Aku sebenarnya telah memasuki taman terindah yang menghiasi perkarangan mahligai penulisan. Aku sudah melihat pelbagai warna bunga, dan menghidu pelbagai harumannya, dan mendengar pelbagai kicauan merdu haiwan-haiwan. Semuanya di taman itu.
Aku melangkah penuh girang sehingga aku tiba di hadapan mahligai. Ada dua buah pintu besar sebelah-menyebelah. Ada seorang perempuan cantik di antara dua pintu itu tersenyum memandangku.
"Ceritakan tentang dirimu, aku mahu menentukan apa forte mu" Katanya.
Aku yang baru kali pertama mendengar perkataan 'forte' itu terus sahaja bercerita penuh gairah. Perempuan itu diam mendengar penuh prihatin kata-kataku.
"Pintu di sebelah kiriku akan mambawa kamu menjelajahi dunia penulisan penuh sorakan dan tepukan. Ramai penerbit akan mencarimu, dan tulisanmu akan menarik ramai orang untuk membacanya. Bukumu akan jadi tebal-tebal dan penuh warna. Yang lebih penting tulisanmu mudah untuk diterima dan difahami."
"Pintu yang belah kanan?" Soalku.
"Pintu yang di sebelah kanan akan menjadikan kamu seorang perenung, dan pendiam. Tulisanmu akan mendapat tepukan hanya segolongan manusia, yang akan memerhatimu dari awal hingga akhir. Tulisanmu boleh jadi tidak akan difahami manusia sezaman denganmu, atau boleh jadi tidak akan difahami sampai bila-bila. Pilihlah, pintu mana yang kamu mahu masuk."
Aku melangkah ke pintu yang di belah kiri. Perempuan itu senyum padaku dan berkata "kita selalu terkeliru". Aku berhenti melangkah.
Aku langkah ke pintu yang di belah kanan. Sekali lagi perempuan itu tersenyum dan berkata "tulisanmu tidak akan disukai". Aku berhenti semula.
Ketika itulah aku merasakan kembaraku akan berhenti disitu. Di hadapan mahligai itu. Aku jadi tidak berani berundur kerana cintakan tamannya dan aku jadi tidak berani melangkah kerana ragu. Aku diam tak bergerak. Tak adakah siapa-siapa dari dalam yang mahu menyambutku di luar ini? Nescaya aku akan menurutinya.
Akhirnya aku jadi tertanya-tanya, mungkinkah dari pintu mana pun kita masuk, semuanya akan bertemu di ruang tamu juga?
Kita manusia yang selalu keliru...
Wallahu`alam.
Jagalah Hati...
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan