Popular Posts

Rabu, 1 Januari 2014

SUSAHNYA MENCARI SAHABAT...





Telah menjadi fitrah semulajadi setiap manusia, suka bermasyarakat dan berkawan. Setidak-tidaknya bermasyarakat dan berkawan itu secara terpaksa kerana keadaan kehidupan manusia itu memaksa manusia itu bermasyarakat dan berkawan. Manusia itu tidak seperti malaikat atau haiwan atau pokok kayu yang boleh hidup bersendirian kerana keadaan manusia itu tidak mungkin boleh mengusahakan sendiri setiap keperluan-keperluan kehidupan mereka.


Pengalaman atau realiti kehidupan manusia itu telah memberitahu kepada kita bahawa ada sebahagian kehidupan kita, orang lain yang mengusahakannya. Sepertimana juga sebahagian kehidupan orang lain, kita yang mengusahakannya. Ini berlaku sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung. Secara disedari atau tidak disedari. Justeru itulah manusia cenderung kepada bermasyarakat atau berkawan.


Namun demikian di akhir zaman ini, di antara perkara yang susah hendak dicari, bahkan hampir mustahil untuk didapati ialah mencari sahabat. Untuk mencari kenalan adalah mudah. Nafsu dan sifat yang ada di dalam diri manusia itu yang kadangkala menjadi punca payah hendak bersahabat atau setelah bersahabat, pecah semula kerana perangai negatif masing-masing.

Sekalipun mudah mendapat kenalan sekampung, kenalan disebuah sekolah, kenalan dalam sebuah darjah, kenalan di tempat kerja, kenalan di dalam sebuah jemaah atau kenalan sepermainan, tetapi untuk mendapat seorang sahabat pun amat susah sekali.

Bersahabat tidak sama dengan berkawan. Berkawan itu ikatan di antara manusia yang agak longgar. Mungkin kawan sepermainan sahaja. Diikat oleh permainan yang sama. Mungkin kawan sekerja. Di luar waktu kerja, tidak lagi berkawan. Sekadar itu sahaja. Mungkin kawan separti. Di luar parti, tiada kawan lagi. Mungkin kawan senasib. Apabila nasib sudah tidak sama, hilanglah kawan. Masing-masing membawa nasib. Selepas itu tidak ingin pun hendak bertemu lagi.

Memang untuk mendapat seorang sahabat amat payah. Terlalu sulit. Buktinya dari pengalaman kita, sama ada diri kita atau orang lain, tidak ada yang dapat berkawan dengan seseorang itu berpanjangan. Adakalanya kita boleh berkawan waktu sama-sama bersekolah di sebuah sekolah. Selepas habis persekolahan, tidak pun ingin bertemu.

Waktu sama-sama di tempat kerja, kita rapat dengan seseorang. Selepas berpisah, sama ada tukar tempat kerja atau pencen, tidak ada pun satu sama lain ingin bertemu lagi. Kalau bertemu pun secara tidak dirancang dan diduga.

Adakalanya kita berkawan rapat dengan seseorang. Selepas dia berkahwin atau kita berkahwin atau setelah sama-sama sudah berkahwin, hilang kawan. Tidak ada pun minat hendak bertemu dan berjumpa. Jauh sekali terasa rindu-merindui, hingga hubung-menghubungi, ziarah-menziarahi dan berimemberi. Tiada lagi hadiah-menghadiahkan, tolong-menolong dan bantu-membantu.

Ertinya susah sekali kita melihat seseorang itu bersahabat dengan seseorang sampai ke hujung. Yang sempadannya adalah mati. Sekalipun sudah menjadi lumrah atau budaya, selalu sahaja seseorang itu berkata, "Dia ini sahabat saya".


Sebenarnya apa yang diperkatakan itu bukan sahabat, hanya sekadar berkawan. Ikatan kawan longgar. Ikatan sahabat itu kuat. Ikatan kawan hanya luaran atau dari luar saja seperti berkawan kerana bersama memancing atau bersama memikat burung. Boleh jadi juga berkawan kerana sama-sama memperjuangkan nasib yang sama, seperti sama-sama menjadi ahli di dalam kesatuan buruh dan lain-lain. Apabila nasib selesai atau tidak dapat diselesaikan, masing-masing membawa diri. Tidak ada ikatan lagi. Selepas itu adakalanya tidak pernah bertemu satu sama lain. Sudah tidak tahu-menahu lagi hingga sampai mati.

Mengapa berkawan tidak mahu kekal...?


Di mana salah dan silapnya...?

Sedangkan fitrah semula jadi setiap manusia memang suka berkawan atau cenderung berkawan. Kerana hidup bersendirian tanpa kawan, banyak cacat dan kesusahan yang dihadapi manusia. Manusia yang banyak kawan, lebih ceria dan riang hidupnya daripada orang yang hidup bersendirian. Sebab itulah tabiat manusia suka berkawan. Walaupun begitu manusia ini selalu sahaja dapat kawan dan kemudian hilang kawan. Kawan silih berganti. Payah hendak kekal hingga mati.

Mengapa...?


Ada beberapa sebab.

Di antaranya...


1. Berkawan itu ada kepentingan peribadi.

Sama ada kedua-dua orang yang berkawan atau salah seorangnya ada kepentingan peribadi. Mungkin berkawan kerana kekayaan orang itu, atau kerana kekuatan orang itu yang mana kalau ada musuh, boleh tumpang berlindung atau menumpang pengaruhnya. Apabila tujuan tersebut sudah tiada lagi, berkawan sudah tidak diperlukan lagi.


2. Berkawan dengan sebab seagama, sebangsa, sekaum, sekampung, senegeri dan lain-lain.
Berkawan apabila bertemu dengan orang yang satu kaum atau satu kampung atau satu negeri atau satu bangsa atau seagama (walaupun agamanya tidak dipraktikkan) di negeri atau negara lain yang asing pada mereka. Di waktu itu mungkin mereka tidak boleh sesuaikan diri di segi agama,bahasa, bangsa atau budaya di situ. Maka di waktu itu mereka amat rapat berkawan kerana satu sama lain perlumemerlukan lantaran sama-sama berdagang di negeri atau di negara orang. Setelah berpisah atau setelah sama-sama balik ke negeri sendiri, walaupun bertemu tetapi hubungan rapat sudah tiada lagi.


3. Kawan kongsi

Berkawan kerana berkongsi berniaga atau berternak untuk hidup. Selama berkongsi bolehlah berkawan. Apabila sudah tidak berkongsi lagi, satu sama lain sudah macam orang lain sahaja. Tidak serapat dulu.


4. Kawan seasrama

Berkawan waktu sama-sama duduk di asrama. Kebetulan pula berkongsi di dalam satu bilik atau duduk di pondok pengajian di dalam satu bangunan. Sama-sama memasak dan mentelaah. Setelah habis pengajian, berkawan sudah tidak berlaku lagi. Seolah-olah macam kenalan biasa walaupun masih selalu bertemu.


5. Berkawan kerana takut

Berkawan kerana duduk di satu kawasan yang banyak berlaku jenayah. Oleh kerana takut bersendirian maka terpaksa berkawan. Setelah jenayah sudah tiada atau masingmasing berpindah, masing-masing membawa diri. Kalaupun masih boleh bertemu tetapi tidak serapat dahulu.


Mengapa berkawan seperti yang digambarkan tadi tidak pernah kekal...?


Mengapa berkawan tidak berpanjangan...?


Tidak kekal berkawan secara itu kerana ikatan tidak kuat. Ia diikat oleh perkara luaran. Diikat oleh keperluan semasa. Diikat oleh keadaan yang memaksa. Ia bukan dijalin oleh ikatan hati yang mempunyai akidah yang sama, ada hubung kait dengan Allah yang kekal abadi dan untuk kepentingan kedua sahabat yang berkekalan hingga sampai ke Akhirat.


Dengan kata-kata yang lain, ia bukan ikatan hati dua orang yang berkawan kerana Allah swt. Orang yang berkawan kerana Allah swt, jika berpisah pun kerana Allah swt. Suka dan benci pun kerana Allah swt.


Sabda Rasulullah saw, "Tiadalah dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah itu, melainkan yang lebih dicintai Allah itu, orang yang lebih banyak cintanya pada rakannya."


Bersahabat kerana Allah swt, ikatan amat kuat sekali. Ia diikat oleh satu akidah. Ia berkawan tidak ada kepentingan dunia yang sementara ini. Mereka bersahabat kerana iman, akhlak dan kerana ketakwaan. Bersahabat seperti ini adalah kuat ikatannya. Biasanya sampai mati.


Bersahabat seperti ini mendapat perlindungan di Mahsyar dari Allah swt yang mana hari itu tidak ada perlindungan melainkan perlindungan dari Allah swt. 


Sabda Rasulullah saw, Cinta kasih Ku terlimpah di atas mereka yang berkasih sayang kerana Ku. Akan Ku naungi mereka di bawah naungan Arasy pada hari Kiamat yang mana pada hari itu tiada naungan melainkan naungan Ku."(Riwayat Abiddunya)


Orang yang benar-benar bersahabat ada beberapa peringkat:

1. Sahabat secara umum

Iaitu sahabat yang berada di dalam satu perjuangan Islam atau di dalam sebuah jemaah Islam yang bercita-cita menegakkan Islam di dalam kehidupan individu, rumah tangga, masyarakat, negara dan seterusnya alam sejagat.


2. Sahabat secara khusus

Sahabat secara khusus iaitu orang yang bersahabat dengan lebih mendalam lagi kasih sayang dan ikatan jiwa satu sama lain. Selain daripada diikat oleh sahabat secara umum, ditambah pula kerana ada cita-cita bersama menegakkan Islam.


3. Sahabat yang dipersaudarakan

Sahabat ini lebih mendalam lagi kerana mereka ada membuat perjanjian antara satu sama lain. Bersaudara seolaholah adik-beradik satu keturunan, dari satu ibu dan ayah.Itulah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah saw di kalangan para Sahabat.


Lanjutan daripada kisah mempersaudarakan para Sahabat yang dilakukan oleh Rasulullah saw, Baginda saw sendiri mengambil Sayidina Ali kwh sebagai saudaranya. Setelah Rasulullah saw mempersaudarakan Sahabat-Sahabat Ansar dan Muhajirin,


Sahabat-Sahabat Ansar pun berkata, "Harta benda kami (tanah dan kebun tamar), kami akan bahagi-bahagikan di antara mereka."


Apabila Sahabat-Sahabat Ansar memungut hasil kebun kurma, mereka membahagikan hasil pungutan itu kepada dua bahagian. Salah satu bahagian lebih banyak dari bahagian yang satu lagi. Sahabat Ansar pun meletakkan pelepah-pelepah kurma di bahagian bawahnya sehingga bahagian yang sedikit itu nampak lebih banyak daripada bahagian yang banyak tadi. Mereka pun memberi bahagian yang kelihatan sedikit (tetapi pada hakikatnya inilah yang lebih banyak) kepada saudara mereka, orang Muhajirin dan mereka mengambil bahagian yang mengandungi pelepah kurma itu.


Hal ini berterusan sehinggalah Islam semakin kuat dan mendapat banyak harta lalu Rasulullah saw telah menawarkan kepada orang-orang Ansar harta-harta itu sebagai membalas budi mereka. Sebaliknya Sahabat-Sahabat Ansar menolak sambil berkata, "Tidak, melainkan tuan membahagi-bahagikannya sama rata dengan saudara-saudara kami (orang Muhajirin)."


Ada seorang Sahabat Ansar bernama Saad bin Rabi` telah dipersaudarakan dengan Sayidina Abdul Rahman bin Auf. Saad berkata, "Ya saudaraku, aku adalah orang yang paling banyak mempunyai harta di Madinah, maka lihatlah olehmu kepada hartaku dan ambillah sebanyak mana yang kamu inginkan. Aku juga mempunyai dua orang isteri, lihatlah mereka, siapa di antara keduanya yang engkau sukai, aku akan menceraikannya untukmu."


Akan tetapi Sayidina Abdul Rahman tidak sanggup menerimanya lalu berkata, "Allah memberkati kamu, harta dan keluarga kamu. Tunjukkan aku arah ke pasar." Lalu dia ditunjukkan jalan ke pasar dan Abdul Rahman bin Auf pun berniaga sehingga mencukupi keperluan hidupnya.


Oleh itu, bersahabat besar ertinya. Kerana itulah Rasulullah saw memanggil pengikut-pengikutnya dengan perkataan Sahabat. Padahal di dalam bahasa Arab ada perkataan lain yang makna lahirnya agak sama, misalnya zamil atau rafiq. Tetapi erti sahabat lebih mendalam dan mesra. Erti sahabat, orang yang sentiasa mengiringi kita, sentiasa ada di samping kita atau selalu berdekatan dengan kita. Erti mengiring atau sentiasa di samping atau berdekatan dengan kita itu, bukan erti luaran sahaja. Bukan sekadar lahiriah sahaja tetapi batinnya sekali. Seperti mengiringi dan mendampingi hati kita. Dekat dengan hati kita. Dengan kata yang lain, seseorang sahabat itu sentiasa memerhati dan memikirkan kehidupan lahir sahabatnya seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, situasi tempat tinggal, sakit pening, susah payah dan pendidikannya.


Bahkan dia juga sentiasa memahami psikologi atau batin sahabatnya seperti tentang perasaan, kegemaran, kebencian, kesukaan, kemarahan, siapa orang yang dia suka dan siapa orang yang tidak disukainya. Bahkan kenal anak isteri, keluarga, sahabat-sahabat dan musuh-musuh kepada sahabatnya itu.


Perlu kita faham itu semua agar dapat kita berkongsi sama dengan sahabat, suka duka, masalah, kemahuan dan kebencian mereka. Agar perkara-perkara yang mereka perlukan bantuan, kita bantu. Manakala yang perlu dijauhi, sama-sama kita hindari dan jauhi. Jika perlu nasihat, kita beri nasihat. Apabila kita bersahabat, kenalah jaga perasaan mereka.


Selain itu, jika kita bersahabat dengan sesiapa, kita kenalah jujur dan amanah serta bertanggungjawab terhadap mereka. Sepertimana kita berlaku jujur, amanah serta bertanggungjawab kepada diri kita, begitu jugalah tanggungjawab kita kepada mereka dan keluarga mereka. Kita kenalah jaga mereka macam kita menjaga diri dan keluarga kita.


Kalau begitu di antara syarat-syarat kita bersahabat ialah...


1. Kalau mereka susah, memerlukan bantuan, kenalah kita bantu sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun nasihat dan pandangan kita.


2. Kalau mereka meminta sesuatu, kenalah kita beri. Jika kita tidak mampu, minta maaflah kepadanya.


3. Kenalah ziarah selalu dan lihat-lihatlah apakah yang perlu kita bantu.


4. Sewaktu ke rumahnya, bawalah buah tangan.


5. Berilah hadiah terutama di waktu-waktu yang sesuai seperti mereka mendapat anak, waktu perkahwinan dan sebagainya.


6. Di waktu sakitnya kenalah ziarah dan doakan kesembuhannya.


7. Di waktu mereka mendapat sesuatu yang menggembirakan, hendaklah kita juga lahirkan kegembiraan.


8. Di waktu mereka mendapat sesuatu kesusahan dan kesedihan, hendaklah kita juga melahirkan rasa kesedihan dan kesusahan sama.


9. Kebaikannya selalulah kita puji di belakangnya.


10. Kecacatan dan kekurangan atau keaibannya dan keluarganya, hendaklah kita tutup. Ertinya kita jangan mengumpatnya.


11. Kalau ada orang lain mengumpatnya di hadapan kita, kenalah nasihat orang itu atau kita tinggalkan majlis itu.


12. Kalau dia mengajak kita menemaninya ke mana-mana, kenalah kita menerimanya kecuali kalau ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.


13. Kalau dia menjemput ke majlis, wajib kita menerima jemputannya.


14. Kenalah ziarah serta mengambil perhatian keluarganya selepas matinya.


15. Kenalah ziarah sahabat baiknya. Kalau boleh mengambil perhatian kehidupan keluarga mereka selepas matinya.


16. Selalu mendoakannya di luar pengetahuannya atau bukan di majlisnya.


17. Berilah kemaafan di atas kesalahan terhadap kita.


18. Mintalah maaf kepadanya di atas kesalahan dan kekurangan dan kelemahan diri dalam menunaikan tanggungjawab terhadapnya.



PERINGKAT ORANG YANG BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SAHABAT

Oleh kerana orang yang bersahabat itu tidak sama satu sama lain di dalam menunaikan tanggungjawab terhadap sahabatnya, justeru itu bersahabat itu ada beberapa peringkat...


1. Golongan orang soleh

Iaitu seseorang sahabat terhadap sahabatnya sekadar dapat memberi tanggungjawabnya kepada sahabatnya apabila diminta. Apabila sahabat itu memerlukan sesuatu, kalau dia tahu, (sama ada dia tahu sendiri atau sahabatnya memberitahu atau ada orang lain memberitahu) dia akan membantunya. Dengan kata-kata yang lain dia akan membantu, memberi, menolong sahabatnya di waktu sahabatnya memerlukan bantuannya.


2. Golongan muqarrabin

Iaitu seorang sahabat dapat memberi tanggungjawab terhadap sahabatnya dengan memberi sesuatu kepunyaannya dibahagi dua kepada sahabat-sahabatnya. Apa sahaja yang dia dapat, maka separuh untuknya dan separuh lagi untuk sahabatnya. Dengan kata-kata yang lain setiap nikmat yang dia perolehi dia akan memberi sahabatnya separuh daripadanya iaitu sama banyak atau dibahagi dua.


3. Golongan siddiqin

Iaitu seseorang itu lebih mengutamakan sahabatnya daripada diri sendiri. Ini adalah berdasarkan ayat Al Quran, "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu, dia sanggup membahayakan dirinya demi keselamatanmu, orang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu, sanggup mengorbankan segala-gala untuk kepentingan dirimu."


Dalam setiap hal dan keadaan, dia mesti mengutamakan sahabatnya lebih dahulu daripada dirinya sendiri. Sebagai contoh, kalau di dalam masa yang sama dia dan sahabatnya sama-sama memerlukan duit, maka duit itu akan diberi kepada sahabatnya. Kalau dia memerlukan kenderaan, sahabatnya juga memerlukan kenderaan, maka kenderaan itu akan diberi kepada sahabatnya. Kalau ada makan minum, di waktu itu dia memerlukannya, sahabatnya juga memerlukan, maka makan minum itu akan diberi kepada sahabatnya.


Golongan ini lebih menyayangi sahabatnya daripada diri sendiri. Kalau dua orang yang berkawan tidak termasuk di dalam salah satu sifat daripada tiga peringkat atau kategori golongan tadi, dua orang tadi belum boleh dianggap sebagai orang yang bersahabat. Hanya sebagai kenalan atau kawan biasa sahaja. Belum boleh lagi dipanggil sahabat mengikut ukuran Islam.


Kesimpulannya, orang yang bersahabat kerana Allah, besar sekali keuntungannya di Akhirat.
Kebaikannya, mari kita dengar apa kata Al Hadis.


1. "Kasihilah siapa sahaja di bumi ini nescaya akan mengasihi kamu sesiapa sahaja (malaikat) yang di langit."


2. Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat kepada manusia lain (termasuk meratakan kasih sayang)." (Riwayat At Tabrani)


3. Kebanyakan sebab yang memasukkan manusia ke dalam Syurga ialah taqka kepada Allah dan kebaikan budi pekerti."


4. Hadis Qudsi menyebut, "Cinta Kasih Ku patut diperolehi mereka yang saling berkasih sayang kerana Ku, cinta kasih Ku patut dinikmati oleh mereka yang saling bersilaturrahim kerana Ku, cinta kasih Ku patut dikurniakan kepada mereka yang nasihat-menasihati kerana Ku, cinta kasih Ku patut dicurahkan kepada mereka yang kunjung-mengunjungi kerana Ku, cinta kasih Ku patut dinikmati oleh mereka yang saling memberi kerana Ku. Mereka yang saling berkasih sayang kerana Ku dan pada jalan Ku, (mereka) berada di atas mimbar- mimbar di hari Kiamat dari cahaya suatu kedudukan yang diinginkan oleh para nabi, para siddiqin dan para syuhada." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Al Hakim dan Al Qudha`i)


Daripada Hadis yang telah dinyatakan tadi, orang yang bersahabat kerana Allah swt itu ada tiga perkara yang mereka perolehi...


1. Dikasihi oleh Allah dan seluruh penghuni langit.


2. Mendapat keredhaan Allah serta ganjaran pahala dan kurnia yang besar dari Allah.


3. Mendapat perlindungan Arasy di hari Akhirat.



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Selasa, 24 Disember 2013

HATI YANG MUSTAJAB...





Manusia mungkin tersilap penelitian. Ramai di kalangan kita tersalah sangka dalam pada ingin memohon sesuatu kepada Yang Maha Esa, kita sering mencari ustaz/ ustazah, teks-teks doa, menunggu waktu-waktu tertentu atau menziarahi tempat-tempat yang berkaitan dengan harapan hajat-hajat ditunaikan. Bukan bererti salah berbuat demikian, namun pada hemat saya, ada suatu perkara yang perlu lebih ditekankan sebelum perbuatan itu kita lakukan. Apakah ia...?


BERDOA...!



Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Abu Abdullah Al-Hakim dalam Kitab Mustadrak Al-Hakim, ada perkara yang boleh kita ambil dari sudut perlaksanaan doa ketika kita ingin memohon diperkenankan hajat kepada-Nya. Hadis ini biasa di sebut oleh Rasulullah saw ketika mana Baginda saw ditimpa musibah. 


Baginda saw bersabda, "Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba Mu, anak kepada hamba lelaki Mu, dan anak kepada hamba perempuan Mu, ubun-ubunku di tangan Mu, berlalulah penentuan Mu terhadapku, hukuman Mu ke atas ku adalah adil. Aku bermohon kepada Mu dengan keberkatan setiap nama Mu yang Engkau namakan pada diri sendiri, atau yang Engkau turunkan dalam Kitab Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada mana-mana dari penciptaan Mu, atau Engkau pendamkan dalam pengetahuan ghaib di sisi Mu, agar Engkau jadikan Al-Quran sebagai peneduh jiwaku, cahaya dalam dadaku, serta penghilang kesedihan dan dukacitaku. (Mustadrak Al-Hakim no.1869)


# hadis ini juga turut dirawayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, tetapi dari sanad (periwayatan) yang dhaif seperti yang disebutkan oleh Dar-AlQutni kerana terdapat seorang perawi yang tidak dikenali iaitu Abu Salamah.#



HURAIAN HADIS

Berdasarkan kepada hadis tersebut, dapat kita lihat bahawa ketika mana Baginda saw bermunajat kepada Allah sewaktu ditimpa kesusahan, Baginda saw memulakan doa dengan merendahkan diri dengan merasakan diri tidak mampu berbuat apa-apa sebagai hamba melainkan dengan bantuan-Nya. Bahkan turut menggelarkan diri sebagai anak yang datang dari dua hamba iaitu ibu dan bapa yang mana kita tahu proses kejadiannya bermula dari perkara yang hina pada tanggapan manusia.


Begitu sebenarnya permulaan doa bagi setiap manusia. Paling penting dalam berdoa adalah kerendahan hati seseorang itu terhadap Dia yang diminta. Tambahan maksud doa itu sendiri adalah pengharapan dari yang rendah kepada yang lebih tinggi darjatnya di samping mempunyai tujuan yang satu iaitu merasai takut yang membawa kepatuhan pada Allah semata-mata yang tanpa ada berbelah bagi kepada sesiapa pun jua.


Jika seorang insan itu hanya mencari teks-teks doa yang diyakini berkesan, maka kadangkala proses itu memakan masa dan mungkin setelah ia dijumpai perlu pula dihafal dan diingati untuk diamal dalam kehidupan sehari-hari.


Jika seseorang itu hanya mencari waktu-waktu tertentu pula, maka mungkin agak sukar untuk dia menunggu kepada waktu yang disebutkan sebagai waktu yang mustajab. Begitu pula, jika mencari tempat-tempat yang mustajab, boleh jadi dia perlu mengorbankan tenaga, hatta kewangan juga demi untuk menziarahi tempat-tempat tersebut.


Namun, kelebihan bagi mereka yang mendapatkan hati yang mustajab dengan merendahkan diri di hadapan Yang Esa, maka tidak kiralah apa pun yang dia baca (yang mengikut syara’), pada ketika mana pun dia berdoa, atau dimana-mana sahaja dilafazkan doa, maka dia akan dapati bahawa doanya sebenarnya telah dimakbulkan oleh-Nya.


Oleh yang demikian, seperti yang saya terangkan diatas, bukan salah kita mencari apa-apa bahan bacaan bahkan jika kita mampu maka doa-doa yang ma’thur(berdasarkan hadis-hadis sahih daripada Rasulullah saw) lebih utama untuk kita baca, atau mencari waktu dan tempat mustajab, tetapi hati yang mustajab itu membuka seluasnya ruang kepada manusia dalam rangka berdoa mengharap kepada-Nya.


Ada pun suatu perkara yang perlu kita ambil perhatian, jika kita memuji manusia lazimnya dengan pujian tersebut manusia lebih cenderung untuk memberikan apa yang dia punyai. Namun, Allah tidak begitu kerana kerajaan-Nya sedia hebat. Jika tiada satu makhluk pun yang memuji-Nyam maka Allah tetap hebat dan Allah dengan sifat Pemurah dan Pengasihnya masih akan memberikan manusia nikmat-nikmat-Nya.


Demikian, kita melihat dalam hadis ini yang memuji keadilan, keagungan Allah swt dengan tujuan menampakkan kebesaran Allah kepada manusia yang lemah. Di samping itu, kita juga digalakkan untuk memohon doa menggunakan nama-nama yang telah Dia namakan diri-Nya seperti Al-Ghafur, Ar-Rahim, Al-Aziz dan sebagainya.



PENJELASAN

Suatu perkara yang perlu dijernihkan semula berkenaan mustajabnya doa ini adalah manusia seringkali beranggapan jika makbul (diterima) doa yang dia pinta, maka sesungguhnya doanya mustajab. Tetapi jika sebaliknya, ada manusia yang masih tidak putus-putus berdoa dan ia amatlah baik, namun tidak kurang juga bertindak mengatakan bahawa Allah tidak mengasihi dirinya, tidak adil kerana memberi nikmat kepada mereka yang lain dan sebagainya.


Suatu perkara kita kena ingat adalah mustajabnya doa kita adalah mengikut susunan Allah kerana Dia lebih tahu apa yang baik dan apa yang buruk bagi diri kita sebagaimana firman-Nya, “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (QS 2:216)


Segala penyusunan yang manusia buat meski dia anggap yang terbaik untuk dirinya, namun pengetahuan Allah lebih luas dalam segala perkara terutama yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Oleh itu, kadangkala Allah beri apa yang kita tidak pinta dan boleh jadi tidak kita suka namun ia amatlah baik buat diri kita.


Tambahan lagi, jika Allah tangguhkan permintaan kita, sebenarnya Dia ingin kita berterusan meminta kepada-Nya kerana amat menyukai rintihan yang menggambarkan kerendahan hati pada-Nya. Mungkin juga jika Allah makbulkan permintaan kita secara serta-merta kita akan mudah lupa pada-Nya terutama selepas mendapat nikmat. Maka di sini sebenarnya terselit kasih sayang-Nya kepada kita dengan tidak mahu kita berjauhan dengan-Nya.


Selain itu, jika teliti semula, bermula daripada kita dilahirkan hingga apa yang kita ada sekarang telah banyak berlalu nikmat-Nya kepada kita. Bahkan tidak terdaya untuk kita mengekspresiasi rasa syukur atas segala nikmat tersebut. Dalam  masa yang sama, ia tidaklah menghalang kita untuk meminta dan terus meminta kerana sesungguhnya Dia Maha Kaya...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

TUJUH RAMUAN UNTUK AKU HIDUP BAHAGIA...





Ramuan Pertama...

Aku yakin kepada Allah. Sesungguhnya yakin kepada Allah sepenuhnya menjadi aku tenang menerima apa sahaja ketentuan Allah ke atas diriku. Aku yakin apa yang ditentukan-Nya itu yang lebih baik untukku. Sekalipun pada zahirnya aku nampak tidak baik...



Ramuan Kedua...

Aku yakin bahawa ketentuan Allah pasti akan terlaksana dan tiada siapa dapat lari darinya. Sesungguhnya tiada siapa yang boleh menolak ketetapan-Nya. Maka semestinyalah aku redha dengan ketetapan Allah, tidak merintih dan menyesalinya...



Ramuan Ketiga...

Aku yakin bahawa apa yang aku hadapi hari ini merupakan ujian daripada Allah.Kejayaan didalam sesuatu ujian hanya boleh dicapai dengan bersabar serta mengharapkan ganjaran daripada Allah. Dan aku sentiasa meletakkan harapan yang tinggi bahawa Allah akan menggantikan untukku keadaan yang lebih baik sama ada di dunia dan akhirat. Dengan itu aku tidak di himpit kerisauan dan keluh kesah...



Ramuan Keempat...

Aku yakin bahawa jika aku tidak sabar maka apalah gunanya aku merintih...? Pastinya rintihan hanya akan menambahkan kesedihan, kerisauan dan keluh kesah yang akhirnya membawa padah tidur tidak lena, makan tiada selera dan ibadah tidak bahagia...



Ramuan Kelima...

Adalah tidak mustahil aku akan ditimpa bencana yang lebih teruk daripada apa yang di alami sekarang. Lantaran itu aku bersyukur kepada Allah terhadap bencana yang aku terima ini Bukankah pepatah ada menyebut, ‘sesiapa yang melihat kesusahan orang lain akan merasa ringan kesusahan yang ditanggungnya’.



Ramuan Keenam...

Musibah yang menimpa diriku bukan pada agamaku. Sesungguhnya yang sebenar-benar musibah itu ialah musibah pada agama iaitu apabila seseorang insan berada didalam kesesatan, kefasikan atau kekufuran. Adapun musibah yang lain daripada itu, sama ada terhadap harta, anak atau diri sendiri semua itu ringan sahaja. Kesannya pun hanya seketika berbanding dengan musibah pada agama serta kesesatannya. Lantaran itu Rasulullah saw pernah berdoa, “ Wahai Robb-ku, janganlah Engkau jadikan musibah kami ke atas agama kami”


Ramuan Ketujuh...

Dan yang akhir, sesungguhnya aku sedang menanti pertolongan daripada Allah. Dari satu detik ke satu detik kerana sesungguhnya semua urusan itu di tangan Allah. Berterusannya sesuatu keadaan itu adalah sebahagian daripada perkara yang mustahil.


Sekadar pesan buat saudara semuslim...

Sesungguhnya sesiapa yang memelihara Allah, Allah akan memeliharanya. Sesiapa yang bertawakal kepada-Nya, sesungguhnya pertolongan Allah akan tiba. Setiap apa yang ditakdirkan oleh-Nya itulah yang terbaik. Semua kesudahan yang baik adalah untuk mereka yang bertakwa dan tiada permusuhan kecuali ke atas orang-orang yang zalim...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...









Ahad, 22 Disember 2013

WANITA DAN RAMA-RAMA...





Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga, tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena. 


Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan. 


Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan- tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar. 


Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya. 


Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci. 


Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa. 


Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan. 


Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya. 


Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda. 


Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna- warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati. 


Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama. 


Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

Sabtu, 21 Disember 2013

LAMAN SABAR...





Ini bukan untuk membandingkan tingkat kesabaran diantara nabi-nabi Allah, tetapi sebuah ilustrasi yang memudahkan kita untuk memahami jenis-jenis kesabaran.



Sabar ujian kesusahan Nabi Ayub as

Sungguh Ayub as seorang yang sangat sabar melawan godaan kesusahan yang bertujuan menguji keteguhan iman Baginda as? Allah swt telah menguji Baginda as dengan pelbagai penderitaan sakit fizikal luar serta dalam yang sangat dahsyat dan menjijikkan. Ujian ini terjadi hampir sepanjang usia Baginda as.



Sabar ujian kesenangan Nabi Sulaiman as

Sanggupkah kita sesabar Sulaiman as ketika Baginda as melawan godaan kesenangan dunia yang ingin menutup hati Baginda as? Bukankah kesenangan lebih mudah membuat kita melupakan Pencipta Kesenangan ? Sungguh Sulaiman as tetap teguh dalam keimanan, walau Allah swt menguji Baginda as dengan kerajaan yang besar, pasukan yang besar, kekayaan yang melimpah, isteri yang cantik dan sebagainya.



Sabar ujian kemaksiatan Nabi Yusuf as

Hamba sahaya mana yang sanggup menolak godaan wanita yang memiliki kekuasaan dan cantik rupawan, kecuali seorang Yusuf as. Dialah yang sanggup mengatakan tidak pada Zulaika ketika Allah swt menguji kesabaran Baginda as untuk berbuat maksiat bahkan ketika Allah telah menyediakan jalan yang memudahkan Baginda as untuk berbuat maksiat.



Sabar ujian ketaatan seorang Nabi Musa as

Inilah kesabaran seorang Musa as yang mengeluarkan tenaga keberanian Baginda as namun tetap teguh ketika berkali-kali ia mengajak Firaun untuk bertaubat. Ujian ketaatan bukan sesuatu yang datang seperti ujian kesusahan atau kesenangan, tidak pula merupakan pilihan seperti pilihan berbuat maksiat atau menolak maksiat. Ujian ketaatan adalah ujian yang diciptakan sendiri oleh seorang manusia di jalan Allah swt akibat keinginan yang kuat untuk menjalankan perintah dan larangan Allah swt, atau kerana ingin amar makruf nahi munkar atau kerana ingin sekadar beribadah secara lebih baik. 



Demi Allah!!! sungguh memerlukan kesabaran yang luar biasa ketika kita sedang berjuang ingin istiqamah mendirikan solat secara khusyuk atau ketika kita ingin memperjuangkan hak-hak umat Islam... 



Sebagai catatan tambahan :

Ciri-ciri kesabaran :

1. tidak terburu-buru mengambil keputusan

2. teguh dengan tujuan yang ditetapkan

3. tuntas sesuai kemampuan

4. tidak mudah pasrah

5. hati tetap senang ketika diuji



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Jumaat, 20 Disember 2013

DIA TETAP SEORANG HAWA...





Dia tetap seorang hawa...



Dan seorang hawa masih memerlukan seorang adam untuk membimbingnya. tapi bagaimana? si lelaki berfikir sejenak...



Pada pandangannya wanita itu perlu dihormati, bukan sekadar disayangi. hormat itu daripada akal. Sayang itu daripada perasaan. Akal akan sentiasa rasional dan kembali meletakkan sesuatu pada hakikat, pada kebenaran. 
Perasan pula selalu berubah-ubah malah kadang-kala terdorong nafsu.


Dengan menghormati wanita, seorang lelaki telah meletakkan wanita pada satu tahap yang tinggi, yang disarankan oleh Islam. Menyayangi wanita itu pula lebih banyak mudarat dari kebaikan.


Lihatlah anak muda sekarang, mudah benar menghamburkan kata sayang antara lelaki dan perempuan. Lelaki berbangga dapat memiliki seorang perempuan, dan seorang perempuan pula bangga dirinya dimiliki oleh seorang lelaki...


Rendahkah martabat dan maruah wanita sehingga begitu mudah dijinakkan hanya dengan rupa, harta dan kata-kata manis?


Rendahkah nilai wanita jika hanya dimiliki untuk dijadikan lambang kemegahan...?


Tidak. wanita itu mulia. Wanita ada harganya yang tersendiri dan dengan menghormati wanita, harga wanita akan kembali mahal, baik di sisi manusia atau Ilahi...


Sesungguhnya kita adalah makhluk yang hebat dan dengan itu kita penuh sedar bahawa menjadi hebat itu perlu pikul tanggungjawab berat....



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

WARKAH BUAT PEMILIK RUSUK KIRI...





Assalamualaikum wbt...


Kehadapan pemilik rusuk kiri ku, semoga ketika ini kau sentiasa berbahagia di samping keluarga tercinta dan di bawah lindungan redha pemilik segala yang ada di bumi dan di langit.


Sengaja aku menuliskan surat ini semata-mata sebagai peringatan kita bersama bahawa cinta itu bukan di tangan kita, tetapi di tangan Sang Pencipta.


Mungkin kini kau merasakan jarak, masa dan urusan dunia telah memisahkan kita. Tapi ingatlah, Jarak bukan alasan untuk kita berkasih. Masa bukan alasan untuk kita merindu. Dan urusan dunia bukan alasan untuk kita bercinta.


Ketahuilah bahawa cinta tidak pernah bersalah, kerana yang bersalah ialah pengendali cinta. Malah cinta itu bertamu tanpa diundang. Kerana itu cinta perlu dikendali dengan baik. Dilawan, sengsaralah jiwa. Dilayan, matilah jiwa.


Kendalikan cinta dengan sebaiknya. Andai cinta tidak didasarkan pada cinta dan keredhaan Allah, maka sia-sia sahaja ucapan cinta yang diluah. Malah mungkin sahaja cinta itu yang akan membuatkan diri kita jatuh ke lembah hina. Malah mendekatkan kita dengan azab-Nya. Nyahkan cinta seperti itu dari hidup kita.


Junjunglah cinta Allah dan Rasul di atas setiap gerak geri agar cinta selain itu ikut serta dalam lindungan-Nya.


Mungkin kau tertanya apakah yang harus dilakukan untuk mendambakan cinta dari manusia soleh andai cinta tidak diluah dan rindu tidak disemai.


Jawapanku mudah. Sudah lupakah kau pada ayat suci Al-Quran, “Sesungguhnya perempuan yang solehah untuk lelaki yang soleh dan yang jahat pula untuk perempuan yang jahat.”


Tetapkan hati dan yakin sepenuh jiwa bahawa janji Allah itu benar. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Cintailah manusia kerana Allah, bukan cintai Allah kerana manusia.


Seperkara yang penting, manusia sudah pasti tiada yang sesempurna malaikat. Jika kau mendambakan sempurna tiada cela dan cacat, sebenarnya kau telah tertipu. Malah hakikat pernikahan adalah untuk saling menampung yang kurang dari pasangan. Redhalah bahawa aku bukanlah lelaki sempurna. Begitu juga aku redha kau adalah wanita yang tidak sempurna.


Kerana apa aku mengharapkan pernikahan menjadi pengikat antara kita?


Kerana tiada jalan lain yang lebih suci dan bersih selain jalan ini untuk menghalalkan sesuatu hubungan antara dua jantina berbeza.


Mungkin kau menduga bahawa jalan ini sukar dan penuh liku. Ya, aku akuinya. Memang ia sebuah jalan yang penuh liku. Kerana tiada sebuah kebahagiaan pun yang ingin digapai tanpa dibasahi peluh dan dicalari duri. Untuk memperoleh syurga Allah pun perlu mengorbankan harta dan jiwa.


Jadi bersabarlah menghadapi kepahitan terlebih dahulu kerana aku yakin dipenghujungnya pasti kau akan temui kemanisan.


Marilah kita merealisasikan impian mahligai perkahwinan. Kerana hanya dengan perkahwinan, hati kita menjadi satu. Janji kita menjadi jitu. Dan cinta kita menjadi padu. Kemudian pasti datang menerpa kita sakinah, mawaddah dan rahmah. Aku yakin kerana janji Allah tidak pernah dimungkiri.


Pesan terakhirku buat pemilik tulang rusuk kiriku, bagaimana mungkin rumah yang cantik dan besar dibina di atas tapak yang rapuh dan goyah. Begitu juga pernikahan yang suci dan mulia mana mungkin terbina atas dasar cinta yang palsu dan menipu. Kerana itu aku takut berjanji, kerana aku bimbang tidak mampu menunaikannya. Kita hanya merancang, keputusan tetap di tangan-Nya.


Yakinlah. Insya Allah.


Yang benar,
Lelaki tidak sempurna.




Wallahu`alam



Jagalah Hati...