Popular Posts

Khamis, 3 Oktober 2013

PRA SYARAT KEMENANGAN....





Semua orang yang berjuang mengharapkan kemenangan. Malah ramai yang mengimpikan kemenangan berlaku semasa hidupnya.


Namun apakah definasi kemenangan yang diinginkan oleh Islam...?


Ada pejuang meletakkan kemenangan dalam perjuangannya ialah ; apabila berjaya menjadi wakil rakyat dan menjadi pemerintah di sesebuah negeri sebagaimana kejayaan Nabi saw menguasai kuasa pemerintahan di Madinah semasa hayat Baginda saw.


Kejayaan memerintah sebuah negeri adakah satu kemenangan hakiki atau ia adalah satu bebanan tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat? Apakah mereka yang gagal mendapat kuasa semasa hidupnya di dunia adalah golongan yang gagal di akhirat?


Apakah kita diwajibkan berusaha mendapatkan kuasa dengan apa juga cara atau cara mendapatkan kuasa juga perlu mengikut landasan Syariat?. Apakah kuasa pemerintahan itu satu-satunya matlamat Islam maka apabila kita berkuasa kita telah dikira berjaya mencapai matlamat Islam?


Sebenarnya Islam mempunyai definisi tersendiri mengenai kejayaan dan kemenangan. Pejuang-pejuang Islam sebenar adalah mereka yang berjuang bagi merealisasikan kemenangan yang dikehendaki oleh Allah bukan kemenangan berdasarkan definisi mereka sendiri.


Allah swt menyebut kejayaan dan kemenangan dengan beberapa istilah dalam al-Quran seperti; Aflaha, al-muflihun dan al-faizun. Allah juga mengistilahkan orang yang gagal sebagai Khusr dan al-khasirun.

Allah menyebut kemenangan sebagai al-Nasr dan menegaskan bahawa semua kemenangan adalah kurniaan Allah yang bersyarat. Allah menegaskan punca kekalahan umat Islam dalam pertembungan dengan Thaghut apabila mereka tidak memiliki pra syarat kemenangan.


Dalam tasawwur Islam, umat Islam sentiasa dalam ujian Allah pada setiap detik dan dalam setiap detik itulah mereka sama ada dalam kejayaan atau kegagalan. Itulah yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Takathur dan al-Asr.


Dalam surah al-Takathur Allah mengancam orang-orang yang dilalaikan oleh aktiviti kehidupan dunia dan secara khusus mencari kekayaan harta daripada matlamat hidup sebenar sebagai seorang muslim.


Mereka yang mencari kekayaan dunia dengan cara yang haram; seperti berjudi, merompak, pecah amanah, menipu, mempedagangkan perkara-perkara haram, mengamalkan riba, sihir dan tenung nasib.


Mereka yang mencari kekayaan dunia dengan mengabaikan kefarduan syarak; seperti meninggalkan solat fardu, tidak mengeluarkan zakat, tidak melakukan amar makruf dan nahi mungkar dan tidak mendalami ilmu fardu `ain.


Mereka yang melakukan perkara-perkara haram ketika mencari kekayaan dunia seperti; berkhalwat, ikhtilat (percampuran bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim) dan mengumpat.


Dan mereka yang menjadikan amal ibadat sebagai alat mendapat kemasyhuran dunia ; seperti riya’ adalah termasuk didalam golongan yang mendapat ancaman Allah ini.


Dalam surah al-Asr; Allah menegaskan bahawa umat Islam akan rugi di akhirat melainkan jika mereka memiliki empat sifat iaitu, beriman, beramal soleh, membudayakan amalan nasihat menasihati sesama mereka untuk berada di atas landasan kebenaran dan saling menasihati untuk bersabar kerananya.


Syarat-syarat untuk terselamat daripada kerugian sebagaimana ditegaskan dalam surah al-Asr tidak akan mampu dilaksanakan melainkan secara berjamaah. Oleh itu objektif berjamaah juga untuk bersama-sama menyusun aktiviti amali bagi merealisasikan empat syarat ini dalam budaya hidup berjamaah.


Umat Islam hari ini hidup berorganiasasi tetapi pimpinan organisasi mereka hanya meletakkan perancangan strategik untuk mencapai matlamat dunia mereka sahaja. Umat Islam hidup dan berkerja dalam organisasi tersebut kadang-kadang terpisah daripada landasan hidupnya sebagai seorang muslim.


Sebaliknya setiap individu muslim terpaksa berjuang secara bersendirian dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan syurga. Organisasi yang mereka korbankan masa mereka untuknya juga mengabaikan kebajikan isteri dan anak-anak anggotanya terutamanya dalam mengejar kejayaan akhirat.


Dalam surah al-Mukminun Allah menyatakan ciri-ciri orang beriman yang berjaya antaranya menunaikan solat, khusyuk dalam solat, menunaikan zakat dan menjaga diri daripada terjebak ke lembah zina.


Dalam surah al-Anfal Allah mengkhabarkan bahawa orang yang memiliki keimanan yang sebenar ialah mereka yang memiliki hati yang bersih dan takut kepada Allah, gementar hati mereka apabila mengingati Allah, bertambah keyakinan mereka apabila membaca ayat-ayat Allah dan mereka pasrah dan bertawakkal kepada Allah sebagaimana pasrahnya tentera Badar kepada Allah.


Dalam surah al-Hasyr setelah Allah membuat komentar terhadap golongan Yahudi, munafik dan memuji golongan al-Ansar yang itsar terhadap saudaranya dari golongan al- muhajirin ; Allah swt membuat perintah penutup dalam surah ini dengan menyeru orang-orang yang beriman agar sentiasa bertakwa kepada Allah dan sentiasa merancang dan merencana bagi membuat persediaan untuk kehidupan mereka esok hari.


Allah swt melarang mereka menjadi seperti orang yang melupai Allah sebagaimana sifat-sifat ahli-ahli neraka, kerana cara hidup ahli syurga tidak sama dengan cara hidup ahli neraka.
Ayat-ayat berkaitan dengan sifat-sifat orang yang beriman, bertakwa, muhsinin, sifat-sifat ahli-ahli syurga terlalu banyak disebut oleh Allah dalam al-Quran begitu juga sifat-sifat golongan kuffar, munafik dan fasik.


Apa gunanya ayat-ayat ini diturunkan kepada Nabi saw jika bukan untuk memerintahkan Baginda saw membina dan menyuburkannya ke dalam jiwa orang-orang yang beriman dan menjauhkan mereka daripada ciri-ciri manusia yang gagal.


Pimpinan gerakan Islam yang merenung Tarbiyyah Rabbaniyyah ini memahami bahawa tugas mereka ialah membawa ummah kepada Allah .


Inilah tugas yang diwarisi daripada nabi dan rasul; tugas membuat perubahan tamadun manusia daripada jahiliyyah kepada Islam dan inilah tugas gerakan Islam yang sebenar.


Fiqh Haraki bermaksud memahami cara menggerakkan proses perubahan. Semua sistem, peraturan, perundangan yang disusun memerlukan manusia untuk mengoperasikannya. 


Bagaimana sistem yang terbaik boleh dioperasikan jika manusia itu bukan manusia yang terbaik.?


Manusia terbaik hanyalah manusia beriman, bertakwa dan muhsinin . Mereka hanya akan berjaya jika mereka memiliki cirri-ciri kejayaan dalam diri mereka.


Tidak ada jalan untuk melahirkan manusia ini melainkan dengan cara Nabi saw mengubah Umar, Abu Bakar, Uthman radiallahu anhum ajmain…


Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan