Popular Posts

Isnin, 26 September 2016

SPM : PECUTAN SAAT AKHIR II





Saat ini, sedang hangat dengan musim peperiksaan. Antara terma yang biasa kita dengar di musim-musim sebegini ialah “study last minute”. Mudah kata, studi saat-saat akhir. Apa persepsi kita tentang hal ini? Ia sangat sinonim dengan para pelajar tidak kira lelaki atau perempuan, mana-mana bangsa atau agama pun dan di mana sahaja mereka berada.



Justeru, bagi saya – kita boleh manfaatkan masa yang berbaki sebelum memasuki dewan peperiksaan walaupun kita sedang berada di saat-saat “last minute” ini.



Peluang, ruang dan kesempatan yang ada : Manfaatkan!



Last minute, di penghujung masa atau tidak punyai harapan bukanlah suatu yang berbau negatif atau pasif. Walau bagaimana pun persiapan dan persediaan kita – setiap saat yang ada adalah sangat-sangat berharga! Kerana itu, strategi yang baik perlu digerakan agar study last minute boleh kita manfaatkan walaupun kita ini kaki study dan ulat buku.



Apakah strategi tersebut? Saya kongsikan beberapa langkah yang dicedok daripada ahli-ahli studi yang pakar serta terbukti kejayaan mereka. Antaranya :




(1) Enjoy the moment!


“ Jadikan peperiksaan sebahagian daripada hidup anda!”


Rasai, hayati dan bergembiralah dengan musim peperiksaan anda! Secara logiknya, sememang sukar bagi kita untuk merasai seronok dengan peperiksaan. Tetapi, asas inilah yang harus kita letakan di minda dan jiwa.


“ Perlu rasa ghairah, gembira dan seronok untuk melaluinya!.”


Jika mindsetting sebegini menjadi asas kita dalam belajar, insyaAllah – kita akan bertindak dengan bijak dan bersistematik. Tiada lagi tension, gerun, takut dan sebagainya dalam menempuhi peperiksaan!




(2) Fokus, fokus dan fokus


Apa itu fokus?


Saya bersembang dengan seorang sahabat saya, katanya – fokus ibaratnya sebegini :


“ Kamu pegang sekeping talam yang dipenuhi air di dalamnya, perlu membawanya dari satu tempat ke satu tempat tanpa membiarkan walaupun setitis air tumpah ke bawah.”


Kita akan penuh berhati-hati menatang talam tersebut sambil langkahan kaki yang cermat, halus dan tulus. Diri amat-amat tenang dan aman. Serta tiada terburu-buru lagi kalut!


Maknanya – kita harus teliti, memberi 100 % perhatian dan tentunya ada strategi yang praktikal. Boleh kan?




(3) Study Group yang berkesan


Seterusnya, belajar dan buat ulangkaji secara berkumpulan. Mudah sahaja saya ingin sebut tentangnya. Kunci utama kepada study group ialah keberkatan!



Kenapa?



Di sini, wujudnya semangat bantu-membantu, tolong-menolong dan bekerjasama. Bayangkan – suasana gembira, harmoni dan tolak ansur yang sangat baik akan mewarnai perjalanan study group kita jika semuanya bersepakat dan satu hati. Justeru, amat malang bagi mereka yang belajar tetapi tidak pernah ada study group.



Malang dan sangat malang!




(4) Latih tubi yang berterusan


Saat-saat akhir juga, amat penting untuk membiasakan kita dengan format-format kertas peperiksaan dan teknik menjawab. Latih tubi soalan-soalan yang lepas adalah kaedah ulangkaji yang terbaik, praktikal dan menepati suasana musim peperiksaan.



Akar dan dasarnya : – Kita buat, buat dan terus buat latih tubi sehingga kita selesa, yakin dan mampu meramal bentuk-bentuk soalan yang mendatang. Itulah kesan dan hasilannya, Insya-Allah.




(5) Minta keampunan daripada Allah SWT


Musim-musim peperiksaan ini, disamping sibuk dengan studi, ulangkaji dan sebagainya – usahlah kita lupa kepada Sang Maha Kuasa yang menentukan segalanya.



Banyakan memohon keampunan kepada Allah SWT di atas segala kelalaian, kesalahan dan kesilapan kita. Walaupun, kita rasa kita tidak berbuat salah! Sememangnya, kita ini hamba Allah SWT yang banyak dosa dan bintik-bintik hitam di hati.



Solat taubat sebanyaknya dan lazimi istighfar setiap masa dan ketika. InsyaAllah.




(6) Doa, Solat Sunat dan Tawakkal kepada Allah SWT.


Tidak dapat tidak – Kita harus kembali kepada Allah SWT. Sebagai hamba Allah SWT yang lemah, kecil dan kerdil kita perlu mendekati-Nya setiap masa dan ketika.



Firman Allah SWT yang bermaksud :


“Wahai umat manusia, kamulah Yang sentiasa memerlukan kepada Allah (dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (QS 35 : 15)



Solat sunat kita perkasakan, doa dilabuhkan sentiasa dan hubungan sifat tawakkal kita kepada Allah SWT dengan usaha yang semaksima.




(7) Cuba untuk faham, bukan hanya sekadar hafal.


Kajian telah menunjukkan bahawa apabila kita faham sesuatu perkara atau mekanisma, ia akan lebih lama kita ingati daripada hanya menghafalnya sahaja. Sebagai contoh, sekiranya kita membaca bagaimana sistem cardiovascular berfungsi, bermula daripada jantung melalui saluran darah i.e. aorta –> arteries –> arterioles –> capillaries –> veins –> vena cava, kemudian kembali ke jantung, lebih mudah untuk kita lukiskan diatas kertas gambar jantung dan saluran-saluran darah tersebut, kemudian kita cuba fahami dengan membayangkan seolah-olah kita adalah sel-sel darah yang melalui saluran-saluran darah tersebut. Dengan ini lebih membuatkan kita faham bagaimana sistem itu berfungsi dan insyAllah ianya akan lebih lama “melekat” dalam memori kita.




(8) Belajar menggunakan pelbagai deria.


Apabila anda membaca, kebiasaannya anda hanya membaca (menggunakan deria penglihatan sahaja). Ada satu kajian yang saya baca, yang mengatakan bahawa memori kita akan lebih terangsang untuk mengingati sesuatu ilmu tatkala deria-deria kita terangsang. Lebih banyak yang terangsang, katanya, lebih baik. Sebagai contoh, membaca (melihat) sambil menulis nota (rasa dengan jari), lebih baik daripada hanya membaca. Ataupun, membaca sambil membuat nota, dan sambil mendengar musik, mengikut kepada artikel yang dibaca tersebut, adalah lebih baik. Tetapi janganlah kita mendengar kepada musik-musik yang bersuara atau berlirik, ianya akan mengganggu fokus kita, tetapi dengarlah kepada musik-musik instrumental atau bacaan ayat-ayat al Quran yang menenangkan hati dan fikiran kita, dan tidak menghilangkan fokus kita kepada apa yang sedang kita belajar. Saya yakin, teknik ini mungkin tidak berkesan kepada semua, tapi insyaAllah kepada sesiapa yang masih tercari-cari cara untuk mudah mengingat, bolehlah mencuba teknik ini sama ada sesuai dengan anda ataupun tidak.




(9) Tidak mengulangkaji pelajaran atau membaca ilmu baru ketika dalam kepenatan.


Badan manusia ada kapasitinya, ada limitnya. Badan kita berfungsi dengan baik sekiranya ia tidak didalam keadaan kepenatan. Begitu juga dengan otak kita untuk memfokus kepada apa yang kita baca atau lakukan. Pastikan anda mendapat cukup rehat sebelum anda memulakan ulangkaji. Ulangkaji dalam keadaan badan keletihan dan kepenatan hanyalah membuang masa anda. Sekiranya anda rasa badan anda penat dan susah untuk anda memfokus kepada teks-teks yang anda baca, eloklah sekiranya anda tidur sejenak, kemudian bangun semula untuk menyambung ulangkaji, daripada anda meneruskan juga ulangkaji tanpa sedikit pun yang dapat anda ingat dalam memori anda.



Faktor pemakanan juga memainkan peranan penting kepada kesihatan tubuh badan dan keupayaan untuk mengingat. Pastikan anda makan makanan yang berkhasiat. Cuba elakkan makanan ruji dan makanan-makanan yang tidak sihat. Cuba juga untuk kurangkan mengambil minuman-minuman bertenaga i.e. Red Bull, Livita, V, Monster dan sebagainya. Minuman-minuman ini mengandungi banyak caffeine. Terlalu banyak atau terlalu kerap mengambilnya, akan merosakkan badan anda. Tabiaat mengambil kopi yang terlalu pekat dan kuat untuk stay-up malam untuk belajar juga sekiranya boleh, cubalah untuk elakkan.




Alangkah Untungnya Kita


Berbahagia dan beruntunglah kita jika kita telah berusaha semaksima dan bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik. Yakinlah Allah SWT, akan memandang setiap titik peluh kita serta segala usaha untuk memetik kejayaan di penghujungnya.



Jika kita memperolehi kemenangan dan kejayaan yang cemerlang, – Alhamdulillah – bersyukurlah. Jika sebaliknya, – bersabar dan redhalah – kerana tiada istilah kegagalan, kecuali Allah SWT tangguhkan kejayaan sementara waktu agar kita terus berusaha dan berusaha.


Ketahuilah, melalui usaha ini – terdapat banyak pahala dan ganjaran daripada Allah SWT. Itulah Rabb yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.






Wallahu`alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan