Popular Posts

Selasa, 30 Ogos 2016

JAMAK DAN QASAR : SEBUAH HURAIAN...





Secara ringkas

Solat fardhu yang boleh dijamakan:

1 – Zuhur dengan Asar
2 – Maghrib dengan Isya’



Waktu dilakukan:

Di-salah satu waktu solat yang berkenaan (sama ada solat yang terdahulu atau yang terkemudian) – bergantung kepada masalah waktu yang dihadapi.


Bilangan rakaat apabila di-Jamakkan:

1 – Bagi zuhur + asar

i - Adalah 4 rakaat (zuhur) + 4 rakaat (asar). (jika tidak melakukan musafir/tidak berkaitan musafir) – diselangi dengan salam selepas 4 rakaat pertama (zuhur), dan terus saja diteruskan solat yang seterusnya selepas salam yang pertama tersebut (‘asar).


ii - 2 rakaat (zuhur) + 2 rakaat (asar) (jika sedang dalam keadaan bermusafir/dalam perjalanan) – diselangi dengan salam selepas selesai 2 rakaat pertama (zuhur secara Qasar), lalu diteruskan dengan dua rakaat yang seterusnya (‘asar secara Qasar).

Untuk persoalaan solat di dalam musafir inilah yang akan diperbincangan di dalam artikel seterusnya iaitu sekitar persoalan secara Qasar. Secara ringkasnya, solat Qasar adalah lebih mengkhusus untuk mereka yang ebrmusafir. Berbeza dengan solat jamak, yang bersifat lebih umum.


2 – Bagi solat maghrib + isya’

i – Adalah 3 rakaat (maghrib) + 4 rakaat (isya’). (jika tidak melakukan musafir/tidak berkaitan dengan musafir) - diselangi dengan salam selepas 3 rakaat yang pertama (maghrib), dan diteruskan dengan solat (isya’) yang seterusnya selepas salam yang pertama tersebut.


ii – 3 rakaat + 2 rakaat. (jika sedang dalam keadaan bermusafir/dalam perjalanan) – diselangi dengan salam selepas selesai 3 rakaat pertama (maghrib), lalu diteruskan dengan dua rakaat yang seterusnya (isya’ secara Qasar).

Dimulakan dengan niat dan takbir, lalu bersolat.

di-ulangi, solat jamak, adalah bukan khusus untuk mereka yang ber-musafir sahaja, tetapi adalah lebih bersifat umum iaitu bagi mereka yang mengalami seperti kesempitan waktu untuk solat di salah satu waktu solat yang berkaitan, mengalami ke-uzuran untuk melakukan solat secara sempurna di salah satu waktu solat yang berkaitan, dan seumpamanya... (untuk selanjutnya sila rujuk artikel berkenaan solat jamak di dalam posting sebelum ini).

sekian disimpulkan.



MENG-QASARKAN (MEMENDEKKAN) SOLAT FARDHU


Solat qasar ialah mendirikan solat-solat fardhu yang asalnya 4 raka'at secara 2 raka'at apabila sahaja seseorang itu berada dalam suasana perjalanan atau musafir. Solat-solat Zohor, Asar dan Isyak didirikan secara 2 raka'at manakala solat Subuh dan Maghrib tetap didirikan secara 2 dan 3 raka'at masing-masing.


Dalil mensyari'atkan Solat Qasar

[1] - Firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. [Maksud surah an-Nisaa' 04 - 101].

[2] - Ya'laa bin Umayyah berkata: Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radiallahu-anhu berkenaan firman Allah - "maka kamu tidaklah berdosa meng-qasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir"; sedangkan pada masa sekarang manusia telahpun berada dalam keadaan aman.

Umar menjawab: Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang hal ini lalu beliau bersabda: Itu adalah sedeqah yang diberikan oleh Allah Azza waJalla kepada kalian maka terimalah sedekah-Nya itu.
[1]


Dari ayat al-Qur'an dan sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam di atas, para ilmuan menetapkan bahawa solat boleh di qasar apabila sahaja seseorang itu berada dalam perjalanan yang keluar dari tempat asalnya sehinggalah dia kembali semula ke tempat asalnya itu. Dua dalil di atas jelas mensyari'atkan kebolehan meng-qasar solat apabila seseorang itu berada dalam perjalanan tanpa sebarang syarat atau kondisi tambahan.[2]


[3] - Anas bin Malik radiallahu-anhu menerangkan: Kami pernah musafir bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dari Madinah ke Mekah. Selama dalam musafir itu beliau melakukan solat secara dua raka'at (qasar kecuali Maghrib) sehingga kembali ke Madinah. Orang bertanya: Apakah kalian sempat menginap di Kota Mekah? Anas menjawab: Kami menginap di Kota Mekah selama 10 hari.[3]


[4] - Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menerangkan: Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bermukim di Tabuk selama 20 hari (dan beliau) mengqasarkan solat.[4]


Dalil-dalil ketiga dan empat menerangkan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam melaksanakan solat-solatnya secara qasar tanpa mengira bilangan hari dia berada dalam perjalanan atau duduk di destinasinya. Hadith ketiga ialah musafir kerana ibadah haji, hadith keempat ialah musafir kerana perang. Dua suasana berlainan ini menunjukkan bahawa tiada perbezaan antara qasar kerana perang atau selain dari perang.


[5] - Umar al-Khattab radiallahu-anhu menerangkan: Solat musafir itu dua raka'at (kecuali Maghrib), solat Juma'at itu dua raka'at dan solat Id (solat Hari Raya) itu dua raka'at. Ini semua adalah solat sempurna dan bukan qasar, demikian menurut lisan Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam.[5]


Hadith ini menerangkan bahawa solat-solat yang didirikan secara qasar adalah dikira dan dipandang sebagai solat yang sempurna di sisi Islam sebagaimana juga solat Juma'at, solat Aidil Fitri dan Aidil Adha. Dinyatakan ia sebagai solat sempurna (taman) dan bukan qasar kerana perkataan qasar menurut kaedah bahasa adalah kurang atau ringkas. Oleh itu mendirikan solat secara qasar ketika musafir adalah tetap dipandang sempurna dan ia bukanlah sesuatu yang mengurangi pahala atau kebaikan.


[6] - Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma menerangkan: Aku pernah solat bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam musafir dan beliau bersolat 2 raka'at (qasar kecuali Maghrib), dan aku pernah bersama Abu Bakar radiallahu-anhu dan beliau bersolat 2 raka'at (qasar kecuali Maghrib) dan aku pernah bersama Umar al-Khattab radiallahu-anhu dan beliau bersolat 2 raka'at (qasar kecuali Maghrib).[6]


Hadith ini menerangkan bahawa solat Zohor, Asar dan Isyak secara qasar adalah sunnah yang dipraktikkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan khalifah-khalifah beliau seperti Abu Bakar dan Umar radiallahu-anhuma. Dalam riwayat lain Uthman ibnu Affan juga turut mengqasarkan solat-solatnya apabila musafir kecuali beberapa tahun di akhir hayatnya apabila dia telah berkahwin dengan seseorang di Mina lalu menetap di sana dan tidak lagi mengqasarkan solat.



Syarat-syarat Solat Qasar

Syarat bagi melakukan solat secara qasar hanya satu, iaitu apabila sahaja seseorang itu melakukan perjalanan yang di luar dari batas kebiasaannya. Inilah juga yang didefinasikan sebagai Musafir. Dalilnya ialah hadith yang diriwayatkan dari Imran bin Husain radiallahu-anhu di mana beliau menerangkan:


Aku pernah bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, juga aku pernah menyaksikan 'Fath-ul-Mekah'. Beliau menginap di Mekah selama 18 malam hanya dengan melakukan solat secara dua raka'at (qasar). Beliau bersabda: "Wahai penduduk negeri (Mekah)! Solatlah 4 raka'at kerana kami orang musafir."[7]


Dari hadith ini dapat diperhatikan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam membezakan antara orang-orang yang sememangnya penduduk Kota Mekah dengan orang-orang yang dari luar Kota Mekah, iaitu diri beliau beserta rombongannya yang dikategorikan sebagai orang musafir. Penduduk Mekah hendaklah melaksanakan solat secara biasa iaitu 4 raka'at manakala yang musafir ke Kota Mekah pula 2 raka'at iaitu solat qasar. Oleh itu jelas bahawa solat qasar hanya dibolehkan bagi orang yang sedang dalam perjalanan atau musafir, bukan bagi orang yang berada di perkampungan asalnya.


Walaupun syarat bagi solat qasar ini hanya satu, iaitu musafir namun kondisi musafir itu mempunyai beberapa syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu. Syaratnya ada tiga iaitu [1]-jarak perjalanan, [2]-tempoh perjalanan dan [3]-jenis perjalanan. Berikut dihuraikan satu persatu akan syarat-syarat ini –



[Pertama] - Jarak perjalanan

Apabila seseorang itu membuat satu perjalanan yang melebihi dari batas atau lingkungan kebiasaannya maka adalah perjalanan itu dikira sebagai musafir dan dengan itu dia dibolehkan mengqasarkan solatnya. Tidak ada jarak minimum atau batas tertentu yang tetap bagi hal ini. Al-Qur'anul Karim apabila ia mensyari'atkan solat secara qasar hanya menyatakan suasana berpergian yakni musafir tanpa meletakkan apa-apa syarat tambahan. Diulangi firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang…… Demikian juga Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak pernah meletakkan had batasan dalam hal ini.[8]


Akan tetapi yang pasti adalah apabila sahaja Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bertolak ke luar dari Kota Madinah beliau sentiasa mengqasarkan solat-solatnya tidak kira dalam perjalanan jauh mahupun dekat. Imam Ibnu Mundzir berkata:Sungguh saya tidak mengetahui bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ada mengqasarkan solat dalam satu perjalanan kecuali setelah keluar dari Madinah.[9] Sebaliknya apabila beliau berjalan-jalan di dalam Kota Madinah samada kerana hal pentadbiran atau sekadar melawat sahabat beliau tidak mengqasarkan solat-solatnya. Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma menerangkan: Adalah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam ketika keluar dari Kota Madinah, beliau tidak menambah raka'at solat-solatnya melebihi 2 raka'at (kecuali Maghrib) sehinggalah beliau kembali semula ke Kota Madinah.[10]


Berpijak dari sunnah baginda ini, seseorang itu apabila dia berada di kampung atau pekan atau bandar asalnya maka dia tidak boleh mengqasar solat-solatnya manakala apabila sahaja dia keluar dari batasan kampung atau pekan atau bandar asalnya menuju ke satu perjalanan maka dia boleh mengqasarkan solat-solatnya. Setiap orang mempunyai jarak kebolehan mengqasar yang berbeza selari dengan tempat dan keadaan tempat tinggalnya.


Bagi seseorang yang tinggal di pendalaman dan perjalanan biasanya ialah sekadar berulang-alik dari rumah ke kebun sayur atau pekan berhampiran maka itulah yang dikira sebagai tempat perjalanan kebiasaannya yang tidak membolehkan dia mengqasarkan solat. Akan tetapi apabila dia melakukan suatu perjalanan yang di luar kebiasaannya itu, umpama pergi ke bandar berhampiran maka itu dikategorikan sebagai musafir bagi dirinya sekalipun bandar tersebut hanya 10 atau 15 km dari rumahnya. Dalam perjalanan itu dia boleh mengqasarkan solatnya.


Berbeza pula dengan seorang yang hidup di bandar yang mempunyai berbagai kemudahan pengangkutan maka dia tidak boleh mengqasar solatnya selagi dia berada di dalam bandar tersebut. Tetapi apabila dia berpergian ke satu tempat yang di luar sempadan bandar tersebut maka dia boleh mengqasar solatnya. Sebagai contoh orang yang tinggal di Lembah Klang (Kuala Lumpur + Petaling Jaya + Shah Alam) tidak boleh mengqasar solatnya apabila berulang alik di sekitar kawasan ini. Tetapi apabila dia pergi ke KLIA (Sepang) yang jaraknya kira-kira 50 km untuk tujuan tertentu maka dia boleh mengqasarkan solatnya. Lain pula bagi orang yang tinggal di Lembah Klang tetapi bekerja di KLIA, dia tidak boleh qasar solat di KLIA kerana ia termasuk lokasi perjalanan yang biasa bagi dirinya. Apabila dia pergi ke Bandar Nilai untuk sesuatu tujuan maka dia boleh mengqasarkan solatnya.


Oleh itu sekali lagi dinyatakan bahawa apabila seseorang itu membuat satu perjalanan yang melebihi dari batas atau lingkungan kebiasaannya maka perjalanan itu dikira sebagai musafir dan dengan itu dia dibolehkan mengqasar solat-solatnya. Batas kebiasaan adalah relatif kepada setiap individu selari dengan keadaan, lokasi dan corak kehidupannya. Apabila terdapat keraguan samada perjanan itu dikira kebiasaan atau tidak maka pilihan terbaik ialah tidak mengqasarkan solat.


[Kedua] - Tempoh Perjalanan [11]

Apabila sahaja seseorang itu bermusafir keluar dari kawasan kebiasaannya maka adalah ia tetap dikira sebagai musafir tidak kira berapa lama tempohnya. Ini berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang sentiasa mengqasarkan solatnya apabila berada dalam perjalanan tidak kira berapa lama perjalanan tersebut, samada 1 atau 2 atau 3 atau 10 atau 15 atau 20 hari. Rujuklah kembali hadith-hadith yang diutarakan di awal bab ini. Malah di dalam satu ekspedisi Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bersama rombongannya bermukim di Ram al-Harmuz dengan mengqasarkan solat selama sembilan bulan lamanya.[12] Dalam setiap perjalanan beliau tetap mengqasarkan solat-solatnya tanpa menerangkan apa-apa syarat atau kondisi mengenainya.


Sekalipun seseorang itu singgah di satu tempat dan bermukim di sana selama sekian-sekian hari dia tetap dikira sebagai seorang musafir dan dibolehkan mengqasar solatnya. Hanya apabila seseorang itu berniat untuk bermastautin di tempat persinggahannya maka dia tidak lagi dikira sebagai seorang musafir dan tidak lagi dibolehkan mengqasar solatnya. Beza antara mukim dan mastautin ialah - mukim adalah bagi orang yang bermusafir lalu ia berhenti di destinasinya dan duduk di sana untuk sekian-sekian masa tertentu tetapi dia tetap sedar dan tahu bahawa dia akan kembali semula ke tempat asal apabila urusannya selesai (mukim ghairu mastautin). Mastautin pula ialah orang yang bermusafir lalu tiba di destinasinya dan duduk tetap di sana dengan kesedaran niat bahawa dia akan tinggal di sana untuk keadaan tetap (menetap) dan tidak akan kembali lagi (mukim mastautin).[13]


[Ketiga] - Jenis musafir

Secara umumnya apabila membicarakan perihal bab musafir, para fuqaha membahagikannya kepada dua kategori, musafir yang selari dengan Islam dan musafir yang bertentangan dengan Islam. Musafir yang bertentangan dengan Islam ialah segala perjalanan yang diusahakan atas tujuan maksiat, kemungkaran dan kekejian seperti musafir untuk mencuri, berjudi, ke rumah pelacuran dan yang seumpama. Jumhur ulama' tidak membenarkan orang yang membuat perjalanan sebegini dari menerima dan mengamalkan kemudahan-kemudahan hukum Islam kerana tidak mungkin Islam memberikan kemudahan kepada umatnya untuk melakukan kemaksiatan terhadap ajarannya. Manakala segolongan lain membolehkan kemudahan hukum tetap diamalkan seperti mengqasar solat kerana antara ibadah dan maksiat adalah dua hal yang berbeza dan setiapnya akan dihitung baik-buruknya secara berasingan nanti oleh Allah Azza waJalla.



Beberapa Catatan Tambahan

1 - Kemudahan hukum semasa dalam perjalanan diberikan oleh Allah Subhanahu waTa'ala kepada hamba-hambaNya sebagai tanda Rahmat dan Kasih kepada mereka. Allah tidak meletakkan sebarang syarat tambahan seperti faktor kesukaran ataupun jenis kenderaan ataupun apa-apa lain. Asal sahaja seseorang berada dalam perjalanan maka dia boleh mengqasar solatnya. Dalam rumusannya terhadap perbincangan hukum-hukum solat qasar, Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie menerangkan:


Mengenai musafir, Allah Subhanahu waTa'ala menerangkannya dengan kaedah syara' yang umum. Allah sedia mengetahui bahawa alat-alat pengangkutan atau kenderaan akan berlain-lainan mengikut perkembangan masa dari unta, keldai, kuda hinggalah ke kereta motor, kapal laut dan kapal terbang. Allah tidak mengaitkan hukum-hukum musafir dengan sesuatu macam medium kenderaan dan demikian juga Allah tidak mengaitkannya dengan sesuatu jenis musafir dan demikian juga Allah tidak mengaitkannya dengan jenis musafir yang menghasilkan kesukaran. Maka oleh kerana itu apabila kita bermusafir baik berjalan kaki atau menaiki kuda atau menaiki kereta motor atau menaiki kapal terbang, maka kita dikehendaki menjalani dan melaksanakan hukum-hukum musafir.[14]


2 - Seseorang yang kebiasaannya melibatkan perjalanan yang jauh dari tempat mastautinnya yang asal juga dikategorikan sebagai seorang musafir asalkan perjalanannya itu adalah rambang dan tidak tetap ke satu destinasi sahaja. Oleh itu para pemandu bas ekspres, pemandu lori jarak jauh, kelasi kapal laut, juruterbang, pramugara/pramugari yang tidak mempunyai destinasi musafir yang tetap dibolehkan mengqasar solat-solat mereka.[15] Akan tetapi bagi seseorang yang selalu mempunyai destinasi yang tetap seperti seorang yang mastautin di Seremban lalu berulang-alik ke Kuala Lumpur (kerana kerja atau sebagainya) maka dia tidak dikira sebagai orang musafir kerana perjalanan ulang-alik itu termasuk dalam batas sempadan kebiasaannya.


3 - Seseorang yang menjadikan kenderaannya sebagai rumah yang tetap seperti seorang kelasi kapal yang memandu kapalnya dan tidak mempunyai rumah selain kapalnya itu sahaja, yang mana kapal itulah yang menjadi tempat tinggal keluarganya lagi dilengkapi dapur serta segala keperluan rumah maka dia tidak boleh mengqasarkan solat-solatnya sekalipun dalam pelayaran. Demikian menurut Imam Ahmad bin Hanbal.[16]


4 - Apabila memulai atau mengakhiri perjalanan yang menepati syarat-syarat musafir, seseorang itu dibolehkan mengqasarkan solat-solatnya apabila sahaja berada di luar batas sempadan kampung/pekan/bandar tempat tinggalnya yang asal. Semata-mata berniat untuk musafir tidak membolehkan seseorang itu mengqasar solatnya apabila masih berada di dalam sempadan tempat asalnya. Demikian juga seseorang yang kembali dari musafirnya tidak dibolehkan qasar solat apabila telah memasuki sempadan tempat asalnya. Ini adalah kerana qasar itu adalah kemudahan hukum bagi suasana musafir dan seseorang itu perlu benar-benar berada dalam kondisi musafir sebelum boleh mempraktikkan kemudahan ini. Demikian adalah hujah yang disepakati jumhur.[17]


5 - Sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam semasa musafir ialah sentiasa mendirikan solat-solat Zohor, Asar dan Isyaknya secara qasar 2 raka'at dan perbuatan ini diteladani oleh para Khalifah dan para sahabat beliau sepenuhnya sepanjang hidup mereka, sebagaimana hadith-hadith yang telah dikemukakan di awal bab ini. Malah di kalangan para fuqaha ada yang berpendapat solat secara qasar ketika musafir adalah wajib berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang sentiasa tetap mendirikan solat-solatnya secara qasar apabila sahaja berada dalam perjalanan.[18] Oleh itu adalah menjadi pilihan yang sebaiknya juga bagi kita umat Muhammad akhir zaman untuk turut mengikuti sunnah beliau yang mulia ini iaitu tetap dan berterusan mengqasarkan solat apabila berada dalam suasana musafir.


Terdapat sebuah riwayat dari A'isyah radiallahu-anha yang menerangkan: Bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam kadang-kala mengqasarkan solat dan kadang-kala tidak (iaitu solat 4 raka'at); dan kadang-kala berbuka dan kadang-kala berpuasa apabila dalam perjalanan. Ketahuilah bahawa riwayat ini adalah daif dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah teladan agama.[19]


6 - Seseorang yang musafir boleh solat berimamkan seorang yang solat penuh dengan syarat dia juga mendirikan solatnya secara penuh. Contohnya jikalau seseorang yang sedang dalam perjalanan yang membolehkan dia mengqasar solat lalu di satu tempat dia menjumpai barisan jamaah penduduk di situ yang bersolat dengan imam mereka secara penuh maka dia tetap dianjurkan solat berjamaah bersama kumpulan itu secara penuh juga. Ini sebagaimana hadith berikut: Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu telah ditanya orang: Bagaimanakah keadaan seorang musafir yang bersolat qasar 2 raka'at apabila bersendirian lalu bersolat penuh 4 raka'at apabila mengikuti jamaah orang yang bermukim? Ibnu Abbas menjawab: Itu adalah sunnah. (yakni cara yang betul-P).[20]


Sebaliknya dibolehkan juga orang yang bermastautin berimamkan jamaah musafir yang mendirikan solat mereka secara qasar dengan syarat apabila jamaah tersebut selesai solat mereka yang dua raka'at itu, jamaah mastautin bangun dan meneruskan lagi dua raka'at mencukupkannya kepada 4 raka'at. Ini pernah dilakukan sendiri oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apabila beliau dan rombongannya berada di Kota Mekah lalu bersolat jamaah secara qasar di sana dan solat mereka diikuti juga oleh para penduduk Kota Mekah. Lalu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam memberitahu para jamaah Kota Mekah bahawa solat mereka adalah tetap juga 4 raka'at sekalipun berimamkan kepada orang yang solat qasar 2 raka'at, dengan sabda beliau: Wahai penduduk negeri (Mekah), Solatlah 4 raka'at kerana kami orang musafir.[21]/[22]


7 - Apabila seseorang itu berada dalam suasana musafir lalu dia mengqasarkan solat-solatnya, kemudian dia menghadapi kesukaran pula untuk menyempurnakan solat-solatnya dalam waktu yang disediakan maka dia boleh menjamakkan solat-solatnya itu secara qasar. Oleh itu dibolehkan menunaikan solat Zohor dan Asar masing-masing secara qasar dan kedua-duanya didirikan dalam satu waktu, samada jamak takdim atau takhir. Walaubagaimanapun perlu diingati bahawa menjamakkan solat mempunyai beberapa syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.


8 - Seseorang yang dalam suasana musafir lalu tertinggal sesuatu solat kerana tertidur atau terlupa sehingga luput waktunya maka dia wajib mendirikan semula solatnya itu secara qadha apabila sedar dan ingat kembali. Solat tersebut tetap dianjurkan secara qasar kerana qasar adalah kaedah solat yang sedia disunnahkan dalam suasana musafir. Akan tetapi apabila dia sedar atau teringat setelah kembali ke tempat mastautinnya yang asal maka ia hendaklah diqadha secara penuh yakni 4 raka'at.[23]



Analisa Pendapat


[Pertama] - Sesetengah pendapat menyatakan bahawa jarak minima bagi membolehkan seseorang itu mengqasarkan solat-solatnya ialah apabila dia menghadiri satu perjalanan yang destinasinya melebih 89km. Pendapat ini didasarkan kepada dua riwayat, iaitu -

[1] - Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berkata, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam diriwayatkan telah bersabda: Hai penduduk Mekah! Janganlah kamu mengqasarkan solat pada jarak kurang dari 4 barid, iaitu umpama perjalanan dari Mekah ke Usfan. (4 barid = 89 km). [Hadith riwayat Imam ath-Thabarani, ad-Daruquthni dan al-Baihaqi]

Hadith ini sebenarnya berstatus maudhu' / palsu. Dalam isnadnya terdapat seorang perawi bernama Abdul Wahab bin Mujahid bin Jubair. Kata Imam Sufian at-Thauri - dia adalah pendusta. Kata Imam al-Hakim - dia meriwayatkan hadith-hadith yang palsu. Kata Imam Ibnu Jawzi - ijma' ulama' hadith bahawa dia adalah matruk. Kata Imam an-Nawawi - dia adalah pendusta. Berkata Shaikh Nasiiruddin Albani - hadith ini adalah maudhu'.[24]


Oleh itu hadith ini tidak boleh digunakan sebagai dalil kerana kesepakatan para ahli hadith tentang kepalsuannya, sekalipun ia sering digunakan oleh sesetengah pihak samada secara lisan mahupun bertulis bagi menghujahkan pendapat mereka.


[2] - Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu pernah ditanya orang: Apakah boleh saya mengqasar solat untuk pergi ke Arafah? Ibnu Abbas menjawab: Tidak boleh tetapi anda boleh mengqasarnya apabila pergi ke Usfan, Jeddah dan Taif. Tiga destinasi yang disebut ini jaraknya ialah lebih kurang 4 barid / 89 km jauhnya dari Kota Mekah. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Shafie dalam kitabnya Musnad Shafie, 1/429 dan disahihkan oleh Imam al-Baihaqi dalam kitabnya Sunan al-Kubra, 3/137. Kesahihan ini dipersetujui oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 4/481 dan oleh Imam as-Sha'nani dalam Subul-us-Salam, 2/163 tanpa komentar tambahan.


Walaubagaimanapun riwayat di atas adalah merupakan keterangan sahabat dan bukannya sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Riwayat ini sekalipun sahih namun ia adalah pendapat peribadi Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu. Berdasarkan kaedah Ilmu usul fiqh, menyatakan bahawa pendapat atau fatwa seorang sahabat perlu diperiksa terlebih dahulu samada ia selari dengan dalil-dalil al-Qur'an atau as-Sunnah. Kerana pendapat seorang sahabat tidaklah terlepas dari sebarang kesilapan atau ketidak-tepatan kerana mereka adalah manusia biasa yang secara fitrah tidak akan terlepas dari berbagai kelemahan.[25] Oleh itu sesuatu pendapat seorang sahabat itu perlu dipastikan ia selari dan tidak bertentangan dengan dalil-dalil wahyu iaitu al-Qur'an dan as-Sunnah.


Telahpun dijelaskan di permulaan bahawa di dalam al-Qur'an tidak terdapat sebarang petunjuk akan jarak minima musafir seseorang itu yang membolehkan dia mengqasarkan solat-solatnya. Maka kita beralih pula kepada as-Sunnah - Berapakah jarak perjalanan minima yang pernah dilakukan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam untuk mengqasarkan solat-solatnya? Hadith berikut disalin sebagai hujah penerangan -


Yahya bin Yazid berkata: Saya bertanya kepada Anas bin Malik radiallahu-anhu tentang solat qasar, iaitu saya keluar dari Basrah ke Kufah lalu saya solat 2 raka'at - 2 raka'at sehingga saya kembali. Maka Anas bin Malik berkata: Adalah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam manakala beliau keluar dalam perjalanan sejauh 3 mil atau 3 farsakh, beliau mengqasarkan solatnya. (3 farsakh = 25.92 km). Hadith diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, 2/108, dan oleh al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, 2/146, diutarakan sebagai hujah oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath-ul-Bari, 2/467-468 juga oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar 4/480; dan disahihkan oleh Shaikh Nasiiruddin Albani dalam Silsilah Ahadith as-Sahihah, 1/365.

Hadith ini menerangkan bahawa Yahya bin Yazid telah bertanya kepada Anas bin Malik radiallahu-anhu berkenaan perbuatannya yang mengqasarkan solat dalam perjalanan yang dekat, iaitu dari Kota Basrah ke Kufah. Maka Anas membolehkan perbuatan itu dengan mengaitkan kepada perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang pernah mendirikan solat secara qasar dalam perjalanan yang jarak destinasinya ialah 26 km.


Sesetengah pihak cuba menafsir keterangan Anas di atas dengan mengatakan bahawa jarak 26 km hanyalah tempat persinggahan sementara Nabi padahal destinasi beliau yang sebenar adalah lebih jauh dari itu. Tafsiran ini tertolak kerana timbulnya jawapan penerangan dari Anas bin Malik ialah terhadap soalan yang berkaitan dengan jarak destinasi perjalanan dan bukan jarak tempat persinggahan. Justeru itu penerangan Anas bin Malik adalah sebagai menjawab jarak destinasi dan bukan selain dari itu.[26]


Selain hadith di atas kita juga mendapati banyak hadith-hadith masyhur berkenaan ibadah haji Nabi sallallahu-alaihi-wasallam (Haji Wada') di mana beliau bersama rombongannya melaksanakan solat-solat mereka secara qasar semuanya di setiap perhentian manasik haji, iaitu Mina, Arafah, Mudzalifah, dan kembali ke Mina. Dalam rombongan tersebut disertai juga oleh para penduduk Kota Mekah padahal jarak antara Mekah dan Mina hanyalah lebih kurang 8 km manakala keseluruhan perjalanan manasik haji, iaitu dari Mekah ke Mina, ke Arafah, ke Mudzalifah, kembali ke Mina dan berakhir di Mekah hanyalah lebih kurang 30 km. Sekalipun dalam jumlah jarak perjalanan 30 km, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam membenarkan para penduduk Kota Mekah melaksanakan solat-solat fardhu mereka secara qasar, iaitu 2 rakaat. Harisah bin Wahab radiallahu-anhu menerangkan: Aku bersolat bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di Mina dalam keadaan aman bersama-sama orang ramai dengan dua raka'at (qasar kecuali Maghrib).[27]


Beberapa penjelasan di atas menunjukkan bahawa dalil dari as-Sunnah memboleh solat diqasar sekalipun dalam perjalanan yang pendek asal sahaja perjalanan tersebut melebihi dari batas atau sempadan kebiasaan tempat mastautin seseorang itu. Walaupun Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah solat qasar dalam perjalanan yang jarak destinasinya 26 km, ia tidak dijadikan batas mutlak kerana beliau tidak memerintahkan sedemikian. Sunnah beliau yang jelas adalah apabila seseorang itu menjalani musafir yang melebihi batas atau sempadan kebiasaannya maka dia sudah boleh mengqasar solat-solatnyanya. Sempadan ini berbeza dari individu ke individu selari dengan keadaan hidup, medium pengangkutan dan suasana zaman.


Adapun hadith penerangan Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu di atas, kita tidak tahu secara pasti siapakah orang yang bertanya itu dan apakah jalan serta cara hidupnya. Mungkin sahaja boleh ditakwilkan bahawa orang yang bertanya kepada Ibnu Abbas dalam hadith tersebut adalah seorang peniaga yang kebiasaannya beraktiviti di dalam Kota Mekah dan daerah-daerah sekelilingnya. Lebih dari itu dia juga mungkin memiliki seekor kuda yang pantas lagi serba berkebolehan. Maka apabila dia bertanya mengenai solat qasar antara Mekah ke Arafah, Ibnu Abbas mengatakan tidak boleh kerana beliau sedia mengetahui akan kebiasaan jalan hidup yang bertanya itu. Maka Ibnu Abbas mencadangkan agar dia boleh mengqasar solat apabila menjalani jarak yang lebih jauh dari persekitaran Kota Mekah, iaitu ke Jeddah, Taif atau Usfan. Hadith Ibnu Abbas ini adalah khusus dalam satu suasana bagi seorang yang bertanya dan kita tidak boleh menjadikannya sebagai hujah mutlak bagi setiap umat Islam dalam setiap zaman dan keadaan.


[Kedua] - Sesetengah pendapat juga mensyaratkan bahawa tempoh masa yang membolehkan seseorang mengqasar solat-solatnya apabila singgah di destinasi ialah 3 hari. Pendapat ini didasarkan kepada sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Orang-orang muhajirin boleh mendiami Kota Mekah setelah ibadah hajinya hanya selama 3 hari. Hadith ini sahih, diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, hadith no: 1352-B.


Hadith ini diucapkan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sekembalinya semula ke Kota Mekah diakhir rangka ibadah hajinya. Beliau menasihati orang ramai yang berasal dari luar Kota Mekah bahawa mereka hanya boleh duduk di sana selama 3 hari setelah selesai ibadah haji mereka, kemudian pulanglah ke perkampungan asal masing-masing. Perawi hadith ini, al-Ala' bin Hadrami radiallahu-anhu menerangkan bahawa sabda beliau ini seolah-olah melarang mereka dari tinggal di Mekah melebihi 3 hari.[28] Berdasarkan hadith ini maka ada yang menukilkan hukum darinya bahawa tempoh seseorang itu boleh menginap atau bermukim di satu-satu tempat adalah 3 hari. Sesiapa yang lebih dari itu tidak lagi dikategorikan sebagai seorang musafir dan dia tidak lagi dibolehkan mengqasar solat-solatnya.


Dalam analisa penulis, nukilan hukum ini amat aneh sekali kerana beberapa sebab: Pertama - Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak mengaitkan langsung larangan 3 hari ini dengan kategori musafir mahupun syarat-syarat qasar. Yang pasti, tidak mungkin beliau lupa atau lalai terhadap tanggung-jawabnya. Kedua - Beliau memerintah larangan 3 hari dengan tujuan yang umum lagi luas terbuka sehingga boleh difahami dari berbagai sudut dan arah. Ketiga - Jika jelas qasar itu dilarang bagi orang yang bermukim melebihi 3 hari maka kenapa beliau sendiri serta para sahabat lainnya melakukan solat secara qasar melebihi tempoh tersebut? Keempat - Jikalau hadith ini hendak dijadikan dalil mutlak dalam menentukan tempoh mukim seseorang, kenapakah masih terdapat puluhan pendapat lain sepanjang zaman yang berbeza-beza mengenai tempoh mukim yang membolehkan solat di qasar? Justeru itu penukilan hukum mukim atau musafir seseorang berdasarkan hadith ini perlu dianalisa serta dikaji semula.


Antara fahaman yang boleh kita gali dari larangan 3 hari oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith beliau ini ialah kerana di ketika itu orang ramai dari luar Kota Mekah yang turut menyertai beliau dalam ibadah hajinya (Haji Wada') tersangatlah besar jumlahnya sehingga mencapai puluhan ribu jumlahnya. Kiraan ahli sejarah memberikan jumlah antara 90,000 hingga 114, 000 orang dan apabila keseluruhan rombongan ini memulakan manasik haji mereka di Padang Arafah, jumlah mereka meningkat kepada 144,000 orang.[29] Maka dengan jumlah yang amat besar ini sudah tentu akan menjadikan Kota Mekah penuh sesak apabila mereka semua kembali ke sana setelah selesai rangka ibadah haji masing-masing. Justeru Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menasihati mereka supaya kembali ke perkampungan asal masing-masing setelah 3 hari supaya tidak memberat atau menyulitkan para penduduk asal Kota Mekah.


Sebenarnya penentuan batas atau tempoh musafir seseorang itu sememangnya telah membawa para ahli fiqh sepanjang zaman ke dalam perbincangan yang amat luas. Berbagai-bagai hujah dan dalil di kemukakan dan berbagai kaedah atau medium kiraan digunakan bagi menentukan tempoh masa seseorang itu dikira sebagai seorang musafir yang boleh mengqasarkan solat-solatnya. Antaranya ada yang berpendapat tidak boleh qasar di saat tiba di destinasi, ada yang berpendapat setelah sehari semalam, ada yang berpendapat 3 hari, ada yang berpendapat 4 hari, ada yang mengira hari masuk serta keluar dan yang tidak mengiranya, ada yang berpendapat 10 hari, ada yang berpendapat 15 hari, atau 18 hari atau 20 hari dan begitulah seterusnya. Ada juga yang mengira tempoh mukim dengan bilangan solat tidak lebih 21 kali. Selain itu ada yang mengatakan bahawa tempoh musafir seseorang bergantung kepada tujuan perjalanan. Jikalau kerana perang boleh sehingga bila-bila, jikalau kerana ibadah haji boleh untuk 10 hari dan jikalau selain itu hanya 3 hari. Ada juga yang menentukan tempoh musafir dengan tempoh kerja seseorang, jikalau dia tahu bila kerjanya akan selesai maka tempoh dibolehkan qasar ialah 3 hari dan jikalau dia tidak tahu bila akan selesai maka boleh qasar sehingga kerjanya selesai. Banyak lagi pendapat yang sedia ada dan jikalau hendak diterangkan satu persatu berserta hujah-hujahnya sudah tentu memakan puluhan mukasurat.


Malah Imam Shafie sendiri mempunyai 3 pendapat yang berbeza dalam hal ini[30], iaitu

1 - 3 hari, tidak boleh qasar setelah hari ke 4.

2 - 18 hari, tidak boleh qasar setelah hari ke 18.

3 - Tiada tempoh tertentu, boleh qasar solat selagi kerjanya belum selesai atau selagi belum kembali ke tempat asal.


Sebab timbulnya perbezaan yang sekian banyak ialah kerana wujud berbagai dalil yang berbeza-beza mengenai hal ini, samada dari as-Sunnah mahupun dari kalangan para sahabat radiallahu-anhu. Lebih dari itu para ahli fiqh di awal zaman tidak berkesempatan untuk bertemu dan mengkaji semua dalil-dalil yang sedia ada kerana faktor kesukaran zaman dan keadaan. Tidak dilupai juga wujudnya hadith-hadith yang daif dan maudhu' (palsu) yang sukar untuk ditapis pada awalnya.


Analisa, kajian serta penelitian oleh para ahli ilmuan pertengahan serta akhir zaman mendapati bahawa sebenarnya tidak ada dalil yang khusus lagi jelas bagi menentukan batas atau tempoh masa musafir seseorang itu. Himpunan dari pelbagai dalil serta penerangan para sahabat mendapati bahawa seseorang itu tetap dikira sebagai seorang musafir dari saat dia keluar dari perkampungan/pekan/bandar mastuatinnya sehinggalah dia kembali semula, sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini. Dan inilah definasi musafir yang paling dekat dengan kebenaran, sebagaimana terang Imam Muhammad Ismail as-Sha'nani:


Sudah jelas tidak ada dalil yang menunjukkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak mengqasarkan solat selama masa qasar telah melebihi dari waktu-waktu yang disebut di atas. Apabila tidak ada dalil yang menunjukkan penentuan batas waktu, maka pendapat yang lebih mendekati kebenaran ialah boleh sentiasa mengqasar solat selama dalam perjalanan itu sebagaimana yang pernah dipraktikkan oleh para sahabat - kerana memang tidak dinamai mukim dalam keadaan ragu-ragu setiap hari dan juga tidak dinamai mukim bagi orang yang sedang dalam perjalanan yang hanya singgah di suatu tempat meskipun lama.[31]


Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie juga merumuskan: Tegasnya memandang seseorang menjadi mukim kerana dia berniat tinggal di tempat yang disinggahi atau didatangi sekian-sekian hari tidak ditunjukkan oleh nas agama, tidak ditunjukkan oleh bahasa dan tidak pula ditunjukkan oleh uruf.


Maka oleh kerana itu seseorang musafir yang singgah di satu tempat untuk menyelesaikan tugasnya lalu kemudian pergi, maka tetaplah dia mengqasarkan solatnya walaupun dia perlu tinggal ditempat itu lebih dari 20 hari. Demikian juga walau dikira sejak mula bahawa dia akan tinggal di tempat itu lebih dari 20 hari asalkan dia masih berkeadaan pergian dan tidak bermaksud menetap (mastautin) di situ.[32]


Sementara itu Shaikh Sayid Sabiq memberikan analisa yang lebih mendalam, dengan mengutip penjelasan Imam Ibnu Qayyim yang diterjemahkan sebagai berikut:

“Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bermukim di Tabuk selama 20 hari dan beliau terus mengqasarkan solat dan tidak pernah pula mengatakan kepada umatnya supaya tidak seorangpun dari mereka mengqasarkan solat bila bermukim lebih lama dari itu. Hanya secara kebetulan sahaja lama tempoh bermukim Nabi sallallahu-alaihi-wasallam adalah 20 hari di peristiwa itu (di Tabuk). Bermukim dalam waktu berpergian tidak dapat dianggap sudah keluar dari hukum musafir baik lama mahupun sebentar asal sahaja dia tidak bermaksud hendak menetap di sana sebagai penduduk (mastautin)


Miswar bin Makhramah berkata - Kami bermukim dengan Sa'ad radiallahu-anhu di salah satu desa di wilayah Syam selama 40 hari dan selama itu Sa'ad tetap mengqasarkan solat sementara kami menyempurnakannya. Berkata Nafi' - Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu bermukim di Azerbeijan selama 6 bulan dan tetap bersolat 2 raka'at qasar (kecuali Maghrib) kerana tertahan oleh iklim bersalji ketika memasuki kota tersebut. Hafash bin Ubaidillah mengatakan - Bahawa Anas bin Malik radiallahu-anhu bermukim di Syam selama 2 tahun dan terus bersolat sebagai seorang musafir (yakni mengqasarkan solat) dan menurut Anas, para sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah bermukim di Ramhurmuz selama 7 bulan dan tetap mengqasar solat. Sedang menurut Hasan, dia bermukim bersama Abdurrahman bin Samurah radiallahu-anhu di Kabul selama 2 tahun dan beliau terus mengqasar solat tanpa menjamak. Kemudian Ibrahim mengatakan bahawa para sahabat pernah bermukim di Rai selama 1 tahun atau lebih dan di Sajistan selama 2 tahun (dan mereka tetap mengqasarkan solat.)


Inilah petunjuk yang diberikan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan dicontohi pula oleh para sahabatnya dan sememangnya itulah yang benar. Adapun pendapat setengah-setengah pihak, di antaranya ialah yang dikemukakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal - ialah bahawa jikalau seseorang berniat hendak bermukim selama 4 hari maka dia harus menyempurnakan solatnya (4 raka'at) dan jikalau kurang dari 4 hari maka dia boleh mengqasarnya. Berdasarkan hadith Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan perbuatan para sahabat itu mereka tafsirkan bahawa baik Nabi mahupun para sahabat tidak bermaksud akan bermukim tetapi mereka selalu mengatakan - "Hari ini atau hari esok kita akan pergi." (yakni tidak pasti bila akan berangkat pulang-P).


Tetapi dalam tafsiran sebegini terdapat satu hal yang harus menjadi perhatian, iaitu bahawa di ketika Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam membebaskan Kota Mekah (Fath-ul-Mekah), suatu kota yang telah sedia dimaklumi keadaannya - dan beliau bermukim di sana adalah dengan tujuan hendak mengukuhkan asas-asas keislaman serta menghancurkan sendi-sendi kemusyrikkan dan mepersiapkan segala sesuatu bagi umat Arab sekeliling. Pekerjaan seberat itu tentulah memerlukan tempoh berhari-hari dan tidak cukup hanya sehari-dua. Demikian juga di ekspedisi Tabuk, untuk menunggu kedatangan musuh - kerana antara Tabuk dan tempat kediaman musuh jaraknya bermil-mil. (1 mil=2.88km). Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tentu maklum bahawa untuk dua pekerjaan tersebut, yakni Fath-ul-Mekah dan ekspedisi Tabuk, tentu tidak cukup tempoh 4 hari sahaja. Demikian juga ketika Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu bermukim di Azerbeijan selama 6 bulan lalu tetap mengqasarkan solat kerana terperangkap di musim salji yang berat, pasti diketahui bahawa salji itu tidak akan cair hingga jalan kembali terbuka di dalam tempoh 4 hari. Demikian juga bagi Anas bin Malik yang bermukim di Syam selama 2 tahun dan para sahabat lain yang bermukim di Ramhurmuz selama 7 bulan dengan tetap mengqasarkan solat, tentulah mereka mengerti bahawa mengepung musuh dan berperang itu tidak cukup dalam tempoh 4 hari sahaja.

Sahabat-sahabat Imam Ahmad juga mengatakan kalau bermukim untuk berjihad atau kerana dipenjarakan oleh pihak penguasa atau sebab sakit, maka dibolehkan mengqasar solat baik bermukim itu menurut kiraan akan berlaku lama mahupun sebentar. Ini memang satu pendapat yang benar tetapi anehnya mereka mengemukakan pula suatu syarat yang sama sekali tidak berasal dari Kitabullah (al-Qur'an), dari as-Sunnah atau Ijma' dan tidak pula dari perbuatan salah seorang sahabat sekalipun. Hujah mereka ialah bahawa dalam tafsiran itu hendaklah ada kemungkinan bahawa urusan itu akan dapat selesai dalam tempoh yang tidak dapat menghapuskan hukum musafir - yakni dalam masa yang kurang dari 4 hari.


Sekarang baiklah kita ajukan satu pertanyaan kepada mereka - Dari manakah tuan-tuan perolehi syarat tersebut padahal Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sendiri ketika beliau bermukim lebih dari 4 hari lalu tetap mengqasarkan solat, baik di Mekah atau di Tabuk? Nabi tidak pernah ada mengatakan suatu syarat apapun dan tidak pula menerangkan bahwa beliau tidak bermaksud akan bermukim lebih dari 4 hari padahal beliau sedia mengetahui bahawa perbuatannya akan menjadi contoh dan teladan bagi sekalian umat sepanjang zaman dan mereka juga akan turut mengqasar di ketika bermukim nanti. Ternyata tidak sepatah katapun dari sabda beliau yang ada melarang solat diqasar bila bermukim lebih dari 4 hari padahal penjelasan mengenai ini amat penting sekali. Begitu juga halnya dengan perbuatan para sahabat radiallahu-anhu yang mengikuti teladan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam - tidak pula mereka mengatakan suatu syarat apapun kepada para tabien yang turut mengqasar solat bersama mereka.


Dalam hal ini Imam Ibnu Mundzir mengatakan bahawa berdasarkan penyelidikannya para ahli telah sepakat bahawa seorang musafir (yang bermukim) itu tetap dibolehkan mengqasar solat selama dia tidak bermaksud akan terus menetap/mastautin di sana sekalipun mukimnya itu berlangsung selama tempoh bertahun-tahun.”[33]



Kesimpulan

1 - Seseorang yang melakukan satu perjalanan yang melebihi batas kebiasaannya dibolehkan mengqasarkan solat-solat Zohor, Asar dan Isyaknya.


2 - Solat qasar hanya disyaratkan oleh suasana musafir, tidak kira samada musafir tersebut melibatkan kesukaran atau tidak.


3 - Apabila seseorang singgah di satu tempat atau tiba di destinasi, dia tetap dibolehkan mengqasar solat-solatnya tanpa had masa atau tempoh selagi dia tidak bercadang untuk menetap di sana atau bermastautin.


4. Qasar adalah sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang tetap beliau praktikkan apabila sahaja dalam perjalanan. Oleh itu amat dianjurkan agar kita sebagai umatnya juga turut meneladani sunnah yang mulia ini. Manakala sebahagian ulama menyatakan bahawa meng-qasarkan solat fardhu adalah merupakan suatu yang dituntut/wajib apabila berada dalam keadaan musafir.




Rujukan

[1] Maksud hadith riwayat Imam Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1156.


[2] Imam Ibnu Taimiyah - Majmoo al-Fatawa, 22/291, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/259, Shaikh Muhammad Abduh dan Rashid Risda - Tafsir al-Manar, surah ke-4, ayat 101, Prof. Hamka - Tafsir al-Azhar, 2/1389 ; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/369, Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/214.


[3] Maksud atsar sahabat dari Sahih Bukhari - no: 1009.


[4] Maksud atsar sahabat riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1191.


[5] Maksud atsar sahabat dari Sunan Ibnu Majah - no: 1063.


[6] Maksud atsar sahabat dari Sunan an-Nasai - no: 1413.


[7] Maksud atsar sahabat riwayat Imam Tirmizi dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1183. Imam Tirmizi mengatakan hadith ini berstatus hasan sahih manakala menurut Imam Abu Daud hadith ini adalah lemah. [Sunan Abu Daud, 2/136]. Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani hadith ini sememangnya mempunyai seorang perawi yang daif tetapi Imam Tirmizi menguatkannya kerana maksud hadith tersebut selari dengan banyak hadith-hadith yang sejalan tetapi sahih. Demikian terang Ibnu Hajar yang dipersetujui oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 4/489.

Fath-ul-Mekah ialah ekspedisi umat Islam untuk mengambil-alih semula Kota Mekah dari tangan kekuasaan kaum kafir Quraish. Perkataan Fath bermaksud Pembukaan kerana adalah setiap ekspedisi ketenteraan umat Islam bukan bertujuan menakluk sesebuah negara atau masyarakat tetapi bertujuan membuka serta membebaskan mereka dari pengaruh Jahiliyah serta kekafiran.


[8] Imam Ibnu Taimiyah - Majoo al-Fatawa, 22/250 dan seterusnya, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/276, Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/349, Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/214, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/344, Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 3/477-482, Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/159-163. Bagi analisa perbandingan lihat: Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/190, Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 35-45, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/341-343.

Sementara itu terdapat sebuah riwayat yang palsu/maudhu' bahawa kononnya beliau ada bersabda: Hai penduduk Mekah ! Janganlah kamu mengqasarkan solat pada jarak kurang dari 4 barid, iaitu umpama perjalanan dari Mekah ke Usfan.( 4 barid = 89 km ). Hadith ini dinyatakan palsu kerana dalam barisan perawinya terdapat Abdul Wahab bin Mujahid dan dia dinyatakan sebagai pendusta oleh Imam al-Hakim, Sufyan at-Tsauri dan Ibnu Jawzi. [ Drs. Abdul Ghani Azmi Idris - Himpunan Hadith Daif dan Maudhu' - F-49].


[9] Disalin dari Silsalah al-Ahadith as-Sahihah, 1/367 oleh Shaikh Nasiiruddin al-Albani.


[10] Maksud atsar sahabat dari Sunan Ibnu Majah - no: 1067.


[11] Bahan rujukan adalah sama seperti perbincangan Jarak Perjalanan.


[12] Pengajaran hadith dari Anas bin Malik radiallahu-anhu diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi - Sunan al-Kubra, 3/152 dan dinyatakan ia sebagai Sahih.


[13] Selain dari Majoo al-Fatawa Ibnu Taimiyah dan al-Mughni ibnu Qudamah dalam bab ini; lihat juga - Shaikh Muhammad Salih al-Othaimeen dan Shaikh Abdullah Abdul Rahman al-Jibreen - Fatawa on Fasting, Zakat and Traweeh, pg 20, 47 ; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/379 ; Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/169 ; Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/217-220. Bagi analisa perbandingan lihat Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/482-491 ; Imam an-Nawawi - al-Majmoo Syarh al-Muhadzzab, 4/215-219 ; Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/358-365 ; Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/353.


[14] Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/370.


[15] Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/216, Shaikh Ali an-Thantawi - al-Fatawa, ms 258.


[16] Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/265.


[17] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/346.

[18] Lihat mana-mana kitab fiqh muktabar bagi menganalisa dalil, hujah serta pendapat pihak yang menyatakan solat qasar itu adalah wajib dalam setiap musafir.

[19] Demikian pengkajian hadith oleh Imam Ibnu Qayyim - Zaad-ul-Ma'ad, 1/399 dan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami - Majma az-Zawa'id, 2/157. Hadith ini dirawikan melalui 3 jalur dan semuanya adalah daif serta bertentangan pula dengan riwayat-riwayat lain yang sahih, yang menyatakan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sentiasa mengqasarkan solatnya apabila dalam perjalanan. Telah berkata Imam Ahmad bahawa hadith ini diingkari dan kesahihannya pula tersangat jauh (iaitu sangat tidak sahih = sangat daif) [Nail-ul-Authar, 4/474].

Selain itu tertulis pula riwayat lain yang bermaksud: A'isyah radiallahu-anha berkata - Aku pernah keluar bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam umrah pada bulan Ramadhan. Kemudian (dalam perjalanan) aku berbuka dan kadang-kala berpuasa,mengqasar dan kadang-kala menyempurnakan. Lalu aku bertanya (kepada Nabi) - Demi ayah dan ibuku ! Aku berbuka dan kadang berpuasa, aku mengqasar dan kadang menyempurnakan. Maka beliau berkata - Itu baik wahai A'isyah. Hadith diriwayatkan oleh Imam ad-Daruquthni dan didaifkan oleh Imam Ibnu Hibban, Ibnu Hazm, Ibnu Hajar Asqalani, Ibnu an-Nahwy dan ramai lain. Hadith ini juga diingkari maksudnya kerana A'isyah tidak pernah berumrah bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pada bulan Ramadhan. Sesetengah kitab fiqh mengutarakan hadith ini sebagai hujah dengan mengatakan ia disahihkan oleh Imam ad-Daruquthni tetapi yang benar beliau (Daruquthni) sendiri berbeza pendapat tentang status kekuatannya. [Nail-ul-Authar, 4/470-472]


[20] Maksud atsar sahabat dari Musnad Ahmad, 1/216.


[21] Maksud hadith riwayat Imam Tirmizi dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1183.


[22] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/356-357, Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 62-67.


[23] Bagi analisa perbandingan lihat: Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/369 dan Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/353.


[24] Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/481, Drs. Abdul Ghani Azmi Idris - Himpunan Hadith Daif dan Maudhu' - F-49.


[25] Lihat mana-mana kitab usul fiqh dalam bab - Mazhab Sahabii atau Fatwa Sahabii; antara lain ialah Imam asy-Shaukani - Irsyadul Fuhul, ms 214 ; Prof. Dr. M. Abu Zahrah - Usul Fiqh, ms 328-336 ; Prof. Dr. M. Hashim Kamal - Principles of Islamic Jurisprudence, pg 297-309 dan Prof. Dr. Mukhtar Yahya dan Fatchurrahman - Dasar-dasar pembinaan Hukum Fiqh Islami, ms 116-118.


[26] Imam Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/480 dan Shaikh Nasiiruddin Albani - Silisilah Ahadith as-Sahihah, 1365.


[27] Maksud atsar sahabat riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al-Bayan - hadith no: 0385. Lihat juga hadith-hadith lain dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim di bawah tajuk Kitab al-Hajj.


[28] Atsar sahabat dari Sahih Muslim - hadith no: 1352.


[29] Muhammad Husein Haykal - The Life of Muhammad, pg 483, Dr. Safi-ur-Rahman al-Mubarakpuri - ar-Raheeq al-Makhtum, ms 463.


[30] Imam al-Muzani, seorang anak murid kepada Imam Shafie sendiri; dalam kitabnya Muhktasar al-Muzani Bihamish al-Umm, vol 1, ms 120-131. Pendapat ketiga Imam Shafie disahihkan oleh Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/490 dan Imam as-Shanani - Subul-us-Salam, 2/168.


[31] Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/169.


[32] Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/379.


[33] Ringkasan dari tulisan Shaikh Sayid Sabiq terhadap penerangan Imam Ibnu Qayyim dalam Fiqh-us-Sunnah, 2/217-220.

Al-Imam Ibnu Qayyim adalah salah seorang Imam Mujtahid kurun ke 8H yang banyak menganalisa pendapat serta pegangan Imam Ahmad bin Hanbal dan tokoh-tokoh-tokoh dalam mazhab Hanbali.



Wallahu`alam

QASARKAN SOLATMU KETIKA BERMUSAFIR...




Pengertian Musafir (as-Safar) Secara Umum:

As-Safar bererti penempuhan jarak. As-Safar bererti keluar dari kampung halaman menuju satu tempat yang berjarak jauh sehingga kerananya pelakunya diperbolehkan untuk mengqasarkan (memendekkan) solatnya. (Rujuk: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 225)


Pengertian Ringkas Solat Secara Qasar:

Memendekkan/mengurangkan bilangan rakaat solat bagi solat fardhu yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Iaitu bagi solat Zuhur, ‘Asar, dan ‘Isya’.


Mengqasarkan Solat Adalah Sedekah Allah:

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat 101 (maksudnya):

“Dan apabila kamu berpergian di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu meng-Qasar solatmu, jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu musuh yang nyata bagimu.”


Dalam hal ini, terdapat suatu riwayat dari Abu Ya’la bin Umayyah, dia menceritakan:

“Aku pernah berkata kepada ‘Umar bin Khaththab: (Allah berfirman:) “maka tidaklah mengapa kamu meng-Qasar solatmu, jika kamu takut diserang orang-orang kafir”. (Namun sekarang) masyarakat sekarang sudah berada dalam keadaan aman. ‘Umar berkata: “Aku juga pernah merasa hairan sebagaimana engkau merasa hairan. Maka aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai hal tersebut. Beliau bersabda: “Ia suatu sedekah yang telah disedekahkan oleh allah kepada kamu. Oleh itu, terimalah sedekah Allah.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat orang-orang yang musafir, no. 686)


Hadis-Hadis Berkenaan Tuntutan Meng-Qasarkan Solat Di Dalam Perjalanan:


1 – Abdullah bin ‘Umar r.a. berkata:

“Aku pernah menemani Rasulullah s.a.w. dalam perjalanannya dan beliau tidak pernah mengerjakan solat lebih dari dua rakaat (bagi setiap solat). Demikian juga dengan Abu Bakar, ‘Umar, dan ‘Usman r.anhum. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat orang-orang yang musafir, no. 689)


2 – Dari ‘Aisyah r.ha, dia menyatakan: “Ketika solat pertama kali diwajibkan, Allah mewajibkan dua rakaat-dua rakaat, sama ada ketika sedang tidak dalam perjalanan mahupun ketika dalam perjalanan. (Selepas hijrah Nabi s.a.w.) Solat ketika safar ditetapkan/dibiarkan (dua rakaat), dan solat ketika tidak safar (dalam perjalanan) ditambah (jumlah rakaatnya). (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat orang-orang yang musafir, no. 1570)

Imam Ahmad rahimahullah di dalam al-Musnadnya (6/241) menambahkan:

“Kecuali solat Maghrib dan subuh”. (Rujuk: Nota kaki no. 71, m/s. 550, Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i)


3 – Dari Ibnu ‘Abbas r.a., dia menyatakan:

“Allah telah mewajibkan solat melalui lisan Nabi Kalian s.a.w. ketika tidak dalam perjalanan (musafir) adalah empat rakaat dan ketika dalam perjalanan dua rakaat, serta ketika menghadapi rasa takut adalah satu rakaat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab orang-orang yang musafir, no. 687)

Menurut Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, yang menaqalkan daripada Sheikh Abdul Aziz bin Bazz:

“Dasar solat yang pertamanya adalah dua rakaat, sebagaimana yang diwajbkan oleh Allah Ta’ala, kemudian setelah hijrah, Allah s.w.t. menambahkannya dua rakaat lagi bagi yang tidak dalam perjalanan menjadi empat rakaat, iaitu pada solat ‘Isya’, Zuhur, dan ‘Asar. Adapun solat ketika dalam perjalanan, masih tetap dua rakaat, iaitu bagi solat ‘Isya’, Zuhur, dan ‘Asar (diqasarkan). Dengan demikian, meng-Qasarkan solat (di dalam perjalanan) adalah sunnah mu’akkad kerana tidak ada larangan untuk mengerjakan solat secara lengkap, iaitu empat rakaat. (Rujuk: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 252)

Walau bagaimanapun, perlu difahami dan diketahui bahawa meng-Qasarkan solat (memendekkannya menjadi dua rakaat) di dalam perjalanan (musafir) adalah lebih baik dan utama daripada melaksanakannya secara sempurna (tamam). Ini adalah berdasarkan kepada hadis berikut:

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. dia menyatakan, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya Allah suka jika keringanan yang Dia berikan itu dimanfaatkan sebagaimana Dia tidak suka kemaksiatan kepada-Nya dilakukan.” (Hadis yang dinilai Hasan menurut Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani di dalam kitabnya, Irwaa’ul Ghaliil, 3/9, no. 564)


Daripada Ibnu Mas’oud dan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhuma:

“Sesungguhnya Allah sangat menyukai rukhsah (keringanan) dari-Nya dimanfaatkan sebagaimana Dia menyukai pelbagai kewajiban yang dari-Nya dikerjakan.” (Hadis yang dinilah Sahih menurut Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani di dalam kitabnya, Irwaa’ul Ghaliil)


Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menyatakan (di dalam Majmuu’ al-Fataawaa, 24/9):

“Bahkan terdapat suatu pendapat dari mazhabnya Abu Hanifah dan Imam Malik, bahawa hukum melaksanakan solat secara Qasar di dalam perjalanan (musafir) adalah suatu yang wajib.” (Dirujuk dari nota kaki no. 80, Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 252)


Persoalan Jarak Dalam Musafir:

Dari Abi Sa’id r.a., beliau menyatakan:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila bermusafir sejauh satu farsakh, maka beliau mengqasarkan solatnya.” (Hadis Riwayat Sa’id bin Mansur)

Dari Anas r.a., bahawasanya beliau menjawab semasa ditanya tentang solat qasar di antara Basrah dan kufah: “Dahulu Rasulullah s.a.w. jika berpergian (musafir) sejauh tiga batu (satu farsakh) beliau s.a.w. solat dua rakaat (qasar). (Diriwayatkan oleh Muslim, ahmad, dan Abu Daud).

Menurut para ulama fiqh, satu farsakh ialah tiga batu. Ini diambil mengikut jarak kiraan Parsi. (Dirujuk dari: Kertas Kerja Ust. Rasul bin Dahri, Solat Qasar & Jamak, m/s. 6)

Menurut sebahagian ulama, bahawa yang dinamakan sebagai musafir itu tidaklah dihadkan dengan jarak-jarak yang tertentu. Tetapi, dalam hal ini, adalah merujuk kepada ‘uruf (adat kebiasaan) seseorang itu berada. Jika jarak perjalanan dianggap sebagai musafir (pergi keluar kawasan dari tempat kebiasaan ke tempat yang di luar kebiasaan) oleh sesebuah masyarakat, maka dia boleh meng-Qasarkan solatnya dan berbuka puasa.

Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah menyatakan:

“Dalil yang lebih tepat dan kuat ialah pendapat ulama yang membolehkan qasar solat dan berbuka puasa ketika musafir dan tidak ada jarak perjalanan yang khusus. Inilah pendapat yang paling sahih.” (Rujuk Kitab Majmuu’ al-Fataawaa, 24/106)


Inilah pendapat yang dipilih oleh Ibnu Taimiyah. Alasannya, Allah dan Rasul tidak pernah menghadkan jarak tertentu dalam bermusafir yang membolehkan solat diqasarkan dan puasa dibenarkan berbuka.


Imam Abu al-Qasim al-Kharqi rahimahullah telah menyatakan dalam kitab al-Mughni:

“Aku tidak bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh kebanyakan ulama fiqh kerana pendapat mereka itu tidak ada hujjahnya (dalam menghadkan jarak musafir). Ini kerana, terdapat riwayat dari kata-kata para sahabat yang saling bercanggah. Sedangkan, tidak boleh berhujjah menggunakan dalil yang saling berbeza.”


Pendapat yang terpilih adalah, tidak harus meng-Qasarkan solat apabila jarak kurang daripada tiga batu. 1 batu adalah bersamaan 1748 meter. Manakala 3 batu adalah bersamaan 5541 meter (5.541 kilometer). Oleh itu, seseorang boleh meng-Qasarkan solat apabila mencapai had ini.


Menurut riwayat Ibn Abi Syaibah rahimahullah dengan sanad sahih dari Ibnu ‘Umar r.a.. Pendapat ini dipersetujui oleh Ibnu Hazm, katanya:

“Nabi s.a.w. telah keluar ke perkuburan Baqi’ (dengan jarak kurang dari 3 batu) untuk mengebumikan jenazah dan keluar ke Fadaq untuk membuang hajat. Tetapi Baginda s.a.w. tidak pernah meng-Qasarkan solatnya.” (Disalin dari buku Wudhu’ dan Solat Menurut Sunnah dan Mazhab Syafie, oleh Abu Ruwais asy-Syubrawi, Terbitan Karya Bestari Sdn. Bhd.)

Disimpulkan dari beberapa pendapat, bahawa pendapat yang terpilih adalah tiada had tertentu yang membataskan seseorang untuk dikategorikan sebagai musafir. Ia adalah bergantung kepada ‘uruf/kebiasaan seseorang itu sendiri iaitu dari mana dia berada (kawasan kebiasaan dia berada/menetap) dan ke mana dia keluar (ke tempat yang di luar kebiasaannya) tanpa dihadkan jaraknya. (Disimpulkan dari perbahasan dalam buku Fiqh Dan Musafir Penerbangan, Hafiz Firdaus Abdullah, Di bawah Tajuk Mengqasar Solat Dalam Penerbangan, Terbitan Perniagaan Jahabersa, m/s. 161-204)


Bila Solat Qasar Segera Boleh Dilakukan:


Dalam hal ini, Ibnu Mundzir rahimahullah berkata (Dipetik daripada: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 259):

“Para ulama sepakat bahawa orang yang hendak melakukan perjalanan boleh meng-Qasar solat jika sudah keluar dari seluruh rumah yang ada di kampung yang ditinggalkannya. (Majmuu’ Fataawaa Ibni Bazz, 12/267)



Tempoh (Lamanya) Musafir Yang Dibolehkan Solat Qasar Tetap Dilaksanakan:

Berikut dibawakan fatwa Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyah ketika menjawab pertanyaan “tentang seseorang yang mengetahui bahawa dia akan bermukim dua bulan, apakah dia boleh mengqasarkan solat?”

Beliau menjawab:

“Di dalam masalah ini terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama. Di antara mereka ada yang mewajibkan untuk mengerjakan solat secara lengkap, tetapi ada juga di antara mereka yang mewajibkan qasar solat. Yang benar adalah keduanya boleh berlaku. Barangsiapa yang mahu meng-Qasarkan solatnya tidaklah dilarang, dan yang hendak mengerjakannya secara lengkap pun tidak dilarang. Selain itu, mereka juga berbeza pendapat berkenaan mana yang lebih afdhal di antara keduanya. Barangsiapa yang masih menyimpan keraguan, maka mengerjakan solat secara sempurna adalah lebih baik sebagai langkah berhati-hati. Sedangkan orang yang memahami sunnah dan mengetahui Rasulullah s.a.w. tidak mensyariatkan bagi orang yang di dalam perjalanan untuk mengerjakan solat melainkan dengan dua rakaat, dan tidak memberikan batasan perjalanan dengan waktu dan tempat, serta tidak juga memberikan batasan masa tinggal dengan waktu tertentu, tidak tiga, empat, dua belas, atau lima belas hari, maka dia boleh meng-Qasar solatnya, sebagaimana yang dikerjakan oleh kebanyakan ulama salaf. Sehinggakan Masruq pernah bermukim beberapa tahun dengan tetap mengqasarkan solatnya. Kaum muslimin juga pernah bermukim di Nahawanda selama enam bulan dan mereka (tetap) mengqasar solat. Mereka meng-Qasarkan solat dalam keadaan mengetahui bahawa keperluan mereka tidak akan cukup empat hari atau lebih. Sebagaimana Nabi s.a.w. dan para Sahabat beliau setelah pembebasan Kota Makkah (Fathul Makkah) selama di Makkah lebih kurang dua puluh hari beliau meng-Qasarkan solat. Mereka juga pernah bermukim di Makkah selama sepuluh hari dan berbuka puasa di siang hari pada bulan Ramadhan. Setelah membebaskan kota Makkah, Nabi s.a.w. mengetahui bahawa beliau perlu bermukim di sana lebih dari empat hari. Seandainya pembatasan tersebut tidak mempunyai dasar (niat menetap/mastautin – pen.), bererti seorang musafir masih tetap sebagai musafir yang boleh meng-Qasarkan solat walaupun dia bermukim di suatu tempat beberapa bulan. Wallahu a’lam.” (Majmuu’ al-Fataawaa, 14/17-18). (Dinukil dari nota kaki no. 114, Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 262)


Adakah Solat Sunnah Rawatib Ketika Dalam Musafir:

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berkata:

“Kegigihan dan kesungguhan Rasulullah s.a.w. dalam memelihara solat sunnah sebelum Subuh lebih besar daripada solat sunnah yang lainnya sehingga beliau tidak pernah meninggalkannya. Begitu pula solat witr, sama ada ketika dalam perjalanan mahu pun ketika sedang di rumah... Tidak pernah dinukil bahawa Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat sunnah rawatib selain solat sunnah sebelum subuh dan solat witr dalam perjalanannya.” (Rujuk: Zaadul Ma’aad fii Hadyi Khairil ‘Ibaad, 1/315)

Berdasarkan fatwa Imam Ibnul Qayyim, ini menunjukkan bahawa difahami hanya solat sunnah rawatib subuh dan solat witr yang dituntut. Dan tiada sandaran bagi kesunnahan melakukan solat sunnah rawatib bagi solat-solat yang lain melainkan sebelum solat subuh.


Bagaimana Dengan Solat-solat Sunnah Yang Lainnya:

Imam Nawawi rahimahullah berkata:

“Para ulama telah sepakat untuk menetapkan sunnah (adanya) terhadap solat-solat sunnah mutlak (solat-solat sunnah yang memiliki sebab untuk ia dilakukan) dalam perjalanan.” (Syarhun Nawawi ‘alaa Sahih Muslim, 5/205). (Rujuk: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 269)


Solat sunnah mutlak yang dimaksudkan adalah seperti solat sunnah Thawaf, Solat Tahiyatul Masjid, Solat sunnah wudhu’, solat Dhuha, dan seumpamanya.


Solat Di Belakang Imam Yang Bermastautin Ketika Kita Bermusafir:

Ibnu ‘Abbas rahimahullah (ketika bermusafir), dia akan solat empat rakaat jika solat bersama imam (yang bermastautin) dan dua rakaat (Qasar) jika solat sendirian. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat orang-orang yang musafir, no. 17 (688))


Imam Ibnu Abdil Barr rahimahullah menyebutkan:

“Majoriti mereka menyatakan bahawa jika seorang musafir melakukan takbiratul ihram di belakang orang yang bermukim/bermastautin sebelum salamnya, maka dia harus mengerjakan solat seperti orang mukim, iaitu mengerjakan secara lengkap (empat rakaat)”. (at-Tamhiid, 16/311-312)


“Mereka yang bermusafir ketika menjadi makmum kepada imam yang bermastautin harus mengerjakan solat seperti yang dilakukan imamnya (solat sempurna/empat rakaat). (Rujuk: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 271)


Pendapat ini adalah didasari kepada hadis:

“Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Oleh kerana itu, janganlah kalian menyelisihinya, jika dia bertakbir, bertakbirlah kalian...” (Hadis Riayat Muslim, Kitab ash-Solah, no. 414)

Solat Di Belakang Imam Yang Bermusafir (Imam Yang Meng-Qasarkan Solatnya):

Imam Ibnu Qudamah rahimahullah menyatakan:

“Para ulama telah sepakat bahawa jika orang yang bermukim/bermastautin menjadi makmum kepada imam yang bermusafir lalu musafir itu mengucapkan salam (setelah dua rakaat solatnya secara Qasar – pen.), maka orang yang bermukim harus menyempurnakan solatnya (kepada empat rakaat).” (Rujuk: al-Mughni, 3/146. Lihat: Nailul Authaar, asy-Syaukani, 2/403)


Jika seorang musafir mengimami beberapa orang yang bermukim/bermastautin, lalu dia mengerjakan solat itu secara lengkap/tamam/sempurna, maka solat mereka itu sempurna dan sah, hanya saja bertentangan dengan yang afdhal (sunnahnya). (Majmuu’ Fataawaa Ibni Baaz, 12/260). (Dinukil daripada: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 270-271)


Perbezaan Di Antara Solat Qasar Dengan Solat Jamak:

Qasar (memendekkan solat fardhu yang empat rakaat):

Qasar solat itu tidak memiliki sebab kecuali ketika dalam perjalanan (musafir) sahaja. Maka, rukhsah meng-Qasarkan solat itu adalah khusus ketika musafir sahaja, iaitu bagi solat yang empat rakat menjadi dua rakaat.

Jamak (menghimpunkan dua solat fardhu):

Jamak solat itu lebih luas daripada qasar solat. Oleh kerana itu, jamak memiliki beberapa sebab lain selain perjalanan, sebagai contoh kerana sakit, istihadhah, hujan, jalan berlumpur, angin kencang udara dingin, kesukaran yang dihadapi berkaitan masa bagi salah satu waktu solat, dan seumpamanya. Menjamakkan solat ketika musafir adalah dimakruhkan ketika mana tidak memiliki sebab, malah adalah lebih baik tidak menjamakkan solat ketika dalam bermusafir melainkan benar-benar diperlukan atau memiliki maslahah. (Rujuk: Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 275-276)



Tatacara Perlaksanaannya Solat Qasar:

1 - Adalah sebagaimana solat-solat dua rakaat yang lainnya.

2 – Dilaksanakan sebanyak dua rakaat. Dimulai dengan takbirratul ihram. Kemudian disudahi dengan salam.

SOLAT JAMAK : PENCERAHAN KEKELIRUAN




Melihat kepada persoalan yang biasa ditanya di forum-forum siber mahupun yang diterima secara langsung, saya terlihat masih ada kekeliruan di kalangan orang awam seperti kita tentang solat jamak (menghimpunkan dua solat dalam satu masa).


Antara kekeliruan/kesilapan yang boleh saya senaraikan adalah:

[a] Solat jamak hanya boleh dilakukan ketika bermusafir.

[b] Ianya mesti dilakukan secara pakej, iaitu dilakukan berserta dengan solat qasar.

[c] Apabila di dalam pertanyaan menyebut ‘menjamakkan solat’ yang dimaksudkan penanya adalah melakukan solat jamak dan qasar. Bukan solat jamak sahaja.

[d] Tidak melakukan solat jamak kerana tidak tahu lafaz niatnya.

[e] Tidak boleh melakukan solat jamak melebihi tempoh tiga atau empat hari (kerana terkeliru antara solat jamak dan solat qasar)

Tujuan saya menyusun risalah ringkas ini bukanlah untuk menghuraikan segala permasalahan solat jamak dan qasar tetapi sekadar berharap dapat memberi penjelasan dan pencerahan terhadap solat jamak sahaja. Semoga ianya dapat mengeluarkan pembaca daripada kekeliruan.


BERKENALAN DENGAN SOLAT JAMAK

Solat jamak bererti menghimpunkan dua solat dalam satu masa. [Lihat Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, jld. 2, ms. 336]

[1] - Zuhur + Asar di dalam waktu Zuhur (taqdim) atau di dalam waktu Asar (takhir).

[2] - Maghrib + Isyak di dalam waktu Maghrib (taqdim) atau di dalam waktu Isyak (takhir).

Dalil:

Adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam peperangan Tabuk, apabila hendak berangkat sebelum tergelincir matahari, baginda mengakhirkan solat Zuhur sehingga dikumpulkan solat Zuhur kepada solat Asar dan lalu baginda mendirikan kedua-duanya serentak (Jamak Takhir -pen).


Apabila baginda hendak berangkat selepas tergelincir matahari maka baginda bersolat Zuhur dan Asar serentak (dalam waktu Zuhur) kemudian bagindapun berangkat (Jamak Taqdim -pen).


Apabila baginda berangkat sebelum Maghrib maka baginda mengakhirkan solat Maghribnya sehingga disolatkan bersama solat Isyaknya (Jamak Takhir -pen).


Dan apabila baginda berangkat selepas waktu Maghrib maka baginda mengawalkan solat Isyaknya lalu disolatkan bersama solat Maghrib (dalam waktu Maghrib) (Jamak Taqdim -pen). [Dikeluarkan Abu Daud, at-Tirmizi, ad-Darimi, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadits as-Sahihah – hadis no: 164.]


Namun perlu diingatkan bahawa solat jamak hanya dibolehkan antara Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Selain daripada itu tidak dibolehkan jamak kerana tiada dalil yang menunjukkan sedemikian.


SOLAT JAMAK DAN QASAR TIDAK SEMESTINYA SATU PAKEJ

Maksud solat jamak seperti yang telah dijelaskan. Solat qasar pula bererti mendirikan solat-solat fardhu yang asalnya 4 rakaat secara 2 rakaat apabila seseorang itu berada dalam suasana perjalanan atau musafir. [Lihat Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili , jld. 2, ms. 336]

Kedua-dua solat ini tidak semestinya dilakukan secara bersama. Kalau dilihat pada pensyaratan melaksanakan solat qasar dan jamak juga berbeza. Solat qasar hanya boleh dilakukan ketika di dalam keadaan bermusafir manakala syarat dibolehkan solat jamak pula lebih luas. Sila rujuk sub-topik SYARAT-SYARAT MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK DILAKSANAKAN.


SOLAT JAMAK BUKAN DALAM KEADAAN BERMUSAFIR

Bermusafir bukanlah faktor penentu untuk melakukan solat jamak kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah melaksanakan solat jamak ketika di Madinah. Disebut di dalam sebuah hadis dari Ibn Abbas:


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]

Imam al-Nawawi telah berkata:

“Segolongan ulamak besar membenarkan jamak di dalam keadaan tidak musafir, kerana ada keperluan, asalkan tidak dijadikan adat (kebiasaan -pen) yang tetap. Demikianlah pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari ashab malik. Diriwayatkan juga oleh al-Khathabi dari al-Qaffal al-Kabir dari kalangan pengikut al-Syafi'i”. [al-Majmu’, jil. 4, ms. 264]

Syarat bagi melakukan solat jamak bukanlah terbatas kepada faktor musafir sahaja. Syarat-syarat yang lain akan diterangkan secara terperinci di dalam sub-topik berikutnya.


SYARAT-SYARAT MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK DILAKSANAKAN


[1] - Bermusafir

Seperti yang telah disebutkan oleh hadis dari Ibn Abbas:


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]

Hadis di atas menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjamakkan solat kerana ketakutan, musafir, juga atas sebab lain selain daripada sebab yang disebutkan. Sila lihat syarat-syarat lain di bawah.

[2] - Suasana yang sukar atau sulit

Apabila menghadapi kesukaran melaksanakan solat pada waktunya, hukum asal solat fardhu yang telah sedia ditetapkan pada waktu yang tertentu boleh berubah kepada meghimpunkan dua solat ke dalam satu waktu. Ini bertujuan membebaskan umat Islam daripada kesulitan yang ditempuhi. Kesukaran ini termasuklah sakit, menaiki bas yang tidak berhenti ketika kembali ke tempat asal sehingga luput waktu dan sebagainya. Ketika ditanya kepada Ibn Abbas radhialllahu‘anhu tentang mengapa dibolehkan solat jamak, beliau menjelaskan:


Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya. [Atsar sahabat yang dikeluarkan oleh Abu Daud, dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud – hadis no:1211]


[3] - Jamak kerana hajat yang benar–benar mendesak

Contoh keadaan memerlukan solat dijamak kerana hajat adalah apabila berdepan dengan keadaan yang memaksa untuk tidak dapat melakukan solat pada waktunya seperti doktor yang perlu melakukan pembedahan berjam-jam lamanya, seandainya beliau berhenti walaupun sebentar akan memudaratkan pesakitnya. Pelajar di luar negara yang menduduki perperiksaan atau terpaksa menghadiri kelas yang meliputi waktu solat yang pendek. Pegawai-pegawai keselamatan yang terpaksa mengawal sesuatu tempat dan keadaan tidak mengizinkan beliau meninggalkan kawasan jagaannya kerana kritikalnya suasana tersebut dan pelbagai lagi situasi seumpamanya. Dalilnya adalah:


Abdullah bin Syaqiq berkata: Pada suatu hari Ibnu Abbas berpidato (memberikan kuliah/syarahan) kepada kami di Basrah selepas Asar sehingga terbenam matahari dan terbit bintang-bintang. Ini menyebabkan manusia yang hadir berkata: Solat, solat. katanya lagi: Lalu datang seorang lelaki dari Bani Tamim memperingatkan: Solat, solat. Lalu Ibnu Abbas berkata: Apakah engkau mengajar kepadaku sunnah? Sungguh tidak berguna kamu! Kemudian berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w. menjamakkan sembahyang antara Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak.

Abdullah bin Syaqiq berkata: Penjelasan Ibnu Abbas itu tidak memuaskan hatiku. Kemudian aku pergi kepada Abu Hurairah, dan bertanyakan hal tersebut, maka dia membenarkan perkataan Ibnu Abbas.
[Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahihnya – hadis no: 705]


Riwayat di atas menjelaskan bahawa Ibnu Abbas menjamakkan sembahyang dalam keadaan bukan kerana bermusafir, bukan kerana ketakutan dan juga bukan kerana hujan. Di dalam kes ini dia telah menjamakkan solatnya ketika berada dalam urusan penting, iaitui pidatonya/syarahan/kuliahnya itu. Dia mengetahui jika syarahannya itu dihentikan maka akan hilanglah kemaslahatannya (kebaikan – pent.). Menurut perkiraannya meneruskan syarahan dianggap suatu hajat yang membolehkan jamak. [Lihat Koleksi Hadis Hukum, Prof. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy, Penerbitan Bulan Bintang, jil. 4, ms. 350]

Syaikh Athiyah Saqr rahimahullah berkata:

“...Maka sekumpulan ulamak dari kalangan para imam telah bertindak mengambil zahir hadis Ibnu Abbas. Maka mereka mengharuskan mengerjakan jamak ketika hadar, iaitu tidak dalam musafir, hanya kerana hajat semata-mata. Tetapi dengan syarat ia tidak dijadikan sebagai adat (kebiasaan atau kelaziman –pen). Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari mengatakan: Dan orang-orang yang berpendapat demikian ialah Ibnu Sirin, Rabi'ah, Ibnul Munzir dan al-Qaffal al-Kabir. Dan telah diriwayatkan oleh al-Khitabi dari satu jamaah dari kalangan ahli Hadis. Hujah mereka (mengharuskan perbuatan jamak kerana hajat itu) ialah untuk menafikan kepayahan selama di sana terdapat suatu hajat/keperluan, antaranya ialah seperti kesibukan Ibnu Abbas terhadap pidato/khutbahnya." [Ahsanul Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam, jil. 13, ms. 424-425]

Dalam melaksanakan solat jamak kerana kesukaran atau hajat harus diambil perhatian bahawa

a) Tidak dijadikan kebiasaan sehingga ianya dilakukan dalam keadaan tanpa ada sebab yang benar-benar mendesak kerana perintah asal bagi ibadah solat fardhu ialah dalam waktunya yang sedia termaktub lima kali sehari.

b) Hajat hendaklah benar – benar mendesak dan tidak boleh dielakkan, jikalau ianya (hajat) ditinggalkan maka ianya akan membawa kepada hilangnya maslahat atau kebaikan yang lebih besar.

c) Ianya tidak dijadikan alat untuk mempermain – mainkan agama dan alat untuk mereka yang malas mengerjakan solat untuk mengambil mudah di atas urusan agama.


[4] - Jamak kerana hujan

Antara salah satu sebab Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjamakkan solatnya di Madinah adalah kerana turunnya hujan lebat yang menjadi pegangan kuat mazhab Syafi’i. Hikmah yang boleh difikirkan adalah tindakan ini bertujuan supaya tidak menyusahkan umatnya untuk kembali semula ke masjid dalam suasana hujan yang pastinya menyebabkan para jemaah basah kuyup atau kotor kaki mereka kerana terpaksa meredahi becak dan lumpur akbat hujan tersebut. Disebutkan di dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas radhiallahu’anhu:


Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan jamak solat antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana ketakutan dan tidak kerana hujan.[Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]


Sekalipun hadis tersebut secara jelas menyatakan bahawa Rasulullah shalallallahu ‘alaihi wasallam pernah melakukan solat jamak selain disebabkan ketakutan atau hujan, secara mafhum (fahaman tersirat) ianya menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjamakkan solat ketika hujan.


Namun perlu diperhatikan syarat-syarat dan cara-caranya dilaksanakan:

a. Solat jamak kerana hujan hanya boleh dilakukan oleh jamaah yang bersolat di masjid sahaja. Bagi mereka yang bersolat di rumah ianya tidak dibenarkan.

b. Waktu yang dibenarkan untuk di"jamak"kan solat ialah pada waktu Zohor yang di”jamak”kan dengan waktu Asar, ataupun solat Maghrib yang di”jamak”kan dengan solat Isyak pada waktu Maghrib. Maknanya tiada “jamak taakhir” dalam kes “jamak” kerana hujan.

c. Hujan yang turun samada di waktu Zohor atau Maghrib itu tidak berhenti sehingga jamaah selesai menunaikan solat Zohor ataupun Maghrib.

d. Hujan yang menyebabkan solat boleh di”jamak”kan ialah hujan yang membasahkan baju dan bukannya hujan renyai – renyai.

e. Ada juga di kalangan ulama Syafi’iyah yang meletakkan syarat tambahan, iaitu jamak kerana hujan ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang tinggal jauh dari masjid sahaja, dan barangsiapa yang tinggal dekat dari masjid mereka tidak dibenarkan melakukan jamak. (Pendapat ini disanggah oleh Imam Nawawi dari mazhab Syafi’i sendiri kerana menurutnya pendapat tersebut tiada asas yang kukuh dan tiada sandaran dalil yang kuat) [Lihat: al-Syarbini al-Khatib (t.t), Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil: 1, hal: 275; al- Nawawi (1994M), Raudat al-Talibin, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jil: 1, hal. 503, al-Hisni al-Syafii (1994M), Kifayat al-Akhyar, tahqiq: A Hamid Ba Haji, Beirut: Dar al-Khayr, hal. 140. Dinukil daripada tulisan Ustaz Maszlee Malik, Rukhsah Solat Jamak]


TIDAK TAHU LAFAZ NIAT SOLAT JAMAK

Ini merupakan pengalaman peribadi suatu masa dahulu, keluarga, sahabat handai dan orang-orang yang bertanya. Antara peyebab ditinggalkan solat jamak adalah kerana tidak tahu bagaimana hendak melafazkan niat bagi solat jamak. Adakah “sahaja aku solat jamak zuhur dan asar…” ataupun “sahaja aku jamakkan solat zuhur dan asar..”? Sesungguhnya ketahuilah bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mengajar bagaimana melafazkan niat untuk apa jua solat sekalipun, termasuklah solat jamak. Itulah sebabnya mengapa tiada hadis sahih berkenaan cara-cara melafaz niat baik untuk solat fardhu mahupun solat sunat. Setiap amalan memerlukan niat, tetapi bukanlah memerlukan melafaz niat. Cukup sekadar lintasan azam/hasrat/keinginan di dalam hati kita mengetahui apa yang hendak/bakal dilakukan. Melafazkan niat itu hanyalah ijtihad ulamak bagi membantu orang yang mempunyai penyakit was-was yang keterlaluan.


Di dalam Ighatsatul Lahfan Ibn Qayyim rahimahullah menyatakan:

Niat ertinya menyegaja dan bermaksud sungguh-sungguh melakukan sesuatu. Dan tempatnya adalah di dalam hati, dan tidak ada sangkut pautnya sama sekali dengan lisan... [Dikemukakan oleh Imam Ibnu Qudamah dalam Dzammul Muwaswisin, ms 5-6 dan Syaikh Sayyid Sabiq di dalam Fikih Sunnah, Victorie Agencies, jld. 1, ms.286]

Dalam menghuraikan tentang hadis "tiap-tiap amal perbuatan tidak lain berdasarkan niat", Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan:


Imam Nawawi mengatakan, bahawa niat bererti maksud, iaitu keinginan yang ada dalam hati. Tetapi Syaikh al-Karmani menambahkan, bahawa keinginan hati adalah melebihi maksud...

...Baidhawi berkata: "Niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai dengan tujuan, baik mendatangkan manfaat atau menolak mudharat, sedangkan syari'at aadalah sesuatu yang membawa kepada perbuatan yang diredhai Allah dan mengamalkan segala perintah-Nya" [Dinukil secara berpisah dari Fathul Baari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari (terjemahan Gazirah Abdi Ummah, Pustaka Azam, jld 1 ms. 19]


Berikut adalah satu contoh bagi memudahkan pemahaman: Niat hendak makan roti canai. Tidak perlulah melafazkan atau menyusun ayat dalam hati "sahaja aku makan roti canai pada waktu tgh hari berserta kuah kacang dal". Memadai lintasan dlm hati kita mengetahui kita ingin menikmati roti canai maka kita pun pergi makan roti canai.


Namun ditegaskan, Apabila hendak menunaikan solat secara jamak dalam waktu yang kedua (Jamak Takhir), maka dituntut bagi orang tersebut mengetahui dengan sedar dalam waktu yang pertama bahawa dia akan melakukan solatnya itu di waktu yang kedua. Contohnya bagi seseorang yang mahu melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak dalam waktu Asar maka dia wajib secara sedar berniat dalam waktu Zuhur bahawa dia akan menunaikannya secara jamak dengan solat Asar dalam waktu Asar. Ini tercapai dengan lintasan hati atau sebutan mulut bahawa solat Zuhur aku ini akan aku jamakkan dengan solat Asar dalam waktu Asar nanti. Demikian juga bagi solat jamak takhir Maghrib dan Isya'. Tuntutan ini diwujudkan bagi membezakan bahawa seseorang itu bersolat jamak takhir berdasarkan pengetahuan yang sedar sejak dari awal dan bukan kerana lalai, berlaku remeh atau malas ketika dalam waktu yang pertama. [Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili, jld. 2, ms. 377]



PENUTUP KATA

Moga risalah ringkas ini dapat menjawab persoalan dan merungkai kekeliruan tentang solat jamak. Moga pengetahuan mengenai solat jamak ini juga dapat menjadikan kita tidak mudah bersangka buruk dengan individu yang mengamalkan solat jamak berbeza dengan pemahaman ilmu kita yang terhad sebelum ini. Semoga Allah melimpahkan hidayah dan taufik-Nya kepada kita.


Wallahua’lam...

Khamis, 18 Ogos 2016

WARKAH BUAT ALONG...



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم



Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh



Along yang dikasihi,

Setelah 18 tahun berlalu, mulai hari ini, along akan mula keluar dari kepompong rumahtangga yang selama ini along begitu selesa. Along akan belajar untuk hidup bertemankan rakan taulan, guru dan pendidik, jauh dari keluarga. Along akan mula belajar berdikari, menguruskan segala keperluan diri. Along akan belajar bagaimana untuk menguruskan hati, masa dan kewangan. Segala ini akan along pelajari dan insya Allah, along akan mendapat kekuatan untuk menghadapi dunia baru ini. Walid dan umi sentiasa dan akan terus mendoakan segala kebaikan, sama ada untuk urusan dunia mahupun akhirat buat along…


Walau kelihatan seolah-olah walid gembira dengan pemergian along merantau menimba ilmu, namun hakikatnya tetap ada kesedihan dihati seorang bapa. Selama 18 tahun along dalam pemerhatian dan penjagaan walid, segala makan pakai sakit dan demam dalam pengetahuan dan penjagaan walid dan umi. Bukan hanya along yang sedih kerana terpaksa berpisah dengan walid, umi, nisah dan darwish, tetapi kami pun turut merasainya. Kita sama-sama perlu belajar untuk saling merindui dan merawat kerinduan dalam kejauhan, insya Allah ia lebih indah apabila kita bertemu setiap kali along pulang nanti.


Along merantau bukan hanya untuk mendapat kebaikan ilmu dunia, tetapi ilmu inilah kelak yang bakal membawa kebaikan untuk akhirat along, asalkan along meluruskan niat; belajarlah kerana ingin mendapatkan keredhaan Allah swt. Ingatlah selalu, orang yang sentiasa mensyukuri apa jua nikmat adalah orang sentiasa dekat dengan kebahagiaan.


Belajarlah daripada segala kesilapan lampau agar along tidak mengulangi kesilapan yang sama dalam menimba ilmu, dalam memilih rakan dan teman serta dalam penjagaan diri berkaitan pemakanan dan pengurusan diri.



Along yang dikasihi,

Inilah nasihat walid berkaitan silaturahim di kampus. Walid berharap along pandai memilih rakan taulan kerana dalam dunia baru along ini, pelajar datang hampir dari seluruh negara yang mempunyai latar belakang kehidupan pelbagai dan budaya hidup yang berbeza. Perhatikan baik-baik dengan siapa along mengangkat sebagai teman baik kerana melaluinya, destinasi along seterusnya akan dicorakkan.


Jika along mahukan kebaikan bagi diri along, maka janganlah mempelajari pelajaran along sendirian, tetapi ajaklah seorang teman untuk belajar bersama dan saling membantu untuk memahaminya.


Apabila along temui sesuatu masalah dan along merasakan bahawa along telah memahaminya, maka janganlah along merasa cukup dengan sangkaan itu sehingga along tinggalkan buku dari tangan dan menganggap diri lebih pandai dari kawan along.


Bersikap sopanlah dengan teman yang along pilih untuk belajar. Apabila along telah mengerti sebelum dia, maka janganlah membanggakan diri terhadapnya kerana dapat mendahuluinya. Apabila dia berbeza pendapat dengan along dalam memahami sesuatu masalah, maka dengarkanlah apa yang dikatakannya. Barangkali dia telah memahaminya dengan benar dan along yang salah dalam pemahaman.


Hindarilah perdebatan dengan cara yang batil dan jangan membela pendapat along jika along keliru. Kerana ilmu itu amanah, dan sesiapa yang membela kebatilan, maka dia telah menyia-nyiakan amanah Allah swt.


Jarang sekali seorang pelajar berkumpul dengan sekelompok temannya, melainkan dialog di antara mereka berlangsung sekitar perdebatan dan perbincangan mengenai masalah-masalah yang mereka ketahui. Maka, janganlah along memotong perkataan orang yang sedang berbicara, dan jangan tergesa-gesa menjawab sebelum meyakininya serta jangan membantah tentang suatu masalah yang belum pernah along ketahui.


Jangan berdebat tanpa alasan yang benar dan jangan menunjukkan kesombongan terhadap orang yang menjadi regu debat along itu. Jangan keluar dari topik perdebatan hingga menyalahkan pendapat lawan dan jangan menyakitinya dengan perkataan yang menyakitkan serta jangan mengejeknya bila dia salah dalam pengertian.



Along yang dikasihi,

Inilah nasihat walid dalam menimba ilmu. Along perbanyaklah menghafal ilmu, kerana mudarat pada ilmu adalah sifat lupa.


Ketahuilah bahawa di penghujung semester, along akan diuji tentang semua pengetahuan yang along timba. Dan ketika ujian, manusia akan dimuliakan bila dia mampu menjawab dengan baik. Sebaliknya, dia akan diremehkan pendapatnya oleh keluarga dan saudara-saudara, bila tidak berupaya menjawab dengan baik dan kelihatan hasil yang diperolehinya kurang memuaskan.


Jangan sampai hafalan along itu hanya sekadar menghafal kata-kata tanpa memahami maknanya. Akan tetapi, pusatkan perhatian along pada pemahaman makna-makna dan penetapannya dalam fikiran. Kerana ilmu adalah apa yang along fahami bukan apa yang along hafalkan.


Dialog antara para pelajar tentang masalah-masalah ilmiah adalah besar faedahnya. Dialog itu menguatkan pemahaman, melancarkan lisan dan membantu pengungkapan sasaran-sasaran yang dimaksud serta menghasilkan keberanian para pelajar.


Akan tetapi, along, hal ini tidak berguna di sisi Allah mahu pun manusia, kecuali bila akhlak along lurus, jauh dari perkataan keji. Along katakanlah kebenaran walaupun terhadap diri along sendiri dan tidak terpengaruh oleh celaan orang dalam menyatakan kebenaran.



Along yang dikasihi,

Inilah nasihat walid dalam bersilaturahim dengan guru-guru. Along ingatlah bahawa sesungguhnya seorang guru itu tidak menyukai selain kepada murid yang taat dan beradab. Maka, adakah along suka apabila guru dan pendidik tidak redha kepada along dan tidak mengharapkan kebaikan?


Berusahalah meluangkan masa setiap hari untuk pergi menemui mana-mana guru diluar waktu kuliah untuk bertanya segala persoalan pelajaran. Wujudkan hubungan yang baik dengan para pendidik, agar along mendapat keberkatan ilmu yang disalirkan oleh mereka buat along. Hormati mereka selayaknya seorang guru.



Along yang dikasihi,

Inilah nasihat walid berkaitan ilmu dan akhlak. Sesungguhnya akhlak yang baik adalah perhiasan manusia pada dirinya dan di antara saudara-saudara, keluarga dan teman-temannya. Maka, jadilah along seorang yang berakhlak baik, nescaya orang-orang menghormati dan menyayangi along.


apabila along tidak menghiasi ilmu dengan akhlak yang mulia, maka ilmu along akan lebih membahayakan daripada kebodohan kerana orang yang bodoh dapat dimaafkan tentang kebodohannya, tetapi, orang yang beramal tidak mempunyai alasan terhadap orang sekitarnya jika dia tidak memiliki perilaku yang baik.


Janganlah along terganggu dengan kata-kata orang pada diri along. Maafkanlah kesalahan mereka dan jangan sediakan tempat dihati along dengan segala bibit dendam untuk tumbuh berkembang. Ia akan menjadi virus yang bakal mematikan hati. Sebaliknya janganlah along merasa segan untuk meminta maaf walau ego tercalar kerana merasa along lebih benar dari mereka. Sesungguhnya memaafkan itu adalah kemuliaan dan meminta maaf adalah kekuatan



Along yang dikasihi,

Akhir kata, walid berharap along membaca segala garapan walid ini dengan hati yang tenang dan dada yang lapang serta fikiran yang terbuka. Inilah secebis nasihat, ajaran, petunjuk dan panduan yang mampu walid berikan untuk along yang walid kasihi.


Along telah menjadi seorang gadis, maka berfikir dan bergeraklah selayaknya seorang gadis muslim, bukan menuruti trend semasa gadis-gadis sebaya along, Bukan semuanya membawa kebaikan untuk akhirat along.


Berusahalah untuk mencapai impian dan sasaran melalui pencapaian yang cemerlang. Sasarkan CGPA 4.00, namun jika Allah rezekikan bukan itu angka yang along perolehi untuk peperiksaan, tetaplah bersyukur dengan apa yang Allah takdirkan buat along. Nabi saw sendiri pun berpesan, bila meminta, mintalah Firdaus, Berdukacita bukan sifat seorang mukmin, maka jauhilah sifat itu. Walau apa pun pencapaian along nanti, itulah yang dinamakan suratan takdir.Redha dan teruskan perjalanan hidup kerana hidup ini masih panjang dan ranjaunya masih penuh onak dan duri.


Segala apa yang walid ajarkan berkaitan amalan sebelum solat maghrib itu, teruskanlah jika boleh. Namun jika ada aral melintang, maka berusahalah melakukannya selepas solat subuh. Usah pisahkan diri daripada membaca Al Quran setiap hari, walau hanya selembar sehari. Jangan lupa untuk turut mengamalkan asma husna yang walid pesan untuk dibaca; Al Rashid. Pohonlah ilmu, kebijaksanaan dan hikmah dari Pemilik segala Qalam.


Walau apa pun masalah, kesulitan serta kepayahan, maklumkanlah pada walid, ceritalah pada walid, kisahkan pada walid. Jika perlu, walid akan terus datang menemui along di KMPH ini tanpa mengira masa. Insya Allah dipermudahkan segalanya untuk along



Anak ku

Bawalah hatiku bersertamu

Ada oasis cinta di dalamnya…



Teguklah sepuasmu

Kau akan rasakan

Semangat yang tidak pernah padam

Tenaga yang tidak pernah habis

Untuk terus belajar



Salam kasih sayang dari

Walid



Remember that the Quran should always be placed as first priority in your heart. If you find that you listen to nasheed more than Quran, or if you see that Nasheed effect your heart more than the Quran, perhaps you should take a break from them and question your heart truly, as it is the Quran which will be an intercessor on the Day of Judgement; it is the Quran which will raise you in ranks - thus I ask you to evaluate yourself. May Allah guide us to the path of heavens.