Popular Posts

Rabu, 23 Januari 2013

KENANGAN LALU...





Aku akan selalu ingat yang walid selalu melukis rumah di kertas-kertas dan suratkhabarnya selepas menyelesaikan teka silang kata. Lukisannya cantik, dan teliti. Aku selalu kagum dengan lukisan rumah walid. Kata walid "satu hari nanti walid akan beli sebuah rumah banglo seperti lukisan ini". Hari ini aku tersenyum, kerana impiannya itu telah tercapai.


Aku akan selalu ingat yang walid pernah bekerja sebagai seorang buruh. Keluar sebelum subuh, balik subuh berikutnya. Walid selalu jarang ada di rumah, keluar bekerja untuk kami. Kalau ada pun di rumah, walid akan banyak berehat kepenatan. Satu hari kata walid dia bermimpi menjadi seorang guru. Kerana itu dia berhenti kerja dan sambung belajar. Hari ini aku tersenyum, kerana mimpinya itu telah nyata. Alangkah Allah menyayangi walid.


Aku akan selalu ingat ketika aku nyatakan kepadanya aku telah menyukai seorang perempuan. Dalam malu aku mengharap nasihat darinya, nasihat seorang ayah. Dia hanya diam. Aku pun kecewa. Hari berikutnya aku diminta menemaninya ke Kuala Lumpur menaiki bas. Sepanjang perjalanan itulah dia menasihatiku penuh tulus, tentang lelaki, perempuan dan sebuah keluarga. Mana mungkin aku lupa setiap bait katanya.


Aku akan selalu ingat setiap tazkirah subuh darinya. Kami adik-beradik selalu tersengguk-sengguk melayan kantuk, dan kadang rasa bebal terpaksa mendengar leterannya seawal pagi. Kini setelah jauh dari keluarga, waktu-waktu itulah yang selalu aku rindu. Aku rindu saat kami sama-sama tertidur di ruang tamu usai tazkirah kerana terlalu mengantuk, sedang walid keluar ke kedai membeli sarapan buat kami.


Aku akan selalu ingat ketika walid bercerita tentang kesusahan sepanjang hidupnya. Betapa kesenangan hari ini semata rahmat dari Allah. Dia tidak pernah mengatakan kesenangan kami hari ini adalah dari usahanya yang berterusan. Dan yang paling aku ingat saat umi menangis mendengar kata-katanya, "walid berubah selepas berkahwin dengan umi", sambil memegang lembut tangan umi. Selalu aku bertanya pada diri, suatu hari nanti dapatkah aku mencintai seorang isteri setulus walid?



Aku akan selalu ingat, setiap saat kami keluar menjala dan mencari ikan bersama-sama. Aku terlalu rindu menjahit jala buat walid, membuang sampah yang tersangkut di jala, mengutip udang-udang dan bersembahyang di tepi sungai beralas guni. Aku akan selalu ingat saat kami menikmati matahari naik di muara sungai. Alangkah rindunya!



Satu hari walid menasihat -

Jadilah seperti mutiara, yang terdampar jauh di dasar laut. Hanya yang tahu akan mencarinya. Atau jadilah seperti bintang, tinggi di awan menyinari malam. Tetapi harus kau tahu, tinggi bintang itu tak mungkin digapai. Atau sebaiknya, jadilah seperti rumput, yang diragut lembu, yang dipijak manusia, yang dicantas bila tinggi, yang dibakar bila kering. Rumputlah yang tak diendah manusia, namun sebenarnya dilihat Yang Esa.



(Aku cuba puisikan nasihat ini sekian lama. Mungkin nasihat ini harus dibiar sebegini, agar suara walid terus menasihatiku sampai bila-bila...)


wallahu`alam




Jagalah Hati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan