Popular Posts

Isnin, 5 Disember 2011

INILAH DIRIKU...


SEGALANYA BIARLAH PULANG KEPADA ALLAH SWT JUA...



Dan tulus doaku

kepada Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang,

tatkala namaku meniti di bibir mereka,

jadikanlah ingatan mereka kepada Mu Ya Allah,

tatkala nama timanganku mereka ucapkan,

pautkanlah ingatan mereka kepada Mu Ya Allah,

tatkala wajahku ditatapi oleh mereka,

segera ingatan mereka mengingati Mu Ya Allah,

tika mereka melihat senyumanku dan gundahku,

segera mereka berzikir kepada Mu Ya Allah,

tatkala mereka membaca emel, sms, luahan dan tulisan dariku,

pasakkanlah ingatan mereka kepada Mu Ya Allah,

tatkala mereka membuka web blog ini,

jadikanlah ingatan mereka hanya kepada Mu Ya Allah,

dan tatkala mereka membaca tulisan ini,

mereka akan mengingati Mu dan membesarkan Mu Ya Allah,



Ya Allah,

apa sahaja yang bersangkut dengan diriku dan kaitannya dengan mereka,

jadikanlah ia sebagai pemangkin cinta kepada Mu…

semata mencari keredhaan Mu Ilahi…

di segenap ruang kehidupan ini…



Tiada dayaku Ya Allah,

melainkan kekuatan dari kekuatan Mu Ya Allah,

melainkan kasih sayang yang Kau limpahkan kepada kami…



Ya Allah,

pautkanlah hati-hati kami pada jalan Mu yang sebenarnya,

Titipkanlah kemesraan di antara hati-hati ini,

Semata-mata mencari butir-butir permata hikmah,

jadikanlah kami hamba yang sabar dan bersyukur kepada Mu,



Ya Allah,

berkatilah dan redhailah kami…

titipkan kemesraan untuk kami,

jauhkan kami dari hasad dengki dan buruk sangka,

anugerahkan kami ketenangan dan kebahagiaan Ya Allah,

agar dapat kami merasai,

sucinya cinta kasih Mu Ya Allah…



Ya Allah,

Sejukkanlah gelora hati ini

Dengan salji keyakinan

Padamkan gelojak api jiwa ini

Dengan air keimanan

Berikanlah rasa damai

Pada jiwa yang dalam kegelisahan ini

Tunjukkanlah penglihatan ini

Menuju cahaya Mu

Bimbinglah kesesatan ini

ke arah jalan Mu Ya Allah…jalan orang-orang yang Engkau redhai…




Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam.

MONOLOG SEJADAH CINTA...




Sebelum dimulakan tulisan buat kesekian kalinya, “Apa pun yang terjadi patut di syukuri…”, itulah pesanan penulis weblog ini untuk diri sendiri dan saudara semuslim yang membacanya...


Adakah benar ada manusia yang selalu bersyukur atas segala kesedihan yang menimpa dirinya...??


Hal itulah yang pertama kali terlintas di fikiran si gadis...


Awalnya dia adalah seorang gadis naif yang takut akan goresan-goresan luka dari belati yang bernama “cinta”…


Kerana cinta, dia yang biasa menikmati indahnya suasana gerimis senja menjadi yang paling di takuti di dunia…


Kerana cinta, dia menjadi seorang gadis yang sering di permainkan lelaki-lelaki iblis berwajah malaikat...


Kerana cinta, senyum tulus dari hatinya yang suci menjadi senyum kaku penuh kebencian dari penyihir yang hidup di sudut hatinya yang gelap.


Kerana cinta, kebahagiaan si gadis lenyap di telan gelapnya malam. Dia benci setiap kerdipan bintang-bintang dan lembutnya cahaya bulan yang menyentuh wajahnya yang pucat.


Kerana semua perkara tersebut telah membunuh si gadis dalam ketidakberdayaan cinta...


“Aku takut di sakiti, selama itulah aku tidak akan membuka relung hati ini untuk jatuh cinta lagi…”, kata si gadis seolah-olah serik dengan cinta.


Tetapi, kata-kata lelaki itu membuat si gadis benci untuk mengakui bahawa hatinya berkata…”Aku ingin mengenal dirinya”


Kenapa si gadis begitu mudah percaya untuk menitipkan hatinya yang telah patah sayap itu..?


Kenapa si gadis begitu mudah percaya dia mampu menyembuhkan luka dari serpihan kaca-kaca kebencian yang selama ini memendam di hatinya...?


Kenapa si gadis merasakan bahawa dia mengerti sindrom patah hati kronik yang pernah dideritainya...?


Dan kenapa si gadis merasakan bahawa, “Aku telah jatuh cinta...”


Si gadis bermonolog sendirian, “Tidak banyak yang aku ketahui dari dirinya, tetapi kenapa aku sebegini mudah untuk jatuh cinta lagi...??”


“Ya Allah…ada sesuatu pada dirinya yang menarikku untuk menggapainya...?”


“Bolehkah aku membuka kembali hati ini untuk sedikit cinta buat dirinya...?”


“Tapi…masihkah aku takut terluka...?”


Lewat malam itu, si gadis terus menerus melantunkan monolognya... “Dengarkan nyanyian hati ini wahai jiwa yang aku damba. Disini aku terus memanggil namamu dari degup jantung kehidupanku, tersenyum padamu bersama lantunan doa-doa cinta di bibirku dan berusaha menjaga mimpi-mimpi malam mu dengan keterjagaan solat malamku…”


“Ya Allah…apabila aku adalah yang terbaik untuk dirinya, biarkanlah aku hidup di sampingnya. Mendengar debaran degup jantungnya yang seirama dengan degup jantungku dalam menyerukan nyanyian cinta Mu”


“Ya Allah…apabila Lailatul Qadar Mu adalah hadiah terindah di bulan suci Ramadhan, maka dialah lailatul qadar ku”


“Ya Allah…apabila seorang Syadatina Aisyah ra berjanji akan memperlihatkan auratnya dari hujung rambut hingga hujung kakinya hanya kepada Rasulullah saw, maka aku adalah wanita paling daif yang dengan ikhlas menitipkan hatiku yang bersayap putih bersinarkan cahaya syurga ini hanya padanya”


“Ya Allah…salahkah aku berkata, ini bukanlah cinta yang Engkau haramkan, tetapi ini adalah anugerah terindah yang Engkau halalkan. Aku tidak merasakan ini adalah rindu-rindu orang kafir pada kemaksiatan, tetapi ini adalah pesan dari syurga yang harus ku titipkan di nafasku”.


“Aku mohon ya Allah…biarkan aku hidup dan bernafas untuknya. Bila suatu saat nanti aku mati bersama cintanya, atas keagungan Mu, cintaku tidak akan mati  bersama jasad ini. Tidak seperti cinta-cinta ku yang dulu yang datang dan pergi sesuka hatinya. Kerana cintanya bukanlah luka…”


“Ya Allah, aku bersyukur kerana pernah mengenal dirinya pada nafasku”.


“Ya Allah, betapa lelaki ini sangat mencintai Mu dalam syukurnya atas semua kehendak Mu. Aku cemburu... cintanya mengalahkan cintaku. Maka, aku harus mampu mendapatkan cintanya agar aku dapat merasakan betapa agung cintanya pada Mu, ya Allah...!”


“Ya Allah, jiwaku bergelora, kepada siapa aku harus menitipkan pesan dari lafaz sang fajar yang terbit di hatiku ini...?”


“Tolonglah Ya Allah... sampaikan padanya, bahawa aku saat ini di atas sejadah cinta, menangis, mengadu kepada Mu kerana telah mencintainya…”


“Berbicaralah kepada Sang Raqib dan Sang Atib…tuliskan dengan pena emas bertinta kesucian sejarah cintaku ini, dari awal aku mencintai dan mengakhirinya dan titipkanlah di pintu syurga. Insya Allah, aku akan menjemputnya, ketika aku membuka mata di kehidupan keduaku. Maka aku pun akan merayu Sang Ridwan dengan ayat-ayat cinta Allah. Membacanya di tepi danau pencuci dosa, bersandar pada rendangnya pohon kuldi, di temani lantunan alunan selawat Nabi”.


Di kedamaian hati itulah aku akan mengingati perlahan-lahan malaikat bersayap putih yang hidup di jiwa seorang pemuda yang pernah aku kenali di dunia melalui helai demi helai catatan syurga yang disampaikannya...


….kemudian malaikat bersayap hitam meninggalkan hati ku yang sekarang telah kembali fitrah oleh air zam zam yang ku minum di cintanya..!!!



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam

Sabtu, 3 Disember 2011

CAHAYAMATA : PETUA KESUBURAN...




Kepada mereka yang sukar untuk mengandung walaupun telah lama kahwin. Insya Allah entri kali ini, saya cuba menerangkan punca dan sebab-sebab mengapa seseorang itu sukar untuk mengandung. Ia juga memberikan beberapa nasihat yang patut kita amalkan dalam usaha untuk mendapatkan anak. Juga disertakan satu petua yang sangat baik untuk diamalkan.



Semoga arwah bonda saya sentiasa dicucuri rahmat-Nya. Ilmu yang ingin saya kongsikan kali ini dipanjangkan untuk tatapan saudara semuslim yang saya perolehi dahulu sewaktu arwah masih hidup.



Zaman moden kini ramai para isteri yang bekerja menambah pendapatan keluarga. Kewangan keluarga semakin meningkat namun seiring dengannya pula ialah peningkatan kesukaran untuk mendapatkan zuriat dalam bahasa mudah ialah susah untuk mengandung.



Bila timbul masalah ini, doktor pakar sakit puan sangat beruntung kerana mendapati bilangan mereka yang ingin berurusan begitu ramai sekali. Kos rawatan yang dikenakan pula ada yang melibatkan puluhan ribu ringgit dan itu pun belum pasti akan mengandung. Jadilah wanita tersebut sebagai bahan ujikaji yang diberikan ubat ini dan itu serta pelbagai rawatan kesuburan lainnya.



Masalah menemui doktor sakit puan ini tidak begitu memudaratkan, ia hanya sekadar memudaratkan kewangan. Yang akan saya ceritakan ini lebih memudaratkan lagi. Bagi yang putus asa dengan rawatan doktor dan alternatif yang lebih mudah dan murah, ramai di antara mereka yang mengalami masalah ini menemui bomoh, dukun dan tukang urut sebagai usaha untuk mendapatkan anak. Inilah yang lebih parah kerana menemui dukun dan bomoh ini sebenarnya adalah permulaan kepada azab yang lebih besar dari Allah kerana telah mensyirikkan-Nya.



Salah seorang jiran saya sejak kebelakangan ini hampir setiap tahun menerima menantu. Sehingga kini 3 orang anaknya telah selamat melangsungkan perkahwinan mereka. Namun apa yang menyedihkan sekali ialah sehingga kini jiran saya ini belum mendapat pangkat datuk kerana anak dan menantu mereka ini masih belum mengandung.



Di tempat kerja pula, ramai kakitangan bawahan saya yang lebih sepuluh tahun kahwin masih belum mendapat anak dan beberapa orang lain pula sudah lima tahun berkahwin juga masih belum mendapat anak. Ada seorang hamba Allah tu apabila saya nasihatkan agar semoga mudah mengandung begitu sombong sekali menolak nasihat saya dengan mencebikkan muka namun hakikatnya ialah sehingga saat ini beliau masih belum mengandung.



Pada hari raya Aidilfitri lalu saya telah dikunjungi pasangan suami isteri yang juga sahabat lama saya. Dalam pertemuan tersebut sempatlah mereka mengadukan masalah mereka iaitu walaupun sudah lebih setahun berkahwin, isterinya masih belum mengandung.



Kira-kira tiga bulan selepas kunjungan Aidilfitri itu, sewaktu berselisih dikedai makan, dengan begitu gembira suami pasangan ini mengucap kesyukuran dan terima kasih kerana isterinya baru disahkan mengandung. Alhamdulillah, dengan izin Allah swt jua, setelah kira-kira 3 bulan mengamalkan nasihat yang diberikan, isterinya telah mengandung.



Satu ketika sewaktu saya membeli belah dipasar raya, saya merasa begitu sedih melihatkan seorang perempuan yang saya jangka seorang isteri sedang memasukkan jeruk anggur ke dalam bekas plastik. Saya merasa sedih kerana ini bakal menyusahkan perempuan ini untuk mengandung.



Saya memberanikan diri untuk mendekati wanita ini dan mula bertanya “suka makan jeruk?” “Memang kegemaran saya” jawab wanita ini.


“Sudah berkahwin?” saya menambah.


“Sudah 3 tahun” wanita ini menjawab.


Tepat seperti jangkaan saya bahawa wanita ini sudah berkahwin.


“Berapa orang anak?” saya menyoal untuk mendapatkan kepastian hipotesis awal saya.


Seperti yang saya jangkakan wanita ini menjawab ” belum dapat anak lagi”. Selepas mendapat fakta yang dikehendaki saya pun memulakan sesi nasihat semoga kelak beliau mendapat anugerah anak termasuklah memberhentikan tabiat memakan jeruk yang baru sahaja dibeli.



Semoga Allah swt memberikan wanita ini zuriat dari anak yang soleh. Amin.



Kepada sesiapa yang ingin mengandung dan mendapatkan anak, saya sarankan agar mengamalkan nasihat berikut:


Elakkan:


Minum coca cola, pepsi cola, minuman bergas


Makan junk food


Segala jeruk kering seperti asam boi dan jeruk basah seperti jeruk mangga dan ceremai


Makan makanan fast food seperti KFC, Mc Donald dan piza


Makan burger dan nugget


Makan jambu batu


Suami pula dikehendaki meminum susu kambing/susu lembu tepung fullcream atau susu segar. Kalau merokok perlu berhentikan tabiaat ini. Si isteri juga kena minum susu lembu sama ada dalam bentuk tepung fullcream atau susu segar.



Dan adalah sangat digalakkan agar anda dapat mengamalkan amalan seperti tertulis dibawah ;


Banyakkan menyebut nama ALLAH (al-Musowwir).


Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam.

MENILAI DIRI SENDIRI...


Ramai yang malas bila mencari diri
Ramai yang menjauh bila ditanya tentang diri
Ramai  yang tidak suka bila harus membersihkan diri
Ramai yang membenci bila harus membaca tentang hikmah diri
Kebanyakan mereka hanya melihat, ingin melihat diri dalam cermin Dunia


Dari gaya rambut hingga corak baju yang dipakai
keberadaan diri hanya ingin tampak pada permukaan
asal yang melihat tertegun dan mengagungkan …
Itulah keadaan diri manusia yang ingin tampak terlihat
dengan sederetan kepalsuan yang terpampang …
Ilahi hanyalah dijadikan lambang fikirannya saja
Kecintaan terhadap-Nya hanyalah sebatas keperluannya…
Kerinduannya juga kerana berharap pertolongan-Nya
Hampir dipastikan Allah adalah sekadar pendamping di kala susah …


Betapa jiwa manusia yang telah dirasuki sifat iblis
merubah makna Qudratnya menjadi bentangan amarah
mengajak Iradah Sang Khalik dalam ilusinya …
Semua berjalan menuntut Ilahi untuk memperhatikannya …
Betapa prihatin bila kita yang membaca seperti yang tergambar di atas …
Naudzubillah wamin`zalik .


Ramai yang tahu tentang Risalah, tapi mereka tutup mata hatinya
Ramai yang tahu tugasnya di Dunia, tapi mereka lalai mengerjakannya
Ramai yang baca tentang ketauhidan, tapi mereka tidak membacanya sepenuh hati
Ramai yang berjanji dengan ucapan  Insya ALLAH, tapi ingkar untuk berbuat
Ramai yang tahu tentang azab-Nya, cukup saja dengan solat untuk menghindarnya
Padahal ALLAH swt akan melihat ikhlas hatinya dari hasil solatnya (hadis Qudsi)
Tapi mereka tetap saja angkuh dan sombong tidak mahu melihat ke dalam hati mereka sendiri …


Tidakkah Muhammad saw memerintahkan umat Baginda saw mencari kebenaran di hati
Tidakkah kita tahu, bahawa  ALLAH swt  selalu menunggu hamba-Nya untuk datang ke hati
Mengapa kita masih berdiam …
Mengapa kita masih membantah
Mengapa kita masih malas
Mengapa kita tidak takut akan azab-Nya …
Naudzubillah wamin`zalik


Itulah keadaan tentang manusia …
Adakah kita pun yang membaca juga ada di antara mereka
Mudah-mudahan kita semua dapat menjadi hamba-Nya yang berfikir
Tentang Qudrat dan Iradah-Nya …
Tentang kewajipan dan setia terhadap Hak-Nya ALLAH
Meraih tauhid
dengan menghadirkan sifat-Nya dalam hati ini.
zikir, tafakur dan Khalwat. ….
adalah perbuatan yang harus kita jaga.


Wallahu`alam


Jagalah Hati...


Wassalam

10K DALAM PERSAHABATAN...



Persahabatan itu ..........


* KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting sekali dalam sebuah persahabatan. Ikatan sebuah persahabatan akan mudah rapuh jika tidak adanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu, kadang-kadang perlunya kita mengatakan rasa cinta kita terhadap sahabat kita.


* KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat kita, perlunya kita curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita, insya Allah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.


* KEIKHLASAN dapat menjamin sebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat dari Ilahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.


* KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita baik terhadap mereka , kita akan diingat oleh mereka sampai akhir hayat mereka, kerana dikala susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan, insya Allah.


* KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan juga, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya. Kita berani mengaku padanya atas kekhilafan yang dilakukan. Selain itu, berani juga dalam menasihati sahabat kita. Kerana sebagai sahabat, kita mesti mahu yang terbaik untuk mereka, kan?


* KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa tanpa pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalukan dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan.


* KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sedikit kekhilafan, bersedialah untuk memaafkannya, sebesar apa pun kesalahan mereka terhadap kita. Kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika kita yang salah, janganlah malu untuk meminta maaf kepada mereka kerana orang yang terlebih dulu meminta maaf adalah orang yang hebat.


* KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka rasakan kesedihan bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Kerana tidak ada yang akan mereka cari selain kita sahabat mereka.


* KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak inginkah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak inginkah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka juga.


* KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, "Kau cantik, aku mesti cantik," "Kau kaya, aku pun kena kaya". Tidak sama sekali. Manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun dalam persahabatan, keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman antara dua pihak. Apabila ada kesefahaman, barulah hubungan kita dengan sahabat kita akan menjadi lebih baik dan akan berkurangnya permasalahan yang disebabkan salah faham.


Alhamdulillah, itulah dia 10 K yang dapat saya simpulkan mengenai persahabatan. Maaf jika agak membosankan, namun saya tetap ingin berkongsi pendapat saya mengenai topik ini.


Persoalannya, "Adakah kita dan sahabat kita mengamalkan 10 K ini?"


Wallahu`alam



Jagalah Hati...


Wassalam.

Jumaat, 2 Disember 2011

BERKAHWIN DI JALAN DAKWAH...



Pernikahan akan bernilai dakwah apabila dilaksanakan sesuai dengan tuntunan Islam di satu sisi, dan mengambil kira pelbagai kemaslahatan dakwah dalam setiap langkahnya pada sisi yang lain. Dalam memilih pasangan hidup, apa yang difikirkan ialah kriteria yang akan bernilai tambah untuk dakwah, bukan untuk diri sendiri. Pertanyaan yang harus dijawab dengan jujur adalah, “Adakah pemilihan pasangan hidup ini memiliki implikasi kemaslahatan yang optimum bagi dakwah, atau sekadar mendapatkan kemaslahatan bagi diri sendiri?”

Ramai dari kalangan wanita yang telah memasuki usia matang untuk berkahwin, malahan beragam tingkat usia. Maka, ia sekaligus mencipta tahap mendesak untuk berkahwin yang juga berbeza. Beberapa orang, malahan sudah mencapai usia 35 tahun, sebahagiannya 30 tahun, juga ada antaranya antara 25 tahun hingga 30 tahun. Mereka semua telah bersedia untuk berkahwin, bersedia untuk menjalankan fungsi dan peranan sebagai isteri dan ibu dalam sebuah rumahtangga.

Jika kita seorang muslim yang berikrar menginfakkan hidup di jalan dakwah, berniat melaksanakan pernikahan dan dihadapkan pada realiti ini, manakah yang lebih kita pilih? Dengan pertimbangan apa kita memilihnya?

Jika kita memilih seorang wanita yang berusia lima tahun lebih muda dari kita, sungguh ia tidak salah. Kita telah memilih calon isteri dengan benar sesuai Sunnah Rasulullah saw.

Namun, apabila semua lelaki muslim berfikir bahawa calon isterinya harus memiliki kecantikan ideal, berkulit putih dan lebih muda darinya, maka siapakah yang akan melamar para wanita berusia tadi? Siapakah yang akan melamar para wanita yang dari segi fizikalnya tidak cukup alasan untuk mengatakan bahawa dia cantik menurut ukuran umum? Padahal mereka adalah wanita yang taat, solehah, menjaga kehormatan diri, dan aktif dalam masyarakat. Menurut kita, siapakah yang harus menikahi mereka?

Mengapa pertanyaannya “harus”? Kerana kita mungkin sahaja meremeh dan melupakan realiti itu! Jodoh di tangan Allah, kita tidak memiliki hak, biarlah Allah memberikan keputusan-Nya yang agung. Kita memang boleh melupakan mereka, tidak peduli dengan mereka, tapi adakah Islam menghendaki kita berperilaku sedemikian...?

Rasulullah saw sendiri menganjurkan pada Jabir ra menikahi seorang gadis, padahal hampir semua isteri Rasulullah saw adalah janda. Tetapi Rasulullah saw bersetuju dengan pilihan Jabir ra untuk menikahi janda setelah mengetahui alasan maslahat yang menjadi pertimbangan Jabir ra.

Bersediakah kita mengurangkan markah untuk aspek kecantikan dari kriteria calon isteri kita sekitar 20 atau 30 peratus untuk mendapatkan kemaslahatan dari segi yang lain? Jika gadis impian kita berusia lebih muda, adakah kita bersedia menggugurkan impian itu demi menghulurkan perhatian pada wanita yang lebih mendesak untuk berkahwin disebabkan faktor usia? Atau setidaknya, wanitayang sama usia dengan kita?

Jika kita pula adalah seorang wanita yang masih muda, dirisik oleh seorang lelaki muslim yang sesuai dengan impian kita, mampukah wanita muda ini mengatakan pada lelaki yang merisiknya, “Saya memang sudah bersedia untuk berkahwin, namun sahabat saya, bernama.... lebih perlu untuk segera berkahwin.” Ketika pilihan itu membawa maslahat bagi dakwah, mengapa tidak ditempuhi?

Atau kita telah bersepakat untuk tidak mahu melihat realiti ini dengan alasan ia bukan tanggungjawab kita? Ini urusan masing-masing. Untung dan rugi adalah takdir yang tidak berada di tangan kita.

Ingatlah, Rasulullah saw berpesan, “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam cinta, kasih sayang dan kelembutan hati mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila ada satu anggota tubuh menderita sakit, terasa sakitlah seluruh tubuh hingga tidak dapat untuk tidur dan demam” (Bukhari dan Muslim).

Mungkin kebahagiaan pernikahan kita telah menyakiti hati saudara yang lain. Setiap saat mereka membaca dan menghadiri undangan pernikahan, hati mereka bersedih kerana jodoh tidak kunjung datang, sementara usia terus bertambah dan kepercayaan diri semakin berkurang. Disinilah perlunya kita berfikir tentang kemaslahatan dakwah.

Persoalan buat kita, “Adakah kita bersedia untuk berkahwin di jalan dakwah?”


Wallahu`alam



Jagalah Hati...


Wassalam.

Khamis, 1 Disember 2011

RANTAIAN DOA DALAM HIDUP SEORANG GADIS...



Doa yang di panjatkan ketika masih gadis...

“Ya Allah kurniakan aku calon suami yang baik dan yang soleh. Berikan padaku suami yang dapat ku jadikan imam dalam keluargaku.”



Doa yang di panjatkan ketika selesai akad nikah...
“Ya Allah anugerahkan padaku anak yang soleh dan solehah, agar mereka dapat mendoakanku ketika aku mati nanti dan menjadi salah satu amalanku yang tidak pernah putus.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak lahir...
“Ya Allah beri aku kesempatan menyekolahkan mereka di sekolah yang baik amalan Islamnya walaupun mahal, kurniakan aku rezeki untuk itu ya Allah….”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak sudah mulai bersekolah...
“Ya Allah….. jadikan dia murid yang baik sehingga dia dapat berakhlak Islamik, agar dia mampu khatam Al Quran pada usia muda.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak sudah beranjak remaja...
“Ya Allah jadikan anakku ini bukan pengikut arus modenisasi yang membimbangkanku. Ya Allah aku tidak ingin ia mendedahkan auratnya, kerana dia ibarat buah yang sedang ranum.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak menjadi dewasa...
“Ya Allah mudahkanlah jodohnya, berilah jodoh yang soleh pada mereka dan baik serta sesuai setara dengan keluarga kami.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak bernikah...
“Ya Allah jangan kau putuskan talian darah ibu dan anak ini, aku takut kehilangan perhatiannya dan takut kehilangan dia kerana dia akan ikut pasangannya.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak akan bersalin...
“Ya Allah mudah-mudahan cucuku lahir dengan selamat. Aku inginkan nama pemberianku pada cucuku, kerana aku ingin memanjangkan kebaikan dan wibawaku sebagai ibu dari ibunya cucuku ini.”



Ketika seorang wanita memanjatkan doa-doa itu, mereka membayangkan Allah swt tersenyum dan berkata....


“Engkau ingin suami yang baik dan soleh,  sudahkah engkau sendiri baik dan solehah...? Engkau ingin suamimu menjadi imam, akankah engkau jadi makmum yang baik...?”


“Engkau ingin anak yang solehah, sudahkah itu ada padamu dan pada suamimu. Jangan ego begitu…… mana mungkin engkau ingin anak yang solehah hanya kerana engkau ingin mereka mendoakanmu. Tentulah jika mereka menjadi solehah, ia adalah dari kurniaan Ku, dan aturan yang mereka ikuti haruslah melalui aturan Ku.”


“Engkau ingin menyekolahkan anakmu di sekolah yang baik amalan Islamnya, kerana apa?… atau engkau tidak mahu disusahkan untuk mendidik cara hidup Islam padanya? Engkau juga harus belajar, engkau juga harus berakhlak Islam, engkau juga harus membaca Al Quran dan berusaha mengkhatamkannya”


“Bagaimana engkau dapat menahan anakmu tidak menebarkan pesonanya dengan mendedahkan aurat, jika engkau sebagai ibunya sendiri payah untuk menutup aurat? Padahal engkau tahu Aku wajibkan itu untuk keselamatan dan kehormatan hamba Ku.”


“Engkau bicara keinginanmu terhadap calon menantumu, seolah engkau tidak percaya ayat 3 dan 26 surah An Nuur dalam Al Quran Ku. Percayalah, jika anakmu adalah anak yang solehah, maka yang sepadanlah yang dia akan dapatkan.”


“Engkau hanya mengandung, melahirkan dan menyusui anakmu. Aku yang memiliki dia mutlak, Aku bebaskan dia dengan kehendak Ku. Aku tetap mencintainya, walaupun dia berpaling dari Ku, bahkan ketika dia melupakan Ku. Aku tetap mencintainya...”


“Anakmu adalah amanahmu, cucumu adalah amanah dari anakmu, berilah kebebasan untuk melepaskan busur anak panahnya sendiri yang menjadi amanahnya.”



Lalu... wanita itu jadi malu sendiri dengan imaginasi doa-doanya. Katanya, “Aku malu akan tuntutanku kepada-Nya... Maafkan aku ya Allah...



Wallahu`alam.




Jagalah Hati...






Wassalam.