Popular Posts

Rabu, 5 Oktober 2016

SEKADAR MENEGUR...





Mungkin membantah sesuatu lebih mudah daripada mengemukakan idea baru...?



Jadi akibat selalu sahaja aku membantah sesuatu idea mengenai perbaikan masyarakat dan sering menolak perjuangan jamaah-jamaah Islam yang wujud hari ini. Maka keharusan aku ialah mengemukakan satu gagasan yang secara umum dapat memahamkan manusia bagaimana bangsa umat yng menganut Islam sebagai keyakinan mereka mampu menjadi sebuah bangsa yang bertamadun tinggi.



Untuk bercakap seperti ini, aku memang menyedari bahawa aku ini punya peribadi ganda. Sebelah kanannya putih dan sebelah kirinya hitam. Siangnya dia menjadi manusia dan malamnya dia menjadi serigala. Tetapi apakah manusia yang punya peribadi ganda seperti aku, harus ditolak nasihatnya semata-mata dia miliki dua warna? Apakah hanya orang yang berserban dan berjubah sahaja diterima percakapannya? (sedang kaum tua yang berserban dan berjubah telah menjumudkan otak bangsa kita sekian lama atas alasan menjaga kemurnian agama). Malah syaitan juga pernah berkata benar dan sempat mengajar sahabat sebuah ayat yang dikenal dengat Ayat Kursi. Justeru kebenaran ataupun nasihat itu harus dipungut tanpa mengira dimana kita menemuinya.



Sungguh; aku semakin jelek dengan ramai orang bercakap tentang Islam. Semakin pening apabila tukang kebun juga boleh berfatwa tentang Jihad. Malah lebih menghinakan bila banyak dari penulis-penulis “bawah tanah” ataupun “atas tanah” membicarakan Islam semahunya. Tidak terkecuali para blogger yang aku hormati. Manusia jenis ini merasakan bahawa mereka itu benar dalam berkata-kata.



Aku tidak mencela mereka kerana dwi karektor mereka, tetapi aku mencela mereka kerana kefahaman mereka yang dangkal tentang Islam. Mencela mereka kerana tulisan-tulisan mereka menyesatkan umat.



Justeru aku menyeru kepada semua penulis untuk diam dari berkata-kata sebab pada akhir zaman ini, orang yang dangkal akan mengeluarkan fatwa. Dan orang ramai akan menjadikan orang jahil sebagai ulamanya. Maka sebagai langkah berhati-hati janganlah jadikan diri kita sebagai seorang daripada orang dangkal dan jahil itu. Biarkan para ulama’ ahli hadith saja yang berhujah dan berfatwa. Biarkan ahli tauhid saja yang menulis di kitab-kitab dan berkhutbah di mimbar-mimbar.



Untuk maju menjadi bangsa yang punya tamadun yang tinggi, umat Islam pertamanya harus kembali mengikuti Ajaran Islam. Itu yang pertamanya. Dan ajaran Islam ini bukan mengikut Tabligh yang berkelah ataupun mengikut parti politik yang bermain mercun. Bukan juga mengikut politikus yang semuanya menikus di balik serban dan jubah. Bukan! Bukan itu! Mengikut ajaran Islam ialah mengikut ajaran Salaf (umat terdahulu yang terdiri dari penganut Islam terawal) yang bersumber dari Rasulullah saw, yang merupakan kefahaman sahabat mengenai Islam.



Dalam meniti manhaj Salaf ini, setiap muslim akan mengerti bahawa kepatuhan hanya untuk Allah dan Rasul-Nya. Mengerti bahawa bomoh adalah para suruhan jin. Tilik adalah igauan. Mengerti bahawa dunia adalah alam yang harus diteroka untuk menuju ke akhirat. Mengerti bahawa negara adalah tanggungjawab. Manhaj Salaf menunjukkan bagaimana kita menyikapi alam dan segala isinya dengan sempurna.



Dengan mengikuti manhaj inilah, kita akan mengerti bahawa Palestin tidak akan dapat dibebaskan selagi kesatuan umat di sana belum dibawah panji Islam. Mengerti bahawa menyerang, menyembelih dan pembantaian terhadap orang awam adalah kekejaman. Mengerti bahawa banyak dari sengketa yang umat Islam alami hari ini adalah bersumber dari diri mereka sendiri.



Ikhwan yang didirikan oleh Hasan Al Bana yang mati dibunuh melahirkan radikal agama di bawah pimpinan Sayid Qutub. Taliban yang memporak-perandakan Afghanistan. Aliran sekular di Turki, Peristiwa Memali di Malaysia. Kesemua kebejatan ini lahir apabila manusia yang kerdil diangkat menjadi besar. Orang jahil dijadikan ulama’. Dan ulama’ ini akan mengikuti nafsunya untuk mengeluarkan hukum. Dan akhirnya hukum ini menimpakan kehinaan ke atas umat Islam sendiri. Lihatlah kempen “Keganasan” oleh Amerika yang ditujukan kepada umat Islam, berpunca daripada kejahatan sebahagian kecil umat Islam juga. Dan kejahatan ini berpunca dari kebodohan kita. Kebodohan ini berpunca dari kesesatan ulama’nya dan kemalasan umatnya.



Dan fenomena yang menarik untuk dikaji oleh orang yang berakal, yang hatinya terang, yang dia benar-benar ingin mencari kebenaran, ialah fenomena politik di tanah air kita. Apakah benar mereka dua kelompok itu, yang menjadi politikus itu memperjuangkan Islam? Kalau benar, Islam aliran apa yang mereka ingin tegakkan?



Yang benarnya, kedua-dua gerombolan itu punya niat yang mulia, tetapi jalan yang mereka tempuhi berliku panjang.



Aku mengharapkan mereka kembali untuk bersama-sama bergandingan membangunkan Islam dan penganutnya. Mengharap mereka meninggalkan aliran songsang mereka dan menuju kepada Islam yang benar, kerana niat mereka yang inginkan kebenaran itu sudah cukup untuk mereka berpegang tangan seandainya mereka benar-benar inginkan kebenaran.



Justeru, aku menyeru kepada penulis, politikus, para imam, para ulama’ dan semuanya untuk sama-samalah kita mengikuti jalannya Rasul, jejaknya sahabat, lorongnya tabi’in.



Biar kita jahat sekalipun, asalkan aqidah kita benar, insya Allah kita akan ke syurga. Rabb tidak menanyakan kepada kita ketika di alam kubur: “Siapakah yang kamu pangkah pada pilihanraya ke 14?” atau pun “Siapakah pemimpin parti kamu?”. Tetapi dia menanyakan: “Siapakah Rabb kamu”, “Siapakah Rasul kamu?”. Bagaimana kamu akan menjawab “Allah Rabb ku”, kalau kamu menyembah Allah, dan dalam masa yang sama kamu menyembah Tuan Guru atau Tuan Presiden? Bagaimana kamu menjawab “Muhammad Rasul ku” sedang dalam beribadah kamu menokon tambah?”.



Justeru, jalan yang paling utama, yang paling atas prioritinya ialah beraqidah dengan aqidah Salaf.



Kaum Muda sejak sebelum merdeka telah menunjukkan jalannya. Hanya saja kebenaran itu memang sulit untuk diterima. Jika ia mudah, tidak perlulah neraka dan syurga diciptakan.



Wallahu`alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan