Popular Posts

Ahad, 24 April 2011

TERIMA KASIH ALLAH...



Terima kasih Allah kerana masih sudi memberi peluang kepada diri untuk terus menghirup udara di alam Mu ini.


Ampuni dosa diri ini ya Allah, culas kami pada perintah Mu, terkadang jarang untuk menyebut nama Mu, lupa untuk beristighfar kepada Mu..


Terima kasih ya Allah kerana masih sudi memberikan kami rakan taulan yang dapat memberi nasihat dan peringatan kepada hati yang kabur ini. Alhamdulillah, diri ini masih mampu untuk menadah tangan bermunajat, masih diberi peluang untuk menangisi dosa-dosa yang lalu dan melihat kebenaran kitab Mu yang diberikan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.


Wahai diri...

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; (1) Dan bulan apabila ia mengiringinya; (2) Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; (3) Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), (4) Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaanNya); (5) Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); (6) Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); (7) Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; (8) Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (9) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (10) (Surah as Syams : 1-10)


Cubalah menjenguk ke luar jendela memerhatikan kebesaran Allah menjadikan alam ini. Alangkah cantiknya bulan yang ditaburi bebintang menghiasi langit di waktu malam. Di sebalik bintang dan bibir langit masih ada lagi bebintang lain yang tidak diketahui bilangannya melainkan Allah. Di sana ada lagi galaksi dan planet, segala jenis tahi bintang, yang rosak binasa, yang terhasilnya planet baru... Maha Hebat pengetahuan Mu Ya Allah, diri yang kerdil ini tidak mampu untuk memikirkannya.


Indahnya siang, sang matahari yang menebarkan cahayanya dengan izin Allah untuk makhluk-makhluk yang mendiami bumi ini. Dengan mata yang terbatas ini, Allah memberikan kenikmatan untuk melihat warna warni dunia ini, dari gelapnya malam, Allah telah menukar pula kepada siang. Dari gelap kepada terang, dan itu juga perumpamaan kepada mereka yang mendapat hidayah dengan mereka yang lemas di dalam kesesatan dan zalim kepada diri sendiri. Terik sang mentari semakin terasa di ubun kepala, mungkin agaknya sudah hampir kita kepada penantian menunggu matahari di Padang Mahsyar. Allahu Allah.. terima kasih kerana masih sudi memberi peringatan kepada diri ini.


Wahai diri...

Seorang hamba Allah telah bertanya, “apa yang engkau mahu?” dan tentunya engkau akan berceloteh panjang memberitahu apa yang diingini:

1. Rumah

2. Kaya

3. Kereta yang besar

4. Jam tangan yang cantik, perhiasan diri yang lengkap, baju yang mahal, berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan, dan lagi... alangkah banyaknya kehendakmu yang tidak terbatas..


Lalu soalan itu ditanya berulang kali. Akhirnya lama-kelamaan kita akan terdiam pula kerana ketidak tahuan apa sebenarnya yang kita inginkan apabila semuanya sudah dipenuhi. Tentu selepas itu dirimu akan terasa kosong pula. Padahal wahai diri, engkau sebenarnya memerlukan cahaya iman yang selama ini selalu ada pasang dan surutnya.


Dan hamba Allah itu bertanya lagi.. "siapa diri engkau sebenarnya?" Wahai diri, engkau hanyalah hamba Allah yang hina, dan sepatutnya engkau tahu apa yang perlu dibuat oleh hamba yang hina yang menyembah kepada Robb nya.


Wahai Diri..


Tentu engkau tidak lagi tahu sampai bila waktu akan diberikan kepadamu, masa yang sudah berlalu itulah sebenarnya umurmu, dan masa yang akan datang bukan milikmu dan engkau tidak tahu sama ada masih diberi waktu untuk menikmatinya. Tidakkah engkau ingin menjadikan hidup ini sesuatu yang bermakna dan memberi manfaat untuk akhiratmu?


Lihatlah tumbuh-tumbuhan, haiwan yang kecil dan besar, mungkin kicauan burung itu sedang bertasbih riang, daun-daun bergeseran memuji Allah dan setiap satunya makhluk Allah yang disangkakan bisu rupanya sedang memuji-muji Allah, tetapi mengapa engkau jarang bertasbih dan memujiNya?..


"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun" (Surah al Isra' : ayat 44)



Jagalah Hati...


Wassalam.









Rabu, 20 April 2011

KEMATIAN SUARA HATI...


Ramai orang ketawa tanpa mahu menyedari Malaikat Maut sedang mengintainya. Ramai juga yang bersegera datang ke saf solat seolah-olah orang yang amat merindukan kekasih. Sayangnya, ternyata ia datang tergesa-gesa hanya agar dapat segera pulang. Seperti penagih hutang yang kejam ia perlakukan Robb nya. Ada yang datang sekadar memenuhi tugas rutin sebagai mesin agama. Dingin, kering dan hampa, tanpa penghayatan. Hilang tidak dicari, ada tidak disyukuri.Dari jahil kita disuruh berilmu dan tidak ada izin untuk berhenti hanya pada ilmu. Kita dituntut beramal dengan ilmu yang ALLAH berikan. Tanpa itu, alangkah besar kemurkaan ALLAH ke atas kita. Berbanggakah kita yang pandai bercakap tentang keheningan senyap diselangi rintih istighfar dengan secupak air wuduk di dingin malam, lapar perut kerana puasa atau kekhuyukkan munajat dalam rakaat-rakaat panjang? Berbanggakah kita dengan petah lidah bertutur,sementara dalam hati kita tiada apa-apa. Kita kunyah mitos pemberian masyarakat dan sangka baik orang ramai yang berhati jernih, kononnya kita adalah seorang soleh, alim, abid lagi mujahid, lalu puas meyakini itu tanpa rasa ngeri. Syaidina Abu Bakar ra selalu gementar saat dipuji orang. "Ya ALLAH, jadikan diriku lebih baik daripada sangkaan mereka, janganlah Engkau hukum aku kerana ucapan mereka dan ampunilah daku lantaran ketidaktahuan mereka", ucapnya sayu.


Ada orang bekerja keras dengan mengorbankan begitu banyak harta dan masa, lalu ia lupakan semua itu dan tidak pernah mengenangnya lagi. Sementara, ada orang yang menderma dengan jumlah yang besar sekali sahaja, tetapi selalu mengungkit-ungkitnya, malahan menyebut-nyebut jasanya itu. Ada orang beramal sedikit dan mengatakan amalnya sangat banyak. Dan ada orang yang sama sekali tidak pernah beramal, lalu merasa banyak amal dan menyalahkan orang yang beramal, kerana kekurangan atau ketidaksesuaian amal mereka dengan lamunan peribadinya, atau tidak mahu kalah dan tertinggal di belakang para pejuang.


Mereka telah menukar kerja dengan kata-kata. Dimana kita letakkan diri ini? Saat kecil, kita begitu takut pada kegelapan, suara dan segala yang asing. Begitu kerap kita berdebar-debar gentar dan takut. Sesudah pengalaman dan ilmu makin bertambah, kita pun berani tampil di depan seorang pemimpin tanpa rasa gentar. Semua sudah jadi biasa, tanpa rasa. Telah berapa hari kita hidup dalam lumpur yang membunuh hati kita sehingga getarannya tidak terasa lagi saat maksiat menggoda dan kita menikmatinya?


Malam-malam berharga berlalu tanpa satu rakaat pun kita kerjakan. Usia semakin berkurang tanpa tahap kedewasaan rohani meninggi. Rasa malu kepada ALLAH, di mana kita kuburkan ia? Di luar sana rasa malu tidak punya harga. Mereka jual diri secara terbuka di layar kaca, majalah malah melalui penawaran langsung. Ini potret negeri kita : 228.000 remaja sakit akibat daripada pengambilan dadah. Dari 1,500 responden usia sekolah menengah, 25 % mengaku telah berzina dan hampir separuhnya setuju remaja berhubungan seks di luar nikah asal jangan dengan perkosaan.


Mungkin kita mulai berfikir "Biasalah, bila aku main mata dengan aktivis wanita bila kita lelaki atau sebaliknya di celah-celah rapat umum atau berdialog dalam jarak sangat dekat atau bertelefon dengan menambah waktu yang tidak kau perlukan sekadar melepas kejenuhan dengan gurauan jarak jauh" Betapa biasanya 'dosa kecil' itu dalam hati kita. Ke mana getarannya yang gelisah dan terluka dulu, saat kaca TV menyiarkan segala "kesombongan jahiliyah dan maksiat?" Saat kita muntah melihat lelaki yang bersifat dwi jantina berpakaian perempuan, kerana kita sangat berpegang kata ustaz kita yang mengatakan "bahawa ALLAH melaknat lelaki berpakaian perempuan dan perempuan berpakaian lelaki"


Ataukah takwa berlaku saat berkumpul bersama sahaja, lalu berteriak paling lantang "Ini tidak Islamik" bererti dia yang paling islamik, sesudah itu urusan hanya antara kita dengan diri sendiri, tidak adakah ALLAH disana?


Sekarang kita dikatakan telah menjadi aktivis dakwah yang hebat. Tidak lagi malu-malu tampil di khalayak. Kita dihidangkan dengan cabaran: sangat malu untuk menahan tangan dari pengaruh serta kuasa, apatah lagi godaan tangan lembut wanita yang muda dan segar. Hati sentiasa berbunga-bunga di depan ribuan orang. Lalu, semua gerak harus diambil kira, dan jadilah pertimbangan kita tergadai pada kesukaan atau kebencian orang, walaupun harus mengorbankan nilai terbaik yang kita miliki.


Lupakah kita, jika bidikan ke sasaran tembak melencong hanya 1 milimeter, maka pada jarak 300 meter adakah ia hanya melencong 1 milimeter sahaja? Begitu jauhnya penyelewengan di kalangan awam, sedikit sebanyak kerana para elit agamanya telah salah melangkah lebih dulu. Siapa yang mahu menghormati umat yang "gurunya" membayar beberapa puluh ribu kepada seorang perempuan yang beberapa minit sebelumnya ia setubuhi di sebuah bilik hotel berbintang, lalu dengan mudahnya ia mengatakan "Itu maharku, ALLAH waliku dan malaikat itu saksiku" dan sesudah itu segalanya selesai, berlalu tanpa rasa bersalah?


Siapa yang akan memandang umat yang pendakwahnya bergaya sakan dengan seorang perempuan muda artis penyanyi lalu mengatakan"Ini anakku, kerana kedudukan guru dalam Islam adalah ayah, bahkan lebih dekat daripada ayah kandung dan ayah mertua"


Akankah kita juga menambah barisan kebingungan umat lalu mendaftar diri sebagai 'alimullisan (alim di lidah)? Apa kita fikir sesudah semua kedangkalan ini kita masih merasa selamat dari kemungkinan jatuh ke lembah yang sama?Apa beza seorang remaja yang berzina dengan teman wanitanya dengan seorang alim yang merayu jemaah perempuan dalam aktiviti dakwahnya?


Akankah kita bergantung kepada penghormatan masyarakat awam kerana status kita, lalu kita serang maksiat mereka yang semakin tersudut oleh retorik (bahasa-bahasa indah) yang menyihir? Jika demikian, perasuah jenis apakah kita ini?


Pasti kita pernah melihat sepasang ibu dan bapa dengan anak remaja mereka. Tengoklah langkah mereka di pusat membeli-belah. Betapa besar sumbangan mereka kepada modenisasi dengan banyak mengambil produk junk food, semata-mata kerana nuansa "westernnya".


Adakah kita akan menjadi faqih pendebat yang hebat saat kita memakai pakaian atau kenderaan berjenama barat, dengan perasaan "lihatlah, betapa Jermannya aku". Benar, bukan menjadi persoalan sama ada Jerman atau tidak Jermannya kita, tapi apakah kita tidak lagi memiliki harga diri?


Mahatma Ghandi memimpin perjuangan dengan memakai tenunan bangsa sendiri dan terompah tempatan yang tidak berjenama. Namun setiap kali ia menoleh ke kanan, maka 300 juta rakyat India menoleh ke kanan. Bila ia tidur di landasan kereta api, maka 300 juta rakyat India akan ikut tidur disana.


Kini datang "pemimpin" umat, ingin mendapatkan harga diri dan penghormatan umat dengan pameran kereta, rumah mewah, "kedai emas berjalan" dan segudang aksesori. Saat fatwa diputuskan oleh ulama, telinga ummaht telah tuli oleh dentuman berita tentang hiruk pikuk pesta dunia yang kita ikut mabuk disana.


Akhirnya, kita pun tenggelam bersama mereka yang telah tenggelam suatu masa dahulu… wallahu`alam.


Jagalah Hati….

Wassalam. 

Selasa, 19 April 2011

INDAHNYA ISLAM...


Sebenarnya, melihat kebaikan dalam segala hal merupakan ungkapan yang biasa. Dalam kehidupan kita sehari-harian, orang sering mengatakan, "Pasti ada hikmah di balik kejadian ini," atau, "Ini merupakan rahmat dari Allah."


Biasanya, ramai orang mengucapkan ungkapan-ungkapan tersebut tanpa memahami erti sebenarnya atau semata-mata hanya mengikuti kebiasaan masyarakat yang tidak ada maknanya. Kebanyakan mereka gagal memahami makna dari kata-kata tersebut atau bagaimana pemahaman itu diamalkan dalam kehidupan kita sehari-harian.


Pada dasarnya, kebanyakan manusia tidak sedar bahawa ungkapan-ungkapan tersebut tidak sekadar untuk diucapkan, tetapi mengandungi pengertian yang penting dalam kejadian setiap hari.


Realitinya, kemampuan melihat kebaikan dalam setiap kejadian, walau apa pun keadaannya -baik yang menyenangkan mahupun tidak, merupakan antara kualiti akhlak yang penting, yang timbul dari keyakinan yang tulus pada Allah, dan pendekatan tentang kehidupan yang disebabkan oleh keimanan. Pada akhirnya, pemahaman pada kebenaran ini menjadi sangat penting dalam memimpin seseorang tidak hanya untuk mencapai keberkatan hidup di dunia dan akhirat, tetapi juga juga untuk menemukan kedamaian dan kebahagiaan yang terus menerus.


Jika kita dianugerahkan pemahaman yang benar akan erti iman, pasti tidak ada kekecewaan pada apa pun yang terjadi dalam kehidupan ini. Sebaliknya, jika seseorang gagal melihat kebaikan dalam setiap peristiwa yang terjadi dan terperangkap dalam ketakutan, kebimbangan, keputus asaan, kesedihan, dan tenggelam dalam kenangan silam, ini menunjukkan kurangnya kemurnian iman. Keresahan sebegini harus segera dinyahkan dan kesenangan yang berasal dari keyakinan yang teguh harus diterima sebagai resam hidup yang penting.


Orang yang beriman mengetahui bahawa peristiwa yang pada awalnya dilihat tidak menyenangkan, termasuk hal-hal yang disebabkan oleh tindakannya yang salah, pada akhirnya akan bermanfaat baginya. Jika ia menyebutnya sebagai "kemalangan", "kecelakaan", atau "musibah", ini hanyalah untuk menarik pelajaran dari sebuah pengalaman. Dengan kata lain, orang yang beriman mengetahui bahawa ada kebaikan dalam apa pun yang terjadi. Ia belajar dari kesalahannya dan mencari cara untuk memperbaikinya. Bagaimanapun juga, jika ia jatuh dalam kesalahan yang sama, ia ingat bahawa semuanya memiliki maksud tertentu dan mudah saja memutuskan untuk lebih berhati-hati dalam kesempatan mendatang. Bahkan jika hal yang sama terjadi puluhan kali lagi, seorang muslim harus ingat bahawa pada akhirnya peristiwa tersebut adalah untuk kebaikan dan menjadi hak Allah yang kekal. Kebenaran ini juga dinyatakan secara panjang lebar oleh Rasulullah saw, "Aku mengagumi seorang mukmin kerana selalu ada kebaikan dalam setiap urusannya. Jika ia mendapatkan kesenangan, ia bersyukur (kepada Allah) sehingga di dalamnya ada kebaikan. Jika ditimpa musibah, ia berserah diri (dan menjalankannya dengan sabar) bahawa di dalamnya ada kebaikan pula." (Muslim)


Hanya dalam kesedaran bahawa Allah menciptakan segalanya untuk tujuan yang baik sajalah hati seseorang akan menemukan kedamaian. Adalah sebuah rahmat yang besar bagi orang-orang beriman bila ia memiliki pemahaman akan kenyataan ini. Seseorang yang jauh dari Islam akan menderita dalam kesengsaraan yang berlanjutan. Ia terus-menerus hidup dalam ketakutan dan kebimbangan. Di sisi lain, orang beriman menyedari dan menghargai kenyataan bahawa ada tujuan-tujuan Ilahiah di sebalik ciptaan dan kehendak Allah.


Oleh itu, adalah memalukan bagi orang yang mengaku beriman bila ia ragu-ragu dan ketakutan terus-menerus kerana selalu mengharapkan kebaikan dari kejahatan. Kejahilan terhadap kebenaran yang jelas dan sederhana, kurang teliti, dan kemalasan hanya akan mengakibatkan kesengsaraan di dunia dan di akhirat. Kita harus ingat bahawa takdir yang ditentukan Allah adalah benar-benar sempurna. Jika seseorang menyedari adanya kebaikan dalam setiap hal, dia hanya akan menemukan kurniaan dan maksud Ilahiah yang tersembunyi di dalam semua kejadian rumit yang saling berhubungan. Walaupun ia mungkin memiliki banyak hal yang mesti diperhatikannya setiap hari, seseorang yang memiliki iman yang kuat, yang dituntun oleh kearifan dan hati nurani tidak akan membiarkan dirinya dihasut oleh tipu muslihat syaitan. Tanpa menghiraukan bagaimanapun, bila pun, atau di mana jua peristiwa itu terjadi, ia tidak akan pernah lupa bahawa pasti ada kebaikan di sebaliknya. Walaupun ia mungkin tidak segera menemui kebaikan tersebut, apa yang benar-benar penting baginya adalah agar ia menyedari adanya tujuan akhir dari Allah.


Berkaitan dengan sifat terburu-buru manusia, mereka kadang-kadang tidak cukup sabar untuk melihat kebaikan yang ada di dalam peristiwa yang menimpa mereka. Sebaliknya, mereka menjadi lebih agresif dan nekad dalam mengejar sesuatu walaupun hal tersebut sangat bertentangan dengan kepentingan yang lebih baik. Di dalam Al-Quran, hal ini disebutkan, "Dan manusia berdoa untuk kejahatan sebagaimana ia berdoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa." (al-Israa`: 11)


Meskipun demikian, seorang hamba harus berusaha melihat kebaikan dan maksud Ilahiah dalam setiap kejadian yang dihulurkan Allah di depan mereka, bukannya memaksa untuk diperbudak oleh apa yang menurutnya menyenangkan dan tidak sabar untuk mendapatkan hal itu.


Walau seseorang berusaha untuk mendapatkan status kewangan yang lebih baik, perubahan itu mungkin tidak pernah dapat di zahirkan. Tidaklah benar jika seseorang menganggap suatu keadaan itu merugikan. Seseorang boleh berdoa kepada Allah untuk mendapatkan kekayaan dengan disertakan niat untuk menggunakan kekayaan tersebut di jalan keredhaan Ilahi. Bagaimanapun, ia harus mengetahui bahawa jika keinginannya itu tidak dikabulkan Allah, itu disebabkan alasan yang hanya di ketahui oleh yang Maha Mengetahui. Mungkin, dengan bertambahnya kekayaan sebelum matangnya kualiti kerohanian seseorang dapat mengubahnya menjadi orang yang mudah diperdaya oleh syaitan. Banyak alasan Ilahiah lainnya- di antaranya tidak langsung disedari atau hanya akan terlihat di akhirat- dapat menjadi dasar terjadinya sebuah peristiwa.


Tidak ada seorang pun yang kebal terhadap segala peristiwa. Biasakanlah untuk melihat bahawa pada akhirnya ada suatu kebaikan dalam sebuah peristiwa yang pada awalnya terlihat merugikan. Walaupun demikian, seseorang perlu ingat bahawa ia tidak akan selalu dapat mengetahui maksud sebuah peristiwa adalah sesuatu yang merugikan. Ini kerana, sebagaimana telah disebutkan sebelumnya, kita tidak selalu beruntung dapat melihat sisi positif yang muncul. Mungkin juga Allah hanya akan menunjukkan maksud keilahian-Nya di akhirat nanti. Oleh kerana alasan itulah, yang harus dilakukan oleh orang yang ingin menyerahkannya pada takdir Allah dan memberikan kepercayaannya kepada Allah adalah menerima setiap kejadian itu - apa pun namanya - dengan keinginan untuk mencari tahu bahawa pastilah ada kebaikan di dalamnya dan kemudian menerimanya dengan senang hati.


Harus disebutkan juga bahawa melihat kebaikan dalam segala hal bukan bererti mengabaikan kenyataan dari peristiwa-peristiwa tersebut dan berpura-pura bahawa hal itu tidak pernah terjadi, atau mungkin menjadi sangat idealis. Sebaliknya, orang beriman bertanggung jawab untuk mengambil tindakan yang tepat dan mencuba semua cara yang dianggap perlu untuk memecahkan masalah. Kepasrahan orang yang beriman tidak boleh dicampuradukkan dengan cara orang lain, yang kerana pemahaman yang tidak sempurna tentang hal ini, mereka tetap akan tidak acuh terhadap apa pun yang terjadi di sekeliling mereka dan optimis tetapi tidak realistik. Mereka tidak dapat membuat keputusan yang rasional ataupun menjalankan keputusan tersebut. Ini disebabkan yang ada pada mereka adalah optimistik yang melenakan dan kebudak-budakkan, bukan mencari jalan memecahan masalah. Contohnya, jika seseorang tidak menyedari pentingnya menjaga keselamatan harta bendanya, walau ia pernah mengalami kejadian pecah rumah, besar kemungkinan akan menjadi mangsa lagi dari kejadian yang sama.


Pastilah cara-cara tersebut jauh dari sikap menaruh kepercayaan kepada Allah dan dari "melihat kebaikan dalam segala hal". Sebaliknya orang yang beriman harus berusaha mengawal sesuatu situasi sepenuhnya. Pada dasarnya, sikap yang menuntun diri mereka ini adalah suatu bentuk "penghambaan", kerana ketika mereka terlibat dalam situasi tersebut, fikiran mereka dikuasai oleh ingatan akan kenyataan bahawa Allah-lah yang membuat peristiwa itu terjadi.


Di dalam Al-Quran, Allah menghubungkan kisah para nabi dan orang beriman sebagai contoh bagi mereka yang sedar akan hal ini. Inilah yang harus dijadikan teladan oleh seorang mukmin. Sebagai contoh, sikap Nabi Hud as terhadap kaum Baginda as yang menunjukkan penyerahan mutlak dan rasa percaya Baginda as yang teguh kepada Allah, walaupun Baginda as diperlakukan dengan sangat teruk.


"Kaum 'Aad berkata, 'Wahai Hud, kamu tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang nyata, dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana perkataanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu. Kami tidak mengatakan melainkan bahawa sebahagian sembahan kami telah menimpakan penyakit gila atas dirimu.' Nabi Hud menjawab, 'Sesungguhnya, aku menjadikan Allah sebagai saksiku dan saksikanlah olehmu sekalian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan dari selain-Nya, sebab itu jalankanlah tipu dayamu semuanya terhadapku dan janganlah kamu memberi tangguh kepadaku. Sesungguhnya, aku bertawakal kepada Allah, Robb ku dan Robb mu. Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya, Robb ku di atas jalan yang lurus.' Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu apa (amanat) yang aku diutus (untuk menyampaikan)nya kepadamu. Dan Robb ku akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain (dari) kamu; dan kamu tidak dapat membuat mudarat kepada-Nya sedikit pun. Sesungguhnya, Robb ku adalah Maha Pemelihara segala sesuatu." (Huud: 53-57)

Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.

Jumaat, 15 April 2011

INDAHNYA ATURAN ALLAH...


Jika kita dapat berhenti sejenak kemudian memikirkan tentang kehidupan kita, kita akan menyedari bahawa semua ingatan kita  dan apa yang pernah kita fikir penting, atau yang benar-benar kita kejar, atau yang cuba kita hindari, kini semuanya hanyalah sebahagian dari masa silam. Apa pun yang mengingatkan kita pada perbuatan lalu dan perasaan ini, ia hanyalah kenangan.


Namun dalam perkiraan Allah, setiap kata yang kita ucapkan dan setiap fikiran yang terlintas dalam benak kita telah diketahui-Nya. Setelah mati, sebagaimana masing-masing telah ditetapkan waktunya, rakaman setiap tindakan kita akan ditayangkan di hadapan kita. Yang akan terlihat dari kehidupan kita hanyalah terdiri atas detik demi detik, tanpa terlewat satu saat pun. Dalam perkiraan Allah, tidak ada perincian hidup kita yang terlepas dari dirakam.


Jika dalam setiap aspek kehidupan, kita menghabiskan hidup dengan berserah diri kepada kekuasaan mutlak Allah, menerima tujuan penciptaan-Nya, kemudian menyedari kebaikan dalam segala hal, serta sedar akan kesempurnaan dalam setiap rencana Ilahiah yang ditetapkan oleh Allah, kita dapat memastikan bahawa hasil akhir kita akan baik, insya Allah.


Hal itu kerana di saat kematiannya, manusia dihadapkan pada dua pilihan; jika yang satu telah dijalankan dengan nilai-nilai yang dinyatakan oleh Allah, ia akan mendapatkan keselamatan abadi. Jika tidak, ia akan menderita kesengsaraan tidak berhujung. Akhlak yang Allah minta kita untuk melaksanakannya adalah berupa rasa syukur terhadap-Nya dalam setiap hal, tidak mengira apa pun situasi dan keadaannya. Allah mahukan agar kita meyakini bahawa pasti ada kebaikan dalam segala hal yang menimpa kita dengan menyedari bahawa semua itu berasal dari Allah.


Menerima apa pun yang menimpa kita dan meyakini bahawa ada kebaikan dalam setiap kejadian walaupun kelihatan merugikan, malahan bersyukur untuk semua itu, bukanlah hal yang mustahil untuk dilakukan. Ia adalah kebenaran yang disedari melalui pemahaman akan kebesaran dan keagungan Allah. Seseorang hanya perlu mengenal Robb nya- Pencipta alam semesta dan peristiwa apa pun yang terjadi di dalamnya serta bersyukur atas semua itu.


Sejak pertama kali seseorang membuka matanya di dunia, Allah jualah yang menetapkan setiap peristiwa yang terjadi dalam kehidupannya. Allah  yang Maha Kuasa, Maha Bijaksana, dan Maha Adil. Semua diciptakan Allah dalam rangka memenuhi rencana-Nya dan untuk tujuan Ilahiah, sebagaimana difirmankan Allah, "Sesungguhnya, Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran” (al-Qamar: 49)


Dalam cahaya kekuasaan dan kehebatan Allah yang tiada batasnya, manusia hanyalah makhluk yang lemah. Tanpa kemurahan dan kasih Allah, ia tidak akan mampu bertahan. Melalui kemampuan untuk memahami dan mempertimbangkan, manusia dapat memahami sesuatu hanya seluas apa yang diizinkan Penciptanya. Adalah sebuah keharusan bagi kita untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah dan maksud-maksud Ilahiah yang telah ditetapkan-Nya. Apa pun yang kita alami dalam hidup ini, kita harus tetap ingat bahawa Allah adalah Robb yang menguasai seluruh alam semesta dan Dia mengetahui, melihat, dan mendengar apa yang tidak dapat kita ketahui, lihat, dan dengar; dan bahawa Allah mengetahui sesuatu yang akan terjadi dan tidak kita sedari. Demikianlah, kita menyadari bahawa Allah yang menyebabkan terjadinya setiap peristiwa sesuai dengan tujuanNya, iaitu untuk kebaikan kita.


Dengan meyakini hal ini, kita akan memiliki perkiraan yang lebih baik. Dengannya, kita merasa bersyukur atas segala yang terjadi pada diri kita. Dengan kata lain, seseorang akan berupaya untuk melihat kebaikan dalam segala sesuatu yang didengarnya, dilihatnya, dan menimpanya. Dalam setiap fasa kehidupannya, ia akan memahami kehidupan ini secara benar dan tepat. Ia dapat membuat keputusan yang benar antara apa-apa yang ditawarkan kepadanya. Dalam Quran digambarkan, "Sesungguhnya, Kami telah menunjukkan jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir." (al-Insaan: 3) Kehendak manusia dan kehendak Allah mencapai hasil akhir yang mulia, yakni kehidupan abadi di syurga.



Tujuan penulisan kali ini adalah untuk menebarkan indahnya cahaya kehidupan dengan menyedari bahawa ada kebaikan dalam setiap fasa waktu dan peristiwa yang dialami seseorang, serta untuk mengingatkan diri kita akan keberkatan perhitungan hidup ini, baik di dunia mahupun di akhirat. Moga setiap hari, walau sesukar mana pun dilalui, kita dapat berkata, "Ada kebaikan di dalamnya." Tidak hanya dengan kata-kata, tetapi juga dengan hati. Ia menunjukkan kesabaran dalam menghadapi kesulitan dengan penuh ketundukan dan rasa syukur, bukan hanya terus-menerus menderita dalam situasi demikian. Mengingatkan satu sama lain tentang kesempurnaan takdir yang telah dituliskan oleh Allah adalah ajakan bagi semua kaum mukminin agar menikmati indahnya penyerahan diri pada kebijaksanaan Allah yang tidak terhingga.

Jagalah Hati...

Wassalam.

Khamis, 14 April 2011

SEMUANYA TIDAK BERLAKU DENGAN SIA-SIA...


ALLAH s.w.t. berfirman maksudnya, “Apa pun musibah yang menimpa (manusia) tidak lain melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan membimbing hati orang berkenaan.” (at-Taghabun: 11)


Bagaimanapun, sepanjang mendepani kehidupan yang bersimpang siur antara kesenangan dan kesulitan, kita kadang-kadang lupa mengenai hakikat keizinan Allah s.w.t. dalam apa juga yang melanda.


Memang Allah tidak memfitrahkan kepada umat manusia satu kehidupan yang begitu mudah. Dia menetapkan kesusahan dan kesenangan sebagai satu pakej berkembar.


Tidak manusia, hatta Rasul dan wali-wali, diberikan hak istimewa untuk memilih hanya elemen kesenangan. Jika tidak, masakan Rasul dan wali-wali-Nya ikut bergelumang dengan pahit getir kehidupan.


Ada sebab musababnya mengapa Allah s.w.t. menetapkan sedemikian.


Hanya mereka yang benar-benar memahami dan berbaik sangka terhadap Allah s.w.t. mampu menerima setiap ketentuan ke atas diri dengan penuh redha. Malah wali Allah, atas dasar redha inilah, sering menemui kegembiraan di dalam setiap musibah yang menimpa mereka.


Rabiatul Adawiyah misalnya, iaitu seorang yang dikatakan mencapai taraf wali Allah, ketika ditanya mengenai maksud `redha’ menjelaskan bahawa seseorang itu dikatakan benar-benar mencapai taraf redha apabila darjah kegembiraannya ketika ditimpa musibah sama dengan darjah kegembiraannya ketika mendapat kesenangan.


Di dalam al-Quran, berkali-kali Allah menyebut mengenai ujian terhadap umat manusia. Firman-Nya yang lain bermaksud, “Setiap diri akan berasa kematian dan kami ujikan sekalian kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu percubaan dan kepada Kamilah kamu sekalian akan kembali,” (Al-Anbiya’: 35)


Nabi Muhammad s.a.w. juga mentarbiyahkan umatnya dengan memberi kefahaman serta kesedaran bahawa apa juga musibah yang menimpa adalah daripada Allah s.w.t. Semua itu tidak berlaku dengan sia-sia. Ada ganjaran bagi mereka yang sabar dan redha.


Sabda baginda bermaksud, “Setiap orang Islam yang ditimpa bencana sama ada terkena duri atau lebih berat daripada itu, ia adalah semata-mata ujian, kerananya Allah s.w.t. akan menghapuskan perbuatan kejahatannya dan menggugurkan dosa-dosanya sebagaimana pokok kayu menggugurkan daunnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Malah menurut baginda, ujian Allah s.w.t. tidak terbatas kepada musibah atau kesusahan semata-mata. Bebanan ujian Allah s.w.t. menerusi nikmat kesenangan, kekayaan dan pangkat kebesaran terhadap seseorang, dalam banyak kes dan keadaan, ternyata jauh lebih `berat dan membebankan’ berbanding ujian dalam bentuk kesusahan atau kesakitan.


Sabdanya bermaksud, “Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (Riwayat at-Tirmizi)


Kefahaman sejati mengenai hakikat ujian yang disemai Rasulullah s.a.w. inilah menjelmakan keredhaan tulen di kalangan peribadi Muslim. Ia juga menjadi sumber kekuatan umat pada zaman kegemilangan Islam ketika era Rasulullah s.a.w. dan selepasnya sehingga mereka bukan sahaja lahir sebagai da`i (pendakwah) menyebarluaskan syariat Allah di serata pelosok maya, malah muncul sebagai ilmuan, pedagang, pentadbir dan negarawan.


Dengan memahami hakikat keizinan Allah s.w.t. dalam setiap kejadian dan redha terhadap semua ketentuan tanpa bertawakal membuta tuli, mereka memacu kehidupan sebagai umat gemilang dan kekal istiqomah pada perjuangan.


Sebagai pejuang menegakkan dan mempertahankan setiap inci bumi Islam atau menyebarkan ajaran tauhid, mereka tidak gentar dek kemilaunya mata pedang atau tajamnya busur panah musuh.


Sebagai pedagang, mereka tidak gentar dek tingginya gelombang atau ganasnya ribut padang pasir. Mereka yakin, tidak ada yang lebih hebat dan Maha Perkasa berbanding Allah s.w.t.


Di tangan-Nyalah segala ketentuan. Dialah yang mencorakkan qada dan qadar. Mereka akur bahawa semua kesusahan dan kesenangan adalah ujian Allah s.w.t. Dan setiap ujian itu mempunyai kaitan langsung dengan darjah keimanan.


Malah di dalam al-Quran sendiri, apabila Allah s.w.t. menyebut mengenai ujian, Dia banyak mengaitkannya dengan keimanan. Perhatikan firman-Nya yang bermaksud, “Dialah Tuhan yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (Al-Mulk: 2)


Malah di dalam ayat lain, Allah s.w.t. seolah-olah menempelak manusia dengan firman-Nya bermaksud, “Alif Lam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata `kami beriman’ sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah mengenai orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui mengenai orang yang berdusta”. (Al-Ankabut: 1-3)


Ayat ini memahamkan kita bahawa keimanan tidak cukup sekadar ungkapan lisan atau diwar-warkan begitu sahaja. Ujian yang ditimpakan oleh Allah s.w.t. adalah garis penentu keutuhan keimanan seseorang hamba-Nya. Sekadar ucapan di bibir tanpa kemampuan meloloskan diri terhadap apa juga ujian, bagi Allah s.w.t., mereka adalah `orang yang berdusta’.


Sebenarnya, ujian dalam sesetengah keadaan, terutama dalam bentuk kesenangan dan kemewahan, banyak menumpaskan manusia. Peribadi yang suatu ketika beriman, mungkin sahaja menjadi kufur akibat tidak tahan dek asakan keseronokan dan keasyikan palsu.


Bagaimanapun, mereka yang telah benar-benar menemui intisari agamanya akan tegap teguh mempertahankan keimanan walau sehebat mana ujian mendatang, sama ada dalam bentuk kesusahan atau kesenangan.


Inilah yang difirmankan oleh Allah s.w.t. bermaksud, “Orang beriman dan tidak mencampuri imannya dengan kejahatan, mereka itulah yang akan mendapat keamanan dan mereka itulah orang yang terpimpin.” (al-An`am: 78-82)


Untuk itu, demi kelangsungan hidup atas jalan lurus sepanjang masa dan dalam apa juga keadaan, memahami hakikat ujian susah serta senang sebagai satu pakej berkembar kehidupan, mampu menjadikan diri kita sebagai peribadi yang diterima Allah s.w.t. wallahu`alam



Wassalam

Jagalah Hati…

Isnin, 11 April 2011

SENYUMLAH...


BUKANLAH sukar untuk menghadiahkan sebuah senyuman, tetapi kita sendiri yang  menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah swt. Malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah saw, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah laku Baginda saw.


Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda saw yang jarang diungkapkan oleh para pendakwah, iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah saw memberi kesan positif yang sungguh luar biasa.


Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah saw dalam misinya sebagai penyebar risalah Tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda saw. Disebabkan itu, Rasulullah saw dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda saw dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Para sahabat r.a. adalah saksi kehidupan Rasulullah saw yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah saw ialah Syaidina Umar. Kata Syaidina Umar, “Rasulullah saw tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.” (diriwayatkan Ibnu Hibban)


Seorang lagi sahabat Rasulullah saw, Abdullah bin Al-Harith menyatakan, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah saw” (riwayat At-Tirmizi). Cucu kesayangan Baginda saw, Syaidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah sepertimana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata, “Aku bertanya kepada ayahku (Syaidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah saw terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda sentiasa tersenyum, luhur budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas.”


Rasulullah saw walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Syaidatina Aisyah berkata, “Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah saw.


Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda, Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah saw: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati.


Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?” Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat dari sudut adab dan ilmu. Ucapan Rasulullah saw mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah.


Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda saw adalah menjelas dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya. Kerana Baginda saw sudah dianugerahkan sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda saw memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak disukainya.


Baginda saw bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda saw, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya. Begitu indah akhlak Rasulullah saw, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria.


Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda saw adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda saw yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah saw kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit.


Ketegasan Baginda saw juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan). Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah saw memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah saw kerana Baginda saw menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah saw untuk minta pembelaan atas wanita itu.


Kemudian Rasulullah saw bersabda: “Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah? Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda saw berdiri dan berkhutbah: “Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya”.


Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah saw sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan. Wallahu`alam.


Jagalah Hati…

Wassalam.