Popular Posts

Jumaat, 25 April 2014

AKU ADALAH PENCURI ITU...





Benar aku si pencuri itu
mencuri sebiji gula gula...

Kenapa mencuri...?
kerana aku tidak punya duit..
Kenapa tidak punya...?
kerana aku orang miskin...



Bapaku pengutip besi buruk
ibuku pencari botol kosong
keluargaku tidak kaya..
keluargaku tidak punya harta
keluargaku papa kedana...



Tetapi aku juga mahu gembira
seperti kanak kanak lain
dapat makan enak-enak
dapat makan manis manis
tetapi aku miskin...



Apa yang mampu hanya nasi dan garam
itu jika mampu...
jika tidak hanya ubi rebus


Kenapa aku begini...?
salah Robb-kah...?
salah bapakah...?
salah ibukah...?


Aku mahu sekolah
tetapi aku miskin...


Aku mahu baju baru
tetapi aku miskin...



Aku mahu mainan baru
tetapi aku miskin...


Walau aku miskin
aku masih syukur
punya keluarga tempat berteduh
aku punya Allah
aku punya suatu hari yang aku berjanji
suatu hari nanti keluargaku tidak lagi begini...



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

AKU YANG SESAT....





Ya Allah... sungguhnya aku seorang insan
yang sering tergelincir landasan
sering terhasut godaan syaitan
yang sering sesat jalan
tidak mampu pertahankan iman...



Ya Allah... ampun akan dosaku
ampunkan apa yang telah aku lakukan
kejutkan aku sepantas seperlu
selimutkan aku dengan zikir Mu
payungkan aku dengan hidayah Mu...



Ya Allah... yang menciptakan aku
sungguh aku rasa malu
untuk berdepan dengan Mu


Tetapi Ya Allah...
yang Maha Berkuasa
aku sentiasa ingat Mu walau aku dijalan benar atau sesat...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

RUANG ANTARA DOSA DAN PAHALA...





Di antara ruang hidup dosa pahala
tersirat seribu tanda tanya
tersurat seribu wajah rupa
tertulis seribu duka nestapa
terlukis seribu ceria gembira...



Di setiap langkah kaki
mengaris tapak seribu erti
mencorak jejak penuh misteri
meninggal kesan sebuah memori...



Di setiap gerak tangan
pelbagai hulur jenis salaman
bermaksud luar atau simpan
menjadi kekuatan sang impian...



Disetiap gerak tubuh
memain lenggok cerita utuh
rasa syurga dunia yang teguh
berbangga dada bertegap tubuh...



Disetiap cerita bibir
tidak pernah untuk merasa getir
berkata handal bermulut mahir
bermadah angkuh bekata kafir...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

DEMI CINTA...





Untuk cinta..
semua mahu terbaik buatnya..
derita atau bahagia tidak dipedulinya
apa yang dia tahu cerita cinta harus bahagia...
walaupun cerita cintanya hanya mahukan yang indah belaka...
tanpa dia sedar dunia sebenar banyak halangan untuk bergelar seorang pecinta insan...



Sudah beberapa kali aku bina kotak asmara...
malangnya runtuh bukan kepalang
lalu aku lari sejauh kaki aku tidak mahu pulang.
aku diambang resah...
aku mahu tenang...



Aku jumpa pondok usang buat aku teduh tenang
terjumpa aku jalan usang tidak lagi diguna orang
perlahan-lahan aku turuti jalan yang penuh misteri
hingga aku temui penghujung yang indah berseri...



aku belajar sesuatu di hujung jalan itu...
kehidupan aku tidak lagi seperti dulu..
cinta aku juga berubah jauh dari apa yang aku tahu..
dari erti diri dan ciptaan Allah banyak mengajarku sesuatu



Kini cinta aku bukan untuk "sesorang" tetapi untuk kehidupan
bertahun aku bercinta sesama insan kini aku ceraikan...
cintaku lebih kepada Ilahi...
lebih kepada kehidupan...
yang kini aku sedar,
aku cuma seorang insan...
ya insan...



Aku mula kenal siapa roh dan jasadku...dan kau bila lagi...?


Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Sabtu, 19 April 2014

SOLATKAH AKU...?





Solatkah aku...?



Golongan Pertama



Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tidak sembahyang, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak sembahyang; mereka telah jatuh kafir. Imam Malik ra berkata bahawa jatuh kafir kalau tidak sembahyang tanpa sebab. Imam Syafie ra kata jatuh fasik (pun masuk neraka juga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.


Golongan Kedua


Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang mahu pun secara rasmi atau tidak rasmi tidak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah swt.


Golongan Ketiga


Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik; ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang. Orang ini jatuh fasik.


Golongan Keempat


Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang, orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang jenis ini.


Golongan Kelima


Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati maksud dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.


Golongan Keenam


Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali di dalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu di dalam sembahyangnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba- tiba, maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan di dalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan khusyuk itu mudah-mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga-moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada member kesan apa apa. Allah belum lagi cinta akan orang jenis ini.


Golongan Ketujuh


Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz di dalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah di dalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh atau golongan abrar ataupun ashabul yamin.


Golongan Kelapan


Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia di dalam sembahyangnya, malahan dia dapt menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit. Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah).


Golongan Kesembilan


Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai di dalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan di dalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka di dalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang semakin terasa lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.


Setelah kita nilai keseluruhan sembilan peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana. Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk, boleh mengungkai mazmumah, menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan tujuh, lapan dan sembilan sahaja. Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur, fasik dan zalim.


Jadi dimanakah tahap sembahyang kita? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat atau sembahyang kita.


Marilah bersama membaiki solat kita agar segara dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.




wallahu`alam



Jagalah Hati....

Selasa, 15 April 2014

AKU III...





Aku belum lagi cukup baik selagi belum...


Meletakkan perintah dan suruhan Allah di tempat yang paling teratas...


Sering berprasangka buruk pada orang lain...


Hati dan fikiranku berbicara kosong dan lalai...


Kata-kataku pula asyik menyakitkan orang disekelilingku...


Zikrullahku tidak langsung melebihi bilangan patah bicaraku...


Selagi belum membalas jasa ibubapa, keluarga dan sahabat...


Selagi belum dapat mentafsir setiap hikmah dan ketetapan dengan hati yang redha...


Selagi belum menjadikan Kalamullah dan solat sebagai sahabat duniawi...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

AKU II...





Kata orang aku ini hujan yang menyirami kegersangan...
Padahal aku ini salju yang dinginnya menusuk hingga ke jantung...



Kata orang aku ini mentari yang menyinari hamparan hitam kehidupan dan menaungi dengan kasih sayang... 

Padahal aku ini api, bila dijolok, maka baranya merona, pemusnah yang tidak kenal kasihan...



Kata orang aku ini bunga, menebar harum dan membuat senang mata memandang...
Padahal aku ini paku pakis yang cuba bertahan dalam kelicikan dan tipu daya...



Kata orang aku ini karang yang selalu tegar dan tidak pernah patah...
Padahal aku ini hanyalah pasir yang luruh oleh angin dan rintik hujan...



Kata orang aku ini rerumput yang memberi ketenteraman dan keteguhan...
Padahal aku ini ilalang yang sentuhannya meninggalkan pedih dan menyiksa...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

AKU...





Aku berdiri memandang ke situ...


aku lihat satu wajah lesu.
dia penat berkerja.
kejar cita-cita, dia gigih.
tak mengenal putus asa.
jatuh dia bangun.
hari-harinya terlalu pantas bagi dia.
sikit pun dia tak buang masa.
kerana dia betul-betul berazam tinggi.
memang, memang cita-cita dia hebat!


tapi sayang.
sasaran dia adalah itu;
yang kabur itu
yang rapuh itu
yang sementara, langsung tidak abadi
yang kadang-kadang dusta
yang silap gaya bawa dia jauh dari Malik yang satu


mana mungkin kayu yang reput dibuat sandar
mana mungkin DUNIA yang sifatnya sementara dijadikan landasan


aku berdiri memandang ke situ
ke dalam cermin melihat kembali AKU.
kenapa dunia yang aku kejar?
sedang jannah Nya melebihi semua.


sungguh dunia itu penjara bagi orang beriman...



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

MERAHSIAKAN PERKAHWINAN...





“Aku nak kahwin sembunyi-sembunyi.” Fathul suarakan hasratnya kepada saya. Mukanya tidak ada tanda rasa bersalah, malah berseri-seri pula.


Saya pula yang agak terkejut dengan tindakan ‘berani mati’ beliau. Saya katakan berani mati, kerana tindakan beliau yang membelakangi keluarga adalah suatu tindakan biadap dan tidak menepati sunnah. Sedangkan beliau yang saya kenali adalah seorang pemuda yang sangat menghormati keluarga dan kuat mengikuti sunnah.


“Kenapa nak sembunyi-sembunyi?” Soal saya menginginkan jawapan.


“Sebab kedua orang tua sebelah perempuan tak mengizinkan aku mengahwini anaknya.” Jawapan beliau selamba.


“Mak bapa dia tak izinkan mesti ada sebab.” Saya cuba menduga.


“Memang pun, sebabnya ialah aku tak berkerja lagi. Mak bapa dia suruh aku berkerja dulu baru aku boleh masuk meminang.”


“Ha, betullah itu. Alasan mak bapa dia memang rasional. Kalau kau berkahwin dengan anak perempuannya, apa yang kau boleh beri? Kau pun tak berkerja lagi.” Ujar saya membenarkan alasan mak bapa sebelah perempuan.


“Adakah kerana wang menjadi alasan sesebuah perkahwinan itu harus dihalang? Adakah ini ada dinyatakan dalam syariat bahawa wang menjadi syarat sahnya perkahwinan? Bukankah ini yang dinamakan seabgai adhuul, iaitu melarang anak menikah tanpa alasan syari’e.” Fathul membalas hujah saya bertubi-tubi.


“Pertama, aku merasakan alasan kedua orang tua bakal isteri kau masih lagi selari dengan syariat…”

“Mana ada selari dengan syariat. Sedangkan semasa zaman Rasulullah pun sudah ada sahabat baginda yang bernikah hanya membacakan al-Quran sebagai mahar perkahwinannya. Sedangkan ketika tu sahabat ini tidak ada sesen pun.” Fathul memotong cakap saya.


“Cuba dengar dulu perjalasan aku,” Saya memujuk beliau.


“Alasan kedua orang tua bakal isteri kau tak melanggar syariat. Dalam masa yang sama aku tak cakap bahawa seorang lelaki yang tidak ada perkerjaan tetap tak boleh berkahwin. Tetapi dalam hal ini, aku nak tanyakan kepada kau, bersalahkah ibubapa melarang anaknya bernikah dengan orang yang tidak ada pekerjaan tetap lagi? Larangan ini hanyalah disebabkan kekhuatiran mereka yang anak mereka tidak terbela dan terjaga bila berkahwin nanti.


Dari mana kau nak dapatkan duit untuk membelikan pakaian, makanan dan tempat tinggal untuk isteri kau bila berkahwin nanti? Kau ingat kisah Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi bertanyakan hak isteri kepada Rasulullah saw?” Soal saya kepada Fathul.


“Tak.” Fathul jawab pendek.


“Dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Abu Daud ra bahawa Muawiyyah bin Haidah pernah bertanya pada Rasulullah saw. Kata beliau, “Wahai Rasulullah (saw), sebenarnya apakah hak seorang isteri atas diri suaminya?” Kemudian Rasulullah saw menjawab, “Seorang isteri harus mendapatkan makanan sebagaimana yang si suami makan, mendapatkan pakaian sepertimana yang suami pakai. Jangan sesekali memukul wajahnya, jangan menghinanya, serta jangan memisahkan dirinya dengan kalian (para suami) kecuali hanya di dalam rumah sahaja.”


“Nah, semua alasan kedua orang tua bakal isteri kau selari dengan nas yang aku bacakan tadi.” Saya tegaskan lagi, sambil melihat wajahnya.


Wajahnya sunggul, tetapi saya tidak tahu adakah nasihat ini hanya sekadar masuk telinga kiri, keluar telinga kiri semula.


Fathul tak menjawab sedikit pun. Dia terus terduduk, kemudian bersandar ke dinding bilik. Saya merapatkan diri dengannya, kemudian menepuk-nepuk bahunya.


“Aku bukan tidak menyokong tindakan kau untuk mengikuti sunnah. Tetapi jalan kau untuk mengikuti sunnah tidak betul. Sedangkan taat kepada ibubapa selagi mana ia tidak menyalahi syariat adalah sebuah sunnah besar yang wajib kau ikuti.” Fathul menganggukkan kepala. Saya mengharapkan dia memahami apa yang saya katakan.


Saya sendiri berniat untuk berkahwin awal (tidaklah terlalu awal, awal bagi saya ialah 25 tahun dan ke atas), tanpa meminggirkan kedua ibubapa dipermudahkan. Mungkin kisah ini adalah kisah terpencil dari beribu kisah yang membuahkan rasa bahagian dan restu dari kedua belah pihak. Tetapi kisah-kisah terpencil inilah yang selalu digembar-gemburkan, dan sekaligus menjadikan agama sebagai alat dan alasan untuk kepentingan diri sendiri.


Betapa banyak para pemuda terutama mahasiswa yang semangatnya menyala-nyala ingin menegakkan sunnah. Akhirnya memilih jalan nikah segera dan sembunyi-sembunyi. Kahwin muda boleh, tetapi jika ia dilaksanakan dengan restu dan pertolongan ibubapa.


Ramai sahaja kawan-kawan saya yang berkahwin muda, mendapat restu dan pertolongan dari segi kewangan dari ibubapa masing-masing. Tetapi berapa ramai ibubapa yang memahami dan dapat membantu dari segi kewangan seperti itu?


Saya meminta izin untuk pulang. Kemudian saya terhenti seketika di pintu melihat Fathul yang sudah sedikit tenang dan menerima kenyataan. Namun, raut-raut wajahnya masih menunjukkan bahawa beliau runsing dan ragu-ragu untuk membuat keputusan.


“Fathul!” Saya memanggil namanya. Dia mendongak melihat saya di pintu.


“Imam Syafie ra ada berkata, “Sesungguhnya seorang remaja itu dinilai dengan ilmu dan ketaqwaannya,”. Kalau hal ini semakin mengusutkan kepala, habiskan belajar dulu kemudian kerja dan terus masuk meminang. Aku akan jadi orang pertama menyokong kau."


Saya mengakhiri perbualan saya dengan beliau.



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

CINTA YANG DI IKAT....





Dunia kampus memang tidak pernah kering dengan suasana riuh rendahnya para pelajar. Ia adalah alam dunia remaja yang begitu mengasyikkan dalam melayari sebuah perjalanan menuju kedewasaan. Rata-ratanya meredah sebuah perjalanan menuju martabat dan makam kematangan. Kematangan dalam fizikal, berfikir, membuat keputusan dan membina sebuah jati diri seorang insan.


Dalam kehangatan keriuhan suasana tersebut, isu yang paling mendapat perhatian saban waktu adalah isu berpacaran atau berpasang-pasangan remaja lelaki dengan perempuan. Masing-masing sudah mula mengerti alam hati dan jiwa. Menerobos alam percintaan dan suka kepada jantina berbeza. Mula berimaginasi melayari naluri sayang di antara satu sama lain di antara insan dua jantina berbeza. Memiliki keinginan untuk bermanja, dimanja, dan memanjakan seseorang pasangan pilihan. Ingin bersama saban waktu dan ketika di setiap tempat. Mahu sentiasa makan bersama, belajar bersama, berjalan bersama, sehingga membuahkan perasaan tidur juga mahu bersama.


Itulah hakikatnya yang rata-ratanya dialami oleh warga remaja dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar kampus di usia remaja. Di saat jutaan sel dan hormon dewasa di dalam badan mula aktif. Perasaan ingin berpasangan yang semakin membuak-buak. Kehangatan perasaan jiwa yang bukan semakin suam, tetapi terus membara dan membakar hati.


Ya... perasaan tersebut memang sukar untuk surut dan reda. Hati-hati mereka akan terus dibanjiri dengan seribu kekacaaun dan gelojak jiwa ingin bercinta, menyintai dan dicintai. Kehangatan suasana pergaulan masa kini memang suatu faktor yang menjadikan semua itu sukar untuk dikawal. Menjadikan mereka mudah terperangkap dan hanyut.


Betapa dunia kita terdedah dengan pelbagai jenis media massa, media cetak, mahu pun dunia global yang hanya dengan pergerakan jari mampu meneroka seluruh pergolakan dunia. Saban hari pelbagai isu disebarkan yang benar-benar mengganggu ruang hati yang mengajak kepada perasaan yang pelbagai, termasuklah membangkitkan perasaan cinta dan ingin berpasangan. Ditambah lagi dengan realitinya dunia yang sememangnya begitu. Menjadikan hati-hati naluri manusia bergelar remaja begitu mudah dirangsang.


Maka, ia suatu yang bukan lagi menghairankan manusia biasa seperti kita. Di mana setiap kita dianugerahi dengan sifat kasih sayang dan perasaan cinta. Perasaan ingin memiliki dan dimiliki. Terlalu banyak rangsangan dan faktor yang mengarahkan (mengaktifkan) apa yang terpendam tersebut bertindak lebih awal. Seluruh pancaindera berfungsi sepenuhnya dengan menyerap kepelbagaian input tersebut. Maka, lubuk naluri dalaman kita dirangsang sama ada dengan dipaksa berfungsi awal atau pun terlaksana sendiri tanpa kawalan yang mengakibatkan jiwa-jiwa dalaman kita meletup-letup dan membuak-buak.



Asal mula memasang niat untuk membina keluarga. Ingin bersama di masa hadapan dalam sebuah perkahwinan yang indah. Namun, lantaran mahu mengenali hati budi terlebih dahulu, akhirnya jatuh ke lubuk maksiat tanpa disedari. Niat menyelami hati budi, akhirnya terlajak sehingga mengenali hati “body” masing-masing. Habis tubuh dari hujung kaki dan rambut diredah serta dirasa.


Begitulah betapa syaitan menipu manusia dengan senjata perasaan dan naluri cinta yang terkandung di dalam diri-diri manusia itu sendiri. Begitu ramainya remaja kampus kita yang hancur “body”-nya lantaran sebuah cinta. Hancur hatinya akibat mengikuti rasa. Masa hadapannya menjadi samar dan gelita. Perasaan menjadi hambar dan luluh akibat dari sebuah hubungan cinta nafsu semata.


Di dalam menghadapi sebuah suasana ini, penyelesaiannya tidak lain. Iaitu adalah dengan Islam itu sendiri. Dengan sebuah agama yang cukup-cukup sempurna dan tidak terkalahkan. Sebuah solusi yang begitu agung dan mulia. Sebuah agama yang agung, sudah pasti memiliki sebuah pilihan jalan yang cukup-cukup agung dan ulung.


Islam memberi pilihan dengan sebuah ikatan bernama “Pernikahan”.


Namun sayangnya... betapa ramainya para remaja masa kini yang memandang kalimah pernikahan sebagai sebuah perkara yang negatif. Pelbagai alasan yang diberi. Di antaranya:


1 – Belum sampai masanya. Kerana masih terlalu muda.


2 – Belum sampai waktunya, kerana masih di alam pengajian dan mahu menamatkan pelajaran sehingga meraih segulung ijazah terlebih dahulu.


3 – Belum ada duit untuk membina sebuah rumahtangga.


4 – Keluarga masing-masing tidak memberi laluan.


Inilah bentuk-bentuk alasan yang cukup sering kita perolehi dari mulut-mulut mereka. Betapa negatifnya mereka terhadap sebuah alternatif yang cukup-cukup baik lagi sempurna yang telah disediakan oleh agama Islam.


Lalu, mereka memandang positif pula begitu banyak perlakuan maksiat lainnya. Mereka memandang positif sebuah kebersamaan terhadap pasangan masing-masing di segenap waktu dan tempat tanpa sebarang ikatan yang diiktiraf.


Di dalam alasan “belum sampai masanya” tersebut jugalah mereka mengambil masa yang ada bagi melayari sebuah ikatan terlarang. Menghalalkan berpegangan tangan, menghalalkan bersenda-gurau, menghalalkan bermanja suara, menghalalkan duduk berduaan bertentangan mata. Fatwa mana yang mereka gunakan? Yang pasti bukan fatwa agama, melainkan fatwa jiwa yang dirujuk dari orang ketiga bernama Syaitan.


Begitulah remaja-remaja kita hanyut dengan fatwa jiwa masing-masing. Meninggalkan yang halal dengan mengambil yang haram. Memandang yang positif sebagai negatif dan memandang yang negatif menjadi positif.


Akibat sebuah alasan “belum sampai waktunya” itu jugalah, kebanyakan remaja-remaja kita terobek kesuciannya sebelum sampai waktunya. Melahirkan anak sebelum waktunya. Menamatkan pengajian dari kampus sebelum waktunya. Menamatkan zaman daranya sebelum waktunya. Menikmati tubuh jantina berbeza sebelum waktunya. Menikmati naluri seks juga sebelum waktunya. Akibatnya? Anda sendiri jawab...


Sedangkan Allah swt telah menyediakan jalan yang begitu suci dan murni buat orang-orang yang beriman supaya mereka aman di dalam perjalanan kehidupan mereka. Tenang bersama sebuah kehalalan. Memberi jaminan kepada mereka yang menghargai sebuah pemberian. Pemberian Allah yang tiada tolok bandingnya. Iaitu sebuah syariat yang bernama pernikahan.


Setiap insan yang matang sudah pasti mampu melakukannya. Janganlah beralasan dengan alasan bodoh lagi. Mahu mengumpul wang untuk tujuan karut marut sebuah hantaran perkahwinan. Mahu mengumpulkan perbelanjaan bagi tujuan bertukar (berbalas) dulang yang khurafat. Mahu meraih pekerjaan terlebih dahulu bagi membolehkan menyediakan cincin pertuangan dan pernikahan ribuan ringgit yang sebenarnya bertasyabbuh (menyerupai) dengan kaum kristian. Tidak lain, semua itu adalah karut-marut dalam sebuah pernikahan yang telah sedia suci. Selamilah perkahwinan yang dianjurkan oleh agama. Bagaimana Junjungan Besar saw kita memberi petunjuk. Lihatlah bagaimana para sabahat-sahabat ra melayari pernikahan mereka dengan cahaya agama. Sesungguhnya Islam sentiasa menyediakan ruang yang cukup-cukup mudah lagi positif.


Hanya mereka yang befikiran negatif, maka akhirnya kehidupan mereka turut menjadi negatif.


Maka, halalkanlah perhubungan anda bersama gadis mahu pun jejaka pilihan anda dengan ikatan yang halal. Jika takut mengatur rumahtangga di masa awal. Jalanilah dunia remaja anda dengan sentiasa bersama, berpasangan, belajar bersama, makan bersama, saling bertukar pandangan bersama, manja bersama di bawah ikatan pernikahan yang sah. Iaitu dengan tidak terburu-buru untuk menikmati seks di peringkat awal. Kawal perhubungan di dalam pernikahan anda dengn bijaksana. Percayalah bahawa ikatan pernikahan adalah jalan yang terbaik bagi mengelakkan perkara-perkara yang negatif. Ia adalah sebuah alternatif yang sangat positif anugerah dari Allah yang Maha Mencipta dan Maha Mengatur.


Jika anda telah memiliki minda yang positif, maka insya Allah... anda layak menikmati hubungan di antara dua jantina dengan hasil yang juga cukup-cukup positif. Percayalah bahawa nikmat dan rezeki Allah sangat-sangat mencukupi untuk para hamba-hamba-Nya yang benar-benar beriman. Janganlah bersangka dengan sangkaan yang negatif kepada Allah swt dengan bertujuan mengambil yang haram dan meninggalkan yang halal.


Allah swt berfirman, “Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, 24: 32)


Imam Ibnu Katsir rahimahullah memetik perkataan Ali bin Abi Talib ra ke dalam tafsirnya terhadap ayat ini bahawa, “Allah memberi galakkan kepada manusia untuk bernikah. Allah memerintahkan nikah kepada orang-orang yang berstatus merdeka mahu pun hamba sahaya. Allah berjanji kepada mereka akan memberikan kecukupan atau kemampuan untuk menikah.” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)


Rasulullah saw bersabda, “Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang telah mampu mmengeluarkan belanja pernikahan, maka hendaklah dia menikah, kerana menikah itu akan menjaga pandangan dan memelihara kemaluan...” (Bukhari)


Percayalah bahawa rata-rata remaja zaman ini secara umumnya mereka semua mampu mengeluarkan perbelanjaan tersebut jika ia dilaksnakan menurut cara yang syarie dengan meninggalkan pelbagai karut-marut pernikahan yang diwarisi dari adat jahiliyyah. Masakan tidak mampu jika rata-rata mereka sudah mampu mengeluarkan belanja telefon bimbit ratusan ringgit setiap bulan bagi berhubungan dengan pasangan masing-masing. Mengeluarkan ratusan ringgit untuk sebuah perjalanan makan angin bersama. Mengeluarkan perbelanjaan setiap hari untuk makan bersama dan sebagainya. Fikir-fikirkanlah... Bahawa perbelanjaan pernikahan adalah lebih rendah dari semua itu. Malahan, mereka turut dibiayai pelbagai wang biasasiswa dan seumpamanya. Malah, tidak kurang ramai di antara mereka yang telah memiliki perniagaan sendiri. Salurkanlah duit ke jalan yang betul dan bukan dibelanjakan untuk tujuan yang haram. Hiduplah dengan jalan yang diberkati dan penuh pahala saban waktu.


Daripada Ibnu Mas`ud ra, beliau berkata, “Carilah kecukupan rezeki dengan bernikah, kerana Allah berfirman, “Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya.” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir dan ath-Thabari)


Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, “Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka,

1 – Orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya,

2 - Hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya,

3 – Orang yang berperang di jalan Allah.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Lihat Shahihul Jami’, no. 3050)


Malahan, Imam Ibnu Katsir juga turut menjelaskan bahawa Rasulullah saw pernah menikahkan seorang lelaki yang tidak memiliki apa-apa melainkan kain yang dipakainya. Sehinggakan dia tidak mampu walau pun membeli cincin dari besi. Walau pun demikian, Baginda saw menikahkannya dengan seorang wanita dan menjadikan mas kahwinnya berupa al-Qur’an kepada isterinya, kerana hanya itu yang dia miliki. Kita semua sedia maklum bahawa kasih sayang Allah dan kebaikan-Nya adalah memberi mereka berdua kurniaan rezeki yang dapat mencukupkan hidup mereka. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)


Sebagai menutup tulisan ini, pastikanlah pasangan anda adalah seorang individu yang bertanggungjawab dan bersedia meraih kematangan dengan cara yang diiktiraf. Iaitu bertanggungjawab terhadap diri anda dan agama dengan mengambil setiap jalan penyelesaian dengan agama. Yang lebih penting, sentiasa berusaha dan bersedia memperbaiki diri dan kelemahan masing-masing.


Jauhuilah individu yang membelakangkan agama untuk menjadi pasangan anda. Fahamilah bahawa pasangan yang mangajak untuk bersama-sama dalam pelbagai perkara tanpa mendahulukan ikatan pernikahan, bahawa dia sebenarnya adalah individu yang tidak bertangunggjawab. Yang mungkin hanya akan merosakkan anda di masa hadapan.



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Jumaat, 11 April 2014

HARAPAN YANG DI DOAKAN...





saat kata-kata itu menghujani diriku...
aku mengadu pada Mu...
merintih di hadrat Mu..
untuk hatiku yang kelam…
untuk jiwaku yang sakit…
untuk dosa-dosaku dimasa lalu, sekarang dan yang akan datang...


Ya Allah...
pindahkan aku dari hinanya maksiat kepada kemuliaan taat walau pun aku begitu jauh
dari hamba-hamba mulia pilihan Mu...


Ya Allah...
aku bersimpuh dihadapan Mu...
memohon dengan kemuliaan Mu atas kehinaanku...
memohon dengan kekuatan Mu atas kelemahanku...
memohon pengetahuan Mu atas kejahilanku agar Engkau mengasihiku...


inilah wajah pendusta dan pendosa dihadapan Zat Mu...


Ya Allah...
hamba Mu selainku banyak melata, sedangkan aku tidak memiliki Robb selain Mu
tidak ada tempat kembali...
tidak ada yang mampu menyelamatkanku...
selain penyelamatan dari Mu...

Ya Allah...
aku memohon dengan permohonan orang miskin
aku berzikir dengan zikir orang yang rendah hati dan hina dina
aku memohon dengan permohonan orang yang takut dan sakit

inilah sebuah permintaan dari orang yang dirinya merendahkan diri pada Mu...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

BIARLAH RIBUT HANYA DI DALAM CAWAN...





Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa...? Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.


Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada Allah swt, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah saw. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.


Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah swt, dialah yang lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.


Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!


Bila berbeza pendapat, pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka terkapai-kapailah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami disabotajnya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh.


Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit, didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!


Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jelingan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik si isteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa si suami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.


Ego si isteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, si isteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.


Alhasil, cuaca rumahtangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumahtangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibubapaku?


Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita yang dulu.


Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.


Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cintaku masih padamu, kata suami. Dan ini pula cincin zamrud bertahta berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas si isteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.


Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.


Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah swt membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya, “Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”


Carilah di mana Allah swt di dalam rumahtangga mu. Apakah Allah swt masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumahtangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat takwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?


Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah swt. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.


Firman Allah swt, “Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”


Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin! Iman itu seperti mana yang dimaksudkan para hukama, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah swt benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.


Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segera mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah swt darjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.


Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah swt. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah swt. Allah swt benci orang yang takbur.


Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumahtangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.


Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah swt cintakan orang yang merendah diri. Allah swt benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur...!




Wallahu`alam



Jagalah Hati....