Popular Posts

Isnin, 10 Oktober 2011

LELAKI ITU...




Apa yang saudara semuslimku fikirkan mengenai seorang lelaki bersikap amat mulia, beliau lahir dan dibesarkan di celah-celah kematian demi kematian orang-orang yang amat mengasihinya dan dia teramat mengasihi akan mereka? Lahir dari rahim sejarah, ketika tidak seorang pun mampu menggugat keperibadian selain kemuliaan keperibadiannya sendiri. Beliau merupakan produk ta’dib Rabbani (didikan Ilahi) yang menyejukkan matahari dalam panasnya dan menggetarkan jutaan bibir dengan sebutan namanya, saat muadzin mengumandangkan suara azan. ALLAH….ALLAHU ALLAH…!



Di rumahnya tidak dijumpai perabot-perabot mahal yang menjadi gilaan para pembesar negara, raja dan sultan. Juga tidak mempunyai ramainya pengikut melainkan dirinya yang mulia. Beliau makan di lantai seperti budak-budak, sehingga para pencintanya tidak mampu membezakan dirinya yang mulia di kalangan para sahabat di sisinya. Tidak seorang pembantunya yang pernah mengeluh pernah dipukul atau diperlakukan sehinanya daripada tangannya yang mulia.



Dalam kesibukannya, beliau masih mampu bertandang ke rumah puteri dan menantu tercintanya, Fatimah Az-zahra dan Ali bin Abi Talib. Fatimah merasakan kasih sayangnya tanpa membuatnya menjadi manja atau kehilangan sifat berdikari. Saat Bani Makhzum memintanya membatalkan hukuman hudud di atas kesalahan jenayah seorang wanita bangsawan, Baginda saw menegaskan, “Sesungguhnya yang melakukan kebinasaan orang-orang sebelum kamu ialah, apabila seorang bangsawan mencuri, tetapi mereka biarkan dia dan apabila yang mencuri itu seorang rakyat jelata, maka mereka tegakkan hukum ke atasnya. Demi Allah, seandainya Fatimah anak Muhammad mencuri, maka Muhammad tetap akan memotong tangannya.”



Hari-hari Baginda saw penuh dengan kerja dan intaian bahaya. Tetapi tidak menghalanginya untuk lebih dari satu atau dua kali berlumba lari dengan Humaira, sebutan kesayangan yang Baginda saw berikan untuk Aisyah binti Abu Bakar As-shiddiq. Masih adakah lelaki atau suami di kalangan kita hari ini yang menyantuni wanita serta isteri sebagaimana Sayyidina Muhammad saw muliakan wanita? ALLAH….!



Lambang kecintaan, paduan kecerdasan, dan pesona diri dijalin dengan penuh hormat dan kasih kepada ayahanda isteri Baginda saw yang diberi gelar As-shiddiq, sesuai dengan namanya “yang membenarkan”. Suatu keadaan yang menakjubkan ketika dalam sibuknya, Baginda saw masih sempat memerah susu kambing serta menampal pakaian Baginda saw yang koyak. Tidak membebankan para isteri Baginda saw. Wahai pemilik akhlak terindah, semoga kami menyantuni keindahan akhlakmu wahai Nabi saw.



Setiap kali para sahabat atau keluarganya memanggil, Baginda saw menjawab, “Labbaik”. Dialah yang terbaik dengan karisma unggul di luar rumah. Namun Baginda saw juga seorang ketua keluarga terbaik ketika Baginda saw berada di rumah.



Di bawah pimpinannya, lelaki menemui jati dirinya sebagai lelaki. Pada masa yang sama wanita yang menjadi simbol kehinaan di zaman jahiliah mendapat kedudukan amat mulia di sisi masyarakat. “Sebaik-baik kamu ialah yang terbaik terhadap keluarganya dan akulah orang terbaik di antara kamu terhadap keluargaku.” “Tidak akan memuliakan wanita, kecuali seorang mulia dan tidak akan menghina wanita, kecuali seorang hina.” demikian sabda Baginda saw.



Baginda saw bersama barisan mujahidin di dalam 27 kali pertempuran secara langsung (ghazwah) atau diketuai di kalangan para sahabatnya (sariyah) sebanyak 35 kali. Di dalam pertempuran-pertempuran tersebut, Baginda saw masih sempat mengajarkan Al-Quran, sunnah, hukum-hakam, kepimimpinan, menerima delegasi asing, memimpin rumahtangga bahkan hubungan yang paling khusus dalam keluarga tanpa kehilangan adab dan wibawa. Sedangkan waktu berlangsungnya di antara dua petempuran itu tidak lebih dari 1 hingga 7 bulan. Itulah kepimpinan yang ditinggalkan oleh Sayyidina Muhammad saw kepada umat Baginda saw sehingga zaman mutakhir ini.



Rahsia keindahan Allah swt terus dihulurkan kepada kita dengan munculnya hadis ini kepada kita, sehingga sampailah ucapan mulia ini dari lisan manusia yang paling suci dan indah, “Setiap dari kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan di minta bertanggungjawab atas yang dipimpinnya”



Jika terdetik contoh-contoh manusia di minda saudara semuslimku, jangan terlebih dahulu membandingkan dengan kepimpinan negara. Kita cermin dahulu diri kita sebagai pemimpin kepada wanita, adakah sudah tertunai hak wanita dengan menghormati kemuliaan mereka? Tidak berdua-duaan sebelum akad nikah? Suami melarang isteri daripada mendedahkan aurat? Meninggi suara? Lelaki yang menaungi sebagai ketua jabatan, melaksanakan amanahnya dengan berkesan tanpa salah guna kuasa?




Saudara semuslimku, tiada manusia di muka bumi ini yang setiap saat dan peristiwa di dalam hidupnya dicatatkan sebagai sejarah berharga sehingga kekal selama 1432 tahun lamanya. Suatu hari datanglah ke masjid seorang Arab di sebalik gunung yang belum mengerti adab di masjid. Tiba-tiba dia kencing di lantai masjid yang beralaskan pasir. Para sahabat sangat marah dan hampir memukulnya. Sabda Baginda saw kepada mereka, “Jangan, biarkan dia selesaikan hajatnya.” Sang Badwi kagum dengan akhlak Baginda saw, dia mengangkat tangannya seraya berdoa, “Ya Allah, kasihilah aku dan Muhammad. Jangan kasihi seorang pun bersama kami.” Dengan tersenyum, Baginda saw menegur Badwi tadi agar tidak mempersempitkan rahmat Allah hanya kepada mereka berdua sahaja. ALLAHU ALLAH…!



Baginda saw kerap bergurau senda dengan para sahabatnya, berhubungan rapat dengan mereka, bermain dengan anak-anak, bahkan memangku mereka di pangkuannya. Sebaliknya di zaman kita, sering memperolokkan teman-taulan sebagai bahan hiburan sehingga mereka berkecil hati. Baginda saw menerima undangan mereka yang merdeka, budak lelaki atau budak perempuan juga kaum miskin. Baginda saw tidak kekok menziarahi rakyat yang sakit walaupun berada jauh di Madinah. Baginda saw menerima permohonan maaf orang yang menyakiti Baginda saw walaupun seberat mana kesakitan yang di alami Baginda saw.



Baginda saw pada kebiasaannya terlebih dahulu memberi salam dan berjabat tangan kepada sesiapa sahaja yang menjumpainya dan tidak pernah menarik tangan itu sebelum sahabat tersebut yang menariknya. Baginda saw tidak pernah menjulurkan kaki di tengah sahabatnya sehingga menyempitkan ruang bagi mereka, sama ada ketika di masjid atau seharian bersama. Baginda saw memuliakan sesiapa sahaja yang datang, kadangkala Baginda saw membentangkan bajunya yang membaluti tubuhnya yang mulia. Bahkan Baginda saw memberikan alas duduknya dan dengan bersungguh-sungguh Baginda saw memanggil mereka dengan nama yang paling mereka sukai. Baginda saw memberi mereka kuniyah (sebutan bapa atau ibu kepada si Fulan). Tidak pernah Baginda saw memotong pembicaraan orang, kecuali jika mereka berlebihan di dalam bicara. Apabila seseorang mendekatinya ketika Baginda saw menunaikan solat, Baginda saw segera menyelesaikan solatnya dan segera bertanya apa yang dihajatkan oleh mereka.



Pada suatu hari ketika berada di dalam khemah di medan pertempuran, Nabi Muhammad saw bersabda, “Seandainya ada seorang yang soleh mahu mengawalku pada malam ini”. Dengan kesedaran dan cinta yang tinggi, beberapa sahabat mengawal khemah Rasulullah saw. Di tengah malam terdengar bunyi bising yang mencurigakan. Khuatir sesuatu tidak baik berlaku, para sahabat bergegas ke arah bunyi tersebut. Ternyata Sayyidina Muhammad saw telah berada di sana mendahului mereka, Baginda saw sedia tegak segak di atas kuda tanpa pelana, “Bertenang, hanya angin gurun,” sabda Baginda saw. Nyatalah bahawa keinginan Baginda saw supaya adanya pengawal itu bukan kerana takut atau manja, tetapi suatu tarbiyyah disiplin dan kesetiaan kepada para sahabat.



Ummul Mukminin Aisyah ra berkata, “Rasulullah saw wafat tanpa meninggalkan makanan yang biasa di makan oleh makhluk hidup, selain seikat gandum dalam simpananku. Saat roh Sayyidina Muhammad saw dijemput, baju besinya masih digadaikan kepada seorang Yahudi dengan harga 30 gantang gandum.” ALLAHU ALLAH. Kemiskinan Nabi kita Sayyidina Muhammad saw menjadi isyarat jelas kepada umat manusia, betapa harta bukan syarat bahagia untuk menggegarkan dunia. Baginda saw mencahayai seluruh alam walaupun tidak mengenggam harta dunia.



Sayyidina Muhammad saw ketika berangkat menunaikan haji dengan kenderaan yang sangat sederhana dan pakaian tidak melebihi 4 dirham harganya, Baginda saw berdoa, “Ya Allah, jadikanlah haji ini tidak mengandungi riya dan sum’ah.”



Ketika kemenangan besar semasa Mekah ditakluk dengan sejumlah besar pasukan muslimin, Sayyidina Muhammad saw menundukkan kepalanya yang mulia sehingga nyaris menyentuh punggung untanya sambil mengulang-ulang tasbih, tahmid dan istighfar. Baginda saw tidak mabuk dengan kemenangan.



Perhatikanlah kemenangan yang diraikan kita di dunia ini. Kemenangan yang pada awalnya membawa hampirnya kita kepada Allah, tetapi menjadi sia-sia kerana rosaknya akhlak kita. Kita mencerca pihak lawan yang tewas dengan hinaan provokasi, seolah-olah mereka berkedudukan hina jika mulut kita berbicara.



Betapapun sukarnya mengecapi lautan kemuliaan yang dimiliki insan kamil ini, beberapa kalimat ini pasti membuatkan kita menyesal kerana tidak mencintainya atau tidak menggerakkan bibir mengucap selawat ke atasnya, “Semua nabi mendapat hak untuk mengangkat doa yang tidak akan ditolak dan aku menyimpannya untuk umatku kelak di Padang Mahsyar nanti.” ALLAHU ALLAH…mulianya peribadimu wahai Nabi saw. Apakah akan ada ruang buat diriku yang penuh noda dosa ini di saat umatmu mengharapkan syafaat darimu.



Ketika masyarakat Thaif mencederakan dan menghina Baginda saw, malaikat penjaga bukit menawarkan khidmat untuk menghimpit mereka dengan bukit. Baginda saw menolak, “Jika tidak mereka, aku berharap keturunan di sulbi mereka kelak akan menerima dakwah ini, mengabdikan diri mereka hanya kepada Allah sahaja dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun.”



Barangkali dua kata kunci ini menjadi gambaran kebesaran jiwa Penghulu segala Nabi kita ini. Pertama, Allah, sebagai sumber kekuatan yang Maha Hebat, kepada-Nya Rasulullah saw begitu yakin menumpahkan semua keluhannya. Inilah yang membuatkan Junjungan Mulia Sayyidina Muhammad saw amat tabah menerima segala risiko perjuangan, walaupun dijauhi kaum kerabat, sahabat yang membenci, dan khalayak yang mengusirnya dari negeri yang dicintai Baginda saw. Kedua, Ummati, iaitu nama KITA, nama terkandung di dalamnya saya-isteri-ibu-bapa-saudara-saudari. Di dalam lafaz “UMMATI”, segala hamparan akal, nafsu dan perilaku yang menentang untuk dibongkar, dipasang, diperbaiki, ditingkatkan dan diukir oleh Baginda saw dengan berjiwa besar, amanah, sabar dan tertib dalam memimpin ummah.



Ya, Ummati, apa masih tidak cukupkah semua keutamaan ini menggetarkan hati kita dengan cinta, menggerakkan tubuh kita dengan sunnah dan qudwah serta mulut kita dengan ucapan selawat? ALLAH… Tidak cukupkah pernyataan-Nya bahawa Sayyidina Muhammad saw dan para malaikat berselawat ke atasnya (QS Al Ahzab: 56). Justeru Baginda saw menyatakan dengan begitu menyentuh jiwa dan rasa perintah tersebut, “Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah atasku dan bersalamlah dengan sebenar-benar salam.”



Wallahu`alam.




Jagalah Hati…



Wassalam.

Ahad, 9 Oktober 2011

BERHIMPUN KERANA KECEWA...?




Orang-orang yang berkumpul kerana cinta pun masih menimbulkan kekecewaan, bagaimana dengan orang-orang yang kumpul kerana kecewa…?.



Mengapa muncul kecewa ? Mari kita cuba lihat dari yang paling mudah. Dalam proses pernikahan, bersatunya seorang lelaki dan seorang perempuan dalam bahtera rumahtangga yang diikat dengan kuat oleh rasa cinta. Mereka saling mencintai, maka mereka melangkah bersama membina keluarga dan mencipta pelbagai harapan dan cita-cita. Di tengah jalan, dua orang yang saling mencintai ini, mungkin saling kecewa. Suami kecewa terhadap isteri, dan isteri kecewa kepada suami.



Ibubapa dan anak-anak dalam sebuah keluarga, tentunya mereka saling mencintai. Mereka berada dalam sebuah bahtera rumahtangga, saling mencintai dan menyayangi satu dengan yang lain. Namun, anggota keluarga yang saling mencintai ini dalam perjalanan hidupnya mungkin saling kecewa. Ibubapa kecewa dengan anak-anak, atau anak-anak kecewa kepada ibubapa. Malahan di antara anak-anak, mungkin muncul kekecewaan sesama mereka. Bukankah mereka berkumpul dengan ikatan dan tenaga cinta ? Ternyata hubungan segegini pun masih memunculkan perasaan kecewa di antara orang-orang yang saling mencintai.



Dakwah dibangun dengan ikatan cinta dan berkembang dengan pelbagai proses yang dinamik untuk menuju harapan dan cita-cita yang telah dicanangkan. Dalam perjalanan inilah muncul retak belah, muncul perbezaan pandangan, muncul geseran satu dengan yang lain. Di antara orang-orang yang saling mencintai, akhirnya muncul perasaan kecewa. Muncul tuduhan, muncul prasangka, muncul syak wasangka.



Rasulullah saw adalah manusia pilihan, tanpa cacat dan cela sebagai seorang teladan. Para sahabat ra adalah generasi pilihan yang menjadi generasi terbaik sepanjang sejarah Islam. Namun para sahabat ra sempat memiliki simpanan kekecewaan sesaat setelah Perjanjian Hudaibiyah selesai ditandatangani Baginda saw dan Suhail. Lihat ekspresi kekecewaan mereka. Tiga kali Rasulullah saw memerintahkan, tidak seorang pun dari para sahabat ra yang melaksanakan ibadah korban.



Kita juga ingat gumpalan kekecewaan sebahagian sahabat ra dalam kisah pembahagian harta rampasan perang sesudah perang Hunain. Abu Sufyan bin Harb, tokoh penentang Islam sejak awal dakwah di Mekah itu, telah mendapat seratus ekor unta dan empat puluh uqiyah perak. Demikian pula Yazid dan Mu’awiyah, dua orang anak Abu Sufyan yang mendapat bahagian yang sama dengan bapanya. Kepada tokoh-tokoh Quraisy yang lain, Baginda saw memberikan seratus ekor unta. Ada juga yang mendapatkan bahagian lebih sedikit dari itu, hingga seluruh harta rampasan habis dibahagikan.



Melihat pembahagian itu, para sahabat Ansar memandang antara satu sama lain. Muncullah gejolak rasa di kalangan sahabat Ansar sehingga seorang di antara mereka berkata, ”Mudah-mudahan Allah memberikan ampunan kepada Rasul-Nya, kerana Baginda saw telah memberikan kepada orang Quraisy dan tidak memberi kepada kami, padahal pedang-pedang kami yang menitikkan darah-darah mereka.” Ada pula di antara mereka yang berkata, “Rasulullah sekarang telah menemukan kembali kaum kerabatnya.”



Dalam kisah “pembangkangan” para sahabat ra setelah Perjanjian Hudaibiyah dan kekecewaan selepas Perang Hunain, semua berakhir dengan sangat indah dan cepat. Rasulullah saw sebagai qiyadah menyelesaikan suasana dengan sangat berhikmah, sehingga kekecewaan tidak membesar dan menjalar. Ini kerana kepribadian Baginda saw sebagai manusia pilihan yang dikuatkan dengan wahyu, sehingga Baginda saw tidak akan salah langkah. Tindakan Baginda saw selalu tepat.



Jika Junjungan Nabi saw yang tanpa cela pun masih mendapat lontaran kekecewaan, bagaimana dengan kita yang sama sekali bukan Nabi, bukan pula sahabat Nabi, bukan muridnya para sahabat, bukan pula murid para tabi’in…  Jika sahabat Nabi saw masih juga menyimpan kekecewaan, bagaimana dengan kita yang tidak memiliki kualiti sebagai sahabat Nabi…. 



Kita hidup di zaman siber, semua kejadian, semua peristiwa, semua keadaan dengan sangat cepat tersebar. Sangat cepat, tanpa batas, tanpa selang waktu. Melalui email, twitter, facebook, sms, telefon dan sebagainya. Semua, apa sahaja diberitakan. Sayangnya, ramai yang tidak mampu membezakan mana data dan mana analisa. Semua berita yang muncul di internet dan dunia maya di anggap kebenaran. 



Di tengah-tengah kita kini tidak ada Rasulullah saw. Tatkala pelbagai berita berselelerakan tentang qiyadah, tentang dakwah, tentang jamaah, dan tentang “segala sesuatu” yang cenderung menjadi gosip, sikap kita hendaknya mencontohi perilaku Rasulullah saw dan para sahabat Baginda saw. Tentu saja tidak akan mampu sama sepenuhnya, namun jangan sampai lepas dari contoh keteladanan mulia mereka.





Apa keteladanan mulia dari mereka ? Tentu sahaja sangat banyak. Pertama, landasan hubungan di antara Nabi saw dengan para sahabat ra adalah cinta kasih. Cinta dan kasih sayang timbal balik, telah terbentuk sangat kuat antara para sahabat ra dengan Nabi saw. Ini yang menyebabkan bahasa hati mereka selalu bersambung, selalu bertemu, selalu berada dalam kebersihan dan kebaikan.



Kedua, di dahulukan sikap bersangka baik kepada qiyadah. Walau ada kekecewaan, mereka tetap memiliki sikap yang positif sehingga mudah mendengarkan penjelasan dari Nabi saw. Mereka mudah mendengar dan menerima penjelasan Junjungan Nabi saw, tanpa membantah dan menggerutu di belakang. Ini kerana sikap positif yang mereka miliki, selalu tsiqah dengan qiyadah. 



Ketiga, para sahabat ra tidak membesar-besarkan dan mendramatik permasalahan, sehingga masalah berada dalam ruang lingkup yang terbatas. Mereka tidak menyimpan kekecewaan untuk dijadikan alasan memberontak atau tidak setia kepada qiyadah. Kisah kekecewaan para sahabat ra di Hudaibiyah sangat natural, tidak digerakkan, tidak di hidupkan oleh seseorang. Kisah kekecewaan pasca perang Hunain segera terurai bila disampaikan hal tersebut kepada Nabi saw.



Keempat, mereka tidak mengungkit-ungkit lagi permasalahan tersebut setelah selesainya kejadian. Setelah permasalahan selesai, jelas dan terang benderang, mereka kembali berkumpul, berjamaah, bekerja bersama, seperti tidak pernah ada kejadian sebelumnya. Mereka tidak lagi mengungkit-ungkit “si Fulan dan si Fulan ini dulu pernah melontarkan kekecewaan kepada Nabi saw”. Persoalan selesai, maka mereka kembali bersama seperti semula. Tidak ada dendam, tidak ada permusuhan yang diwariskan. Tidak ada sakit hati yang tersimpan.



Jadi, kita hanya perlu duduk bersama. Mendengarkan pengajaran dari mereka yang mulia, merungkai pelbagai peristiwa, cuba membuat mudah hal-hal yang seakan-akan dibuat dan tampak sedemikian rumitnya. Jika memang ada yang terbukti melakukan kesalahan, tentulah perlu diberikan teguran atau nasihat sesuai aturan organisasi dan sesuai tingkat kesalahan yang dilakukan. Namun jika yang terjadi hanyalah salah faham, maka tidak ada yang perlu diteruskan atau dipanjangkan lagi. Semua sudah selesai, jelas dan saling memaafkan atas hal yang tidak pada tempatnya.



Jadi, tidak perlu membuat perhimpunan kerana kekecewaan. Tidak perlu membuat organisasi kerana sakit hati. Tidak perlu rundingan untuk menyatukan pihak-pihak yang merasa kecewa atau merasa dizalimi kerana  tidak ada manfaat dari perhimpunan yang dibentuk, dari jiwa-jiwa kecewa ? Organisasi seperti apakah yang akan muncul dari hati-hati yang menyimpan benci ? Jika kelak ketika terbentuk sebuah organisasi yang terdiri ahli-ahli kecewa, pasti akan ada yang lebih kecewa lagi.



Marilah kita duduk bersama-sama. Membingkai hati, mengeja keinginan jiwa. Berbicara dengan bahasa rohani, bukankah kita semua ini muslim-muslim yang saling mencintai ? Bukankah kita semua telah berikrar untuk selalu berada di jalan-Nya, termasuk ketika menyelesaikan permasalahan ? Bukankah kita semua sangat mencintai jalan dakwah ini, lalu mengapa harus mengambil langkah sendiri hanya kerana tidak dapat memahami keputusan organisasi ? 



Saya hanya sukar untuk mengerti, mengapa ada organisasi yang di dirikan kerana kekecewaan dan sakit hati. Padahal, aktiviti yang dirintis dengan sepenuh cinta pun masih menumbuhkan rasa kecewa. 



Wallahu`alam.

Jagalah Hati….


Wassalam.

Sabtu, 8 Oktober 2011

UBAN DAN KISAHNYA...



Syaidina Abu Bakar ra pernah bertanya, "Wahai Rasulullah, sungguh rambutmu telah ditumbuhi uban." Baginda saw menjawab, "Surah Hud dan saudara-saudaranya yang telah menyebabkan aku beruban." (Tirmidzi).



Ada syair Arab yang isinya memuji kemunculan uban di rambut orang-orang yang sudah mulai berumur. Syair itu menganalogikan tumbuhnya uban yang berselang-seli hitamnya rambut seseorang, sebagai cahaya dan tanda kemuliaan, Kata syair itu, "maa khairu lailin laisafiihi nujuum", malam  tidak akan menjadi indah tanpa cahaya bintang. Bintang yang dimaksud adalah uban. Malam yang kelam itu, adalah warna rambut yang dominan masih hitam.



Dengarkanlah kisah uban-uban putih di rambut Rasulullah saw seperti yang dituturkan sendiri oleh Baginda saw. Syaidina Abu Bakar ra pernah bertanya, "Wahai Rasulullah, sungguh rambutmu telah ditumbuhi uban." Rasulullah saw menjawab: "Surah Hud dan saudara-saudaranya yang telah menyebabkan aku beruban" (Tirmidzi). Helai-helai rambut putih yang muncul di antara rambut hitam Rasulullah saw, menandakan perhatian dan fikiran Rasulullah saw yang begitu fokus untuk urusan keimanan.



Surah Hud dan saudara-saudaranya, menurut tafsir Ibnu Katsir adalah surah Al-Waqi'ah, surah Al-Mursalat, surah An Naba dan surah At Takwir. Seluruh surah itu bercerita tentang dahsyat dan kerasnya Hari Kiamat yang sudah pasti tiba. Rasulullah saw sangat dalam menyelami kandungan firman-firman Allah swt itu. Maka, tumbuhnya uban, selama dalam urusan keimanan, adalah simbol yang patut dibanggakan. Seperti kebanggaan Rasulullah saw yang jelas diterangkan dalam sabdanya, "Barangsiapa yang tumbuh uban di dalam keIslaman, ia akan memperolehi cahaya di Hari Kiamat." (Tirmidzi dan Nasa`i, disahihkan oleh Al Albani dalam Shahih al Jami').



Rasulullah saw dalam hadis lain juga menyebutkan ungkapan yang hampir mirip. Kata Baginda saw, "Barangsiapa yang tumbuh uban di jalan Allah, ia pasti akan mendapatkan cahaya di Hari Kiamat." (Ahmad, Tirmidzi dan Nasa`i).




Perhatikanlah bagaimana Rasulullah saw dalam sabda-sabda Baginda saw, mengibaratkan uban putih dalam rambut di kepala orang beriman itu sebagai cahaya di tengah gelapnya Hari Kiamat. Cahaya itu, adalah uban yang tumbuh dari orang yang mencurahkan fikiran, tenaga, jiwa dan raganya untuk jalan iman.



Bahkan Rasulullah saw juga menegaskan bahawa di antara bentuk penghormatan Allah kepada hamba-Nya adalah, memuliakan dzii syaibatil muslim atau orang Muslim yang beruban, orang yang hafal Al Quran, dan memuliakan penguasa yang adil ( Abu Daud). Maka, biarkanlah jika uban yang sudah pasti tumbuh itu kelak atau telah menghiasi kepala kita. Selama kita berada dalam golongan orang beriman dan berjuang dalam keimanan. kita tidak perlu terlalu menghiraukan tumbuhnya uban demi uban yang kelak menjadi cahaya di kegelapan itu.



Mari kita lihat kejayaan besar para tokoh berusia emas yang penuh uban di kepalanya itu dalam lembaran-lembaran sejarah kita. Lihatlah bagaimana Abu Ayyub Al Anshari ra, lelaki penuh uban di rambutnya. Dalam usia 80 tahun, beliau tetap terlibat dalam penyebaran dakwah Islam ke pelbagai wilayah. Saat jatuh sakit menjelang wafat di antara pasukan Muslimin yang tengah dalam perjalanan berperang, ia dengan sepenuh keyakinan mengatakan, "Jika aku mati maka bawalah jenazahku. Jika kalian bertemu dengan musuh, kuburkanlah jasadku di sana. Aku ingin jasadku dikubur di tengah medan pertempuran atau yang dekat dengannya, sehingga rohku bergerak di atas medan tempur." Abu Ayyub ra menginginkan kehidupan Akhiratnya dalam keadaan berjihad sebagaimana semasa hidupnya di dunia, Jenazah Abu Ayyub ra akhirnya memang dibawa oleh pasukan kaum Muslimin. Dan di tengah kota Konstantinopel, ketika pasukan Islam berperang melawan pasukan musuh, di sanalah jasad Abu Ayyub ra yang mulia itu dimakamkan.



Lihatlah bagaimana tokoh mulia Yusuf bin Tasyfin ra, yang memimpin peperangan di saat ia berusia 80 tahun. Ketika itu, uban juga telah menghiasi kepala dan janggutnya. Adalagi, Musa bin Nushair ra yang menakluk Andalus saat usianya 74 tahun. Itu terjadi saat kepemimpinan Khalifah Al Walid bin Abdul Malik. Ketika Khalifah Al Walid bin Abdul Malik mencapai usia akhirnya, 95 tahun, Musa bin Nushair ra telah mempunyai 120 anak dan cucu yang masih kecil. Musa bin Nushair ra pernah mengatakan, "Tidak pernah ada panji-panji pasukanku yang direbut oleh musuh sejak aku terlibat berjihad pada usia 40 tahun hingga 80 tahun."



Masih banyak deretan para tokoh besar dan pemikir yang memutih rambutnya tapi mereka telah menyumbangkan perjuangan luar biasa untuk kita. Seorang salafusoleh bernama Tsabit Al Bunani ra, usianya 86 tahun. Bakr Al Mazni ra mengatakan, "Siapa yang ingin melihat orang yang paling banyak ibadah lihatlah kepada Tsabit Al Bunani. Tidak ada orang yang lebih abid daripada dia." Bahkan, Anas bin Malik ra mengatakan, "Sesungguhnya setiap kebaikan itu punya kunci-kunci. Dan Tsabit Al Bunani adalah kunci-kunci kebaikan." Malahan seorang ulama bernama An Naisaburi ra pernah menulis sebuah kitab berjudul "Al Mustadrak Ala Shahihain" pada saat ia berusia lebih dari 90 tahun. Mereka telah menjadi manusia yang hidup di "alam lain" dan tidak lagi terbelenggu dengan jerat-jerat usia yang biasanya membelenggu ramai orang.



Warga emas sudah banyak rugi dengan anggapan bahawa orang yang usianya mencapai 60 tahun hanya tinggal menanti ajal kerana anggapan itu, tidak sedikit orang yang berprasangka bahawa mereka sudah selesai peranan-peranannya dalam hidup.



Uban sebagai sebahagian tanda keletihan berfikir, atau petanda usia bertambah tua tidak pernah menjadi alasan untuk berhenti dan memutuskan peranan besar dalam hidup ini. Jika kita mahu, walaupun berusia lanjut dan banyak ditumbuhi uban, kita mampu melukiskan sejarah agung dalam hidup ini dengan pertolongan Allah swt. Jika desakan cita-cita telah meninggi, didukung semangat yang kuat, tidak ada lagi yang membezakan orang muda ataupun orang berusia lanjut.



Wallahu`alam




Jagalah Hati…



Wassalam.

Jumaat, 7 Oktober 2011

MARILAH SEJENAK...




Mari sejenak kita menceburkan diri ke dalam perenungan yang dalam. Cukup sudah rangkai peristiwa yang menyesakkan jiwa. Cukup sudah kejadian episod  drama yang memilu luka. Mungkin udara panas yang membakar di atas tanah hati ini terpacu oleh sejumlah ujian, entah dalam kesedaran atau kerana kelalaian hati. Sebahagian besar, atau mungkin semua dari kita sedang melukai diri tidak bersisa. Semua terlibat dalam situasi suhu memanas yang mengeringkan dahan hati, gersang jiwa ini. Dan tentu kita pun sebahagian peranan dari rasa sakit menyayat itu.



Marilah kita jujur melihat fakta… kebesaran jumlah kita selaku warga muslim di muka bumi ini ternyata sekadar angka-angka sahaja kerana di dalam kebesaran simbol itu kita nyaris tidak lagi hidup sepertimana seorang muslim. Kita sungguh rapuh dan seperti tidak berdaya. Satu pukulan ringan, mungkin sudah cukup membuat jatuh tidak berkemampuan bangkit lagi. Itulah kenyataannya yang terjadi. Itulah realiti nasib kita hari ini.



Lihatlah lebih dalam pada diri masing-masing. Sedarlah segera akan hampanya batin dalam solat-solat kita menghadap-Nya. Tiada lagi nikmat indah yang berasa menyejuk itu. Ke manakah lari tilawah Quran harian kita sepertimana di bulan Ramadhan…? Ke manakah malam-malam hening tempat kita berdiri, rukuk dan sujud penuh esak tangis membasah pipi itu…? Semua kini telah lenyap meninggalkan suara dengkur keras panjang menyambut fajar. Mungkin dengan alasan letih yang sebenarnya tidak seberapa, tetapi malas lebih mendominasi hidup kita. Ke mana juga waktu kita untuk penggalian ilmu sebagai pengasah akal fikir….



Kering terasa menyesak. Hampa sedemikian hebat hingga tidak punya warna. Kerana dalam semua sisa kekuatan yang telah remuk itu, terbuka lebar pintu kemiskinann akal fikir dan amal yang ngeri. Lihatlah sejumlah pejuang yang telah liar kehilangan manhaj akhlaknya; ketika para pemimpin tidak lagi peka dan arif menjalankan kepemimpinannya; ketika para perajurit tidak lagi memahami makna ketaatan kepada qiyadahnya; ketika para pejuang tidak lagi terlihat tadhiyah amalnya, bersih oerientasinya, penuh itsar ukhuwah persaudaraannya; itu semua fakta yang saat ini kita saksikan berserakan di depan mata telanjang kita. Dipertontonkan secara tragik, persis di hadapan kita. Wahai saudara semuslimku, apa gerangan yang sedang terjadi ini…?



Apa yang sangat menakutkan itu akan menjadi kenyataan sebagaimana saat roda berputar tiada henti. Inilah mungkin kemestian sunnah yang telah di gariskan dengan jelas sesuai kehendak-Nya; yang kita tiada daya berbuat banyak untuk megubahnya. Tapi sungguh malang, jika kita memaksakan diri untuk menjadi sebahagian luka yang merobohkan kukuhnya bangunan iman ini, hanya kerana kenaifan kita, hanya kerana kecilnya api perjuangan kita, hanya kerana rapuhnya keyakinan, juga kepengecutan kita menjadi sebahagian muslim meniti kebangkitan.



Para pendahulu kita telah mendendangkan sebuah syair cinta dan semangat juangnya; tentang kefahaman kita akan Islam, tentang rumitnya wilayah keikhlasan, tentang liku medan amal untuk membina kejayaan umat, tentang jihad meninggikan kalimat Ilahi, tentang ketaatan yang menuai berkat melimpah ruah, tentang tadhhiyah bukti kesetiaan, tentang tsabat menghadapi rintangan di barisan hadapan perjuangan, tentang tajarrud, tentang tsiqah, juga tentang ukhuwah dalam menghimpun cinta para hamba-Nya. 



Maka, jika kita merasakan beban semakin memberat dalam perjalanan ini, apakah kita tidak ingat firman Allah swt…., ”Wahai orang-orang beriman! Mengapa jika dikatakan kepadamu, ’Berangkatlah untuk berperang di jalan Allah’, engkau merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah engkau lebih senang dengan kehidupan dunia dibanding akhirat? Sungguh kenikmatan dunia teramat kecil dibanding apa yang ada di akhirat.” (At-Taubah: 38)



Wallahu`alam




Jagalah Hati…



Wassalam.

Khamis, 6 Oktober 2011

KERANA AKU SEORANG ANAK...




“Assalamualaikum,” sayup terdengar suara memberi salam ketika aku dan keluarga sedang asyik menjamu selera, tengahari hari minggu itu.


“Waalaikumussalam,” jawab kami spontan, tetapi suara abah lebih kuat mengatasi gelombang frekuensi suara-suara kami yang lain. Adikku, Ika meluru ke pintu seperti biasa, membuka pintu dan seraya itu kami semua berpaling ke arah pintu untuk mengenal pasti suara itu.


“Abah! Ada orang nak jumpa!!” jerit Ika dari kejauhan, memang tabiatnya begitu. Suka benar menjerit, bukan tidak boleh datang dan panggil dengan lebih sopan. Jenuh aku menegur, tetapi biasalah, adik yang berusia 16 tahun itu kadangkala menguji kesabaranku.


“Ika!! Dah berapa kali akak pesan, jangan terjerit-jerit! Kalau nak panggil, datang sini lah panggil elok-elok!” Tanpa sedar, aku pula yang menjerit daripada meja makan itu. Aku ditenung abang dan diberi isyarat tangannya di telinga dan membuatku tersedar kesilapanku. Aku hanya tersengih.


“Opss!! Sorry big bro. Ter.. Bukan sengaja,”


“Memanglah ter.. Kita jarang-jarang sedar salah kita, selalu nampak salah orang je,”


Aduh, terkena sekali!! Tetapi aku tidak pernah ambil hati. Aku bersyukur, mujurlah abang Wan satu-satunya orang yang aku harapkan untuk mengadu nasib selain abah yang kadangkala sibuk dengan urusan pejabatnya. Mujur juga ada abang yang boleh menegurku jika ada salah dan silap, mengganti ibu yang telah 15 tahun pergi meninggalkan kami setelah 2 bulan terlantar sakit. Sejak itu, abah dan abang lah yang menjaga dan menyara kehidupan kami sekeluarga.


Aku sekadar memerhati langkah abah ke pintu tanpa sebarang syak siapa yang ingin bertemu dengan abah hari itu kerana memang menjadi kelazimannya, abah akan selalu menerima tetamu. Aku cuma mencapai tudung yang memang aku tinggalkan di dapur dan menyarungnya, takut-takut tetamu itu lama bertandang, aku kemudian menyambung kembali suapan. Abangku membasuh tangan dan menuju ke ruang tamu, barangkali ingin membaca akhbar.


“Siapa bah? Hari-hari minggu pun nak kacau abah,” sapa aku apabila abah kembali duduk di sisiku dengan sekeping sampul di tangannya.


“Ada orang hantar ni ha, calon menantu,” abah tersenyum kepadaku.


Aku tersedak mendengar perkataan ‘calon menantu’ yang keluar daripada mulut abahku.


“Aik, tersedak nampak, kenapa?” abah mula menyakatku, memang sifat semula jadi abah yang suka benar mengusik.


“Tak ada lah, terkejut. Calon menantu abah ke? Untuk abang Wan ke? Kenapa hantar pakai sampul pula?” aku bertanya bertubi-tubi.


“Hehe. Calon menantu abah, untuk anak dara abah ni. Abang Wan biarlah dia cari sendiri. Dia lelaki, pandai nak pilih. Abah Cuma risaukan anak dara abah ni je,”


“Calon menantu??!! Siapa bah??” entah dari mana datangnya abangku yang seorang itu terjenguk di pintu dapur.


“Amboi, gatal nampak!! Ingat untuk kamu ke? Calon untuk Ina ni. Kamu cari sendiri,” abah menambah. Aku hanya tertunduk, diam membisu tanpa sebarang reaksi kepada perbincangan itu. Aku tidak tahu bagaimana mahu terjemahkan perasaanku ketika itu. Aku tiba-tiba menjadi sebak dan terharu, dalam masa yang sama takut dan risau. Berbagai-bagai perkara datang menyerang fikiranku. Aku sedar, aku sudah mencapai umur yang merisaukan abahku, umur untuk melepaskan anak daranya ini bagi melengkapkan tanggungjawabnya, mencari jodoh yang baik untukku. Bukan aku tidak mempercayai abah dalam soal mencari calon suami untukku. Aku juga tidak pernah berpasangan sebelum ini kerana menjaga pesanan abah dalam tazkirahnya setiap kali selesai solat fardhu,


“Menuntut ilmu perlukan jiwa yang bersih, hanya dengan hati yang bersih Allah akan campakkan nur dan ilmu, selain jaga betul-betul hubunganNya serta manusia sekeliling, jangan sesekali menghampiri zina dengan membiarkan diri terbawa-bawa oleh arus.”


Abangku yang membekalkan pesanan yang sama setiap kali kepulanganku ke kampus,


“Ingat tanggungjawab kita pada Allah, pada agama, pada keluarga, pada diri. Abang sangat-sangat berharap Ina belajar berdikari dan kuatkan pergantungan padaNya dalam setiap perkara. Sekarang mungkin Ina ada abang dan abah untuk bergantung. Tetapi kami manusia biasa, kuasa kami terhad dan jika suatu hari nanti abang dan abah tiada, Ina akan terkapai-kapai. Tetapi kalau Ina tahu bahawa Ina masih ada Allah walau apa pun yang berlaku, Ina akan kuat. Ingat, Ina perlu tunjukkan contoh pada Ika, dia tidak merasai kasih sayang ibu sejak daripada kecil, jadi dia akan sedikit sebanyak menjadikan Ina sebagai contoh. InsyaAllah, abang akan selalu berdoa supaya Allah kurniakan kekuatan buat Ina hadapi ujianNya. Jangan putus asa dengan rahmat Allah.”


Aku ingin menjadi anak yang solehah, aku juga ingin menjadi kakak yang baik pada Ika, aku mahu menjadi adik yang baik untuk abang Wan. Tetapi dalam masa aku masih berusaha ke arah itu dan tiba-tiba aku perlu melangkah ke alam perkahwinan? Sudah sempurnakah tanggungjawabku kepada abah, abang Wan dan Ika? Aku ibarat Ibu di rumah dan selepas aku berkahwin, siapa akan jaga abah, abang Wan dan Ika? Buntu aku memikirkan persoalan tersebut.


“Mengelamun nampak, tak elok la duduk luar ni lama-lama. Malam-malam pula tu, kang sakit menyusahkan abang je nak kena menghantar Ina ke klinik,”


Tegur abang Wan ketika aku sedang duduk bersendirian di laman, menikmati angin malam dan kecantikan bintang-bintang di langit. Aku hanya mampu tersenyum tawar ke arah abang. Walaupun aku cuba menyembunyikan perasaan risauku ketika itu, abang Wan seolah-olah boleh meneka.


“Kenapa ni? Adik abang ni kalau muka serabut macam ni mesti ada lah tu perkara di fikiran? Risau dengan pilihan abah ke?” abang Wan mengusik lagi. Cubitan aku hinggap di tangannya. Abang Wan sempat mengelak.


“Tak lah. Cuma Ina risaukan rumah ni kalau suatu hari Ina terpaksa tinggalkan untuk tanggungjawab lain. Abang pun tahu abah bersungguh benar nak Ina kahwin awal, kerana bagi abah, tanggungjawabnya mencari jodoh yang baik untuk anak-anaknya. Bukan Ina meragui calon yang abah pilihkan untuk Ina, tetapi Ina rasakan belum cukup sempurna lagi tanggungjawab Ina pada orang-orang dalam rumah ni. Ika masih kecil dan perlukan Ina untuk bimbing dia. Ina belum rasa puas bela abah lagi. Belum rasa selesai lagi tanggungjawab Ina pada abah yang membela Ina dari kecil. Ina nak balas dulu jasa abah dan abang yang banyak berkorban selama ni untuk Ina. Abang sanggup mengorbankan separuh duit biasiswa abang untuk Ina setiap semester kerana membantu Ina yang asyik tak cukup duit untuk beli buku rujukan. Padahal abang juga perlukan duit untuk pengajian abang, sehingga abang perlu buat kerja sambilan untuk tampung semua tu. Abang perlu bantu abah untuk ringankan bebannya, dengan komitmen abang yang bertambah lagi ketika itu, Ina faham. Tapi Ina nak merasai membalas semua itu dulu. Kalau Ina dah kahwin, tanggungjawab Ina tertumpu pada suami dan keluarga, kerana abah dan abang pernah menyebut, syurga wanita pada redha suaminya. Ina teringin juga menjadi seperti arwah ibu, redha dan kasih sayang abah yang tidak berbelah bagi pada ibu, menjanjikan syurga buat arwah, kan bang? Ina buntu lah.” Aku mula merasai pandanganku kabur kerana air mata yang bergenang. Abang Wan hanya tersenyum.


“Alhamdulillah, abang syukur pada Allah kerana Ina punya perasaan itu semua. Abang tak kata semua itu salah kerana abang faham keadaan Ina. Ina tersepit antara dua perkara yang kedua-duanya membawa nikmat akhirat yang baik, kan? Tetapi abang nak Ina fikir dengan rasional. Ina dah 23 tahun, sudah sebaiknya Ina berumah tangga. Bukan abang ingin menghalang niat murni Ina untuk menjaga abah, Ika mahupun abang sendiri tetapi Ina perlu juga faham mengapa abah mahu Ina kahwin awal. Abah tidak mahu Ina terdedah dengan perkara yang tidak sepatutnya buat anak gadis seperti Ina. Abah tahu bahawa pada umur seperti ini lah anak-anak perlukan bimbingan ke arah rumah tangga buat memenuhi tanggungjawabnya dan juga tuntutan nafsu manusia. Rasulullah pernah berpesan bahawa jika mampu untuk menikah, maka bernikahlah. Kerana itu abah benarkan abang berkahwin tahun lalu bila abang nyatakan keinginan tersebut walaupun abang masih dalam pengajian. Walaupun jodoh kami tidak lama, kerana Allah lebih sayangkan arwah Kak Siti, tetapi abang bersyukur kerana mempunyai abah yang memahami. Tentang Ika dan abang, Ina jangan risau. Kita kan punya Penjaga terbaik? Jangan pernah putus doa. Dengan izin Allah juga abah boleh membesarkan kita sehingga hari ini, kan? Mesti juga dengan kehendak Allah mengizinkan segalanya berlaku, ada ataupun tidak ada penjagaan daripada sesiapa. Siapa kata Ina tak boleh nak berbakti pada kami bila Ina dah berkahwin? Ina pun tidak kenal lagi siapa calon suami Ina kan? Mana lah tahu, aturan Allah, calon tu orang dekat-dekat sini. Boleh lah Ina kerap balik, tolong masak untuk kami lagi! Tetapi layanan untuk suami dan keluarga itu yang lebih awla, ingat tu,” kata-kata abang Wan melegakan gusar dalam hatiku, aku mengangguk-angguk faham. Terima kasih abang Wan.


“Abah mahukan pandangan Ina. Abah ada terima risikan daripada seseorang yang ingin memperisterikan anak abah ni. Daripada penilaian abah, orangnya punya ilmu agama dan beramal dengan agama, abah berkenan pada agama yang ada padanya. InsyaAllah, dia sudah bekerja dan punya kewangan yang baik, biarpun tidak mewah kerana abah tak suka anak abah dimewahkan dengan harta dunia. Kalau tak silap abah, umurnya 27 tahun, rupanya pun sedap mata memandang. Bagaimana? Ina mahu tengok gambarnya?” hurai abah pada petang Jumaat itu.


“Tak perlu lah bah. Erm.. Cuma Ina minta masa 2 atau 3 hari untuk fikirkan, boleh? Ina yakin abah pilih calon yang baik untuk Ina, cuma Ina mahu lebih tetap keyakinan itu dengan petunjuk-Nya,” aku memohon izin kepada abah untuk menangguhkan jawapan ku.


“InsyaAllah, abah tak ada halangan. Abah pun lebih suka kalau Ina lebih percayakan Allah daripada abah,” abah tersenyum. Perbualan aku dan abah hari itu merupakan titik tolak kepada penghijrahan fasa hidupku yang seterusnya. Alhamdulillah, aku bahagia kerana pilihan abah, kerana aku hanyalah seorang anak yang begitu percayakan ketentuan Allah. Terima kasih Allah untuk kurniaan Mu yang tidak ternilai ini. Kau juga menjadi saksi dalam setiap solatku, aku berdoa,


“"Ya Allah, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri."


Amin.


Wallahu`alam.



Rabu, 5 Oktober 2011

KISAH TENTANG ANAK-ANAK KITA...




Seorang ibu memiliki satu orang putera dan dua orang puteri. Sejak kecil, si ibu selalu membezakan kasih sayang antara putera dengan puteri-puterinya. Ia kerap memarahi puteranya hanya kerana kesalahan remeh. Tidak pernah ia bersenda gurau dengannya. Jika puteranya menanyakan sesuatu kerana perasaan ingin tahunya sebagai anak kecil, ibunya selalu menjawab tidak tahu, bahkan seringkali ibunya diam seolah-olah tidak mendengar.



Sementara kedua puterinya mendapat limpahan kasih sayang, selalu mendapat mainan baru, pakaian baru. Bahkan makan pun dengan lauk yang lebih banyak daripada puteranya. Ibunya hanya bergurau dan bermain dengan puteri-puterinya, selalu menjawab pertanyaan mereka. Akhirnya si putera membesar sebagai anak yang murung…



Hingga di suatu masa, setelah ketiga-tiganya berkahwin, tinggallah si ibu seorang diri. Kedua puteri jarang menjenguknya kerana tinggal di kotaraya. Hanya si putera yang selalu menjenguknya, membawakan makan tengahari, membawakan seplastik buah-buahan dan lain-lain menurut kadar kemampuannya. Namun si ibu tetap bersikap seperti biasanya, cuak dan dingin.



Pada saat si ibu mulai uzur dan sakit-sakit, si putera membawa ke rumahnya, merawatnya dan memenuhi segala permintaannya. Kedua-dua puterinya hanya menjenguknya seminggu sekali.



Dan pada akhirnya saat ibunya semakin tenat, menjelang saat kematiannya, ia bertanya kepada puteranya. “Mengapa kamu tetap bersikap baik, malahan menjaga serta merawatku walaupun sikapku sangat tidak menyenangkan padamu?”



Si putera menjawab, “Kerana bonda adalah ibuku, yang telah mengandungkanku, melahirkan aku, menyusukanku, dan membesarkan aku. Apapun yang ku lakukan tidak akan mampu mengembalikan setiap titis darah bonda yang mengalir dalam darahku. Yang dapat ku lakukan hanyalah berbakti kepada bonda.”



Menangislah si ibu… menyesal, lalu ia berdoa, “Ya Allah, Engkau telah memberikan padaku tiga orang anak. Ku sayangi yang dua dan ku sia-siakan yang satu. Padahal Engkau telah menjadikan yang satu ini sebagai anak yang berbakti padaku. Maka ampunkanlah segala dosanya, rahmatilah hidupnya dan berkatilah usahanya. Sesungguhnya dialah anak yang akan mendoakan aku, maka perkenankanlah doanya…”



Setelah berdoa si ibu mencium kening puteranya, sesaat kemudian ia pun meninggal dunia.




Ingatlah wahai saudara semuslimku, berapa pun jumlah anak yang kita miliki, kita tidak akan tahu yang manakah yang akan tulus menyayangi kita, yang akan berbakti kepada kita dan yang akan mendoakan kita setelah kita meninggal dunia. Maka jangan sampai kita mensia-siakan amanah dari Allah ini. Kita didik mereka semampu kita. Hasilnya kita pasrahkan pada Allah swt…


Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam