Popular Posts

Rabu, 26 Oktober 2016

BUAT ANAK ANAK GADIS....





Abah selalu pesan, “abah harap akak kahwin dengan orang yang betul-betul sayangkan akak macam abah sayangkan akak. Abah tak minta lebih. Kalau dia sayang akak macam abah, abah jamin akak bahagia...”



Aku selalu terfikir, kenapa satu kriteria sahaja yang abah tetapkan sebagai syarat untuk bakal menantunya padahal banyak lagi kriteria lain yang bapa-bapa lain tetapkan seperti beragama, hormat orang tua, sudah stabil dan sebagainya. Pendek kata, untuk menjadi menantu abah, kriteria itu sangat senang.




Tapi semakin masa berlalu, aku mula faham definisi sayang itu terlalu subjektif. Kau tidak pernah tahu jika seseorang sebenarnya betul-betul mampu menyayangi kau sebagaimana ibu dan bapa kau sebab segalanya indah pada permulaan dan pada saat manis sahaja. Walhal, sayang sebenarnya memberi maksud yang lebih meluas. Bagaimana dia berdepan dengan kau saat kau mengadu padanya tentang masalah kau, saat kau dan dia menghadapi masalah, saat kau perlu bertoleransi dengannya, saat dia berhadapan dengan masalah dan segala-galanya. Pendek kata, cinta bukanlah sekadar ucapan semata-mata tanpa toleransi, komitmen dan perbuatan tetapi bagaimana kau bersama-sama ketika baik buruk peristiwa, yang boleh mengatasi ego kerana sayang, yang tidak hanya mementingkan diri sendiri dan mengabaikan perasaan pasangannya. Cinta tu sendiri boleh hadir dan berakhir dengan sekelip mata, sama ada wujudnya orang ketiga, perbuatan yang serasa tidak dapat diterima malah tanpa alasan musabab yang kadang tak tercerna dek akal.



Lama-lama aku faham, lelaki yang kita sayang atau yang mengaku sayangkan kita sebenarnya memang tak pernah akan mampu sayangkan kita macam ayah kita sendiri. Beliau yang azan dan iqamatkan kita waktu lahir, yang bertungkus lumus mencari duit nak besarkan kita dan macam-macam lagi tanggungjawab yang digalas oleh seorang bapa. 



Aku pun meniti usia dewasa yang mana suatu hari nanti jika diizin Tuhan akan berkahwin dengan lelaki yang aku pun tidak tahu siapa, yang akan menjadi suami aku kelak. Kalaupun aku yakin yang dia mampu menyanyangi aku, aku pasti tidak sama dengan apa yang dicurahkan abah. Abah yang sering berkata, "kat jalan ni lah dulu abah riba akak masa tengah drive. Masa tu akak umur dua tahun sebab nangis tak nak duduk kat riba ibu..", abah yang ingat segala peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah kehidupan anaknya termasuklah pada ketika kali pertama aku baligh, abah yang sentiasa nasihatkan aku untuk rajin membuat kerja-kerja rumah untuk kesenangan masa akan datang, abah yang sentiasa ingatkan aku untuk memberi keutamaan kepada pelajaran dan juga abah yang sentiasa ingatkan aku untuk mencari seseorang yang mampu menyayangi aku seadanya. Tidak akan pernah sama dengan lelaki yang bakal aku kahwini satu ketika nanti..



Aku tahu tujuan hidup bukanlah untuk berkahwin semata dan mengembangkan zuriat tetapi lebih daripada itu. Dan tentang abah yang sudah lebih 20 tahun membesarkan aku, pada ketika dia akan melepaskan aku kelak ke tangan seorang lelaki, bukanlah tugas mudah baginya. Melihat anak gadis yang dahulunya didukung, diajar berjalan akan dipimpin oleh lelaki lain, bukanlah perkara enteng sebab beliau terlalu sayangkan aku dan bila beliau yakin lelaki itu akan menyayangi aku seperti adanya dia, aku yakin dia berani untuk lepaskan aku kepada lelaki tersebut.



Ternyata, kriteria "yang menyayangi akak macam abah" bukanlah satu kriteria yang mudah malah menjadi kriteria yang paling sukar untuk dituruti sebab dari kriteria itu, akan tumbuhlah kriteria lain seperti sabar, prihatin dan sebagainya.

Selasa, 25 Oktober 2016

PASCA PENDIDIKAN : MEMAHAMI REALITI PASARAN KERJA





Dulu kita masih berani menyatakan apabila habis belajar di universiti kelak, kerja sudah menanti kita. Tetapi kini tidak lagi apabila diketahui ramai graduan menganggur selepas tamat pengajian di universiti dan kolej.



Berikut adalah realiti graduan menganggur masa kini. Data statistik ini diperolehi dari laman web pendidikan, EduAdvisor.my:



1. 6 dari 10 orang yang menganggur adalah graduan berusia di bawah umur 24 tahun



2. Setiap tahun 200,000 graduan dihasilkan. Daripada jumlah itu hanya 50,000 graduan bekerja selepas 6 bulan tamat belajar.



3. 31.4% graduan menganggur adalah pemegang sijil ijazah.



4. Graduan menganggur mengikut aliran: 43.4% sastera dan sains sosial, 24.5% teknikal, 20.2% sains, 8.1% ICT dan 3.9% pendidikan.



5. Majoriti graduan menganggur adalah bekas pelajar universiti awam. Ini pecahan mengikut jenis institusi pendidikan: 2% kolej komuniti, 13% politeknik, 34% universiti swasta dan 51% universiti awam.



6. Berdasarkan kajiselidik Jobstreet, 64% majikan menyatakan mereka tidak ambil kisah soal tempat belajar graduan semasa ambil mereka bekerja.



7. Majikan juga menyatakan 68% graduan meminta angka gaji dan faedah yang tidak realistik.



8. 30% graduan menjangkakan gaji permulaan mereka ialah RM6,500 sebulan.



9. 59% graduan menganggur kerana mempunyai kelakuan atau sikap yang lemah.



10. 64% graduan menganggur kurang mahir berbahasa Inggeris.



11. 60% graduan menganggur mempunyai kemahiran komunikasi yang lemah.



12. Majikan juga menyatakan graduan sekarang kekurangan dari segi adaptability, multitasking skills, kemahiran membuat keputusan dan kemahiran menyelesaikan masalah.



13. 5 industri yang banyak menyediakan peluang kerjaya ialah pembuatan dan logistik, perkhidmatan perbankan dan kewangan, pembinaan, ICT dan pemborongan dan peruncitan.



14. Ini bermakna 3 bidang kepakaran yang mempunyai permintaan tinggi ialah penjualan dan pemasaran, perakaunan dan kejuruteraan.



15. Tetapi yang sedang menjadi trend masa kini adalah kerjaya berkaitan teknologi seperti kerja melibatkan cloud, mobile developers, pakar SEO/SEM, pereka UI/UX, dan pakar pemasaran digital/media sosial.





Sejujurnya, graduan menganggur perlu bangkit menambah nilai diri dan tidak takut bekerja di luar bidang pengajian. Sebenarnya banyak kemahiran dan ilmu boleh masuk ke bidang-bidang lain. Kenali dan terokai peluang itu.




Pastikan diri menjadi yang terbaik dan boleh memberi manfaat kepada orang lain. 




Good luck!

Isnin, 17 Oktober 2016

TAKLID DAN TAKSUB





Sikap taklid buta terhadap para imam mazhab secara melampau perlu dihentikan. Ini kerana, semua imam mazhab menjadikan sunnah yang sahih sebagai pegangan utama dan meninggalkan pendapat individu jika menyanggahi sunnah Baginda s.a.w.



Sebahagian pengikut mazhab yang fanatik menolak bulat-bulat pendapat mazhab lain. Seolah-olah, mazhabnya sahaja yang betul. Sedangkan dalam beberapa perkara, mereka sebenarnya mengamalkan pendapat imam lain atas alasan darurat.



Ada riwayat menyebut, Khalifah Abu Ja’far al-Mansur dan Harun al-Rasyid ingin menjadikan Mazhab Malik dan Kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik sebagai sumber perundangan dan rujukan kerajaan Abbasiyyah.



Tetapi, cadangan ini ditentang oleh Imam Malik sendiri. Alasan beliau ialah kebenaran itu hanya satu, iaitu melalui Rasulullah s.a.w. Pendapat seseorang boleh ditolak apabila bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w



Para salafussoleh bersepakat, wajib berpegang dan kembali kepada al-Quran dan sunnah yang sahih serta meninggalkan setiap pendapat yang menyalahi kedua-duanya. Walaupun ia diutarakan oleh seorang pakar, ulama, tokoh ilmuan atau sarjana. Ini kerana, Rasulullah s.a.w lebih afdal untuk diikuti dan dicontohi berbanding individu yang tidak terlepas daripada salah dan silap.



Jika mendapati sesuatu yang bertentangan dengan amalan harian masyarakat kita di dalam sesebuah pendapat yang diutarakan, maka janganlah terus membuat kesimpulan yang singkat, lalu melemparkan tohmahan sesuatu pendapat yang mungkin baru di mata kita dengan tuduhan yang tidak benar. Sebaliknya saya mengesyorkan agar kita semua mengkaji dan meneliti semula setiap nukilan dan pendapat yang diutarakan itu. Ini lebih baik agar kita membuat sesuatu kenyataan berdasarkan hujah dan tidak mudah diselewengkan.



Hal ini merupakan satu contoh amalan Rasulullah s.a.w yang telah ditinggalkan. Semoga ALLAH memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA kepada ajaran Islam yang murni. Sesungguhnya meninggalkan amalan yang dipenuhi sangkaan atau taklid buta adalah suatu yang dituntut oleh syarak.



Pengertian Taklid



Dan Segi Bahasa



Taklid merupakan kata terbitan daripada (قلد) yang bermaksud menyerah, menghias, menyeleweng, meniru, menurut seseorang atau menerima hutang. Antara pengertian taklid menurut sebahagian ulama salafussoleh ialah:



Imam al-Syaukani r.h berkata:



“Taklid ialah menerima pendapat seseorang yang tidak berdiri berdasarkan hujah.”



Imam al-Son’ani r.h berkata:



“Taklid ialah mengambil pendapat orang lain tanpa dalil.”



Dan Segi Istilah



Imam Abu Abdullah Khuwaz Mandad r.h berkata:



“Taklid menurut pengertian syara’ ialah kembali (menyandarkan perbuatan kepada perkataan yang tidak ada hujah bagi orang yang mengatakannya serta tiada dalil (berhubung dengan) apa yang dikatakan itu, malah orang yang berkata tidak mampu membawa dalil.”



Taklid Pendapat Generasi Salafussoleh



Para Sahabat



Sebenarnya, isu taklid telah lama ditegah oleh para sahabat Nabi s.a.w. Bukan hanya imam empat mazhab sahaja.



Hakikatnya, terdapat banyak perbezaan pendapat dalam memahami hadis Rasulullah s.a.w. Contohnya, dalam bab menguatkan bacaan basmalah ketika solat. Sebahagian sahabat menguatkannya, manakala, sebahagian yang lain pula memperlahankannya. Namun, kedua-dua pendapat ini sahih kerana ia pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. Oleh itu, para ulama mengharuskan kedua-dua perbuatan ini.



Para sahabat juga melarang bertaklid kepada seseorang. Antara mereka yang menyatakan seperti itu adalah:



Abu Bakar al-Siddiq r.a berkata:



“Taatilah aku selagi aku mentaati ALLAH. Apabila aku tidak lagi mentaati ALLAH, janganlah kamu semua mentaatiku.



Au bin Abi Talib r.a berkata:



“Mengenai orang yang berilmu itu, jika ia mendapat petunjuk (sekalipun) janganlah kamu bertaklid kepadanya tentang agama kamu.”



Ibn Mas’ud r.a berkata:



“Jadilah orang yang berilmu atau orang yang belajar dan janganlah sesekali kamu menjadi pengikut kepada pendapat seseorang.”



Imam Mazhab



Para imam mujtahid melarang kita bertaklid kepada mereka kerana bimbang apa yang mereka ijtihadkan itu menyalahi hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang sahih.



Mereka memerintahkan para pengikutnya agar berpegang pada hadis jika ijtihad mereka jelas menyanggahi sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih. Ijtihad mereka hanya boleh dipegang jika melibatkan hadis yang kurang jelas serta terdapat perbezaan pendapat padanya.



Namun, jika sesuatu hadis itu sahih, jelas makna serta lafaznya, ijtihad tidak diperlukan dan seluruh umat Islam wajib beramal dengan hadis itu. Walaupun para imam amat menekankan agar kembali kepada hadis yang sahih serta meninggalkan pendapat mereka, masih ada pengikutnya yang terkemudian begitu lantang bersuara dan lebih memartabat dan mempopularkan hadis daif dan palsu.



Mereka menyandarkan perkataan kepada para imam dan menjadikannya sebagai hujah yang batil (sesat) demi membenar dan mempertahankan kehendak hawa nafsu mereka. Perhatikanlah sebahagian daripada pendapat para imam mujtahid mengenai hukum bertaklid.



Imam Abu Hanifah r.h (80 H 150 H) berkata:



“Seseorang tidak boleh mengambil (berpegang) pada pendapat kami jika dia tidak mengetahui dari mana sumber itu diambil.”



Imam Malik bin Anas r.h berkata:



“Tidak ada seorang pun selepas Nabi s.a.w (wafat) melainkan perkataannya boleh diambil atau ditolak. (Kecuali) perkataan Nabi s.a.w sahaja (yang boleh diterima dan tidak boleh ditolak).”



Imam Syafie r.h berkata:



‘‘Apabila hadis itu sahih, itulah mazhabku.”



Tambahnya lagi:



“Umat Islam telah berijmak, tidak boleh meninggalkan sesuatu yang telah pasti dan menepati sunnah Rasulullah s.a.w. Bukan semata-mata berpegang pada pendapat seseorang.”



Imam Ahmad bin Hanbal r.h berkata:



“Sesiapa yang menolak hadis Rasulullah s.a.w dia telah berada di tepi jurang kebinasaan.”



Itulah pendirian para imam mazhab. Mereka melarang keras perbuatan bertaklid kepada pendapat mereka. Mereka sendiri meninggalkan perbuatan itu jika menemui hadis yang sahih.



Ibn Hazm r.h telah menyatakan pendapat Imam Syafie mengenai larangan bertaklid:



“Sesungguhnya semua ulama fikah itu telah membatalkan taklid. Mereka melarang sama sekali sahabat-sahabat mereka (para pengikutnya mazhab) bertaklid kepada mereka. Antaranya al-Imam al-Syafi’e. Beliau sampai ke taraf berpendirian tegas dalam menentukan kesahihan sesuatu hadis dan berpegang pada hujah yang tepat. Beliau juga tidak suka (orang lain) mengikut semua pendapatnya.”



Perlu diingatkan, semua para imam saling menghormati pendapat satu sama lain. Imam Malik sezaman dengan Imam Abu Hanifah. Manakala, Imam Syafie pula sempat menuntut ilmu daripada Imam Malik di Madinah. Manakala, Imam Ahmad bin Hanbal pula sempat berguru dengan Imam Syafie di Iraq.



Dalam masa yang sama, kita tidak mengatakan Imam Syafie bermazhab Maliki atau Imam Ahmad bin Hanbal bermazhab Syafie. Kelebihan para imam mempunyai ilmu yang luas untuk rnenyanggahi pendapat gurunya sebagai faktor mereka sanggup keluar daripada belenggu mazhab (mengikut pendapat seseorang).



Oleh itu, terdapat pengikut yang terkemudian keluar daripada pendapat mazhabnya kerana ilmu mereka amat luas sehingga mampu memilih pendapat yang paling tepat. Jadi, apa kurangnya ulama kontemporari yang terbuka fikiran dan ilmunya menukilkan pendapat ulama silam lalu mengamalkannya.



Namun, mereka tidak pernah menyalahkan pendapat imam yang lain. Bahkan, Imam Syafi’e sendiri mewasiatkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal agar menceritakan kepadanya setiap hadis sahih yang ditemui. Ini bermakna, tidak semua hadis dimiliki atau ditemui oleh Irnam Syafie. Jika tidak, mana mungkin seorang guru meminta hadis daripada anak muridnya.



Oleh itu, janganlah berpecah-belah semata-mata mempertahankan fahaman yang disandarkan kepada para imam. Bukankah mereka telah berlepas diri terhadap perbuatan fitnah yang dilemparkan kepada mereka.



Mereka tidak pernah mengajar kita mengamalkan hadis dhaif walaupun ia adalah ijtihad mereka. Ini kerana, ijtihad mereka mungkin betul dan mungkin juga salah. Bahkan mereka menggalakkan kita meninggalkan pendapat yang menyanggahi sunnah yang sahih.



Bagi kita yang telah diberi kemudahan mengkaji kitab-kitab karangan mereka, sudah pasti mudah bagi kita untuk mencari kesahihan pendapat. Inilah hasil usaha yang ditinggalkan oleh mereka pada agama ALLAH.



Pesanan Imam Syafie



Ramai di kalangan para kelompok masyarakat yang mengaku bermazhab Syafi’e tidak tahu tentang cara mengerjakan solat mengikut mazhabnya. Ada yang mengangkat tangan melebihi kepala dan ada yang meletakkan tangan ke tepi rusuk serta pelbagai lagi.



Sejak akhir-akhir ini, “talfiq” iaitu percampuran pelbagai mazhab (pendapat imam) memang tidak dapat dinafikan. Cuma, kebanyakan masyarakat masih belum sedar tentang kewujudannya. Apa tidaknya, bila ke Makkah seseorang bermazhab Syafie boleh menukar mazhab. Apabila berzakat, mengikut mazhab Imam Hanafi. Apabila bersolat pula, tangan diletakkan ke bawah pusat. Bukankah itu adalah menurut pandangan Imam Abu Hanifah?



Begitu juga dengan masalah kenduri arwah, Imam Syafi’e mengharamkannya. Tetapi ada juga yang melakukannya. Bukan orang bawahan, bahkan para ulama yang digelar ustaz dan guru. Contohnya, membaca al-Quran dan tahlilan yang dihadiahkan kepada si mati. Ini tiada dalam Mazhab Syafie.



Oleh itu, berpeganglah pada al-Quran dan sunnah yang sahih bukannya menurut hawa nafsu semata-mata. Janganlah kita mudah terpedaya dengan pendapat batil daripada ulama-ulama yang menyembunyikan ilmu. Lebih-lebih lagi mereka yang mengharapkan habuan dunia demi menjaga kepentingan diri.



Kurang ilmu agama yang sahih, tidak mahir berbahasa Arab dan tidak pernah berhujah menjadi faktor utama mengapa seseorang itu sanggup bertaklid tanpa membuat kajian. Sedangkan Imam Syafi’e sendiri mewajibkan pengikutnya mengambil dalil yang sahih serta mengkaji ilmu agama dan bukan hanya menerima tanpa penelitian.



Selain itu, beliau juga mengharamkan bertaklid kepadanya. Terdapat banyak kata-kata beliau yang melarang taklid kepada imam-imam mazhab. Imam Syafie r.h berkata:



“Setiap orang boleh mengingati dan melupai sesuatu riwayat. Apa yang benar ialah sesuatu yang bertepatan dengan sunnah Rasulullah s.a.w dan itulah pendapatku.” (Hadis maqtu’ riwayat al-Hakim dengan sanad sampai kepada al-Syafie. Rujuk Tarikh Dimasyq, Ibn ‘Asaakirr: 15/1/3, I’lam al-Muwaqqi’in, jil. 2, ms. 363-364 dan al-Iqazah, ms. 100)



“Sesiapa yang mengetahui hadis sahih, tidak boleh meninggalkan sunnah Rasulullah s.a.w hanya kerana mengikut pendapat seseorang.” (Rujuk Ibn al-Qayim, jil. 2, ms. 361 dan al-Fulani, ms. 68)



“Apabila kamu temui dalam kitabku sesuatu yang bertentangan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang sahih, berpeganglah pada hadis itu. Tinggalkanlah apa yang telah aku katakan itu.” Manakala dalam riwayat yang lain katanya: “Ikutilah hadis itu dan janganlah kamu menoleh kepada pendapat sesiapa pun.” (Rujuk Zaminul Kalam, karya al-Harawi, 3/47/1, al-Khaatib dalam al Ihtijaj bi al-Syafie, jil. 8/2, Ibn ‘Asaakir, 5/9/10, al-Nawawi, al-Majmu’, jil. 1, ms. 63, Ibn Qayyim, jil. 2, ms. 361, al Fulani, ms. 100. Manakala riwayat kedua daripada Abu Nu’aim dalam al-Hiliyyah, jil. 9, ms. 107)



Aku akan menarik semula pendapatku sama ada ketika hidup atau matiku jika ia berlawanan dengan sesuatu perkara yang sahih daripada Rasulullah s.a.w.” (Rujuk Abu Nu’aim dalam al-Hilyah, jil. 9, ms. 107, al-Haraawiy, jil. 1, ms. 47, Ibn Qayyim dalam I’laam al-Muwaqqi’in, jil. 2, ms. 363 dan al-Fulaniy dalam al-Iqaz, ms. 104)



“Apabila aku mengeluarkan pendapat yang berlawanan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang sahih, ketahuilah bahawa ketika itu aku sudah nyanyuk.” (Rujuk karya Ibn Abi Hatim dalam Adab al-Syafie, ms. 93, Abu al-Qasim al-Samarqandi dalam al-Amali, Abu Hifshul Mu’addab dalam al-Muntaqa Minha, jil. 1, ms. 236, Abu Nu’aim dalam al-Hilyah, jil. 9, ms. 106 dan Ibn ‘Asaakir, 15/10/1, dengan jalur sanad yang sahih)



“Semua hadis Rasulullah s.a.w yang sahih adalah pendapatku sekalipun kamu belum pernah mendengarnya daripadaku.”(Rujuk Ibn Abi Hatim, ms. 93-94)



“Apabila hadis itu sahih, itulah mazhabku.” (Rujuk al-Nawawi dalam al-Majmu’, jil. 1, ms. 63, al-Sya’raaniy, jil. 1, ms. 57. Beliau menghubungkan sanadnya kepada al-Hakim dan al-Baihaqi. Diriwayatkan juga oleh al-Fulani, ms. 107)



Al-Sya’raani r.h berkata:



“Ibn Hazm berkata, maksud sahih ialah hadis sahih menurut Imam Syafie sendiri dan imam-imam yang lain.”



Imam Nawawi al-Syafie r.h berkata:



“Merujuk kepada kata-kata Imam Syafie ini, pengikutnya boleh mengamalkan hadis berhubung perkara tatswib (as solatu khairun minan naum) dan boleh bertahallul apabila sakit atau kerana sebab lain seperti yang tertulis dalam kitab-kitab pengikutnya yang bermazhab Syafie.



Antara ulama fekah bermazhab Syafie yang meninggalkan pendapat beliau ialah Abu Ya’kub al-Buwaiti dan Abu al-Qasim al-Daraqi. Manakala ahli hadis bermazhab Syafie yang meninggalkan pendapat beliau ialah Imam Abu Bakar al-Baihaqi.



Sebahagian ulama Syafi’eyah (pengikut imam Syafi’e) lebih mengutamakan hadis sahih walaupun ia tidak diamalkan oleh Imam Syafie. Menurut mereka, “setiap apa bertepatan dengan hadis sahih, itulah Mazhab Syafie.”



Syeikh Abu ‘Amr r.h berkata:



“Ulama Mazhab Syafie akan berbincang apabila terdapat hadis yang bercanggah dengan amalan mazhab mereka. Mereka akan mengamalkan hadis itu jika mereka mampu berijtihad. Sebaliknya jika mereka tidak mampu berijtihad, mereka tidak akan menyalahi hadis itu selepas berusaha mengkaji dan beramal mengikut ulama yang berhujah dengannya. Ini adalah suatu keuzuran untuk mereka meninggalkan mazhab yang diikuti.”



Taqiuddin al-Subki al-Syafi’e r.h berkata:



“Seseorang perlu mengamalkan hadis sahih jika dia yakin dengan kesahihan hadis itu walaupun tidak dapat bertemu dengan imam tersebut. Ketika itu, dia perlu membayangkan dirinya sedang berada di hadapan Nabi s.a.w dan mendengar sendiri sabda baginda. Apakah dia sanggup menangguhkan beramal dengan sabda Rasulullah s.a.w yang sahih? Tentu sekali tidak! Oleh itu, setiap orang menerima tariggungjawab sesuai dengan pemahamannya.” (Rujuk al-Syubki, Makna Qaul al-Syafi’e Iza Sohhal Hadis Fahuwa Mazhabi, ms. 103, jil. 3, I’lamul Muwaqqi’in, jil. 2, ms. 302 dan 307. Juga al-Fulani dalam Iqaz Himam Ula al-Absor Lii Iqtida Bisayyidil Muhajirin Wa al-Ansor Wa Tahziruhum ‘Anil Ibtidaa al-Syafi’e Fil Qura Wal Amsor Mm Taklidil Mazahib Ma’al Hammiyyah Wal Ashabiyyah Bainal Fuqahail A’sor)



Menurut Abdullah bin Ahmad bin Hanbal r.h, daripada ayahnya bahawa Imam Syafie r.h pernah berkata kepadanya:



“Kamu lebih luas pengetahuan mengenai hadis dan perawi. Jika ia sahih, beritahulah aku sama ada ia dari Kufah, Basrah atau Syam. Aku akan beramal dengannya jika ia benar-benar sahih.” (Rujuk Ibn Abi Hatim dalam Adab al-Syafie, ms. 94-95, Abu Nu’aim dalam al-Haliyyah, jil. 9, ms. 106, al-Khatib dalam al-Ihtijaj hi al-Syafi’e, 8/1, Ibn ‘Asaakir, 15/9/1, Ibn Abdul Baar dalam al-Intiqaa, ms. 75, Ibn al-Jauzi dalam Manaqib al-Imam Ahmad, ms. 499, al-Haraawiy, 2/47/2, Ibn Qayyim daiam I’laam al-Muwaqqi’in, jil. 2, ms. 32 dan al-Fulaniy dalam al-Iqaz, ms. 152)



Al-Baihaqi al-Syafie r.h berkata:



“Syafi’e banyak beramal dengan hadis. Beliau mengumpulkan ilmu ahli Hijaz, Syam, Yaman dan Iraq. Beliau akan berpegang pada hadis yang sahih menurut pendapatnya sendiri tanpa mengikut mazhab penduduk negaranya. Walaupun jelas kebenarannya pada pendapat orang lain dan tidak cenderung kepada mereka terdahulu.”



Taqiuddin al-Subki al-Syafie r.h telah menyatakan dalam Kitab al-Fataawa, jilid 1, muka surat 148:



“Solat ialah urusan umat Islam yang paling penting. Setiap muslim wajib mengambil berat dan memeliharanya. Terdapat perkara yang disepakati oleh ulama yang mesti diamalkan. Begitu juga dengan perkara yang tidak disepakati ulama.



Mereka boleh memilih sama ada keluar daripada perselisihan itu atau berusaha meneliti semula hujah-hujah yang digunakan. Solat mereka sah dan betul jika mereka bijak mengkaji kerana ibadah itu sesuai dengan firman ALLAH S.WT:



“Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan TUHANnya, dia hendaklah beramal soleh.” (Surah al-Kahfi 18: 110)



Al-Muzanni al-Syafie r.h berkata:



“Saya ringkaskan Kitab al-Umm dan huraikan maksudnya kepada sesiapa yang memerlukan. Saya juga menjelaskan larangan Imam Syafie daripada bertaklid kepadanya dan juga orang lain. Seseorang itu perlu meneliti dan mengkaji urusan agamanya serta mengambil ilmu pengetahuan dan kitab ini.(Rujuk Mukhtasar Li Fiqh al-Syafi’e, jil. 9, ms. 3)



Para Ulama Terkemudian (khalaf)



Ibn al-Jauzi r.h menyatakan dalam kitabnya Talbisul Iblis:



“Orang yang bertaklid tidak ada pegangan yang teguh dengan apa yang ditaklidkan. Taklid merosakkan fungsi akal untuk berfikir dan tadabbuz. Celakalah bagi orang yang memadam lilin yang dinyalakan untuk menerangi kegelapan.”



Imam al-Tahawi r.h berkata:



“Seseorang tidak akan bertaklid melainkan jika dia bersifat keras kepala dan berfikiran beku.”



Ibn Hazm r.h menyatakan dalam kitabnya Masaail Minal Usul:



“Tidak dibenarkan sesiapa pun hertaklid kepada seseorang yang masih hidup atau yang telah mati.”



Abu Syamah r.h menyatakan dalam Kitab al-Mu,ammal:



“Taklid kepada orang lain selain rasul-rasul ALLAH adalah haram.”



Imam Abdullah bin al-Mu’tamir r.h berkata:



“Tidak ada perbezaan antara binatang ternakan yang menuruti perintah dan seorang manusia yang bertaklid.”



Imam Sanad bin ‘Anan r.h berkata:



“Seseorang yang bertaklid tidak berada pada pandangan dan ilmu yang benar kerana ia bukan jalan yang membawa kepada ilmu pengetahuan.”



Beberapa langkah untuk menjauhi taqlid



Memandangkan taqlid sudah menjadi satu kelaziman umat Islam tanah air, berikut disenaraikan beberapa langkah untuk menjauhi taqlid:



1 - Menetapkan di dalam diri masing-masing bahawa menuntut ilmu adalah wajib hukumnya ke atas setiap individu muslim. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim. (Sahih: Hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Ibn Hibban, al-Thabarani dan lain-lain, dinilai sahih oleh al-Albani di dalamShahih Jami’ al-Shagheir – no: 3913) Bertaqlid tidak termasuk di dalam kategori menuntut ilmu melainkan bagi orang yang benar-benar tidak mampu dari sudut kecerdasan akal dan kemudahan fizikal.



2 - Menetapkan keyakinan di dalam diri masing-masing bahawa menuntut ilmu agama adalah mudah sebagaimana menuntut ilmu-ilmu yang lain. Lebih dari itu sesiapa yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu atas tujuan memperbaiki agamanya, maka dia akan dipimpin oleh Allah sebagaimana firman-Nya:



Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (al-Ankabut 29: 69)



3 - Lazimkan diri untuk menghadiri kuliah agama dan membaca buku yang bersifat ilmiah. Pastikan setiap pendapat/ulasan yang dikemukakan disandarkan kepada dalil al-Qur’an dan al-Sunnah diikuti dengan hujah tokoh/ulama yang muktabar pada generasi awal Islam. Jauhilah kuliah atau buku agama yang hanya membicarakan agama tanpa dalil dan hujah.



4 - Memberi perhatian dan keutamaan kepada para ustaz dan ustazah yang “junior”. Alhamdulillah, negara kita memiliki ramai graduan tempatan mahupun luar negara dalam jurusan agama yang mampu menyampaikan ilmu dengan menjauhi kaedah taqlid. Akan tetapi mereka tidak diberi perhatian yang sewajar oleh masyarakat sebagai sumber rujukan ilmu semata-mata kerana umur mereka yang agak muda.



5 - Berdoa kepada Allah agar diberi kecerdasan akal dan kemudahan fizikal untuk menuntut ilmu sebagaimana firman-Nya:



“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.” (Taha 20: 114)



Beberapa Contoh Sikap Taksub Mazhab



Sikap taksub mazhab juga boleh menyebabkan para pengikut sesebuah mazhab sanggup mencipta hadis-hadis palsu bagi membenarkan mazhab sendiri.



Berikut adalah beberapa contoh dari sikap taksub mazhab yang pernah dan sedang dialami oleh dunia Islam masa kini. Tujuannya ialah untuk menyedarkan kita akan kekerdilan fikiran sesetengah pihak sehingga menyebabkan timbulnya perselisihan yang besar daripada satu perkara yang asalnya tidak berselisih.






Contoh Pertama:



Suasana taksub bermazhab yang paling jelas ialah apabila jamaah yang melaksanakan solat fardhu dibahagikan kepada 4 kumpulan di Masjid al-Haram. Perkara ini berlaku sebelum tahun 1342H/1924M. Lebih menyedihkan, suasana begini berlaku di hadapan Ka’bah padahal Ka’bah itu sendiri merupakan binaan yang mengisyaratkan persatuan umat Islam.



Suasana sebegini masih berlaku di beberapa masjid yang lain di negara yang rakyatnya mengikuti lebih dari satu mazhab. Ini sebagaimana yang diterangkan oleh al-Albani rahimahullah tentang apa yang berlaku di Syria:



Adakalanya didapati sebahagian jemaah itu masih menunggu kedatangan imam mazhab mereka padahal di sebelah mereka jamaah mazhab lain sudahpun memulakan solat bersama imam mereka. Mereka enggan berjamaah bersama di belakang satu imam hanya kerana perbezaan mazhab. Mereka berpendapat solat imam mazhab lain diragu-ragukan dan boleh dipersoalkan, malah ada yang mengatakan ianya tidak sah. (Rujuk: The Prophet’s Prayer Described, ms. xxix)



Contoh Kedua:



Contoh yang lain ialah berkenaan membaca doa qunut dalam solat Subuh. Dalam Mazhab al-Syafi‘e, membaca doa qunut dihukum sunat manakala dalam mazhab Hanafi dan Hanbali ianya tidak sunat.



Dalam menghadapi suasana perbezaan seperti ini, segelintir ulama’ al-Syafi‘eyyah (al-Syafi‘eyyah bermaksud ulama’-ulama’ dalam Mazhab al-Syafi‘e yang hidup selepas Imam Muhammad bin Idris al-Syafi‘e) yang berfatwa bahawa seorang jamaah mazhab al-Syafi‘e wajib melakukan sujud sahwi di akhir solat subuhnya apabila dia menjadi makmum kepada seorang imam dari mazhab lain yang tidak membaca doa qunut. (Lihat Fiqh dan Perundangan Islam (edisi terjemahan oleh Syed Ahmad Syed Hussain; Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia & Dewan Bahasa dan Pustaka, K.Lumpur 1994), jld. 01, ms. 856 oleh Wahbah al-Zuhaili). Di samping itu ada pula yang memfatwakan bahawa seorang jamaah mazhab al-Syafi‘e yang menjadi makmum di belakang imam mazhab lain yang tidak membaca doa qunut boleh mengangkat tangannya membaca doa qunut subuh selagi sempat ketika imam tersebut sedang iktidal mahupun sedang turun ke posisi sujud. (Lihat Reliance of The Traveller (Amana Publications, Maryland, 1994), F12-23 oleh Ahmad ibn Naqib al-Misri, terjemahan dan nota tambahan oleh Nuh Ha Min Keller)



Kedua-dua fatwa di atas jelas merupakan sesuatu yang dikeluarkan kerana sikap taksub kepada mazhab. Ia jelas menyalahi perintah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan bahawa imam itu adalah untuk diikuti oleh jamaah dalam setiap perlakuannya. Perintah baginda:



Sesungguhnya dijadikan seorang imam hanyalah untuk diikuti, maka janganlah kamu berbeza dengannya. Maka apabila (dia) rukuk maka rukuklah, apabila dia membaca “Sami Allahuliman Hamidah” maka bacalah “Rabbana lakalhamdu”. Dan apabila (dia) sujud maka sujudlah dan apabila (dia) solat duduk maka bersolatlah kamu semua dengan cara duduk. (Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain. Lihat Shahih al-Bukhari – no: 722 (Kitab Azan, Bab meluruskan saf termasuk kesempurnaan solat))



Fatwa dan pendapat di atas juga menyalahi contoh yang ditunjukkan oleh al-Syafi‘e sendiri di mana dalam satu riwayat yang terkenal, beliau telah mengimami solat subuh bersama ahli jamaah mazhab Hanafi tanpa berqunut. Apabila ditanya kenapa dia tidak berqunut, al-Syafi‘e menjawab bahawa ia adalah sebagai menghormati Abu Hanifah. (Riwayat al-Dahlawi di dalam Hujjat Allah al-Balighah, ms. 335.)



Contoh Ketiga:



Sikap taksub mazhab tidak terhad kepada persoalan ibadah sahaja. Ia juga melibatkan perkara-perkara lain seperti keturunan, politik dan kehidupan harian. Sebahagian pihak dalam Mazhab al-Syafi‘e pernah mengagungkan Muhammad bin Idris al-Syafi‘e rahimahullah sehingga menghina para imam mazhab lain dengan alasan sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:



Para pemimpin (mestilah) daripada (keturunan) Quraisy. (Hadis daripada Anas bin Malik radhiallahu ‘anh, diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Ya’la dan al-Thabarani. al-Haitsami menyebutnya di dalam Majma’ al-Zawa‘id (ed: ‘Abd Allah M. Darwaisy; Dar al-Fikr, Beirut 1994) – no: 8978 dan beliau berkata: Para perawi (dalam riwayat) Ahmad adalah terpercaya)



Berdasarkan hadis ini mereka berkata:



Kita tidak dapati di kalangan imam-imam mujtahid (para imam mazhab) yang berketurunan Quraish selain Imam al-Syafi‘e.



Sedangkan Imam Abu Hanifah berketurunan bekas hamba, Imam Malik bin Anas daripada qabilah Zi-Asbah, Imam an-Nakha‘e daripada qabilah Nakha’ al-Yaman. Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Muhammad al-Hassan, keduanya dari Bani Syabani dan bukannya dari Mudhar. Imam al-Tsauri berasal dari Bani Thaur dan Imam al-Awza‘e pula juga dari bekas keturunan hamba. (Demikian tulisan Abu Mansur ‘Abd al-Qahar al-Tamimi sebagaimana di dalam buku Rahmat Allah di Sebalik Perbezaan Mazhab, ms. 37 oleh Muhammad Fadli Ismail, yang mana beliau berkata buku ini ialah tulisan al-Suyuti. Buku ini perlu diteliti apakah benar ia tsabit dari al-suyuti, kerana di dalamnya terkandung begitu banyak hadis-hadis yang palsu)



Sikap taksub mazhab oleh golongan di atas menyebabkan mata hati mereka tertutup daripada ayat Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang menyatakan bahawa sebaik-baik manusia bukanlah berdasarkan keturunan atau bangsa akan tetapi ketaqwaannya kepada Allah. Firman Allah:



Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. (al-Hujurat 49: 13)



Adapun maksud sebenar hadis “Para pemimpin (mestilah) daripada (keturunan) Quraisy” ialah bahawa sesuatu negara atau komuniti Islam itu seharusnya memilih pemimpin mereka daripada kalangan kaum atau bani yang majoriti jumlahnya dan besar pengaruhnya supaya kepimpinan rakyat lebih teratur dan baik. Sebaliknya jika pimpinan dipegang oleh pihak minoriti ia akan membawa kekecohan di kalangan orang ramai.



Bani Quraisy disebut dalam hadis ini kerana merekalah kumpulan terbesar dan terpengaruh di Semenanjung Arab pada ketika itu. Akan tetapi hadis ini tidaklah membatasi Bani Quraisy sahaja kerana mereka sebenarnya hanya sebagai kaum minoriti berbanding dengan dunia Islam yang kini menjangkau jumlah 1 billion umatnya. Hadis ini juga lebih khusus kepada persoalan pimpinan duniawi tidak dalam persoalan pimpinan agama kerana banyak dalil-dalil lain yang menyatakan bahawa hal agama tiada bersangkut paut dengan keturunan dan bangsa.



Contoh Keempat:



Sikap taksub mazhab juga boleh menyebabkan para pengikut sesebuah mazhab sanggup mencipta hadis-hadis palsu bagi membenarkan mazhab sendiri. Contohnya ialah hadis berikut yang dicipta oleh pengikut Mazhab Hanafi yang bencikan Mazhab al-Syafi‘e bahawa kononnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ada berkata:



Akan muncul di kalangan umat aku seseorang yang bernama Muhammad bin Idris (al-Syafi‘e) yang akan mendatangkan kerosakan kepada umatku lebih buruk daripada Iblis dan akan muncul pula di kalangan umat aku seorang lelaki bernama Abu Hanifah yang akan menjadi cahaya penyuluh umat aku.



Riwayat palsu ini dikenal pasti oleh Ibn al-Jawzi dalam kitabnya al-Maudu‘at, jld. 1, ms. 457 dan diutarakan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadis al-Dha‘ifah wa al-Maudhu‘ah, no: 570.



Pengikut Mazhab al-Syafi‘e juga tidak kurang hebatnya dengan mencipta sebuah hadis lain bagi menentang Mazhab Hanafi. Diketahui bahawa bagi Mazhab Hanafi disunatkan mengangkat tangan ketika membaca takbir bagi setiap pergerakan rukun solat manakala bagi Mazhab al-Syafi‘e mereka tidak menyunatkannya. Oleh itu pengikut Mazhab al-Syafi‘e telah mencipta suatu hadis bahawa kononnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah berkata:



Sesiapa yang mengangkat tangan ketika solat maka tiadalah solat itu baginya (iaitu tidak sah).



Riwayat ini juga telah dinyatakan kepalsuannya oleh beberapa tokoh hadis seperti Ibn al-Qayyim, al-Dzahabi dan lain-lain sebagaimana terang al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis al-Dha‘ifah wa al-Maudhu‘ah, no: 568. (Ibn al-Qayyim ialah al-Imam Muhammad bin Abu Bakar bin Ayyub bin Qayyim al-Jawziyya. Lahir di Damaskus pada 691H/1292M. Antara tulisan beliau yang masyhur ialah Zaad al-Ma'ad dan I'lam al-Muwaqqi‘in, kedua-duanya telah diterjemahkan. Meninggal dunia di Damsyik pada 751H/1350M)



Demikian empat contoh yang sempat dikemukakan tentang sikap taksub sebahagian pengikut mazhab.



Sikap taksub sebegini timbul hanya kerana ikutan mereka kepada tuntutan nafsu lalu mereka mengunggulkan imam serta mazhab mereka kepada kedudukan yang terbaik. Pada waktu yang sama mereka menghina imam dan mazhab yang lain padahal pengunggulan dan penghinaan mereka hanyalah berdasarkan anggapan semata-mata, bukan berdasarkan kajian dan perbandingan ilmiah. Seandainya dilakukan kajian dan perbandingan ilmiah, pasti mereka akan menyedari bahawa semua para imam dan mazhab fiqh Islam adalah baik. Sikap taksub sebegini akhirnya akan membawa kepada perdebatan, pergaduhan dan perpecahan kepada umat Islam. Ibn Taimiyyah rahimahullah mengulas fenomena ini:



Adapun mengunggulkan sebahagian imam atau syaikh di atas sebahagian yang lain seperti orang-orang yang mengunggulkan imam mazhab mereka sebagai yang paling faqih atau yang mengunggulkan syaikh mereka sebagai sebaik-baik pembimbing di atas selainnya, sepertimana sebahagian orang yang mengunggulkan al-Syaikh ‘Abd al-Qadir (al-Jailani) atau al-Syaikh Abu Madyan atau (al-Imam) Ahmad (bin Hanbal) atau selain mereka, maka kebanyakkan manusia di dalam hal ini berbicara tentangnya berdasarkan sangkaan dan kecintaan yang berlebih-lebihan.



Sesungguhnya mereka tidak mengetahui hakikat sebenar akan martabat para imam dan syaikh tersebut mahupun bermaksud mengikuti mereka kerana kebenaran yang sebenar-benarnya. Akan tetapi setiap mereka hanya mengikut nafsu dengan mengunggulkan tokoh ikutan mereka dengan pengunggulan yang merupakan anggapan demi anggapan semata-mata.



Mereka tidak memiliki apa-apa bukti bagi anggapan tersebut. Sikap seperti inilah yang sering kali menyebabkan perdebatan, pergaduhan dan perpecahan di antara mereka. Ini semua diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya sebagaimana firman-Nya:



Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (‘Ali Imran 3:102-105) (Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2002), jld 20, ms. 291-292)



Oleh itu yang benar, semua mazhab dan para imamnya adalah baik. Orang yang mencenderungi satu mazhab, sebagaimana ulas Ibn Taimiyyah, tidak boleh mengkritik mazhab yang lain dan begitulah sebaliknya. Beliau rahimahullah menulis:



Maka sesiapa yang pada pendapatnya adalah lebih baik untuk mengikuti (Mazhab) al-Syafi‘e tidak boleh mengingkari sesiapa yang pada pendapatnya adalah lebih baik untuk mengikuti (Mazhab) Maliki dan sesiapa yang pada pendapatnya adalah lebih baik untuk mengikuti (Mazhab) Ahmad tidak boleh mengingkari sesiapa yang pada pendapatnya adalah lebih baik untuk mengikuti (Mazhab) al-Syafi‘e dan begitulah seterusnya. (Majmu’ al-Fatawa, jld 20, ms. 292-293)



Sikap taksub hanya dibolehkan dalam satu perkara, iaitu dalam mentaati Allah dan Rasul-Nya.



Wallahu`alam

Khamis, 13 Oktober 2016

ASAL PELIK TERUS WAHABI...





Sungguh amat “melucukan” apabila aku bertandang ke bengkel rakanku sekitar beberapa minggu yang lalu, sahabat-sahabat di situ kecoh memperbincangkan isu “wahhabi”. Sungguh hangat kelihatan gaya dan bunyi nada bicaranya.



Mengapa aku menyatakan perbincangan mereka itu “melucukan”? Mananya tidak lucu... Berbicara berdegar-degar! Menyatakan bahawa geng-geng “wahhabi” ni sebagai seolah-olah cuba menghidupkan suatu ajaran dan sedang berusaha untuk menerapkan serta membangunkan kaedah beragama bentuk baru. Aku fikir apalah agaknya fahaman sesat yang tidak betulnya. Rupanya tidak lebih dari sekadar bualan dan cakap-cakap tidak berhujjah, kering fakta ilmiah-nya.



Menurut mereka, fahaman wahhabi sudah mula menular di sekitar IPTA!!! Mereka mengancam kefahaman dan pegangan agama masyarakat setempat. Habis semua pelajar-pelajar IPTA nanti. Mereka masuk universiti untuk jadi seorang manusia ber-skill profesional dan meraih ijazah mahupun diploma untuk jaminan masa depan mereka. Namun, angkara wahhabi, nantinya mereka jadi sesat pula! Begitulah antara kenyataan-kenyataan mereka ketika lepak di bengkel rakan kami tempoh hari.



Aku mula bertanya kepada sahabat-sahabatku yang begitu rancak kelihatannya berbual tentang ancaman “wahhabi” tersebut. Aku memulakan dengan sebaris pertanyaan,



“Wahhabi” tu mende?”



Dengan pantas salah seorang kawanku, Kamil menjawab, ““Wahhabi” ni dia antara ciri-ciri dia tak baca Qunut bila solat subuh, kalau solat tangan dia letak kat dada, lepas solat tak baca doa dengan imam, tak baca zikir dan ada tu terus je cabut... tak hormat jamaah solat langsung. Emm, lagi satu diorang ni kalau duduk tahiyat, jari telunjuk diorang mesti gerak-gerak.”



Aku mengeluh, sambil hatiku agak tersenyum, “Owh... Macam tu ke?”



“Tu je ke, takde definisi yang specific ke?”



Kamil menambah, “Diorang ni dalam bab perkara ghaib percaya bahawa Allah ni ada tangan, ada kaki, ada mata, boleh ketawa. Tu la yang aku tahu, seingat aku.”



Aku menerima jawabannya, “OooOOoo, faham la sikit-sikit.” Lalu, seorang lagi tampil cuba menambah, “Geng-geng wahhabi ni ikut fahaman Ibnu Taimiyah sebenarnya. Ibnu Taimiyah ni kiranya, otai wahhabi la... Fahaman ni asalnya diasaskan dan dikembangkan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.” Kata seorang lagi sahabatku, si Zakaria, teman lama yang sangat prihatin.



Dia menambah, “Ni, ada sorang ustaz la bagi tau kat aku...”



Emm, aku pun cuba merungkai bagi tujuan membuka kotak pemikiran mereka. “Setahu aku, di Arab Saudi tu diorang pun kalau lepas solat tak baca doa. Yang aku faham, diorang baca doa sendiri-sendiri. Maksudnya, tak lah doa berjamaah. Perkara ni dah lama jugak aku perhatikan, kira-kira dah banyak kali puasa Ramadhan yang lalu. Emm, kan ke time bulan Ramadhan tu TV1 (RTM1) tiap-tiap malam siarkan live solat terawih dan ‘Isya’ berjamaah dari Makkah.”



Mereka mula berkerut, “Owh, macam tu pulak ke, tak perasan lah pulak aku.” Mereka menambah, “Tapi, bukan ke kat Makkah tu mazhab dia ada lain sikit dari Malaysia. Malaysia kan pakai mazhab imam Syafi’i.”



Aku meneruskan bicara, “Kenapa dengan mazhab? Apa yang lainnya, tang mana yang tak sama tu. Kenapa boleh tak sama ye? Kalau tak sama, maksudnya, sesat ke diorang?”



Sekali lagi mereka kelihatan tidak senang. “Emm, tak lah sesat, tapi tak samalah.”



Aku menambah, “Owh... oklah... sebenarnya, dalam bab baca doa lepas solat ni, imam Syafi’i sendiri kata dalam kitab dia yang terkenal bahawa berzikir lepas solat ni kalau ikut sunnah dan hadis yang sahih, ia patutnya dilakukan sorang-sorang dan bukannya secara berjama’ah dan bukan juga dengan suara yang kuat-kuat, tapi slow-slow je... cukuplah untuk dengar sorang-sorang je.”



Mereka bertambah runsing malah seakan-akan tidak berpuas hati. Aku terus menambah, “Korang tak percaya ke? Emm, kalau tak caya... korang gi cari kitab al-Umm, kitab karangan imam Syafi’i sendiri, kat dalam tu ada explain pasal bab ni. Then, dalam tafsir Ibnu Katsir pun ada. Korang rujuk dalam tafsiran dia berkenaan ayat ke 205, dari surah al-A’raaf, surah yang ke tujuh dalam al-Qur’an. Kalau nak tengok kitab tu, dalam internet pun ada, yang bahasa inggeris la. Yang bahasa melayu pulak, aku ada, tapi kat umah. Tak pun, cuba try tengok kat library awam. Maybe ada rasanya. Tak pun, cek la dulu ayat Qur’an yang aku sebut tadi, tengok maksud terjemahan dia. Tengok jugak macam mana Nabi Zakaria berdoa dalam surah Maryam, ayat 3, yang mana dia berdoa dengan suara yang lembut, dan bukan kuat-kuat pakai mikrofon macam yang orang ramai buat tu...”



Mereka tidak puasa hati, “Emmm, betul ke ni Lan... ko jangan main-main bab agama ni. Ko main petik macam tu aje... Mana ko belajar bab-bab macam ni. Kat sekolah dulu, kita takde pernahnya pun sebut bab-bab pelik cam ni.”



“Sebab-sebab diorang tak pernah sebut tu lah, korang kena amik inisiatif cek yang amalan-amalan kita ni menepati sunnah ke tidak. Dah terang-terang kat sekolah takde bincang dan bahas bab ni, yang kita main ikut kenapa ek?” Aku terus menjawab.



Lagi lah mereka tak puas hati, tapi seperti ada tanda yang positif apabila mereka melanjutkan pertanyaan kepadaku pula... “Emm, kalau macam tu, macam mana pulak dengan persoalan tangan letak kat dada time tengah berdiri (qiyam) dalam solat?”



Aku cuba membantu, “Owh, yang tu pulak ke? Aku ada jugak cek dalam buku yang aku beli beberapa bulan yang lalu, buku tentang sifat solat yang ditulis oleh Sheikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Buku tu ada tiga jilid untuk edisi terjemahan. Memang sangat-sangat ilmiah perbahasannya. Kalau korang berminat nak tahu berkenaan bab-bab solat ni secara detail, boleh je aku bagi pinjam buku tu.”



“Apa yang dia explain pasal bab ni, bab apa ni... bab letak tangan kat dada!” Abboy bertanya kelihatan ingin tahu.



“Dalam buku tu menyatakan ada hadis yang menerangkan akan hal tu, hadisnya sahih. Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, seingat aku. Juga bukan dia saja kalau tak silap aku, tapi aku lupa, sapa lagi ek yang riwayatkan. Nanti aku rujuk semula.” Sambungku.



Aku tambah lagi, “Malah, bukan je ada hadis sahih, malah isu ni semua perkara lama... Cuma ramai orang yang tak tahu, coz malas mengkaji dan anggap agama ni asal solat je dah cukup bagus la kot... Tu yang banyak perkara-perkara penting jadi miss tu.” Aku tidak berpuas hati, macam tak berapa lengkap penjelasan aku... lalu menambah, “Antara ulama’ yang menyatakan akan sunnahnya meletakkan tangan di atas dada adalah imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, iaitu salah seorang imam dalam Mazhab Syafi’i. Selain tu, imam asy-Syaukani pun menyatakan hal yang sama. Dalam mazhab lain, antaranya Mazhab Maliki, mereka pun berpegang dengan pendapat yang sama.”



“Wahh, hebat ko ingat semua mende-mende ni... mana ko belajar?” Kadi bertanya.



“Aku baca sikit-sikit je. Selain tu, aku banyak ikut kuliah dari ustaz-ustaz yang baru balik belajar hadis dari Jordan, Mesir, Makkah, dan Madinah. Aku pun banyak jugak search kat internet perkara-perkara ni. Dan aku juga mengkaji tentang istilah “Wahhabi” ni. Mula-mula pelik juga, coz pernah kuar kat muka depan akhbar tu.” Aku merungkai rasa ingin tahu seorang sahabat karib. Dia baru sahaja menamatkan pengajiannya dari UiTM Kampus Arau.



Kadi menambah, “Owh... patutlah aku perasan dulu masa studi kat Perlis, bila solat kat area masjid luar UiTM tu, aku rasa cam pelik semacam je la. Coz, bila habis solat je, diorang terus buat solat sunnat atau duduk sekejap and then, diorang kuar. Takde baca-baca doa ni. Cuma aku nampak adalah sebahagian tu, baca sorang-sorang.”



“Yup, macam tu lah sebenarnya... perbahasannya memang ada di kalangan para ulama. Malahan, cara tu lah yang betul sebenarnya. Tak perlu baca zikir-zikir secara beramai-ramai, dan tak perlu lah doa ramai-ramai jugak. Cukup untuk kita baca sorang-sorang dan minta apa yang kita hajatkan sorang-sorang je. Kalau nak mintakan untuk orang lain, pun boleh je doa sorang-sorang je. Itu lah sunnah yang sebenarnya. Tapi ramai yang tak tahu, kerana mungkin sikap dan budaya membaca dan mengkaji dari kalangan kita ni sangat kurang. Zaman sekarang ni, nak beramal dengan agama tak bolehlah main ikut-ikut je. Kita perlu beramal dengan hujjah dan keterangan yang jelas. Mesti ada sandaran ayat al-Qur’an-nya dan hadis-hadis yang sahih. Yang tak sahih, atau palsu, tak boleh lah pakai.” Begitulah penjelasanku yang tak seberapa ketika itu.



Lalu aku menambah beberapa jawaban untuk persoalan mereka yang seterusnya, “Pasal jari gerak-gerak tu pulak, hadis dia pun sahih. Malah ia sedia maklum dan merupakan pendapat dari kalangan kebanyakan ulama seperti imam al-Nawawi dari Mazhab Syafi’i, pendapat imam Malik, dan pendapat Imam Ahmad juga kalau tidak silap aku. Pendapat ni boleh disemak dalam banyak tempat dalam kitab-kitab ulama. Semua perkara-perkara ni perlukan rujukan dan penelitian secara detail dan ilmiah. Sikap adil dan amanah juga amat penting. Dalam soal agama ni, kita tak boleh main cakap ikut sedap mulut dan hati je. Kena cek betul-betul dulu baru boleh cakap. Kalau tak semak betul-betul, nanti jadilah salah sangka pulak... macam yang korang bincang ni lah... tak pasal-pasal, imam Syafi’i sendiri jadi geng “Wahhabi” kalau macam tu.” Aku memperli sambil tersenyum.



“Owh, apasal macam tu pulak?” Kadi berkerut.



Aku jawab, “Ye laa... dah korang kata sapa-sapa yang tak nak berdoa lepas solat dengan imam dan tak nak zikir tu sama dengan Wahhabi. So, imam Syafi’i sendiri menyatakan zikir dan doa adalah sorang-sorang... Kalau ikut definisi korang tadi, bermakna, dia pun “Wahhabi” la...”



Zakaria pula bersuara seolah-olah belum cukup meredakan apa yang terbuku di lubuk hatinya, “Emm, Lan... aku rasa kan... gerak-gerak jari tu macam pelik lah. Nampak janggal je. Betul ke dalam solat boleh buat gerak-gerak macam tu?”



Aku mengalih pandangan kepadanya lalu cuba memberi pencerahan, “Zek, dalam bab ibadah ni, kita tak boleh ikut hati, rasa, akal dan logik. Kalau macam tu, rasa macam tak best je, macam tak logik je, terus tak payah la beribadat... macam tu? Setuju tak? Emmm, lagi satu, ada orang kristian pernah tanya kat aku, kenapa orang Islam sembayang nampak pelik, kejap angkat tangan, kejap berdiri, kejap duduk, kejap sujud, lepas tu bangun semula...? Aku kata, ini bukan persoalan pelik atau tak pelik... Persoalan pelik adalah persoalan relatif, sapa-sapa je boleh rasa pelik kalau perkara yang dirasa dan dilihat tu asalnya bukan sesuatu yang menjadi kebiasaan bagi dirinya. Apa yang nak aku tekankan kat sini adalah, sejauh mana tindakan taat kita kepada dalil-dalil yang diberikan kepada kita. Emmm, dalam al-Qur’an kan ada kata, “Kami dengar dan kami ta’at”... So, dalam bab ibadah dan terutamanya bab aqidah ni, kita kena faham, dan yakin. Ada perkara-perkara tertentu yang tidak mampu kita perolehi jawapannya bila kita terus persoalkan dan persoalkan... silap-silap, makin kusut kepala kita dibuatnya. Kemudiannya, kalau nabi sendiri buat perkara tu, bermakna nabi lah orang pertama yang buat benda-benda pelik ni. Kat al-Qur’an jugak ada sebut, “Jika benar kita mencintai Allah, maka ikutlah nabi...”.”



“Emm, fahamlah aku kirenya sikit-sikit ni...” Zek kelihatan mula bersetuju.



Kamil yang lama senyap dan hanya mengangguk, tiba-tiba bertanya... “Macam mana pulak dengan kes diorang kata Allah ni ada tangan, ada kaki, ada mata, boleh ketawa?”



Aku tersenyum dan menjawab, “Emmm, yang tu ke. Perkara-perkara tu semua ada dinyatakan dalam al-Qur’an. Selain Allah menyatakan bahawa Allah Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Dia (Allah) juga ada menyebutkan beberapa sifat-sifat yang tertentu bagi-Nya, contohnya,



“Allah menciptakan Nabi Adam dengan kedua Tangan-Nya”... lebih kurang macam tu la maksud/mafhum salah satu ayat yang menyebut (mentioned) tentang Tangan Allah. Persoalan kaki, mata, dan ketawa tu pulak ada disebut dalam hadis-hadis Nabi yang sahih. Malah, banyak lagi sifat-sifat Allah yang lain. Tapi, kita mesti fahamlah, bila kita tahu Allah memiliki Tangan, Kaki, Mata, memiliki sifat ketawa tu semua tu... bahawa ianya tidaklah sama dengan anggota-anggota kita. Sebagaimana mendengarnya dan melihatnya Allah, tidaklah sama dengan mendengar dan melihatnya kita terhadap benda-benda yang lain. So, bila Allah memiliki Tangan, maknanya... tidaklah sama Tangan Allah itu seperti tangan kita atau makhluk-makhluk yang lain. Kalau ada orang tanya tentang bagaimananya Tangan Allah... jawab je... “Wallahu a’lam”, coz, kita tahu setakat Allah ada Tangan, dan tidak pula dijelaskan bagaimana rupanya. Maka kita hanya mengimaninya (percaya), tapi tak tahu bagaimana dan tidak bolehlah nak gambar-gambarkannya dengan bentuk-bentuk tertentu.



Lepas tu, ada pulak ayat al-Qur’an menyatakan bahawa, “Tiada sesuatu pun yang serupa dengan Dia (Allah).” Maka, kita serahkan pada-Nya. Tanpa sibuk-sibuk susah payah fikir-fikir sampai jadi kusut otak kita.”



“Owh, macam tu ke... fahamlah aku sikit-sikit... Dah berapa lama ko kaji tentang “Wahhabi” ni?” Kamil seakan-akan berpuas hati.



“Aiii..., masih nak panggil “Wahhabi” lagi ke? Bukan “Wahhabi” la. Tapi, beramal dengan ilmu la.” Aku menyatakan sambil tersenyum.



“Owh, ok, ok... aku faham dah..” Kamil kelihatannya cuba menerima.



Aku menambah, “Hope, lepas ni... korang cuba-cubalah kaji perkara ni secara detail kalau rasa tak yakin. Dalam agama ni, tak best la main ikut-ikut je. Kena faham secara ilmiah. Sumber-sumber dia apa sume. Betul ke kita ni Mazhab Syafi’i atau, just sekadar cuma kata-kata di bibir je... Padahal imam Syafi’i sendiri tak mengakui yang kita ni pengikutnya.”



“Ok, ok... kitorang dah dapat tangkap la jugak maksud ko tu... kira ok la pendapat ko ni...”



“Haha, sikit-sikit tu ok la... boleh lah tolong-tolong jawabkan untuk korang... kalau nak lebih-lebih, aku pun tak ngaji habis mana lagi pun... Harap korang faham-faham la ok. Nanti kalau korang berminat, sms la aku, boleh aku bawakan sebahagian kitab-kitab yang aku ada. Semuanya edisi dan siap terjemah punya. Mudah faham. Kalau, nak edisi asli, boleh jugak cari sendiri kat internet. Tapi bahasa arab lah. Aku tak mampu baca yang tu. Biasa ada ustaz la yang tolong explain untuk aku.”



“Wokey Lan, cantiklah... dah lewat ni... aku rasa nak balik lah... esok kita sambung sembang lagi.” Abboy mengajak aku beredar dari bengkel tersebut.



“Ha’ah, ye laa... aku pun nak balik la, letih jugak nie. Esok pagi aku dah nak ke Gambang.” 



“Ok Lan, kalau macam tu, nanti bila ko balik, ko sound la kitorang lagi.” Kadi memberi kata putus sebelum beredar.



“InsyaALLAH, Ok, jumpa lagi nanti. Good luck semua.” Aku meng-iyakan kata-katanya.



Tiba-tiba Zakaria datang mendekati aku, “Lan, ada soalan yang ko lupa kot... macam mana dengan fahaman mereka yang dikatakan mengikut pemikiran Ibnu Taimiyah tu?”



“Oh, yang tu... cuba ko cek balik zaman Ibnu Taimiyah dan zaman Muhammad Abdul Wahhab. Sapa yang datang dulu. Apa yang aku tahu, Ibnu Taimiyah datang dulu dan meninggal dunia dulu... kemudian baru Muhammad Abdul Wahhab datang. So, adalah suatu kesilapan jika kita menyatakan Ibnu Taimiyah tu “Wahhabi”... Penisbahan Wahhabi tu sebenarnya adalah suatu cubaan mereka yang anti dengan sunnah Nabi shallahu a’alaihi wa sallam, dengan menisbahkan mereka yang hendak kembali beramal dengan sunnah ni kepada nama Muhammad Abdul Wahhab. Iaitu kelompok Muhammad Abdul Wahhab, dengan term “Wahhabi” (pengikut Wahhab). Em, kalau ko nak tau... malah, seorang imam besar, Imam Ibnu Hajar yang bermazhab Syafi’i sendiri menyanjung Ibnu Taimiyah dan memberi gelaran kepada beliau sebagai “Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah”... wallahu a’lam... Emmm, ko tak nak balik ke? Dah lewat ni...”



“Owh, ha’ah... nak balik.. Ok Lan, Thanks banyak-banyak. Ok juga explaination tu. Sedikit sebanyak dapat jugak menghilangkan beberapa kekusutan aku dalam persoalan agama dan isu semasa ni. Ok, baik-baik jalan esok.”



"Ok, insyaAllah..., As-Salaamu ‘alaikum beb...”