Popular Posts

Ahad, 27 Oktober 2013

DOA AWAL TAHUN PERSEKOLAHAN...





Segala puji hanya untuk Mu Ya Allah. Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sekalian...


Kami berhimpun di dewan yang mulia ini pada hari pertama persekolahan bagi tahun ini, menadah tangan dengan penuh pengharapan dan rendah diri agar kami dikurniakan limpah kurnia, inayah dan riayah, taufik dan hidayah agar kami dikurniakan kesihatan dan kekuatan, tekad dan azam yang tinggi untuk berjaya serta dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab...


Sesungguhnya, menjelang tahun baru bererti usia kami semakin meningkat. Jadikan kelanjutan usia ini satu rahmat kepada kami, untuk terus beribadah kepada Mu, jauh sekali daripada menderhakai segala perintah Mu. Hari-hari yang berlalu, jadikanlah ia sebagai renungan. Yang baik dan manis menjadi ingatan. Yang pahit menjadi pengajaran. Itulah sebaik-baik muhasabah, sebagai panduan untuk menjejaki hari-hari mendatang. Mudah-mudahan, kehidupan pada hari ini dan pada masa-masa akan datang, akan lebih cemerlang daripada kehidupan masa silam...


Ya Allah...perbaikilah hubungan antara kami, jinakkanlah hati antara kami, tunjukkanlah kami jalan yang selamat, selamatkan kami daripada kegelapan petunjuk kepada yang terang benderang cahaya, jauhkanlah kami daripada perbuatan keji, baik yang nampak, mahu pun yang tersembunyi...


Ya Allah... limpahkanlah keberkatan kepada kami, isteri dan anak-anak kami, sahabat handai dan rakan taulan kami dan seluruh muslim dan muslimat...


Bantulah kami bagi melaksanakan amanah mengajar dan menuntut ilmu ini, pimpinlah kami ke arah kebaikan, hindarkan kami daripada melakukan amal perbuatan pimpinan syaitan. Berikanlah kekuatan kepada kami agar memperoleh keredhaan ilmu dan dapat memanfaatkan ilmu untuk mengharapkan keredhaan Mu Ya Allah...


Ya Allah...Engkau tingkatkanlah keilmuan, keazaman dan komitmen kami, untuk terus menjalankan segala tanggungjawab. Justeru itu Ya Allah, tingkatkanlah semangat dan hasil kerja kami untuk terus menghambat kejayaan demi kejayaan, dengan penuh dedikasi, cekal dan proaktif, selaras dengan sabda rasul Mu yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang daripada kamu, yang apabila melakukan sesuatu pekerjaan, akan dilakukannya dengan penuh kesungguhan".


Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami dan dosa mukminin dan dan mukminat seluruhnya sama ada yang hidup mahu pun yang telah meninggalkan kami...


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia dan akhirat dan selamatkan kami daripada azab api neraka... 


Aamiin...



Wallahu`alam


Jagalah Hati...

BUAT YANG DEMAM KUASA....





Ucapan dan slogan politik kedengaran di sana-sini...


Kuasa, kuasa dan kuasa. Itulah mimpi sebahagian manusia. Saya tidak ingin mengulas, tetapi hanya ingin memetik pelbagai ucapan beberapa tokoh umat Islam berkaitan dengan perjuangan dan kepimpinan.


Harapnya ia boleh menjadi bekalan dan renungan untuk semua pihak yang terbabit. Ia boleh menjadi koleksi dan muhasabah untuk mereka yang merasa diri berada di medan perjuangan dan siasah.



Akui kesilapan...


Nabi Musa as berjuang menghadapi Firaun. Namun Nabi Musa as pernah membuat kesilapan sebelum menjadi rasul iaitu telah memukul seorang warga Mesir keturunan Qibti sehingga mati. Semasa dialog antara Musa as dan Firaun, Firaun mempertikaikan tindakan Musa as tersebut.


Nabi Musa as mengakui kesilapan tersebut, namun meneruskan perjuangan yang benar. Allah swt menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firman-Nya, "Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya, "Sesungguhnya kami adalah utusan Robb sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israel mengikut kami"


Firaun menjawab, "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?"


Nabi Musa berkata, "Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu, kemudian Robb ku mengurniakan daku ilmu pengetahuan dan menjadikan daku seorang Rasul-Nya. Ada pun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israel"" (Surah al-Syu’ara : 16-22).


Inilah sikap pejuang yang ikhlas dan benar!.



Pohon maaf dan betulkan kesilapan...


Apabila fitnah berlaku di zaman pemerintahan Syaidina Uthman bin ’Affan ra, beliau menulis surat kepada rakyat memohon kemaafan dan membuka ruang agar dibetulkan kesalahan pentadbiran.


Beliau menyebut dalam suratnya, "Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku menerintah, aku telah jadikan umat ini dikusai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy’an al-Munkar.


Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka itu haknya. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan ianya ditinggalkan untuk rakyat.


Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca dan ada pula yang dipukul. Sesiapa yang dicerca ataupun dipukul secara sembunyi atau sesiapa yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)"



Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata, "Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan" (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil.4, hlm.342) iaitu fitnah telah menular di tengah-tengah umat.



Maksud ‘rakyat didahulukan’...


Jika kita ingin mendengar contoh rakyat didahulukan, maka bacalah Sirah Syaidina Umar bin al-Khattab ra ini... Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab ra tidak memakan pada tahun kemarau melanda Madinah lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya.
 

Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. Umar enggan makan bahkan berkata, "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?" Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya.


Lalu Umar bertanya, Dari mana diperoleh ini?. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa" 



Awasi pengampu...


Syaiban al-Ra‘i berkata kepada Harun al-Rasyid, "Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan."


Tanya Harun al-Rasyid, "Jelaskan maksudnya untukku". Jawab Syaiban, "Sesiapa yang berkata kepada engkau: Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah lebih baik dari orang yang berkata Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!". Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya.


Kata Syaiban lagi, "Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya". (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah)



Menyedari bebanan amanah...


Khalifah Umar bin Abd al-Aziz ra apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai.


Kata anaknya: Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata, "Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa.


Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara.


Aku tahu Robb ku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis"



Dalam Sifat al-Safwah karya Ibn al-Jauzi ra yang meriwayatkan bahawa ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa, seorang tokoh umat bernama ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari berkata kepadanya, "Lihatlah ke arah Kaabah". Harun al-Rasyid menjawab, "Aku sedang lihat". Kata beliau lagi, "Berapa jumlah mereka yang kau lihat?" Jawab Harun, "Siapa yang mampu membilangnya".

Kata beliau pula, "Berapa jumlah manusia yang seperti mereka?" Jawab Harun, "Hanya Allah yang mampu menghitungnya". Kata al-‘Umari lagi, "Ketahuilah engkau bahawa setiap mereka itu hanya akan ditanya pada hari kiamat tentang diri mereka sahaja, hanya engkau yang akan ditanya tentang diri mereka semua, maka hati-hatilah engkau tentang nasib engkau nanti"
.

Maka terduduk dan menangislah Harun al-Rasyid mengenangkan masa depannya di akhirat kelak.



Menyedari kemampuan diri...


Syaidina Umar bin al-Khattab ra pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya, "Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-siakan tugas dan tanpa ditimpa fitnah". Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh.

Begitu juga dengan Syaidina Ali bin Abi Talib ra walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu.


Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. 


Banyak lagi ungkapan yang baik tentang kuasa dan jawatan untuk direnungi oleh mereka yang merinduinya. Saya petik sedikit daripadanya sebagai bingkisan buat yang lantang berbicara tentang keinginan kepada kuasa...



Wallahu`alam


Jagalah Hati...

MEWAHKAN TERATAK SYUKURMU IV...





Allah humma Ya Allah
kirimkan salam kami
kepada Nabi Muhammad saw
kami mencintainya
kami menyayanginya
beri kami kesedaran untuk bersyukur
seperti syukurnya Nabi Muhammad Mu
beri kami kekuatan untuk sentiasa mensyukuri Mu...


Ya Rahman
kami hanya hamba-hamba yang mengabdi pada Mu
kami hanya hamba-hamba
sebagaimana bumi yang berputar
bersama bulan, mentari dan galaksi...


Ya Allah
kami hanya hamba-hamba
seperti halnya para malaikat yang mengabdikan diri...


Ya Allah
beri kami kekuatan
agar kami mampu mengajarkan
anak-anak kami untuk sentiasa bersyukur
pasangan hidup kami untuk sentiasa mengucap syukur
keluarga kami agar menjadi ahli syukur...


Ya Allah
kami sedar hidup kami singkat
kami sedar hidup kami sementara
kerana itu curahkan ke dalam hati kami iman
tenteramkan kami dengan mengingati Mu
duhai Engkau kekasih hati
Duhai Ar Rahman Ar Rahim...



Walahu`alam


Jagalah Hati...

MEWAHKAN TERATAK SYUKURMU III...





Ya Samii Ya Bhasir
Ya Zaljalaali wal Ikram
Wahai Allah Yang Maha Hidup
Wahai Allah Yang Maha Pemberi Nikmat
kami berlindung dengan keagungan Mu
kami berlindung dengan kemuliaan Mu
kami berlindung daripada lupa mengingati dan menyebut nama Mu
serta berpaling daripada mensyukuri Mu...


Ya Allah
kami mohon pada Mu
tunjukkanlah kami jalan yang lurus
tunjukkanlah kami agar sentiasa bersyukur kepada Mu
tunjukkan kami cara bersyukur yang benar...


Ya Allah
limpahkanlah kami
hati yang penuh kesyukuran
ucapan yang penuh kesyukuran
langkah yang penuh kesyukuran
kerana kami mengakui tanpa pimpinan Mu
kami lemah
kami lalai
kami hina...


Ya Allah
hari ini kami mengakui
bahawa Engkau jua sebesar-besar Pemberi Kurnia
kami bersyukur Ya Allah
atas bumi yang Engkau hamparkan
atas langit yang Engkau tinggikan
atas gunung yang Engkau pancangkan
atas alam semesta yang Engkau bentangkan
atas bintang-bintang yang Engkau taburkan...


Ya Allah
Engkau sebaik-baik Pemberi Nikmat
Engkau pancarkan sinar matahari
EngkKau tumbuhkan pepohonan
Engkau hidupkan haiwan-haiwan...


Ya Allah
sungguh kami sering lupa
mensyukuri hidup kami
mensyukuri waktu dan kesempatan kami
mensyukuri setiap helaan nafas kami
mensyukuri apa pun yang Engkau berikan...


Ya Rahman Ya Rahim
ajari kami untuk sentiasa mensyukuri
hal yang kecil dalam pandangan kami.


Ya Robb
kabulkan segala doa permohonan kami...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

MEWAHKAN TERATAK SYUKURMU II...





Duhai Robb pemilik langit dan bumi
Duhai Pemilik semesta raya...


Allah humma Ya Allah
kami bersyukur kepada Mu
alangkah banyak nikmat
yang Engkau curahkan kepada kami...


Engkau beri kami nikmat iman
Engkau beri kami nikmat Islam
Engkau beri kami nikmat ihsan
tetapi sedikit sangat syukur kami kepada Mu...


Wahai Allah Yang Maha Bijaksana
ampuni kami yang hanya bersyukur
apabila mendapat kesihatan
apabila mendapat makanan
apabila mendapat harta
apabila mendapat jawatan
apabila mendapat penghargaan
apabila mendapat keturunan
tetapi tidak pernah bersyukur jika mampu melaksanakan
solat berjemaah, bersedekah, berzakat,
berpuasa dan berhaji.


Ya Allah
Kami tidak pernah bersyukur dengan memiliki Nabi Muhammad saw
tidak pernah bersyukur menjadi umat Nabi Muhammad saw
tidak pernah bersyukur bahawa kami dilahirkan sebagai Islam
tidak pernah bersyukur bahawa kami telah dikurniakan iman...


Allah humma Ya Allah
ilhamkan kami kesyukuran menerima nikmat Mu


terlalu sedikit syukur kami dibanding rahmat Mu
terlalu sedikit doa kami dibandingkan berkah Mu
kami hanya ingin bersujud Ya Allah
kami ingin bersyukur Ya Allah
maka terimalah sujud ini
sebagai ungkapan rasa syukur kami
dan ungkapan permohonan ampun kami...


Ya Allah Yang Maha Menggenggam Jiwa
izinkan permintaan kami
redhai amal ibadat kami
tanpa redha Mu, semua tidak bererti
tanpa redha Mu semua tidak bermakna...



Wallahu`alam


Jagalah Hati...

MEWAHKAN TERATAK SYUKURMU I...





Ya Allah
Engkau ciptakan kami daripada segumpal darah
Engkau ciptakan kami menjadi segumpal daging
Engkau ciptakan kami dari tulang-belulang
Engkau ciptakan kami menjadi manusia
kini hati kami Engkau hidupkan...

Engkau tiupkan roh di hati kami
hingga kami menjadi manusia yang sempurna
yang mampu melihat
yang mampu mendengar
yang mampu berkata-kata
yang mampu berasa...


Demikian sempurna Engkau mencipta kami
hingga kami lupa bahawa kami diciptakan oleh Mu
demikian sempurnanya ciptaan Mu ini
hingga kami tidak menyedari
bahawa kami hanyalah ciptaan Mu
hingga kami tidak merasa
bahawa diri kami diciptakan daripada ketiadaan
hingga kami tidak menyedari
bahawa kami diciptakan hanya daripada setitis air yang hina...


Duhai Yang Maha Sempurna
saat kami mengakui 
bahawa Engkau yang menghidupkan kami
bahawa Engkau jua yang memberikan penglihatan kami...


Allah humma Ya Allah
inilah kami yang sentiasa lupa
bahawa hidup kami adalah milik Mu
mata kami adalah milik Mu
telinga kami adalah milik Mu
jiwa kami adalah milik Mu...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Jumaat, 25 Oktober 2013

MUNAJAT SEORANG ISTERI DI SEPERTIGA MALAM...






Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim... Engkau ampunilah dosaku yang telah ku perbuat. Engkau limpahkanlah padaku dengan kesabaran yang tiada terbatas. Engkau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal, Engkau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan, Engkau peliharalah lidahku dari kata-kata nista, Engkau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaran Mu, Engkau berikanlah aku sifat kasih sesama insan...


Ya Allah... sekiranya suamiku ini adalah pilihan Mu di Arasy, berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya...


Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titian Mu, kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya. Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untukku di Jannah Mu, limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya. Sekiranya suamiku ini adalah yang terbaik untukku di dunia Mu, Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya. Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu, berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala karenah dan ragamnya...


Tetapi Ya Allah... sekiranya suamiku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang, Engkau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaan Mu. Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan dunia Mu, limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan, kurniakan aku kekuatan untuk aku memperbetulkan keadaannya. Sekiranya suamiku menyintai kesesatan, Engkau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena...


Ya Allah... Engkau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku, Engkau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku. Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan, bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai. Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri, Engkau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhirat Mu...


Ya Allah... Sekiranya aku ingkar dan durhaka, berikanlah aku petunjuk ke arah rahmat Mu. 


Ya Allah sesungguhnya aku lemah tanpa petunjuk Mu, aku buta tanpa bimbingan Mu, aku cacat tanpa hidayah Mu, aku hina tanpa rahmat Mu...


Ya Allah... kuatkan hati dan semangatku. Tabahkan aku menghadapi segala cubaan Mu. Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami. Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama Mu. Bimbinglah aku menjadi isteri solehah...


Hanya pada Mu Ya Allah ku pohon segala harapan...

Kerana aku redha dengan dugaan Mu...


Kerana aku sedar hinanya aku...


Kerana aku insan lemah yang kerap keliru...


Kerana aku leka dengan keindahan dunia Mu...


Kerana kurang kesabaranku menghadapi cabaran Mu...


Kerana pendek akalku mengharungi ujian Mu...


Ya Allah... aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati. Isteri yang dikasihi. Isteri yang solehah. Isteri yang sentiasa di hati suami. Amiin, Amiin, Amiin Ya Rabbal Alamiin.


Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kebaikan hidup di dunia dan di akhirat dan selamatkan daku dari azab api neraka.


Amiin Ya Robb...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Khamis, 10 Oktober 2013

SI FAKIR INI...





Kerdilnya diri ini…

apabila diri sudah mengenal

setiap detik

dalam kekuasaan-Nya…




Malunya diri ini…

apabila diri sudah mengetahui

setiap detik

dalam Ar-Rahman-Nya…




Fakirnya diri ini…

apabila diri sudah merasai

setiap apa yang ada

adalah semua milik-Nya…




Apalagi dosa yang besar…

dari diri yang terdinding

dengan syirik ananiah

sehingga tak merasai diri dalam kekuasaan-Nya…




Apalagi kejahilan yang besar…

dari diri yang tertutup

dengan kegelapan jiwa

sehingga tiada dapat merasai setiap detik cinta Allah pada dirinya…




Apalagi kesombongan yang besar…

dari diri yang terpedaya

dengan segala bayangan

sehingga tiada dapat merasai diri dan alam adalah milik Allah…




Apakah hidupmu tiada terasa kotor…

dibelenggu najis kejahilan dan kesombongan

sehingga engkau buta dengan Robb-mu

lalu engkau pertuhankan dirimu dan alam




Bangunlah wahai diri dan tanggalkan…

kekotoran kejahilan dan kesombongan

agar setiap detik dirimu

fana dalam kebesaranNya

lantaran tersingkap pada setiap pandangan

Hu Allah Hu Alllah Hu Allah…



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

ENIGMA DALAM DUNIA ENIGMATIK...





Orang seperti kami sukar dimengerti
Malah kami sendiri tidak mengerti
Fitrah kami mahu kehidupan biasa
Namun bisikan Sirr tidak membenarkan



Dikala orang mengejar agar mereka dikenali
Namun kami berlari sembunyikan diri
Dikala orang suka pada majlis yang ramai
Namun kami mencintai kehidupan yang sunyi



Kami bagaikan tunggul yang mati
Kerana keasyikan dalam alunan ombak Ilahi
Tidak mahu banyak berfikir tentang esok
Tidak mahu mengenang yang lepas
Hanya mahu melihat apa jua dari DIA
Hanya mahu bersama dan hidup untuk-Nya..



Maafkanlah diri kami ini
Kehidupan kami akan melukai sesiapa yang menghampiri
Kehidupan kami akan banyak membawa persoalan yang melihat
Kehidupan kami akan jadi fitnah jika kami zahirkan
Padahal dalam jiwa kami amat menyintai segala insan
Tiada sedikit mahu melukai sesiapa
Hingga kami menangis jika ada yang terluka



Namun kami tiada menyalahkan sesiapa
Kerana mereka berhak membuat penilaian
Berdasarkan tahap ilmu, rasa dan fikiran mereka
Kerana kehidupan kami sukar untuk dimengerti
Hingga Syeikh Ibrahim Adham berpindah setiap masa
Hingga Rabiah al-Adawiyah dilontar batu dan dihalau keluar
Malah membunuh kami dianggap kemuliaan



Ramai yang memilih berada dalam hutan yang jauh
Ada yang memilih menzahirkan watak orang gila
Lantaran tiada mahu siapa yang terluka
Lantaran tiada mahu hidup dalam sistem manusia yang normal
Yang membawa kesakitan pada kami..



Semoga kami dimengerti... 

Semoga kami dimaafkan...



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

Rabu, 9 Oktober 2013

ANTIDOT DUKA...





Saya gunakan tajuk Antidot Duka kerana antidot adalah suatu zat yang dapat meneutralkan racun dan dalam hidup kita ini, begitu banyak racun yang meracuni hati serta fikiran kita...


Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?


Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.


Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmat-Nya lalu menurunkan pertolongan-Nya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepada-Nya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Allah al-Rahman yang menjadikan-Nya dengan pantas mendengar rintihan insan?


Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Allah kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasih-Nya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?Jawapannya ialah taubat dan ‘istighfar’ iaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagiaan hidup. Itulah janji-Nya:


“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Robb kamu, kemudian bertaubat kepada-Nya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (QS Hud: 3)


Janji Yang Pasti

Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.


Inilah janji-Nya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitab-Nya. Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah swt mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.


Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh as kepada kaumnya:


“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Robb kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (QS Nuh: 9-12).


Pelbagai Kurnia

Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh as, Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmat-Nya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.


Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri ra mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh as sebut” – lalu beliau membaca ayat di atas.



Mengelakkan Bala

Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia atau pun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepada-Nya. Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janji-Nya. Firman Allah:


“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (QS al-Anfal: 33).


Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Rasulullah saw dan kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Baginda saw sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya. Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala! beristighfarlah.



Ditambah Kekuatan

Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman Allah: 


“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Robb kamu, kemudian taubatlah kepada-Nya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (QS Hud: 52).


Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuan-Nya, insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.


Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan rohnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.

Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya ‘berlagu’ dimulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Ibnu Taimiyyah ramenceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya.

Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Isnin, 7 Oktober 2013

JANGAN MENYUSAHKAN ORANG LAIN....





Firman Allah swt yang bermaksud, “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan kebenaran). Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah asy-Syura, ayat 42)



Iyad bin Himar berkata, Rasulullah saw bersabda: “Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya, menyuruh saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga tidak ada orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak ada orang bersikap angkuh terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim).



Ada kala tanpa kita sedar perkataan yang keluar menyebabkan orang lain berasa diri seakan dihina disebabkan kelebihan kita miliki serta kekurangan ada pada mereka. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul rasa iri hati.



Sebagai hamba beriman, setiap nikmat dikurniakan Allah swt sepatutnya disyukuri bukan dijadikan sebab untuk bermegah-megah hingga menyebabkan timbul rasa riak dalam diri. Manusia semua sama di sisi Allah swt dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan mereka.



Firman Allah swt yang bermaksud: “Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)



Sebaiknya, kita sentiasa merendahkan diri dan menanamkan dalam jiwa bahawa setiap insan itu sama kerana yang hebat hanya Allah swt, kita semua hanya meminjam kehebatan itu yang mana akhirnya nanti kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatan dilakukan.



Kehidupan hari ini memperlihatkan ramai yang bertarung untuk membina kehidupan baik untuk diri serta keluarga masing-masing. Mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf ekonomi supaya dapat menjalani kehidupan selesa. 



Namun, ada berdepan kesukaran. Walaupun berusaha mengikut daya kemampuan diri, nasib masih tidak menyebelahi. Ibarat kain pagi makan pagi, kais petang makan petang. Justeru, hikmah hidup bersaudara supaya ada rasa saling bantu membantu dan prihatin.



Rasulullah saw mengingatkan umatnya bahawa tidak beriman mereka jika tidur dalam keadaan kenyang sedangkan jiran mereka kelaparan. Alangkah benarnya Islam hingga perkara membabitkan perut diberi perhatian khusus.



Realiti yang berlaku, jiran bukan saja tidak sedar kelaparan dirasakan jiran mereka, malah jika tahu pun, tiada usaha dilakukan. Alasannya, tidak mahu masuk campur urusan orang lain atau takut dikatakan sebagai penyibuk.



Sebenarnya, banyak perkara dalam kehidupan berkait antara satu sama lain dan kesudahannya adalah demi menjaga kemaslahatan manusia. Hubungan baik sesama manusia menghasilkan hidup yang harmoni sebaliknya prasangka hanya menjurus kepada permusuhan.



Oleh itu, dalam setiap tindakan dibuat, kesan baik dan buruknya perlu difikirkan. Jadilah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan jika itu juga tidak mampu dilakukan, pastikan diri tidak menjadi masalah kepada orang lain.



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

Sabtu, 5 Oktober 2013

DOA ULANGTAHUN KELAHIRAN...





Segala puji bagi Allah Robb Seru Sekalian Alam. Selawat dan salam untuk Nabi Muhammad saw, ahli keluarga Baginda saw dan sahabat-sahabat Baginda saw


Terima kasih ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan. Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan. Terima kasih juga untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan. Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan. Terima kasih kerana keluarga bahagia yang Engkau amanahkan. Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku…. Tetapi terlalu sedikit pengabdianku terhadap Mu...


Engkau tetap menerima walaupun terkadang aku alpa, aku lupa. Aku silap dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan. Namun begitu besarnya kasih Mu….Engkau tetap melindungiku walaupun terkadang aku kalut merunggut ketika saat-saat lemahku datang. Aku tidak pernah menafikan hak Mu sebagai Khaliq walaupun terkadang terbuai dengan kesedihan yang amat perit...


Ampunkan aku ya Allah apabila aku merintih nasibku di hadapan Mu, kepada siapa lagi harus aku mengadu? Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini ya Allah… namun aku hanya hamba Mu yang daif dan lemah. Adakalanya aku kurang kesabaran. Ada masanya aku goyah keimanan. Ada masanya aku terikut bisikan syaitan. Namun dengan limpah kasih sayang Mu, Engkau menarikku kembali jauh daripada kesesatan...


Dalam usia begini….. aku ingin lebih dekat pada Mu ya Rahman. Dalam usia yang makin jauh ini…. Aku ingin lebih merindui Mu ya Rahiim. Dalam usia meniti senja ini aku ingin selalu mengabdikan diri sekudusnya terhadap Mu. Dalam usia menambah uban ini yang aku inginkan hanyalah ketenangan, kekusyukan beribadah, segala kesederhanaan dan kerendahan hati tanpa berhenti menghulur kasih kepada yang sudi...


Ya Muhaimin…Pimpinanlah tangan hamba Mu ini.. pimpinanlah hati hamba Mu ini akan sentiasa berpijak ke atas jalan kebenaran...


Ya Al Quddus… sebagai hamba Mu yang hina dina, aku tidak akan mungkin mencapai sempurna, tapi kasihanilah aku… bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti Titian Silatulmustakim Mu dengan tenang dan mudah tanpa cela...


Ya Al Hakim…berilah aku kekuatan dan semangat serta ilham agar aku mampu terus membimbing keluarga dan sahabat handai yang sangat dahagiakan ilmu. Berikanlah aku keikhlasan yang jitu agar dapat aku mencurahkan ilmu yang engkau kurniakan kepada mereka supaya lahir generasi masa depan yang terus mendokong perintah Mu… Berilah aku kesabaran dalam menangani kerenah generasi muda yang sangat mencabar keimanan dan kesabaranku… hulurkanlah aku kebijaksanaan agar aku mampu memacu kalam keinsanan hingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi...


Ya Allah…Sesungguhnya kematian itu benar…. Alam kubur itu benar…..Hari Pembalasan itu juga benar….Hari ini, semakin hampir aku kepada Alam Kematian…. Semakin dekat aku dengan Alam Kubur… semakin takut aku terhadap Hari Pembalasan… izinkan aku dalam usia yang semakin sedikit ini aku mengaut sebanyaknya himpunan pahala untuk ku jadikan bekalan kehidupan yang tiada penghujungnya nanti. Aku ingin insan yang soleh....

Terima kasih ya Allah atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untukku… Engkaulah Yang Maha Besar… Allahu Akbar!.. peliharalah aku yang lemah ini agar terus berpegang teguh pada taliMu…


Terimalah pemohonan hamba Mu yang sedang bermusafir di bumi Mu ini Ya Al Mudzill.
Amin Ya Rabbil-Alamin...



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

SEBUAH CERPEN MENYAYAT HATI...





Cerpen ini khusus buat semua yang bergelar cikgu karya tulisan daripada Al-Marhum Azizi Hj Abdullah. Semoga Allah panjangkan pahala buat almarhum.


BERUK

Pukul lapan tiga puluh minit masing-masing masuk bertugas. Cikgu Sunan masuk ke dalam darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat suruh murid-murid bangun. Masing-masing bangun, tapi sama seperti berbaris tadi. Malas. Cikgu Sunan tidak ambil pusing hal itu.

Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Sunan membuat soalan kira-kira yang lain. Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku paling belakang. Dia terlewat datang. Cikgu Sunan sedar. Dia memerhati murid itu dengan pandangan tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa menentangnya.

Semakin lama Cikgu Sunan memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-pura mencari sesuatu di dalam mejanya. Menggaru-garu betis yang basah dengan air embun. “Alias! Mari sini!” Cikgu Sunan memanggil murid yang datang lambat itu dengan bengis.

Murid yang bernama Alias itu bangun lambat-lambat, kemudian melangkah perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia pasti akan menerima habuan. Dan kawan-kawan yang lain pun sudah menduga yang Alias akan menerima habuan. Begitu selalunya.

“Berdiri di situ!” perintah Cikgu Sunan sambil jari tunjuknya menunjuk ke tepi meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam. Alias berdiri di tepi meja dengan hati yang berdetap-detap. Bimbang. Takut. Gentar. Dia tidak dapat menduga apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia datang lambat.

Tapi kali ini dia bercadang, dia akan berterus terang saja. Dia akan bercakap benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Sunan.

“Mari dekat sini, Lias!” perintah Cikgu Sunan apabila dia selesai menulis soalan. Punggungnya yang lebar itu dihentak ke kerusi. Murid yang bernama Alias ini mendekat sedikit. Dia cuma memakai seluar dan baju tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai yang dilaluinya.

Cikgu Sunan memerhati dari atas ke bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk dan pakaian muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak darjah empat dulu lagi. Alias tidak berani memanggung kepala apabila Cikgu Sunan memerhatinya tanpa berkata sepatah pun. Kaki kanannya menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal kaki seluarnya yang lusuh itu.

“Kenapa kau datang lambat?” Akhirnya Cikgu Sunan bersuara. Alias tidak menjawab. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia akan kena habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya bukanlah berdasarkan sebab-sebab sama ada rumahnya jauh atau aral yang lain. Tapi kerana dia datang lambat.

“Hei beruk! Saya tanya kenapa kau datang lambat?” Cikgu Sunan hampir-hampir memekik.

Alias diam. Dia masih tunduk juga. Panggilan “beruk” kepadanya bukanlah sekali itu sahaja dan bukan sekadar cikgu Sunan seorang. Di sekolah dia sudah masyhur dengan panggilan “beruk” sebab dia membela seekor beruk.

“Pandang sini!” sergah Cikgu Sunan sambil mengangkat dagu Alias dengan pembaris panjang. Alias memanggung kepala. “Saya tanya kepada kau datang lambat?”

Dengan suara tergagap-gagap bercampur takut, Alias menjawab, “Beruk… beruk saya putus rantai, cikgu!”.

“Haaa, kalau dah putus apa yang kau buat?”. Cikgu Sunan bertanya keras. Memang dia tidak pernah beri muka kepada murid-muridnya.

“Saya cari, cikgu!”.

“Dah jumpa?”.


Alias angguk. Tersenyum.

“Sebab itu kau datang lambat?”

Angguk juga.

”Kau lebih pentingkan beruk daripada sekolah ya? Sebab tu kau pun macam beruk”. Cikgu Sunan berleter. Muka Alias dipandang dengan jijik.

“Saya sayangkan beruk saya cikgu. Dia kawan baik saya!” kata Alias dengan jujur.

Marah Cikgu Sunan naik meluap. Jawapan Alias itu sungguh menyakitkan hatinya. Dia menggaru-garu. Tubuh kurus Alias dipandangnya, bagai seekor semut.

“Kau nak main-mainkan saya, ya?” Cikgu Sunan menahan marah. Matanya bersinar-sinar.

“Tidak cikgu, saya…”

“Sudahlah!” Tiba-tiba Cikgu Sunan menempik, Serentak dengan itu satu penampar kuat hinggap di telinga kanan Alias. Alias terhuyung-hayang. Tapi tidak mengangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya berdengung. Mukanya merah.

Dengan langkah yang lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawan diam membisu. Masing-masing menumpukan perhatian kepadanya.

“Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi beruk macam dia!” Cikgu Sunan bersyarah kepada murid-muridnya yang lain. Murid-muridnya diam membisu. Sekali-sekala mereka berpaling melihat Alias yang malang itu. Tapi pada Alias macam tidak ada apa-apa yang terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk, kali ini dia memanggung mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak matanya ada air yang bertakung.

Tiga hari sesudah itu Alias tidak datang ke sekolah. Daripada desas desus murid-murid yang lain, Cikgu Sunan mendapat tahu Alias sudah berhenti. Dengan tiba-tiba, dada Cikgu Sunan diserkup sayu. Sedih dan kasihan. Dia terasa macam ada suatu dosa yang telah dilakukannya terhadap Alias.

Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya salah dari segi undang-undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Alias telah ponteng bukan sekali dua. Apabila ditanya cuma beruknya saja yang menjadi alasan. Mana hati tidak geram. Tapi apabila dia mendapat tahu bahawa Alias berhenti, perasaan hibanya tidak dapat dikawal lagi. Dia berasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Alias supaya belajar semula hingga tamat. Dia menyesal.

Tengah hari itu Cikgu Sunan tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas bertugas dia meminjam basikal seorang muridnya dan terus pergi ke rumah Alias yang terletak sejauh empat kilometer itu. Dia tidak memberitahu guru besar. Biarlah hal itu dia selesai sendiri.

Untuk sampai ke rumah Alias, Cikgu Sunan terpaksa melalui lorong sempit yang boleh dikatakan denai. Di kiri kanan lorong itu banyak pokok “keman malu” dan senduduk. Berlopak-lopak. Tidak ada orang lalu-lalang.

Kampung tempat tinggal Alias sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala terlintas juga di hati Cikgu Sunan, bahawa memang patut Alias tidak datang selalu ke sekolah. Kalau dia sendiri pun jadi Alias dia tentu tidak datang ke sekolah. Sekali lagi perasaan menyesal menumbuk di hatinya kerana perbuatannya itu tidak diselidik lebih dulu. Akhirnya sampai juga Cikgu Sunan. Dia terpaksa menyeberangi sebatang titi melintasi sebuah parit yang selebar tiga meter.

Alias tidak ada. Berkali-kali Cikgu Sunan memanggil, tapi senyap saja. Tiba-tiba seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu menjemput Cikgu Sunan naik. Cikgu Sunan menolak perlawaan itu, tapi berkali-kali pula orang tua itu menjemputnya. Akhirnya Cikgu Sunan mengalah apabila orang tua itu memberitahu yang dirinya lumpuh, tidak dapat turun.

Sekali lagi rasa sebak menyerang dada Cikgu Sunan. Rupa-rupanya kesulitan Alias berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya yang ganas itu.

“Alias ke mana mak cik?” tanya Cikgu Sunan.

“Entah, dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik buah kelapa di hujung kampung”.

“Dia panjat pokok kelapa?”

“Takkk, dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak mak cik lumpuh,” terang ibu Alias dengan hiba. Di atas alang rumah itu terdapat buku-buku Alias. Dindingnya tembus di sana sini. Tidak ada apa yang boleh dinamakan perhiasan. Cuma satu cermin bulat sebesar tempurung jantan.

“Dah lama mak cik lumpuh?” tanyanya.

“Dah hampir setahun,” terang orang tua itu lagi.

Cikgu Sunan yang duduk di muka pintu sahaja itu mengangguk-angguk. Rasa simpati kepada Alias semakin tebal.

“Saya datang ni nak tau. Mengapa Alias tak ke sekolah lagi?”.

“Entahlah. Katanya dia tak sekolah lagi. Telinganya sakit”.

Cikgu Sunan termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia termenung itu tiba-tiba dia melihat Alias pulang, beruknya di atas bahu. Alias membimbit dua biji kelapa.

“Haa, itu pun dia dah balik,” kata Cikgu Sunan dengan tersenyum. Orang tua itu menjengguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan anaknya dengan pandangan mata saja. Lebih daripada itu dia tidak terdaya. “Begitulah kerjanya setiap hari sejak bapaknya meninggal,” kata orang tua itu dengan sedih.

Alias yang sudah hampir sampai ke rumahnya itu terhenti seketika apabila melihat ada orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak percaya orang itu ialah Cikgu Sunan. Tapi apabila dia sudah pasti benar, segera dia melepaskan buah kelapa yang dipegangnya. Beruknya diletakkan ke tanah dan dia terus meluru mendapatkan Cikgu Sunan. Dia senyum girang. Bersalam tangan.

Beruk yang ditinggalkannya itu melompat-lompat. Berkereh-kereh bunyinya, kerana orang yang berada di muka pintu rumah tuannya itu belum pernah dilihatnya.

“Dia lama cikgu sampai ?” tanya Alias.

“Baru sekejap,” jawab Cikgu Sunan.

Keramahan Alias sungguh mengejut Cikgu Sunan. Beruk yang ditinggalkan oleh Alias di halaman rumahnya itu melompat-melompat dengan suara garang. Alias menempik beberapa kali supaya diam, tapi beruk itu tetap melompat juga. Dia tidak kenal orang itu guru kepada tuannya.

Cikgu Sunan terpandang telinga kanan Alias. Telinga itu merah dan bengkak nampaknya. Dari lubangnya meleleh benda putih.

“Dekat sini Alias,” kata Cikgu Sunan dengan lembut.

Alias mendengar kata-kata itu berlainan sekali dengan perintahnya semasa sekolah. Kata-kata itu macam, kata-kata orang yang menyayanginya. Dia mendekatkan kepalanya kepada Cikgu Sunan.

“Senget sedikit kepala kau”. Cikgu Sunan berkata lagi. Alias menyengetkan kepalanya. Cikgu Sunan memegang kepala Alias dan menekannya sedikit untuk memastikan telinga Alias yang sakit itu. Tapi dengan tiba-tiba beruk yang sedang marah-marah dan melompat-lompat di halaman tadi, melompat naik lalu menggigit tangan Cikgu Sunan. Beruk itu menyangka orang itu akan menyakiti tuannya.

Cikgu Sunan mengadu sakit. Tangannya berdarah. Beruk masih bergelut. Suasana menjadi kelam-kabut. Alias menempik beberapa kali supaya beruk berlalu. Tapi tempiknya tidak diendahkan oleh beruknya. Beruk itu terus menyerang Cikgu Sunan. Demi untuk menyelamatkan Cikgu Sunan, Alias mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk menghimpun buah-buah kelapa, lalu dengan sekuat-kuat hatinya dia meradak lembing itu ke perut beruknya. Cuma itulah saja yang boleh menyelamatkan gurunya.

Beruk yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai. Sebelum menghembus nafasnya yang terakhir, mata hitamnya memandang kepada Alias dengan sayu. Kelopak mata yang berbulu itu tergenang air jernih.

Alias terpaku seketika. Ibunya juga tidak berkata apa-apa. Cikgu Sunan menahan darah di lengannya dengan sapu tangan. Tapi darah yang keluar di lengannya tidaklah sama dengan darah beruk yang telah diradak lembing tadi.

Suasana sepi. Cikgu Sunan memandang Alias, Alias memandang beruknya bagai satu mimpi. Dan ibu tua itu memandang anaknya dengan satu tafsiran yang asing.

Alias tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis tersedu-sedu. Air matanya berderai keluar, jatuh menimpa di atas tubuh beruk kesayangannya. Dia bangun lambat-lambat. Matanya memandang ibunya. Ibu tua itu tetap membisu. Dia tersedu-sedu.

“Terima kasih Alias.” Tiba-tiba dalam kesepian itu Cikgu Sunan berkata. Darah di lengannya masih juga keluar.

“Cikgu sakitkah?” tanya Alias antara sedu-sedannya.

“Tak mengapa, sikit saja. Err, saya balik dulu Lias.” kata Cikgu Sunan, lalu turun dari rumah itu.

“Cikgu…”

“saya minta maaf’,” kata Alias sebaik saja Ckgu Sunan memijak tangga bawah.

“Tak apa…. tapi kau mau ke sekolah lagi?”

Alias duduk. Kaku. Sedih.

“Lebih baik kau ke sekolah, hingga darjah enam” Cikgu Sunan memberi nasihat.

“Saya tidak dapat ke sekolah lagi Cikgu.” Tiba-tiba Alias menjawab sayu.

“Kenapa?”

“Beruk… Saya mencari makan dengan beruk itu cikgu.”

Dada Cikgu Sunan bagai ditikam lembing berkarat. Perkataan Alias benar-benar menusuk hatinya. Barulah dia tahu, bahawa beruk itu pada Alias merupakan tali perhubungan nyawanya selama ini.

Dia melangkah pulang dengan dada yang sebak. Tapi Alias yang terpaku di ambang pintu lebih pilu lagi.

Azizi Hj Abdullah Dewan Bahasa, 
Disember 1970

Khamis, 3 Oktober 2013

PRA SYARAT KEMENANGAN....





Semua orang yang berjuang mengharapkan kemenangan. Malah ramai yang mengimpikan kemenangan berlaku semasa hidupnya.


Namun apakah definasi kemenangan yang diinginkan oleh Islam...?


Ada pejuang meletakkan kemenangan dalam perjuangannya ialah ; apabila berjaya menjadi wakil rakyat dan menjadi pemerintah di sesebuah negeri sebagaimana kejayaan Nabi saw menguasai kuasa pemerintahan di Madinah semasa hayat Baginda saw.


Kejayaan memerintah sebuah negeri adakah satu kemenangan hakiki atau ia adalah satu bebanan tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat? Apakah mereka yang gagal mendapat kuasa semasa hidupnya di dunia adalah golongan yang gagal di akhirat?


Apakah kita diwajibkan berusaha mendapatkan kuasa dengan apa juga cara atau cara mendapatkan kuasa juga perlu mengikut landasan Syariat?. Apakah kuasa pemerintahan itu satu-satunya matlamat Islam maka apabila kita berkuasa kita telah dikira berjaya mencapai matlamat Islam?


Sebenarnya Islam mempunyai definisi tersendiri mengenai kejayaan dan kemenangan. Pejuang-pejuang Islam sebenar adalah mereka yang berjuang bagi merealisasikan kemenangan yang dikehendaki oleh Allah bukan kemenangan berdasarkan definisi mereka sendiri.


Allah swt menyebut kejayaan dan kemenangan dengan beberapa istilah dalam al-Quran seperti; Aflaha, al-muflihun dan al-faizun. Allah juga mengistilahkan orang yang gagal sebagai Khusr dan al-khasirun.

Allah menyebut kemenangan sebagai al-Nasr dan menegaskan bahawa semua kemenangan adalah kurniaan Allah yang bersyarat. Allah menegaskan punca kekalahan umat Islam dalam pertembungan dengan Thaghut apabila mereka tidak memiliki pra syarat kemenangan.


Dalam tasawwur Islam, umat Islam sentiasa dalam ujian Allah pada setiap detik dan dalam setiap detik itulah mereka sama ada dalam kejayaan atau kegagalan. Itulah yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Takathur dan al-Asr.


Dalam surah al-Takathur Allah mengancam orang-orang yang dilalaikan oleh aktiviti kehidupan dunia dan secara khusus mencari kekayaan harta daripada matlamat hidup sebenar sebagai seorang muslim.


Mereka yang mencari kekayaan dunia dengan cara yang haram; seperti berjudi, merompak, pecah amanah, menipu, mempedagangkan perkara-perkara haram, mengamalkan riba, sihir dan tenung nasib.


Mereka yang mencari kekayaan dunia dengan mengabaikan kefarduan syarak; seperti meninggalkan solat fardu, tidak mengeluarkan zakat, tidak melakukan amar makruf dan nahi mungkar dan tidak mendalami ilmu fardu `ain.


Mereka yang melakukan perkara-perkara haram ketika mencari kekayaan dunia seperti; berkhalwat, ikhtilat (percampuran bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim) dan mengumpat.


Dan mereka yang menjadikan amal ibadat sebagai alat mendapat kemasyhuran dunia ; seperti riya’ adalah termasuk didalam golongan yang mendapat ancaman Allah ini.


Dalam surah al-Asr; Allah menegaskan bahawa umat Islam akan rugi di akhirat melainkan jika mereka memiliki empat sifat iaitu, beriman, beramal soleh, membudayakan amalan nasihat menasihati sesama mereka untuk berada di atas landasan kebenaran dan saling menasihati untuk bersabar kerananya.


Syarat-syarat untuk terselamat daripada kerugian sebagaimana ditegaskan dalam surah al-Asr tidak akan mampu dilaksanakan melainkan secara berjamaah. Oleh itu objektif berjamaah juga untuk bersama-sama menyusun aktiviti amali bagi merealisasikan empat syarat ini dalam budaya hidup berjamaah.


Umat Islam hari ini hidup berorganiasasi tetapi pimpinan organisasi mereka hanya meletakkan perancangan strategik untuk mencapai matlamat dunia mereka sahaja. Umat Islam hidup dan berkerja dalam organisasi tersebut kadang-kadang terpisah daripada landasan hidupnya sebagai seorang muslim.


Sebaliknya setiap individu muslim terpaksa berjuang secara bersendirian dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan syurga. Organisasi yang mereka korbankan masa mereka untuknya juga mengabaikan kebajikan isteri dan anak-anak anggotanya terutamanya dalam mengejar kejayaan akhirat.


Dalam surah al-Mukminun Allah menyatakan ciri-ciri orang beriman yang berjaya antaranya menunaikan solat, khusyuk dalam solat, menunaikan zakat dan menjaga diri daripada terjebak ke lembah zina.


Dalam surah al-Anfal Allah mengkhabarkan bahawa orang yang memiliki keimanan yang sebenar ialah mereka yang memiliki hati yang bersih dan takut kepada Allah, gementar hati mereka apabila mengingati Allah, bertambah keyakinan mereka apabila membaca ayat-ayat Allah dan mereka pasrah dan bertawakkal kepada Allah sebagaimana pasrahnya tentera Badar kepada Allah.


Dalam surah al-Hasyr setelah Allah membuat komentar terhadap golongan Yahudi, munafik dan memuji golongan al-Ansar yang itsar terhadap saudaranya dari golongan al- muhajirin ; Allah swt membuat perintah penutup dalam surah ini dengan menyeru orang-orang yang beriman agar sentiasa bertakwa kepada Allah dan sentiasa merancang dan merencana bagi membuat persediaan untuk kehidupan mereka esok hari.


Allah swt melarang mereka menjadi seperti orang yang melupai Allah sebagaimana sifat-sifat ahli-ahli neraka, kerana cara hidup ahli syurga tidak sama dengan cara hidup ahli neraka.
Ayat-ayat berkaitan dengan sifat-sifat orang yang beriman, bertakwa, muhsinin, sifat-sifat ahli-ahli syurga terlalu banyak disebut oleh Allah dalam al-Quran begitu juga sifat-sifat golongan kuffar, munafik dan fasik.


Apa gunanya ayat-ayat ini diturunkan kepada Nabi saw jika bukan untuk memerintahkan Baginda saw membina dan menyuburkannya ke dalam jiwa orang-orang yang beriman dan menjauhkan mereka daripada ciri-ciri manusia yang gagal.


Pimpinan gerakan Islam yang merenung Tarbiyyah Rabbaniyyah ini memahami bahawa tugas mereka ialah membawa ummah kepada Allah .


Inilah tugas yang diwarisi daripada nabi dan rasul; tugas membuat perubahan tamadun manusia daripada jahiliyyah kepada Islam dan inilah tugas gerakan Islam yang sebenar.


Fiqh Haraki bermaksud memahami cara menggerakkan proses perubahan. Semua sistem, peraturan, perundangan yang disusun memerlukan manusia untuk mengoperasikannya. 


Bagaimana sistem yang terbaik boleh dioperasikan jika manusia itu bukan manusia yang terbaik.?


Manusia terbaik hanyalah manusia beriman, bertakwa dan muhsinin . Mereka hanya akan berjaya jika mereka memiliki cirri-ciri kejayaan dalam diri mereka.


Tidak ada jalan untuk melahirkan manusia ini melainkan dengan cara Nabi saw mengubah Umar, Abu Bakar, Uthman radiallahu anhum ajmain…


Wallahu`alam



Jagalah Hati...