Popular Posts

Selasa, 20 September 2016

ZIKIRULLAH : SUNNAHKAH SECARA BERJAMAAH...?





MUKADIMAH


Melalui artikel ini, saya cuba merungkaikan semula sunnah berzikir dengan memberi penjelasan dan pencerahan terhadap persoalan bagaimanakah sunnah yang sebenar dalam melaksanakan ibadah zikir sekaligus merungkai apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan zikir. Seterusnya ia akan membahaskan (membantah) persoalan berkenaan amalan zikir dengan suara yang dikuatkan (dikeraskan), dinyaringkan, dan dilagukan. Yang mana sebenarnya zikir dengan bentuk suara tersebut adalah sebenarnya menyelisihi sunnah.



Juga akan turut diperbincangkan adalah amalan zikir yang dilakukan secara berjama’ah yang telah menjadi seakan-akan suatu sunnah serta syi’ar agama di kalangan masyarakat Islam di sekeliling kita, yang mana sebenarnya ia bukanlah sunnah tetapi bida’ah.




Pendahuluan


Zikir atau membaca puji-pujian adalah salah satu ibadah yang paling agung. Setelah mengingatkan kaum muslimin akan kenikmatan-Nya di mana ketika diubahnya kiblat mereka dari Bait al-Maqdis dan diutusnya Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam, Allah Ta’ala memerintahkan mereka agar berzikir kepada-Nya:


“Kerana itu, ingatlah kepada Aku niscaya Aku akan ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, serta janganlah kamu mengingkari (kenikmatan)-Ku.” (al-Baqarah, 2: 152)



Pada ayat ini terdapat suatu isyarat bahawa zikir adalah ibadah yang agung, kerana zikir merupakan penzahiran yang nyata terhadap rasa syukur kepada Allah Ta’ala atas kenikmatan besar ini, iaitu dengan diubahnya kiblat kaum muslimin ke arah Ka’bah, dan diutusnya Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w). Dan dalam ayat lain, Allah subhanahu wa Ta’ala (s.w.t.) berfirman:


“Dan laki-laki dan perempuan yang banyak berzikir menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.” (al-Ahzab, 33: 35)



Kerana itulah, kita sebagai seorang muslim meyakini bahawa Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam telah melaksanakan tugas menjelaskan ibadah ini dengan sempurna. Dan mustahil ada kekurangan dalam penjelasan Baginda saw tentang ibadah ini, sama ada kekurangan yang berkaitan dengan jenis, waktu, atau metode/kaedah pelaksanaannya.



Oleh kerana itu, jika kita perhatikan tidaklah ada suatu keadaan atau waktu yang kita dianjurkan untuk berzikir secara khusus padanya, melainkan Baginda saw telah menjelaskan kepada umatnya. Baginda saw telah menjelaskan zikir tersebut lengkap dengan tata caranya. Dimulai dari zikir semenjak kita bangun tidur, sehingga kita hendak tidur kembali. Bahkan di ketika kita terjaga di waktu malam, telah diajarkan dan ditunjukkan/dicontohkan zikir-zikir yang sesuai dengannya. Bila kita membuka pelbagai kitab-kitab kumpulan zikir Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang ditulis oleh para ulama’, nescaya kita akan mendapati bahawa seluruh keadaan manusia dan perbuatannya, sama ada dalam solat atau di luar solat, telah diajarkan zikir yang sesuai dengan keadaan itu. Para pembaca yang budiman dijemput dan dipersilakan membaca kitab al-Adzkar karya/susunan Imam Nawawi asy-Syafi’i.



Berdasarkan suasana semasa di masa ini, selain menjadi kenikmatan, juga ada sebahagian keadaan dan tempat menjadi halangan bagi kita. Sejauh manakah pengamalan kita terhadap sunnah-sunnah Baginda saw dalam berzikir kepada Allah?



Oleh kerananya, tidak ada alasan lagi bagi sesiapa pun untuk mereka-cipta zikir yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Mari kita selidiki hadis berikut, dengan harapan agar kita mendapat pelajaran penting tentang tata cara berzikir:



“Dari sahabat al-Bara’ bin ‘Azib, bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Bila engkau akan berbaring tidur, hendaklah engkau berwudhu’ seperti engkau berwudhu’ untuk solat. Kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu, lalu katakanlah: “Ya Allah, sesungguhnya aku menyerahkan wajahku kepada-Mu, dan menyerahkan urusanku kepada-Mu. Dengan rasa mengharap (kerahmatan-Mu) dan takut (akan siksa-Mu) aku menyandarkan punggungku kepada-Mu. Tiada tempat perlindungan dan keselamatan (dari siksa-Mu) melainkan kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab-Mu yang telah Engkau turunkan, dan Nabi-Mu yang telah Engkau utus.” Dan jadikanlah bacaan (doa) ini sebagai akhir perkataanmu, kerana jika engkau mati pada malam itu, niscaya engkau mati dalam keadaan menetapi fitrah (agama Islam).” Al-Bara’ bin ‘Azib berkata: “Maka aku mengulang-ulang bacaan (doa) ini, untuk menghafalnya, dan mengatakan: “aku beriman kepada Rasul-Mu yang telah Engkau utus.” Nabi pun bersabda: “Katakan: Aku beriman kepada Nabi-Mu yang telah Engkau utus.” (Riwayat al-Bukhari, 5/2326, hadis no: 5952. Dan Muslim, 4/2081, hadis no: 2710)



Al-Bara’ bin ‘Azib salah mengucapkan doa ini di hadapan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Yang seharusnya ia mengucapkan: “Aku beriman kepada Nabi-Mu yang telah Engkau utus”, ia ucapkan: “Aku beriman kepada Rasul-Mu yang telah Engkau utus”. Perbezaannya hanya kata “Nabi” dan kata “Rasul”, padahal yang dimaksudkan dari keduanya sama, iaitu Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam. Walau pun demikian, Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam tidak membiarkan kesalahan ini terjadi, sehingga beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam sendiri menegur sahabat al-Bara’ agar membenarkan ucapannya.



Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa zikir kepada Allah adalah salah satu bentuk ibadah, dan setiap ibadah diatur oleh sebuah kaedah penting, iaitu:


“Hukum asal setiap ibadah ialah tauqif (harus ada contohnya dari Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam)”



Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata:

“Hukum asal setiap ibadah ialah tauqif (harus ada contohnya dari Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam), sehingga tidak boleh dibuat ajaran melainkan yang telah diajarkan oleh Allah Ta’ala. Kalau tidak demikian nescaya kita akan termasuk ke dalam firman Allah:


“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan lain yang mensyari’atkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?!” (asy-Syura, 42: 21)


Sedangkan hukum asal setiap adat istiadat adalah diperbolehkan, sehingga tidak boleh ada yang dilarang melainkan suatu hal yang telah diharamkan oleh Allah. Kalau tidak demikian nescaya kita akan termasuk ke dalam firman Allah:


“Katakanlah: Terangkanlah kepadaku tentang rezeki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan (sebagiannya) halal.” (Yunus, 12: 59) (Lihat: Majmu’ Fatawa, oleh Ibnu Taimiyyah 29/17).



Apabila Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam menegur kesalahan al-Bara’ bin ‘Azib mengucapkan satu kata dalam zikir yang beliau ajarkan, maka bagaimana halnya seandainya yang dilakukan oleh Bara’ bin ‘Azib ialah zikir hasil ciptaannya sendiri?



Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani asy-Syafi’i, berkata:


“Pendapat yang paling tepat tentang hikmahnya Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam membenarkan ucapan orang yang mengatakan “Rasul” sebagai ganti kata “Nabi” adalah: Bahawa bacaan-bacaan zikir adalah bersifat tauqifiyyah (harus ada tuntunannya), dan bacaan-bacaan zikir itu memiliki keistimewaan dan rahsia-rahsia yang tidak dapat diketahui dengan cara qiyas, sehingga wajib kita memelihara lafaz (zikir) sebagaimana diriwayatkan.” (Lihat: Fathul Bari oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, 11/112).



Maksud & Pengertian Zikir



Zikir berasal dari kalimat ذكر، يذكر، ذكرا yang membawa maksud mengingat sesuatu atau menyebutnya selepas terlupa atau berdoa kepada Allah. Zikir juga membawa maksud mengingat sesuatu atau menghafaz sesuatu. Juga dapat dimaksudkan dengan sesuatu yang disebut dengan lidah atau suatu yang baik. (Rujuk al-Qamus oleh Fairuz Abadi, Lisanul Arab, dan Mu’jam al-Wasit)



Menurut Imam an-Nawawi, “Berzikir adalah suatu amalan yang disyari’atkan dan sangat dituntut di dalam Islam. Ia boleh dilakukan dengan hati atau lidah. Afdhalnya dengan kedua-duanya sekali”. (Rujuk: al-Adzkar, m/s. 23)



Zikir juga bermaksud solat, membaca al-Qur’an, bertasbih, berdoa, bersyukur, dan taat. (Rujuk: Lisanul Arab)



Zikir menurut syari’at ialah setiap ucapan yang dilakukan bagi tujuan memuji dan berdoa. Iaitu lafaz yang digunakan untuk beribadah kepada Allah, berkaitan dengan pengangungan terhadap-Nya dengan menyebut nama-nama atau sifat-sifat-Nya, memuliakan dan mentauhidkan-Nya, bersyukur dan mengangungkan Zat-Nya, membaca kitab-Nya, dan berdoa kepada-Nya. (Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, jil. 21, m/s. 220)



Imam an-Nawawi di dalam kitabnya, “Ketahuilah bahawa sesungguhnya zikir tidak hanya tasbih, tahlil, dan takbir, bahkan zikir ialah setiap amalan ketaatan yang dilakukan kerana Allah”. (Rujuk al-Adzkar, m/s. 7)



Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, “Zikrullah bermaksud berterusan melakukan perkara yang wajib atau yang sunat seperti membaca al-Qur’an, membaca hadis, dan mengikuti majlis-majlis ilmu. Seperti yang dinyatakan di dalam Kitab Nuzhatu al-Muttaqin; Zikir meliputi solat, membaca al-Qur’an, berdoa untuk kebaikan di dunia dan akhirat serta menuntut ilmu.” (Fathul Bari, 11/250)




Perintah, Galakkan, Dan Saranan Berzikir



“Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (menyebutlah nama) Allah, dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab, 33: 41-42)



Ayat ke-42 ini mengisyaratkan bahawa berzikir kepada Allah subhanahu wa Ta’ala boleh dilakukan dalam apa jua waktu.



“(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali Imran, 3: 191)


Ayat ini dengan jelas menyebutkan bahawa berzikir kepada Allah subhanahu wa Ta’ala dapat dilakukan dalam segala situasi dan kadaan, sama ada di ketika berdiri, atau duduk, atau ketika sedang berbaring.




Ganjaran Bagi Mereka Yang Berzikir



Allah subhanahu wa Ta’ala amat menyukai golongan yang sentiasa berzikir dan mengingati-Nya. Pelbagai ganjaran dan kedudukan tertentu akan diberikan kepada individu yang sentiasa menjaga dan melaksanakan zikir dengan sebaik-baiknya. Sebahagiannya, dapat kita lihat melalui beberapa dalil sebagaimana berikut,



Allah Menyediakan Ampunan Dan Pahala;


“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” (al-Ahzaab, 33: 35)



Dimasukkan Ke Dalam Golongan Ahli Zikr;


“Dari Abi Sa’id dan Abi Hurairah radhiallahu ‘anhuma (r.a.) bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Bila seorang suami membangunkan isterinya pada malam hari, kemudian keduanya solat dua raka’at, niscaya keduanya dicatat termasuk laki-laki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah.” (Riwayat Abu Daud, 2/33, hadis no: 1309, Ibnu Majah 1/423, hadis no:1335, dan Al Hakim 2/452, hadis no: 3561)



Allah Sentiasa Mengingati Mereka Yang Berzikir;


“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.” (al-Baqarah, 2: 152)



Menurut Sheikh Abdur Rahman bin Nashir as-Sa’di dalam menafsirkan ayat tersebut (Rujuk: Tafsir as-Sa’di), “Zikir kepada Allah subhanahu wa Ta’ala yang paling istimewa adalah zikir yang dilakukan dengan hati dan lisan iaitu zikir yang menumbuhkan ma’rifat kepada Allah, kecintaan kepada-Nya dan menghasilkan ganjaran yang banyak dari-Nya. Zikir adalah puncaknya rasa syukur, oleh kerana itu Allah memerintahkan hal tersebut secara khusus, kemudian memerintahkan untuk bersyukur secara umum seraya berfirman, (maksudnya) “Dan bersyukurlah kepada-Ku”, maksudnya, terhadap apa yang telah Aku nikmatkan kepada kalian dengan nikmat-nikmat tersebut dan Aku jauhkan dari kalian pelbagai jenis kesulitan. Syukur itu dilakukan dengan hati berbentuk pengakuan atas kenikmatan yang diperolehinya, dengan lisan berbentuk zikir dan pujian, dan dengan anggota tubuh berbentuk ketaatan Allah serta kepatuhan terhadap perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.”



Hati Orang Yang Berzikir Dikurniakan Ketenangan;


“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan beramal sholeh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.” (ar-Ra’d, 13: 28-29)



Diberi Kejayaan Dan Keberuntungan;


“Hai orang-orang yang beriman. Apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu berjaya.” (al-Anfal, 8: 45)



Melindungi Diri Dari Gangguan Syaitan;


Banyak sekali zikir-zikir dan doa dari hadis-hadis mahupun al-Qur’an yang menjadi panduan buat kita untuk menjauhkan diri dari gangguan syaitan dalam keadaan dan waktu-waktu tertentu. Sebagimana contohnya adalah ayat al-Qursi dan doa-doa yang lain.


“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (az-Zukhruf, 43: 36)


“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan azd-Dzikr (al-Quran), dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (al-Hijr, 15: 9)



Zikir Menghapuskan Dosa;


Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidaklah seseorang manusia mengamalkan satu amalan yang lebih menyelamatkan dirinya dari azab Allah iaitu dengan Zikrullah.” (Rujuk: Shahihul Jami’, no. 5644, oleh al-Albani)



Berzikir Dengan Perlahan Dan Merendah Diri Adalah Sunnah


Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan berzikirlah (sebutlah) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan senja, dan janganlah kamu menjadi orang yang lalai.” (al-A’araf, 7: 205)



Imam al-Qurthubi al-Maliki ketika menafsirkan ayat ini berkata:


“وَدُونَ الْجَهْر - Dunal Jahri - (tidak mengeraskan suara) maksudnya ialah: tidak meninggikan suara, iaitu cukup dengan memperdengarkan diri sendiri, sebagaimana firman Allah: ‘dan carilah jalan tengah di antara keduanya itu.’ Maksudnya: antara mengeraskan suara dan merendahkannya. Dan ayat ini menunjukkan bahawa meninggikan suara ketika berzikir adalah terlarang.” (al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, oleh al-Qurthubi al-Maliki, 7/355)



Imam Ibnu Katsir menafsirkan ayat ini dengan berkata:


“Maksudnya: berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rasa harap dan takut, dan dengan suaramu (lisanmu) tanpa mengeraskannya, oleh kerana itu Allah berfirman:


“dan dengan tidak mengeraskan suara”, dan demikianlah yang disunnahkan, hendaknya zikir itu (dengan suara) tidak seperti suara memanggil, dan suara yang terlalu keras, oleh kerana itu tatkala para sahabat bertanya kepada rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan mereka berkata: Apakah Tuhan kita itu dekat, sehingga kita bermunajat (berdo’a dengan berbisik-bisik) kepada-Nya ataukah jauh sehingga kita memanggilnya? Maka Allah turunkan firman-Nya:


“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku itu dekat, Aku mengabulkan permohonan orang yang memohon, bila ia memohon kepada-Ku.” (al-Baqarah, 2: 186). (Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, oleh Ibnu Katsir 2/281). Inilah keterangan Ibnu Katsir secara lengkap, dan pada penjelasanya ini, beliau menyebutkan tiga bentuk suara: suara yang tidak keras dan sewajarnya, yang beliau ungkapkan dengan بالقول لا جهرا, panggilan/seruan نداء dan suara yang terlalu keras بليغا جهرا, dan suara yang tidak sampai pada tingkat panggilan dan juga tidak terlalu keras, inilah yang dimaksudkan dalam hadis-hadis dan ucapan para ulama’ yang menjelaskan dibolehkannya mengeraskan suara, bukan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan masyarakat masa ini dengan mengadakan kumpulan-kumpulan zikir berjamaah yang diketuai oleh seorang tekong dengan menggunakan pembesar suara.



Di antara dalil-dalil yang menguatkan pendirian dan prinsip ini adalah hadis riwayat Khalifah Mu’awiyah bin Abi Sufyan radhiallahu ‘anhuma, ia menuturkan:


“Sesungguhnya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam pernah keluar rumah menuju ke suatu halaqah (perkumpulan) sebahagian sahabatnya, kemudian beliau bersabda: Apakah yang membuat kalian duduk-duduk? Mereka-pun menjawab: Kami berzikir kepada Allah dan memuji-Nya atas hidayah beragama Islam yang telah Ia kurniakan kepada kami. Beliau bersabda: Demi Allah, benarkah kalian tidak duduk-duduk melainkan kerana itu? Mereka menjawab: Demi Allah, tidaklah kami duduk-duduk melainkan kerana itu. Beliau bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya aku tidaklah bersumpah kerana mencurigai kalian, akan tetapi Malaikat Jibril datang kepadaku dan mengkhabarkan bahawa Allah Azza wa Jalla membangga-banggakan kalian di hadapan para malaikat.” (Riwayat Muslim 4/2075, hadis no: 2701)



Seandainya para sahabat yang duduk-duduk berjamaah ini berdizikir dengan diketuai oleh seorang tekong, dengan satu suara (jama’i), dan satu bacaan, dan dengan mengeraskan (menguatkan) suara, nescaya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam tidak perlu bertanya kepada mereka tentang apa yang mereka lakukan. Hal ini (sebagaimana diketahui bersama) kerana rumah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam melekat dengan dinding masjidnya, sehingga bila zikir mereka bercirikan zikir yang dikuatkan/dilagukan dengan suara yang tinggi, sudah tentulah akan terdengar oleh Baginda saw, dan beliau tidak perlu lagi bertanya tentang apa yang mereka lakukan.



Juga sama-sama kita renungkan pertanyaan para sahabat kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam: “Apakah Tuhan kita itu dekat, sehingga kita bermunajat (berdo’a dengan berbisik-bisik) kepada-Nya ataukah jauh sehingga kita memanggilnya?”



Bila perbezaan antara ketiga-tiga jenis suara ini telah jelas, maka mari kita renungkan hadis berikut:


“Dari Abi Musa rodiallahu ‘anhu ia berkata: Kami pernah bersama Rasulullah dalam suatu perjalanan, kemudian orang-orang mengeraskan suara takbir mereka, maka Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Wahai para manusia, kasihanilah dirimu dan rendahkanlah suaramu! sesungguhnya kamu tidak sedang menyeru Zat yang tuli dan tidak juga jauh. Sesungguhnya kamu sedang menyeru Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat.” (Riwayat al-Bukhori, 3/1091, hadis no: 2830. Dan Muslim, 4/2076, hadis no: 2704)



Imam an-Nawawi menjelaskan maksud hadis ini dengan berkata:


“Kasihanilah dirimu, dan rendahkanlah suaramu, kerana mengeraskan suara, biasanya dilakukan seseorang, kerana orang yang ia ajak berbicara berada di tempat yang jauh, agar ia mendengar ucapannya. Sedangkan kamu sedang menyeru Allah Ta’ala, dan Dia tidaklah tuli dan tidak juga jauh, akan tetapi Dia Maha Mendengar dan Maha Dekat …Sehingga dalam hadis ini ada anjuran untuk merendahkan suara zikir, selama tidak ada keperluan untuk mengerasakannya, kerana dengan merendahkan suara itu lebih menunjukkan akan penghormatan dan pengagungan. Dan bila ada kepentingan untuk mengeraskan suara, maka boleh untuk dikeraskan, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis.” (Syarah Shahih Muslim, oleh Imam an-Nawawi 17/26).



Dari keterangan Imam an-Nawawi ini kita dapat menyimpulkan bahawa pada dasarnya setiap orang yang berzikir itu adalah dengan merendahkan suaranya, kecuali bila ada alasan untuk mengeraskannya, sebagai contoh misalnya apabila seorang imam yang hendak mengajar dan menunjukkan makmumnya wirid-wirid dan zikir-zikir yang dahulu diucapkan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam asy-Syafi’ rahimahullah. Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh sahabat Ibnu Abbas rodiallahu’anhu di ketika dia menjadi imam dalam solat jenazah dan hendak mengajarkan kepada makmumnya bahawa disunnahkan membaca al-fatihah dalam solat janazah:



“Dari Thalhah bin Abdillah bin ‘Auf ia berkata: Aku pernah mensolati jenazah di belakang (berjamaah dengan) Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, maka beliau membaca surat al-Fatihah (dengan suara keras), kemudian beliau berkata: Agar mereka mengetahui bahawa ini (membaca al-fatihah dalam solat jenazah) adalah sunnah).” (Riwayat Bukhari, 1/448, hadis no: 1270)



Ada pun hadis Ibnu Abbas rodiallahu’anhu:

“Bahawa mengeraskan suara ketika berzikir sebaik sahaja orang-orang mendirikan solat fardhu selesai, biasa dilakukan pada zaman Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan Ibnu Abbas berkata: Dahulu aku mengetahui bahawa mereka telah selesai dari solatnya, bila aku telah mendengarnya (suara zikir).” (Riwayat Bukhari, 1/288, hadis no: 805. Dan Muslim 1/410, hadis no: 583)



Berikut ini adalah perkataan Imam asy-Syafi’i rahimahullah Ta’ala dalam menafsirkan hadis tersebut, 

“Bahawa Baginda saw mengeraskan suaranya dalam beberapa waktu sahaja, ini adalah bagi tujuan mengajar (menunjukkan) sahabatnya cara berzikir, bukanlah bererti mereka (Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dan sahabatnya) sentiasa mengeraskan suaranya. Beliau (asy-Syafi’i) berkata: ‘Saya berpendapat bahawa seorang imam dan makmumnya hendaknya mereka berzikir kepada Allah, sebaik sahaja selesai menunaikan solatnya, dan seharusnya mereka merendahkan suara zikirnya, kecuali bagi seorang imam yang ingin agar para makmumnya belajar (zikir) darinya, maka ia boleh mengeraskan zikirnya, hingga bila ia sudah merasa bahawa mereka telah cukup belajar (memahami zikirnya), ia kembali merendahkannya.’” (Syarah Shahih Muslim oleh an-Nawawi 5/84. Dan Fathul Bari, oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, 2/326. Rujuk juga kitab al-Umm oleh asy-Syafi’i, 1/126-127)




Kesimpulan Imam asy-Syafi’i ini didukung oleh beberapa hal berikut ini:


“Diriwayatkan dari Qais bin ‘Abbad ia berkata: Dahulu para sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam tidak menyukai untuk mengeraskan suara pada tiga keadaan, iaitu: di saat berperang, menghadiri janazah, dan pada saat berzikir.“ (Riwayat Ibnu Abi Syaibah, 6/143, no: 30174, Al Baihaqi 4/74, dan Al Khathib Al Baghdadi dalam kitabnya Tarikh baghdad 8/91)



Imam an-Nawawi dalam kitabnya, at-Tahqiq berkata:


“Disunnahkan untuk berzikir dan berdo’a setiap kali selesai solat (lima waktu) dan hendaknya ia merendahkan suaranya. Bila ia seorang imam dan hendak mengajarkan makmumnya (bacaan zikir) maka ia boleh untuk mengeraskan suaranya, kemudian bila mereka telah cukup belajar (apabila makmumnya telah memahami zikirnya), ia kembali merendahkannya (suaranya).” (at-Tahqiq oleh an-Nawawi: 219).



Ucapan beliau pada kitab ini, menjelaskan maksud dari ucapan beliau pada kitab-kitabnya yang lain, hal ini kerana kitab at-Tahqiq adalah antara salah satu buku yang paling akhir yang beliau tuliskan, sehingga pendapat beliau dalam buku ini harus didahulukan berbanding pendapat beliau pada buku-buku yang lainnya, terlebih lagi apabila dibandingkan dengan kitabnya Syarah Shahih Muslim. (Rujuk: Muqaddimah kitab at-Tahqiq oleh Syeikh ‘Adil Abdul Maujud).



Maka dengan penjelasan ini juga menunjukkan bahawa amalan kebanyakan masyarakat pada hari ini yang menguatkan dan meninggikan suara di kala ketika berzikir adalah suatu kesilapan, kesalahan dan perbuatan yang menyalahi petunjuk as-Sunnah dan wahyu. Serta menyelisihi kalam dan pendirian para imam yang terawal.



Sebagai kesimpulan, kaedah yang benar adalah melaksanakan zikir dengan suara yang perlahan, cukup untuk kita sendiri yang memahami dan mendengarnya. Tidak perlu dikeraskan suara, apatah lagi dilagukan zikirnya dengan nada dan irama-irama yang tertentu..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan