai kematangan.


Menyentuh hal ini, ingin saya kongsikan pengalaman hidup lampau yang mendewasakan akal budi diri. Moga ada manfaat yang dapat dikutip oleh siapa jua yang membacanya.


Sekitar 25 tahun yang lalu, saya di anugerahkan seorang guru yang sering menjadi pembimbing rohani yang mentarbiyyah. Syeikh at Tarbiyyah adalah seseorang yang meningkatkan tingkat pemahaman kita. Maksudnya, dia mengajarkan kita cara berdisiplin.




Syeikh itu berkata pada saya dan murid-murid lainnya, "Aku akan menghantar kamu ke tanah perkuburan. Disana adalah makam para ulama”. Maka murid-murid pun ke sana dan melihat seorang lelaki asing di pintu pagar sedang menunggu. Kemudian mereka membuka pintu pagar dan memasukinya, Adakala orang asing itu meletakkan kertas-kertas untuk memberitahu bahawa waktunya telah habis. Murid-murid pun melihat kuburan seorang alim yang pertama disana. Orang asing itu berkata pada murid yang datang, "Subhanallah!, lelaki ini meninggal muda. Dia meninggal ketika belum mencapai umur 1 tahun. " Aku pun memandang orang asing itu dan berfikir,"Apa ini? Bagaimana mungkin seorang alim yang meninggal ini baru berumur 1 tahun? Aku dahulu pernah mengenalinya, aku pernah bersama syeikh tersebut dan beliau meninggal ketika berusia 80 tahun."


Namun aku membisu kerana rasa hormat, disiplin dan adab. Islam adalah "Adab" dan etika. Islam tidaklah kasar, radikal  dan ganas. Baginda saw sangat lembut dalam berperilaku, dalam melontarkan nasihat-nasihat, malahan dalam pergaulan dengan para sahabat-sahabatnya. Nabi saw bukanlah seorang yang keras. Baginda saw datang dengan para sahabat ke Mekah dan Abu Sufyan berkata, " Siapapun yang memasuki rumah Abu Sufyan akan selamat." Nabi pun tidak membalasnya. Kita tidaklah seperti itu. Kebanyakan dari kita saat ini berhaluan keras dan orang-orang yang berwatak keras. Kita membalas dendam hanya untuk masalah-masalah yang sebenarnya sangat kecil.


Cuba kita ke masjid dan didapati kasut kita tidak ditempatnya. Lazimnya, kita akan marah. Kenapa mesti marah? Selesaikanlah masalah tanpa bertengkar. Mereka mengambil alas kaki kita. Mereka katakan "Ini kes kecurian, perlu dilaporkan”. Aku tidak mahu melakukannya. “Aku akan pulang dengan berkaki ayam saja" Mereka tidak berfikir bahawa, jika orang itu tidak ada keperluan pada alas kaki kita, Allah tidak akan mengirim dia untuk mengambilnya sebagai ladang amal dari kita. Jikalau kita semua berfikir demikian, maka semua orang akan tenang.


Saya juga bersama seorang guru lain dan kami memiliki sebuah masjid di London yang mempunyai kotak sedekah. Kotak sedekah tersebut tergantung di dinding, dan kami tidak mengumpulkan sumbangan dengan mengedar kotak-kotak kepada jamaah. Masjidnya agak besar dan mungkin ada 30 hingga 40 kotak sedekah di seluruh bahagian masjid.  Suatu hari, ahli jawantankuasa masjid datang dan melaporkan pada guru kami , " Satu kotak sumbangan dipecahkan dan wangnya telah dicuri." Mereka marah kerana kehilangan satu kotak sedekah. Guruku pun berkata "Mengapa kamu semua marah? Jika pencuri itu tidak memerlukan wang, dia pun tidak akan datang ke sini dan mengambil wang, maka biarkan semua kotak sedekah terus terbuka dan siapapun yang ingin mengambil wang boleh datang dan segera pergi."


Mulai saat itu kotak-kotak itu terbuka. Kotak-kotak tersebut walaupun tertutup, namun tidak berkunci. Sangatlah mungkin untuk diambil semuanya dan di bawa pergi. Inilah etika yang Islamik, agar dapat membuat pencuri merasa malu akan dirinya sendiri.


Saya tahu ada antara saudara seakidah yang membaca kisah ini sedikit kebingungan. Fahamilah bahawa Islam adalah sebuah agama yang penuh rasa "tastefull". Bukan sebuah pengajaran yang siap dengan pelbagai lembar halaman untuk dibaca. Pengajar tidak mengerti apa yang ditulis, dan tidak seorang pun mengerti apa yang dia katakan. Benar begitu? Ya, Tuan. Belajar Tuan..? Menghormati.



Kembali kepada cerita di tanah perkuburan… Itulah sebabnya mengapa si orang asing mengatakan bahawa orang alim yang dikubur pertama dikatakan meninggal ketika umurnya 1 tahun, walaupun umur sebenarnya adalah 80 tahun. Kemudian mereka menuju ke kubur selanjutnya dan dikatakan, yang itu saya rasa belum 2 tahun sudah meninggal. Yang ini 6 tahun. Yang sebelah sana 10 tahun. Tidak satupun dari mereka yang mencapai umur matang." Yang lain memberitahu dia meninggal pada umur 10 tahun, dan yang satunya lagi berumur 15 tahun.


"Kematangan", apakah kematangan itu? Tidak satupun dari orang alim yang meninggal ini pernah mencapainya. Para pelajar itu berfikir dan merasa hairan "Apa yang dikatakan orang asing itu?". Namun kerana mereka diajar disiplin dalam menuntut ilmu, mereka pun tidak membantah. Saat ini kita selalu saling membantah ketika kita tidak sefahaman.


Guruku pernah berkata, “Siapapun yang dibesarkan dengan sesuatu aliran pemikiran, akan terus seperti itu hingga rambutnya menjadi putih."


Firman Allah, "Kalian tidak akan mampu memberi petunjuk kepada setiap orang yang kalian cintai; namun Allah memberi petunjuk kepada siapa pun yang Dia inginkan dan Dia Maha Tahu siapa orang-orang yang mahu menerima petunjuk." (QS 28:56)


Pesan bondaku pula, “Perubahan berasal dari Allah swt. Dari atas sana. Kita hanya belajar disiplin dan hormat, dan selagi kita mengikuti tuntunan Nabi Muhammad saw maka kita akan selamat."


Aku pun kemudian pulang pada guruku, dan Syeikh pun bertanya," Adakah kamu pergi ke tanah perkuburan?" "Ya saya pergi Syeikhku" "Apakah kamu melihat keanehan disana?" "Ya , seorang lelaki asing datang dan mengatakan padaku bahawa orang alim yang meninggal itu baru berumur 1 tahun, ada yang berumur 2 tahun, dan ada pula yang berumur 10 tahun." Syeikhku menjawab," Anakku, orang asing yang kau temui itu, aku hantarkan untuk mengajar kamu bagaimana mengubah dirimu sendiri".


Ketika kita mengunjungi seorang alim yang telah lanjut usianya, namun mereka si "alim" itu biasa berkata sesuatu dengan bibirnya bukan dengan hatinya. Mereka tidak dewasa dan soleh. Mereka memang matang dalam belajar, namun tidak matang dalam af'al. Ada tahap belajar aqwaal, dan juga af'al. Aqwaal adalah apa yang kita katakan pada orang lain. Afa'al pula adalah apa yang kita perbuat.


Maksudnya, kita tidak mengubah diri sendiri, kita hanya berbicara dengan mulut tapi tidak melakukan apa yang kita katakan.


Itulah sebabnya saya mengangkat topik ini, sebagaimana firman Allah, "Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum sehinggalah mereka mahu merubah diri mereka sendiri". (QS 13:11). Mengubah diri adalah sesuatu pengalaman yang paling berat bagi seorang hamba yang akan melaluinya.  Saat Jibril datang pada Rasulullah saw dan bertanya pada Baginda saw tentang agama, Baginda saw menggolongkannya menjadi tiga tahap, iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Islam sudah cukup dengan lima rukun Islam; tetapi mengapa Nabi saw perlu menyebut Iman? Jika iman sudah cukup, mengapa Nabi saw masih juga melanjutkan dengan menyebut Ihsan?



Kesempurnaan seorang hamba adalah dengan menyembah Allah seolah-olah kita melihat Dia, dan jika kita tidak melihat-Nya, ketahuilah bahawa Dia melihat kita. Bayangkan jika seseorang datang dengan sebuah kamera dan mengatakan akan merakam video ketika kita sedang solat dan akan menyiarkannya di TV. Apa yang akan kita lakukan? Pastinya kita akan berusaha untuk menampilkan diri yang khusyuk bersolat; Kerana ada kamera disana, kerana kita akan ditampilkan di TV.


Saat kamera mula merakam, "Allaaaaahuuaa Akbar." dengan suara keras dan indah dilantunkan. Namun saat kamera tidak ada kita tidak mengucapkan "Allahu akbar." dengan sepenuh hati. Apa yang kita fikirkan tentang kamera Allah? Malaikat-malaikat Allah dikirim untuk memeriksa kita di kanan dan kiri kita. Mereka adalah kamera syurga, bukan kamera bumi. Mereka bukan merakam gerakan badan kita sahaja seperti yang dilakukan oleh kamera dunia, namun mereka merakam apa yang ada dihati kita, keresahan kita, lencongan buah fikiran dan niat yang baik mahupun keraguan dan niat yang buruk dihati kita.


Bagaimanakah kita mampu menipu di sana? Inilah yang dinamakan tingkat al-Ihsan.


Ketika kita berada dalam Maqam al Ihsan, kita berada dalam "kawasan Ilahi". Kita berada seiring dengan yang di katakan Nabi saw, “Ketika menyembah Allah seolah-olah kalian melihat Dia, dan jika kalian tidak melihat-Nya, ketahuilah bahawa Dia melihatmu”. Namun saat ini kita tidak dapat melihat-Nya, kerana kita buta hati. Kita berada diantara Ayd ar-Rahman, diantara Tangan yang Maha Pemurah berdiri di sana dan malaikat-malaikat Allah yang memerhati kita. Bagaimana seharusnya solat kita? Itulah yang dimaksud dengan Islam, Iman dan Ihsan. Walau kita bersolat di Mekah dan Madinah sekalipun, tetap saja semua hal buruk masuk dalam hati kita. Lebih dari itu, Allah berfirman dalam hadis Qudsi, “Beribadahlah pada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Walaupun pasti kamu tidak akan dapat melihat-Nya di dunia ini”. Untuk ini Nabi saw melanjutkan, ”Dan bagaimana kamu dapat mengatakan Allahu Akbar jika di dalam hati kalian masih memusuhi sesama saudara muslim lainnya”. Ketika kita sedang berdiri untuk solat, semua hal buruk masuk ke dalam fikiran kita, tentang wanita cantik yang tinggal di sebelah rumah, tentang perangai buruk jiran kita, tentang keuntungan simpanan di Amanah Saham Bumiputera yang masuk dalam tabungan dan sebagainya.


Inilah yang guruku berusaha mengajar kami. Banyak para ulama yang meninggal tua, namun mereka tetap belum mencapai kedewasaan. Kemudian Syeikh pun menghantar murid-muridnya ke tanah perkuburan lain dan murid-murid melihat orang asing yang sama sedang berdiri di sana. Lelaki itu berkata, "Yang itu meninggal saat berusia 50 tahun, Subhanallah!! yang itu meninggal saat usianya 100 tahun . Dan itu berusia 200 tahun, sedang yang disana usianya mencapai 300 tahun" Dia pun datang pada syeikh dan syeikh berkata, " Ya, yang itu telah meninggal dan telah mencapai kedewasaan."


Ada dua kategori ulama, iaitu 'Alimun jahl, orang terpelajar yang tidak bertindak pada apa yang mereka pelajari dan alimun 'amil, mereka yang telah Allah berkati lebih dan lebih lagi. Renungkan apa yang telah Allah berikan pada kita dan bagaimana cara untuk mengangkat kita mencapai kesucian diri, dengan merenung melalui muraqabah dan tafakur pada Allah. Bagaimana kita menghabiskan waktu dengan mengingati-Nya melalui zikrullah; "iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram.(QS 13:28)


Dengan bertafakur selama satu jam, kita akan diberi pahala seperti kita beribadah selama setahun. Jika saudara seorang usahawan, saya tidak tahu berapa ramai antara anda disini. Fikirkan sejenak berapa banyak waktu yang anda habiskan untuk menguruskan kewangan agar tersusun setiap hari. Bukan hanya setakat itu, anda turut menggaji akauntan untuk memeriksa apakah ada kesalahan atau tidak dalam laporan kewangan.  Mengapa? Kerana anda takut Lembaga Hasil Dalam Negeri datang dan mengauditnya, jika anda berbuat salah, maka mereka akan menghukum anda. Tidakkah kita terfikir bahawa Allah akan mengaudit kita juga? “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat balasannya”. Allah akan menyoal kita sekecil apa pun yang kita lakukan, tiap kebaikan dan keburukan yang kita lakukan. Kemudian bagaimana? Adakah Allah akan mengampuni kita begitu sahaja, kerana kita semua akan membuat dosa kecuali Nabi saw yang maksum?


Cukupkah dengan bersandar pada firman Allah, “Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (QS 39.53)


Allah akan mengampuni semua dosa, namun apakah kita menyesalinya? Ketika kita pulang ke rumah, saya tahu sebahagian orang akan pulang dan menonton TV. Beberapa orang akan solat sunat 2 rakaat di rumah selesai solat Isyak berjamaah. Lalu berkata, "Aku mahu menonton TV melihat berita." Syaitan sedang datang menghampirinya. Melihat berita mungkin tidak mengapa, kerana tehnologi TV membuat kita mengetahui apa yang sedang terjadi, seperti gempa tsunami atau peperangan di Timur Tengah kini. "Aku ingin menonton saluran lain pula," kemudian ada 4 - 5 saluran. Kita mulai berpindah dari satu saluran ke saluran lainnya, lalu saat kita melihat seorang wanita cantik, kita pun berhenti dan mengatakan,"Mari kita tonton drama ini." Maka kita pun terjatuh dalam dosa. Itulah sebabnya mengapa Allah mengajarkan Nabi saw untuk mengatakan, "Jangan berputus asa atas ampunan Allah".


Allah meminta kita untuk berubah. Jika kita merubah diri dengan bertaubat serta menyesalinya maka hal itu baik. Kita tidak akan mampu merubah diri kita menjadi sempurna. Tidak seorang pun sempurna. Setelah menonton hal yang tidak baik dan malam itu kita bertaubat, maka esok hari adalah hari baru. Allah akan mengampuni, insya Allah. Solatlah 5 waktu. Itulah perubahan kita. Tidak ada hal lain yang dapat kita lakukan. Itulah perubahan kita untuk bertaubat. Saat kita bertaubat, Allah mengampuni dan kita menjadi seperti manusia yang baru dilahirkan kembali.



Saat Siti Aisyah ra bertanyakan tentang umat muslim, Nabi saw menjawab," Kita adalah umat marhuma. Umat ini adalah umat yang diberkati." Siti Aisyah ra bertanya, "Apa maksudnya, ya Rasulullah?' Baginda saw menjawab, "Kerana tidak ada hukuman di akhirat. Hukuman itu ada di dunia ini; kelaparan, gempa bumi, pembunuhan." Dan ini adalah sebuah proses untuk membersihkan mereka di dunia dan mengangkatnya ke syurga ketika Hari Pembalasan nanti. Mereka tidak akan dihukum kerana telah dibersihkan di dunia. Maka Allah menimpakan segala macam kesusahan pada kita. Lihatlah saat ini, kita paling lemah di dunia, begitu lemahnya kita dan tidak ada yang mampu kita lakukan.


Suatu ketika, ada seorang Yahudi yang datang pada Nabi saw dan berkata," Ya Muhammad!" Mereka tidak mengatakan "Ya Rasulullah!" Mereka berkata, "Saat kami berdoa, tidak ada fikiran lain pada hati kami. Kami fokus pada Tuhan kami. Tapi yang kami tahu dari sahabat-sahabatmu bahawa saat mereka beribadah, banyak gangguan dalam fikiran mereka. Ertinya agamamu tidak baik, dan agama kamilah yang lebih baik."


Nabi saw pun menoleh pada Sayidina Abu Bakar ra, "Jawablah mereka." Sayyidina Abu Bakar ra pun menjawab, "Jika seorang pencuri ingin merompak dan dia ada pilihan untuk pergi ke istana atau ke kandang, ke manakah dia akan memilih untuk pergi?". "Tentu ke istana." jawab Yahudi tersebut. Abu Bakar pun melanjutkan, "Hati kami seperti istana yang penuh dengan iman pada Allah dan Nabi saw". "Kandang hanyalah sebuah kandang, isi kandang ada banyak kotoran di sana. Dia ingin datang ke istana kerana lebih banyak harta berharga di Istana. Itulah mengapa hati para muslim di bawah serangan yang sangat berat. Kita berada di bawah kesulitan besar kerana seluruh dunia melawan kita".


"Mereka melawan kita untuk apa? Untuk sebuah alasan yang sangat remeh, iaitu kerana kita saling bersengketa. Kita tidak berusaha melakukan yang terbaik untuk membuat citra agama kita menjadi baik". Adalah tugas kita untuk menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang damai, agama Allah, sebuah utusan dari syurga. Pesan dari syurga bukanlah nasihat yang kejam, kasar dan zalim. Islam adalah pesanan cinta dan toleransi. Adalah kewajipan kita untuk merubah persepsi negatif yang dilabelkan pada sebahagian kaum muslim dengan sebutan kejam, pengganas dan seumpamanya.


Saya ingin melihat setiap negara Islam membawa kembali nama agama kita sebagai agama cinta, sebagaimana yang dikatakan Nabi saw . Saya pernah bercerita tentang seorang Badwi, yang datang pada Nabi saw ketika khutbah Jumaat. Dia datang dan berdiri di pintu masjid dan berkata," Bilakah Hari Kiamat, ya Muhammad?" . Mengapa dia bertanya tentang Hari Kiamat? Apakah kita juga menanyakan tentang Hari Kiamat? Tidak seorang pun dari kita yang menanyakan hal seperti itu. Mungkin orang Arab Badwi itu lebih baik dari kita yang menyebut diri sendiri sebagai orang yang beradab dan moden. Kita tidak menanyakan tentang Kiamat, tetapi kita lebih banyak bertanya tentang pelbagai urusan memuaskan nafsu semata-mata.


Baginda saw saat itu tidak menjawab. Kemudian Badwi bertanya lagi. Nabi saw tetap meneruskan khutbah pada sahabat-sahabatnya. Saat Badwi itu bertanya untuk yang ketiga kalinya, Jibril as pun datang dan berkata,"Jawablah pertanyaan dia." Nabi saw menjawab, "Apa yang telah kamu siapkan untuk hari kiamat itu? Kiamat adalah perjalanan yang panjang. Apa yang akan kamu persiapkan untuk hari itu?" (Kita harus bertanya pada diri sendiri, apa yang sedang kita siapkan untuk hari itu. Seorang Badwi yang tidak tahu tentang Islam, kaki dan badannya telanjang. Apakah yang dia jawab?)


Dia menjawab dengan sederhana,"Cintamu, ya Muhammad adalah cukup untukku." Dia tidak tahu apa-apa. Lalu apa yang Nabi saw katakan: "Itu sudah cukup". Badwi itu tidak pun memasuki masjid dan solat. Sayidina Abu Bakar ra bertanya pada Nabi saw, " Apa ini Ya Rasulullah?" Nabi berkata, "Seorang manusia akan dibangkitkan bersama dengan orang yang dicintainya." Dengarlah firman Allah, "Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (QS 3:31)


Itulah perubahan yang harus kita lakukan: Untuk mencintai Nabi Muhammad saw melebihi cinta kita pada keluarga dan anak-anak kita. Adakah seseorang akan mengangkat tangan dan berkata, "Ya saya mahu." Saya tanyakan masalah itu pada diri sendiri, "Apakah saya mencintai Nabi saw melebihi cinta pada anak perempuanku dan keluargaku?"  Jika anak kecil kita sedang sakit dan demamnya 42 atau 43C, apa yang kita lakukan? Bukankah kita akan berada disisinya sepanjang malam, memeriksa suhu badannya. Kita tidak akan dapat tidur. Tidurkah kita bila anak-anak kita sedang sakit? Tidak, kita mungkin ke klinik dan menunggunya untuk di rawat.


Adakah kita juga bangun sepanjang malam dengan bersalawat pada Nabi Muhammad saw dan memujinya? Jika tidak , lalu cinta apakah yang sedang kita bicarakan ini? Lihatlah bagaimana cinta kita sebenarnya adalah cinta yang palsu. Seperti buah-buahan plastik yang tidak ada rasanya. maka cinta kita pada Nabi saw pun harus diubah dari plastik menjadi sesuatu yang segar. Meskipun demikian ada beberapa orang yang cintanya pada Nabi saw melebihi cinta pada anak dan keluarganya. Merekalah yang paling jujur dan alim di antara kita.


Lihatlah lantunan indah dari firman Allah, "Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya) ( QS 33:23)


Allah menggambarkan mereka dalam kitab suci Al Quran sebagai orang-orang yang menepati janjinya pada Allah pada Hari Perjanjian; dan beberapa orang di antaranya telah meninggal dunia dan sebahagiannya pula sedang menunggu serta mereka tidak pernah memungkiri janjinya. Mereka orang yang lurus.


Wahai saudara seakidahku, saya tidak akan memanjangkan tentang hal ini. Mereka itu ada di antara kita. Temuilah dan belajarlah dari mereka orang-orang yang lurus. Jangan katakan kalau di dunia ini kita tidak akan menemui orang seperti itu. Mereka bukan seperti ulama yang kita tahu. Mereka adalah 'alimun 'amil'. Seorang alim yang bertindak atas apa yang telah di pelajarinya.


Itulah hikmah mengapa Allah menggambarkannya di dalam Quran, “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati” (QS 10:62). Dimana mereka sekarang ini? Lihatlah mereka. “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar" (QS 9:19).


Bersamalah dengan orang yang benar dan dapat dipercayai. Carilah mereka dan bersatulah dengan mereka. Kita akan belajar dari mereka dan kita akan berubah. Semoga Allah swt membuat kita mampu melihat salah seorang wali-Nya di zaman ini. Semoga Dia membuat kita mampu melihat salah seorang dari hamba-hamba-Nya yang jujur. Semoga Allah membawa kita pada keadaan hati Nabi Muhammad saw yang membuat kita mampu merasakan kehadiran mereka, merasakan keharuman Baginda saw, merasakan cinta Baginda saw, merasakan bersama Baginda saw setiap saat dalam kehidupan kita. Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan