” kalau beginilah sakitnya melahirkan
anak, cukuplah kali ini. Sayang tak perlu mengandung lagi sebab abang tak
sanggup nak tengok..”
Salah satu dialog dalam sebuah kisah, yang saya
sendiri lupa dari mana saya baca. Yang pasti, kisah itu pernah dibaca sewaktu
saya masih bujang. Saya berfikir sendiri, sakit sangatkah proses kelahiran itu?
Dan saya pasti, bukan saya seorang berfikir seperti itu.
Hari ini, selepas sembilan bulan.
Sedar tak sedar, kandungan isteri sudah berada di
trimester terakhir, bahkan sudah berada dalam fatrah boleh bersalin bila-bila
masa sahaja. Tarikh secara rasmi pula hanya berbaki dua hari. Dan saya, menjadi
peneman setia kepada segala apa yang dilalui oleh isteri sepanjang tempoh
mengandung. Sekaligus, saya mendapat jawapan kepada semua soalan saya ketika
bujang.
Hakikatnya
saya dan kaum saya sama sekali tidak akan mampu menyelami kesakitan tersebut.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Lalu timbul satu lagi
persoalan, mengapa Allah takdirkan mengandung itu hanya untuk perempuan?
Firman Allah
ta’ala :
Dan Allah menjadikan bagi kamu
dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari
pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari
benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya
kepada perkara yang bathil, dan mereka kufur pula akan nikmat Allah? (An Nahl
: 72)
Menjadi hikmah Allah, tidak ada lelaki yang boleh
mengandung walau sehebat mana pun dia. Dan menjadi hikmah Allah juga, hanya
wanita boleh mengandung walau selemah mana pun mereka. Tentunya, Allah lebih
tahu, siapa yang lebih mampu untuk menanggung beban dan amanah tersebut.
Merenung kehebatan Allah ini, banyak iktibar yang
boleh diambil.
KEKUATAN DAN KEINGINAN
MENYUMBANG
Di hadapan mata saya, seorang wanita membuktikan
hakikat tersebut. Ketabahan dan kesabarannya selama sembilan bulan, menyedarkan
saya bahawa ‘kekuatan’ itu ukurannya bukan pada tenaga fizikal semata-mata.
Tetapi kekuatan hati dan tekad dalam diri mereka.
Kaum wanita, adalah kaum yang cukup istimewa.
Cara mereka berfikir dan bertindak, adakala jauh lebih baik dari lelaki. Hasil
kerja mereka seringkali lebih kreatif dan teliti. Paling hebat, komitmen mereka
terhadap cinta dan kasih sayang dalam kehidupan.
Akhir-akhir
ini, saya sendiri tidak sanggup melihat kesakitan yang dialami tatkalacontraction menyerang. Belum lagi tentang sakit
pinggang, sakit kaki dan sakit belakang, akibat membawa beban berkilo-kilo
selama berbulan-bulan. Namun dia bukan seorang yang cepat mengalah dan memilih
untuk berada di pembaringan. Kudratnya tetap dikerah meskipun ditegah.
Keinginannya untuk menyumbang adakala membuatkan saya pasrah.
Lantas teringat perbualan dengan seorang teman
tidak lama dahulu. Waktu itu saya bertanya perasaannya setelah bergelar bapa.
” Memang penat. Namun penat
menguruskan si kecil jauh lebih ringan berbanding penat ‘menguruskan’ isteri..”
Di awalnya, saya tidak dapat menangkap maksud
tersirat. Rupanya, sesetengah wanita berperang dengan tekanan tersendiri selepas
bersalin, iaitu tekanan kerana tidak dapat menyumbang dan meringankan bebanan.
Daripada menguruskan diri, menguruskan rumah dan menguruskan bayi, kesemuanya
terbeban di atas bahu suami. Isteri di waktu itu tidak mampu melakukan kerja,
perlu banyak berehat apatah lagi jika masih terkesan dengan rasa sakit.
Jika kurang ketahanan dan motivasi, isteri boleh
mengalami kemurungan dan kesedihan berpanjangan, biarpun suaminya mampu
melakukan semua pekerjaan. Situasi ini akan merumitkan keadaan jika ianya
berlarutan.
Mengingatkan ini, saya beristighfar berkali-kali.
Wanita itu, sudah sembilan bulan menanggung beban. Sudah berpuluh kali menahan
kesakitan. Dan nantinya, bertarung dengan mati pula untuk proses kelahiran.
Sedangkan saya sebagai lelaki, hanya mampu melihat dan memberi sokongan.
Langsung tidak mampu merasai apa-apa kesakitan. Apakah setelah itu, di waktu
tangisan si kecil sudah kedengaran, tubuh yang lemah itu juga hendak diletakkan
beban?
Dia wanita yang kuat dan cekal. Bulan-bulan yang
dilalui, hari-hari yang ditempuhi, menjadikan saya seolah-olah mahu angkat
tabik kepada isteri. Alangkah jika semua itu ditanggung dan dirasai oleh
lelaki, pasti dan pasti tidak akan mampu diharungi sehingga ke saat ini.
Lama sebelum ini, dengan yakin beliau menyatakan
untuk mengkhatamkan Al-Quran, sebagai ‘hadiah’ untuk si kecil yang bakal lahir
nanti. Berjuang dengan sakit dan menghabiskan masanya dengan Al-Quran, beberapa
hari lepas dengan wajah berseri-seri dia memberitahu Al-Quran telah khatam dan
meminta saya membacakan doa khatam Al-Quran untuknya.
Tekad dan semangat yang menakjubkan saya. Sedang
yang sihat, Al-Qurannya tidak pula kunjung khatam.
TEMAN
” Siapa akan jaga nanti berpantang? “
Itu soalan lazim
dari sanak saudara di Malaysia, bila diberitahu tarikh bersalin sudah dekat.
Dan saya, jujurnya tidak pernah memikirkan tentang itu secara serius. Saya tidak
mengharapkan untuk orang lain jaga kerana saya ada. Tentunya tidak sama dengan
keadaan di tanahair, di mana ada keluarga yang akan menjaga.
Memilih untuk bersalin di tanah arab, bererti
bersedia menerima bahawa semua itu memang tidak ada.
Namun Allah datangkan juga insan-insan yang baik
hati memberikan perhatian dan pertolongan. Saya terkesan dengan seorang sahabat
kepada isteri, berpangkat adik. Meskipun tidak kenal rapat sebelumnya, namun
begitu akrab dengan kami. Dari kacamata saya, tingkahlaku seseorang itu sudah
cukup mencerminkan keikhlasannya. Pertolongan yang dihulur dan perhatian yang
diberi, benar-benar menjadikan kami senang hati.
Isteri meluahkan rasa terharu dan saya tersenyum.
Bukan semua orang punya hati seperti itu. Menolong orang tak mengira siapa dan
sanggup bersusah payah untuk orang lain biarpun diri sendiri banyak kerja. Yang
ramai, waktu senang datang bertempek namun tika perlukan pertolongan, menjauh
entah ke mana.
Saya doakan, insan-insan seperti ini diberikan
pertolongan dan rahmat berpanjangan dari Allah ta’ala. Saya teringat satu
hadith Nabi s.a.w bersabda :
” Dan sesungguhnya Allah
sentiasa akan menolong hamba-Nya, selagi mana hamba-Nya itu sentiasa menolong
saudaranya yang lain “
MOTIVASI
Dalam tidak
sabar menunggu tangisan si kecil kedengaran, saat-saat getir sebelum proses
kelahiran juga perlu diberi perhatian. Mahu berada
di situ, perlukan motivasi dan semangat yang kuat. Dan saya dan
keluarga, tidak putus memberikan semangat kepada isteri. Kini contraction sudah
semakin kerap, dan berkemungkinan akan bersalin sedikit masa lagi.
Melihat wajahnya saja, saya yakin akan kekuatan
dari dalam diri wanita tersebut. Nantinya akan ku bisikkan kepada si anak,
bahawa ibumu adalah seorang pejuang yang penuh kental dengan keazaman. Dan catatan ini kelak akan menjadi tatapan, apabila
engkau sudah dewasa dan mula mengenal erti kehidupan.
Wallahu`alam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan