Popular Posts

Isnin, 24 Mac 2014

PAHALA DAN WANG...





Situasi 1

"Alah, dengar benda sama je. Malaslah nak pergi." keluh Kamal.

"Aah, mesti cakap perkara yang sama je. Aku dah tahu apa yang dia nak cakap. Kamu sajelah yang pergi." tambah Aswad sambil merebahkan badannya di sofa yang empuk.


Farhan menggelengkan kepada saja melihat gelagat rakan-rakannya.


Situasi 2


"Ish, ish, tukar-tukar. Ni siaran ulangan. Aku dah tengok." kata Syafiq


"Alah, kitaorang tak tengok lagi lah." balas Zikri sambil tangannya memegang alat kawalan jauh.


"Tukar jelah, apa ustaz tu ceramah korang dah tahu. Ustaz tu cerita pasal perang badar." Syafiq tetap dengan pendiriannya.


"Baik tengok ni daripada tengok filem karut tu. Berfaedah sikit. Tengoklah sekejap mana tahu awak terlepas dengar ke benda yang awak tak pernah dengar." Zaid mencuba menasihati Syafiq.


Akhirnya Syafiq mengalah.


Situasi 3


"Jom ikut ayah pergi ceramah surau ar-Rayyan." kak Aisyah mengajak adiknya mengikuti kuliah maghrib ayahnya di surau.


"Em, malaslah. Semalam dah ikut. Ayah ceramah pakai kitab sama kat surau Ubudiyyah semalam. Dengar benda same je." Widad berdalih.


Situasi 4


"Tukar CD. ceramah ni dah dengar. 2 kali dah."


"Alah, takpelah dengar banyak kali pun. Banyak lagi tak lekat dalam kepala apa yang Ustaz tu ceramah."




Macam-macam senario yang berlaku dah kehidupan seharian kita. Manusia ini mudah jemu mendengar atau melihat perkara yang sama. Kadang-kadang jemu mendengar nasihat yang sama. Memberi nasihat yang sama pastinya. Ibu yang selalu 'meleteri' supaya tidak boleh itu, tidak boleh ini. Kena ini, kena itu. Itu ibunya yang melahirkan kita yang banyak berkorban untuk kita sanggup kita memekakkan telinga apatah lagi orang lain.



Wang dan Pahala itu Tidak Sama


Jika anda ditawarkan 1 juta ringgit untuk membaca 30 juzuk al Quran, adakah sama banyak pahala kita dapat dengan wang yang ditawarkan itu. Mungkin lebih atau mungkin kurang. Atas niat masing-masing.


Kebanyakkan kita lebih sayang wang daripada pahala Allah. Wang dan pahala itu serupa tapi tidak sama. Wang digunakan 'perlaburan' di dunia manakala Pahala digunakan 'perlaburan' di akhirat tetapi kedua-duanya tidak sama sekali.


Lihatlah perbezaan sebagaimana dalam hadis Rasulullah saw yang telah menjelaskan mengenai mereka yang dikatakan bankrup.


Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?


Sahabat ra menjawab, “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki wang dan juga tiada memiliki harta.”


Lalu Rasulullah saw menjawab, “Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi dahulunya waktu di dunia ia pernah mencaci maki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan pernah memukul seseorang. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang yang pernah teraniaya, ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dibayar semuanya, maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)



Pelaburan dengan Allah ada Untung tanpa Rugi


Jika kita lihat situasi di atas, ramai yang berfikiran begitu. Mereka berasa jemu mendengar sesuatu yang berulang-ulang. Walaupun perkara sama tetapi pahala tetap jalan. Mereka tidak sedar walau pun mereka menganggap itu adalah sesuatu yang rugi sesungguhnya tanggapan mereka itu salah. Bahkan pahala Allah itu tidak pernah berhenti seperti air zam zam yang sentiasa mencurah-curah dengan izin-Nya. Sedangkan juga perkara itu lebih baik daripada mereka melakukan perbuatan yang sia-sia malah mereka juga mendapat dosa.


Sedarkah kita bahawa Allah itu Maha Pengasih pada hamba-Nya. Sesungguh tiada hari tanpa pahala. Allah memberi pahala tidak sesekali memberi dosa jika kita tidak melakukan apa yang dilarang-Nya. Allah tidak pernah henti memberi nikmat kepada kita. "Maka nikmat Robb kamu yang manakah yang kamu dustakan". 


Sudahkah kita bersyukur...?



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

GHURABA`





Banyak perkara yang mengelirukan kita pada akhir zaman ini. Kita hidup di zaman yang penuh kekeliruan. Pemikiran kita bercampur-campur. Antara kekalutan situasi yang ada dan kerencaman pelbagai anasir yang wujud dalam menyelesaikan kekalutan itu. Banyak ketulenan sudah hilang. Agama yang asal juga diubah menurut kehendak penaja yang bercakap mengenainya. Bercampur baur antara sunnah dan bidaah. Semua perkara didagangkan, demikian agama juga dilelong. Siapakah yang jujur sukar dicari.


Setiap produk sama ada barangan, perkhidmatan atau pun politik cuba dikaitkan dengan nama agama untuk dilariskan jualannya. Agama dibentuk menurut acuan kehendak pasaran. Pasaran makanan, pasaran pakaian, pasaran politik, pasaran pendidikan dan seumpamanya diberikan nama agama. Sehingga dari produk makanan, pakaian, politik dan segalanya ‘dicelup’ nama Islam. Kita pun sukar hendak pasti antara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan jujur kerana-Nya, dan yang bertujuan mendekatkan wang kepadanya dengan menggunakan nama Allah dan Rasul-Nya.


Inilah yang berlaku kepada golongan Ahlul Kitab yang dilaknat oleh Allah swt melalui firman-Nya, “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka, kemudian mereka berkata: “Ini dari sisi Allah”, supaya mereka (dengan perbuatan itu) dapat membelinya dengan harga yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu”. (QS Surah al-Baqarah, ayat 79).


Itulah Ahlul Kitab, mereka menggunakan nama Allah untuk produk diterima sekali pun ia sama sekali tidak berasal dari Allah dan hanya bidaah dan rekaan mereka semata.

Malangnya di akhir zaman ini, golongan yang menjadikan agama itu bersimpang siur telah menguasai keadaan. Sesiapa yang enggan dia tersepit di tengah ombak kecelaruan yang mengkaburkan. Banyak pendapat dan andaian muncul di sana-sini; sehingga kita tertanya-tanya siapakah yang jujur, siapakah yang berdagang agamanya. Siapakah yang patut kita bela? Inilah suasana dunia yang membaluti kita hari ini. Pendirian agama kita dipaksa oleh orang lain. Kita tidak diberi kebebasan berpegang dengan apa yang kita yakin dari dalil-dalil yang kita baca dari al-Quran dan Sunnah. Itu kadangkala dianggap menyanggahi majoriti.


Kita tidak menafikan masih ada golongan yang soleh, tetapi mereka itu sedikit di akhir zaman, mereka ghuraba. Rasulullah saw bersabda, “Akan tetap ada suatu puak dalam kalangan umatku, yang menegakkan urusan Allah (Islam), mereka tidak dapat dimusnahkan oleh golongan yang menghina dan menyanggahi mereka sehingga tibanya janji Allah (Kiamat) mereka tetap bangkit” (Riwayat Muslim).


Kata Imam Ahmad ra, “Jika mereka bukan ahlul hadis, aku tidak tahu siapa lagi”. Ertinya golongan yang berpegang kepada nas-nas Nabi saw itu akan tetap ada, ditentang dan dilawan, namun tetap bangkit.


Ya, di akhir zaman, golongan ini minoriti. Mereka dianggap asing di tengah lautan manusia yang rosak. Dalam riwayat Imam Ahmad ra, Baginda saw bersabda, “Beruntunglah golongan ghuraba` (yang asing atau pelik)”. Ditanya Baginda saw, “Siapakah mereka yang ghuraba itu wahai Rasulullah?”. Jawab Baginda saw, “Golongan yang soleh dalam kalangan ramai yang jahat, yang menentang mereka lebih ramai daripada yang mentaati mereka”. (dinilai sahih oleh Ahmad Shakir).


Ghuraba` atau asing itu ada dua bentuk. Pertama; asing di sudut jasad, seperti mana seseorang yang pergi ke tempat baru yang dia tidak dikenali. Maka, dia akan berasa terasing dalam masyarakat yang baru, atau orang melihatnya asing kerana baru hadir. Namun, itu senang untuk diselesaikan. Sedikit pergaulan mesra, dan pandai mencari kawan, keadaan mungkin tidak asing lagi.


Kedua; asing di sudut roh dan pemikiran. Sekali pun seseorang itu lama atau anak jati masyarakatnya, tetapi dia mungkin dianggap asing disebabkan pemikiran yang berbeza dengan mereka, atau sikap yang asing dari kebiasaan masyarakatnya. Dia terpencil kerana pendiriannya. Hal ini menyebabkan dia akan dipulau, dikecam, dihina dan ditolak. Tidak dapat diubah keadaan ini, melainkan dia mengubah prinsipnya, atau dia berjaya mengubah persepsi masyarakatnya. Itu merupakan tanggungjawab yang berat. Apatah lagi dalam masyarakat akhir zaman, di mana Rasulullah saw bersabda, “Islam itu bermulanya asing, dan akan kembali sebagai asing, maka beruntung mereka yang ghuraba` (yang asing)”. Ditanya Nabi saw, “Siapakah ghuraba`?”. Jawab Baginda saw, “Serpihan dari kabilah”. (Riwayat al-Baghawi, sanad sahih).


Maksudnya, golongan yang asing dan terpencil dari kelompok mereka, sama ada kabilah keturunan atau kumpulan-kumpulan yang wujud dalam dunia hari ini.


Biasanya, setiap puak mahu kita mengiyakan sahaja apa yang mereka kata. Jika mereka bangsa, mereka mahu sama ada buruk atau baik, kita sokong semua tindakan bangsa atau kabilah kita. Jika amalan tradisi yang bidaah dalam masyakat, disuruh terima sekali pun menyanggahi kitab dan sunnah. Kalau parti politik mereka mahu supaya kita tunduk kepada mereka sama ada yang benar atau yang salah. Demikian kumpulan dan organisasi dan seumpamanya.


Bagi mereka, jika tidak tunduk sepenuh itu tidak ada pendirian. Menyokong sebahagian perkara, berbeza dalam beberapa perkara dianggap berpendirian tidak teguh, kerana paksi mereka itu adalah kumpulan atau bangsa. Namun, golongan ghuraba’, paksi mereka adalah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Mereka itu ‘Allah centric’, berpaksikan Allah dalam keputusan, sekali pun terpaksa berkorban jawatan, nama, rakan dan kedudukan.


Amatlah sukar untk hidup sebagai ghuraba`. Tekanan perasaan dan jiwa akan melanda. Mungkin mudah untuk diceritakan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Justeru itu, mereka dijanjikan syurga. Janji Nabi saw, "Beruntunglah ghuraba". Golongan ghuraba’ bukan asing dinisbahkan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah, tetapi asing dinisbah kepada keadaan sekeliling yang berbeza dengan kedua sumber agung itu. Namun, apakah pilihan yang ada, sedangkan Allah mengingatkan Nabi saw, “Jika engkau taat kepada kebanyakan mereka di bumi ini, nescaya mereka menyesatkan engku dari jalan Allah” (QS Surah al-An’am, 116).

Ketika ramai manusia berlari mencari keredhaan makhluk, golongan ghuraba’, berlari mencari keredhaan Allah, sekalipun dimusuhi makhluk. Firman Allah, “Maka larilah kepada Allah” (QS Surah al-Zariyyat, 50).


Hidup sebagai ghuraba’ bukanlah mudah, namun kadangkala kita terpaksa mengharunginya. Ini menambahkan tawakal, keikhlasan, kekhusyukan dan segala jalan yang mendampingkan kepada Allah. Ketika dunia enggan berdampingan, tiada teman melainkan Robb al-Rahman dan rakan-rakan yang menjalani kehidupan sebagai ghuraba’. Di situlah limpahan kemanisan perjuangan.




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Sabtu, 22 Mac 2014

DI BAWAH NAUNGAN RASA...





Di sini....
Di tepian pantai ini
Masih ku terpaku sendiri
Berteman sepi dan sunyi



Deburan ombak
Menghempaskan pasir tempat ku berpijak
Tersentak aku dalam benak
Mengingat cinta yang telah terkoyak...



Di atas pasir putih
Ku duduk dengan letih
Sambil ku pandang sebuah diari
Yang di dalamnya menyimpan cerita sedih...



Sementara di hamparan langit malam
Rembulan tersenyum dengan manis
Begitu setia menemani malam
Memberi terang pada wajah bumi yang begitu suram...



Andai cerita malam dan rembulan
Mampu ku pertautkan
Di antara sejuta kerinduan yang ku rasakan
Mungkin aku tidak akan merasa kesepian...



Betapa ingin ku rasakan
Sentuhan hangat di setiap pelukan
Hingga sepi dapat ku tepiskan
Di bawah naungan rasa yang meneduhkan...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

AKANKAH KAU...?





Akankah kau...?

Jawapannya terletak benar dalam hatiku
Jadi jika aku memberitahu padamu
Apakah kau akan merobeknya terpisah
Atau kau akan merahsiakannya
Sehingga hanya kau yang tahu
Kau akan menutupinya sehingga tidak akan tampak...



Mahukah kau memberitahu aku
Apa yang aku tidak tahu benar
Jadi aku mampu terus mencintaimu
Atau akankah kau beri makan aku dengan kebohongan
Kau menyembunyikan kebenaran di balik mata
Kau Berpura-pura
Kau tidak pernah benar-benar peduli
Kebohongan dan kebencian palsu, yang kau nyatakan...



Terburuk akan menjadi yang terbaik
Ketika itu terjadi, aku akan beristirehat
Atau aku akan hidup dengan penderitaan ini
Melewati semua kebohongan
Sehingga kau dapat merasa betapa aku mencintaimu....



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

CINTA TELAH PERGI...





Cinta telah pergi
rindu telah mati
lewati sepi sendiri
tanpa tangis yang merintih



wajah hari kelam
waktu telah suram
saat senja datang
dalam secercah bayang-bayang...



matahari pulang
siang pun tenggelam
meranjut mimpi malam
dalam benang hitam kenangan...



disini...
dibatas sabar penghabisan
lantang bernyanyi kidung kematian
menembangkan doa-doa sunyi perjalanan
diatas segunung rasa yang hampir padam...



biarkan aku tanpa cinta
biarkan hati bernyanyi tanpa kata
keranna irama telah kehilangan liriknya
hanya tinggal sepenggal bait tanpa nada...



biarkan rindu tidak bersahutan
biarkan sepi menembang malam
hening telah setia menjadi teman
membimbing langkah menuju jalan Ilahi....



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Jumaat, 7 Mac 2014

AKU RELAKAN SEMUANYA...





Perlukah aku kesali
pada setiap kenangan yang berlalu
andai yang di bawa pergi itu
hanyalah duka dan hibaku...



Perlukah aku tangisi
pada setiap garis yang engkau lakarkan
andai yang tercalar itu
hanyalah mimpi khayalku...



Perlukah aku ratapi
pada setiap langkah pergimu
andai yang pergi itu
tidak pernah menginginkan ku...



Aku akui... aku derita disini
Aku akui... aku sengsara begini
Aku akui... aku terluka dihati



Aku relakan...semuanya...
Aku halalkan segalanya...


Pergilah...
Aku izinkan kau pergi
Kerana aku yakin...semua sudah azali...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

SALAHKAH RASA INI...?





Ingin ku genggam jemarimu agar dapat ku rasakan kedekatan hati kita...

Ingin ku raih hatimu dan ingin ku katakan kau adalah mimpiku selama ini...

Ingin ku dakap dirimu dan ingin selalu berada di sampingmu...


Salahkah hati ini mendamba hati mu...

Salahkah mimpiku akan hayal dirimu...

Salahkah keinginanku untuk selalu dekat denganmu....



mendung ini menutupi matahari pagi yang malu malu memancarkan sinarannya...

mendung hatiku untuk menyingkirkan akan mimpi tentang dirimu...


Kesedaran akan diri yang menahan gejolak hati meraih dirimu...



ku lepaskan angan akan dirimu...

aku tahu aku terhempas dalam angan indah yang ku rangkai dalam diri...

aku tidak menyesali akan indahnya angan indah yang ku rangkai dalam hati...

aku bahagia sesungguhnya dapat bertemu denganmu...

ingin ku bertemu kembali dalam mimpi indah setiap malami...

sebuah angan membangkitkan akan jiwa terpuruk renta rapuh...



sebuah mimpi membawa jiwa akan kasih sayang abadi bersama DIA..

DIA tidak akan pergi meninggalkan ku,



DIA akan selalu tersenyum untukku sekarang dan selamanya....



Berbahagialah orang memandang wajahmu wahai penghulu keturunan mulia...

Yaa Nabi Salaam 'alaika
Yaa Rasul Salaam 'alaika
Yaa Habib Salaam 'alaika
Salawaatu'llah 'alaika...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

BILAKAH PERLUNYA ALLAH...?





Bilakah perlunya Allah swt...?


Bilakah agaknya kita meletakkan harapan menggunung kepada-Nya...?


1. Hari-hari dan malam sebelum peperiksaan

2. Saat menunggu giliran temuduga

3. Tika menemani isteri yang sedang berhempas pulas ketika bersalin

4. Ketika menangani ayah atau ibu atau anak yang sakit

5. Tempuh menunggu keputusan lamaran

6. Saat hampir lemas di lautan



Acapkali kita melupakan Allah dek kesibukan menguruskan kehidupan seharian. Sama ada disedari atau pun tidak, kita berbuat amalan rutin dengan penuh yakin tanpa berfikir bahawa kita memerlukan Allah pada setiap ketika.



Di manakah Allah swt...?

1. Sedang menerima keputusan peperiksaan yang menggembirakan

2. Ketika menerima biasiswa pengajian

3. Ketika diumumkan bonus dan kenaikan pangkat

4. Ketika lapang di musim cuti yang panjang

5. Di kala senang dan sihat tubuh badan

6. Ketika dipuji teman dan kenalan



Maafkan kami, hamba Mu yang leka ya Allah…



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

AKU MENDENGAR SUARA HATIMU...





Saat kau jatuh dan terluka
Hidup hampa kau rasakan
Jangan takut dan menyerah
Kerana aku pernah merasakannya...



Saat kau sendiri menanti harapan yang tidak pasti
Janganlah kau bimbang menjalaninya
Kerana semua itu pernah aku laluinya
Buluh yang terkulai
Tidak akan pernah dipatahkan
Sumbu yang pudar nyalanya
Tidak akan pernah dipadamkan



Sedarilah bahawa kau tidak pernah sendiri
Ada Robb yang selalu peduli
Dia tidak pernah tinggalkan
Dia selalu perhatikan



Bangkit dan teruslah bangkit
Walau kau jatuh dan terjatuh lagi
Aku pernah mengalaminya...


Sakit sungguh sakit
Tapi percayalah
Allah akan mengangkatmu
Menemanimu,
Menyayangimu
Dan kau tidak akan pernah sendirian...



Wallahu`alam 



Jagalah Hati...

Rabu, 5 Mac 2014

IZINKANLAH AKU...





Ya ALLAH...
Aku masih tidak menemukan cinta tertinggi untuk Mu...
Kerana itu...
Aku terhempas dalam jurang dan kegelapan...



Wahai Ilahi…
Aku cuba merangkak menggapai permukaan bumi
Dan menegakkan jiwaku kembali..
Meratap, memohon, dan menangis hiba...



Ilahi…aku tidak mampu mencintai Mu...
Dengan kesabaran menanggung derita
Umpama Nabi Ayyub, Musa, Isa hingga ke kekasih Mu...
Kerana itu… izinkanlah aku mencintai Mu melalui keluh- kesah pengaduanku pada-Mu...
Atas secalit derita batin dan jasadku..
Atas sakit dan ketakutanku..
Atas penyesalan dan penyiksaanku...


Ya Rabbi…
Aku tidak mampu mencintai Mu
Dengan khusyuknya solatku seperti para Nabi Mu..
Hingga tiada terasa anak panah musuh terhujam dikakinya..
Kerana itu ya ALLAH…
Perkenankanlah aku tertatih menggapai cinta Mu...
Dalam solat yang cuba aku dirikan dengan hati yang tidak sempurna..
Dengan ingatan yang masih melayang memikirkan permasalahan diriku di dunia ini....



Ya Maha Pengasih...
Aku tidak dapat beribadah seperti para sufi
Yang membaktikan seluruh malamnya untuk bercinta dengan Mu...
Semisal Sumayyah, yang mempersembahkan jiwa demi tegaknya agama Mu...
Seperti para syuhada yang menjual dirinya dalam jihadnya kepada Mu..

Ya Maha Pencinta..
Aku tidak mampu setanding Rabiatul Adawiyah
Yang mencintai Mu dengan seluruh dirinya..
Yang menenggelamkan cintanya kepada Mu sehingga tidak berpaling kepada yang lain..
Kerana itu Ya ALLAH…
Perkenankanlah aku mencintai Mu melalui hati yang merintih untuk cuba mencintai Mu...
Melalui jiwa yang kecewa mencintai yang lain selain Mu…



Allahu Rahmanurrahim, Ilahi Rabbi…
Perkenankalah aku mencintai Mu semampuku
Agar cinta itu mengalir disepanjang nadiku………
Izinkanlah aku mencintai Mu agar cinta itu berdetik di setiap degupanku…
Kurniakanlah rasa cinta kepada Mu...
Sehingga aku tidak mengharap yang lain selain Mu…….



Pilihlah aku mencintai Mu melebihi segala yang ada di dunia ini....



Amiinn....



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

JIKA AKU PERGI...






Jika aku pergi
Akankah ada yang menyedari..?
Akankah ada yang terluka...?
Akankah ada yang gundah...?



Jika aku pergi
Akankah ada yang menangisi...?
Akankah ada yang tersiksa...?
Akankah ada yang dendam...?



Jika aku pergi
Akankah ada yang menyesali...?
Akankah ada yang ku sakiti...?
Akankah ada yang pilu...?



Jika aku pergi
Akankah ada memahami
Atas ketiadaanku di sini...?




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

JIKA RASA SEDIH...





Jika rasa sedih itu adalah air
Biarlah ia mengalir ke akar-akar pohon, 
ke tanah-tanah gersang, 
ke tasik-tasik yang kekeringan. 
Semoga ada manfaat kepada yang lain
Tetapi janganlah ke mataku, 
Kerana sudah terlalu banyak air yang mengalir dari situ
Kerana aku takuti air dari mata aku itu tidak mampu memadamkan api neraka Mu, 
Hanya membawa kepada kemurkaan Mu...



Jika rasa sedih itu adalah angin
Biarlah ia menghembus lembut ke hamparan-hamparan yang ketandusan
Ke kawanan burung yang mendambakan angin. 
Semoga ada manfaat kepada yang lain
Tetapi janganlah ke jiwaku,
kerana sudah terlalu lama angin yang bergelodak di situ
kerana aku takuti angin dalam jiwaku tidak mampu menjadikan aku kuat untuk ke jalan Mu, Hanya membawa kepada kemurkaan Mu...


Jika rasa sedih adalah ketajaman
Biarlah ia digunakan untuk menghunus musuh-musuh Islam
Untuk mengasah akal para pejuang agama
Semoga ada manfaat kepada yang lain
Tetapi janganlah ke hatiku
Kerana sudah terlalu dalam luka yang terhiris
Kerana aku takuti ketajaman ke hatiku itu tidak mampu menjadikan hatiku ikhlas untuk Mu,
Hanya membawa kepada kemurkaan Mu...



Jika rasa sedih adalah cahaya dari Allah
Biarlah ia terpancar ke dalam mataku, 
jiwaku, 
hatiku 
dan ke seluruh alam
Agar semua dapat merasai cahaya keindahannya itu
Cahaya petunjuk dari Mu, Ya Allah
Tanda kasih, cinta, ingatan dari Mu Yang Maha Agung, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Mengasihani, Yang Maha Pencinta
Yang telah menciptakan segala-galanya...



Daripada tiada kepada ada
Agar semuanya kembali kepada Mu, Ya Allah
Kembali sujud kepada Mu
Kembali menuju ke jalan Mu
Kerana Engkau jua destinasi cinta yang hakiki...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...