Popular Posts

Khamis, 29 September 2016

SEJARAH KERTAS 3 : RINGKASAN EVOLUSI DASAR LUAR MALAYSIA





Dasar luar negara Malaysia sejak 1957 memperlihatkan perkembangan yang stabil dan mempunyai ciri perubahan ketara mengikut perubahan dalam pengawasan politik Malaysia. Malaysia telah memainkan peranan yang berkesan dalam sistem politik antarabangsa dan setiap tindakan yang diambil adalah berkait rapat dengan dasar domestik negara, iaitu dasar mementingkan keamanan, kebebasan dan semangat kerjasama dalam perhubungan antarabangsa.



Dalam zaman Tunku Abdul Rahman dari 1957–1969, dasar luar negara kita pada waktu itu bersifat antikomunis dan pro-Barat dengan hubungan yang rapat dengan negara-negara Komanwel. Pendekatan ini juga bersumberkan pengaruh keperibadian Tunku yang begitu pro-Barat dan antikomunis, selain situasi dan kondisi politik domestik yang kurang stabil ketika itu.



Era pemerintahan Perdana Menteri Kedua Malaysia dari 1970–1976, dasar luar Negara mulai mengenalkan dirinya sebagai sebuah “Negara Islam”. Beliau telah merintis usaha ke arah peneutralan dasar luar Malaysia dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan hampir semua negara tanpa mengira ideology. Malaysia dikenali sebagai negara berkecuali dan terdorong ke arah kekecualian, kewujudan bersama secara harmoni dan kebebasan. Kita juga mula menjauhkan diri daripada kuasa utama dunia, menekankan semangat serantau dan membina hubungan dan hubungan diplomatik dengan negara komunis.



Di bawah ppentadbiran Tun Hussein Onn (1976–1981), beliau lebih banyak mengekalkan dan meneruskan dasar yang telah diasaskan oleh pemimpin sebelumnya. Dasar luar Malaysia dalam tempoh ini menunjukkan era pengukuhan, di mana kita tidak memihak kepada mana-mana negara. Hal ini bertepatan dengan lingkungan global ketika itu yang sedang bergerak ke arah pengenduran hubungan tegang di antara negara-negara yang sedang berkonfl ik



Perubahan drastik pada dasar luar Malaysia bermula pada era Tun Dr. Mahathir Mohammad (1981-2003). Pendirian dasar luar Negara Malaysia lebih banyak berorientasikan ekonomi daripada sebelum ini, ditambah dengan pembelaan yang kuat dan bersemangat kebangsaan untuk hak, kepentingan dan aspirasi negara membangun serta sokongan daripada Kerjasama Selatan-selatan. Beliau membuat perubahan yang drastik dengan menjadikan Timur sebagai role-model melalui Dasar Pandang Ke Timur. Malahan beliau dengan berani juga pernah mengadakan dasar ‘Buy British Last’



Dasar luar Malaysia di bawah kepimpinan YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003-2009 disifatkan telah melalui proses evolusi yang dinamik. Beliau meneruskan kesinambungan dasar luar Malaysia era Perdana Menteri sebelumnya di samping memperhalusi dan mengkonsolidasi dasar luar sedia ada.



Oleh itu, perkembangan dasar luar negara di bawah kepimpinan perdana menteri yang silih berganti ini menunjukkan tindak balas pragmatik terhadap perubahan geopolitik dan ekonomi pada tempoh tersebut. Untuk terus relevan dengan keperluan negara, dasar luar negara tidak boleh statik. Walaupun perubahan dalam keutamaan menjadi ciri asas bagi dasar luar negara Malaysia, namun kesinambungan juga jelas kelihatan.



Dasar Luar Malaysia Era Dato’ Seri Najib Tun Razak (2003 hingga kini) telah memperlihatkan kesinambungan dasar luar Perdana Menteri sebelumnya, di mana Malaysia masih menekankan pendekatan dasar luar yang proaktif di peringkat antarabangsa. Walau bagaimanapun, Dato’ Seri Najib telah menekankan tentang peri pentingnya mengadakan hubungan dua hala (diplomasi dua hala) dalam pendekatan dasar luar Malaysia. Diplomasi dua hala dikatakan lebih efektif dan telus kerana ianya hanya melibatkan dua negara dalam membincangkan isu-isu yang ada kena mengena di antara kedua-dua negara tersebut. Di samping itu, ia juga dikatakan lebih efektif kerana kurangnya kerenah atau halangan yang boleh membantutkan usaha-usaha ke arah persepakatan dan kerjasama antara dua buah negara yang terlibat. 



Namun demikian, walaupun wujudnya perubahan pemimpin dan pendekatan dalam dasar luar Malaysia tetapi objektif dan matlamat negara tetap sama iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dari segi ekonomi, stabil dari segi politik, dihormati oleh semua masyarakat dunia dan mampu memberikan sumbangan di arena antarabangsa. Bagi mencapai hasrat ini, Malaysia harus mempunyai dasar luar yang bukan sahaja dinamik, tetapi juga berupaya mengubah corak dan oreintasinya, selaras dengan maklumbalas yang diterima oleh Kerajaan dan setimpal dengan tuntutan semasa. Dengan pendekatan ini diharapkan Malaysia akan terus mengorak langkah menuju ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan