Ramai orang ketawa tanpa mahu menyedari Malaikat Maut sedang mengintainya. Ramai juga yang bersegera datang ke saf solat seolah-olah orang yang amat merindukan kekasih. Sayangnya, ternyata ia datang tergesa-gesa hanya agar dapat segera pulang. Seperti penagih hutang yang kejam ia perlakukan Robb nya. Ada yang datang sekadar memenuhi tugas rutin sebagai mesin agama. Dingin, kering dan hampa, tanpa penghayatan. Hilang tidak dicari, ada tidak disyukuri.Dari jahil kita disuruh berilmu dan tidak ada izin untuk berhenti hanya pada ilmu. Kita dituntut beramal dengan ilmu yang ALLAH berikan. Tanpa itu, alangkah besar kemurkaan ALLAH ke atas kita. Berbanggakah kita yang pandai bercakap tentang keheningan senyap diselangi rintih istighfar dengan secupak air wuduk di dingin malam, lapar perut kerana puasa atau kekhuyukkan munajat dalam rakaat-rakaat panjang? Berbanggakah kita dengan petah lidah bertutur,sementara dalam hati kita tiada apa-apa. Kita kunyah mitos pemberian masyarakat dan sangka baik orang ramai yang berhati jernih, kononnya kita adalah seorang soleh, alim, abid lagi mujahid, lalu puas meyakini itu tanpa rasa ngeri. Syaidina Abu Bakar ra selalu gementar saat dipuji orang. "Ya ALLAH, jadikan diriku lebih baik daripada sangkaan mereka, janganlah Engkau hukum aku kerana ucapan mereka dan ampunilah daku lantaran ketidaktahuan mereka", ucapnya sayu.
Mereka telah menukar kerja dengan kata-kata. Dimana kita letakkan diri ini? Saat kecil, kita begitu takut pada kegelapan, suara dan segala yang asing. Begitu kerap kita berdebar-debar gentar dan takut. Sesudah pengalaman dan ilmu makin bertambah, kita pun berani tampil di depan seorang pemimpin tanpa rasa gentar. Semua sudah jadi biasa, tanpa rasa. Telah berapa hari kita hidup dalam lumpur yang membunuh hati kita sehingga getarannya tidak terasa lagi saat maksiat menggoda dan kita menikmatinya?
Malam-malam berharga berlalu tanpa satu rakaat pun kita kerjakan. Usia semakin berkurang tanpa tahap kedewasaan rohani meninggi. Rasa malu kepada ALLAH, di mana kita kuburkan ia? Di luar sana rasa malu tidak punya harga. Mereka jual diri secara terbuka di layar kaca, majalah malah melalui penawaran langsung. Ini potret negeri kita : 228.000 remaja sakit akibat daripada pengambilan dadah. Dari 1,500 responden usia sekolah menengah, 25 % mengaku telah berzina dan hampir separuhnya setuju remaja berhubungan seks di luar nikah asal jangan dengan perkosaan.
Mungkin kita mulai berfikir "Biasalah, bila aku main mata dengan aktivis wanita bila kita lelaki atau sebaliknya di celah-celah rapat umum atau berdialog dalam jarak sangat dekat atau bertelefon dengan menambah waktu yang tidak kau perlukan sekadar melepas kejenuhan dengan gurauan jarak jauh" Betapa biasanya 'dosa kecil' itu dalam hati kita. Ke mana getarannya yang gelisah dan terluka dulu, saat kaca TV menyiarkan segala "kesombongan jahiliyah dan maksiat?" Saat kita muntah melihat lelaki yang bersifat dwi jantina berpakaian perempuan, kerana kita sangat berpegang kata ustaz kita yang mengatakan "bahawa ALLAH melaknat lelaki berpakaian perempuan dan perempuan berpakaian lelaki"
Ataukah takwa berlaku saat berkumpul bersama sahaja, lalu berteriak paling lantang "Ini tidak Islamik" bererti dia yang paling islamik, sesudah itu urusan hanya antara kita dengan diri sendiri, tidak adakah ALLAH disana?
Sekarang kita dikatakan telah menjadi aktivis dakwah yang hebat. Tidak lagi malu-malu tampil di khalayak. Kita dihidangkan dengan cabaran: sangat malu untuk menahan tangan dari pengaruh serta kuasa, apatah lagi godaan tangan lembut wanita yang muda dan segar. Hati sentiasa berbunga-bunga di depan ribuan orang. Lalu, semua gerak harus diambil kira, dan jadilah pertimbangan kita tergadai pada kesukaan atau kebencian orang, walaupun harus mengorbankan nilai terbaik yang kita miliki.
Lupakah kita, jika bidikan ke sasaran tembak melencong hanya 1 milimeter, maka pada jarak 300 meter adakah ia hanya melencong 1 milimeter sahaja? Begitu jauhnya penyelewengan di kalangan awam, sedikit sebanyak kerana para elit agamanya telah salah melangkah lebih dulu. Siapa yang mahu menghormati umat yang "gurunya" membayar beberapa puluh ribu kepada seorang perempuan yang beberapa minit sebelumnya ia setubuhi di sebuah bilik hotel berbintang, lalu dengan mudahnya ia mengatakan "Itu maharku, ALLAH waliku dan malaikat itu saksiku" dan sesudah itu segalanya selesai, berlalu tanpa rasa bersalah?
Siapa yang akan memandang umat yang pendakwahnya bergaya sakan dengan seorang perempuan muda artis penyanyi lalu mengatakan"Ini anakku, kerana kedudukan guru dalam Islam adalah ayah, bahkan lebih dekat daripada ayah kandung dan ayah mertua"
Akankah kita juga menambah barisan kebingungan umat lalu mendaftar diri sebagai 'alimullisan (alim di lidah)? Apa kita fikir sesudah semua kedangkalan ini kita masih merasa selamat dari kemungkinan jatuh ke lembah yang sama?Apa beza seorang remaja yang berzina dengan teman wanitanya dengan seorang alim yang merayu jemaah perempuan dalam aktiviti dakwahnya?
Akankah kita bergantung kepada penghormatan masyarakat awam kerana status kita, lalu kita serang maksiat mereka yang semakin tersudut oleh retorik (bahasa-bahasa indah) yang menyihir? Jika demikian, perasuah jenis apakah kita ini?
Pasti kita pernah melihat sepasang ibu dan bapa dengan anak remaja mereka. Tengoklah langkah mereka di pusat membeli-belah. Betapa besar sumbangan mereka kepada modenisasi dengan banyak mengambil produk junk food, semata-mata kerana nuansa "westernnya".
Adakah kita akan menjadi faqih pendebat yang hebat saat kita memakai pakaian atau kenderaan berjenama barat, dengan perasaan "lihatlah, betapa Jermannya aku". Benar, bukan menjadi persoalan sama ada Jerman atau tidak Jermannya kita, tapi apakah kita tidak lagi memiliki harga diri?
Mahatma Ghandi memimpin perjuangan dengan memakai tenunan bangsa sendiri dan terompah tempatan yang tidak berjenama. Namun setiap kali ia menoleh ke kanan, maka 300 juta rakyat India menoleh ke kanan. Bila ia tidur di landasan kereta api, maka 300 juta rakyat India akan ikut tidur disana.
Kini datang "pemimpin" umat, ingin mendapatkan harga diri dan penghormatan umat dengan pameran kereta, rumah mewah, "kedai emas berjalan" dan segudang aksesori. Saat fatwa diputuskan oleh ulama, telinga ummaht telah tuli oleh dentuman berita tentang hiruk pikuk pesta dunia yang kita ikut mabuk disana.
Akhirnya, kita pun tenggelam bersama mereka yang telah tenggelam suatu masa dahulu… wallahu`alam.
Jagalah Hati….
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan