Assalamualaikum w.b.t
Kehadapan pemilik rusuk kiri ku, semoga ketika ini kau sentiasa berbahagia di samping keluarga tercinta dan di bawah lindungan redha Pemilik segala yang ada di bumi dan di langit.
Sengaja aku menuliskan
Mungkin kini kau merasakan jarak, masa dan urusan dunia telah memisahkan kita. Tapi ingatlah, Jarak bukan alasan untuk kita berkasih. Masa bukan alasan untuk kita merindu. Dan urusan dunia bukan alasan untuk kita bercinta.
Ketahuilah bahawa cinta tidak pernah bersalah, kerana yang bersalah ialah pengendali cinta. Malah cinta itu bertamu tanpa diundang. Kerana itu cinta perlu dikendali dengan baik. Dilawan, sengsaralah jiwa. Dilayan, matilah jiwa.
Kendalikan cinta dengan sebaiknya. Andai cinta tidak didasarkan pada cinta dan keredhaan Allah, maka sia-sia sahaja ucapan cinta yang diluah. Malah mungkin sahaja cinta itu yang akan membuatkan diri kita jatuh ke lembah hina. Malah mendekatkan kita dengan azab-Nya. Nyahkan cinta seperti itu dari hidup kita. Junjunglah cinta Allah dan Rasul di atas setiap gerak geri agar cinta selain itu ikut serta dalam lindungan-Nya.
Mungkin kau
tertanya apakah yang harus dilakukan untuk mendambakan cinta dari manusia soleh
andai cinta tidak diluah dan rindu tidak disemai. Jawapanku mudah. Sudah
lupakah kau pada ayat suci Al-quran yang bermaksud:
“ Sesungguhnya
perempuan yang solehah untuk lelaki yang soleh dan yang jahat pula untuk
perempuan yang jahat.”
Tetapkan hati
dan yakin sepenuh jiwa bahawa janji Allah itu benar. Allah tidak pernah
menzalimi hamba-Nya. Cintailah manusia kerana Allah, bukan cintai Allah kerana
manusia.
Seperkara yang
penting, manusia sudah pasti tiada yang sesempurna malaikat. Jika kau
mendambakan sempurna tiada cela dan cacat, sebenarnya kau telah tertipu. Malah
hakikat pernikahan adalah untuk saling menampung yang kurang dari pasangan.
Redhalah bahawa aku bukanlah lelaki sempurna. Begitu juga aku redha kau adalah
wanita yang tidak sempurna.
Kerana apa aku
mengharapkan pernikahan menjadi pengikat antara kita? Kerana tiada jalan lain
yang lebih suci dan bersih selain jalan ini untuk menghalalkan sesuatu hubungan
antara dua jantina berbeza. Mungkin kau menduga bahawa jalan ini sukar dan
penuh liku. Ya, aku akuinya. Memang ianya sebuah jalan yang penuh liku. Kerana
tiada sebuah kebahagiaan pun yang ingin digapai tanpa dibasahi peluh dan
dicalari duri. Untuk
memperoleh syurga Allah pun perlu mengorbankan harta dan jiwa. Jadi bersabarlah
menghadapi kepahitan terlebih dahulu kerana aku yakin dipenghujungnya pasti kau
akan temui kemanisan.
Marilah kita
merealisasikan impian mahligai perkahwinan. Kerana hanya dengan perkahwinan,
hati kita menjadi satu. Janji kita menjadi jitu. Dan cinta kita menjadi padu.
Kemudian pasti datang menerpa kita sakinah, mawaddah dan rahmah. Aku yakin
kerana janji Allah tidak pernah dimungkiri.
Pesan terakhirku
buat pemilik tulang rusuk kiriku, bagaimana mungkin rumah yang cantik dan besar
dibina di atas tapak yang rapuh dan goyah. Begitu juga pernikahan yang suci dan
mulia mana mungkin terbina atas dasar cinta yang palsu dan menipu. Kerana itu
aku takut berjanji, kerana aku bimbang tidak mampu menunaikannya. Kita hanya
merancang, keputusan tetap di tangan-Nya. Yakinlah. Insyaallah.
Yang benar,
Lelaki tidak
sempurna.
Wallahu`alam
Jagalah Hati…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan